Tuesday, October 22, 2024

Malam Ilmunisasi Puisi Alam di Desa Gemalai kembalikan hakikat kehidupan

CATATAN PERISTIWA

Rossem menyampaikan
cenderamata untuk Husam.
DESA Gemalai baruh padi alami di Lubuk Jambu Kedai Mulong, Kota Bharu pada malam Sabtu lepas (18/10/24) bergema dengan lagu-lagu puisi dan deklamasi puisi oleh beberapa penyair tempatan dengan diiringi gendang tradisi, rebana, serunai, gong dan canang.

Acara santai itu buat julung-julung kali diadakan di baruh tersebut. Dalam panahan sinar lampu kalimantan samar penuh romantika, terpaan bau baruh dan aroma padi yang sedang bunting, persekitaran bendang seluas kira-kira 15 ekar itu bergema dengan irama dan talun pendaklmator yang tampil dengan gaya tersendiri, bikin mengimbaukan masa lampau yang kian menjauhi diri. 

Ikut sama berkumandang ialah beberapa lagu puisi yang dicipta secara spontan, menambahkan kemeriahan suasana dan menggamitkan kenangan lalu tak semena-mena menguntum mekar di jiwa.  

Lebih ceria lagi majlis itu turut dihadiri sama Pengerusi TH Properties Datuk Husam Musa yang bertindak selaku perasmian majlis dan meluncur antologi Baruh Menangis karya Salleh Yaakob. Agak istimewa apabila acara sebegitu ikut dihadiri sama Husam yang sebelum ini kita hanya kerap melihatnya tampil di podium politik.

Hadirin santai dalam remang cahaya.

Majlis itu sebagai melakar sejarah tersendiri dicelah ketandusan aktiviti sastera ke belakangan ini, diusahakan bersama Yayasan Ahmad Albab dengan kerjasama Persatuan Seniman dan Warisan Kelantan (Pesta).

Disebelah siangnya berlangsung pameran lukisan yang bertemakan alam panorama klasik baruh padi organik berkenaan. Ilustrasi padi berlatar belakang baruh berkenaan dipamerkan dan turut dijual. 

Desa Gemalai merupakan baruh padi alami yang diusahakan oleh Yayasan Albab, ia dibangunkan bersumberkan ilham dicetuskan Husam semasa beliau berada dalam kerajaan Pas dahulu. 

Baruh organik itu sebagai kesenimbungan pelaksanaan idea bekas Exco Kelantan diera Tokguru Nik Aziz itu yang ditinggalkan kerajaan Pas selepas beliau tidak bersama lagi. Untuk jayakan baruh itu seorang pakar padi yang dianggap wali padi Pak Aied didatangkan khas dari Tasek Malaya Indonesia. 

Mohamad Sabu pernah mengunjungi 
Desa Gemalai Lubuk Jambu.
Baruh padi itu sudah melewati dua musim penanaman yang diolah secara manual dan semulajadi, menjadikan ia satu-satu bendang padi alami di Kelantan. Kini terdapat lebih 40 jenis padi (variety terpilih bertaraf dunia) yang ditanam di baruh berkenaan, dan menjadi kunjungan dan lawatan mereka berminat dalam penanam padi termasuk daripada agensi kerajaan berkaitan pertanian seperti Kada, Mada, Jabatan Pertanian, Professor dan lain-lain. 

Bahkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Mohamad Sabu juga telah mengunjungi desa berkenaan dan memberi dorongan dan sokongan. 

Kerana keunikan Desa Gemalai itu, kini ia juga jadi salah satu lokasi wisata, berjaya menarik ramai pelancong termasuk murid sekolah, siswa dan mereka yang ingin merasai hayat alam padi semula jadi dan mengenali pelbagai jenis padi dan juga cara dan kaedah penanam secara alami yang menyubur dan memakmurkan bumi. Baruh itu bukan sahaja sekadar bercerita hal padi, tetapi segala habibat alam lain yang hidup mesra dengan pepohon padi, seperti ikan-ikan, belut, belalang, labah-labah, rama-rama, beburung, tikus dan sebagainya. 

Panorama yang terwujud disini bagaikan berada dalam sebuah lukisan hidup dan kehidupan sebuah alam semulajadi yang memukaukan perasaan dan indra.

Sesekali hadir di majlis seperti itu menyegar semangat dan menggamit kenangan lama yang kian terpendam dimamah usia. 

Saya mengambil inisiatif pulang bersama isteri hanya untuk sama-sama meraikan majlis tersebut. Kepulangan lebih untuk berjumpa dengan rakan-rakan lama. Terima kasih kepada pihak yang menjadi nadi dan tunggak kepada pengatur acara berkenaan yang dinamakan Ilmunisasi Puisi, terutamanya Kang Rossem, sdr. Syam Ghaz dan sdr. Yusri selaku komander. 

Paling bertuah majlis itu mempertemukan saya dengan beberapa rakan penyair yang sudah lama tidak berada dalam satu majlis, yang mana dahulu kami adalah penjaja suara mempertahankan seni mengadakan pembacaan sajak di seluruh Kelantan. 

Antara yang menyempatkan diri hadir, Sanusi Yaakob (Nursanusi MH), Rosli K Matari, Mubin, Anbakri Haron dan lain-lain, yang mungkin hadir tetapi tidak terkeleh kerana menyelit di batas padi di kegelapan malam. Turut sama hadir sahabat daripada Kuala Lumpur sdr Din Deraman seorang pakar motivator dan bekas Adun 1970an Hashim Haji Omar (abang Hashim).

Paling manarik dan merujakan Husam yang memberi pengucapan berbau puitis menceritakan tentang keajaiban dan keistimewaan padi. Beliau yang merupakan seorang ilmuan politik sangat akrab dengan pertanian tidak pernah lelah menjelah ke seluruh benua untuk mengenali, mempelajari kaedah penanama dan mencari rahsia padi daripada negara-negara luar. Dan tidak lupa ikut "mengetek" benih-benih padi untuk dibawa pulang. 

Tidak salah kalau dikatakan Husam adalah politis ilmuan padi dan pakar argotecher dalam negara ini dimana minat dan pengetahuannya mengenai pertanian terutamanya hal ehwal padi dan penternak  khasnya Wagyu begitu luas dan mendalam. 

Abang Hashim, Anbakri dan Husam.
Seperti mana katanya, terdapat 19,000 ribu jenis padi yang terdapat di India, itu adalah maklumat terbaru buat pengetahuan awam dimana sebelum ini saya sendiri tidak pernah mengira yang India adalah negara penanam padi terbesar dan hebat dunia. Dan sebahagian daripada jenis-jenis padi yang ada di benua India itu ada di baruh Desa Gemalai. 

Bagi Husam padi adalah rahsia kehidupan yang diciptakan Tuhan untuk diselami maknawinya. Beliau melarang membunuh padi, kerana membunuh padi adalah membunuh kehidupan manusia.

Beliau menjelaskan padi yang memiliki dua warna unik untuk dimengerti, satu hijau dan kedua kuning. Hijau adalah warna alami semulajadi, melambang kesuburan dan kedamaian. Hijau padi adalah hijau asli dan bukan dibuat-buat dimana, hijau itulah yang perlu dipilih dan disanjung kemudian direalisasikan dalam kehidupan.

Salleh, Sanusi dan Rossem.
Manakala warna kuning membawa dua pengertian. disamping warna ini indah dan menarik perhatian, kuning juga melambangkan kemusnahan dan kematian. 

Imbau beliau, apabila padi sudah sampai ke hujung  musim, (jangka hayat) ia berwarna kuning dan ketika itu ia akan dituai. Ertinya putaran hidup padi adalah simbolik kepada putaran hidup kita.

Justeru pesan Husam padi perlu dirawat dan dihormati kerana ia makanan asas manusia di sini. Kewujudan Desa Gemalai adalah klinik, hospitalliti sekaligus sekolah universal untuk menusia memahami dunia kepadian dan mengenali makrifat dan maknawinya.

Baruh jambu cuba mengembalikan nostalgia dan keindahan sawah dimasa silam yang permai, harmonis dan membahagi kian padam. Mereka yang pernah bermandi selut, mengejar belalang, menauk, merukah belakang kerbau, dan mengejar unggas dibendang akan merasai dunia itu tiba-tiba menjelma semula apabila berada di Desa Gemalai. Dega Gemalai bukan sekadar baru tetapi ia lingkungan terapi diri.

"Kita perlu jaga sawah dan padi kita. Kita jangan bunuh padi dan habitat, keaslian dunianya, kerana perbuatan itu seolah kita membunuh kehidupan kita sendiri," demikian pesan dan amanah Husam. [wm.kl. 11:43 am 22/10/24]

Rakaman gambar besar di malam Ilmunisasi Puisi di Desa Gemalai.

No comments: