Thursday, November 28, 2024

Amanah Kedah bangkit melupai kekhilafan


Mohd Asmirul Anuar Aris
PANDANGAN PETANG

SAYA telah diberi satu laporan aktiviti Amanah Kedah 2023/2024 yang dibentangkan dalam konvensyen parti itu baru-baru ini yang dirasmikan oleh Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkifly Ahmad, yang juga Menteri Kesihatan.

Laporan disediakan berbeza, sungguh cantik dan menarik, kemas dan professional yang dipersembahkan seperti dalam bentuk majalah yang memudahkan untuk menghayatinya segala isi kandungannya.

Rasanya inilah laporan aktiviti tahunan sebuah parti politik yang dipersembahkan mengikut format majalah dicetak atas kertas berkualiti bergambar warna warni, penghuraian padat dan ringkas.

Melihat kepada material laporan ini sudah mencerminkan daya kreatif dan kesungguhan pelaksananya, barisan kepimpinan Amanah Kedah dibawah sdr Amirul Anuar Aris yang sekaligus menunjukkan parti itu tidak main-main dan serius menggerakkan parti.

Menerusi laporan sebanyak 24 muka surat bersaiz A4 itu, kita dapat mengetahui gerak kerja, perancangan untuk suatu tempoh, dan pembangunan serta hala tuju Amanah Kedah untuk tahun-tahun ke hadapan, tepatnya sebagai persiapan secara menyeluruh bagi menghadapi pilihan raya ke-16 nanti dengan harapan Amanah menjadi parti menguasai Kedah.

Garis perjuangan dan pelan pembangun
an Amanah Kedah tercermin dalam ucapan Amirul Anuar Aris yang menjelaskan bahawa Amanah Kedah bangkit penuh bersemangat, sepadu membawa politik baru, tanpa mempedulikan soal titik bengit sambil mengajak orang ramai mendukung parti berkenaan demi perubahan landskap politik Kedah. Tampaknya Amanah Kedah tampil membawa dimensi politik baru yang professional. Hal ini juga tergambar dalam penampilan barisan kepimpinannya yang kemas berbaju korporat berwarna kuning raja.

Barisan kepimpinan Amanah Kedah
segak bergaya.
Kita tahu sebelum ini Amanah Kedah digoncang dengan krisis sehingga ada yang bertindak berundur daripada parti, dan ada yang mengambil sikap mendiamkan diri, tidak aktif. 

Peristiwa disebabkan kekhilafan pemimpin diperingkat pusat membuat perhitungan dan strategi salah meletak calon kroni pada pilhan raya lalu. 

Saya difahamkan konvensyen itu mendapat sambutan meriah dan dilaksanakan dengan penuh semangat musyawarah dan ta'wun, merupakan konvensyen Amanah peringkat negeri paling berjaya. Ia bukan sahaja berjaya membentangkan rangka dan menyusun masa depan parti, tetapi juga mempersatukan ahli parti dengan memberi keyakinan keberadaan Amanah.

Paling menarik dan bahagia pengerusi Amanah negeri sebelum ini Datuk Mahfuz Omar juga turut hadir. Lebih bermakna apabila Datuk Phahrolrazi Zawawi yang merupakan orang kuat Amanah, tetapi sudah tidak bersama parti lagi, ikut sama hadir meraikan konvensyen berkenaan.

 Kehadiran Phahrolrazi itu jelas menunjukkan jiwa besar bekas Exco kerajaan Kedah semasa Pas dan juga bekas Adun Amanah Alor Mengkudu dan Pengkalan Kundur itu, namun kehadiran itu melambangkan semangat kerjasama dan perubahan politik baru di Kedah sedang berlaku. Phahrolrazi waktu ini adalah Pengarah Pilihan Raya Keadilan Kedah.

Berbalik kepada laporan konvensyen bertemakan Mengangkat Agenda Perpaduan menggariskan beberapa mauduk besar yang menjadi fokus Amanah negeri jelapang padi itu. Antaranya, menekankan soal pengurusan agresif, transformasi pentadbiran Amanah negeri, membuka landskap politik Kedah, penyediaan pelan pengurusan politik baru dan mengemukakan harapan Amanah Kedah.

Perkara atau mauduk ini digaris jelas dan nyata dalam ucapan pengerusi sdr Amirul disediakan dalam laporan konvensyen berkanaan. 

Meneliti kesemua tema dan subjek menjelaskan Amanah Kedah bergerak dengan penuh azam dan tekad mahukan perubahan demi membawa pembaharuan politik di Kedah. 

Mengenai pengurusan agresif, ditekan bahawa Amanah perlu bersikap responsif, kritikal dan, berwawasan, dimana setiap keputusan hendaklah berdasarkan maklumat akurat dan keputusan dibuat secara konsensus.

Pelan pengurusan strategi politik baru pula menekan inisiatif memberdaya dan memperkasakan ahli, kepimpinan dan parti menghadapi pilihan raya ke-16. Pengurusan baru suatu model dan komitmen Amanah Kedah agar amalan berpolitik dapat dilaksanakan secara demokrasi, inklusif dan moderat yang berpaksikan trilogi parti Amanah, Amanah, Progresif dan Peduli.

Tidak dapat dinafikan Amanah Kedah adalah antara Amanah paling mantap dan berpengaruh berbanding dengan Amanah di negeri lain. Ini terbukti dalam pilihan raya ke-14 walaupun pertama kali menyertai, Amanah berjaya menguasai beberapa kerusi DUN dan Parlimen di Kedah termasuk Mahfuz Omar menang di Pendang.

Bagaimana pun disebabkan berlaku sedikit kekhilafan dalam mengatur strategi pilihan raya khasnya bekerjasama dengan DAP disamping gagal memahami naluri pengundi ketika itu Amanah hilang beberapa kerusi dimenangi dalam pilihan raya ke-14 itu.

Mungkin kekalahan itu memberi kesedaran dan keinsafan untuk Amanah Kedah bangkit menebus kekalahan dalam pilihan raya akan datang. Kita yakin dan percaya kalau PH khsusunya, dapat meleletakkan seorang bertaraf menteri sebagai pengerusi PH di Kedah usaha dan azam Amanah ini akan berhasil dan pengaruh parti itu dan PH kian membuak-buak. Pemimpin nasional bertaraf menteri wajar menjadi pengemudi PH di Kedah, antara tokoh diperkirakan mampu membawa lonjakan ialah Datuk Saifuddin Nasution Ismail memandangkan beliau pernah menjadi Adun dan MP di Kedah.

Memahami inspirasi Amirul dalam ucapannya dan sekiranya berjaya membangkitkan Amanah tanpa mempedulikan soal titik bengit, disamping mengeratkan hubungan dengan UBN dan lain-lain ia suatu sikap terbaik.

Hanya dengan nekad, bersatu dan gigih bekerja saja dapat menjayakan Amanah mencapai maksud awalnya untuk jadi parti alternatif kepada Pas. Sebaliknya kalau amalan dan budaya kepuak-puakan dan kronis berlaku ia akan menjadikan Amanah punah ranah. Ciri-ciri yang sudah nampak kini hendaklah dipadam segera.

Sehubungan ini presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu perlu bersikap terbuka, professional serta tegas dan tidak mudah cair dengan bujuk bodek tertentu yang menjadikannya titian politik peribadi. Mohamad  harus menjadi dan meletakkan dirinya sebagai payung semua pihak dalam Amanah di semua peringkat.

Kalau Mohamad benar-benar mempraktikan sedutan ucapannya seperti tertera dalam laporan itu berbunyi “Semua ahli parti Amanah Negara (Amanah) perlu memain peranan membentuk pemikiran rakyat yang telah dicemari dengan persepsi Islam Terancam," insyaAllah parti itu berjaya. Apa harus ditambah oleh Mat disini, persepsi "aku sahaja betul hang hanya tidak betul", hendaklah dibuang dari kloni Amanah. Yang penting Mat tegas, berani dan harus terbuka.

Akhirukalam, syabas dikalungkan kepada barisan kepimpinan Amanah Kedah hari ini dibawah pimpinan sdr Mohd Amirul Anuar Aris yang merupakan seorang bekas Exco serta barisan pegawai eksekutif parti, sdr Basir Ismail selaku Setiausaha (Pengerusi Sekretariat Pentadbiran Amanah Kedah), dan tiga timbalannya Mohd Fuad Nawawi (Hal Ehwal Organisasi dan Keahlian), Aris Bahrom, (Hal Ehwal Dasar dan Perhubungan) Zamani Hanafi (Hal Ehwal Pembangunan Agensi Kerajaan dan Ngo), Ammar Imran Mohd Mahzar (Pegawai Tadbir Amanah Kedah) dan M. Huzaifah M. Azmi selaku pegawai media pengerusi Amanah. [wm.kl.4:59 pm 28/11/2024]

No comments: