Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Wednesday, August 21, 2024

Masa terbaik untuk Pas runding perceraian dengan Bersatu

Ceramah Mahiaddin yang timbulkan kontroversi. 

SUSUPAN PETANG

BAK sebuah perkahwinan ia sesuatu (binaan) yang tidak semestinya kekal abadi. Bahkan mengikut fekah perkahwinan, perkahwinan itu boleh dibatal atau dibubarkan, apabila kedua-dua pasangan sudah tidak sehaluan dan serasi lagi, sudah tidak dapat berbincang untuk mencari kebaikan. Perkahwinan bukan hak veto sang suami ataupun isteri, kecuali hal telah ditetapkan oleh agama dan adat peraturan.

Lantaran itu meskipun perceraian itu haram, tetapi ia dihalalkan.

Natijah atau muslihat disebalik fekah itu ialah untuk memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak. Tidak baik serumah setangga tetapi tidur berbeza ranjang.

Demikian perkahwinan atau kerjasama Pas dengan Bersatu menerusi PN. Jika ia boleh diumpamakan sebagai perkahwinan tadi, tidak keterlaluan bagi Pas atau Bersatu untuk membubarkan perkahwinan itu. Apabila perkahwinan itu tidak mendatangkan kebahagiaan, apa lagi menimbulkan fitnah, kemudaratan maka ia perlu dibubarkan.

Lautan rumah tangga Pas - Bersatu kini bagaikan sungai yang tenang di atas, tetapi bergelora di bawah, bermasalah disebabkan ulah pemimpin Bersatu, terutamanya Mahiaddin Yassin tidak tahu untuk move on. Tindak tanduk Mahiaddin yang kurang bijaksana berpolitik menyebabkan sesetengah pimpinan Pas tidak senang dengannya. Ada kalanya tindak tanduk dan kurang pengertian politik itu menyebabkan Pas mengalami kerugian atau pun susut nilai di mata umum. Pas seakan menggalas biawak hidup dengan Bersatu. 

Ada beberapa peristiwa atau kejadian yang dilakukan Bersatu khasnya presidennya Mahiaddin kurang menyenangkan Pas malahan merugikan masa Pas. Bagi pemimpin Pas yang sedarhana dan merindui ketenangan politik, berpolitik secara rasional begitu serabut dengan telatah politik Mahiaddin.

Pertama apabila Pas, akur percaya kepada cerita dan jaminan Mahiaddin bahawa PN sudah mempunyai jumlah mencukupi untuk tubuh kerajaan selepas piraum lalu. Mahiaddin dakwa beliau ada 115 SD daripada wakil rakyat menyokongnya untuk dilantik jadi PM. Mahiaddin tidak berkerut kening memberi tahu presiden Pas, Hadi Awang. 

Tok Dor yang ghairah untuk jadi anggota kabinet ikut sama terliur dan berlawak dengan memberi tahu wartawan dari jendela kereta, "kita sudah cukup jumlah". Tok Dor tertipu hidup-hidup oleh Mahiaddin.

Ketepesonaan dan kepercayaan Tok Dor kepada Mahiaddin itu menyebabkan sebahagian pemimpin Pas yang lain kecewa. Namun apa yang mereka bisa lakukan kerana ketaatan dan ketaksuban maha hebat mereka ikut hanyut dalam mimpi dan kepalsuan dakwaan Mahiaddin. Sikap mudah percaya dan terlalu "temooh" untuk jadi kerajaan dari kalangan Pas telah memakan diri sendiri. 

Sebenarnya Mahiaddin memberi harapan yang tidak jelas kemudian menjadi kosong. Mahiddin telah menjanji pelangi indah buat Pas. Beliau tergopoh gapah menceritakan hal yang tidak pasti kepada Pas. Kerana terlalu ghairah Pas ikut sama tertipu menyebabkan Pas ikut mengheret pembohongan ke tengah masyarakat sehingga menyebabkan Pas dicemuh.

Sekiranya Mahiaddin reti dan faham politik beliau tidak boleh menari dan berdendang dengan jumlah SD 115 itu kerana ia bukan sesuatu yang mutlak. Digit yang mutlak bagi PN ialah 82 kerusi sahaja, manakala angka mengenapkan 115 kerusi itu datang dari luar yang tidak pasti. Disinilah kekhilafan besar Mahiaddin yang membawa beliau ke kancah kecewa dan kini dicemuhi. 

Sepatutnya Pas telah memahami akan kedudukan itu serta wibawa Mahiaddin yang hendak diangkat sebagai perdana menteri. Apabila episod mempersembahkan SD kepada Yang diPertuan Agong itu selesai, Pas sepatutnya mufarakah dari Bersatu dan membawa hala hidupnya sendiri tidak terus keasyikan mendengar janji dan harapan daripada Mahiaddin. 

Sebaik-baik tindakan buat Pas ialah mengambil pendekatan genjat senjata (ceasefire) dengan PH dan BN, kalau pun tidak mahu menyertai kerajaan Harapan. Pas patut menjadi janda buat seketika lagipun nilai dan harga janda itu menjadi lebih mahal.

Pas juga perlu mengerti yang Mahiaddin sebelum ini telah engkar dengan titah Yang diPertuan Agong yang minta agar dibentukkan kerajaan Perpaduan demi negara. Keengganan Mahiaddin dan menolak saranan Agong itu sesuatu yang biadap dan sangat merugikan Pas. 

Dan aksi terbaharu Mahiaddin yang ikut tambah mencalarkan Pas apabila beliau mengungkit kembali kisah dukacitanya itu di ceramah disuatu ceramah di Nenggiri. Beliau telah tidak semena-mena mengaitkan kegagalannya menjadi PM disebabkan Yang diPertuan Agong. Secara nyata beliau menyebut, walaupun sudah cukup jumlah tetapi tidak dipanggil menghadap untuk mengangkat sumpah. Ini suatu tuduhan atau kenyataan yang cukup menghiris hati Yang diPertuan Agong ketika itu.

Umum melihat kenyataan beliau itu sebagai tidak menghormat institusi raja-raja dan menimbulkan provokasi.

Apa diucapkan Mahiaddin itu serius, seolah beliau tidak berpuas hati dengan ending dalam pilihan raya lalu dan tidak menerima Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Natijah ucapan itu beliau telah dilaporkan kepada polis dan hari ini dipanggil untuk memberi keterangan dibawah akta hasutan.

Ucapan beliau itu bukan sahaja ditanggani oleh orang ramai, tetapi turut diberikan ulasan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.  Kita harus mengerti suara Tengku Mahkota adalah suara Tuanku Sultan Pahang sendiri. Baginda cukup kesal dengan tindakan Mahiaddin itu dan murka.

"Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

"Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10." demikian kenyataan dipetik seperti dilaporkan.

Kemurkaan Tengku Mahkota itu difahami oleh timbalan presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang telah membuat kenyataan menyatakan taat setia kepada Tuanku, dan beliau menyatakan yang seluruh Adun Pembangkang Pahang taat setia kepada Sultan Pahang dan menyokong titah Tengku Mahkota.

"Adun PN Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Muhyiddin semasa berkempen di Nenggiri agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.

"Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah tuanku,” demikian ujar Tuituman dalam satu kenyataan media yang dikongsikan di Facebook petang ini.

Kenyataan Tuituman itu menjelaskan bahawa Pas tidak sedia dibabitkan dengan Mahiaddin dan mempunyai pendirian dan pandangan berbeza. Kenyataan dibuat Tuituman itu menunjukkan bahawa Pas tidak bertanggungjawab dengan kenyataan Pengerusi PN itu yang telah menyinggung hati Al Sultan Abdullah dan kerabat di raja lain.

Apa yang dilakukan oleh Mahiaddin yang kurang cermat dan ikut mengaitkan nama Al Sultan Abdullah itu meninggalkan kesan mendalam. Walaupun dia mengakui kenyataan itu tidak berniat untuk menyentuh kedudukan Raja-Raja, tetapi kenyataan dibuat oleh Tengku Mahkota itu memberi konotasi suasana yang tidak kondusif di antara Istana Pahang dengan Mahiaddin. Dan disebabkan Pas kerabat rapat dengan Mahiaddin, ia tertimpa sama ke atas Pas. 

Bukan mudah untuk menjernihkan semula hubungan ini. Ibarat telor yang pecah walaupun ditapu ia sudah retak. Apa lagi isu yang terkuat sekarang ini telah dijadikan isu politik. Ucapan Mahiaddin di Nenggiri itu tidak boleh ditutup padam lagi. Ia sudah menjadi sebahagian sejarah. Demikian juga dengan penzahiran kemurkaan Tengku Mahkota Pahang itu tidak boleh ditarik balik. 

Tindakan terbaik.

Justeru disinilah saya mengira waktu terbaik untuk Pas memikir kembali hubungannya dengan Bersatu. Atau setidak-tidaknya kalau Bersatu masih kekal Mahiaddin sebagai presiden dan dia menjadi pengerusi PN, Pas perlu memikir kembali akan untung dan rugi dengan kedudukan itu. 

Pas hari ini adalah parti Melayu terbesar dan sedang mendapat kepercayaan orang Melayu. Jangan hendaknya peristiwa yang dicetuskan Mahiaddin itu mengeruhkan hubungan Pas dengan institiusi raja dan mengurangkan sokongan Melayu. Apa lagi sebelum ini sudah ada pemimpin Pas yang didakwa kerana menyentuh kedudukan raja-raja atau mempersendakan raja-raja. Tidak sesuai untuk Pas menambah penyakit atau beban baru dengan apa dilakukan Mahiaddin itu. 

Justeru, yang terbaik bagi Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu. Pas tidak perlu memikir panjang atau masih yakin yang Mahiaddin akan jadi PM. Harapan itu sudah musnah dan sudah ke sungai Nenggiri dan hanyut ke laut. Pas perlu membersih diri bagi menghadapi pilihan raya akan datang dalam keadaan suci. 

Dalam masa sama Pas perlu memperkuatkan kedudukannya, mengurangkan ketegangan menimpa partinya dengan menjauh komponen bermasalah. Sebaik-baik tindakan ialah bububarlah perkahwinan dengan bersatu demi maslahat dan masa depan Pas. [wm.kl.7:32 pm 21/08/2024]

Monday, October 30, 2023

Pembangkang terus tergugat?

SUSUPAN MALAM

Iskandar Zulkarnain
HARI ini seorang lagi ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada perdana menteri Anwar Ibrahim.
Kali ini ahli Parlimen dari Sabah, Suhaili Abdul Rahman (Bersatu - PN) mewakili kerusi Labuan. Sebelum ini ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Zulkarnain  Abdul Khalid telah mengumumkan sokongan kepada perdana menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Perpaduan. 

Alasan diguna pakai Suhaili, sama dengan alasan dibuat oleh Iskandar Zulkarnain mereka menyokong kerajaan demi rakyat yang diwakilinya. Dalam erti kata lain mereka mengorbankan sokongan kepada parti demi rakyat. Kedua-dua mereka menang atas tikit Bersatu (PN).

Thursday, June 22, 2023

Tumpuan kini ke enam buah negeri

ULASAN

Sultan Selangor menandatangan
surat pemasyuran pembuburan DUN.
PERHATIAN sakalian rakyat khasnya mereka yang minat dunia politik kini ialah kepada pilihan raya di enam buah negeri. Demam pilihan saya sudah pun bermula apabila sudah ada Dun yang dibubar hari ini. 

Hampir semua kerajaan negeri terbabit hari ini sudah bersetuju dan menetapkan tarikh pembubaran dewan undangn negeri masing-masing. Dun Kelantan dibubarkan hari ini setelah mendapat perkenaan Sultan Kelantan.

Dun Selangor akan dibubar besok Jumaat 23 Jun. Tarikh pembubaran itu sudah diperkenankan oleh Sultan. Begitu juga Dun Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu akan menyusul kemudian. Besar kemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan serentak tarikh penamaan calon dan hari mengundi di enam buah negeri berkenaan.

Friday, June 16, 2023

Pas perlu waspada dengan Annuar Musa

PANDANGAN

BEKAS ketua Umno bahagian Ketereh Annuar Musa telah sah menjadi ahli parti Pas. Pengesahan itu dibuat dalam satu majlis ceramah politik anjuran Perikatan Nasional (PN) yang diadakan di Senawang Negeri Sembila baru-baru ini.   

Annuar Musa yang juga pernah dilantik menjadi Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) telah dipecat daripada Umno apabila beliau mengkritik parti dan bersikap menjadi gunting dalam lipatan dalam Umno. 

Pemecatan Annuar itu adalah wajar setelah beberapa tindak tanduknya melanggar disiplin parti dan cuba mengeruhkan parti dari dalam. Beliau yang dilihat memusuhi presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi cuba menaja Ismail Sabri Yaakob untuk mengambil alih jawatan presiden, tetapi gagal. 

Itulah antara kesalahan dan dosa besar Annuar yang tidak boleh dimaafkan sehingga terpaksa dilempar dari Umno. 

Monday, May 29, 2023

Mengidam nak makan makanan haram

SESUDAH SUBUH 

Presiden Pas Abdul Hadi Awang terus membuat lawak bodoh yang menjelaskan kesakitan jiwa politiknya apabila beliau mendakwa ada orang tertentu menghubnginya beberapa kali mengajak menyertai kerajaan Madani. 

Tanpa menyebut nama, bila atau menjelas secara spesifik individu yang konon mempelawa beliau itu bermakna itu hanya cerita Abu Nawas semata-mata. Gimik orang politik yang senak jiwa. Cerita-cerita begitu sudah klise apabila kerajaan pimpinan Anwar sudah menjangkau setengah tahun. Tutur presideh Umno Zahid Hamidi Hadi beperasanan. 

Saturday, May 27, 2023

Akar buruk merosak tumbesar pokok

SUSUPAN PAGI

DISELA SELA sebilangan orang mempertikai dan mempersoalkan fungsi dan tanggaungjawab Jabatan
Komuniti (J-Kom) dalam mempertankan kerajaan dengan isu-isu yang sengaja dimainkan oleh musuh, ada pula menteri sendiri yang memberi peluru kepada pihak musuh. Walaupun ternyata ia peluru  kapur tetapi sedikit sebanyak dapat memedih kulit dan mata jika dilepaskan.

Sebelum ini J-Kom yang dipimpinan ahli akademik Muhamad Agus Yusuf yang beriya menolak tawaran PM, kerana kasih Indoneia, namun akur akhirnya bahawa hujan batu di negeri sendiri lebih baik daripada hujan emas di negeri orang mengakui J-Kom bukan menjadi alat propagnda kepada mana-mana parti politik termasuk kerajaan. 

Wednesday, May 3, 2023

Gerakan Tumbangkan Kerajaan: Persepsi bukan Realiti?

ULASAN 

Anwar Ibrahim
SEMINGGU dua ini heboh cerita fasal gerakan hendak tumbangkan kerajaan Harapan. Cerita itu secara tidak langsung membentuk dua dimensi, menakut dan menggembirakan. Ianya ditakuti oleh para pencinta kerajaan Madani, sebaliknya menyeronokan kelompok yang membenci kerajaan Harapan itu khususnya Anwar Ibrahim. 

Mulanya saya sendiri tidak ambil peduali mengenai cerita memualkan ini. Tetapi apabila ia disentuh sendiri oleh Anwar Ibrahim, baru saya cuba menyelidiki dan menganaliasanya sejauh mana logik dan benarnya.

Bagi Anwar beliau menyifatkn gerakan itu suatu igauan. Ia dilakukan oleh mereka yang mengigau. Sama ada realiti atau igauan, apabila perdana menteri memberi reaksi maka perlu saya mengulas sedikit mengenainya, memberi pendapat dan pandangan. 

Sudah ramai kekawan penulis berbuat demikian, dan umum sedikit sebanyak sedia maklum tentang latar belakang kisah ini. 

Tuesday, April 18, 2023

Perebutan sengit PH dengan PN di enam Pirane

KITA CAKAP-CAKAPKAN

PILIHAN RAYA enam buah negeri yang dijangka akan diadakan selewat-lewat Jun nanti menjadi tumpuan dan menjadi kemuncak kepada politik negara bagi parlimen penggal ke-15 ini. Para peminat dan pemerhati politik akan memberi tumpuan serius, manakala para penganalisa sudah mula membuat kajian dan unjuran. Pilihan raya itu memberi nilai dan erti tersendiri.

Badan-badan kajian tertentu yang cenderung kepada mana-mana komponen juga sedang membuat naratif untuk mempengaruhi khalayak bagi memihak kepada puak yang mereka sokong. Pilihanraya itu juga membawa signifikan tersendiri kepada kerajaan hari ini.

Monday, October 31, 2022

Politik banjir kepala air di Kedah

ULASAN MALAM

Mereka sedang memberi 
kenyataan akhbar berhubung banjir kepala
air di Kedah?
 
TIDAK siapa menjangka di sebalik keteguhan gunung Jerai yang tersergam indah dan gah itu ia menyimpan sesuatu yang misteri; kolam takungan air yang boleh membawa bencana dan petaka. Tidak ramai menduga akan kewujudan kolam tersembunyi berbahaya itu.  

Apabila kolam itu sarat dengan air menyebabkan takungan pecah dan menghemburkan banjir yang dinamakan banjir kepala air.

Monday, August 22, 2022

Sumpah laknat sumpah terdesak

ULASAN

Najib sedang meluahkan sumpah 
laknat di masjid Kg. Baru.
ESOK Mahkamah Persekutuan akan sambung bicara mendengar rayuan terakhir Naib Razak yang telah pun dihukum 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kerana salah guna dana RCI International. 

Malam tadi berlangsung majlis solat hajat dan menunajat perdana sebagai solidariti kepada laki Rosmah Mansor itu. Majlis itu diadakan diseluruh negara.

Monday, August 15, 2022

Panggilan terjah daripada seorang kawan

SUSUPAN PAGI

Bentuk kapal LCS yang dikatakan dalam 
proses pembinaan.
 LEWAT tengah malam tadi (semalam 14/8/22) seorang penganalisa politik veteran yang cukup
pengalaman menghubungi saya. Saat itu mata saya sudah keluyuan. Tetapi melihat pemanggilnya seorang yang saya hormati, saya nyalakan semula lampu dan terus ngomong dengannya. 

Sudah lama dia tidak membuat panggilan terjah kepada saya. Selalunya bila ada panggilan terjah begitu adalah perkara penting hendak disampaikan ataupun dibincang. Pada hujung perbualan itu, dia mengharap dalam waktu terdekat saya dapat minum atau mengopi bersamanya. 

Friday, July 8, 2022

Politik kita makin tidak dipercayai

PANDANGAN 

Disalah satu port politik di Kelantan.
KEGHAIRAHAN sebilangan warga politik untuk memilih parti (simbol) dalam pilihan raya akan datang sudah tidak sehangat dahulu. 

Berlaku perubahan sikap atau persepsi kalangan orang ramai terhadap politik dan oknum kini. Kejadian lompat parti, mengkhianati kerajaan, perbuatan jatuh menjatuh, amalan politik wang memberi kesan besar kepada mereka, menjadikan mereka tawar hati serta hilangan kepercayaan kepada politik. 

Nilai penghormatan dan kekaguman mereka kepada individu politik sebelum ini sudah relai. 

Saturday, October 2, 2021

Parti baru untuk perkukuhkan Ismail Sabri?

EKSKLUSIF

Azmin dan Anwar terus bertarung.
MASIH belum tersebar dan diuar-uarkan tetapi maklumat ini dipercayai sudah berkisar dan berjalan secara senyap dan sedang dipertutur dan dianalisakan. Sudah tebtu ia tersebar dalam grup-grup WhatsAap siasah.

Dua hari lepas saya dikirimkan dengan satu prinskrin status seseorang daripada Twitter memberi tahu Mohamad Azmin Ali bersama 12 orang ahli parlimen PKR yang dibawa lari menyertai Bersatu akan mengisytiharkan pembentukan sebuah parti baharu? 

Monday, July 26, 2021

Jika parlimen tidak adil apakah tindakan pembangkang?

ULASAN PAGI

SEKEJAP lagi sidang khas parlimen akan berlangsung. Menurut aturan dalam mesyuarat hari ini, perdana menteri Mahiaddin Md Yassin akan membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN). Tidak dipasti apakah selepas pembentangan itu sidang dibuka untuk ahli parlimen membahas atau tidak?

Kalau mengikut daripada tafsiran pembangkang berpandukan kepada notis mesyuarat sebelum ini, pembentangan beberapa perkara oleh menteri dalam sidang khas selama lima hari itu hanya untuk penjelasan dan pengetahuan ahli parlimen sahaja tanpa boleh membahasnya.

Thursday, February 25, 2021

Parlimen tidak akan dibuka tetapi dibubar?

RESPON

Guan Eng, Mat Sabu dan Anwar
mengharap terus.
KESIHATAN demokrasi di negara ini seperti kebah sedikit setelah mengalami demam panas sejak proklamasi darurat 12 Januari lalu. Titah penjelasan oleh Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayutuddin Bilah Shah semalam dilihat usaha untuk mengebahkan demam demokrasi yang dibimbangi ramai sebelum ini.

Sebelum ini demokrasi Malaysia dan parlimen diterjemahkan sebagai sudah mati di negara ini apabila proklamasi diisytiharkan. Proklamasi itu dibuat tanpa hujah yang kemas dan melampau logikal menyebabkan ianya dilihat sebagai helah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin saja yang mahu menyelamatkan dirinya daripada dijatuhkan dalam parlimen.

Thursday, December 24, 2020

PERHATIAN

SUSUPAN PAGI

SAYA mempunyai alasan dan hujah sendiri kenapa dikatakan hanya empat buah parti sahaja yang relevan dan layak untuk dianggotai seterusnya disokong bagi menjadi tonggak kerajaan. 

Parti-parti itu ialah Umno, Pas, Keadilan dan DAP. Alasan saya hanya parti ini ada asas dan teras yang kukuh penubuhannya. 

Wednesday, June 15, 2016

Jual beras basah dan ikan busuk di Sungai Besar dan Kuala Kangsar

ULAS PRK

Dua pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar (SuberKuaka) yang kini sudah hampir ke kemuncak sepatutnya memberi makna dan signifiken penting khususnya kepada pembangkang. Kedua-dua pilihan raya itu adalah peluang terbaik untuk pembangkang menunjukkan keanggunan dan menyerlahkan potensi mereka bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 kelak.

Apa lagi kemenangan BN di kedua kerusi itu dengan majoriti kecil, dan ia pula berlaku dalam suasana Umno dalam bergolak dan presiden Umno yang juga Perdana Menteri sedang diserang bermati-matiannya, peluang pembangkang agak cerah. Dalam pilihan raya umum lalu, di kerusi Sungai Besar BN menang menerusi calonnya Noriah Kasnon hanya dengan majoriti 399 undi, menewaskan calon Pas.

Manakala di Kuala Kangsar pula calon BN, Wan Mohammad Khair-il menang dengan majoriti 1082 menewaskan calon Pas dan seorang calon Bebas, Kamilia Ibrahim yang juga bekas pimpinan tertinggi Wanita Umno. Kemenangan itu bolehlah dianggap tipis.

Thursday, March 19, 2015

Hudud: DAP, MCA jadikan garis selari kepada Pas dan Umno

RENUNGAN MALAM                                                            

Perlulusan (betulkah) Enakmen Jenayah Syariah II (1993) pindaan 2015 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini sudah dibayangkan akan menjadi isu kontroversi. Hudud akan didendangkan sekali lagi dengan penuh kemeriahan. Ada beberapa sebab kenapa ia akan jadi kontroversi dan panas. Pertamanya ialah kerana enekmen berkenaan mendapat sokongan seratus peratus daripada wakil-wakil BN-Umno di Kelantan.

Kesemua 12 wakil BN-Umno di Kelantan menyokong pindaan enakmen berkenaan. BN menyerahkan kepada Adun Kok Lanas, Md Alwi Che Amat (foto) untuk menjadi jurucakap atau membahas rang undang-undang berkenaan kemudian menyokong pindaan berkenaan.

Sunday, November 18, 2012

Jangan Polimekkan Isu Jawatan PM

ULASAN ISU                                                                                                                     

Pertanyaan spontan wakil Dewan Ulamak Hairun Nizam Mat Hussein semasa membahas ucapan dasar presiden di muktamar Pas pagi semalam yang berbunyi, siapa lebih baik untuk memimpin Malaysia di masa akan datang kalau bukan Tuan Guru Presiden", disambut kurang senang oleh sesetengah pihak di luar Pas. Pertanyaan spontan itu sudah tentu ia akan disambut dan dimamah oleh media massa PB dengan lazat dan berahi.

Abdul Hadi dan Anwar: menerima konsensus.
Bagaimana pun bagi saya pertanyaan atau pun pernyataan itu tidak perlu disambut dengan rasa terkejut. Memang tepat dan kena pada keadaannya pun, apa dinyatakan oleh ulamak muda Pas itu.

Sebagai presiden parti sewajarnya kalau ahli dan penyokong Pas mengharapkan Abdul Hadi menjadi perdana menteri dan tidak tokoh-tokoh lain. Apa lagi pandangan itu dilontarkan di dalam muktamar Pas, bukannya kongres Pakatan Rakyat. Ia juga bukan melanggar mana-mana peraturan atau terma perjanjian?

Mereka yang merasakan Anwar Ibrahim lebih kompitem sebagai perdana menteri tentu kurang senang dan tidak seronok dengan pernyataan itu. Pernyataan itu seperti mahu mencabar kedudukan Anwar. Tetapi janganlah melatah dan mula membuat tuduhan-tuduahan liar terhadap pernyataan wakil ulamak itu. Pernyataan itu perlu dianggap bersifat peribadi dan bukan satu konsensus dari muktamar untuk didebatkan. Pernyataan itu hanya dari seorang muktamarin saja dan tidak merupa resolusi dari mana-mana dewan.

Seperti saya nyatakan tadi sebagai ahli Pas wajarlah kalau mereka mengharapkan Abdul Hadi jadi perdana menteri. Bengong sangatlah seseorang ahli parti itu tiba-tiba mengangkat orang lain sedangkan parti mereka juga ada tokoh yang layak. Hatta kalau Pas hendak angkat Anwar sebagai perdana menteri sekalipun ia dianggap sebagai songsang. Jadi jangan cuba polimekkan pernyataan itu kerana ia boleh memberikan keadaan buruk.

Justeru orang PKR atau sesiapa saja yang telah menerima Anwar sebagai perdana menteri janganlah mengamuk dan terasa dengan pernyataan itu. Anggaplah ia satu lontaran jenaka dari ahli ulamak itu. Cuba tenang otak dan lihat dulu suasana cadangan itu dikemukakan. Rasionalkan dengan persoalan itu.

Saya kata ini kerana sudah ada dalam Fb yang mempertikaikan pandangan ahli Pas itu. Sudah ada di wall yang cuba menjadikan pandangan individu itu sebagai polimek. Kenapa cepat sangat melatah? Cepat sangat memberi reaksi. Dan kenapa suka sangat menarik sesuatu yang pendek menjadi panjang, dan melebarkan sesuatu yang leper sebesar buah beluru mahu dijadikan sebesar badang.

Sesuatu perkara perlu difaham oleh semua pihak, walaupun konsensus di antara Pakatan Rakyat bersetuju melantik Anwar menjadi perdana menteri walaupun ia bukan satu yang mutlak. Keperluan itu bergantung kepada fakta ataupun keperluan tertentu. Rasanya sama ada Abdul Hadi atau Anwar yang boleh dinobatkan sebagai PM ia akan dinilai sama oleh rakyat. Penilaian dan keperluan itu bukan dari sentimen parti masing-masing tetapi ketokohan.

Sesiapa pun tidak dapat menolak akan kesempurnaan Anwar untuk menjdi PM. Saya sendiri dalam buku terbaru menyebut Anwar "tanggung" menjadi Pedana Menteri berdasarkan kepada beberapa kelebihan dan sejarah yang dilaluinya. Rasanya Abdul Hadi sendiri tidak kecil hati dengan apa yang saya tulis kerana beliau sendiri menyedari hakikatnya.

Bagaimana pun hak dan kemahuan seseorang ahli agar ketua mereka menjadi pemimpin tertinggi tidak boleh dinafikan. Hak itu adalah hak mutlak dan satu tanggungjawab. Begitu juga kalau ada orang DAP yang mahukan Lim Kit Siang menjadi PM tidak siapa dapat menolak itu. Seharusnya sebagai orang DAP mereka mahukan pemimpin mereka memegang jawatan tertinggi itu.

Pendeknya semua orang boleh berangan-angan. Tidak menjadi masalah. Orang didalam parti Kita juga misalnya boleh berangan-angan untuk meletakkan presidennya sebagai perdana menteri. Orang dalam PPP juga boleh mengigau untuk melantik M Keyeas menjadi perdana menteri. Tetapi apa yang perlu disedari sebelum mengangkat ketua masing-masing menjadi PM, ia harus diukur baju ke badan sendiri.

Memang dari kapasiti  Pas layak untuk menuntut jawatan itu. Pas bukan parti baru. Berbanding dengan DAP dan PKR, Pas lebih tua. Begitu juga pengalaman mentadbir dan juga pengaruh. Kalau diukur dari pengalaman tersendiri, Pas memang berhak untuk mendapat jawatan tertinggi itu. Bagaimana pun ukuran untuk layak atau sesuai untuk jadi PM bukan semata-mata terletak disitu.

Ukuran atau realiti siapa yang berhak menjadi perdana menteri nanti, ia bergantung kepada beberapa faktor dan keperluan. Salah satu ialah bergantung kepada parti mana mendapat kerusi banyak dalam pilihan raya kelak. Walaupun konsessus sudah dibuat Anwar akan diangkat menjadi perdana menteri, tetapi kalau keputusan pilihan raya nanti Pas mendapat kerusi lebih dari PKR, adalah tepat kalau Abdul Hadi diangkat menjadi PM.

Adalah tidak logik kalau parti yang mendapat sedikit kerusi pemimpin mereka hendak diangkat menjadi perdana menteri. Tindakan itu tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana-mana dunia sekali pun kecualilah ada sebab-sebab yang sangat tidak dapat dielakkan atas persetujuan bersama.

Untuk menjadi PM bukan setakat berdasarkan kepada situasi dan faktor-faktor itu tetapi banyak lagi perkara yang perlu dinilai. Kemampuan Anwar menjadi mediator di antara Pas dengan DAP, adalah syarat utama meletakkan Anwar sebagai layak jadi PM. Realiti yang perlu difahami semua bahawa sekiranya tanpa ada kerjasama di antara ketiga-tiga parti itu sesiapa pun tidak akan dapat menjadi PM dari parti berkenaan. Dengan ilmu dan kredibiliti Anwar di dalam perkara inilah maka beliau perlu diberi pingat sebagai PM ke-7.

Sekali lagi ditegaskan apa diungkitkan oleh wakil ulamak itu tidak perlu diberi reaksi berlebih-lebihan. Anggaplah ia hanya satu ilusi dari seorang ahli yang sayangkan kepada pemimpinnya. Pihak PKR terutamanya orang yang merindui Anwar menjadi PM jangan terasa hati dengan gelagat ulamak itu. Semua pihak kena cool dan jangan cuba memberi atau membuat ulasan liar kepada media PB atau pun mengecerkan harapan itu di dalam blog dan facebook.

Ingat mulut media PB senantiasa terbuka dan perut mereka sentiasa kosong. Mereka akan melakukan apa saja untuk melaga-lagakan Pas dengan PKR dengan harapan kalau kedua parti ini berlaga ia akan berpecah, manakala perpecahan pula akan memberi kelabaan kepada parti dokongannya Umno.

Jangan bergaduh dan menjadi Mat Jenin dalam merebut jawatan PM ini kerana bimbang semuanya akan jatuh bercelabak di ubi nyiur. [.....9:46 am 17/11/12]