Monday, October 1, 2007

Jawab Pak Habib

Ketam Walaupun Berkaki Lapan Jalannya Tetap Mereng

MSO

MENJADI rutin sebelum dan selepas Subuh saya akan menerawang ke alam maya menerusi internet. Membaca berita dan bahan-bahan yang dipostingkan oleh rakan-rakan bloger. Dari satu laman ke satu laman dari satu blog ke satu blog. Biasanya saya akan berhenti selepas jam 8:00 apabila surat khbar dilemparkan Cina ke dalam pagar rumah.


Tadi tidak semena-mena terbuka blog, Norzah Kepol. Tenguk di sidebar ada gambar saya, dan gambar Syed Hussein Alattas (Pak Habib). Tiba-tiba tangan menjadi ringan untuk klik di tempat gambar Pak Habib!

Keinginan itu sebenarnya didesak apabila mengingatkan kata-kata Kamal Amir Kamal Hijar malam kelmarin ketika minum tea tarik di Taman Seri Gombak. “Oh bukan main lagi Pak Habib puji Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) sampai makan ubi kayu,” kira-kira begitulah kata Kamal dengan maknanya tersendiri tanpa saya mempedulikan sangat. Nada dan mimik muka Kamal Amir seolah dia merasa anih dengan sikap Pak Habib itu. Sebenarnya saya tidak gemar kalau ada orang cuba memburuk dan mempertikaikan Pak Habib.

Saya tidak jawab atau ulas sebab saya cukup kenal akan sikap Pak Habib sebagai penulis yang sangat mengamalkan etika freedom of the press.

Cerita khinzir

Bila blognya dibuka, terbacalah satu tulisannya di bawah tajuk : Antara Yang benar dan Separuh Benar Stop Press. Tajuk itu mengusik naluri untuk membacanya. Tajuk tidak akan memberi gambaran dan kesimpulan tepat apa yang terkandung di dalamnya. Kadang kala tajuk mengenai hal lembu tetapi di dalamnya cerita khinzir, begitulah selalu berlaku dalam tulisan atau buku Pak Habib! Jadi suka tidak suka kena baca.

Di bawah tajuk itu tertera gambar Pak Habib sedang menghadapi juadah bersama Perdana Menteri, Abdulah Ahmad Badawi. Kurang pasti pula siapa di sebelah kanannya! Gambar itu saya percaya diambil pada majlis berbuka puasa Media dengan PM.

Cerita dalam tulisan itu bertabur dan bukan hal PM saja. Gambar yang di insertkan itu tidak ada kena mengena dengan keseluruhan tulisan itu. Foto itu cuma nak buktikan (tunjuk) yang Pak Habib sedang makan semeja dengan Perdana Menteri. Jarang penulis berpeluang seperti itu!

Saya tidak akan memberi reaksi kepada tulisan Pak Habib ini, kalau di dalamnya tidak ada nama saya dan hal-hal bersangkutan dengan saya. Nama saya sering disebut oleh Pak Habib di dalam buku-bukunya. Ada tujuannya untuk menguatkan hujahnya dan ada pula dijadikan sandaran sehinggakan boleh menjejaksan nama baik saya.

Misalnya pernah di dalam sebuah bukunya (1980-an) disebut dan dikaitkan nama saya dengan sebuah institusi agama yang menyebabkan institusi berkenaan memandang serong dan kakitangannya marah kepada saya. Walahal apa yang dicatat oleh Pak Habib itu tidak pernah berlaku.

Begitu juga Pak Habib acap menuduh sayalah yang memberi nama Mahafiraun kepada Mahathir Mohamad. Beliau tidak teliti. Kalau beliau teliti dan cerah mata, Mahafiraun itu diakui sendiri oleh Mahathir. Apa yang berlaku saya hanya mengulangi apa yang Mahathir sendiri sebut.

Begitulah kita ini kerana kurang berani kita sering menggunakan kayu atau batu untuk memukul ular bagi melindungi diri.

Sebelum ini saya tidak kisah walaupun banyak kali Pak Habib menyebut dan eksploitasikan nama saya. Sebab saya tahu, ikan keli yang tahu menggunakan sengatnya, dan ikan sepat yang tidak tahu menggunakan janggutnya!

Kecenderungan

Kerana tulisan di dalam blognya itu kali ini nampak kecederungan untuk menghentam saya (bukan kritik) maka saya mengambil kesempatan pada hari ke 19 Ramadan ini untuk berpolimek, menjawab beberapa fakta yang beliau timbulkan dalam buku bekenaan dan boleh mengeliru dan menjejaskan saya sebagai penulis.

Bila menjawab tentulah, hal-hal yang remeh juga akan turut dijawab sama. Kalau hendakkan madu lebah pastikan sedikit sebanyak akan terkena sengatnya! Kalau sudah bertumbuk, kalau tidak patah, pastilah ada yang luka dan bengkaknya.

Pertama, mengenai saya tidak duduk di meja media massa kerana saya dijemput khas oleh Khalid Nordin dan kerana saya ada surat khabar sendiri. Tuduhan itu tidak betul. Apa yang saya ucapkan malam itu sebenarnya gurauan saja, apabila Pak Habib tanya kenapa tidak duduk di meja itu. Tetapi sayang Pak Habib tidak memahami erti dan bahasa gurau. Biasalah bila manusia dalam tension ia akan membuat tafsiran yang salah. Tidak ada maksud saya nak membesarkan diri dan meminggirkan diri daripada wartawan, lagipun di meja itu sudah penuh.

Yang jemput saya bukan Khalid Nordin, tetapi Rosli Mat Hassan, Pengerusi YPM. Jadi bila saya tidak dijemput sebagai wartawan, saya tidak akan duduk di meja wartawan. Macam Pak Habib juga kalau dijemput atas nama jawatankuasa Penerangan Umno, tentu Pak Habib akan duduk di meja Ketua Penerangan Umno!

Jadi telahan dan (gurauan yang boleh menjejaskan itu) tidak betul. Lain kali cubalah menulis dengan berlandaskan sifat investigatif sikit. Jangan pakai mudah dan mengira orang tidak ambil kisah dan segala sampah sarap perlu dimasukan dalam bakul bernama penulisan.

Selalunya kita akan dihadap ke mahkamah bukan kerana fakta yang besar, tetapi kerana kekhilafan yang kecil. Dan mahkamah pula melepaskan orang dituduh bukan kerana fakta tetapi kerana teknik. Kerana silap titik (.) sebutir pun kita boleh kena. Dan selalunya juga mata kita menjadi terang sehingga nampak kuman di sebarang tetapi tidak nampak gajah di depan mata.

Kedua, mengenai cerita Ahmad Zahid Hamidi yang pukul duda yang mengorat (melarikan) anaknya. Bila Pak Habib sebut fasal Siasah maka ertinya sebut sayalah tu. Dalam hal ini saya percaya Pak Habib tidak mengetahui kesemua cerita dan hanya mengetahui dari satu pihak saja. Kalau beliau menuduh saya (Siasah) tidak mendapat berita sepenuhnya berhubung cerita Zahid itu saya kira Pak Habib juga macam saya.

Tak elok kalau ketam hendak mengajar ketam!

Kebodohan manusia itu akan menyempurnakan manusia. Kelalaian manusia itu menyebabkan akhirnya manusia itu ingat dan mengenal. Dan bagaimana gerak dan lagaknya maka begitulah rupa diri manusia. Bagaimana tahi begitulah ususnya. Kata orang ular ekor itu hampir serupa dengan kepalanya.

Ada beberapa tuduhan dan maklumat mengenai kejadian melibatkan Zahid itu tidak diketahui sejelasnya oleh Pak Habib. Beliau tidak boleh mengira Zahid akan jujur dan sanggup menunjukkan kemaluan kepadanya. Jangan harap kejujuran dan keikhlasan daripada orang lain kerana kita sendiri kadang-kadang tidak jujur dan ikhlas pada diri sendiri.

Bila kita sudah terlalu rapat apa lagi boleh masuk ke dapur rumah seseorang, kita jangan buat-buat tidak nampak kesalahan dan ketidaksempurnaannya lagi. Umpama diri kita sendiri, sebijak mana kita, kita tidak tahu membaca berapa biji tahi lalat di tubuh kita tanpa cermin.
Maknanya orang lain perlu mencermin dan menjelaskan kepada kita.

Menggemparkan

Pak Habib baik dengan Zahid. Saya juga bukan tidak kenal dengan timbalan menteri penerangan itu, kenal. Saya rasa saya juga berhak untuk mengatakan saya baik, bahkan ada cerita menggemparkan mengenai Zahid yang saya simpan sampai kini. Cerita ini menggambarkan akan baiknya saya dengan Zahid.

Namun saya jenis orang yang bukan boleh buat baik, kerana saya akan ‘makan’ orang yang baik kalau dia sudah tidak baik. Saya tidak boleh kompromi dengan kejahatan tidak kira sapa. Kebenaran tidak boleh ditukar dengan ringgit! Dan saya tidak pernah bergantung nyawa dengan orang politik.

Kalau saya boleh ‘bergaduh’ dengan Husam Musa, orang yang saya kira paling saya hormati dan baik dengannya di era tahun 2000 ini, apalah dengan orang seperti Zahid.

Tetapi kerana orang baik sudah tidak baik lagi, maka kita kena bersikap seperti mana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang dipetik Pak Habib itu;

"Katakan yang benar sekalipun pahit." Dan "Seandainya puteri kesayanganku Fatimah Az-Zaharah didapati salah mencuri akan ku potong tangannya."


Pada saya dalam kes duda bernama Amir Bazli ini, Zahid sudah melakukan kesalahan. Benar manusia ada amarah tidak kira siapa. Tetapi persoalan apakan orang seperti Zahid harus menyelesaikan kes itu dengan cara itu, tumbuk sampai penyek muka? Di manakah kesopanan dan kemuliaan Zahid Putra Kraton seperti kata Pak Habib itu dalam melayani rakyat marhaen?
Putra Kraton tidak bertindak begitu dia akan berhemah dan senantiasa menghormati hak orang lain.

Tentu semasa berjumpa dengan Zahid, Zahid akan mencerita kebaikannya saja dan memburukkan Amir Bazli. Apakah Pak Habib sebagai penulis hebat dan senantiasa bersikap adil sudah berusaha untuk berjumpa dengan Amir Bazli bagi mengetahui cerita sebenarnya. Hakim yang menerima bukti sebelah pihak tidak ubah seperti hakim beruk!

Tentang menuduh laporan Siasah separuh masak (half-true) dan menimbulkan fitnah, saya rasa saya sudah cukup adil dalam membuat laporan (sebenarnya bukan saya lapor, tapi kerana Siasah saya punya saya bertanggungjawab). Jadi tidak timbul saya hendak memfitnahkan Raden Zahid.

Kalau saya ditempat Pak Habib saya akan tulis lebih daripada itu. Saya akan menyiarkan gambar-gambar yang boleh menjejaskan Zahid dan sangat buruk etikanya. Namun kerana saya hanya berkawan dan tidak pernah terpengaruh dengan gaya penulisan, pemikiran dan budaya Pak Habib saya tidak tergamak lakukan.

Untuk pengetahuan Pak Habib tiga bulan sebelum isu itu meletus, saya sudah pun cuba menghubungi Zahid menerusi beberapa pihak untuk mengetahui kedudukan sebenarnya dan menyelesaikan cara baik. Ini termasuk juga manusia bernama Sheikh Hussein itu. Namun semua usaha itu gagal dan Zahid telah mendabit dada tidak kisah apa yang akan berlaku. Seolah isu itu tidak akan menjejaskannya.

Alih-alih selepas isu itu meletup barulah Sheikh Hussein beriya untuk temukan saya dengan Zahid bagi mendapat penjelasan. Untuk apa? Ia sudah terlewat! Tidak ada gunanya penjelasan dan pertemuan selepas isu itu terbongkar. Nampak sangat cara Sheikh Hussein hendak temukan saya itu menunjukkan Zahid dalam keadaan terdesak dan beliausendiri hendak berbudi dengan Zahid.

Ia rekaan

Cerita Zahid kononnya Amir Bazli menggunakan ilmu hitam dan sebagainya ia adalah tahyul. Saya percaya ia rekaan saja. Dan kalau ada, dan Zahid serta Pak habib memprcayaianya ia sesautu yang anih. Apakah benda tahyul, karut marut dan syirik itu masih menjadi kepercayaan orang-orang bersifat AhliLah (hakikat) seperti Pak Habib dan seorang agamawan seperti Zahid?

Seorang yang sudah sampai kemaqam “hakikat” dan “marifat” dia tidak akan mempercayai kepada mana-mana kuasa ciptaan manusia lagi. Soal-soal syirik, tahyul, kufur dan segala macam sifat mazmumah sudah tidak ada lagi pada hati mereka. Orang hakikat hanya berpegang kepada Allah semata-mata. Lahualawakuwabilahiazamim!

Bukan main lagi dalam buku-buku Pak Habib penuh dengan istilah kerohanian dan tasauf. Seolah penulis sudah masuk ke dalam ketujuh-tujuh maqam nasfu itu. Namun kalau hal-hal duniawi itu masih lagi dipercaya dan diambil kira maka kesufian Pak Habib itulah boleh diragui!

Saya sarangkan supaya adil, Pak Habib berjumpa dan berbicara sendiri dengan Amir Bazli. Dapatkan cerita darinya dan bandingkan dengan apa yang Zahid ceritakan. Kalau tidak Pak Habib juga akan bersifat seperti ketam. Kaki lapan tetapi jalan tetap mereng!

Apapun saya ucapkan terima kasih kepada Pak Habib kerana mengajar akhbar nyamuk saya (Siasah) agar bertanggungjawab dan mebuat berita yang benar.

Bagaimana pun ingin saya katakan kepada Pak Habib kaedah atau teori kewartawanan seperti mana yang disebut itu; where?, when?, why?, whom?, how? Di mana? Bila? Mengapa? Siapa? Bagaimana? – saya rasa saya juga sudah belajar dan memahaminya sedikit sebanyak!

Apapun terima kasih Pak Habib kerana mengingatkan saya. Orang tua umpama kelapa, makin tua makin bersantan, tetapi iangatlah santan kalau tidak disimpan di tempat elok ia akan basi dan hanya layak di curah ke dalam longkang saja. “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beramal dengan penuh kebenaran dan berpesan (berdakwah) dengan penuh kesabaran.” [wm.kl 7:42 01/010/07]


Saturday, September 29, 2007

Eksklusif

Awas jangan sampai terbeli daging lembu berpenyakit!

MSO

ORANG ramai yang gemar membeli dan mendapatkan daging lembu beku di pasaraya-pasaraya terkemuka di sekitar Kuala Lumpur ataupun di pasar terbuka di Chow Kit Road perlu berhati-hati semasa mendapatkan daging berkenaan khususnya untuk persiapan menjelang Hari Raya akan tiba tidak lama lagi.

Ini kerana terdapat kira-kita 43 ekor lembu yang disyaki menghidap penyakit Kuku dan Mulut (FMD) pada masa ini dikurung di Pusat Penyembelihan Halal milik Pembangunan Kemajuan Pertanian Selangor, (PKPS) anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang terletak di Batang Berjuntai, Selangor.














Lembu-lembu berkenaan dikatakan kepunyaan pembekal lembu berpengkalan di Kampung Baru, Kuala Lumpur di bawa dari Kuala Kubu Baru ke pusat berkenaan untuk diproses di pusat penyembelihan berkenaan sejak Selasa lalu.

Bagaimana pun pihak pengendali pusat berkenaan dikatakan enggan memperoses lembu-lembu berkenaan kerana ia disyaki menghidap penyakit kuku dan mulut (FMD).

Adalah dipercayai sekiranya lembu-lembu itu diproses dagingnya akan dipasar di sekitar Kuala Lumpur termasuk di pasar terbuka di Chow Kit Road.

Apa yang menghairankan bagaimana lembu-lembu berkenaan boleh dibawa untuk disembelihkan di pusat berkenaan sekiranya ia benar-benar berpenyakit?

Menurut peraturan biasa, lembu-lembu yang menghidap penyakit berkenaan (FMD) bukan saja tidak digalakkan untuk disembelih, tetapi ia juga tidak dibenarkan dipindah ke tempat lain kerana ia boleh menjangkiti binatang lain seperti kambing, biri-biri, babi dan sebagainya.

Mana-mana ternakan yang berada kurang dari 10 km dari haiwan yang dihidapi penyakit berkenaan berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Persoalannya, apakah perpindahan binatang itu mendapat kebenaran pihak Jabatan Haiwan dan pihak-pihak berkuasa lain di Selangor?

Dipecayai daging-daging lembu berkenana akan di pasar di sekitar pasar terbuka di Chow Kit Road dan juga di pasaraya-pasaraya besar di Kual Lumpur dan Selangor. Harganya lebih murah antara RM2 hingga RM3 sekilo berbanding dengan harga biasa.

Dalam siasatan ke pusat berkenana pagi semalam (Jumaat 28/09/07 jam 11:45 pagi) didapati lembu-lembu itu masih dikurung di tempat khas menanti masa saja untuk diperoseskan.

Kandang itu kini dijaga oleh dua orang pekerja yang dipercayai berbangsa Indonesia berpandukan kepada telor percakapnnya.

Menurut salah seorang pekerja itu, lembu itu tiba di situ sejak Selasa lalu dan mulanya dijangka akan diproses (disembelih) secepat mungkin.

“Mulanya nak disembelih hari itu juga, tetapi tidak jadi,” jelas pekerja itu. Menurutnya lembu-lembu itu telah dihidapi penyakit kuku dan mulut.

Sementara itu kehadiran lembu-lembu misteri itu membimbangkan pihak penjaga ladang kambing yang bersebelahan dengan pusat penyembelihan itu.

Zohari Kassin, 36 yang bertanggungjawab menjaga dan mengawal kandang kambing berkenaan risau dengan kehadiran lembu-lembu itu. “Sekarang saya cukup risau nanti kambing-kambing ini pula akan dijangkiti penyakit yang dibawa oleh lembu-lembu itu,” ujarnya.

Menurutnya risiko kambing akan dijangkiti adalah besar kerana jarak kandang kambing dengan pusat di mana lembu itu ditempatkan tidak sampai 200 meter, lagipun musim ini musim kering di mana angin boleh membawa virus penyakit berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu beliau juga mendapat tahu pihak tertentu di Shah Alam, (mungkin Jabatan Haiwan) telah mengarahkan agar lembu-lembu itu dimusanhkan. Katanya berpandukan kepada ‘arahan’ itu jelas menunjukkan lembu-lembu itu ada masalah.

Ditanya siapakah pemilik lembu-lembu berkenaan, beliau tiadak tahu, cuma beliau difahamkan ia adalah milik seorang pembekal lembu di Kuala Lumpur. Selama empat hari lembu-lembu disimpan di situ tidak kelihatan pemimiliknya yang datang menjenguk. [btg. berjuntai 11:15 28/07/09]

Friday, September 28, 2007

Lapor Terus

Mini Demo di Perkarangan Masjid Negara Kurang Sambutan

SEBAIK selesai solat fardu Jumaat tadi kira-kira 300 jemaah telah mengadakan tunjuk perasaan mendesak agar sistem kehakiman negara yang tercalar teruk ketika ini dipulihkan.

Mini demo itu dipimpin oleh beberapa pemimpin Pas dan PKR termasuk Bendahari Agung Pas, Dr Mohd Hatta Ramli, (foto bawah) Ketua Pemuda, Sallahuddin Ayub, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin. Mereka turut memberi ucapan ringkas dan sepakat mendesak supaya badan kehakiman dipulihkan.














Sambil melaung-laungkan agar badan kehakiman dipulihkan penujuk perasaan juga turut sama memegang poster yang berbunyi "Selamatkan Sistem Kehakiman".

Turut sama dipamirkan ialah sebidang sepanduk yang mendesak agar Ketua Hakim Negara dipecat!







Mini tunjuk perasaan itu diadakan ekoran pendedahan klip video percakapan seorang peguam yang dikatakan dengan Ketua Hakim Negara ketika itu memegang jawatan Hakim Besar Malaya yang mengatur perlantikan hakim.

Klip video berkenaan didedahkan oleh Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim minggu lepas.
Tunjuk perasaan di perkarangan masjid itu gagal menarik minat para jemaah lain memandangkan bulan Ramadhan. Lagipun Rabu lalu sudah berlangsung perarakan raksasa oleh kira-kira 3,000 peguam di Putrajaya yang mendesak perkara sama.

"Mungkin orang letih bulan puasa ni," komen seoran jemaah yang kelihatan kurang bersemangat. Lagipun tambah beliau, baru dua hari lepas berlangsung perarakan di Putrajaya mungkin orang masih seronok mengingatkan perarakan berkenaan.

Bagaimana pun menurut seorang jemaah lain yang turut sama memegang poster berbunyi "Selamatkan Sistem Kehakiman" berpendapat kalau pemimpin tertinggi Pas semua turun mungkin bilangan ramai.

"Lain kali kalau Pas nak buat tunjuk perasaan pastikan pemimpin tertinggi Pas, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden serta Naib-Naib Presiden ikut sama, barulah meriah," katanya lagi.


(Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat isa ketika ini sedang dirawat di hospital kerana jangkitan kuman di paru-paru sejak seminggu lalu).

Beliau juga kesal kerana pemimpin tertinggi Pas jarang ikut mengambil bahagian dalam siri-siri tunjuk perasaan dan ianya sering dikemudikan oleh orang yang sama. Setengah pemimpin Pas hanya sanggup hadir pada majlis-majlis terpilih saja terutama yang kurang risiko!

"Apa mereka takut ditangkap ke?" tanya beliau dengan nada seloroh.

Beberapa orang anggota polis yang kelihatan berkeliaran di laman masjid sebelum Jumaat kemudian menghilang diri selepas mendapati tunjuk perasaan berkenaan kurang mendapat sambutan. [s alam 4:58 28/09/07]

Wednesday, September 26, 2007

Lapor Terus

Perarakan Menuntut Keadilan di Putrajaya!

MSO

BERJAYA dan selamat! Itulah yang boleh disimpulkan perarakan menuntut Keadilan dan Membersihkan Badan Kehakiman di Putarajaya yang bermula di Istana Keadilan ke Pejabat Perdana Menteri pagi ini yang berlangsung dalam suasana penuh bersemangat dan komited.

Berjaya kerana perarakan itu dikira yang terbesar diadakan sejak Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri yang melibatkan golongan profesional, khsusnya para peguam. Perarakan yang juga dinamakan, "Berjalan Sambil Menuntut Keadilan" itu, dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia.


Kira-kira lebih 3,000 menyertai perarakan itu yang sebahagian besarnya disertai oleh para peguam. Dengan mengenakan pakaian rasmi peguam; kot hitam bagi lelaki dan skirt hitam bagi perempuan serta setengah melilitkan kain putih di lengan kiri tanda "berdukacita', mereka berarak bagaikan ribuan gagak lahap penuh semangat sambil meneriakan laungan; "Kami Mahu Keadilan.. Kami Mahu Keadilan ... Kami Mahu Keadilan," bersahut-sahutan.

Berpadu laungan

Apa yang membuat bulu roma tegak berdiri ialah suara dan tuntutan itu berpadu dilaungkan anggota rombongan tanpa mengira bangsa dan warna kulit.


Sambil berjalan berbagai kain rentang juga dipamirkan menyuarakan tuntutan mereka, antaranya berbunyi "Rakyat Hakim Negara," "Judiciary has gone to the dogs" Judiciary has gone to the drain", "Selamatkah Kehakiman" dan lain-lain.

Sementara kereta yang lalu lalang di sepanjang jalan di Putrajaya masing-masing membunyikan hon sebagai tanda sokongan dam protes mereka terhadap apa yang menimpa badan kehakiman kini.


Perarakan 14 Ramadhan 1428 itu juga turut disertai sama oleh beberapa pemimpin parti politik pembangkang seperti PKR, Pas dan DAP. Antara pemimpin politik yang kelihatan Mohd Azmin Ali, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Angkatan Muda, Tian Chua, Ketua Penerangan PKR, Dr Mohd Hatta Ramli, Bendahari Agung Pas dan lain-lain.

Perarakan dan ilham tuntutan Majlis Peguam itu adalah ekoran daripada pendedahan klip video mengenai salah laku seorang peguam yang cuba mengaturkan badan kehakiman negara yang didedahkan oleh Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim minggu lalu.

Perarakan itu sepatutnya bermula pada jam 11: 00 pagi di mana rombongan diminta berhimpun di hadapan Istana Keadilan (Palace of Justic). Bagaimana pun ia terlewat kira-kira satu jam setengah kerana sebahagian rombongan lambat tiba disebabkan disekat oleh pihak polis.

Rombongan yang menaiki lima buah bas itu sampai di Putrajaya jam 10: 40 ditahan daripada memasuki jalan menuju ke Pejabat Perdana Menteri, dan semua mereka yang menaiki bas itu diminta berjalan untuk menuju ke Istana Keadilan sejauh lebih tujuh kilomter.

Aman dan tertib

Disebabkan menanti rombongan kedua inilah, perarakan menuju ke Pejabat Perdana Menteri tertangguh selama lebih satu jam dan perarakan baru bermula pada kira-kira jam 11:55 pagi.

Sepanjang perarakan itu walaupun ia dikawal rapi oleh ratusan polis berpakaian seragam dan awam ia berjalan dengan aman dan tertib. Sambil berjalan berami-ramai dalam keadaan santai menuju ke Pejabat Perdana Menteri, jeritan menuntut keadilan terus bergema sesekali latang dan meremangkan bulu roma.

Pasukan polis khabarnya dikerah sejak dari pagi-pagi lagi bagi menjamin perarakan itu berjalan lancar dan tidak menimbulkan sebarang masalah. Setiap ruang, simpang jalan dan jalan utama menuju ke Putrajaya diadakan sekatan jalan raya.

Walaupun di Pejabat Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi tidak ada namun ia dikawal rapi dari segenap penjuru. Waktu ini Abdullah bersama isteri sedang berada di Eropah dalam rangka menghadiri Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Sekurang-kurangnya lima buah trak yang membawa water cannon dan lima buah landrover yang membawa anggota FRU mengiringi perarakan dengan berada di sebelah jalan.

Kira-kira 200 meter daripada bulatan berhadapan masjid Putarajaya dan Pejabat Perdana Menteri, polis cuba untuk menghalang perarakan, bagimana pun tiba-tiba mereka berundur dan mengambil tempat dikira strategik, betul-betul di hadapan pejabat Perdana Menteri.

Rombongan perarakan sampai di bulatan kira-kira jam 12:45 tengah hari dan mereka beramai-ramai berhimpun secara aman di situ sementara menanti penyerahan memorandum yang dilakukan oleh Pengerusi Majlis Peguam, Abiga Sreenevasan, Naib Pengerusi Ragunath Kasevan dan dua yang lain.

Sementara menanti penyerahan memorandum selesai, tiba-tiba hujan turun namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat anggota rombongan dan orang ramai. Mereka tetap berdiri tanpa menghirukan hujan dan membiarkan baju seluar basah kuyup. Setengahnya ada berlindung di masjid.
Tanpa semburan


Sebuah helikeptor juga kelihatan berlega-lega di ruang udara memantau keadaan.

Kira-kira jam 1:30 petang Ambiga dan rombongan kelihatan keluar dari perkarangan bangunan pejabat Perdana Menteri untuk bersama rombongan perarakan yang sedang menanti di bulatan hadapan masjid.

Perarakan bersurai jam 2:15 petang dengan selamat dan jaya, tanpa semburan water cannon, pukul memukul dan menumpahkan darah. Namun natijah daripada perarakan sekejap tadi sewajarnya dipadang berat oleh Perdana Menteri kerana ia mempamirkan suatu mesej yang sangat jelas mengenai protes terhadap kredibilitinya! [putrajaya. 3:45 pm 26/09/07]

Tuesday, September 25, 2007

Pendedahan

Laporan Skandal Air Kelantan dan Penyelewengan MDM Beredar!

MSO

Awas! Sebuah dokumen berupa laporan mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa dalam syarikat Air Kelantan Sdn Berhad (AKSB) sedang beredar di Kelantan. Laporan yang mengandungi lebih 100 muka surat dan bersaiz A4 berbentuk fotostet itu telah mengalir dari tangan ke tangan dan disebarkan oleh orang tertentu.

Laporan itu dijangka akan diedar secara meluas di Kelantan menjelang pilihan raya umum akan datang.
Penulis (MSO) telah menerima laporan berkenaan yang dihantar menerusi pos ke rumah kelmarin. Cap setem pada sampul menunjukkan ianya diposkan di Kuala Krai, Kelantan. Bagaimana pun tidak ada nama yang dicatat sebagai pengirim.

Catatan interviu

Laporan itu yang dikompal dengan beberapa isu terkini di Kelantan pada masa ini seperti dakwaan berlaku rasuah dalam Majlis Daerah Machang (MDM), turut sama disertakan beberapa catatan interviu dengan kakitangan AKSB dan juga ahli MDM.

Antara lain laporan itu menyebut dan mendedahkan mengenai masalah yang dihadapi oleh AKSB sekarang ini dan juga tindak tanduk Pengarah Urusannya, Fauzi Abdullah yang dikatakan bersikap kasar dengan kakitangan sehinggakan banyak kakitangan Air Kelantan berhenti.

Paling membimbangkan laporan itu juga mendakwa telah berlaku penyalahgunaan kuasa oleh Fauzi. Beliau didakwa telah menggunakan kedudukannya sebagai Pengarah Urusan (CEO) Air Kelantan untuk membantu aktiviti politik kalangan tertentu di Kelantan termasuk seorang Exco Kelantan yang juga sahabat baiknya.

Beliau didakwa telah mengarahkan kerja-kerja untuk menaikan taraf air dan juga membina kemudahan asas di kawasan Exco berkenaan di mana arahan itu dikira tidak di bawah bidang kuasanya. Beliau juga didakwa telah mengeluarkan wang syarikat berkenaan untuk tujuan politik kepada orang tertentu sedang tindakan itu diluar bidang kuasanya.

Laporan berhubung penyelewengan Air Kelantan itu (foto) lengkap dan munsabah kerana ianya disiapkan oleh mereka yang benar-benar tahu dan pakar berhubung bidang berkenaan. Laporan itu disamping cuba menjatuhkan Fauzi Abdullah ia juga mengemukakan pelan untuk menyelamat dan mebaikpulihkan pentadbiran dan pengurusan air yang dilakukan oleh Air Kelantan yang dianggap sebagai lemah dan tidak efektif.

Dua panggilan

Paling memeranjatkan salinan bil telefon yang didakwa kepunyaan syarikat Air Kelantan betarikh 1 Disember 2006 yang turut dikempilkan dalam laporan itu. Bil itu menunjukkan ada dua panggilan daripada syarikat berkenaan kepada nombor telefon tangan Pengerusi Umno Kelantan, Annuar Musa.

Panggilan pertama dibuat pada jam 09:16:09 pagi dan panggilan kedua pada pada jam 10:24:02 minit ke nombor itu dan percakapan selama 01:24 saat yang bertarikh 1 November 2006. Panggilan pertama tidak dicatat masa percakapan.

Sementara itu berhubung dengan penyelewengan di MDM, laporan itu menyebut mengenai penglibatan tiga orang wakil rakyat menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan manfaat daripada projek rumah kedai di Machang.

Satu laporan polis juga yang dibuat oleh bekas ahli majlis daerah berkenaan turut sama dikempilkan dalam laporan itu. Turut sama dikempilkan ialah beberapa helai risalah (berupa surat layang) yang mendedahkan mengenai penyelewengan itu yang dikaitkan dengan dua orang wakil rakyat.

Melihata kepada bentuk laporan berkenaan ia semacam disediakan oleh orang dalam, baik di syarikat Air Kelantan atau pun MDM. Orang tertentu telah memberi kerjasama baik dalam menyediakan laporan berkenaan dengan memberi maklumat dan sedia diinterviu.

Besar kemungkinan penyediaan laporan berkenaan disediakan ataupun dijual kepada pihak Umno Kelantan yang pada masa ini sedang berusaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaupun ada beberapa fakta didalam laporan berkenaan lebih bersifat fitnah dan ingin menyusahkan orang tertentu namun sedikit sebanyak ia boleh memberi gambaran buruk kepada kredibiliti dan intergriti orang berkenaan!

Adalah diharap mereka yang terlibat seperti mana dakwaan laporan berkenaan perlu tampil memberi penjelasan untuk tidak mengelirukan orang ramai. [wm.kl 10:40 25/09/07]


Monday, September 24, 2007

Catatan Dihari

Kalau kematian boleh dipilih!
(Tanpa prejudis).


MSO
KEMATIAN sesuatu takdir sahih yang terpaksa dihadapi oleh semua yang bernyawa. Ku linnafsin zaiktimaut – “Setiap yang hidup itu pasti akan mati”. Sesiapa pun antara kita akn mati bila sampai waktu dan ajalnya. Tidak boleh dipercepatkan sesaat ataupun diperlambatkan sesaat jua.



Tidak boleh lari. Melarikan diri daripada ajal samalah melarikan diri daripada bebayang kita sendiri. Makin kuat kita berlari, makin kuat pula bebayangan itu mengekori kita. Demikian juga maut ia semacam mengejar-ngar kita.

Cuma apa yang kita impikan ialah bentuk, cara tempat kematian. Kita mahu mati dalam keadaan sempurna. Kata P Ramlee, mati dalam iman! Itulah kematian yang kamil, sempurna dan didambakan. Kematian dalam iman, kematian paling tenang.

Tenang kepada roh si mati dan tenang juga kepada roh yang masih hidup, sanak saudara, dan kaum keluarga. Kematian demikian tidak meninggalkan kesan dan truama menakutkan.

Tiap kita merindui dan mengharapkan itu. Melainkan mereka yang menolak adanya hari kemudian, hisab atau yaumi masyhsar. Mereka ini tidak kisah kepada kematian. Bagi mereka kematian samalah matinya seekor kura-kura ataupun binatang berjanggut.

Syiar Islam

Bukan itu sahaja, kematian itu juga diharapkan akan diinsafi oleh semua orang. Kematian kita kelak diziarahi dan disempurnakan jenazah kita dalam keadaan yang baik dan penuh dengan syiar-syiar Islam dan penghormatan mengikut tradisi.

Menjadi lambang dan kepercayaan, jenazah yang dikunjungi dan disembahyangi oleh ribuan orang akan mendapat banyak sufaat. Penerbangan roh si mati juga akan lancar dan laju untuk menuju ke makam-makam yang telah ditentukan. Bersemadi buat sementara dibangkitkan semula dengan jasad yang kekal abadi.

Berbicara soal kematian ini kita masih lagi terhimbau kepada tragedi menimpa Nurin Jazlin Jaziman, 8, minggu lalu. Demikian Tuhan telah tetapkan kematiannya sungguh seksa dan menyayak hati!

Dalam perkiraan dan hisab manusia, apabila seseorang itu dibunuh, maka seksalah kematiannya. Mangsa akan berhadapan dengan suasana yang nazab dan azab untuk melepaskan roh dari jasadnya. Begitulah perkiraan akli sedangkan hakikat sebenarnya Khaliq juga yang maha mengetahui.

Manalah kita tahu, kepedihan tikaman atau pukulan itu tidak dirasai sedikitpun oleh roh yang kudus. Penyeksaan itu sedikit pun tidak sampai ke roh mangsa berkenaan. Segalanya dilindungi sesuai dengan kesucian diri dan iman seseorang itu.

Nurin Jazalin dalam uisa lapan tahun masih suci. Dia baru dilahirkan ke atas dunia ini. Noda-noda duniawai masih belum tercula ke muka dan wajahnya. Tanganya masih suci, kakinya masih jauh terpijak atau terjejak denai-denoa noda dan dosa.

Para malaikat

Lidah dan mulutnya masih suci. Telinga dan hidungnya masih suci. Dalam usia sementaha itu dia masih dibungkus sejuta bunga-bunga dari taman syurgawi oleh ribuan para malaikat yang mentasbehkan untuk kedamaian dan kesyahduan alamnya.

Nurin Jazlin masih belum kenal politik wang, tumbuk rusuk, skandal, manipulasi, konspirasi, spekulasi, caci mencaci, tipu helah dan sebagainya.

Lantaran itulah, pada hari jenazahnya disembahyangkan dan sewaktu dibawa ke kuburan ribuan manusia datang menziarahinya. Semuanya datang memberi penghormatan terakhir dan menyatakan simpati dan dukacita mendalam kepada segenap familinya atas nasib yang diterimanya.

Belum pernah berlaku dalam sejarah perkuburan Taman Ibu Kota Setapak tempat di mana jasad Nurin disemadikan ribuan manusia hadir. Sepanjang jalan kira kanan dan hingga ke perumahan, dipenuhi kereta. Mereka yang hadir pula dari segenap lapisan usia, orang tua hinggalah kanak-kanak.


Apakah suasana itu menggambarkan kehebatan Nurin di saat dia dipulangkan kepada Allah? Ya, begitulah. Dia dimuliakan kerana kehendak Allah dan kerana hakikat dirinya yang mulia. Bukan senang untuk memanggil orang ramai hadir bersembahyang dan menumpahkan simpati. Dalam sesetengah orang terpaksa mengupah orang menyembahyangkan jenazah, tetapi bagi Nurin seribu orang datang mensedekahkan kebajikan kepadanya.

Bagaimana pun dalam membicarakan soal suasana dan kematian Nurin, timbul sebuah pertanyaan di kepala saya. Apa yang dimaksudkan mengenai rezeki melimpah yang dimiliki Nurin Jazlin. Sudahlah beliau pergi dalam usia yang penuh kemuliaan dan dirinya sebersih kapas tetapi dimuliakan pula oleh orang sedemikian rupa.

Membuat pahala

Apa yang mendesahkan saya, dalam ramai-ramai mereka yang menumpahkan simpati itu, terkenang saya kepada lagak orang-orang politik. Semua pihak nampaknya tampil menyatakan simpati dan menziarahi kubur Nurin dan keluarganya. Orang politik seakan-akan berebut untuk membuat pahala (yang sebenarnya political milage) menjelang saat tibanya pilihan raya.

Selepas seorang seorang pemimpin parti politik termasuk menteri mendatangi rumahnya mengucapkan simpati. Kecemburuan ini timbul serentak dengan tanda tanya, apakah kita memerlukan kematian seperti Nurin itu baru kita akan dilimpahi dengan simpati dan kemuliaan?

Apakah seandainya pemergian Nurin yang semamang suci dalam usia sebegitu, bukan dengan melalui tragadi itu dia tetap akan disanjung dan diberi selaut simpati? Apakah orang-orang politik akan berebut untuk ke rumahnya menyatakan simpati dan tahziah kepada kedua orang tuanya?

Persoalan ini timbul kerana masih banyak lagi di luar sana mereka yang merepat, derita dan sangsara, tetapi tetap tidak dikunjungi dan dipedulikan oleh sesiapa. Mereka tidak dihirau dan menanggung azab dan sangsara sendiri. Hatta mereka adalah pejuang parti dan berkorban harta benda nombor wahid demi perjuangan. Mereka ditinggalkan begitu saja setelah ianya tidak berguna dan seluruh tenaganya diperahkan untuk kepentingan perjuangan.

Apakah mereka sebegitu memerlukan bentuk dan cara kematian ala-ala Nurin itu baru mereka akan dipedulikan?

Kalau benar begitu, maka mereka akan kecewa. Tregedi yang dialami Nurin bukan boleh diminta dan dipinta ia adalah takdir dan hadiah Allah terkhusus ke atas insan-insan terpilih.

Justeru dalam melahirkan rasa simpati oleh para politician itu, terdengus di hati saya ianya bukan dilakukan atas keikhlasan tetapi kerana motif lain. Sekiranya mereka ikhlas, mereka (orang-orang politik yang menzahirkan simpati itu), tentu tidak akan melupai mereka yang sangsara, derita dan mengheret perut kosong berlambak-lambak di luar sana yang sangat-sangat memerlukan mereka. Ah munafiknya orang politik! [wm.kl 5:45 am 25/09/07]


Ulasan Berita

Apa tujuan Nazri dedahkan penafian Fairuz kepadanya?

MSO

SEPERTI mana diduga pendedahan klip video percakapan peguam VK Linggam yang didakawa dengan Ketua Hakim Negara, Ahmad Fairuz Abdul Halim pada tahun 2002 itu telah meresahkan pihak kerajaan. Walaupun pendedahan itu berupa andaian namun semua pihak menyatakan kebimbangan dan kekesalan dengan apa yang berlaku itu.

Betapa tidak sekiranya dakwaan itu benar ia meletakkan bidang legislatif itu dalam kecacatan melampau dan memalukan kepimpinan negara di bawah Abdullah Ahmad Badawi hari ini. Justeru Abdullah tidak ada pilihan, perlu merombak semula badan berkenaan.

Terbaru Kerajaan turut memberi reaksi menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Nazri Aziz. Nazri dipetik sebagai berkata, hakim berkenaan menafikan yang sedang bercakap dengan Lingam seperti dimaksudkan dalam klip video berkenaan adalah beliau (Hakim berkenaan).


Membuat komen

Kata Nazri, Hakim berkenaan sudah menghubunginya dan menafikan dia terbabit. Sebelum ini hakim berkenaan dikatakan tidak bercadang membuat komen. Apabila beliau membatalkan hasartnya itu tentu ada perkembangan terbaru yang tidak menyenangkan dan sehingga memaksa beliau berbuat demikian.

Sejak isu itu didedahkan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim minggu lalu bayak pihak memberi reaksi dan pandangan. Rata-rata menyatakan kekesalan dan kurang senang atas apa yang berlaku. Sehingga ada pihak yang mencadangkan ditubuh

Suruhjaya di Raja bagi menyiasat dakwaan itu dan meminta Ketua Hakim digantungkan tugas.
Ini termasuklah Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Najib Razak juga turut memberi komen dan pandangan. Abdullah mengarahkan agar dijalankan siasatan memastikan kesahihan klip video berkenaan. Manakala kenyataan Najib pula agak terbuka dan berpihak kepada Ketua Hakim berkenaan bila mana beliau tidak menolak klip video berkenaan adalah rekaan!

Anwar ketika mendedahkan klik video berkenaan dalam satu kenyataan akhbar mendakwa Lingam sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz Abdul Halim yang ketika itu menjadi Hakim Besar Malaya. Butiran percakapan itu terarakan kepada suatu penyusunan untuk membentuk badan kehakiman selepas pesaraan Dzaiddin Abdullah sebagai Ketua Hakim Negara.

Jadi apabila Nazri bercakap bagi pihak Ahmad Fairuz, timbul berbagai persoalan tentang hal ini. Orang boleh mempersoalkan apakah keperluan Fairuz menafikan pekara itu kepda Nazri, sedangkan yang menerima maklumat mengenai klip vido itu ialah Perdana Menteri.

Seharusnya Ahmad Fairuz menyatakan penafian itu langsung kepada PM. Lagipun PM sudah bercakap mengenainya. Apabila Fairuz tidak menyampaikan langsung kepada Abdullah ini menjadikan isu ini menarik dan ada beberapa perkara yang dirasakan tidak kena. Ada hal-hal sampingan lain akan terbangkit gara-gara itu.

Jumpa sendiri
Memang betul Nazri adalah Menteri yang bertangungjawab dan menjaga bidang kehakiman dan undang-undang. Tetapi kerana PM sendiri sudah maklum dan menyentuhnya adalah elok dan sesuai kalau Fairuz menafikan perkara itu kepada PM. Lebih tertib lagi membuat appoiment untuk berjumpa sendiri dengan Perdana Menteri dan menjelaskan kedudukan sebenarnya temasuk hal ehwal kehakiman semasa Abdullah sebelum menjadi PM lagi.

Apa yang berlaku itu boleh membenarkan desas desus sebelum ini yang menyatakan ada pertelingkahan antara Perdana Menteri dengan Ketua Hakim Negara. Abdullah dikatakan kurang senang dengan satu tindak tanduk ketua hakim berkenaan yang boleh memalukan negara dan menjejaskan intergriti kehakiman.

Perkara itu ialah mengenai proses perlantikan Ketua Hakim Malaya baru-baru ini yang tertangguh selama tujuh bulan. Kelewatan proses perlantikan itu dikatakan kerana calon yang dicadangkan oleh Ahmad Fairuz ditolak oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Ahamd Fairuz dikatakan cuba menaikan hakim yang disenanginya.

Majlis Raja-Raja Melayu menolak nama itu kerana ada sebab-sebab tertentu yang sangat jelas dan fatal yang menjadikan calon itu tidak layak. Hal ini katanya tidak diketahui oleh Abdullah. Majlis Raja-Raja katanya telah menitahkan seorang Raja agar memaklumkan hal itu kepada Abdullah sebagai mewakili Raja-Raja.Setelah dimaklum itulah baru Abdullah tahu kedudukan sebenarnya dan beliau dikatakan kurang senang dengan cara Ahmad Fariuz sehingga mengeluarkan kata-kata berbunyi; “apa yang dilakukan ini (Fairuz) sesuatu yang besar dan memalukan dan tidak sepatutnya berlaku”.

Sebagai pelindung

Apakah kerana peristiwa itu menyebabkan Ahmad Fairuz tidak berani untuk menjelaskan sendiri berhubung isu klip video itu kepada Abdullah dan terpaksa menggunakan Nazri sebagai pelindung dan perantaranya! Begitukah?

Mengenai pertikaian Nazri kepada niat pembangkang (Anwar Ibrahim) yang membuat pendedahan klip video itu sebagai tidak wajar, ianya tidak lebih daripada sikap gatal mulut menteri berkenaan saja. Kata beliau pembangkang sepatutnya mendedahkan perkara itu kepada polis dan BPR dulu sebelum diberi kepada media. Maksud Nazri, itu Anwar membelakangkan prosuder sepatutnya dalam hal itu.

Dalam hubungan ini Nazri mungkin tidak membaca sejarah dan pengalaman dilalui pembangkang khasnya Anwar dengan BPR dan polis. Bukankah selama ini Anwar tidak percaya kepada kedua badan berkenaan? Lupakah Nazri yang bekas bosnya itu pernah ditumbuk sampai lebam mata oleh polis?

Sudah banyak pendedahan dan laporan polis kepada kedua badan itu dibuat oleh Anwar dan pihak pembangkang tetapi ianya dibiarkan begitu sahaja termasuk juga dakwaan ke atas Meneri di Jabatan Menteri itu sendiri berhubung dengan skandal kewangan – pembelian bon luar negara.

Dalam hal ini Anwar bukan tolol dan dungu untuk melakukan perkara yang sama berkali-kali. Lagipun tidak berbangkit isu itu didedahkan kepada siapa dulu. Yang penting sekarang ini ia sudah terdedah dan kerja Nazri, polis dan BPR ialah menyiasat. Bukankah itu tanggungjawab mereka! [wm.kl. 9: 45 am 23/09/07]

Sunday, September 23, 2007

Susupan Pagi

Catatan Di Majlis Berbuka Puasa Rumah Tengku Razaleigh

SUDAH menjadi amalan kebajikan Tengku Razaleigh Hamzah di sepanjang bulan puasa beliau akan mengundang rakan-rakan dan sahabat handainya berbuka puasa dan bertarawih di rumahnya. Panggilan itu dibuat ke atas rakan dan sahabatnya dari berbagai bidang dan profesyen, dekat dan jauh.

Ianya dipanggil mengkut giliran semacam sudah ada jadual khusus mengenai undangan ini pada setiap tahun.

Suatu perkara yang diperhatikan setiap kali Ramdan ada-ada saja sahabat ataupun rakan baru Tengku Razaleigh. Ini membuktikan bahawa beliau seorang yang ramai kawan dan suka menjalani hubungan silaturahim dengan sesiapa saja yang sudi. Mereka yang jauh di Pulau Pinang, Johor atau Terengganu juga tidak pernah mis hadir, walaupun sekadar untuk berbuka dan bertarawih dengannya.

Paling merujakan, ada yang dulu menghentam atau mengkritik pendekatan dan gaya politiknya, namun hari ini datang bersimpuh bersamanya seperti qari menghadap hafiz. Memanglah kebenaran dan keadilan itu selalunya lambat menjelma! Seolah-olah mereka mengambil kesempatan Ramdan yang mulia untuk berbai'ah semula dengan Tengku Razaleigh.

Melihat suasana ini menandakan kerendahan hati budi kerabat di-Raja Kelantan itu. Orang suka dengannya kerana beliau tidak memilih rupa dan bulu dalam berkawan. Beliau bukan sahaja berkawan dengan golongan ningrat, tetapi dengan orang tidak ada kerja juga termasuklah pencacai politik kelas kaki lima, atau kelas RM50. Semuanya digauli tanpa ada batas ataupun protokol.

Mereka yang diundang dan hadir berbuka puasa dan bertarawih di rumahnya tergolong dari semua jenis dan kelas manusia. Dari kerabat, hinggalah rakan politik, ekonomi, budaya dan para penulis. Terbaru para bloggers yang berminat untuk mengkaji pemikiran ekonomi dan politik bekas Menteri Kewangan itu juga hadir.

Majlisnya tetap meriah meskipun beliau bukan seorang menteri atau bekas Timbalan Perdana Menteri. (Tidak dapat saya bayangkan bagaimana majlis-majlis seumpama itu ketika beliau menjawat jawatan menteri atau sewaktu ada kuasa dulu) Apa yang menyenangkan orang, setiap tetamunya disambut sama rata tanpa mengira kelas dan juga status seseorang.

Kalau beliau bersalam dengan bekas eksekutif syarikat GLC dan bertanya khabar, begitu juga bila beliau bersalam dengan penyokong setia kalangan marhean akan diaju soalan yang sama; lama tak jumpa, you sihat ke? Inilah keistimewaan Tengku Razaleigh. Beliau tidak seperti setengah orang politik, baru jadi Exco belum habis sepanggal tetapi sombongnya melebihi artis kampungan.

Sesiapa yang mengenali dan pernah bercakap dengannya akan merasai ketinggian budi dan kerendahan dirinya.

Untuk puasa tahun ini penulis / blogers nampaknya diistimewakan. Belum habis minggu pertama sudah diundang untuk berbuka dengannya. Saya tidak berkesempatan kerana terpaksa ke Kota Bharu untuk mengikuti satu perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu berhubung petikaian dua pihak tentang binatang berjanggut.

Hari ini manusia bergaduh bukan saja fasal balak, tanah dan sungai, tetapi fasal binatang berjanggut juga bergaduh macam nak rak - sampai tuduh menuduh tipu dan sebagainya. Satu pihak tetap berdegil macam tenggling mampus, dan satu pihak lain yang beriya-iya mahu menyelesaikan masalah itu kerana kesiankan kepada bintang berjanggut berkenaan.

Malam tadi satu lagi majlis berbuka puasa diadakan oleh Tengku Razaleigh. Para jemputan kali ini ialah rakan-rakannya di kalangan bekas pegawai tinggi kerajaan dan juga bekas-bekas pemimpin politik.

Kehadirannya mengalahkan jemputan para menteri. Nampak sekali kemeriahan majlis malam tadi. Kehadiran rakan politiknya baik dalam Umno ataupun bekas pemimpin Semangat 46 tidak mengejutkan. Tetapi kehadiran bekas-bekas pengawai kerajaan dan juga CEO dalam syarikat GLC memeranjatkan kerana di majlis berbuka puasa anjuran menteri atau bekas timbalan perdana menteri pun mereka tidak pernah kelihatan!

Keadaan ini ditambah pula dengan hadiran beberapa orang penulis dan penganalisa politik yang selama bertahun-tahun tidak berani mendekati Tengku Razaleigh kerana mereka begitu kasih dan taksub kepada pemimpin yang dilihat berlawan dengan Tengku Razaleigh ketika itu. Kemeriahan ini semacam ada perkembangan dan semangat baru yang sedang berlaku di sekitar Tengku Razaleigh.

Kurang dipasti pula, apakah kalau Dr Mahathir Mohamad tidak berada di IJN pada masa ini beliau juga akan turut hadir sama atau tidak malam tadi. Ini kerana Setiausaha Akhbar Dr Mahathir, Saufi Yusuf turut hadir siap dengan songkok tinggi dan tersenyum sepanjang masa, rancak menceritakan mengenai perkembangan kesihatan bekas PM itu.

Seperkara yang menyerlah pada majlis-majalis Tengku Razaleigh akhir-akhir ini ialah kehadiran dan komitmen para sasaterawan dan budayawa negara. Mereka satu demi satu hadir ke sisi Tengku Razaleigh bagaikan si camar tumpang berteduh di hari hujan.

Mereka yang seolah sudah hilang tempat bergantung bagi mengadukan remuk radam hatinya terhadap pengkhianatan dan ketidakpekaan dan kepedulian Kerajaan ke atas Bahasa Melayu dan juga ke atas hak-hak keistimewaan Melayu.

Walupun mereka tahu, dalam keadaan hari ini Tengku Razaliegh tidak dapat berbuat apa-apa hanya boleh bercakap dan berbicara seperti mereka, namun kehadiran mereka seakan membawa harapan supaya Tengku Razaleigh menjadi jurubicara dan penterjemah hasrat murni mereka untuk bangsa dan negara.

Malam tadi kelihatan tokoh-tokoh budayawan dan bahasa seperti Hassan Ahmad, Tengku Alaiuddin, Awang Sariyan serta beberapa orang kerabat Gapena yang mewakili Prof Ismail Hussein. Mereka semua nampak serasi dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Mungkin golongan intelektual ini sudah membaca dan mempunyai pengalaman bahawa pemimpin lain yang mereka harapkan medaulatkan bahasa dan bangsa menghampa dan mengecewakan. Dan mereka melihat bahawa satu-satunya pemimpin era Tun Razak yang masih utuh menjaga dan rajin berbicara mengenai Melayu ialah Tengku Razaleigh Hamzah.

Tidak terlupa juga turut hadir sama malam tadi ialah beberapa orang yang sebelum ini dikenali sahabat dan pendokong bekas TPM Anwar Ibrahim. Sejak akhir-akhir ini mereka ini sering kelihatan di majlis-majlis Tengku Razaleigh. Apakah kehadiran mereka kerana kesunyian ataupun bertujuan ingin menghubungkan talisilaturahim antara Tengku RAzaleigh dengan Anwar!

Apapun tip yang paling baik semalam ialah mengenai pilihan raya. Menurut Pengerusi SPR Abdul Rashid Abdul Rahman yang turut juga hadir menjelaskan bahawa pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat. "Malam ini sah pilhan raya tidak akan diadakan!" katanya sambil berseloroh menjawab pertanyaan saya. "Jadi bila..?" tanya saya, Rashid terus ketawa terkekeh-kekeh sambil berjalan dan menggelengkan kepala! [wm.kl.23/09/07]

Friday, September 21, 2007

Berita Mutakhir

Akhirnya Ayah Terima Jenazah Nurin Jazlin

AKHIRNYA Jazimin Abdul Jalil, 33 dan Norazian Bistaman, 35 ayah dan ibu Nurin Jazlin akur mayat budak perempuan yang dijumpai di dalam beg di Petaling Jaya Utara dua hari lalu adalah anaknya, Nurin Jazalin, 8 yang dilaporkan hilang sebulan lalu.

Pagi tadi Jazmin telah menerima jenazah anaknya dari bilik simpinan mayat Hospital Besar Kuala Lumpur dan kini sudah dibawa balik ke rumahnya di Wangsa Maju. Jenazah Nurin Jazlin akan dikebumikan selepas Jumaat nanti di Setapak.

Berita TV tengah hari ini melaporkan Jazimin tidak mahu ujian kedua dilakukan bagi mengesahkan jenazah itu adalah Nurin seperti mana yang dituntut semalam. Semalam Jazimin enggan menerima hakikat jenayah itu sebagai anaknya dan masih merasakan Nurin Jazlin masih selamat.

Menurut laporan berita itu suasana di bilik mayat HBKL diselubungi kesayuan dan kesedihan. Orang ramai dan pemberita yang menunggu untuk mengetahui perkembangan mengenai Nurin Jazlin sejak pagi lagi tidak dapat menahan sebak ada yang menangis terisak-isek.

(Salam untuk Nurin yang sudah beradu di syurga!) [wm.kl 21/09/07]

Sajak

Mohd Sayuti Omar

Hanya Ini Yang Bisa Terucap!
(dlm mengenang Nurin Jazalin)

redup teduh wajahmu
mengilau kesucian
merisik laman firdausi
pengkalan abadimu
menanti menyaksikan
balasan terhadapnya.
manis senyumanmu
memekar bunga-bunga bahagia
mewangi kilasan salammu dari syurga
buat kami di sini yang masih entah.

wajah dan senyumanmu terlalu
manis
madunya mengarca di mata
tersemen di kalbu.
di hati ini sejuta sumpah dilemparkan
kepada si yaitan hanyir itu.

dalam pahit menelan tragedi itu
tidak ada apa yang mampu terucap lagi
kata-kata kehabisan bisa
air mata kehabisan jernih
melainkan doa, biar bajingan itu
berlutut segera di kaki penyeksa!

Wangsa Melawati,
21/09/07