Tuesday, September 25, 2007

Pendedahan

Laporan Skandal Air Kelantan dan Penyelewengan MDM Beredar!

MSO

Awas! Sebuah dokumen berupa laporan mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa dalam syarikat Air Kelantan Sdn Berhad (AKSB) sedang beredar di Kelantan. Laporan yang mengandungi lebih 100 muka surat dan bersaiz A4 berbentuk fotostet itu telah mengalir dari tangan ke tangan dan disebarkan oleh orang tertentu.

Laporan itu dijangka akan diedar secara meluas di Kelantan menjelang pilihan raya umum akan datang.
Penulis (MSO) telah menerima laporan berkenaan yang dihantar menerusi pos ke rumah kelmarin. Cap setem pada sampul menunjukkan ianya diposkan di Kuala Krai, Kelantan. Bagaimana pun tidak ada nama yang dicatat sebagai pengirim.

Catatan interviu

Laporan itu yang dikompal dengan beberapa isu terkini di Kelantan pada masa ini seperti dakwaan berlaku rasuah dalam Majlis Daerah Machang (MDM), turut sama disertakan beberapa catatan interviu dengan kakitangan AKSB dan juga ahli MDM.

Antara lain laporan itu menyebut dan mendedahkan mengenai masalah yang dihadapi oleh AKSB sekarang ini dan juga tindak tanduk Pengarah Urusannya, Fauzi Abdullah yang dikatakan bersikap kasar dengan kakitangan sehinggakan banyak kakitangan Air Kelantan berhenti.

Paling membimbangkan laporan itu juga mendakwa telah berlaku penyalahgunaan kuasa oleh Fauzi. Beliau didakwa telah menggunakan kedudukannya sebagai Pengarah Urusan (CEO) Air Kelantan untuk membantu aktiviti politik kalangan tertentu di Kelantan termasuk seorang Exco Kelantan yang juga sahabat baiknya.

Beliau didakwa telah mengarahkan kerja-kerja untuk menaikan taraf air dan juga membina kemudahan asas di kawasan Exco berkenaan di mana arahan itu dikira tidak di bawah bidang kuasanya. Beliau juga didakwa telah mengeluarkan wang syarikat berkenaan untuk tujuan politik kepada orang tertentu sedang tindakan itu diluar bidang kuasanya.

Laporan berhubung penyelewengan Air Kelantan itu (foto) lengkap dan munsabah kerana ianya disiapkan oleh mereka yang benar-benar tahu dan pakar berhubung bidang berkenaan. Laporan itu disamping cuba menjatuhkan Fauzi Abdullah ia juga mengemukakan pelan untuk menyelamat dan mebaikpulihkan pentadbiran dan pengurusan air yang dilakukan oleh Air Kelantan yang dianggap sebagai lemah dan tidak efektif.

Dua panggilan

Paling memeranjatkan salinan bil telefon yang didakwa kepunyaan syarikat Air Kelantan betarikh 1 Disember 2006 yang turut dikempilkan dalam laporan itu. Bil itu menunjukkan ada dua panggilan daripada syarikat berkenaan kepada nombor telefon tangan Pengerusi Umno Kelantan, Annuar Musa.

Panggilan pertama dibuat pada jam 09:16:09 pagi dan panggilan kedua pada pada jam 10:24:02 minit ke nombor itu dan percakapan selama 01:24 saat yang bertarikh 1 November 2006. Panggilan pertama tidak dicatat masa percakapan.

Sementara itu berhubung dengan penyelewengan di MDM, laporan itu menyebut mengenai penglibatan tiga orang wakil rakyat menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan manfaat daripada projek rumah kedai di Machang.

Satu laporan polis juga yang dibuat oleh bekas ahli majlis daerah berkenaan turut sama dikempilkan dalam laporan itu. Turut sama dikempilkan ialah beberapa helai risalah (berupa surat layang) yang mendedahkan mengenai penyelewengan itu yang dikaitkan dengan dua orang wakil rakyat.

Melihata kepada bentuk laporan berkenaan ia semacam disediakan oleh orang dalam, baik di syarikat Air Kelantan atau pun MDM. Orang tertentu telah memberi kerjasama baik dalam menyediakan laporan berkenaan dengan memberi maklumat dan sedia diinterviu.

Besar kemungkinan penyediaan laporan berkenaan disediakan ataupun dijual kepada pihak Umno Kelantan yang pada masa ini sedang berusaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaupun ada beberapa fakta didalam laporan berkenaan lebih bersifat fitnah dan ingin menyusahkan orang tertentu namun sedikit sebanyak ia boleh memberi gambaran buruk kepada kredibiliti dan intergriti orang berkenaan!

Adalah diharap mereka yang terlibat seperti mana dakwaan laporan berkenaan perlu tampil memberi penjelasan untuk tidak mengelirukan orang ramai. [wm.kl 10:40 25/09/07]


No comments: