Sunday, February 10, 2008

Surat Lawyer

Pintu Yang Saya Tutup Tidak Dikunci!

KHAMIS lalu ketika saya berkereta seorang kawan menghubungi menerusi telefon. Cara dia bercakap nampak bersungguh benar mahu berjumpa dengan saya. Demi itu saya membatalkan niat ke satu tempat dan menanti kawan berkenaan di sebuah warung di tepi jalan besar untuk ke Kota Bharu.

Walaupun dia bercerita perihal persiapan pilihan raya bakal tiba, tetapi mauduk yang hendak diketahui hari itu ialah mengenai surat lawyer yang dihantar oleh seseorang kepada saya. Kawan ini mahu tahu reaksi saya setelah menerima surat berkenaan. Apakah saya menggeletar dan bersedia memenuhi tuntutan dan kehendak isi surat berkenaan atau pun tidak. Itulah maksudnya.

Secara tidak langsung kawan itu menyiasat saya secara psikologis. Dia memulakan penyiasatan dengan berbasa basi mengatakan tidak sepatutnya surat lawyer itu dihantar kepada saya. Dia cuba membela dan memberi simpati. Namun saya melegakan perasaannya dengan mengatakan, tidak ada masalah apa, surat itu memang hak dia - penghantarnya. Sesiapa pun berhak mengutuskan surat demikian dan membela diri sendiri kalau dirasakan ia dianiaya.

Apabila kita sudah tidak tahan atau pun berdaya melawan seseorang secara 'manual' maka ia wajar menggunakan alat-alat lain seperti lawyer dan mahkamah. Walaupun cara demikian tidak gentlemen tetapi itulah yang terbaik!

Kata sahabat itu dia telah bersunggut kepada si penghantar surat itu. Katanya sepatutnya perkara itu tidak sampai ke peringkat itu. Mungkin beliau ada alasan dan pandangan sendiri kenapa dia mengatakan demikian. Niatnya hendak membela saya, mungkin...terima kasih.

Biarlah di sini saya membuat ketegasan berhubung surat lawyer itu. Bahawasanya apa-apa permintaan, rayuan, tekanan dan ugutan seperti terkandung dalam surat lawyer itu saya tidak tidak bersedia untuk mematuhinya. Saya bertanggungjawab atas apa yang telah saya lakukan.

Saya juga seperti penghantar surat lawyer berkenaan ada maruah, perasaan dan tidak pernah bermain dengan setiap apa yang saya lalukan. Ia adalah serius dan responsible!

Berhubung permintaan dan kekecewaan kawan tadi tidak berbangkit sebenarnya. Saya jelas kepada kawan itu yang meminta saya melakukan sesuatu yang amat berat untuk dilakukan seperti diminta dalam surat berkenaan; bahawa saya tidak akan melakukannya, sebab ianya diminta dengan dua pucuk surat dari lawyer.

Bagi saya surat lawyer bukan sesuatu gentlemen dan menggambarkan keberanian sebenarnya, tetapi adalah satu cara yang dilihat sebagai ego dan menggambarkan seseorang yang sombong dan tidak suka kepada perundingan dan tidak percaya kepada musyawarah!

Kalau sesuatu itu telah diminta dengan undang-undang, maka biarlah undang-undang juga menentukannya. Tetapi kalau si penghantart surat itu meminta dengan 'tangan' mungkin saya akan memenuhinya atas kepentingan tertentu tanpa sebarangan syarat.

Biarlah di sini saya tidak dulu mendedahkan identiti penghantar surat berkenaan dan juga apakah tujuan dan mengenai apa. Biarlah orang yang menghantar surat itu mendedahkannya sendiri atau lawyernya. Apabila beliau telah memulakannya maka saya akan sambut. Saya tidak bersedia untuk membuka sesutau yang telah saya tutup walaupun ianya saya masih belum menguncikannya.

Saya tidak tahu untuk mencampurkan urusan peribadi dengan perjuangan. Bagi saya soal peribadi tidak wajar dicampur adukan dengan perjuangan. Maka itu orang melihat saya pelik serta sukar untuk difahami dan lantaran itu berbungalah diri dan hidup saya dengan berbagai prejudis.

Apabila saya berjanji saya berusaha akan patuhinya. Dalam kes ini saya sudah berjanji dengan seseorang, maka saya kena patuh dan akur janji berkenaan. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu menjadi munafik dalam hal ini. Dan kepada orang berkenaan beliau tidak perlu bimbang kepada aksi saya terutamanya menjelang pilihan raya ini, insyaAllah saya tidak akan menganggunya lagi. [r pjg 9:19 am 10/02/08]

Kabare Semua?

Masih Round-Round Kelantan

Assamualaikum wbh wbh.

DIDOAKAN kepada semua penjengkuk blog ini dalam keadaan sihat sejahtera. Diberikan kewarasan fikiran dalam menilai sesuatu isu ataupun apa-apa maklumat yang ditemui baik menerusi blog ini maupun lain-lain media/blog.

Mungkin semua sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya. Debaran bukan saja di kalangan parti politik atau mereka yang ingin bertanding. Debaran juga dirasai oleh semua pemerhati politik di seluruh negara. Cuma debarannya agak berbeza.

Bagi kita pemerhati atau pengundi masih boleh tidur nyenyak. Sebaliknya bagi mereka yang berangan-angan untuk bertanding sudah mula jadi macam burung hantu tidak tidur malam. Masing-masing dok berangan dan berteta teki sesama sendiri apakah aku boleh bertanding atau tidak.

Apa lagi mereka yang bercita-cita untuk menjadi MB atau mengambil alih tempat MB yang ada sekarang lagi teruk. Satu sindrom juga kini sudah menyinggahi mereka. Walaupun asasnya mereka berserah kepada Tuhan (Allah), namun usaha ke arah itu dilipat gandakan. Apa yang dinamakan taktik dan strategi bagi memasikan diri berada di situ dilipat gandakan.

Lobi melobi juga berlaku dan kini semakin hebat. Bagi mereka yang berminat nak jadi calon semua saluran untuk melobi digunakakan. Kalau dalam Pas bukan saja isteri Tok Guru (Datin Sabariah) turut didekati untuk bercerita hal calon pilhan raya di sesuatu kawasan, tetapi driver Tok Guru juga turut dijadikan tukang lobi. Dahsayat.

Kalau sebelum ini sesetengahnya sukar untuk melemparkan senyum kepada pemandu Tok Guru tetapi akhir-akhir ini dari jauh bertegur sapa, bersalaman dan memeluk driver Tok Guru.

Biarlah mengenai kegelisahan dan ketidakwaras sesetengah orang nak jadi calon ini kita akan bercerita kemudian. Banyak cerita menjelang pilihan raya yang boleh dikongsi bersama dan dijadikan iktibar. Untuk makluman anda budiman sekalian sehingga kini saya masih berada di Kelantan, balik (sejak Rabu lalu) kerana menziarahi keluarga dan sekaligus menziarah Kelantan (round) untuk melihat suasana dan mood pilihan raya ke-12.

Inya-Allah sehari dua ini saya akan membuat analisa secara agak memdalam mengenai peluang Pas dan Umno di Kelantan serta beberapa segmen yang dikira menarik dan menjadi perhatian banyak orang.

Wassalan. [r pjg 8:45 10/02/08]

Tuesday, February 5, 2008

Enekdot

Evolusi Tempe Ke Atas Khir Toyo!

MSO

SEMALAM (4 Feb) seorang kawan telefon bertanya apakah saya sudah baca akhbar Utusan Malaysia. Katanya ada cerita bagus mengenai Khir Toyo dan saya boleh ulas. Selepas selesai rutin saya, menulis saya belek akhbar berkenaan dan baca berita mengenai Khir Toyo itu.



Mulanya saya malas respon apa-apa mengenai apa yang dilaporkan itu. Khir Toyo berseloroh mengatakan mukanya menjadi putih melepak (balar) kerana dia banyak makan tempe. Khir berseloroh tetapi secara tidak langsung dalam masa sama menjawab isu mengenai dirinya.

Dalam jawaban itu Khir menuduh pembangkang memfitnahnya berhubung dengan evolusi mukanya itu dari gelap menjadi terang. Katanya Khir pembangkang menuduhnya melakukan pembedahan mencantikkan wajah.

Bila Khir sebut dan tuduh pembangkang fitnah menyebabkan selera saya untuk mengulas mengenai kenyataan gurau Khir itu terbuka. Sudah menjadi tabiat agaknya ahli politik Kerajaan kalau berhadapan dengan masalah yang boleh menjejaskan dirinya, ia akan menunding jari kepada pembangkang.

Di sini saya nak bercerita apa yang sampai ke telinga saya berhubung evolusi yang berlaku ke atas muka Khir itu. Bohong orang itu bohonglah saya. Saya percaya beliau tidak bohong kerana dia adalah rakan politik yang rapat dan intim dengan Khir dan pernah mengikuti rombongan Khir ke luar negara.

Menurutnya perubahan itu tidak kerana tempe. Tetapi kerana sesuatu yang lain tetapi tidak pembedahan seperti disangka. Memang logik apa yang dihujahkan oleh sdr Roslan SMS (sahabat saya di Jalan Raja Laut), orang lain juga makan tempe tetapi tidak pun sampai muka menjadi putih macam tapai ubi kayu.

Kita nak tahu jenis apakah tempe yang dimakan oleh Khir. Tentu para artis seperti Ning Baizuri, Hatta dan lain-lain kepingin juga. Apakah ianya made in Australia, New Zealand atau pun Maldis. Sebab khabarnya kerap benar beliau ke Australia pantang ada cuti panjang sikit. Macam orang Kelantan bila ada cuti berkembar hujung minggu berduyun-duyunglah mereka akan ke Kelantan.

Apa lagi kalau ada yang bini dua, sebaik lepas pejabat terus start engen pulang ke Kelantan. Atau sebaliknya kalau yang duduk di Kota Bharu petang Jumaat atau pagi Sabtu sahaja akan sampai di Kuala Lumpur!

Apakah kekerapan Khir ke Australia itu kerana semata-mata nak makan tempe made in Malaysia yang ada di sana ataupun kerana ada bini seperti kebanyakan orang Kelantan itu?

Sahih mengenai evolusi muka Khir tadi bukan kerana tempe. Tempe tidak akan merubah muka seseorang seperti berlaku ke atas Khir. Memang benar tempe berkhasiat boleh melawan kancer dan melalui proses frementasi tetapi tidaklah sehebat itu.

Kalau tempe terbukti seperti mana berlaku ke atas Khir saya kira sudah lama Samy Vellu, Kadir Sheikh FAdzil atau Riza Marican dan Khairy Jamaluddin mengamalkan makan tempe.

Apa yang masuk ke dalam telinga saya, perubahan ke atas wajah Khir ialah disebabkan terjadi satu suntikan vitamin C ke atasnya yang berlaku secara tidak sengaja? Kejadian ini berlaku semasa beliau membuat lawatan ke luar negara kira-kira tiga tahun lalu.

Diceritakan semasa lawatan itu Khir telah diajak oleh kawannya untuk melakukan rawatan muka bagi membuang lemak, jerawat dan minyak di muka. Entah macam mana semasa rawatan itu beliau tertidur. Sewaktu inilah kawannya itu mengarahkan perawat muka itu menyuntik satu suntikan kepada Khir.

Tujuannya baik iaitu untuk membuat surprise kepada Khir Toyo. Kononnya suntikan itu hanya vitamin C sahaja. Sebaliknya apa yang berlaku .... berlakulah seperti hari ini satu evolusi yang mengejutkan dunia ke atas wajah Khir. Khir sendiri katanya menyesal dan terkilan atas perbuatan kawannya itu!

Kerana ia sudah terlanjur, surprise sudah berlaku, muka Khir sudah putih kemerah-merahan hendak tidak hendak Khir terpaksa telan juga. Suntikan yang dikenakan itu perlu maintain, kalau tidak ia boleh mendatangkan side efect. Hari ini katanya setiap tiga bulan sekali Khir perlu mengambil suntikan itu bagi mengekalkan evolusi berkenaan kalau tidak wajahnya akan mengecut dan menggelendur.

Demikian apa yang disampaikan. Jadi tuduhan mengatakan pembangkang memfitnahnya tidak benar. Kalau ada pembangkang yang mempertikaikan mengenai evolusi wajahnya ialah kerana mereka melihat sendiri dan bukan sesutau yang sengaja direka.
Mungkin kerana pihak pembangkan tidak tahu dan pernah melihat isteri muda Khir maka cerita menfenai itu belum terdedah lagi. Tunggu...! [wm.kl 05/02/08]

Susupan Dinihari

Kehadiran Anwar Harap Dapat Selesai Masalah

MSO

KURANG enam jam lagi Anwar Ibrahim akan berangkat ke Kota Bharu. Kehadiran Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memberi makna tersendiri dan mempunyai signifiken berhubung pilihan raya. Anwar dijangka menghadiri dua majlis, pertama di Bunuhan Tumpat dan kedua berceramah dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan lain-lain pemimpin Pas di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu.

Pastilah tujuan atau maksud utama kehadiran Anwar ke Kelantan Darulnaim itu sebagai persediaan atau ada kena mengena langsung dengan proses menghadapi pilihan raya yang bakal tiba Mac depan.

Kenapa beliau hadir ke Tumpat, tidak lain dan tidak bukan kerana Tumpat merupakan bahagian atau daerah yang mempunyai banyak cawangan PKR dan juga merupakan nadi PKR di negeri berkenaan.

Selain menghadiri dua majlis itu beliau juga dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi Pas Kelantan. Sekali lagi tujuan dan maksudnya ialah berhubung proses persiapan menghadapi pilihan raya. Pertemuan dan perbincangan dengan Pas ini akan memuktamadkan beberapa perkara yang belum tuntas dan adalah mauduk kehadiran beliau itu.

Ada beberapa perkara yang dikatakan belum beres dan memerlukan Anwar sendiri mencampurinya. Antara masalah itu ialah mengenai pembahagian kerusi atau mengenal mana-mana kerusi yang bakal ditandingi oleh PKR.

Walaupun proses pembahagian kerusi ini telah dibuat sejak lebih enam bulan lalu, namun ia masih belum selesai kesemuanya. Perkembangan terakhir menjadikan proses pembahagian itu belum tamat dan menimbulkan sedikit masalah.

Dari maklumat luar, PKR dikatakan telah diperuntukan sebanyak tujuh kerusi termasuk kerusi yang diperuntukan sebelum ini. PKR mendapat pertambahan dua lagi kerusi. Kerusi-kerusi yang ditambah itu samada dua kerusi DUN ataupun satu DUN dan satu parlimen.

Kerusi-kerusi yang diperuntukan kepada PKR sebelum ini ialah Kota Bharu, Ketereh dan Tanah Merah (Parlimen), manakala Nenggiri dan Paloh (DUN) di Gua Musang.

Ekoran desakan dan tuntutan PKR baru-baru ini Pas dikatakan bersedia bertolak ansur untuk menambahkan dua kerusi lagi kepada PKR. Kerusi-kerusi yang ditawarkan itu ialah samada Parlimen Kuala Krai atau DUN Guchil dalam kawasan Kuala Krai, serta Pengkalan Kubur atau Wakaf Baru dalam parlimen Tumpat.

Kerusi Machang juga telah diperuntukan kepada PKR manakala kerusi Tanah Merah yang sebelum ini diserahkan kepada PKR dikembalikan kepada Pas. Pertukaran parlimen Kota Bharu dengan Machang dibatalkan ekoran pihak PKR berkeras untuk meletakkan calonnya di situ.

Bagaimana pun peruntukan dan tawaran dua kerusi itu masih belum muktamad lagi. Inilah agenda penting yang akan dibincangkan esok. Anwar dipercayai akan mendapat pandangan kedua pihak sebelum beliau memutuskan atas sifatnya sebagai Penasihat Umum.

Hendaknya apa-apa yang diputuskan oleh Anwar esok perlulah diterima dengan tenang dan terbuka oleh PKR Kelantan. Tidak ada gunananya Anwar turun ke Kelantan sekiranya pandangan dan nasihat yang beliau berikan tidak dihiraukan.

Penyelesaian secara baik, adil dan ikhlas berhubung pembahagian dan penawaran kerusi itu sangatlah penting bagi menjaga keharmonian hubungan Pas dan PKR. PKR sendiri seharusnya tidak banyak membuat onar dan kerenah dengan tawaran Pas itu. Tujuh kerusi - tiga Parlimen dan empat DUN atau empat parlimen tiga DUN adalah besar bagi PKR Kelantan yang keadaanya itu boleh dianggap seperti kanak-kanak down sindrom itu. Maaf! [wm.kl 2:20 am 05/02/08]

Monday, February 4, 2008

Rencana Khas

Tokoh-Tokoh Bakal Menggegarkan Parlimen

MSO

MUNGKIN sasaran pembangkang untuk menafikan majoriti 2/3 BN di parlimen pada pilihan raya akan datng tidak mudah tercapai namun hati rakyat akan terubat sekiranya beberapa tokoh yang dicalonkan atau bertanding dalam pilihan raya ke-12 kelak mendapat peluang untuk masuk ke parlimen.

Ketokohan, kepakaran dan track rekod yang dimilik tokoh-tokoh ini cukup untuk menggegarkan parlimen dan mematahkan hujah pihak Kerajaan. Apa yang berlaku pada tahun 1999 akan berulang. Kehadiran tokoh-tokoh ini juga boleh mebuatkan Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri, serta Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sendiri panas punggung dan tidak senang duduk kerana terpaksa menjawab segala persoalan rakyat yang pasti dibangkitkan oleh mereka.


Sekurang-kurang terdapat 10 tokoh yang mampu berbuat demikian. Kalau kesemua mereka ini dipilih dan diangkat rakyat, kumpulan ini cukup menjadikan Kerajaan BN untuk periode akan datang cemas dan berhati-hati untuk bercakap dan menjaga tindakan tanduk mereka. Tentu pihak Kerajaan tidak boleh melakukan sesuatu sesuka hati mereka, menjadi parlimen sebagai serkas tempat berhibur sambil meluluskan sesutau mengikut sesuka hati seperti mana sebelum ini.

Paling perit ialah Kerajaan kena menjawab segala penyelewengan, salah lakukan pengurusan dan sebagainya bakal ditimbul dan dihujahkan mereka pada setiap kali sessi parlimen berlangsung.

Kelompok

Mereka ini juga bolehlah dikira benar-benar 'wakil rakyat' kerana mereka juga kebetulan mempunyai kepakaran masing-masing dan bercakap mewakili semua kelompok dan golongan masyarakat tanpa mengira sempadan politik dan kepentingan budaya dan ethnik.

Tokoh-tokoh itu ialah Abdul Hadi Awang, Nasaruddin Mat Isa, Kamaruddin Jaaffar, Muhammad Sabu, Mahfuz Omar, Sallahuddin Ayub yang telah teruji kehebatan dan kepetahan mereka berhujah di parlimen sebelum ini ataupun pada masa ini seperti Salahuddin dan Kamaruddin Jaafar.

Parlimen akan menjadi bertambah bergegar kalau mereka ini dibantu pula oleh Ibrahim Ali, Dr Mohd Hatta Ramli, Saifuddin Nasution Ismail dan Wan Abdul Rahim Abdullah.

Ibrahim Ali yang akan bertanding di Pasir Mas merupakan seorang bekas ahli Parlimen yang lantang memperjuangkan isu-isu rakyat dan Melayu. Saifuddin pula bertanding atas tikit Keadilan di Machang terkenal sebagai seorang ahli politik pelapis berkualiti yang berhujah menggunakan fakta dan bukti dan cekap mendedah kepincangan Kerajaan berbentuk rahsia.

Manakala Wan Abdul Rahum, speaker DUN Kelantan akan bertanding di Parlimen Rantau Panjang juga merupakan seorang yang artikulek dengan fakta. Bendahari Agung Pas, Dr Mohd Hatta pula terkenal sebagai aktivis dan penggerakan demonstrasi anti Kerajaan yang disebut-sebut akan bertanding di Gombak atau Pasir Puteh akan turut menjadi Kerajaan tidak boleh senyap.

Kehadiran mereka berempat bergabung dengan tokoh-tokoh seperti di atas akan menggegarkan parlimen dan benar-benar bakal merimaskan pihak Kerajaan.

Bayangkan bagaimana kalau kesepuluhan mereka ini berada dalam Parlimen. Parlimen akan jadi riuh randah dengan suara dan bangkangan dan bantahan mereka. Yang jelasnya mereka bukan sepuluh budak hitam! Ibrahim yang sudah berihat selama dua penggal tentu akan melepaskan rindu dan dendamnya dengan menimbulkan kepincangan Kerajaan pimpinan Abdullah selama empat tahun lalu.

Isu-isu kepentingan Melayu dan Islam yang menjadi isu kesukaannya secara konsisten akan bergema kembali di parlimen. Sebagai seorang tokoh politik lama pasti juga apa yang dibangkitkan Ibrahim lebih matang dan bersifat universal.

Begitu juga dengan yang lain, Muhammad Sabu, Mahfuz dan lain-lain akan terus mendesak dan membelasah Kerajaan terutamanya berhubung dengan beberapa tindak tanduk Kerajaan selama ini yang mengabaikan kepentingan rakyat marhaen.

Susun semula

Isu-isu kemiskinan, jenayah, skandal dan penyelewengan akan didominasikan oleh mereka ini. Tidak mustahil juga Muhammad Sabu akan mendesak parlimen agar meminta polis membuka semula siasatan ke atas pembunuhan warganegara Mongolia, Altantuya Shaarribbu yang penuh misteri itu atau pun meminta badan kehakiman disusun semula ekoran pendedahan klik video VK Linggam.

Soal pilihan raya dan demokrasi juga akan menjadi bahan ampuh mereka. Pasti mereka akan mengemukakan hujah memberi bukti betapa pilihan raya hari ini tidak adil, kotor dan korup. Sehubungan itu mereka mungkin akan mengemukakan cadangan agar sistem pilihan raya negera ini diubah seperti di negara-negara Barat ataupun di Indonesia, di mana pemilihan ahli Parlimen mengikut peratus undi yang diraih oleh parti bertanding dan bukan undi popular calon.

Cara demikian lebih adil dan saksama di mana suara rakyat sebenar dilayan dengan penuh keadilan tidak seperti hari ini pilihan dan undi rakyat disia-siakan dan dirosak dengan sistem di mana wakil parlimen dipilih berdasarkan undi peribadi yang diperolehinya.

Sekiranya rakyat mahu melihat Parlimen kita hidup dan hangat pastikan mereka ini berada di Parlimen selepas pilihan raya kelak! [wm.kl 2:00 04/02/08]

Sunday, February 3, 2008

Mahasabah

Kenapa Marah Rais, Dia Memang Begitu

MARAH betul sahabat saya yang berkerja sepenuh masa di Ibu Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut kepada si pembakar jambatan Rais bin Yatim@Jantan kerana Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu telah membawa Tahun Baru Cina ke negeri Serambi Makkah.

Sahabat saya itu menyesali Rais telah memperalatkan perayaan Tahun Baru Cina untuk kepentingan politik. Menurutnya patutlah Abdullah (dipanggil Dollah) memilih suasana Tahun Baru Cina untuk mengadakan piliha raya.

Sahabat itu marah bukan apa, dahlah eksplotasikan perayaan itu tetapi Rais sedikit pun tidak hormat Kerajaan Kelantan. Rais, katanya melibatkan Cina MCA di Kota Bharu saja dan bukan Cina seluruh Kelantan.

Untuk pengetahuan Rais Cina di Kelantan bukan saja sekitar Jalan Kebun Sultan yang kini sudah jadi mini Petaling Street, tetapi Cina juga ada di serta pekan di Kelantan.

Bertukar

Malahan di kampung juga Cina ada seperti di Kelar, Kasar Pasir Mas, Guchil Kuala Krai di mana budaya dan kehidupan mereka tidak ubah seperti orang Melayu. Kalau salah pandang bertukar antara Melayu dengan Cina.

Begitu pun munasabah juga kalau sahabat saya di Jalan Raja Laut itu terkilan kerana Rais seharusnya ikut sama mengambil kira Cina di serata Kelantan itu berhubung cadangan berkenaan. Jangan tumpu di satu kawasan saja.

Yang juga sahabat saya marah ialah kerana Rais tidak membabitkan Exco Kelantan berbangsa Cina, Annuar Tan Abdullah. Menurut sahabat itu sepatutnya Annuar Tan dibuat berkira dalam soal menyambut tahun baru Cina itu. Sahabat itu bertanya apakah Rais buta tidak tahu hal itu.

Biarlah, saya setuju kalau sahabat itu marahkan Rais kerana memperalatkan perayaan Tahun Baru Cina untuk kepentingan politik, tidak ajak Annuar Tan dan sebagainya. Tidak patut peralatkan perayaan 'keagamaan' untuk tujuan politik. Itu juga boleh dicharge di bawa menyalahgunakan agama untuk kepentingan politik. Sama-sama kita tunggu komen Abdullah Md Zain menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menuduh ada parti politik peralatankan agama untuk kepentigan politik. Apakah beliau maksudkan kepada perbuatan rakan sekabinetnya itu?

Dalam hal ini saya ada pandangan lain berhubungan tindakan Rais itu. Apakah Rais boleh dikatakan menteri cerdik bila beliau membawa perayaan itu ke Kelantan.

Rasanya Kelantan bukan tempat untuk diadakan festa tahun baru Cina atau Deepavali berunsur keagamaan itu. Ia lebih elok kalau diadakan di Johor Baharu, Penang atau Ipoh berulang kali. Perayaan tahun baru Cina ada sangkut paut dengan perayaan keagamaan. Janganlah cemarkan kesucian dan kemurinia Kelantan dengan perayaan seperti itu.

Cukuplah apa yang sudah ada di Kelantan. Kalau tidak bawa perayaan itu pun tahun baru Cina tetap juga diadakan. Naga tetap juga menari-nari di Dewan Perniagaan China dan di Jalan Kebuan Sultan. Dan adakalanya Tok Guru Nik Aziz sendiri bermain dan berjinak dengan singa buatan itu.

Apakah itu tidak cukup?

Saya ingin tanya Rais dan juga orang sekampung dengannya. Apakah jadi nasib Melayu takdirnya Melayu menjadi minoriti di dalam negara ini dan orang Cina memegang Kerajaan. Apakah mereka akan mengambil inesiatif demikian untuk mengadakan sambutan Aidifitri atau Mauludi Rasul di serta tempat?

Strategis

Perihal Annuar Tan yang disebut oleh sahabat saya di Jalan Raja Laut itu, tidak perlu dikesalkan apabila Rais membawa perayaan itu dan tidak menjemputnya. Kalau beliau mempunyai pandangan jauh dan strategis serta pandai mengambil kesempatan beliau awal-awal lagi mewartakan Kelantan akan membuat sambutan seumpama itu besar-besaran.

Tidak salah, sebab Kerajaan Pas menerimanya! Kalau Annuar Tan ada idea untuk sama-sama mengkomersialkan perayaan itu tidaklah pula sampai Rais memotong tripnya. Annuar Tan boleh buat naga besar-besar dan arak keliling setiap bandar dan pekan di Kelantan. Tok Guru dan orang sefikirah politik dengannya boleh menghadiri untuk mengekori naga dari belakang sambil menghulurkan angpau dalam sampul merah.

Dalam eksplotasikan kebudayaan berbagai kaum ini untuk kepentingan politik saya nampak bukan saja dilakukan Umno dan BN, tetapi Pas juga ikut sama terikut-ikut dengan BN dan Umno. Pas semacam tidak yakin kepada diri sendiri dalam memastikan pengaruh dan kekuatannya kekal dan untuk mendapat sokongan rakyat.

Saya rasa Pas jangan terikut sangat dengan budaya dan feel Umno. Pas harus kekal dengan identitinya sendiri yang selama ini sudah diterima rakyat. Matlamat menghalalkan cara bukan uslub dan pendekataan Pas.

Inilah fenomena yang saya sering sebutkan akhir-akhir ini ada unsur-usnru cuma nak menyamakan Pas dengan Umno dari segi tindak tanduk, cara berfikir dan strategi politik. Ada yang Umno sudah lama lempar Pas baru nak ambil.

Kepada sahabat saya di Jalan Raja Laut itu tenguk-tenguklah apa yang saya bimbangkan itu. Jangan kerana orang kita buat silap maka kita pun buat-buat tidak nampak. Al munafik namanya itu. [wm.kl 12:05 pm 03/02/08]

Sebelum Lelap

Ezam Terjerut Dalam Jerat

WAH berang betul bekas Ketua Angkatan Muda, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Noor dengan laporan berita 'sensasi mengatakan dia memohon untuk bertanding atas tikit PKR dalam pilihan raya akan datang.

Marah pemuda teras reformasi itu bukan main-main siap dengan membuat kenyataan akhbar sekali. Nasib baik tidak sampai saman menyaman, kalau tidak kena bersusah payahlah laman protal yang menyiarkan berita berkenaan.

Menjelang pilihan raya ini ahli-ahli politik mudah melenting dan sensitif sekali. Jadi para penulis kena hati-hati dan waspada kalau tidak mahu ulang alik ke mahkamah!

Menurut Ezam berita disiarkan dalam protal berita itu sebagai fitnah dan berniat untuk menjatuhkan maruahnya. Ianya didalangi oleh pemimpin oportunis dan hipokrit dalam PKR. (Siapa agaknya tokoh yang dimaksudkan Ezam itu, apakah 'saingannya' dalam PKR selama ini? Harapnya jangan beliau tundingkan kepada bekas bossnya).

Uzlah

Ezam seperti masih belum puas denga tokoh berkenaan yang melukakan hatinya itu sehinggakan akhirnya menyebabkan beliau terpaksa beruzlah dari PKR.

Berita yang membuat Ezam tersinggung itu ditulis oleh Zulkfeli Mohamad yang didakwa Ezam juga ahli PKR. Penulis itu mengambil sumber daripada orang dalaman. Menurut sumber itu kononnya perihal Ezam itu dibincang peringat jawatankuasa tertinggi parti.

Penasihat Umum PKR, Anawar Ibrahim turut dikaitkan sebagai dikatakan memberi syarat bersedia menerima Ezam asalnya dia (Ezam) memohon maaf kepadanya. (Bak inilah mungkin yang menyebabkan Ezam melenting). Dalam kenyataannya ketika hendak keluar PKR dulu Ezam menuduh Anwar sebagai diktator dan PKR dikuasai oleh tokoh tertentu sahaja dan itulah menjadi sebab beliau tidak betah dalam PKR. Tuduhan itu dan sikap Ezam itu mengilankan Anwar.

Saya membaca kedua berita itu, berita yang melaporkan niat Ezam itu dan juga kenyataan balas Ezam menafikan laporan berkenaan.

Semasa membaca berita itu saya sudah merasa ada sedikit tidak kena. Ada semacam tidak masuk akal dengan berita laporan Zulkefli itu. Ilusi saya tidak mempercayai serapuh itu prinsip Ezam, baru keluar dan nak rujuk balik. Ezam bukan begitu. Beliau ada prinsip dan konsisten dengan keputusannya. Siapa boleh lawan keberanian Ezam dalam mempertahankan Anwar? Bukankan beliau sanggup meringkuk dalam penjara?

Apabila dipetik Anwar sebagai memberi isyarat kepada Ezam, agar memohon maaf kepadanya ternyata sumber berita itu tidak tepat dan kurang berwibawa. Kalau pun nak mengusik Ezam ianya tidak profesional langsung.

Tidak logik juga kalau benar Ezam ingin kembali semula kepada PKR dan Anwar pula mengenakan syarat berkenaan. Itu juga bukan sifat Anwar apa lagi dalam saat pilihan menjelang tiba di mana Anwar memerlukan sokongan rakan-rakannya. Mustahil Anwar hilang akal terus-terusan bergaduh dengan sesiapa saja. Lagipun Ezam bukan sembarangan bagi Anwar!

Kerana itu saya lebih merasakan laporan itu sebagai gimik saja dan tidak pun berhajat untuk menanyakan Ezam sendiri mengenai kesahihannya. Mungkin orang lain juga merasakan demikian. Ia bukan serius, seperti mana seriusnya kenyataan-kenyataan mengejek Dr Mahathir kepada Abdullah Badawi.

Desas desus

Saya mengkelaskan berita itu hanya gimik dan usikan politik kepada Ezam saja. Usikan begitu mungkin timbul apabila ada berita dan desas desus (juga gimik) sebelum ini mengatakan Ezam akan bertanding atas tikit BN dalam pilihan raya akan datang. Berita ini sampai tersebar di Madinah! Khir Toyo juga turut sama menyentuhnya.

Kalau itulah tujuan dan motif penulisan berita itu ia berbaloi apabila Ezam membalas 'fitnah' itu dengan kenyataan yang memberang. Ekoran berita itu juga Ezam turut menjelaskan memang ada parti politik yang mempelawanya tetapi dia tidak berminat. Belau juga mengatakan kalaupun beliau ingin bertanding, beliau akan bertanding sebagai calon bebas.

Apa yang ingin diketahui oleh pihak tertentu dalam PKR terjawab sudah. Dan penjelasan Ezam berhubung desas desus beliau akan bertanding atas tikit Umno itu adalah tidah benar dan disahkan sendiri oleh Ezam. Jadi apabila beliau menjawab dan menjelaskan tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang atas mana-mana parti, perangkap itu mengena!

Tegasnya jawaban Ezam itu memuaskan mereka yang ingin mencungkil rahsia siasahnya. Orang ramai juga tahu mengenai pendirian Ezam kini. Dalam kata lain jawaban dan kenyataan Ezam itu benar-benar memuaskan hati orang dan memenuhi hajat orang yang merekakan berita berkenaan.

Moral of the story mengenai laporan dan kenyataan Ezam itu ialah, sekiranya Ezam bertanding atas tikit BN / Umno dalam pilihan raya akan datang bermakna beliau melanggar prinsipnya dan berbohong kepada umum. Kini Ezam tidak boleh berdolak dalih lagi.

Kedua, tujuan 'fitnah' itu juga untuk memintas Ezam agar tidak berbuat demikian - bertanding atas tikit Umno ataupun menyokong secara senyap mana-mana tokoh tertentu dalam Umno pada pilihan raya akan datang. Kerana sebelum ini juga terdengar riak yang beliau akan membantu seorang tokoh Umno dalam pilihan raya akan datang!

Kesimpulannya kenyataan balas Ezam itu menyerlahkan sikap kurang fatanahnya dan ia secara tidak langsung menyerlahkan hakikat sebenar dirinya yang dalam dilema sejak meninggalkan PKR dan politik organisasi. Gerak yang dipengerusikan kini hanya sementara sahaja sebelum terjumpa wadah sebenar! [wm.kl 11:30 pm 02/02/08]

Saturday, February 2, 2008

Susupan Pagi

Abdullah dan Najib berbeza pandangan

Barisan Nasiona (BN) nampaknya tidak sekata dalam membuat pandangan dan kriteria untuk memilihkan calon-calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kelak. Kriteria yang dikemukakan Abdulah berlainan dengan kriteria yang dikehendaki Najib.

Abdullah mahukan calon-calon bersih akan diletakkan bertanding dalam pilihan raya. (Ada lagikah calon bersih dalam Umno?) Semenantara Najib pula mengemukakan calon yang boleh diterima dan boleh menang akan diambil.

Jika tidak diamati tidak ada perbezaan besar pandangan kedua mereka itu. Tetapi kalau dihalusi ia sunggu berbeza. Bila Abdullah mahukan calon bersih, bermakna calon itu bersih dalam segala-galanya - zahir dan batin.

a) Tidak korup atau rasuah,
b) Tidak pernah menyalah gunakan kuasa atau bersubahat dengannya,
c) Mestilah mereka yang warak dan hafal tentang ciri-ciri dan prinsip Islam Hadhari,
d) Yang tahu dan pandai menjadi iman.
e) Tidak bercakap bohong dsbnya.

Bersih dalam konteks Abdullah kehendaki itu juga ialah mereka yang;

a) Tidak samseng, tidak pernah pukul orang misalnya sampai kemek muka,
b) Tidak ada skandal main dengan isteri orang atau membawa lari anak muda orang berkahwin ala cawboy di luar negeri,
c) Jujur, amanah dan bertanggungjawab,
d) Tidak ada hubungan sulit dengan Puteri Umno,
e) Tidak bermain kayu tiga dengan isteri dengan sapu orang gaji, dsbnya.

Sebaliknya apa yang dimaksudkan Najib mereka yang diterima masyarakat dan boleh menang, terkeluar dari ciri-ciri bersih yang dituntut oleh Abdullah itu. Bagi Najib walaupun calon itu tidak memenuhi ciri-ciri bersih dikehendaki Abdullah itu tidak mengapa asalkan ianya boleh menang.

Di sini Najib mementingkan kepada soal menang dari kualiti calon berkenaan. Bagi Najib bersih mengikut persepktif Abdullah tidak timbul. Mungkin Najib tidak bersedia untuk menyetujui syarat-syarat yang dikenakan Abdullah itu kerana beliau juga tidak begitu sempurna untuk memenuhi syarat-syarat berkenaan.

Sekiranya beliau bersetuju syarat itu sebagai kriteria utama ini bermakna Najib juga tidak lulus untuk menjadi calon pada piliahn raya akan datang?

Jika dibelek fail Najib masa lalu boleh tahan juga. Cerita-cerita beliau ditangkap dengan seorang artis di Port Dickson, ataupun kisah beliau dengan isterinya kini sungguh menggetarkan jiwa kalau mendengarnya.

Dilihat dari sudut itu - sejarah lama Najib tidak sepadan beliau berganding dengan Abdullah. Beza atau jaraknya macam Kuala Lumpur dengan Tokyo, jauh.

Dr Mahathir menerusi seorang kawan pernah membayangkan Najib akan "finish" selepas pilihan raya ini. Mahathir yakin Abdullah tidak akan melantik Najib sebagai TPM. Ini katanya bila selesai pilihan raya Abdullah akan mendapat mandat baru. Berdasarkan kepada pengalamannya atau amalan politik setelah mendapat mandat baru seorang Perdana Menteri mempunyai kuasa besar.

Saat inilah seorang PM itu akan membuat keputusan yang diluar jangkaan orang ramai.

Kita tunggulah apa yang Mahathir bayangkan itu benar atau tidak.

Berbalik kepada soal kriteria calon tadi ia juga menyerlahkan perbezaan mereka berdua. Sudah ada tanda-tanda Najib dan Abdullah tidak sefaham. Apakah pertelingkahan kecil itu akan merebak dalam pilihan raya ini kemudian akhirnya membawa masalah kepada salah seorang dari mereka?

Najid sudah lebih tiga kali menyatakan beliau setia dengan Abdullah. Kenapa sampai mengulang perkataan phobia itu berkali-kali. Kesetian dan cinta tidak perlu diucap pagi dan petang. Hanya orang yang tidak merasakan dia cinta dan yakin saja dia perlu membai'ahkan perkataan itu berkali-kali.

Buat masa ini mereka berdua sedang bertarung untuk meletakkan wakil (calon) masing-masing. Abdullah mahukan orangnya manakala Najib mahukan orangnya. Seperti dikatakan pilihan raya ke-12 juga merupakan pertarungan pusingan awal antara Najib dan Abdullah. [wm.kl 1:50 02/020/08]

Friday, February 1, 2008

Tinjauan

Abd Hamid Paling Layak Tanding di Tendong

MSO

PELUANG Pas untuk memenangi DUN Tendong adalah 50 - 50. Dun Tendong antara DUN yang unit dan mempunyai sejarah tersendiri. Kekuatan Pas dan Umno di sini sama rata. Jika dilihat peta kawasan pilihan raya ini, warna hijau - mewakili Pas dan warna biru - mewakili Umno ianya sekata.

Penguasaan institusi konvesional Melayu iaitu masjid dan surau juga lebih kurang sama. Ada surau yang totok Umno dan ada surau yang totok Pas. Begitu juga dengan masjid.

Sejarah DUN Tendong kalau diambil kira sejak kewujudannya, ia diwakili silih berganti oleh Pas dan Umno. Unitnya tidak ada calon yang mampu bertahan lebih dua penggal seperti kawasan lain. Realiti ini menunjukkan bahawa Tendong bukan dominasi mana-mana parti.

Pada masa ini Tendung diwakili Mohd Fauzi Mohamad seorang kontrektor daripada Umno. Dalam pilihan raya lalu beliau menewaskan calon Pas, Wan Othman Wan Yusuf dengan mejoriti 789.

Kekuatan

Kemenangan Fauzi ini bukan kerana kekuatan Umno. Seperti dikatakan tadi Tendong adalah milik Pas dan Umno.

Kemenangan Fauzi lebih banyak dibantu oleh pengaruh bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Ibrahim Ali. Fauzi adalah anak didik Ibrahim dan menjadi orang harapannya di Tendong.


Dalam pilihan raya lalu orang-orang Ibrahim Ali telah bersimpati dengan Fauzi. Inilah menyebabkan Fauzi menang. Sekiranya tidak ada sufaat daripada Ibrahim Ali, belum tentulah lagi Fauzi dapat menjadi YB.

Senerio Tendong dalam pilihan raya akan datang berubah sama sekali. Fauzi atau BN tidak akan mendapat sufaat pengaruh Ibrahim lagi. Ibrahim yang akan bertanding di parlimen Pasir Mas atas lambang Pas sudah pasti akan berpihak kepada Pas. Harapan Tendong untuk jatuh ke tangan Pas adalah cerah.

Bagaimana pun peluang itu terletak kepada siapa yang bakal menjadi calon Pas. Kalau Pas pandai memilih calon peluang menjadi lebih cerah lagi. Tetapi kalau silap calon peluang terbuka itu akan sia-sia saja. Sufaat Ibrahim tidak mampu memenangkan Pas!

Lebih pada dua nama disebut untuk dicalonkan di Tendong. Nama-nama ini sepatutnya tidak menjadi ramai kalau Pas mengenali orang yang telah dilatih untuk menjadi calon di situ selama ini, iaitu Abd Hamid Abd Aziz. Abd Hamid adalah penyelia DUN Tendong yang disifatkan sebagai rajin dan kratif oleh Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kemampuan

Berbagai kegiatan kemasyarakatan dilakukan Abd Hamid di Tendong di mana ianya mendapat sambutan hangat. Kebolehan Abd Hamid itu sering kaitkan dengan kemampuan dan kelayakan beliau untuk dicalonkan di Tendong.

Baru-baru ini timbul fitnah besar ke atas Abd Hamid yang sengaja dimainkan oleh orang tertentu yang bertujuan menafikan beliau menjadi calon. Tidak mustahil juga fitnah itu diupah oleh Umno kerana bimbangkan kepada Abd Hamid.

Fitnah itu sempat mengoncang kedudukan Abd Hamid dan juga meningkan kepada Nik Aziz. Bagaimana pun kerana yang benar itu akan tetap benar, nampaknya ia sudah lenyap begitu sahaja. Fitnah itu sudah mereda dan orang yang menimbulkan fitnah berkenaan pula kini berhadapan dengan masalah dan kemarahan penyokong Pas.

Ekoran timbul fitnah itulah maka muncul nama lain selain daripada Abd Hamid yang akan ditawarkan Pas bertanding di Tendong.

Salah satu nama dijaja ialah Shahrom, iaini bekas calon Pas yang menentang Muhammad Nasir di kerusi itu sekitar akhir tahun 70-an dulu. Waktu ini Shahrom adalah pensyarah di sebuah universiti di Kuala Lumpur.

Jika dibanding antara Shahrom dengan Abd Hamid, walaupun mungkin dari segi kerjaya Shahrom lebih daripada Abd Hamid namun dari nilai kepimpinan dan kesetiaan kepada parti dan kesungguhan berkerja untuk parti apa yang ada kepada Abd Hamid tidak boleh dipertikaikan.

Dalam satu tinjuan ringas ke Tendong beberapa hari lalu menjelaskan sokongan kepada Abd Hamid begitu meluas dan mantap. Sekiranya Pas tertakdir tidak memilih Abd Hamid menjadi calon Tendong adalah dibimbang akan berlaku sesuatu yang tidak diingini. Semangat yang ditunjukkan oleh para penghulu yang menjadi penggerak masyarakat Tendong seolah-olah mereka tidak dapat menerima calon lain selain daripada Abd Hamid.

"Saya tidak akan keluar mengundi kalau bukan Cik Hamid menjadi calon," begitulah ujar seorang penyokong kuat Pas dari Becah Semut. Kata-kata itu menggambarkan betapa Abd Hamid diharapkan akan dicalonkan untuk berhadapan dengan Umno pada pilihan raya ke - 12 kelak? [11:50 am 01/02/08]

Susupan Pagi

Abdullah Bersungguh Mahu Rampas Kelantan

TIDAK lama sebelum ini saya sudah memberi pandangan dan peringatan yang BN berminat benar untuk merampas Kelantan. Minat itu bukan saja datang dari dhamir pemimpin Kelantan seperti Annuar Musa yang sangat mengharapkan kemenangan bagi memulihkan riputasi politiknya tetapi daripada Presiden Umno sendiri.

Tidak ramai yang mempercayai atau mahu menerima apa yang saya katakan itu. Masing-masing masih beranggapan sikap Umno mengenai Kelantan seperti dulu, semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi Pengerusi Badan Perhubungannya.Kononnya Dr Mahathir tidak begitu berminat untuk merampas Kelantan. Beliau lebih suka kalau Kelantan terus dikuasai oleh Pas sebagai pengimbangi suara politik Melayu di Dewan Rakyat maupun di Dewan Undangan Negeri.

Itulah sebabnya maka Kelantan terlepas (dilepaskan) kepada Pas selama dua atau tiga penggal. Bermakna kemenangan Pas selama ini bukan kerana kekuatan sebenar parti itu tetapi kerana ada blesing daripada Umno?

Persoalannya kini sejauh manakah persefahaman politik secara senyap itu berlaku atau memang kebetulan Umno tidak berkeupayaan untuk merampas Kelantan. Apakah persefahaman itu masih ada dan ia akan memberi advantage kepada Pas?

Nampanya peringatkan saya itu benar. Kali ini Umno benar-benar berminat dan bersungguh untuk rampas Kelantan. Ia bukan lagi kerja atau cita-cita Annuar Musa dan rakan-rakannya di Kota Bharu tetapi ia juga menjadi cita-cita dan kerja Abdullah Ahmad Badawi sendiri.

Leibh Islamik

Agak dukacita bila mengenangkan ini. Sepatutnya Abdullah yang memberi laluan kepada Pas, Islam dan Melayu untuk menguasai Kelantan bukan orang seperti Dr Mahathir. Abdullah kelihatan lebih Islamik berbanding Dr Mahathir sepatutnya beliau lebih memahami keperluan itu. Namun rupa-rupanya jangkaan dan perasaan itu khilaf.

Sebagai seorang pemimpin yang lahir dalam kelompok ulama seharusnya Abdullah bersimpati dengan Islam dan Melayu Kelantan. Dalam hal ini juga Abdullah tidak percaya dan kepada suara pengimbangan Melayu dan Islam dimainkan oleh Pas. Beliau tidak perlu kepada kuasa pengimbang itu.

Abdullah dan Umno tidak rugi kalau serahkan Kelantan kepada Pas. Biarlah Kelantan ditadbirkan oleh Pas yang mengemukakan berbagai model Islam yang ada kalanya ditiru dan diceduk oleh Kerajaan BN. Rakyat Kelantan tidak mengalami apa-apa kerugian di bawah Pas. Kalau mereka agak tertinggal pembangunan dunia namun mereka mendapat pembangunan ukhrawi.

Kenapa Abdullah beriya hendak tawan Kelantan? Sebabnya mudah beliau mahu jadikan kejayaan itu sebagai bukti konsep Islam Hadhari yang dipeloporinya mendapat sokongan. Kalau beliau berjaya merampas Kelantan bemakna beliau boleh mendabit dada bahawa dia lebih baik daripada Dr Mahathir dan pendekatannya lebih diterima rakyat.

Tetapi bagaimana kalau takdirnya selepas pilihan raya nanti ternyata Kelantan tidak berjaya ditawan? Apakah Abdullah bersedia menjadikan ia sebagai kayu pengukur menunjukkan pendekatan dan kepimpinannya lemah dan ditolak rakyat? Apakah ketika itu beliau akan berundur dan turun dari takhta yang diduduki sekarang?

Membuang masa

Kesungguhan Abdulah untuk menakluki Kelantan jelas. Beberapa kali beliau telah turun dan membuang masa ke Kelantan. Tidak padan dengan Najib dan menantunya Khairy beliau sendiri berkhemah di Kelantan. Pada 4 Januari ini beliau akan berada di Bachok kawasan Awang Adek Hussein.

Jarang seorang Perdana Menteri begitu kerap mengunjungi sesebuah negeri dan menghabiskan masa kalau tidak ada motif dan hajat tertentu.

Maka Pas dan Keadilan tidak boleh pandang enteng kepada kerja Abdullah dan Umno ini. Mereka perlu memantaunya. Sebenarnya kehadiran Abdullah maupun Najib itu sebagai gambaran kononnya mereka bertungkus lumus untuk merampas Kelantan. Sebaliknya ada strategi lain untuk membolehkan mereka merampas Kelantan.

Salah strategi yang kini sudah terbongkar ialah usaha membawa balik seberapa banyak pengundi yang berada di luar. Tidak mustahil bersama lori, bas, keretapi atau kapal terbang yang membawa balik pengundi di luar itu akan diangkut sama para pengundi hantu.

Tidak mustahil perkara itu akan berlaku. Untuk menang Umno akan melakukan apa saja. Apa lagi dalam keadaan terdesak untuk memulihkan imej kecemerlangannya yang sudah mulai menurun, Umno dan Abdullah akan berbuat tanpa mempedulikan hukum, undang-undang dan moral politik demokrasi.

Di Kelantan pernah berlaku di mana sebuah jambatan dibakar oleh Pemuda Tahan Lasak Umno demi menghalang kira-kira 300 pengundi dan penyokong Pas keluar mengundi. Natijah daripada perbuatan jahat itu menyebabkan calon Pas kalah. [wm.kl 7:20 pm 30/01/08]