Tuesday, August 5, 2008

Hanya Nostalgia

Kegagalan Perundingan Pas - Umno:
Kerana Tinggalkan Bekas Kawan Saya!

MESKIPUN Pas masih belum mengunci rapat pintunya untuk mengadakan muqabalah dengan Umno namun kerancakan dan harapannya sudah menipis. Tentangan hebat di kalangan pemimpin tertinggi Pas sendiri dengan sokongan penuh daripada akar umbi membuatkan mereka yang beriya untuk mendekati Umno jadi terperagah. Sayang....

Kesimpulan isu muqabalah itu pihak yang menentang menang dan pihak yang bersedia kalah!

Apabila saya merenung ke dalam dan menilai dengan pengalaman dan sejarah sebelum ini kenapa usaha muqabalah berkenaan gagal, tidak lancar dan tersekat di tengah jalan macam kerena kehabisan minyak disebabkan salah teknik.

Sebab utama ialah kerana perundingan itu dilakukan oleh mereka yang tidak berpangalaman dan tidak ada track record kejayaan dalam sesuatu perundingan. Saya yakin kalau perundingan itu melibatkan orang pengalaman, pernah berunding dan pandai mengeleceh ia mungkin berjaya dan keadaan tidak kelam kabut seperti hari ini kalau pun perundingan itu tidak mencapai impian.

Tidak menjadi rahsia lagi seperti dihebohkan perundingan awal melibatkan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sendiri bersama Khalid Samad dan Mustafa Ali. Mereka ini berunding secara diam-diam bukan atas kehendak mereka peribadi sebaliknya setelah mendapat restu Majlis Syura. Jadi tidak timbul sebenarnya mereka pandai-pandai untuk berunding tanpa merujuk kepada jemaah.

Apa yang menyebabkan mereka gagal dan kena marah ialah kerana tidak faham bahawa dalam politik kuasa sebenarnya bukan terletak kepada sesuatu jawatankuasa atau badan. Hakikinya terletak kepada pihak lain yang dipengaruhi dan ditentukan oleh keadaan. Sebab itu sifir politik bercadas dengan ilmu hisab. dua kali dua dalam politik jawabannya ialah 101.

Inilah silapnya. Jadi apabila Nasarudin berkata dia mengikut kehendak majlis syura, beliau sudah silap dan terperangkap dengan jawaban itu. Keputusan majlis itu tidak terpakai dalam tindakan-tindakan sepenting itu tanpa melibat suasana di luar dan semasa. Untuk mengetahui ini ia memerlukan pengalaman.

Cuma sedikit menghairankan saya kenapa Mustafa Ali sebagai tokoh veteran dan pernah melalui berbagai perundingan kenapa tidak berbuat sesuatu atau membatalkan hasrat itu meskipun ia murni. Seharusnya beliau tahu akan masalah yang bakal berlaku itu dengan tindakan demikian.

Dalam konteks ini saya lihat bekas kawan saya mempunyai pengalaman dan kemampuan luar biasa dalam hal beruding ini. Sepatutnya dalam bab ini Pas menggunakan khidmat beliau.

Sepanjang saya berkawan dengannya selama kira-kira 13 tahun, bermula tahun 1994 (bukan 13 hari) saya cukup arif mengenai kebijaksanaan dan kelicitannya dalam berunding. Bahkan saya sendiri turut sama mengatur beberapa pertemuan beliau dengan pihak-pihak tertentu.
Baik berhubung rundingan politik peringkat nasional atau negeri Kelantan, kebanyakan rundingan membawa kejayaan dan menguntungkan Pas dan walaupun ia adakalanya kontroversi namun beliau tidak menjadi sasaran, terlepas dari kutukan. Itulah kehebatannya.

Antara perundingan yang dilakukan secara private ialah;

1. Mendapatkan bayaran premium tanah dari Felcra sebanyak RM7 juta. Sudah bertahun kerajaan Kelantan cuba mendapatkannya namun tidak berjaya. Apabila bekas kawan saya itu menjadi Exco dan mempunyai autoriti untuk berunding barulah berjaya.

2. Menarik balik petisyen yang dilakukan oleh BN ke atas enam kerusi yang dimenangi Pas di Kelantan pada tahun 2004. Hasil perundingannya direct dengan Khairy Jamaluddin BN tarik balik dan Pas turut sama tarik balik petisyen berkenaan. Jadi tidak ada dakwa mendakwi, Pas kekal memerintah Kelantan dan Abdullah pula kekal menjadi PM. Saya ada simpan gambar bekas kawan saya itu perpapasan dengan Khairy Jamaluddin.

3. Perundingan secara membayar 'ufti bunga emas' dengan pihak istana Kelantan juga berlaku. Kerajaan pimpinan MB Kelantan menghadapi masalah dengan istana. Krisis ini ada saya rakamkan dalam sebuah buku sehingga akhirnya disaman RM20 juta. Namun kerana kebijaksanaan bekas kawan saya hubungan istana dengan MB berkenaan pulih balik. Sultan Ismail yang sebelum ini enggan bersalam dengan MB, sudah boleh tersenyum.

4. Saman yang dikenakan ke atasnya RM20 juta oleh bekas Setiausaha Kerajaan Kelantan (seperti mana saya terima) juga diselesaikan menerusi perundingan tanpa dibawa ke mahkamah.

5. Beliau juga turut berunding bagaimana hendak menggunakan pengaruh Ibrahim Ali di Pasir Mas untuk kepentingan Pas. Ibrahim yang licit dan culas itu akhirnya terjerut dalam genggamannya bekas kawan saya itu sehingga menyebabkan Ibrahim memberi keuntungan kepada Pas pada pilihan raya lalu.

6. Sebelum ini juga bekas kawan saya itu berjaya membawa masuk Allahyarham Haji Nordin Yaacob ketika itu menjadi Wakil Rakyat Kelaboran menyertai Pas. Saya dan bekas kawan saya itulah yang membawa masuk Allahyarham ke dalam Pas.

7. Menjelang pilihan raya lepas, bekas kawan saya itu jugalah membawa masuk Rosli Ibrahim ke dalam Pas. Bukan senang untuk membawa bekas Setiasuaha Umno Kelantan itu, namun kerana kebijaksanaan rundingan bekas kawan saya itu Rosli akhirnya bersama Pas dan diberi ganjaran setimpal beberapa kawasan balak dan terbaru jawatan Senator.

Banyak kalau saya nak sebut akan 'kebisaan' (terror) bekas kawan saya itu. Saya yakin kalau Pas diawalnya menggunakan khidmat bekas kawan saya ini berunding dengan Umno keadaan akan tidak jadi seperti hari ini. Silapnya agenda itu tidak diberi tahu atau ajaknya sama untuk berunding.

Ternyata stail kerjanya secara one man show dan tidak yakin dengan keputusan kolektif yang diamalkan oleh bekas kawan saya itu membawa kejayaan dan berkesan.

Itulah yang menyebabkan Menteri Besar Kelantan sangat sukakanya. Bekas kawan saya ini juga tidak banyak cakap, tetapi berbuat kerja hinggakan jam 10 malam masih berada di pejabat kerana menumpukan kepada kerjanya. Jadi kalau esok lusa MB Kelantan nak berhenti orang paling layak menggantinya ialah bekas kawan saya itu.

Bab ini saya hormat bekas kawan saya itu. Sesiapapun tidak dapat mengatasinya cara dia bekerja, berfikir dan menyelesaikan masalah. Apakah kelebihan ini (berunding) boleh dijadikan amalan dan formulanya menyelesaikan masalah kalau beliau ditakdir menjadi pemimpin tertinggi kelak?
Sayang untuk memperbetulkan keadaan (muqabalah) sudah tidak boleh. Ia sudah terlalu jauh dan merumitkan.

Dan bekas kawan saya itu pula kini sudah kerap makan sekali dengan seseorang yang mungkin juga mula teruja dengan kehebatannya dalam mempengaruhi keadaan untuk kepentingannya.
[wm.kl 12: 00 t/hari 05/08/08]

Bicara Pagi

Syabas Kepada Mufti Perlis

BARANGKALI saya adalah antara orang-orang yang merasa lega apabila membaca laporan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak bersedia untuk menjadi calon BN pada pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan diumumkan esok.

Lega bukan kerana bimbang beliau akan kalah ditangan Anwar Ibrahim ataupun beliau akan mengancam Anwar, tetapi lega dan senang kerana dunia dan umat Islam masih lagi boleh memiliki beliau. Ilmu yang beliau miliki amat diperlukan untuk membantu umat Islam negara ini.

Kalau beliau terjun ke dalam kancah politik kedudukannya tidak dipandang semulia seperti hari ini lagi. Bila menjejak kaki ke kancah politik beliau tidak dapat elakkan diri daripada condong kepada parti yang dianggotainya. Beliau juga tidak akan dilihat bebas untuk berkata-kata berdasarkan kebenaran lagi.

Kalau beliau menyertai Umno misalnya beliau tidak lagi boleh mengkritik silap dan salah pemimpin Umno. Beliau tidak lagi dapat membaca ayat-ayat Quran dan Hadith mengikuti sepatutnya sebaliknya kena baca ayat-ayat yang menyenangkan orang dan diambil sekerat-sekarat.

Minggu lalu beliau menegur sikap PM Abdullah Ahmad Badawi yang meletakkan kalungan bungan di Tugu Negara.

Cuba kalau beliau menyertai Umno beliau tidak akan 'boleh' berbuat begitu lagi. Beliau hanya kena mendiamkan diri saja. Banyak ulama dan ustaz dalam Umno tahu hukum apa yang dilakukan Abdullah dan perdana menteri sebelum ini tetapi seorang pun tidak berani menegurnya. Mereka sanggup bergulamang dalam dosa secara bersama.

Begitu juga kalau beliau menyertai Pas. Teguran kepada Nik Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang tidak boleh dilakukan lagi. Semuanya akan diiyakan bahkan menjadi tukang tambah pula terhadap kata-kata mereka itu.

Sudah banyak ustaz dan ulama yang menceburi diri dalam politik akhirnya musnah. Mereka yang sebelumnya dilihat memiliki ilmu tinggi tiba-tiba runtuh sebaik saja berada dalam politik dan setelah mendapat kuasa duniawi itu.

Tidak dapat lari kalau menyertai politik mereka kena bercakap bohong, kena menggunakan kaedah matlamat menghalalkan cara, kena berdolak dalih dan kena bersifat hipokrit. Tasbeh dan Quran hanya lambang saja bukan untuk diamalkan.

Bagi orang politik kalau tidak memiliki sifat itu tidak lengkap.

Saya mendoakan semoga Asri akan kekal dengan pendirian dan siasah yang diambilnya kini. Hari ini beliau diterima dan menjadi rujukan semua orang. Semua pihak menggunakan ilmunya, baik BN, Pas dan lain-lain. Semua parti sukakan atas keberaniannya. Beliau seorang ulama gantang yang progresif dan dinamik.

Mudah-mudahan Allah s.w.t. memberi kekukuhan iman kepada Asri untuk teguh dengan pendiriannya, menjadi ilmuan dan cendekiawan Islam yang senantiasa dirujuk oleh umat Islam. Beliau didoakan juga terus berani menegur dan memberi jalan-jalan pemikiran dan pegangan hidup baru yang progresif sesuai dengan Islam sebagai way of life. Pendirian dan peranaan beliau juga mudah-mudahan menjadi ikutan generasi rabbani yang baru! [wm.kl 8:00 05/08/07]

Monday, August 4, 2008

Catatan Pagi

Permatang Pauh: Hindar Isu Peribadi

(kemaskini) SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini bagi membincangkan dan menentukan tarikh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Dalam perbincangan itu dijangka SPR akan menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Menurut akta pilihan raya apabila sesuatu kerusi itu kosong ianya hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari. Ini bermakna pilihan raya itu akan diadakan tidak lebih dari 1 Oktober, Dr Wan Azizah melepaskan kerusi berkenaan pada 31 Jun lalu.

Sekiranya pilihan raya berkenaan hendak diadakan sebelum 31 Ogos ini bermakna hari penamaan calon akan ditentukan sekitar 16 -20 Ogos manakala hari mengundinya seminggu kemudian antara 24 hingga 29 Ogos. Kalau ini berlaku bolehlah pilihan raya itu kelak dijadikan hadiah hari kemerdekaan kepada mana-mana pihak yang menang.

Itulah tempoh yang dikira sesuai dan paling cepat boleh diadakan. Ataupun pilihan raya boleh diadakan pada September, namun ia mungkin tidak sampai terlajak begitu lama lagi pun memandangkan perbahasan Bajek 2009 telah bermula pada pertengahan Ogos.

Tidak kisahkah bila tarikh pilihan raya hendak diadakan, tetapi beberapa perkara adalah wajar kalau difikirkan semua pihak terlibat. PKR dan BN sudah tentu terlibat secara langsung dalam pilihan raya berkenaan. Keduanya akan berentak bagi menentukan siapakah pemilik kerusi itu selepas ini. Parti-parti lain hanya sebagai pemerhati dan pemantau sahaja.

Bagi hemat saya pilihan raya berkenaan tidak perlu kepada kempen besar-besaran. Ia hanya sebagai satu formaliti untuk memenuhi kerusi berkenaan sahaja. Oleh sebab kerusi berkenaan dimenangi Dr Wan Azizah pilihan raya lalu, adalah elok kalau ia diserahkan kepada Anwar seperti mana hasrat isterinya itu. Tetapi tidak mungkin begitu kerana politik kita belum sampai kepada standard sedemikian.

Rasanya tidak timbul perbuatan Azizah itu mengkhianati parti dan pengundinya apabila beliau mengosongkan kerusi berkenaan kerana orang yang akan menggantinya adalah suaminya sendiri. Lagipun kerusi itu pernah diwakili Anwar selama tiga penggal.

Kerana itu adalah elok kalau tidak ada kempen bagi mengelakkan pembaziran dan berlakunya hal-hal yang tidak didingini. Untuk diberikan menang tidak bertanding nampak sangat BN tidak ada maruah.

Kalau boleh biarlah pilihan raya itu berjalan dalam keadaan harmoni. Tidak ada gunanya membazir wang di Permatang Pauh. Mungkin amalan melambakan wang dan projek dalam kawasan di mana pilihan raya kecil diadakan tidak sesuai lagi. Perbuatan itu juga berunsur rasuah dan bertentangan dengan moral manusia bertamadun.

Politik kita perlu matang! Bahan dan bentuk kempen juga perlulah ditukar ganti. Kempen menyerang peribadi rasa tidak sesuai lagi. Sudah 51 tahun kita merdeka apakah bentuk kempen kita masih seperti tahun 60-an?

Kalau tidak dapat elak dan kempen itu diteruskan, sudah pasti dua individu akan menjadi sasaran; Anwar Ibrahim dan Mohd Najib Razak.

Walaupun Mohd Najib tidak bertanding, tetapi kerana beliau pimpinan BN/Umno dan akan diberi tanggungjawab mengepalai kempen sudah tentu beliau akan menjadi sasarannya. Jika Najib diusik sudah tentu Anwar juga akan diusik. Hal ini tidak dapat dibendung. Isu-isu yang berlegar di sekitar diri mereka berdua akan ditabur bagaikan bertih.

Jentera pilihan raya atau pengarah pilihan raya masing-masing hendaklah membuat kenyataan dan janji untuk tidak menggunakan isu peribadi. Berjanjilah untuk mengelakkan perkara itu ditimbulkan dan mulalah berlajar bermain politik secara profesional.

Adalah lebih elok kalau gelanggang di Permatang Pauh itu digunakan untuk masing-masing mengemukakan idea dan buah fikiran bagaimana untuk mengatasi masalah kemiskinan rakyat, keadaan kelembaban ekonomi ataupun masalah sosial yang semakin parah menimpa umat Melayu.

Anwar boleh membetangkan apakah wawasannya jika berjaya mengambil alih Malaysia 16 September depan secara menyeluruh, manakala BN pula bolehlah membentangkan pencapaian dan kemajuan mereka dalam separuh tahun ini. Disebabkan Mohd Najib akan mengambil alih kuasa pada 2010 bolehlah Mohd Najib mengemuakakan apakah pelan pembangunan negara yang ada dalam kepalanya.

Rasanya perkara itu lebih baik dan jilah untuk dilakukan pada pilihan raya tersebut daripada masing-masing menyerang peribadi seperti mana budak-budak kecil bergaduh selepas sama-sama bermain masak-masak. (Terima kasih kepasa penjenguk yang peka mengenai kesilapan tarikh disebut diatas yang sudah diperbaiki. - MSO [wm.kl 8:45 am 04/07/08]

Sebelum Lena

Ingat Mengingatkan Tanggungjawab Bersama

SEORANG penjenguk blog saya bernama Nusru telah mengirimkan email (menerusi komanter) blog saya meminta saya membaca kutukan orang terhadap saya dalam blog pinkturle2.wordpress.com. Terima kasih.

Kebetulan ada sedikit masa sebelum tidur, saya belek blog berkenaan dan membaca artikel berkenaan yang membuat teguran kepada saya. Antara lain minta saya berhati-hati dan tidak melagakan pemimpin?

Sebenarnya saya tidak perlu memberi ulasan dan respon di sini sebab artikel itu tidak dimasukan terus ke dalam blog saya. Saya tidak suka sebenarnya campur tangan hal ehwal rumah tangga orang lain walaupun mengenai saya.

Di sini saya tidak akan memberi reaksi kepada tiga pengomen fantik yang dibuat di bawah artikel berkenaan. Komen begitu sudah biasa bagi saya, macam tea tarik kadang-kadang sudah hilang kelazatannya! Saya menerimanya lebih daripada apa yang diluahkan itu sejak berdekad lalu. Komen seperti itu saya anggap datangnya dari kumpulan Badak Air.

Mengenai pandangan artikel dalam blog berkenaan saya rasa penulis itu tidak dapat memahami apa yang hendak disampaikan dalam artikel berkenaan. Mesejnya tidak dapat dihayati. Mungkin kerana beliau terlalu sayang kepada tokoh itu dan juga Pas!

Penulis itu hanya melihat pada permukaan saja, kerana itulah dia nampak saya semacam hendak melagakan pemimpin tertinggi Pas itu. Saya berharap kalau boleh penulis berkenaan membaca sekali lagi dan hayati betul-betul apakah yang tersurat di sebalik artikel saya itu. Baca dengan mata hati politik bukan dengan mata zahir!

Apa yang dipersoalkan dalam artikel itu ialah kenapakah ada usaha untuk meminta Abdul Hadi Awang mengambil alih jawatan Mursyidul Am Pas? Saya mempertikaikan kewajaranya dan apakah motif di sebalik itu. Pada saya usaha itu bermotif politik. Mengenai sumber dan maklumatnya jangan tanya.

Tidak timbul saya melaga-lagakan antara kedua pemimpin alim dan tinggi ilmu itu. Keduanya saya sanjung dan saya hormati sejak lebih 25 tahun lalu. Itu pun selagi mereka tegak atas kebenaran! Mereka bukan maksum dan wajar ditegur. Tidak perlu bagaimana saya menyatakan penghormatan itu kerana itu adalah milik peribadi saya dengan tokoh-tokoh berkenaan saja ataupun dengan orang yang saya rasa perlu berbuat begitu.

Sekali lagi disebut penjelasan ini dikira melanggar adat kerana saya tidak suka menyentuh tulisan mengenai saya di blog orang lain. InsyaAllah selepas ini saya tidak akan memberi apa-apa komen lagi. Saya ingatkan kepada mereka yang ingin memberi teguran ataupun membuat apa-apa komen sila terus masuk ke dalam email saya senang untuk saya melayaninya. Tetapi saya sudah ingatkan mestilah bertanggungjawab, bercakap dalam terang dan jangan jadi macam hantu... suara ada, rupa tiada. Harap maklum.

Kepada penulis rencana berkenaan dan blog yang menyiarkan perihal saya diucapkan terima kasih. Saya terima ia sebagai peringatan kepada kita sesama manusia. Sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian, kecuali bagi mereka yang beriman dan beramal soleh. [wm.kl 12:30 am 04/08/08].

Sunday, August 3, 2008

Berita Samar

Pas Pulau Pinang Boikot Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh?

LEWAT tengah malam tadi saya menerima satu pesanan ringkas dari seseorang yang tidak dikenali. Nombornya saya simpan untuk dijadikan bukti dan siasatan kalau perlu. Apa yang diberi tahu sedikit mengejutkan. Katanya Pas Pulau Pinang akan boikot pilihan raya Permatang Pauh. Kenapa?

Mulanya saya ingatkan pemboikotan itu ada kena mengena dengan tindakan Pas semasa pilihan raya kecil Batu Talam, Pahang tidak lama dulu. Pada pilihan raya itu Pas mengambil keputusan bersama PKR memulau pilihan raya berkenaan. Alasannya kerana Pas tidak percaya bahawa pilihan raya itu akan berjalan dengan bersih dan adil.

Gara-gara itu Pas tidak meletakkan calonnya. BN berhadapan dengan calon bebas seorang anak Cina.

Mulanya itulah yang saya fikirkan. Memang pun wajar kalau Pas boikot sebab SPR masih belum berubah. SPR masih juga dipengerusikan oleh orang diragui dan dibenci, Melayu bernama Abdul Rashid Abdul Rahman. Apa guna Pas menyertai pilihan raya kalau ia jelas dan nyata tidak adil.

Jadi apabila Pas juga nampak bersungguh dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh ini mungkin keraguan kepada SPR sudah pun berubah. Ataupun kerana kemenangan besar PKR dalam pilihan raya 8 Mac lalu menyebabkan tiba-tiba saja Pas dan PKR melupai apa yang mereka sumpahkan terhadap SPR dulu?

Tetapi bukan itu alasan pemboikotan itu. Bukan soal pilihan raya telus atau tidak. Tetapi kenapa Pas Pulau Pinang hendak boikot ialah kerana tidak senang dengan kerajaan Pakatan Rakyat di sana.

Pas merasakan diri mereka terpinggir di Pulau Pinang kerana itu mereka merasakan tidak perlu bersusah payah membantu Anwar dalam pilihan raya berkenaan. Begitulah alasannya!

Banyak sebab kenapa Pas Pulau Pinang merasakan diri mereka terpinggir. Pas tidak dibawa berbincang langsung mengenai beberapa perkara termasuk soal perlantikan dalam Majlis Daerah, ataupun tidak diberi tempat dalam agensi-agensi kerajan Pulau Pinang yang sesuai diduduki oleh Pas sebagai parti Islam.

Katanya yang paling mengecewakan Pas berhubung dengan hel ehwal Islam. Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng katanya tidak mempedulikan Pas? Beberapa cadangan dikemukakan Pas untuk kepentingan Islam tidak dilayan sewajarnya oleh Ketua Menteri yang mengambil Umar Ibnu Aziz sebagai model pemerintahan itu.

Tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku di pulau Mutiara itu. Tetapi kalau itulah alasannya ada logik kalau Pas Pulau Pinang memulaukan pilihan raya itu ataupun mengambil sikap hanya sebagai pemerhati saja.

Pun begitu berita ini masih lagi samar dan belum dapat disahkan. Seorang Naib Presiden yang dihubungi sekejap tadi mengatakan belum tahu mengenai perkembangan ini dan beliau berjanji akan membuat pemeriksaan. Beliau yang agak terkejut hanya berkata; ya ke...belum dapat maklumat apa-apa lagi.

Dalam perkembangan lain berita yang agak malang ini sudah sampai ke pengetahuan Setiausaha Agung Pas, Kamarudin Jaaffar. Kamarudin dikatakan gelabah dengan maklumat itu dan terus membuat arahan segera malam tadi untuk berjumpa dengan Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang pagi ini.

Apakah Kamarudin kini sudah bertolak ke Pulau Pinang atau belum tidak dapat dipastikan. Dan apakah sesuai dan layak untuk Kamarudin menyelesaikan masalah itu? Ketika ini Presiden Pas berada di Jakarta. Kalau pun ahli Parlimen Tumpat itu gelabah dan begitu teringin untuk melihat kawannya berada di Parlimen bersamanya apakah tidak sempat menunggu presiden pulang?

Apapun diharap berita ini tidak sahih ataupun kalau ada niat ia tidak akan diteruskan. Pas Pulau Pinang harus membantu dan pedulikan soal ia dipinggirkan dalam kerajaan. Pas kena tunjukkan mereka setiakawan dalam usaha menjatuhkan BN. Lagipun yang bertanding di situ nanti bukan DAP tetapi PKR calonnya bekas Presiden Abim, Anwar Ibrahim. [wm.kl. 9:15 am 03/08/08]

Sebelum Tidur

Kisah Pembacuh Kopi Anwar

SEMAKIN lama orang dapat memahami apakah tujuan pembacuh kopi Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari (saya tidak mahu menggunakan nama penuhnya Mohd mulai catatan ini) membuat laporan polis yang beliau diliwat pada 26 Julai lalu. Kononnya beliau mahu pembelaan dan keadilan dengan laporan berkenaan.

Abdullah Ahmad Badawi pun nampaknya terpengaruh dengan kata-kata pembacuh kopi ini. Semalam Abdullah berkata Saiful mahukan keadilan. Saya ingin tanya Abdullah bagaimana dengan tuntutan keadilan oleh pihak lain. Apakah Abdullah bersedia untuk memenuhinya, jangan pula bersikap double standard dalam hal ini.

Mudah, bagaimana dengan tuntutan isteri da anak-anak yang suami atau bapa mereka ditahan bertahun-tahun di Kemunting di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri? Apakah mereka ini tidak mahukan keadilan dan apakah tuntutan keadilan mereka itu dimasukkan ke dalam tandas saja.

Abdullah tidak pernah bercakap pun soal keadilan pihak ini. Walhal mereka sudah bertahun merayu, merintis dan sudah kering air mata berdoa mengharapkan suami atau bapa mereka dibebaskan. Atau mereka mahu suami atau bapa mereka diadlii dimahkamah menentukan apakah kesalahan mereka menyebabkan ditahan bertahun-tahun.

Anih bila soal si pembacuh kopi, Abdullah jadi bingkas dan beriya bercakap soal keadilan. Apakah kerana kisah si pembacuh kopi ini sedikit sebanyak memberi keuntungan politik kepadanya maka Abdullah cepat memberi reaksi. Begitukah?

Berbalik kepada kes pembacuh kopi bernama Saiful Bukhari ini jelas beliau seorang pengkhianat, tidak amanat, tidak jujur dan sanggup melakukan apa saja terhadap bosnya sendiri. Pendedahan terbaru beliau menerusi blognya yang dipetik oleh media eletronik dan cetak hari ini yang mahu bersumpah dan menjelaskan yang dia ada mengikut Anwar, ke Hong Kong, Bangkok dan Singapura jelas mendedahkan niat jahatnya.

Beliau bukan lagi minta keadilan tetapi mahu memusnahkan kerjaya politik bekas TPM itu.

Berdasarkan apa yang didedahkan itu tidak hairanlah kalau ada dakwaan mengatakan ada konspirasi untuk memburuk Anwar dengan isu liwat itu. Si pembacuh kopi ini sudah terang dan bersuluh bersubahat dengan para konspirator berkenaan untuk memburukkan maruah dan imej Anwar.

Sepatutnya si pembacuh kopi ini tidak mendedahkan apa yang berlaku itu kerana ia tidak perlu buat masa ini. Dia boleh dedahkan dalam mahkamah. Apabila beliau mendedahkan disaat-saat Anwar ingin bertanding dan mahkamah masih pun belum mendengar dakwaannya ia jelas berniat jahat.

Di sini saya ingin lontarkan satu soalan ringkas sahaja kepada si pembacuh kopi inikalau beliau benar-benar tidak sengaja mahu memburukkan Anwar dengan isu liwat itu. Dalam laporannya beliau ada menyebut beliau diliwat berkali-kali. Maknanya lebih sekali liwat terhadapnya berlaku.

Menurut orang baju petak-petak merah semasa berceramah dengan Anwar di Putik, Pengkalan Chepa, liwat itu dikatakan berlaku sebanyak lapan kali. Mungkin orang baju petak merah mendapat maklumat terperinchi mengenai kejadian ini, maklumlah beliau terkenal sebagai seorang yang bercakap dengan fakta dan figure.

Seorang yang jujur, baik, berwibawa, dan bakal memimpin parti Islam tidak mungkin sengaja melontarkan ucapan begitu kalau maklumatnya samar. Si baju petak-petak merah tidak akan merendahkan mutu dn wibawa kepimpinannya.

Kalaulah dakwaan orang baju petak-petak merah itu betul, kenapakah si pembacuh kopi ini terus membiarkan ia berlaku. Ini bermakna kalau benar berlaku demikian perbuatan terkutuk itu berlaku secara sukarela antara beliau dengan peminum kopi yang dibacuhnya itu?

Seorang yang kena liwat atau dirogol ia tidak akan membiarkan dirinya untuk menghampiri pemangsa untuk kali kedua dan ketiga. Dia akan berusaha hindarkan diri. Juga, kenapa takkala berlaku kejadian yang pertama beliau tidak terus laporkan kepada polis. Ataupun beliau menunggu sampai duburnya koyak dan rabak baru beliau lapor. Begitukah?

Persoalan dan tanda tanya inilah menyebabkan orang keliru mengenai apa yang dibuat oleh pembacu kopi itu. Kerana itu juga dakwaan Anwar bahawa si pembacuh kopinya itu berniat jahat dan sekongkol dengan konspirator lain adalah benar dan benar! [dk.kl 00:5 t/malam 03/08/08]

Saturday, August 2, 2008

Terkenang Kota Bharu

Pandangan Bernas Dari Annuar Musa

PAGI-PAGI lagi saya mendapat panggilan dari seorang kawan, Azman di Kuala Terengganu yang memberi tahu tentang pandangan Annuar Musa (foto) berhubung pilihan raya kecil Permatang Pauh yang bakal diadakan. Kawan itu bertanya pendapat saya berhubung pandangan Annuar mengenai hal itu. Katanya menurut akhbar edisi Pantai Timur yang beliau baca Annuar dilaporkan berkata, BN tidak perlu menyertai pilihan raya kecil berkenaan kerana membazirkan masa dan wang saja. Menurut Annuar BN tidak akan menang.

Saya setuju seratus peratus dengan pandangan Pengerusi Kada berkenaan. Memanglah BN akan kalah dalam pilhan raya kecil Permatang Pauh. Saya sudah membuat analisa awal, bahawa Anwar Ibrahim akan menang dengan mudah. Silap hari bulan kalau gerak kerja Pakatan Rakyat kemas dan perpaduan yang ada hari ini masih kental, mungkin majoritinya melebih apa yang pernah diraihkan Presiden PKR Dr Wan Azizah. Dalam pilihan raya umum lalu Wan Azizah menang dengan majoriti lebih 18,000.

Lagipun pengaruh antara Anwar Ibrahim dengan Annuar Musa beza seperti lembah dengan gunung.

Abdullah Ahmad Badawi pun semalam dalam ulasan ringkasannya berkata BN tidak akan beri kemenangan mudah kepada PKR. Maknanya, kenyataan itu menjelaskan BN akan kalah. Hanya Muhyiddin Yassin saja agak kabur politik sedikit bila mana menyebut BN berpeluang untuk merampas kerusi berkenaan. Jalan mana Din?

Cakap Muhyuddin itu tidak lebih dan tidak kurang seperti orang yang baru bangun tidur, muka belum basuh dan mulut belum kerbumur tetapi sudah masuk bercakap! Mulalah wok...wek...wokk.. bunyinya.

Berbalik kepada pandangan Annuar Musa tadi ia nampak benar dan betul. Satu pandangan yang tepat dan tulus. Annuar kali ini berada dalam kerangka berfikir yang tepat dan tidak mengigau seperti Muhyuddin itu. Annuar ini dalam membuat pandangan politik ada juga kadang kalanya yang boleh dipakai. Bagaimana pun banyak juga yang hampas!

Misalnya dalam pilihan raya lalu dalam bacaan beliau, beliau akan menang bila bertanding di kerusi Parlimen Ketereh. Apa lagi lawan Abdul Aziz Kadir yang beliau anggap budaknya yang senang dilahapnya. Maka direbut kerusi Parlimen itu dari Md Alwi Che Amat dan dilemparkan Alwi ke kerusi DUN Kok Lanas. Menangis Alwi dibuatnya.

Tetapi Tuhan tidak merestui perbuatan "cas genting" begitu dan Tuhan nampak akan keikhlasan dan kesetiaan Alwi kepada kawannya itu. Annnuar kalah ditangan Abdul Aziz Kadir sebaliknya Alwi menang di Kok Lanas. Kalau pertukaran kerusi itu strategi Annuar untuk meleburkan politik Alwi, terjadi sebaliknya.

Annuar juga ada kalanya seorang gentleman dan berani mengkritik tidak kira siapa. Tengku Razaleigh Hamzah pernah dikritik dan diperendahkannya. Dalam saat orang Kelantan mengagungkan anak Raja itu beliau mengambil simpang lain meninggalkan anak Raja itu dan sedia bertuankan kepada Dr Mahathir. Dalam hal ini Annuar seolah tidak percaya kepada semangat Kelantanis!

Ironinya lagi, selapas kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum ke-10 (1999) beliau mengkritik pula Dr Mahathir. Annuar secara terbuka dan dihadapan Mahathir mengatakan kekalahan BN itu ialah kerana Mahathir. Mahathir perlu bertanggungjawab katanya.

Perisitwa ini berlaku di rumah Mahathir. Beberapa hari selepas kekalahan teruk BN pada tahun 1999 itu Mahathir panggil beberapa orang menteri Kabinet datang ke rumahnya, termasuklah Annaur Musa juga hadir. Secara dari hati ke hati Mahathir meminta pandangan jemaah menterinya itu kenapa BN kalah teruk dan apakah yang beliau harus lakukan.

Seorang demi seorang memberi pandangan dan pendapat masing-masing dengan alasan yang tidak sikit pun menyangkutkan batang tubuh Mahathir. Tetapi bila sampai giliran Annuar tanpa berselindung dan segan silu beliau meletakkan kekalahan itu kepada Mahathir. Antara lain kata Annuar marfumnya; Datuk Seri sudah tidak relevan lagi, maka eloklah kalau Datuk Seri lepas jawatan Perdana Menteri.

Wah... terngagga khabarnya Mahathir dengan pandangan Annuar itu. Mahathir katanya tersinggung dan terkilan dengan pandangan Annuar itu. Walaupun Annuar berkata dari lubuk hatinya, namun Mahathir tidak dapat menerima. Ego seorang Mahathir tidak boleh menerima bila kata-kata itu diluahkan secara berdepannya dan terkena ke atas batang hidungnya.

Peristiwa itu membutkikan keberanian Annuar dan menjadi ikon peribadi ketulusannya sebagai ahli politik.

Jadi berdasarkan peristiwa itu, pandangan beliau mengenai peluang BN dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh itu boleh dipercayai dan satu pandangan yang betul. Annuar nampaknya membuat satu lagi kenyataan politik yang berani. Sudah pasti bagi pemimpin yang syok sendiri dan suka mendengar cerita BN menang akan marah kepada Annuar.

Bagaimana pun tahniah kepada Annuar. Kita berharap beliau akan terus bersikap gentleman dan bernai dalam membuat keputusan, dan berani berkata benar meskipun pahit.

Adapun begitu bagaimana sesuatu yang ada kaitan langsung dengan dirinya? Misalnya apakah beliau sedia menerima risiko atas sesuatu kekalahan kalau ianya langsung ada sangkut paut dengan dirinya? Mislanya kalau peluang sudah kabur untuk BN atau Umno menang sekiranya beliau terlibat, apakah beliau sanggup membuat muhsabah dan pembetulan?

Kita harap Annuar jangan bersikap dan bersifat double standard dalam hal ini.

Umum tahu Annuar sudah tiga kali kalah di kerusi Parlimen Ketereh. Pertama ialah tahun 1990 di tangan Muhammad Sabu. Kedua tahun 1999 ditangan Ustaz Muhammad Mustafa. Dan ketiga pada 8 Mac lalu ditangan anak buahnya sendiri Abdul Aziz Kadir. Apakah dengan tiga kali kalah itu ia tidak boleh diletakkan tanggungjawab itu ke atas bahunya?

Kita tidak dengan apa-apa pandangan dan pengakuan ikhlas daripada Annuar mengenai kekalahannya secara hatric itu. Kalau setakat dua kali di kira ok. Kalah kali pertama boleh dikatakan tidak ada pengalaman. Kalah kali kedua ialah kerana kesilapan. Dan kalah kali ketiga tentulah disebabkan diri kita tidak disukai dan ditolak oleh rakyat.

Sekiranya Annaur berpegang kepada prinsip berani, gentleman dan berterus terang tadi beliau seharusnya mengambil risiko atas kekalahan itu. Kalau Mahathir beliau desak supaya berhenti kerana menjadi liabiliti kepada Umno, nah beliau juga seharusnya menyuruh dirinya sendiri berhenti daripada memegang jawatan ketua Umno di Ketereh. Apakah beliau tidak sedar beliau sudah memegang jawatan lebih 30 tahun dan kini sudah menjadi liabiliti kepada bukan saja Umno Ketereh tetapi Umno Kelantan juga.

Apakah Annaur terlupa untuk membuat penilaian dan ulasan ke atas dirinya sendiri. Jangan kuman di seberang nampak, gajah yang menari-nari ronggeng di hadapan mata tidak kelihatan. Kata arwah datuk saya dulu sebelum selak kain nak kencing tengah jalan perhatikan dulu kiri dan kanan takut-takut ada budak sekolah yang lalu lalang. [dk.kl 6:20 am 02/08/08]

Friday, August 1, 2008

Perhatian

Penjelasan Dari Saya

DI BAWAH ini saya sertakan salah satu tulisan penjenguk blog saya yang tidak berani menyatakan identitinya.

"Sdra penulis cukup lah membuat andaian yang boleh memecahbelahkan perpaduan PAS dan PR. saya bimbang sdra ini sebenarnya "musuh dalaman yang ingin menghancurkan PR" dan sdra juga tidak berani menyiarkan komen komen sebegini.

Jelas penjenguk ini tidak mengenali siapa saya sebenarnya. Untuk makluman beliau dan orang sejenis dengannya yang sering menceroboh blog saya, saya tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan siasah. Saya juga tidak berwalad kepada mana-mana tokoh politik bukan saja berbaju petak merah, kuning, biru ataupun hitam. Dan saya juga tidak berada baik didalam atau di luar mana-mana parti politik.

Dan kepada penjenguk yang tidak senang dengan catatan saya mulai saat ini sila melayari blog lain yang sesuai dengan jiwa anda. Jangan rosakkan hati anda dengan blog saya. Lebih elok anda boleh buka blog sendiri dan isilah dengan apa-apa yang mengembirakan anda.

Perhatian, mulai saat ini saya tidak akan membuka mana-mana catatan yang dikirimkan tanpa nama dan berselidung di sebalik Anonymous. Maaf! Terima kasih - MSO

Maklumat Eksklusif

Ada Usaha Pujuk Hadi Ganti Nik Aziz

APA masalah yang sedang menghimpit Tokguruku Nik Aziz kini. Apakah beliau sakit dan sudah tidak relevan untuk memegang jawatan tertinggi dalam parti sebagai Mursyidul Am Pas?

Persoalan ini timbul apabila ada usaha di kalangan pemimpin tertinggi Pas akan memujuk Abdul Hadi Awang supaya memegang jawatan berkenaan. Apakah Nik Aziz sudah tidak inginkan jawatan itu apa pun beliau sudah tidak dapat dijinakkan semasa mesyuarat jawatankuasa agung Pas bersama Majlis Syura Ulama kelmarin.

Tidak ada pula perkara buruk dilaporkan berlaku dalam mesyuarat berkenaan. Nik Abdul Aziz dikatakan mengambil sikap yang menggembirakan dan sehaluan dengan sesetengah pihak apabila beliau juga tidak bersetuju Pas berunding dengan Umno untuk tubuh kerajaan bersama.

Khabarnya Nik Aziz bukan saja tidak mahu diadakan berunding bagi membentuk kerajaan, kalau tidak jumpa terus lagi bagus!

Keadaan ini menimbulkan sedikit tanya tanya. Sekiranya dalam mesyuarat kelamrin beliau bersikap sebaliknya memesongkan kata-katanya sebelum ini yang tidak setuju kemudian setuju berunding dengan Umno ada logiknya juga kalau beliau perlu disingkirkan dari jawatan berkenaan. Kerana dengan adanya disitu sebagai orang tua menyusahkan!

Bagaimana pun dalam mesyuarat semalam Nik Aziz dikatakan keluar dari bilik mesyuarat selepas beliau memberi kata nasihat dan pandangan berhubung isu semasa yang menjadi tumpuan kini. Apakah tindakan itu setelah timbul ketegangan dalam mesyuarat berkenaan dan sehinggakan beliau dicadangkan agar melepaskan jawatan?

Untuk tujuan membujuk Abdul Hadi itu dikatakan dua pemimpin tertinggi Pas yang menetang keras ura-ura Pas hendak bermuqabalah dengan Umno akan terbang ke Jakarta esok untuk menemui Abdul Hadi. Abdul Hadi kini sudah pun berada di Jakarta.

Perkembangan ini masih menjadi tanda tanya. Bagaimana pun pada hemat saya, tidak munasabah kalau Nik Aziz hendak disingkirkan dari kedudukan itu. Beliau sendiri masih menampakkan komitmennya dengan jawatan berkenaan.

Cadangan itu bukan kerana Nik Aziz sudah letih atas jemu tetapi ia lebih kepada strategi. Apa yang dapat dibaca dari cadangan ini ada golongan yang mahukan Abdul Hadi turun dari kerusinya itu. Mungkin mereka mengira dengan adanya Abdul Hadi di situ yang dilihat keras dan tegas dengan prinsip siasah Islamiyah sukar untuk mereka menjanakan parti menurut acuan sekular mereka.

Jadi satu cara terhormat dilakukan agar Abdul Hadi pegang jawatan Mursyidul Am dan mengumumkan persaraan sebagai presiden pada muktamar di Ipoh mulai 13 Ogos hadapan. Pujukan itu adalah paksaan secara halus! Mungkin idea ini telahpun disampaikan kepada Nik Aziz dan Nik Aziz telahpun merestuinya.

Kenapa dikatakan begitu kerana kalau benar Nik Aziz sudah tidak berkeupayaan kenapa jawatan itu tidak dilepaskan kepada Dr Haron Din, timbalan Mursyidul Am Pas? Apakah Haron Din masih belum cukup ilmu untuk memegang jawatan berkenaan! [wm.kl 12:00 t/hari 01/08/08]

Marah Pagi

Jadilah Isteri Semulia Azizah
Kendangkalan Otak Politik Pemimpin Umno

MANUSIA politik kadang-kadang menjadi tidak siuman dan kadang-kadang menjadi buta mati dan buta perut. Apabila Dr Wan Azizah Ismail (foto) berkorban untuk suaminya, Anwar Ibrahim dengan mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh berbagai tafsir dan ulasan dilemparkan. Semua ulasan itu menggambarkan kecetakan daya politik mereka.

Nak tak tahu sejauh mana cerdik atau bodohnya makhluk politik Umno ini bacalah akhbar penjilat buntut mereka keluaran hari ini.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan langkah Anwar untuk bertanding di
Permatang Pauh ialah kerana takut kalah dan tidak yakin menang kalau bertanding di kawasan lain. Kata menantu Perdana Menteri itu isu-isu di sekliling Awnar kini menyebabkan bekas TPM itu gentar.


Kata bos Khairy pula, Hishamuddin Hussein tindakan Anwar itu satu helah untuk mengalihkan perhatian tetang dakwaan liwat yang dilemparkan ke atasnya. Hishamuddin juga mempersoalkan pengumuman itu lebih awal daripada tarikh 16 September di mana tarikh untuk menumbangkang kerajaan BN.

Kata Cina bernama Liow Tiong Lai Ketua Pemuda MCA, tindakan Wan Azizah itu sebagai tidak bertanggungjawab kepada pengundinya dan menjadikan jawatan ahli Parlimen sebagai hak milik keluarga.

Manakala juara baru Umno, Ezam Mohd Noor pula menjual diri beliau bersedia bertempur dengan Anwar dan akan berada di barisan hadapan bagi menentang Anwar dalam pilihan kelak meskipun beliau tidak menjadi calon BN.

Kecuali ulasan Dr Mahathir Mohamad dan Syed Hamid Albar kesemua ulasan itu menandakan kerendahan akal fikir politik mereka dan menunjukkan betapa dangkalnya nilai siasah para pelaung tetuang itu.

Kepada Khairy mengapa beliau jadi begitu bodoh mempersoalkan bila Anwar memilih Permatang Pauh. Sesiapa pun akan mencari kawasan selamat dan adalah bodoh kalau sengaja menghulurkan tenguk untuk di sembelih. Orang yang bodoh itu semakin bodoh kalau dia tidak tahu menjaga dan mengawal kebodohannya.

Kenapa Khairy semasa bertanding dalam pilihan raya umum baru-baru ini tidak mencari kerusi di Sabah dan Sarawak? Bukankah Khairy seorang yang hebat beliau boleh bertanding di mana saja termasuk Brunei dan Singapura!

Kepada Hishamuddin alsan yang anda berikan dangkal dan remeh. Apakah apabila Anwar mengumumkan untuk bertanding ia boleh mengalihkan hasrat dan niat pihak tertentu untuk menyusahkan Anwar dengan tuduhan itu? Samada ada pilihan raya ada atau tidak, konspirasi untuk menjatuhkan imej dan maruah Anwar tetap akan dilakukan. Jadi soal tindakan bertanding tidak timbul untuk mengalihkan pandangan terhadap isu yang berlaku di sekitar bakal Perdana Menteri itu.

Kepada Cina bernama Liow Tiong Lai jangan membuat ulasan double standard. Apakah penyerahan kuasa jawatan perdana menteri menerusi pelan peralihan kuasa antara Abdullah Badawi dan Najib Razak itu tidak boleh dianggap jawatan itu seolah milik peribadi dan harta mak bapak Abdullah dan Najib?
Kalau hanya berani menunding jari kepada Anwar dan Azizah tetapi pengecut dan dayus untuk mengkritik perdana menteri lebih baik jangan cakap. Orang seperti ini makin banyak cakap akan menggambarkan makin besar kebodohan dan kebandutannya. Sebagai ahli politik kalau berani mengusik kancil mestilah juga berani mengusik gajah.

Kepada Dr Mahathir dan Syed Hamid teruskan melontarkan kewarasan ulasan anda. Benar kata mereka berdua tidak ada hadiah paling mahal daripada seorang isteri yang disukai suami apabila isteri sanggup berkorban segala-galanya untuk suami. Kata Mahathir kalau Siti Hasmah duduk ditempat Azizah isterinya juga akan melakukan demikian. Manakala kata Syed Hamid tindakan Azizah itu sebagai pengorbanan dan simbol kasih sayang seorang isteri. Walaupun kata-kata itu masih sinikal namun ia lebih lunak daripada kata para pelaung di atas.
Dari saya tahniah dan syabas kepada Wan Azizah. Andalah isteri mithali yang patut diteladan dan dijadikan rule model oleh kaum hawa negara ini. [wm.kl 9:45 am 01/08/08]