Monday, August 4, 2008

Catatan Pagi

Permatang Pauh: Hindar Isu Peribadi

(kemaskini) SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini bagi membincangkan dan menentukan tarikh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Dalam perbincangan itu dijangka SPR akan menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Menurut akta pilihan raya apabila sesuatu kerusi itu kosong ianya hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari. Ini bermakna pilihan raya itu akan diadakan tidak lebih dari 1 Oktober, Dr Wan Azizah melepaskan kerusi berkenaan pada 31 Jun lalu.

Sekiranya pilihan raya berkenaan hendak diadakan sebelum 31 Ogos ini bermakna hari penamaan calon akan ditentukan sekitar 16 -20 Ogos manakala hari mengundinya seminggu kemudian antara 24 hingga 29 Ogos. Kalau ini berlaku bolehlah pilihan raya itu kelak dijadikan hadiah hari kemerdekaan kepada mana-mana pihak yang menang.

Itulah tempoh yang dikira sesuai dan paling cepat boleh diadakan. Ataupun pilihan raya boleh diadakan pada September, namun ia mungkin tidak sampai terlajak begitu lama lagi pun memandangkan perbahasan Bajek 2009 telah bermula pada pertengahan Ogos.

Tidak kisahkah bila tarikh pilihan raya hendak diadakan, tetapi beberapa perkara adalah wajar kalau difikirkan semua pihak terlibat. PKR dan BN sudah tentu terlibat secara langsung dalam pilihan raya berkenaan. Keduanya akan berentak bagi menentukan siapakah pemilik kerusi itu selepas ini. Parti-parti lain hanya sebagai pemerhati dan pemantau sahaja.

Bagi hemat saya pilihan raya berkenaan tidak perlu kepada kempen besar-besaran. Ia hanya sebagai satu formaliti untuk memenuhi kerusi berkenaan sahaja. Oleh sebab kerusi berkenaan dimenangi Dr Wan Azizah pilihan raya lalu, adalah elok kalau ia diserahkan kepada Anwar seperti mana hasrat isterinya itu. Tetapi tidak mungkin begitu kerana politik kita belum sampai kepada standard sedemikian.

Rasanya tidak timbul perbuatan Azizah itu mengkhianati parti dan pengundinya apabila beliau mengosongkan kerusi berkenaan kerana orang yang akan menggantinya adalah suaminya sendiri. Lagipun kerusi itu pernah diwakili Anwar selama tiga penggal.

Kerana itu adalah elok kalau tidak ada kempen bagi mengelakkan pembaziran dan berlakunya hal-hal yang tidak didingini. Untuk diberikan menang tidak bertanding nampak sangat BN tidak ada maruah.

Kalau boleh biarlah pilihan raya itu berjalan dalam keadaan harmoni. Tidak ada gunanya membazir wang di Permatang Pauh. Mungkin amalan melambakan wang dan projek dalam kawasan di mana pilihan raya kecil diadakan tidak sesuai lagi. Perbuatan itu juga berunsur rasuah dan bertentangan dengan moral manusia bertamadun.

Politik kita perlu matang! Bahan dan bentuk kempen juga perlulah ditukar ganti. Kempen menyerang peribadi rasa tidak sesuai lagi. Sudah 51 tahun kita merdeka apakah bentuk kempen kita masih seperti tahun 60-an?

Kalau tidak dapat elak dan kempen itu diteruskan, sudah pasti dua individu akan menjadi sasaran; Anwar Ibrahim dan Mohd Najib Razak.

Walaupun Mohd Najib tidak bertanding, tetapi kerana beliau pimpinan BN/Umno dan akan diberi tanggungjawab mengepalai kempen sudah tentu beliau akan menjadi sasarannya. Jika Najib diusik sudah tentu Anwar juga akan diusik. Hal ini tidak dapat dibendung. Isu-isu yang berlegar di sekitar diri mereka berdua akan ditabur bagaikan bertih.

Jentera pilihan raya atau pengarah pilihan raya masing-masing hendaklah membuat kenyataan dan janji untuk tidak menggunakan isu peribadi. Berjanjilah untuk mengelakkan perkara itu ditimbulkan dan mulalah berlajar bermain politik secara profesional.

Adalah lebih elok kalau gelanggang di Permatang Pauh itu digunakan untuk masing-masing mengemukakan idea dan buah fikiran bagaimana untuk mengatasi masalah kemiskinan rakyat, keadaan kelembaban ekonomi ataupun masalah sosial yang semakin parah menimpa umat Melayu.

Anwar boleh membetangkan apakah wawasannya jika berjaya mengambil alih Malaysia 16 September depan secara menyeluruh, manakala BN pula bolehlah membentangkan pencapaian dan kemajuan mereka dalam separuh tahun ini. Disebabkan Mohd Najib akan mengambil alih kuasa pada 2010 bolehlah Mohd Najib mengemuakakan apakah pelan pembangunan negara yang ada dalam kepalanya.

Rasanya perkara itu lebih baik dan jilah untuk dilakukan pada pilihan raya tersebut daripada masing-masing menyerang peribadi seperti mana budak-budak kecil bergaduh selepas sama-sama bermain masak-masak. (Terima kasih kepasa penjenguk yang peka mengenai kesilapan tarikh disebut diatas yang sudah diperbaiki. - MSO [wm.kl 8:45 am 04/07/08]

4 comments:

Anonymous said...

rasanya serangan peribadi kemungkinan besar ada.cuma soalnya siapakah yang akan memulakannya?.apa jua perkara harus dilalukan demi memancing undi penduduk Permatang Pauh.tp saya setuju dengan cadangan saudara agar hujah-hujah semasa berkempen lebih kepada perkara yang lebih menyentuh aspek pembangunan dan perancangan masa depan untuk rakyat tanpa mengira agama,bangsa dan negara.

Anonymous said...

Sememangnya itu lah yang di harap-harap kan oleh semua rakyat.
Tetapi memang takkan dapat dielakkan perang peribadi antara kedua calon itu nanti. Tak kira la siapa yang akan diletakkan oleh BN.
Tapi diharapkan pilihan raya tersebut mengambil kira kepentingan dan nasib rakyat.

Anonymous said...

Nak tengok juga Anwar ni betul ke akan buat macam tu. Dia ni licik sedikit,kalau tak promosi diri lebih sedikit tak sah.

Anonymous said...

Tak kiralah sama ada kempen besar-besaran atau kecil-kecilan, yang pastinya pilihanraya kecil ini pastikan sengit dan akan ada kejutan.. Sekarang ni nampaknya PKR dan Anwar terlalu yakin beliau dan PKR akan menang kerana Permatang Pauh mempunyai penyokong PKR yang kuat tapi tidak semestinya sebarang kemungkinan tidak boleh terjadi. Mungkin rakyat di Permatang Pauh telah ramai yang mempercayai kes liwat Anwar dan mereka telah sedar akan kepincangan PKR dalam Pilihanraya Umum yan lepas.. Siapa tahu, mungkin PKR akan kalah teruk di kubu kuat mereka...