Wednesday, August 20, 2008

Ilham Subuh

Mengenali Husam Dalam Politik!

NAIB Presiden Pas, Husam Musa adalah antara pemimpin Pas yang ‘diarah’ oleh muktamar Pas ke-54 di Ipoh beberapa hari lalu supaya turun ke Permatang Pauh mengiringi Anwar Ibrahim ke pusat penamaan calon. Selain daripda beliau, nama Dr Mariah Mahmood, Dr Lo’ Lo’ Ghazali, Mujahid Yusuf Rawa dan Muhammad Sabu juga diminta oleh muktamar agar mereka ke pusat penamaan calon.

Kepada ahli Pas yang anti Husam dan tidak berkenan Pas menyokong calon PKR di Permatang Pauh, (Anwar Ibrahim) tidak boleh salahkan mereka secara bulat-bulat atas kehadiran mereka itu. Sebab mereka diarah oleh muktamar bukan iseng-iseng mereka untuk pergi!. Maknanya itu adalah rasmi dan menandakan komitmen Pas pada pilihan raya kecil berkenaan.

Apakah muktamar Pas memilih nama-nama mereka kerana mereka sudah menjelaskan siripnya awal-awal mereka adalah orang yang menyokong kuat Anwar Ibrahim?

Husam misalnya orang yang tidak berenggang jauh daripada Anwar – bukan saja berceramah sekali dengan Penasihat Umum PKR itu tetapi turut hadir ke rumah Anwar untuk bertanya khabar dan memberi sokongan moral kepada Anwar dan keluarganya.

Bukan itu saja beliau juga dikatakan turut sama menyertai delegasi pelaburan ke Dubai bersama Anwar dan MB Selangor Khalid Ibrahim. Ini menandakan seakan Husam sudah berada jauh dalam kamar tidur politik Anwar.

Sikap Husam ini agak anih kalau diperhatikan kepada budaya dirinya yang tidak suka mendekati orang dan lebih suka bersendirian selama ini. Kelainan dan perbezaan ini menghairankan sedikit! Dalam kes Anwar kali ini beliau tiba-tiba mengubah gaya hidup dengan all out bersama Anwar tanpa sedikitpun mempersoalkan mengenai moral. Sikapnya ini juga kontra dengan pendiriannya terhadap kes pertama dialami Anwar dulu.

Dalam soal bekas TPM ini beliau seolah persis Hanuman Kera Putih yang turun dari langit untuk membela Siri Rama yang sedang diapit masalah dan diserang oleh kumpulan Gotha Kaca. (Gotha Kaca ialah merupakan ketua jin dalam hikayat Pandawalima).

Jadi atas perubahan gaya hidup – (pendekatan dan strategi politik Husam) itu maka beliau dilihat sebagai mewakili Pas. Walaupun Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ikut sama pergi ke pusat penamaan calon walaupun bertongkat kayu cengkal merah namun kehadiran Husam lebih dilihat lebih afdal kesungguhan Pas membantu Anwar.

Kenapa Husam begitu bersungguh membantu Anwar dan mengharapkan kemenangan Pakatan Rakyat? Inilah yang orang tidak faham dan perlu melihat ke dalam dan ke luar politik Husam bin Musa. Jika diambil kira apa yang berlaku semasa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir tahun 2006 dulu, Husam tidak sepatutnya memberi sokongan padu kepada Anwar. Beliau hanya perlu ada semasa hari penamaan calon dan bukan berjanji akan "bertumas" sehingga hari mengundi demi kemenangan Anwar.

Semasa Pas menghadapi pilihan raya kecil paling genting bagi Pas dalam sejarah demokrasi negara di Pengkalan Pasir (Kelantan) dulu, Anwar hanya datang berceramah sekali saja. Husam pernah bersunggut mengenai komitmen Anwar tidak seberapa ketika itu. Saya masih ingat apa yang Husam sunggutkan; kalau Anwar mengorbankan masanya untuk berada di Pengkalan Pasir sampai ke hari mengundi, pasti Pas akan menang,” begitulah ulasnya sedih selepas menerima kekalahan itu.

Anwar hanya pergi sekali saja. Beliau memberi alasan terpaksa ke luar negeri kerana ada urusan penting. Tindakan Anwar itu menampakan beliau lebih pentingkan dirinya daripada kemenangan Pas.

Tetapi nampaknya Husam tidak mengambil kira itu semua. Bagi Husam itu bukan perkara penting untuk dinilai dan ditenungi dalam kancah politik hari ini. Di sini saya lihat Husam lebih matang politiknya berbanding dengan Anwar. Karektor politik Husam dalam hal ini boleh diterima. Justeru Anwar pula perlu insaf dan sedar akan kebaikan budi Pas yang dilambangkan oleh Husam ini.

Rasanya Pas perlu memahami tindakan Husam yang tidak poplar itu, selepas agenda untuk bermuzakarah sehingga membentuk kerajaan bersama sudah pun menghadapi jalan buntu itu. Apa yang beliau mahukan di sini bukan kemenangan Anwar tetapi kemenangan rakyat. Naib Presiden Pas itu mahu momentum politik yang berpihak kepada pembangkang hari ini hendaklah dikekalkan dan secara diam Pas menjuarainya!

Saya nampak apa yang ada tersorot dalam kepala Husam. Beliau hanya mahu memperalatkan Anwar bagi menggerakkan gelombang yang ada hari ini. Apa yang berlaku hari ini ialah musim berkebun atau membuka tanah hutan. Husam mungkin sedar sebaik buah masak nanti Anwar tidak lagi sempat atau berpeluang untuk memakannya kerana dihalang oleh penyakit yang ada pada dirinya untuk memakan hasilan itu. Nah... ketika itulah kelak Pas akan mengaut keuntungannya.

Saya tidak fikir Husam bersetuju kalau Anwar menjadi PM. Apa yang beliau mahukan ialah menangguk di air keruh dengan aura yang ada kepada Anwar yang boleh mengelombangkan kebangkitan rakyat ketika ini. Adalah sesuatu yang bodoh kalau Pas yang kini sudah diterima (for all) bersedia menjadi dahan untuk Anwar menumpang tuah!

Inilah yang terpampang di mata Husam. Jika ada yang membuat andaian mudah langkah Husam itu silap apa lagi menjadi alat kepada Anwar, ia kurang tepat dan tidak bersifat politik. Kalau Husam yang saya sempat kenalinya selama 13 tahun dan pernah berbahas politik, makan bersama dengan beliau tidak semudah itu untuk menjadi hamba orang. Husam senantiasa berfikir ke hadapan dengan meletakkan kepentingan perjuangannya (Pas) di bahagian atas.

Saya tidak percaya kegilaan Husam kepada Anwar sehari dua ini kerana beliau dikatakan ditawarkan jawatan Menteri Kewangan? Bukan Husam kalau beliau sanggup turun hanya mahu mengejarkan pangkat dan kedudukan yang masih dalam buana khayalan! Dan kalau pangkat yang diingini Husam bukan menteri tetapi Timbalan Perdana Menteri. Tidak mustahil juga kalau jawatan ini sedang dikarai Husam dalam kepalanya. Tentu beliau ada teori bagaimana untuk mencapai ini. (Akan dicerita kemudian).

Harus difahamkan juga Husam selain daripada terkenal sebagai pemimpin yang tidak pedulikan orang, bergerak dan berfikir secara one man show dan kurang gemar kepada musyawarah beliau juga seorang eksperimental. Beliau suka bermain dengan teori dan suka berada dalam makmal politik mengkaji penemuan-penemuan dan dapatan baru untuk diadun menjadi teori baru. Kadang-kadang beliau bersifat teoritis daripada politik yang realis.

Sifat beginilah menyebabkan beliau tidak disenangi sesetengah orang. Beliau suka membuat keputusan sendiri kemudian memaksa orang mengendorsekannya. Saya yakin kemunculan Husam menjadi Hanuman Kera Putih untuk ‘menyelamatkan’ Anwar satu lagi teori yang beliau sedang bereksperimental dengannya.

Apapun segala-gala hidup ini seperti sebuah perjudian. Samada teori Husam menjadi atau tidak tunggu selepas pilihan raya dan spesifiknya pada 16 September iaini hari penubuhan kerajaan Malaysia yang baru. Sekiranya tarikh itu tidak memberi apa-apa perubahan maka Husam harus akur dan membuat kenyataan bahawa percubaannya kali ini tidak berhasil. Beliau harus meninggalkan teorinya dan bersedia untuk mempraktikkan keputusan yang telah dikonvensenkan.

Sebaliknya kalau percubaan itu berjaya dan membuahkan hasil, tidak ada sebab untuk Pas menolak gagasan dan teori Husam itu atas sebab Pas sendiri juga berada dalam sistem demokrasi yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat! [wm.kl 5:45 am 20/08/08]

6 comments:

luaskanmata said...

Amww:

Alhamdulillah ulasan mso meyakinkan lagi andaian saya. Seorang yang stratigis, tentulah kesungguhan Husam bersama Anwar bukan sekadar menginginkan Anwar sebagai PM.

Sebagai seorang yang terdidik di bawah Tok Guru, tak mungkin beliau membiarkan PAS terpinggir dalam mendaulatkan Islam dalam Pakatan Rakyat.

Salam jihad

Anonymous said...

best apa yg MSO komen. saya suka

Harap husam dapat byk senyum lagi.

Anonymous said...

Satu kupasan politik yang cukup mantap dan bernas.

Ini lah kehebatan MSO, walaupun beliau mengatakan Husam bekas sahabatnya dalam tulisan yang lalu tetapi beliau tetap berkata benar mengenai husam. Benar tetap benar dan salah tetap salah tak kira ianya kawan atau pun lawan... Tok Guru pun beliau tegur inikan pulak orang bawahannya.

Good luck MSO dan teruskan tulisan saudara...

Insyaallah ANWAR akan mencapai kemenangan dan PAS for all akan terlaksana.

Thanks

NH Shah Alam.

Anonymous said...

Pelbagai spekualsi yang MSO buat. Terima kasih. Tapi keadaan kini menampakkan PAS semakin dipinggirkan di dalam PR. PKR dan DAP telah dilihat bergerak sehaluan, akan tetapi PAS tidak. Kajian dan keadaan kini akhirnya telah memberikan saya ramalan bahawa besar kemungkinan PAS dan UMNO akan bergabung jua untuk bentuk pakatan parti yang baru, kerana ketidakstabilan politik yang tercetus. Malah disini saya dapat melihat PAS menjadi tunggak utama untuk menentukan kemenangan di dalam pilihanraya di permatang pauh; dan juga pembentukan kerajaan ANWAR nanti sekiranya insiden 16 september berlaku.

painah said...

apapun teori ustaz tentang Husam tidak semestinya menjanjikan apa apa praktikal. APa yg ada dalam benak Husam ketika ini biarkanlah, itu hak dia.

Bagi sy yg xmengenali Husam bertanggapan bahawa dia ikhlas dlm urusannya, jika nak dibandingkan ngan segelintir ahli pas yg seakan takjub dan bangga dgn sokongan pengundi dan merasa pas buleh hidup tanpa PR.

Sy tidak samasekali menolak cadangan negara Islam Pas (harap ianya terlaksana sblum sy mati), tetapi apa yg sy lihat,baca dan dengar, kepimpinan dan ahli pas seakan terlalu obses dengan pas mereka hinggakan adakalnya terpacul kata2 yg berbaur terlalu berkeyakinan tinggi(menghampiri takbur) yg sering dimanipulasi media.

Dan yg paling mengharukan ada pulak yg bercakap senada ngan umno sedangkan takkan mereka tak tahu umno hanya mencari jalan utk memulihkan 'wajah' mereka dimata org Melayu.

Jgn salahkan media semata mata kerana itu sudah sememangnya kerja media yg akan membelit segala gerak geri PR tetapi yg utama belajar melihat realiti.

kepada kepimpinan PAS dan PR, hargai peluang yg ada dan paling utama jangan khianati pengundi kerana bukan semua peluang akan datang dua kali.

untuk Husam, sy ucapkan syabas, apa pun yg bermain dibenak anda itu hak anda dan bukan hak saya utk mempertikaikannya.

Anonymous said...

Salam.

Saudara MSO, rentak kewartawanan saudara amat realistik.

Adalah tidak wajar menyokong atau membangkang membuta-tuli.

Persepsi dan sikap analitik saudara terhadap sesetengah isu juga saya hormati.

Wartawan dan penganalisis politik yang baik dan mapan tidak 'wajar' memihak. Pun begitu saudara saya minta supaya lebih terbuka menerima kritikan dan 'pandangan yang berbeza' dari teman-teman atau orang lain.

Ini kerana analisis dan persepsi manusia berbeza mengikut tahap ilmu dan kecerdasan akal/tahap IQ.

Salam ukhwah dari saya, saudara seagam, sebangsa, senegeri dan senegara.

Wassalam.