Wednesday, August 6, 2008

Suara Hati

KDN Perlu Tegas Dengan Majlis Peguam

APA yang disuara dan dibimbangi Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar (foto) mengenai cadangan Majlis Peguam hendak mengadakan forum bertajuk “Memeluk Islam”yang dijangka membicarakan proses pemelukkan Islam dan implikasinya adalah tepat dan semua pihak perlu mencegahnya.

Sebelum ia berlaku wajar kalau ianya dihalang supaya api kecil tidak akan menjadi besar yang boleh membakar rimba ketenangan dan menyusahkan negara.

Persoalannya untuk apa forum berkenaan? Keadilan apakah yang hendak dicari oleh majlis berkenaan menerusi forum itu? Hak memeluk Islam adalah hak seseorang dan tertakluk dalam piagam kebebasan asasi seseorang manusia yang baligh.

Forum berkenaan yang juga dijangka akan menyentuh soal Artikel 121 (1A) berhubung kedudukan dan kuasa mahkamah syariah sesuatu yang diragui tujuannya. Kenapa harus dipersoalkan lagi kuasa berkenaan?

Majlis Peguam seharusnya tahu (dan memang pun tahu) kenapa Artikel 121 (1A) diwujudkan pada tahun 1988 itu. Ia adalah untuk memberi sedikit keadilan kepada umat Islam di negara ini disamping mengelakkan pertindihan kuasa antara Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah.

Dan adalah kena, tepat, berpatutan kalau hal-hal bersabit Islam dibicarakan di Mahkamah Syariah dan canggung kalau dibicarakan di mahkamah sivil.

Kedudukan artikel berkenaan sendiri sesuai dengan semangat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan negara. Apa guna Islam dicatat sebagai agama Persekutuan kalau hal-hal berkepentingannya tidak ditegakkan. Sesuatu yang dimaktub itu bukan untuk ditontong tetapi untuk diimplimenkan.

Sebelum artikel berkenaan diwujudkan telah timbul berbagai masalah dan merumitkan penyelesaian sesuatu masalah yang timbul. Telah berlaku pertindihan kuasa antara kedua mahkamah yang boleh menjadi masalah dan seterusnya menimbulkan perbalahan. Jadi semangat artikel itu diwujudkan untuk kebaikan bersama.

Adalah dibimbangi kalau forum yang dicadangkan itu akan cuba mengungkitkan kedudukan artikel berkenaan ia akan menimbul kemarahan umat Islam. Isu agama sampai ke bila pun ia sensitif dan perlu ditangani dengan baik dan lunak. Majlis Peguam harus faham ini dan tidak wajar menjadi hakim yang berat sebelah dan buta sejarah!

Majlis Peguam yang menjadi tempat rujukan dan dipandang sebagai badan intelektual dan pakar perundangan seharusnya tidak cuba menimbulkan kekeruhan, pertelingkahan umat dan sebagainya. Apa yang patut majlis berkenaan lakukan berusaha menjernihkan keadaan dan menyedarkan orang ramai kenapa dan atas keperluan apa sesuatu undang-undang itu diwujudkan. Ingat undang-undang diwujudkan bukan kepentingan satu pihak dan dibuat secara suka-suka.

Menteri Dalam Negeri hendaklah jangan teragak-agak dan berlembut dalam soal ini. Sekiranya apa yang hendak dibangkitkan Majlis Peguam itu bakal menimbulkan masalah tindakan tegas perlu diambil demi keharmonian negara. Syed Hamid jangan takut menegakkan yang haq.[wm.kl 9:00 am 06/08/08]

No comments: