Friday, November 28, 2008

Sayang Islamku

Masjid RM10 Juta Jemaah Empat Orang!

SESAMPAI di pekan Bentong, Pahang waktu azan Maghrib berkumandang. Niat untuk meneruskan perjalanan dan melakukan jama' taqdim di pertengahan jalan menuju ke rumah terbatal. Saya dan dua lagi kawan singgah menunaikan sembahyang jama' ta'khir, Maghrib dan Islam.

Dalam lembayung senja bayangan masjid itu masih kelihatan. Sebenarnya keindahan dan kehebatan masjid itu yang menggamit kami untuk singgah. Masjid yang terletak di atas bukit itu adalah antara majid yang tebaru di negeri Pahang Darul Makmuar dan begitu artistik. Bentong adalah Parlimen yang mana merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri Pelangai di mana MB Pahang, Adnan Yaacob bertakhta di situ.

Sembahyang di mana-mana pun boleh dan sah. Dari sebuah masjid besar bernilai jutaan ringgit atau pun di sebuah surau yan diperbuat daripada kayu hutan, nilai dan maksudnya sama saja. Darjah dan pahalanya tidak berbeza kecuali di tiga buah masjid, masjidil Haram di Makkah, masjid Nabawi di Madinah dan masjid al-Aqsa di Baitumuqadis.

Apa yang penting ialah sembahyang yang merupakan ibadat wasilah (penghubung) hamba dengan penciptanya (Allah) dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawaduk. Atau dalam erti kata lain sembahyang itu sampai mencecah dasar hakiki falsafahnya.

Tidak ada erti apa-apa pun kalau sembahyang di sebuah masjid yang indah dan gah namun sembahyang itu tidak sampai kepada hakikatnya. Ibarat memakan sebiji buah hanya diluaran saja tetapi tidak merasai kelazatan di dalamnya.

Sembahyang seumpama itu hanya tidak lebih daripada melaku ritual ibadat sahaja bagi mengelakkan daripada tidak diprejudiskan orang yang kita mengabaikan sembahyang. Sebab itu Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, sembahyanglah seperti mana aku sembahyang; sama dari segi fiilinya dan sama dari falsafahnya.

Kebetulan pula semalam betis dan paha terasa sakit dan pegal-pegal. Dalam keadaan terhinjut-hinjut menaiki tangga ke halaman masjid saya memerhati hampir ke seluruh laman masjid. Ianya indah sekali. Di langit juga sudah mengerdik beberapa bintang kejauhan dan kesayupan. Pemandangan di lembayung senja di masjid itu akan menjadi lebih indah lagi kalau bulan sudah bersembur dari atas langit menjamah menaranya yang tinggi. Begitu fikir saya...

Dalam suasana berbalam masjid itu kelihatan putih dan bersih. Ketinggian dari paras jalan raya berhampiran di sisinya saya mengira hampit 60 kaki. Ketinggian ini menjadikan kedudukan masjid itu sungguh strategik dan nampak kehebatannya. Ia memberi gambaran seolah seluruh penduduk di pekan itu sangat megah dan bangga dengan kewujudannya.

Manakala begitu menjenguk ke dalamnya melihatan ruang yang luas dan lapang, hati terus disuapi sebuah kepuasan membanggakan. Terasa hati menjadi dekat dengan kaki Tuhan dan sebuah ketenagan menggolek ke dalam diri. Memang tidak ada tempat yang boleh memberi ketenangan segera melainkan berada dalam sebuah masjid. Di sinilah mahalnya nilai sebuah masjid yang dianggap sebagai rumah Allah di mana rahmatNya melimpah-limpah kepada seseorang yang melangkah masuk ke dalamnya.

Apa tidaknya surau adalah bayangan kepada sebuah masjid, masjid pula adalah bayangan kepada tiga masjid teragung di dunia; masjidil Haram, masjidi Nabawi dan masjid al-Aqsa.

Jika jiwa resah, perasaan diganggu masalah duniawi, masuklah ke dalam masjid. Ambil wuduk dan masuk dan beriktikah di dalamnya selama yang mahu. Tuhan berada di mana-mana, tatapi mata Tuhan sangat hampir pada mereka yang berada di dalam rumahNya. Masjid adalah tempat perlarian daripada kesibukan duniawi yang paling aman dan menenangkan.

Entah, bukan magic... sebaik melangkah ke dalam masjid indah itu rasa pegal di betis dan paha hilang secara tiba-tiba. Inilah istimewanya rumah Tuhan ia memberi semangat anih yang menyebabkan kita menjadi kuat dan gagah dengan tiba-tiba.

Menurut seorang teman yang tahu seluk belut dan memilik ilmu binaan, kos masjid itu katanya sekitar RM10 juta. Tetapi saya percaya kos itu lebih daripada anggaran beliau itu. Jika diperhatikan kepada proses pembinaan sesuatu projek diamalkan oleh kerajaan BN.

Biasanya harga di make-up sampai 30 persen hingga 50 persen kerana untuk dibayar kepada beberapa tol (penyangak dan penyamu) yang sedang menanti. Nilai tol alias rasuah itu pun diberi mengikut kelas-kelasnya. Keadaan inilah menjadikan harga sesebuah projek itu menjadi bertambah dan berlipat kali ganda. Contoh paling klasik ialah bagaimana jambatan di Tendong Pasir Mas harga sebenar RM80 juta kemudian menjadi RM160 juta!

Apakah amalan itu juga berlaku dalam pembinaan rumah Allah?

Sesudah selesai mendirikan soal jama' taqdim dan meratahi ketenangan dan terulik dengan rasa kegum dengan masjid itu baru tersedar apa yang berlaku. Ini diluar logik kalau hendak diceritakan, namun itulah hakikatnya. Jemaah yang sedang mengikuti imam solat jemaah semalam hanya tujuh orang saja. Tiga daripadanya ialah termasuk saya dan dua orang teman. Bermakna jemaah asli ialah empat orang saja. Imam juga saya percaya diimport dari luar berdasarkan kepada pelek sebutan dan bacaannya.

Saya tidak percaya dan mengira salah pandang. Lama saya memerhati ke segenap penjuru masjid bimbang takut pandangan terlindung. Sah jemaah hanya empat orang saja. Angka ini kontras dengan pembesar suara yang dipasang dan juga keluasan masjid yang dianggar boleh memuatkan 5,000 jemaah.

Rasa hiba dan pilu tiba-tiba menghimpit tangkai hati. Kenapalah jadi begitu. Untuk apa masjid dibina sebesar dan semewah itu kalau jemaahnya hanya empat orang saja? Apakah itu bukan pembazir namanya ataupun umat Islam hanya mahu menjual syiar Islam saja tetapi umatnya kering dan kontang dengan air keimanan?

Fikiran berputar mencari penyebabkan kenapa masjid itu miskin dengan jemaah. Mungkin sifir atau kesimpulannya bias! Tetapi inilah yang berlaku. Saya kira kalau Adnan Yaacob turun menjadi imam ia tentu akan ramai dan bilangan jemaah itu akan bertambah. Apabila pemimpin berada di hadapan maka akan ramailah pengikutnya. Pengikut akan melihat kepada tindak tanduk pemimpin kerana mereka menjadi ikutan dan dan idolanya.

Apa lagi disaat Umno sedang dalam edah memilih pemimpin kini. Jika Adnan Yaacob turun mungkin kesemua kumpulan G7 dan jawatankuasa Umno bahagian akan turun. Kalau mereka ini ikut menjadi jemaah pasti bilangan jemaahnya melebihi 30 orang. Pemandangan seperti semalam tentulah tidak akan berlaku dan mencalitkan sebuah keaiban di hati.

Kenapa masjid Pulau Melaka senantiasa penuh sesak dengan jemaah. Jawabannya gampang kerana orang yang menjadi imam ialah pemimpin nombor satu negeri. Orang ramai berebut untuk menjadi makmum kepada pemimpin seperti mana Tok Guru Nik Abdul Aziz itu.

Jadi untuk menyelesaikan masalah kekurangan jemaah di masjid Bentong yang indah dan besar itu, cuba-cubalah Adnan Yaacob naik ke masjid itu dan berada di hadapan menjadi imam, sebagai imam Islam Hadhri pun tidak mengapa. Tentu jemaahnya akan bertambah dari bilangan yang saya lihat semalam, hanya empat orang dan lima termasuk imam. (Saya harapan apa yang saya lihat semalam hanya kebetulan saja dan tidak pada hari sebelum dan selepasnya). Khlas! [wm.kl. 6:00 am 28/11/08]

Iktibar Sejagat

Ariel Sharon Sudah Membusuk Tapi Masih Bernafas

SEORANG penjenguk blog merah tinta telah mengirimkan sekeping gambar menunjukkan bekas Perdana Menteri Israeil, Ariel Sharon yang terlantar tidak sedarkan diri dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.

Keadaan bekas PM yang pernah dikutuk oleh seluruh dunia itu kerana kezalaman terhahap rakyat Palestin sungguh menyedihkan. Beliau dikatakan sudah tidak sedarkan diri sejak berminggu lalu. Tisu-tisu badannya juga sudah mula mereput dan berbau busuk.

Sebuah laporan majlis dipetik, Doktor di Hospital Hadasa telah memasukkan Ariel Sharon ke dalam ruang pembedahan untuk operasi menyambungkan beberapa bahagian usus perutnya yang rosak dan telah merebak ke bahagian lain.

Apa yang menkajubkan, dan ini boleh menbimbulkan keinsafan kepada kita, meskipun dalam keadaan nazak begitu Sheron masih bernyawa lagi. Apakah ianya sengaja diberikan umur panjang dalam keadaan yang tidak sepatutnya beliau bernafas (berdasarkan foto) bagi memberi keinsafan kepada kita semua!

Gambar yang dikirimkan kepada blog ini adalah petikan dari majalah Qiblati Vol 01/No 09 Mei Jun. Terima kasih kepada penjenguk yang mengirimkan gambar ini untuk dikongsi bersama. [wm.kl 10:30 pm 27/11/08]

Thursday, November 27, 2008

Selamat Berangkat

Presiden Pas Tunai Haji

PRESIDEN Pas, Abdul Hadi Awang bersama isterinya siang tadi selamat berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan Haji dengan menaiki penerbangan komersial (MAS). Ikut bersama Abdul Hadi ialah Ketua Pemuda Pas, Sallahuddin Ayub bersama isteri dan Setiausaha Politiknya.
Abdul Hadi selama berada di Makkah akan menjadi tetamu kerajaan Arab Saudi.

Satu penerbangan bersama Abdul Hadi ialah Pengerusi Shapadu, Sharani. Sebelum menaiki pesawat kedua mereka dikatakan bersembang lama di bilik menunggu.

Beberapa pemimpin Pas turut berada di lapangan terbang untuk mengucap selamat jalan kepada Abdul Hadi. Antara mereka ialah, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Mustapa Ali, timbalannya yang juga ahli Parlimen Kota Bharu, Wan Abdul Rahim.

Ikut sama menghantar Abdul Hadi ialah Yang Dipertua Pas Kawasan-Kwasan di seluruh Selangor dan Unit Amal Wilayah Persekutuan.

Abdul Hadi dijangka berada di Makkah selama dua minggu dan dijangka akan turut mengadakan pertemuan tidak langsung dengan beberapa pihak dari Malaysia.

Sebagai rekod Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sudah tiga hari berada di Makkah manakala Setiausaha Politik Perdana Menteri, Alwi Che Amat akan berangkat ke Makkah lusa. [k trg. 8:00 pm 27/11/08]

Wednesday, November 26, 2008

Terlambat Posting

Bila lagi Nik Aziz hendak berhenti
Jangan Jadikan Orang Kempunan


KATA Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat keadaan politik semasa menyebabkan beliau tidak boleh melepaskan jawatan. Bagaimana pun katanya kalau ada desakan daripada parti beliau akan melepaskan jawatan itu sesegera mungkin. "Masih tak terdengar di telinga saya lagi orang suruh saya berhenti, kalau ada saya akan berhenti la ni (now) juga!".

Ada dua mesej ataupun maksud dari marfum kata-katanya itu. Pertama beliau tidak akan berhenti meskipun keadaanya kini dalam keuzuran selalu sakit dan berjalan kini pun dengan bertemankan tongkat. Maknanya beliau tidak akan mengalah dengan keadaan almiah dirinya itu dan mungkin akan meneruskan tugas dan tanggungjawab hatta sedang baring.

Kedua, jika parti berkehendaklah beliau berhenti beliau akan akur dan melepaskan jawatan itu.
Apakah keadaan politik semasa yang beliau maksudkan itu? Hendak dikatakan Pas Kelantan kini dalam keadaan kritikal seperti tahun 2004 dulu di mana Pas memerintah Kelantan dengan kelebihan satu kerusi saja, tidak lagi.

Kedudukan Pas kini sungguh selesa. Pas kini mendapat majoriti mewah di DUN Kelantan dengan mendapat 38 kerusi daripda 45 kerusi. Masalah kerajaan Pas akan tumbang dengan cara berlaku penyemberangan dan pembelian kerusi tidak akan berlaku lagi. Pas dalam keadaan stabil dari segi kerusi pada masa ini.

Apakah masalah politik semasa yang beliau maksud dan sembunyikan itu? Apakah kerenah Pas di bawah masih bercakaran sesama sendiri itu yang dikatakan masalah semasa yang tidak memungkinkan Mursyidul Am berumur 78 tahun itu melepaskan jawtaan MB yang dipegang selama 18 tahun itu?

Umum sudah tahu bahawa ada orang yang berangan dan disebut-sebut untuk menjadi MB Kelantan. Orang ini sudah membuat persiapan dari semua sudut mental dan fizikal sejak beberapa tahun lalu. Dia juga sudah membina tapak politik dan kelab penyokong (penyoraknya) sendiri. Masalaah calon tidak timbul lagi kerana tokoh ini sudah ada dan sudah lama bersiap sedia untuk mengambil alih kerusi Tok Guru berkenaan.

Cuma apa yang menjadi masalahnya orang ini tidak mendapat sokongan semua pihak di Kelantan. Ada yang bergurau menyifatkan angan-angan itu tidak lebih dari angan-angan Mat Jenin yang sukar menjadi kenyataan. Beliau memang popular diperingkat pusat tetapi sayang tiak mendapat sokongan Pas Kelantan sendiri.

Daripada 14 kawasan Pas Kelantan tidak sampai tiga kawasan yang cocok atau bersetuju kalau beliau diangkat menjadi MB menggantikan Nik Abdul Aziz. Hampir semua Yang Dipertua Pas Kawasan kurang senang dan tidak sebulu dengannya. Setengah Ketua Kawasan bernazar akan sembelih gajah kalau orang ini menajdi MB. Pada saya nazar itu teruk sangat dan sudah takabul.... walaupun ia ingin menunjukkan betapa orang ini bermasalah untuk dilantik menjadi MB.

Jadi kalaulah itu masalah semasa yang dimaksudkan, Nik Aziz boleh mengatasinya. Beliau kena mencari jalan dan berikhtiar bagiaman supaya Pas akar umbi menyokong orang berkenaan. Lagipun beliau sendiri dikatakan bermiant dan kagum dengan gerak kerja orang berkenaan. Beberapa kali beliau telah terlepas cakap memuji kehebatan dan kepintaran orang itu dalam menjana ekonomi dan membawa pendekatan baru politik Kelantan.

Nah tunggu apa lagi. kalau sudah berkenaan ‘kahwin’ sahaja. Nik Aziz boleh lakukan. Dengan kedudukannya sebagai tok guru dan MB beliau boleh menyihirkan orang Pas Kelantan agar menerima orang itu.

Kalau beliau sungguh sayangkan kepada orang itu beliau perlu melakukan sesuatu. Beliau tidak boleh membiarkan begitu lama orang itu terjeruk dengan perasaannya untuk jadi MB. Tunggu lama-lama tidak baik juga. Jika diibarakan kepada orang perempuan kkalau dibiarkan lama-lama ia akan menjadi anak dara tua. Bila sudah jadi anak darah tua benihnya kurang subur dan jika mengandung pun banyak implikasinya.

Jadi kalau benar mahukan orang itu jadi MB biarkan ketika benihnya subur; semangat dan keinginannya tinggi jangan sesudah orang itu sudah tidak bersemangat lagi.

Sebenarnya masalah orang itu tidak akan disokong oleh akar umbi tidak menjadi masalah. Saya yakin kalau sesiapapun diberikan kedudukan dan kuasa dia akan disokong. Orang ada kuasa (lebih-lebih lagi MB) sepertilah orang yang memilih beras dan mempunyai banyak sagu. Tabur saja beras dan belah saja sagu tentu akan bercemperian ayam dan itik menerkamnya. Jadi sementara Nik Aziz ada beras dan sagu buatlah sesuatu.

Dan kepada Tok Guru juga tidak baik kalau menjadi MB lama-lama. Alasan beliau mengatakan tidak ada desakan daripada Pas, rasanya kurang tepat. Dengan kapasitinya hari ini siapalah dalam Pas yang berani dan sampai hati nak nasihatkan beliau. Jadi kita sebagai orang bijaksana dan tahu melihat panjang pendek bayang kita ketika di mana matahari berada harusnya bertindak sebelum orang lain menunjukkinya.

Ikhlas dikatakan saya bimbang takut terjadi apa-apa kepada Tok Guru seperti terjatuh sewaktu bersyarah atau sedang mengajar baru nak berhenti ia adalah satu keadaan yang tidak seharusnya berlaku.

Yakin dan percayalah walaupu tidak menjadi MB beliau tetap akan dipuja dan dihormatinya kerana status beliau bukan saja sebagai tokoh politik tetapi yang lebih penting ialah beliau menjadi seorang tok guru. [klia 11:30 am 26/11/08]

Tuesday, November 25, 2008

Luahan Simpati

Kisah Ahli Penyampuk dan Speaker Senget Sebelah

ADA waktu-waktu sikap ahli Parlimen pembangkang begitu keras dan menjolok mata. Banyak yang saya kurang setuju dengan telatah dan penampilan sesetengah ahli Parlimen pembangkang, terutamanya yang suka menyampuk percakapan ahli lain. Perangai suka menyampuk ini tidak mudah untuk dibuangkan mungkin perangai ini diwarisi sejak dari mereka kecil lagi. Perangai asal penyakiti keturunan!

Pantang orang bercakap dia menyampuk, lepas itu dia ketawa. Macam main-main saja, tidak serius dan menggambarkan seorang ahli profesionali! Disebabkan perbuatan yang kurang manis inilah kadang-kadang isu yang penting terbiar begitu saja dan isu lain yang remeh temeh pula diperdebatakan bagaikan nak rak. Berlakunya perbalahan sehingga menjadikan Parlimen macam pasar ikan gara-gara perbuatan suka menyampuk tidak senonoh ini.

Dalam perhatian saya ada beberapa orang ahli Parlimen yang terkena saka penyakit ini. Mereka datang dari kedua belah pihak, pembangkang dan juga pihak kerajaan. Kewujudan ahli suka nyampuk ini sering kali ada pada setiap kali penggal Parlimen. Semacam species ini senantiasa saja ada dan sukar pula untuk dibasmikan. Mereka menjadi pelengkap Parlimen Malaysia.

Dari pihak pembangkang, ahli yang suka menyampuk ialah ahli Pokok Sena dan Padang Serai. Mereka ini terkenal dengan karektor menyampuk ini. Mereka tidak boleh mendiamkan diri ada-ada saja yang beliau nak celah dan sampuk orang yang bercakap. Malahan sikap ahli Padang Serai lagi dering apabila beliau boleh melangkah menghampiri speaker dan membisikan sesuatu. Beliau menjadikan speaker seperti rakan main gulinya semasa kecil.

Begitu juga dengan wakil Pokok Sena. Perangainya melucukan! Pernah seorang wakil Kerjaaan menyamakan telatah beliau seperti binatang atas pokok. Bahasa yang dikeluarkan juga kurang beradab dan tidak menandakan ciri-ciri seorang wakil Islam. Kononnya dengan menyampuk itu dia melawak, tetapi lawakan itu menyerlahkan dirinya yang sebenarnya.

Baik kalau mereka berdua (Padang Serai dan Pokok Sena) ini selepas habis ahli Parlimen atau sesudah tidak menang dalam pilihan raya kelak mereka bergabung tenaga tubuhkan kumpulan lawak boleh ganti Jamali Shadat dan Hamid Gurkha.

Manakala di pihak kerajaan pula dua juga ahli yang dikenali terkenal dengan menyampuk dan suka menjerit dan memperli ahli lain. Mereka ialah wakil dari Kinabatangan dan Batu Pahat. Kadang kala jeritan mereka mengalahkan ungka dan orang utan dalam rimba. Keadaan mereka menjadikan spekaer, pusing kepada dan terpaksa membekalkan panado dalam saku setiap kali melangkah masuk ke Parlimen.

Kelantangan melampau mereka ini menyenakkan telinga pemerhati mendengar. Pernah sekali wakil dari Batu Pahat kerana vokal tidak menentunya diherdik oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Anwar memintanya supaya belajar agama dan tahu berada bila bercakap atau berhujah.

Jadi kedua pihak ada wakil-wakil yang layak berada dalam kandang serkas. Bagaimana pun dalam melayani watak-watak dan telatah ini ada semacam tidak kena dilakukan speaker. Speaker seperti tidak bersikap adil dalam hal ini dan menggunakan kuasanya sebagai Speaker untuk melakukan diskrimiansi dengan membela ahli Parlimen Kerajaan dan muda terasa dan bertindak ke atas ahli pembangkang.

Benar ada kalanya lagak pembangkang melebih-lebih tetapi apa kurangnya dengan ahli Parlimen kerajaan. Namun yang selalu dikenakan hukum ialah ahli pembangkang. Tindakan memberi gambaran tidak baik kepada seorang sepeaker yang harus adil, bijaksana dan peka dengan keadaan.

Misalnya kejadian siang tadi di mana menyebabkan ahli Puchong, Gobind Sing Deo digantung sidang selama dua hari adalah kesilapannya bermula dari tindakan speaker yang tidak adil dan bersikap senget sebelah dalam tindakannya.

Jelas dalam sidang tadi Timbalan Speaker Wan Junaidi Tuanku Jaaffar gagal menjadi speaker yang bijak dan terpalit dengan emosi dalam melayan ahli Puchong itu. Beliau sepatutnya tidak bertindak menggantung wakil Puchong berkenaan berdasarkan amarah tanpa fakta yang kemas.

Beliau harus meneliti kenapa wakil Puchong itu jadi emosi dan menjerit-jerit macam orang kejar pencuri. Puncanya ialah dari speaker sendiri. Keputusan dibuat Wan Juniaidi untuk tidak meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamad Nazri Aziz supaya meminta maaf atas kekhilafannya adalah kurang tepat.

Alasan digunakan beliau kerana Nazri tidak berniat hendak mengeliru dan berbohong di Parlimen berhubung kedudukan kelima hakim yang menerima bayaran ex-gratia sebanyak RM10.5 juta itu tidak kena dan relevan dengan apa yang berlaku.

Mungkin betul Nazri tidak berniat begitu dan tidak perlu dihadapkan ke jawatankuasa khas Parlimen. Tetapi dengan memutuskan begitu saja tanpa memberi apa-apa amran kepada Nazri yang tidak peka dengan fakta itu tidak adil. Kalau Wan Juniadi bijak beliau harus memanggil Nazri agar memohon maaf kepada Parlimen atas kesilapan itu. Contoh klasik yang beliau petik hal sama pernah dilakukan oleh ahli Parlimen negara asing juga tidak menyakinkan untuk menerima tindakannya Nazri atau beliau itu sebagai betul.

Begitu juga alasan diberikan Wan Junaidi yang Nazri tidak tahu mengenai fakta bukan jalan penyelesaian. Jawaban itu sendiri menjelaskan Nazri gagal menjalankan tuagsnya sebagai Menteri. Sepatutnya selaku menteri Nazri tahu segala maklumat itu (berhubung pembayaran ex-gratia dan kedudukan hakim yang menerima wang itu) dan kalau beliau confius beliau boleh menangguhkan menjawab persoalan itu. Beliau selilidiki dulu kemudian baru memberi jawaban.

Apa yang dilakukan Timbalan Speaker menggantungkan wakil Puchong dan tidak memanggil wakil Padang Rengas itu satu tindakan bagi menyelamatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu. Ada benarnya juga bila wakil Puchong memperkatakan yang speaker cuba melindungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri?

Kesimpulannya setiap keributan yang berlaku dalam Parlimen (kecuali dilakukan si penyampuk) adalah kesilapan dan kelamahan speaker juga. Ada kalanya speaker sendiri yang mendorong ke arah berlarutannya pergaduhan dan pertegangan leher di Parlimen. Saya nampak kadang kala speaker ingin bertindak menjadi Backbanchers.

Bagi menjamin kewibawaan spaeker dan kewibawaan Parlimen saya rasa elok kalau speaker termasuk dua timbalannya belajar dan menimba pengalaman speaker-spear sebelum ini yang jelas lebih adil dan profesional.

Salah seorang bekas speaker yang boleh dicontohi dan sering disanjung tugasnnya ialah Allahyarham Tan Sri Zahir Ismail. Baik Wan Junaidi atau Pendikar Amin Mulia rajin-rajinlah membuka semula rakaman persidangan Parlimen sewaktu Allahyarham menjadi speaker. Belajarlah dari Tan Sri Zahir yang berhemah, lemah lembut tetapi tegas itu.

Ingatlah wibawa sesebuah negara dan demokrasi itu terletak kepada Parlimen; pincang Parlimen maka pincanglah negara dan demokrasi. [d' kota kl. 11:15 pm 25/11/08]

Jiwa Manusia

Susahnya Menjadi Cerdik Di Kalangan Bodoh!

MENJADI cerdik seribu kali lebih baik daripada menjadi bodoh! Tapi kalau cerdik tetapi menipu dan menyusah orang lain seribu kali tidak guna daripada menjadi bodoh yang baik, tidak mempedulikan orang.

Kali ini saya nak berborak di luar kotak pemikiran biasa, iaini fasal kita yang cerdik ini. Yang tahu menggunakan otak atau melihat sesuatu itu bukan sekadar melihat seperti mana mata ikan kering melihat lautan luas. Seribu kali terpandang lautan terbetang luas pun ikan kering itu tidak akan berusah menggerakan diri untuk terjun ke laut. Kenapa...?

Kadang-kadang teringin untuk tidak mahu jadi cerdik. Kerana dengan cerdik menjadikan kita akan berfikir sebelum menerima sesuatu perkhabaran dengan seadanya saja. Bila kita cerdik kita akan kaji, periksa dan nilai apaklah ia benar atau sebaliknya. Berbeza kalau kita bodoh, ia senang sahaja, biarkan saja otak berkembang dalam tempurung kepala tanpa menggunakannya biarkan ia penuh dengan lemak dan minyak.

Kenapa susah menjadi cerdik, pelik? Bukankah dengan cerdik itu boleh menyelamatkan kita dari ditipu dan diperbodohkan. Cerdik di sini maksudnya kita 'react' kepada sesuatu kejadian. Kita bangkit menilai dan mengkajinya. Menyebabkan kita berfikir dan mencari rumusan kemudian membuat kesimpulan. Dan apabila yang kusut itu tidak menemukan penyelesaian kitaakan menjadikan sebal dan merasa bodoh sendiri.

Saya ambil contoh mengenai isu mengenai senaman yoga yang heboh dipertuturkan sehari dua ini. Senaman itu telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, ianya haram. Lantas ia tidak digalak dilakukan secara sistemetik oleh umat Islam kerana bimbang boleh merosakkan aqidah.

Menurut majlis fatwa itu sekurang-kurang ada tiga asas senaman itu boleh membawa kepada kecacatan aqidah. Antaranya ialah keran ia ada usur mentera jampi, dan usaha (maditasi) penyatuan dengan Tuhan. Tuhan di sini dirujuk kepada Tuhan (Hindu ) sebab yoga itu sendiri sebahagian daripada ritual keagamaan Hindu.

Sepatutnya apabila Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan begitu ia diterima sebagai muktamad dan diamalkan. Kerana keudukan majlis fatwa itu samalah dengan majlis-majlis lain berkuasa ke atas sesuatu bidang. Apabila majlis telah memutuskan demikian ia tidak boleh dipertikaikan lagi.

Sebaliknya keadaan ini tidak berlaku kepada majlis fatwa itu. Masih ada yang mempertikaikan dan mempersoalkan apa yang diputuskan oleh majlis fatwa itu. Bukan setakat itu saja ada yang sampai buat report polis, menyinis dan membantahnya secara langsung. Aksi-aksi itu menggambarkan ilmuan dan mulut ulama sudah tidak dihormati lagi.

Kenapa ini berlaku? Inilah yang saya sebutkan tadi sepatutnya kita jadi bodoh dari hal-hal sebegini menyebabkan kita tidak akan persoalan terhadap apa yang berbangkit. Kalau kita bodoh senang saja apa yang para alim ulama putuskan kita terima, tidak mempersoalkanya lagi. Atau kita langsung tidak mempedulikannya baik tentang ia atau salahnya.

Tetapi kerana kita cerdik, kita menggunakan otak, maka bila berhadapan dengan perkara seperti fatwa itu dipersoalkan maka kita jadi gila sendiri berfikir kenapa ini berlaku. Kita menjadi mangsa keadaan antara benar dengan tidak, terjempit dicelah si pakar dengan sijahil.

Kenapa masih ada yang mempertikaikan keputusan majlis fatwa. Apakah apa yang dibuat itu tidak tepat? Apakah majlis fatwa tidak ada kredibiliti untuk memutuskan perkara itu?

Keadaan inilah membingungkan! Dan seperti saya katakan tadi, perasaan bingung dan tolol ini hanya menimpa diri kita yang berfikir saja. Bagi mereka yang tidak berfikir, tidak merasa apa-apa, malahan sesetengah itu berlaku tidak pun disedari atau dibiarkan saja berlalu. Tidak percaya tanya si tolol dan disboh di jalanan.

Untuk menhindarkan diri dari polemik sebegini menyebabkan sesekali teras ingin membawa diri ke lemah itu; menjadi orang yang tidak mempedulikan kepada perkara-perka melibatkan diri orang lain dan alam sekitar. Sesekali terasa ingin menjadi manusia yang bodoh dan sinting saja. Barangkali orang bodoh sangat sesuai untuk berada di negara ini kerana kerajaan sendiri kadang-kadang bebal dan lembu dalam tindakan-tindakan dan praktikalnya. [wm.kl. 7:30 pm 25/11/08]

Celoteh Murai 18

Kalau Tededah Malulah

Murai jadi terkicit.... (terberak) apabila membaca gesaan Ketua Wanita Johor, Halimah Mohamed Sadique yang berbadan langsing dan lawa itu agar wanita Umno tidak menelanjangkan pergerakan itu dengan mendedahkan keburukan danmelakukan fitnah terhadap Rafidah Aziz dan Shahrizat Jalil yang akan 'bertarik' rambut Mac depan.

Aik....lain sikit bunyinya gesakan Halimah ini. Kenapa ya? Apakah Halimah sudah dapat menghidu ada orang akan mendedahkan rahsia atau hal-hal peribadi Ketua dan Naib Ketua Wanita itu? Kata orang kalau tidak ada mengadakan masakan tempua bersarang rendah. Selaunya bila ada kilat akan adalah guruhnya walaupun hujan belum tentu turun.

Kalau nak burukan antara satu sama lain siapa yang akan memulakannya? Siapakah yang hendak mendedahkan keburukan dan membuat fitnah? Untuk pengetahuan Halimah biasalah kalau ada pertandingan hal-hal titik bengkit pun dijadikan isu. Takkan Halimah tidak tahu, calon akan melakukan apa saja untuk memastikan kemenangan masing-masing.

Tapi Murai rasa Halimah tidak perlu bimbang sangat, rasanya masih ada wanita Umno yang beriman dan kelihatan solehah dalam pergerakan itu. Yang tutup rambut itu... tentu lebih nampak sopan daripada yang membuka rambut. Orang-orang macam dua anak Ibrahim, Kamilia dan Mashitah itu adalah wanita yang bukan saja cantik, bersopan tetapi mereka juga kelihatan solehah dan beriman.

Orang-orang seperti Kamilia, Mashitah itu tidak mungkin sanggup melakukan apa yang lebih daripada sepatutnya. Mereka tahu halal haram baik dari sisi agama dan juga sisi undang-undang. Apa lagi Kamilia sudah mnang tidak bertanding, tidak ada sebab dia akan mendedahkan keaiban orang lain. Manakala Mashitah pula tidak terlibat dengan pertandingan. Mereka bolehlah menasihati wanita Umno daripada terlajak seperti dibimbangi Halimah itu.

Apabila Halimah membuat gesaan itu tentu Halimah sendirti tahu siapa yang ada rahsia dan siapa yang tidak ada rahsia! Halimah tentu juga tahu wanita mana yang main dengan laki orang ataupun berfoya-foya di luar negara? Halimah juga tahu bagaimana seorang ketua wanita dibelasah oleh madunya di sebuah kompleks membeli belah tidak lama dulu.

Begitu juga Murai rasa Halimah ada simpan SMS seorang ahli politik yang miang dan mencuba...cuba... dan mencuba... cuba itu. Tentu! Dan tak ingat ke...?

Kalau Halimah tidak mengetahui rahsia-rahsia dan hal peribadi itu pasti beliau tidak berkata demikian. Bab kata pepatah hanya jauhari mengenali maknikam. Apapun Murai harap kalaupun berlaku perang Salib dalam wanita Umno nanti janganlah sampai tarik dan senjah kelubung merah atau melodeh kain. Jagalah. Ah... malulah kalau hal-hal dalam kain terdedah kepada umum. Wanita Umno juga kena ingat mereka bukan lagi puteri.... kalau puteri tu.... (tak boleh juga).

Apabila sudah ada yang hendak lawan dan yang hendak kena lawan maka berlawanlah dengan cara berkawan-kawan. Ingat-ingatlah pesanan Halimah Sidique itu... jangan sampai terlanjang, jangan!

Murai: Ada simpan gambar seorang wanita Umno dengan jantan bukan muhrim dalam suasana romantik!

Monday, November 24, 2008

Pas Selangor

Kenapa Pas Selangor Dirombak?
Saari dan Khalid Digugurkan.

(kemaskini) TIBA-TIBA saja Pas Selangor membuat rombakan ‘Kabinetnya’. Tiada pula kedengaran apa-apa yang tidak beres yang berlaku dalam Pas negeri berkenaan dalam tempoh sehari dua ini. Selama ini - selepas pilihan raya umum Badan Perhubungan Pas Selangor berada dalam keadaan aman damai saja. Perpaduan dan ukhwan Pas Selangor kuat dan bersemangat.

Kalaupun ada sedikit pergolakan ialah menjelang pembentukan Kerajaan Selangor selepas pilihan raya umum lalu. Ada sedikit perselisihan pendapat, ada yang merasakan Pas lebih baik membentuk kerajaan bersama Umno atas kepentingan Melayu manakala ada yang merasakan tidak dan lebih baik Pas meneruskan pembetukan Kerajaan dengan PKR dan DAP sebagai untuk tidak melukai hati rakyat yang memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Apapun selepas itu, isu itu selesai. Kedua pihak yang berselisih pandangan akhirnya akur kepada kehendak semasa, iaitu Pas harus membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat.

Jadi apabila Jumaat lalu, Badan Perhubungan Pas Selangor dirombak ini menyebabkan pemerhati politik sedikit terjungkit dan tercari-cari apakah sebab musababnya maka ia dirombak. Apa lagi rombakan itu melibatkan Timbalan Pesuruhjaya, Abdul Khalid Samad dan Ketua Penerangan, Saari Sungip.

Kedua mereka adalah orang penting dalam Pas Selangor. Khalid juga ahli Parlimen kawasan Shah Alam, manakala Saari Sungip ADUN kawasan Ulu Klang. Kelantangan Khalid dalam membangkitkan isu-isu rakyat di Parlimen (yang kadangkala kontras dengan minda Pas) menjadikan ahli Parlimen itu sebagai aset Pas Selangor untuk di masa depan.

Begitu juga dengan Saari Sungip. Aktivis sosial ini nampak begitu menekankan soal-soal kemanusiaan yang harus diperjuangkan oleh Pas. Walaupun beliau dilihat tidak ekstrim tetapi merupakan seorang yang kuat berpegang kepada doktrin Islam moderate.

Sebagai anggota Dewan Harian, merekalah yang menentukan gerak nadi Pas Selangor. Segala keputusan penting termasuk berhubung peranan Pas dalam kerajaan Pakatan Rakyat turut melibatkan pemikiran mereka berdua.

Tempat Abdul Khalid itu diganti oleh Ahli Parlimen Ulu Langat, Che Rosli Che Mat. Che Rosli ialah bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis dan bekas Yang Dipertua Pas Ulu Langat. Melihat kepada jawatan yang pernah disandang itu beliau mempunyai pengalaman dan ada kesesuaian untuk menjabat jawatan itu.

Manakala tempat Saari Sungip diganti oleh Roslan Shahir, (foto bawah) yang juga Setiausaha Akhbar Presiden Pas. Roslan juga merupakan Yang Dipertua Pas Kelana Jaya dan salah seorang barisan pemimpin pelapis Pas Selangor yang rajin menumpahkan idea dan bersikap konservetif. Sebelum pilihan raya lalu, Roslan sudah menjawat jawatan itu. Jawatan itu diserahkan kepada Saari selepas Roslan dilantik menjadi setiausaha akhbar Presiden Pas kerana bimbang beliau tidak dapat memberi tumpuan kepada jawatan berkenaan.

Sudah pasti Dr Hassan ada alasan tersendiri kenapa rombakan perlu dilakukan dan melibatkan dua individu itu. Apakah peranan Saari sebagai Ketua Penerangan tidak berfugsi dengan baik maka beliau ditukar, diserahkan balik kepada Roslan? Ataupun ada sesuatu yang sedang beralun antara beliau dengan timbalannya, Khalid menyebabkan ia perlu diganti dengan Che Musa?

Dalam sesebuah organisasi kalau ketua tidak sehaluan dengan timbalan apa lagi kalau orang nombor dua pandai bertindak sendiri dan bersikap lebih sudu dari kuah memang menimbulkan masalah. Sukar untuk seorang ketua menjaga anak buah yang cerdik dan cuba menguruskan diri sendiri tanpa mengambil kira suara majoriti dan tidak tahu menghormati parti.

Apakah situasi itu yang berlaku di sekitar Khalid Samad? Sebab jika diperhatikan kepada beberapa tindakan dan kenyataan Khalid sebelum ini ia menggambarkan beliau seorang yang berbuat mengikut kepalanya saja dan seorang yang terlalu outspoken sehinggakan adakalanya sikap itu menimbulkan masalah kepada parti. Kerana ketelusan yang diingini sampai rahsia parti yang tidak sepatutnya didedahkan ikut sama diluah. Dia juga seorang yang vokal dalam memperkatakan sesuatu yang tidak 'semakan' dengan kepalanya.

Khabarnya pertukara jawatan dan rombakan itu diterima sebulat suara oleh kesemua anngota badan perhubungan Pas Selangor. Tidak ada apa-apa bantahan. Walaupun itu adalah hak prerogetif Pesuruhjaya, namun Hassan katanya membincangkan soal rombakan itu dalam mesyuarat terbuka bagi mendapat pandangan semua ahli Badan Perhubungan. Kedua mereka yang terlibat dengan pertukaran itu juga turut hadir dan menerima dengan baik keputusan itu.

Seperti mana dilaporkan media massa, alasan rombakan untuk memantapkan lagi Pas Selangor dan bagi memastikan segala polisi dan dasar Pas seperti mana termaktub dalam perlembagaan dan diputuskan parti berjalan dengan lancar.

Ada desas desus mengatakan rombakan itu sebagai pembersihan mereka yang menyokong Anwar Ibrahim? Apakah tanggapan itu benar? Memang mereka ini dilihat rapat dan banyak memberi masa kepada Anwar Ibrahim. Saya sendiri kerap melihat kehadiran Khalid Samad ke rumah Anwar bersama beberapa pemimpin Pas lain yang dilihat ‘bau-bau bachang’ dengan Anwar.

Tetapi saya fikir pemecatan itu bukan kerana sebab itu. Keakraban dan keyakinan Khalid kepada ketokohan Anwar untuk jadi PM saya rasa bukan alasan tepat kenapa beliau harus ditiadakan dalam badan perhubungan Pas Selangor. Pemergian Khalid ke rumah Anwar dan keakrabannya dengan Anwar tidak wajar dijadikan hujah. Kalau Khalid mendatangi Anwar sebagai kunjungi orang mengkagumi Anwar apalah salahnya?

Begitu juga kalau pemergian atau keakraban Khalid dan pemimpin lain dengan Anwar dalam rangka untuk menjayakan projek 16 September tidak wajar kalau mereka dihalang apa lagi ianya diambil tindakan. Bukankah pemergian dan penglibatan mereka itu untuk memastikan kerajaan BN tumbang dan bukankah itu juga cita-cita Pas selama ini?

Cuma apa yang salahnya kalau penglibatan secara eksklusif itu tanpa premisi daripada parti ia adalah salah. Apa lagi kalau ada yang melebihkan Anwar daripada presiden sendiri, ia tidak patut berlaku. Kerana setiap yang berjemaah itu harus akur dan taat kepada jemaah! Harus berwalad kepada ketua dalam jemaah bukan ketua di luar jemaah, meskipun betapa baik dan idealnya dia.

Apapun yang pasti rombakan itu ada sebab-sebab lebih rahsia dan munasabah. Kalau tidak masakan Pas Selangor rela mengorbankan mereka. Jika dilihat rombakan itu berlaku selepas Pas mengadakan retreat di Langkawi 7 dan 9 November lalu mungkin tindakan merombak badan perhubungan itu terilham di Langkawi.

Mungkin ada sesuatu berlaku di Langkawi kalau tidak masakan rombakan itu dibuat selepas kepulangan dari pulau sumpahan itu. Bagaimana pun sukar untuk dikatakan apa yang berlaku di pulau lagenda itu. Tetapi yang jelasnya selepas pulang dari Langkawi membuatkan hati Hassan Ali terbuka untuk merombak badan perhubungan Pas. Mungkinkah ada seseorang yang hadir pada retreat itu telah menimbulkan masalah! [wm.kl. 6:45 pm 24/11/08]

Sunday, November 23, 2008

Celoteh Murai 17

Orang Melayu Macam Penghidap Kencing Manis

MURAI naik kesian dan simpati kepada orang berbangsa Melayu di negeri Murai bermukim ini. Kesian.... kesian sungguh! Murai tengok orang Melayu seperti dalam keadaan berkrisis sesama sendiri dalam mencari nilai dan identiti diri yang beransur hilang. Macam-macam yang keluar dari kepala orang Melayu dalam usaha hendak memartabatkan diri mereka.

Apakah orang Melayu sudah kekeringan idea dalam memikirkan nasib mereka?

Bila Lim Guan Eng sudah menunjukkan taringnya di Pulau Pinang negeri yang dibawah pemerintahannya dengan menamakan jalan-jalan di Pulau Pinang dalam tulisan Cina dan Tamil, orang Melayu jadi melenting-lenting macam keropok lekur dalam kuali panas. Bukan main lagi dengan hembur dan lepaskan kegeraman kepada Guan Eng.


Murai percaya kalau mereka terjumpa Guan Eng jalan bersendirian mereka akan pukul Guan Eng sampai tersungkur makan tanah.

Tengoklah surat khabar kepunyaan orang Melayu dari kelompok Umno hari ini (23 November). Baca petikan di muka depannya. Kata-kata dan komen mereka macam pahlawan tikam tak lut bakar tak hangus saja lagaknya.

Kata orang Melayu dari Melaka, apa yang dibuat Guan Eng itu dengan menamakan jalan dengan berbagai bahasa tidak pernah berlaku di dunia ini.


Murai nak jawab kepada orang Melayu dari Melaka itu, kini ia suah bermula di Malaysia. Khasnya di Penang. Itulah kehebatan dan kejayaan Guan Eng. Tidak sampai setahun memerintah Pulau Pinang sudah dapat membuat sesuatu menurut nalurinya dan idealisme perjuangannya tanpa perlu memikirkan perasaan orang macam orang dari Melaka itu.

Murai percaya selepas ini Guan Eng akan melakukan sesuatu yang lebih daripada itu. Sesuatu yang disifatkan sebagai tidak pernah berlaku di mana-mana dalam dunia ini.

Berkata pula seorang lagi Melayu tindakan Guan Eng itu degil dan tidak bertanggungjawab. Murai tolong nak jawab kepada Melayu seorang ini, dia profesor dan juga berasal dari negeri pahlawan yang hilang (pahlawan penakut), (Melaka) juga. Untuk melakukan sesuatu yang besar dan berat seseorang itu kena degil dan keras kepala. Apa yang Guan Eng buat itu dia bertanggungjawab kepada parti dan ethniknya. Tanpa bersikap keras kepala ia mungkin tidak akan berjaya.

Macam nak pecahkan batu atas gununglah, kalau asyik duk guna air dan angin saja tak menjadi, sesekali kena pakai bom atau 'boldrozar'.

Manakala seorang lagi Melayu, asalnya dari Kelantan... berkata tindakan kerajaan Pulau Piangn itu angkuh dan tidak ada masalah kalau mereka batalkan rancangan itu.

Menghimpun semua kata-kata orang Melayu itu, apa yang Murai rasakan mereka meluahkan perasaan saja. Mereka hanya boleh berkata-kata tetapi tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Sikap mereka itu samalah seperti penghidap dabetis yang kadar gulanya sudah melebihi hak. Jadi apabila mereka cuba nak kawal gula dalam tubuhnya sudah tidak berhasil lagi.

Jadi orang Melayu hari ini sepertilah orang kena kencing manis. Sudah tidak ada penawar lagi kecuali setakat bertahah saja sebelum maut datang menyambar. Selalunya bila dah kena kencing manis ia akan berjangkit pada jantung, buah pinggan dan silap hari bulan jadi 'bolel' (buta).

Murai jamin bagi Guan Eng tidak pun merasa apa-apa dengan kata-kata itu. Apa yang dilemparkan itu bak mencurah garam ke laut saja. Yang penting semasa papan tanda jalan itu dibangunkan tidak ada siapa berani mencegah atau mecabutnya balik. Jadi setakat berkata-kata ia tidak memberi bekas samalah dengan tindakan anjing menyalak bukit. Bukit tidak akan runtuh pun.

Pada Murai kalau ketiga orang Melayu itu benar-benar berani pergilah ke Pinang dan cabut papan tanda itu! Berani ke? Kalau kita benar-benar pahlawan cubalah, usah takut kepada penjara. Keberanian Guan Eng sudah pun teruji beliau dah pun meringkuk dalam penjara kerana mempertahankan kebenaran yang diyakini.

Biarlah di sini Murai hendak ingatkan kepada orang-orang Melayu seperti yang dipetikkan kenyataan mereka oleh akhabr itu, berhentilah berfikir mengikut rasa sebaliknya kembalilah kepada realtii. Mereka harus faham kenapa orang Melayu tidak tergerak (berdegis) untuk mengikuti seruan mereka kerana perjuangan mereka itu tidak relevan lagi.

Maka elok sangatlah kalau mereka termasuk Umno juga melakukan perubahan, pandangan dan pegangan. Nah, Murai rasa untuk tidak sakit kepala mulai hari ini jangan lagi kita berjuang untuk mencari idetiti dan nilai diri yang sudah hilang itu. Marilah kita sama-sama menjadi mahkluk macam robot yang bergerak kerana mengikut monitor tuannya! Ha...haha.

Murai: Didik anak sejak dari dalam telor lagi.

Perspektif Diri

Kongres PKR: Persiapan ke arah memerintah Malaysia

MINGGU depan giliran Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula akan mengadakan kongres nasional tahunannya. Kongres ini merupakan kali ke-5 selepas Keadilan bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Sudah tentu kongres kali ini akan menjadi tumpuan ramai. Ada beberapa sebab kenapa kongres ini diramal bakal hangat dan menjadi fokus umum baik dari ahli, penyokong dan pemerhati.

Pertama, inilah kongres pertama selepas pilihan raya umum ke-12 yang membawa kejayaan besar kepada PKR. Tidak boleh dinafikan kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya lalu jika diukur kepada pencapaian itu meletakkan PKR menjadi parti kedua terbesar selepas Umno.

Di Parlimen Umno mempunai 83 kerusi manakala PKR 31 di mana hampir separuh daripada kerusi Umno. Berbanding dengan PAS yang mempunyai 23 kerusi manakala DAP 28 kerusi.

Sekiranya kejayaan dalam pilihan raya umum ke-12 itu mampu dipertahankan tidak mustahil PKR akan menjadi parti masa depan dan pilihan rakyat negara ini yang seterusnya menjadi parti peneraju kerajaan?

Situasi dan realiti itu menyebabkan kongres pada 28 dan 30 November bertempat di stadium tertutup, stadium Melawati, Shah Alam dijangka menarik perhatian umum. Kehadiran pemerhati dan sambutan kongres berkenaan juga mungkin akan meningkat berbanding dengan kongres-kongres sebelum ini. Apa lagi tempat berlangsungnya kongres itu selesa jika dibandingkan dengan tempat berlangsungnya kongres sebelum ini.

Sebelum ini PKR menghadapi masalah mendapatkan peremis untuk mengadakan kongres mereka. Bukan semua hotel mewah atau dewan umum bersedia memberi ruang kepada PKR. Lantaran itu PKR terpaksa mengadakan kongres mereka di merata tempat termasuk di tempat yang tidak berapa sesuai disebabkan kesulitan itu. Kerana tidak ada pilihan maka kongres terpaksa juga diadakan. Satu ketika PKR pernah mengadakan kongres di Dewan Tokong Cina di Ipoh.

Alhamdulilah walaupun tempat kongres tidak selesa dan dilengkapi dengan kemudahan prasarana seperti hawa dingin dan sebagainya sambutan tetap hangat dan membanggakan. Semangat untuk melakukan perubahan dan pembaharuan menjadikan segala kepayahan dan kesusahan itu dialpakan.

Kalau di Dewan Tokong Cina sambutan hangat dengan kehadiran ribuan orang, apa lagi di tempat yang selesa seperti stadium Melawati di Shah Alam itu tentu ia akan bertambah hebat dan meriah. Lagipun tempat itu bolehlah dianggap sebagai peremis PKR sendiri. Selangor kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat di mana PKR sebagai tulang belakangnya. Pengerusi PKR Selangor, Abdul Khalid Ibrahim adalah Menteri Besar. Kedudukan itu tentu akan diambil kesempatan sebaik mungkin untuk berkongres dalam keadaan selesa dan penuh bermakna.

Seperti dikatakan tadi, inilah kongres atau perhimpunan rasmi pertama PKR selepas selesai pilihan raya umum Mac lepas. Sudah tentu kongres kali ini berbeza dari segi penampilan, semangat serta komitmen kalangan ahli. Keinginan ahli untuk menghadiri kongres itu akan jadi bertambah ghairah. Lantaran itu ia diharap akan menghasilkan natijah yang bermakna dan bukan sebagai gelangang untuk beretorika dan melepas hawa saja.

Kongres kali ini tidak melibatkan pemilihan. Peluang ini memberi ruang banyak kepada ahli atau perawakilan untuk membahas, membincangkan dan merangka pelan tindakan parti setidak-tidaknya menjelang pilihan raya umum ke- 13 akan datang. Peluang baik ini juga hendaknya dimanfaatkan untuk mengemukakan idea lebih inklusif demi masa depan parti berkenaan yang diharap menjadi alternatif kepada rakyat seluruhnya.

Seperti mana dirancangkan kongres itu akan bermula dengan kongres Angakatan Muda dan Wanita pada 28 November. Kedua persidangan ini akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR, Syed Hussein Ali. Ia kemudian akan diikuti dengan kongres nasional tahunan. Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail akan merasmikan kongres manakala Penasihat Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptamanya.

Menjadi amalan dan kebiasaan ucapatama dan ucapan asar penasihat akan menjadi landasan pemikiran dalam merangka strategi parti untuk beberapa tahun akan datang. Para perwakilan akan mengupas dan mendalami kedua ucapan berkenaan. Adalah dijangka, baik presiden atau penasihat akan menumpukan kepada agenda untuk memapatkan parti, meningkatkan kualiti kepimpinan dalam rencana persediaan menjadikan PKR sebagai sebuah parti bakal memerintah Malaysia.

Beberapa isu berbangkit dari kalangan Pakatan Rakyat, khasnya mengenai tanggapan sesetengah pemimpin PAS terhadap pendekatan politik atau dalam menguruskan pentadbiran kerajaan milik Pakatan Rakyat seperti di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah akan turut sama diperjelaskan bagi mengelakkan tidak timbul salah anggap yang boleh melemahkan Pakatan Rakyat.

Apakah mengenai nasib penasihat PKR itu yang kini sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah akan turut sama dibincangkan? Seperti mana umum ketahui Anwar kini sedang berhadapan dengan tuduhan liwat kali kedua dan perbicaraan masih dijalankan. Memandangkan akan berlaku perubahan kepimpinan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) ada kemungkinan Anwar juga akan turut memberi huraian mengenai masa depan politik serta persiapan menghadapi serangan dan propaganda baru BN di bawah kepimpinan baru itu.

Dalam pada itu ada beberapa isu atau perkara yang harus diberikan penekanan oleh para perwakilan sekelian ini termasuklah;1. Permatapan PKR sebagai sebuah oragnaisasi bakal menulangi kerajaan.Kongres perlu membincang bagaimana atau kaedah untuk memantapkan kedudukan PKR sebagai sebuah parti bakal menjadi tulang belakang kepada kerajaan di masa akan datang. Untuk ini PKR perlu menambah nilai ahli (mental dan fizikal) dan juga wilayah rangkaian PKR di seluruh negara. Justeru adalah sesuai kalau PKR merancang menambahkan bahagian parti itu di seluruh negara mengikut kawasan Parlimen sebanyak 222. Ataupun sekurang-kurang PKR perlu mempunyai 200 bahagian di seluruh negara.

Untuk mewujudkan ini PKR tidak ada masalah kerana ia tidak ada apa-apa halangan. PKR yang sifatnya sebagai parti pelbagai bangsa dengan Melayu menjadi tunggaknya boleh mengembangkan sayapnya ke mana juga wilayah kerana ia tidak terhalang seperti mana parti-parti lain yang bersifat konservetif.2. Semangat setia perjuangan dan rela berkorban.

PKR perlu menanam dan menguatkan semangat setia kawan, persaudaraan sesama ahli dan rela berkorban untuk kemenangan perjuangan. Dalam konteks ini mana-mana ahli yang meresakan mereka tidak mampu untuk menjanakan (memimpin bahagian) perjuangan hendaklah rela dan ikhlas menyerahkan jawatan kepada rakan yang boleh dirasakan mampu menggerakan parti.

Jangan kerana semata-mata ingin menjadi ketua atau dengan harapan dengan kedudukan itu akan mendapat habuah, seseorang penjawat jawatan itu terus kekal dengan kelemahannya tanpa menghiraukan nasib parti.3. Tambah keahlian.Sesuai dengan kedudukannya bakal menerajui kerajaan di masa akan datang, PKR perlu menambahkan keahlian. Mesti ada kempen atau program khas secara holistik untuk mengajak anak-anak muda khasnya menjadi ahli parti.

Sasaran keahlian PKR harus melebihi tiga juta. Dengan memiliki ahli yang ramai, PKR boleh meneliti dan memilih mereka untuk dilantik sebagai kader ataupun jentera pilihan raya. Kelemahan yang ketara kepada PKR ialah jentera pilihan raya, di mana di sesetengah tempat PKR hanya menumpang jentera rakan mereka, terutamanya Pas. Kelemahan ini perlu diperbaiki dan diperkemaskan.4. Penjelasan mengenai beberapa isu berbangkit.

Kongres ini hendaklah digunakan untuk menjelaskan beberapa isu berbangkit yang tidak difahami oleh ahli. Antara isu ini ialah hubungan dengan rakan Pakatan Rakyat. Perselisihan faham dalam PAS berhubung sifat dan peranan PKR dalam Pakatan Rakyat perlu dijelaskan. PKR harus menyatakan sikap yang menyakinkan PAS.

Penjelasan ini penting kerana kekeliruan mengenainya menyebabkan pandangan umum tidak yakin terhadap kemantapan dan kemampuan Pakatan Rakyat.5. Buang budaya Umno.Ahli PKR perlu membawa dan mengamalkan buadaya baru. Budaya lapok dan merosakkan akhlak dan pertubuhan yang diwarisi dari Umno hendaklah dibuang dan diharamkan dalam PKR.

Menyertai parti untuk mendapat projek haruslah dikikis dan jangan sesekali bawa budaya dan pemikiran itu dalam PKR. Ini penting kerana PKR kini sudah mempunyai kerajaan negeri dan ada kuasa. Jangan pula berlaku perebutan jawatan, kontrak, jawatan-jawatan dalam PBT, agensi dan sebagainya.

Itulah antara perkara yang perlu dibincangkan dan diberi perhatian oleh para perwakilan kongres. Mudah-mudahan kongres ke-5 merangkap ke-9 itu nanti akan memberi impak besar kepada parti PKR amnya dan kepada penasihat umumnya Anwar Ibrahim. Selamat bersidang. [wm.kl 3:00 am 23/11/08]