Saturday, March 7, 2009

Lepas Sebak

Apa nak jadi dengan negaraku?
Hendak Jumpa Raja Pun Dihalang!


APA nak jadi dengan Malaysia? Kebebasan sudah tidak ada lagi. Suara rakyat sudah dipancung. Rakyat boleh bersuara jika ada permit. Percakapan rakyat perlu dijaga dan dikawal oleh undang-undang. Kehidupan rakyat seolah-olah berada dalam kawalan rejim komunis.

Apa-apa kegiatan perlu dikawal atas nama keselamatan! Walhal keselamatan yang dijaminkan itu bukan untuk keamanan, tetapi membuka ruang kepada satu mala petaka. Atas nama keselamatan jiwa dan kalbu rakyat terus sakit dan marah. Marah...

Rakyat hendaklah dibisukan dari bercakap mengenai apa saja. Apa-apa cakap yang tidak senada dengan kerajaan, akan disekat dan dihalang dan dianggap sebagai menghasut yang boleh didakwa di bawah akta Hasutan 1948. Atau kalau perlu kepada yang keras dan degil di penjara di bawah ISA.

Cakap-cakap mestilah senada dengan kerajaan dan yang baiknya membodek kerajaan. Jadi cina buta kepada kerajaan. Dalam masa sama kerajaan melaungkan kebebasan, melaungkan keadilan dan melaungkan ketelusan. Hakikinya kebebasan sudah mati, keadilan sudah lama pincang dan ketelusan sudah lama ditambak dengan kuasa yang ada; polis, mahkamah dan kemudian penjara. Pintu penjara negara ini tidak pernah terkatup melainkan senantiasa dingangakan seluasnya.

Jangan cakap mengenai apa-apa pun. Diam atau gamkan mulut! Kerajaan sedang mengajar rakyat menjadi beruk yang bisu yang tertenggek atas dahan mati yang hanya perlu merasa seronok bila tuan menghulurkan pisang separuh masak. Kemudian beruk perlulah menghingguk-hingguK batang pokok menandakan terima kasih kepada penghulur pisang separuh masa itu. Jangan tungging jubur nanti ditembak. Inilah negaraku Malaysia di bawah kerajaan Umno Barisan Nasional (UBN).

Apa yang berlaku hari ini adalah konklusi ke atas segala kekejaman kerajaan. Manusia dari benua mana pun kalau melihat apa yang berlaku hari ini akan terkejut dan hairan. Masakan rakyat tidak boleh menemui rajanya untuk menyampaikan bantahan jiwanya yang bimbang mengenai masa depan anak bangsanya sendiri. Bukankah itu gila namanya kalau bukan babuk?

Kalau rakyat berhimpun hendak memaki hamun raja-raja dan sultan ada ‘kulihah’nya kalau mereka dihalang, disekat kemudian ditembak dengan gas pemedih mata. Hatta kalau guna peluru hidup pun tidak mengapa. Tembaklah anasir yang merosak negara, boleh dibenarkan dan seluruh rakyat akan memuji dan memuja kerajaan.

Misalnya kalau rakyat berhimpun hendak runtuhkan istana, tembaklah mereka, bomlah macam Israel bom rakyat Palestin biar hancur kepala dan terburai tali perut mereka. Tidak mengapa itu wajar sebab mereka pengkhianat. Di mana-mana dan sesiapa saja pengkhianat perlu ditembak sampai mampus tanpa mengira darjat, keturunan dan kedudukan mereka.

Kalau mereka berarak hendak robohkan Parlimen, lambang keunggulan institusi demokrasi negara ini, tak mengapa, halang dan sekatlah mereka. Kalau perlu tembak mereka, tembak dan pancunglah kepala mereka sekali. Usahkan air gatal (water cannon) atau gas pemedih mata, hatta C4 yang digunakan untuk meletupkan Altantuya Shariibuu pun halal digunakan. Bunuhlah...

Tetapi hari ini rakyat berhimpun hendak menyerahkan sekeping kertas kepada rajanya – Yang di-Pertuan Agong, apakah itu perbuatan salah? Salahkah? Apakah itu satu dosa dan satu penderhakaan? Puluhan ribu yang berarak ke istana hari ini kerana ingin membela bahasa mereka, Bahasa Melayu. BAHASA MELAYU?

Mereka bukan berarak untuk membela bahasa penjajah, tetapi berarak untuk membela bahasa mereka, bahasa Melayu. Mereka melakukan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat. Mereka buat untuk kebaikan bangsa Melayu dan juga negara ini bukan untuk kepentingan sesiapa atau mana-mana golongan. Manfaat yang diperjuangkan itu untuk kepentingan bersama.

Kenapa harus dicurigai niat suci mereka. Kenapa tidak reti membaca hati putih rakyat? Perarakan hari ini bukan bermotif politik. Apakah pihak kerajaan, penguasa buta mata hati dan suduh tertutup sanubari mereka. Begitu mudah pihak polis membuat andaian kononnya ianya didalang parti politik. Kenalkah mereka kepada Dr Hassan Ahmad, A Samad Said, Ainon Mohamad, Dr Hassan Mohamad, Dr Shahrir Md Zain, Baha Zain dan lain-lain. Mereka bukan aktivis politik, mereka adalah pencinta dan pejuang sastera dan bahasa.

Kenapa kerja suci mereka diragui? Kenapa? Apakah perbuatan mereka itu salah? Apakah di zaman ini rakyat tidak lagi boleh mengadu hal-hal masalah kepada raja-raja mereka. Apakah raja-raja hak sesuatu golongan saja? Atau raja-raja hanya sedia mendengar dari golongan tertentu yang boleh memberi apa-apa nafkah untuk kehidupan mereka saja. Begitukah? Dan bukankah sokongan rakyat jelata adalah jaminan keunggulan institusi raja dan keselamatan keturunan mereka?

Seharusnya tidak ada sekatan dan halangan ke atas perarakan membawa memorandum untuk menghapuskan PPSMI itu. Mereka perlu diberi jalan seluasnya. Mereka bukan perlu dinanti dan dihalang dengan gas pemedih mata, gari, belantan atau kamera tetapi mereka perlu diiringi dan dikawal daripada pengacau lain. Itu sepatutnya.

Pembawa memorandum itu adalah mereka yang suci dan bersih. Tangan mereka putih daripada rasuah dan gila kuasa politik atau membunuh manusia lain. Mereka tidak ada apa-apa ambisi untuk berkuasa. Mereka membawa sekeping hati rakyat Melayu untuk ditunjukkan kepada raja mereka, betapa remuk, bera dan birunya hati rakyat kerana bahasa mereka diinjak-injakkan. Yang membuka kaki menginjanya orang yang mengaku Melayu juga. Jadi salahkah? Salahkah? Salahhhhhhhkah?

Kepada para penembak tepat dalam pasukan polis, FRU, SB dan segala macam, apakah mereka sedar apa yang GMP lakukan itu untuk siapa? Untuk mereka, anak-anak mereka juga. Mungkin mereka boleh beralasan kerana itu arahan ketua mereka. Siapa ketua mereka? Apakah ketua mereka juga tidak ada akal budi dan akal fikir bagi menilai apa yang GMP lakukan itu.

Semuanya kini sudah jadi haru biru dan tidak tahu hujung pangkal. Kedudukan rakyat pun cuba dipisahkan dari raja dan istana. Atas nama nak menjaga kemuliaan raja tetapi mereka menyimpan motif untuk menjauhkan rakyat dengan rakyat. Mereka mahu memonopolikan raja sebagai hak mereka saja.

Yang salah di sini bukan raja. Tetapi para pengawal raja yang zalimnya. Para penasihat yang ada kepentingan. Raja sebagai raja berperlembagaan mengikut saja lembaga yang menentukan gerak geri mereka. Bagaimana pun diharap raja sesekali perlu menjenguk jendela untuk menghirup udara di luar dan melihat realiti yang riuh randah di luar istana.

Namun kita percaya keadaannya tidak seperti itu. Kini memorandum PPSMI itu sudah pun ditangan Yang di-Pertuan Agong ia diserahkan oleh A Samad Said dan Dr Hassan Ahmad. Kita berharap baginda akan meneliti dan menatapnya dengan penuh prihatin, insaf dan sedia menimbangkan.

Suara Perdana Menteri dikejauhan kedengaran hari ini juga satu perkembangan yang baik. Kata Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang hendak bersara esok lusa itu, masalah PPSMI perlu ditangani dengan segera kerana ia semakin mendapat tekanan. Kata Abdullah kalau ia tidak ditangani segera ia akan menjadi masalah besar. Jadi, tunggu apa lagi?

Hairan, apakah perdana menteri itu sudah tidak ada kuasa lagi? Atau kuasanya telah dirampas oleh timbalannya? Kalaulah beliau serius dan ikhlas kenapa beliau tidak arahkan hari ini juga Menteri Pelajaran, Hishmuddin Hussein agar memansuhkan PSPMI? Kenapa harus bermadah helah lagi. Atau suara perdana menteri itu sebagai hendak memujuk dan menyejukkan hati para pejuang bahasa dan sastera saja. Sesungguhnya Abdullah perlu menyengolahkan semula Hishamuddin.

Perarakan hari ini tidak akan menjadi kalau perdana menteri prihatin dan peka, dan tidak pekak. Wang kerajaan yang digunakan untuk membeli gas pemedih mata boleh diselamatkan. Wang petrol atau diesel trak dan kereta peronda polis dan helikopter boleh diselamatkan. Rakyat juga tidak berpedih mata dan pegap-pegap urat kerana lari menyelamatkan diri semasa perarakan tadi. Keadaan negara juga tidak menggambarkan seperti huru hara yang menakutkan pelabur.

Namun kerana PM kurang cerdik, lambat bertindak, teragak-agak, berfikir terlalu panjang, lembab dan lemah maka jadikan apa yang sudah terjadi. Apakah makna seorang PM mengatakan ia perlu diselesaikan segera? Dalam konteks hari ini ialah mengarahkan supaya PPSMI dimansuhkan. Dan bila PM tidak dapat bertindak maka ia menggambarkan seolah kuasanya sudah tidak ada.

Untuk apa Abdullah bersuara menyatakan masalah itu kalau ia sudah kehilangan kuasa sebelum jawatannya terlepas? Kalau hanya setakat bermadah untuk menarik simpati dan memberi keseronokan kepada rakyat tidak payahlah. Rakyat tidak lagi mengharap apa-apa harapan kepada Abdullah. Rakyat tidak lagi menaruh apa-apa keyakinan kepada Abdullah. Rakyat semuanya sudah cemuh dan menganggap Abdullah kini sedang persis koma sebelum jasadnya dibawa ke kuburan untuk ditalqinkan Najib.

Tahniah dan syabas kepada semua rakyat yang berarak hari ini. Yakin dan percayalah penderitaan yang dikecapi hari ini adalah penawar dan peristiwa yang akan menjadi manis selepas ini. Dan parut yang berbekas hari ini adalah bukti kepada anak bangsa bahawa kita adalah seorang pejuang. [***kl 7:00 malam 07/03/09]

Laporan Langsung PPSMI ke Istana

Perarakan Sudah Mula Bergerak

4:45 Para himpunan berkumpulan semula di pekarangan masjid negara selepas masing-masing bercemperaian lari setelah ditembak dengan gas pemedih mata. Berhampiran masjid negara sebuah kereta polis dipecahkan cermin bahagian belakang. Himpunan dilaporkan selesai kira-kira jam 5:00 petang.

3: 08 lapor Hamdan, polis juga telah membenarkan empat orang anggota GMP, Hasni Abbas, Ainon Mohd, Dr Zhahrir Md Zain dan seorang lagi untuk memasuki ke Istana bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimana pun sebagai keempat mereka ingin memasuki ke Istana mereka disekat atas alasan Sasterawan Negara, A Samad Said dikatakan telah pun memasuki ke Istana untuk menyerahkan memorandum. Keempat mereka sudah berpatah balik manakala orang ramai sedang menunggu perkembangan selanjutnya.

Di hadapan pintu pagar Istana para wartawan dan jurugambar masih menunggu, menanti A Samad Said selesai menyerahkan memorandum berkenaan.

3:05 pm FRU mengawal ketat Istana Negara di semua arah. Sekumpulan himpunan masih terkandas di bawah jambatan menuju ke Istana Negara gagal untuk merempuh halangan polis. Polis juga terus melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menghuraikan kelompok-kelompok kecil orang ramai yang ingin bersatu semuala untuk meneruskan perarakan.

Setakat ini, lapor Hamdan seorang ahli, anggota Unit Amal telah ditangakap di hadapan pintuk besar Istana Negara.

2:30 pm Polis sudah mula bertindak ke atas perarakan himpunan dengan melepaskan gas pemedih mata ketika himpunan menghala dari persimpangan ke Pasar Seni hendak menuju ke istana negara.

Para himpunan kini berpecah dan berselerakan masing-masing menyelamatkan diri. FRU membena halangan bagi menyekatkan para himpunan menuju ke istana negara.

Pengerusi GMP, Dr Hassan Ahmad dihalang sewaktu di masjid negara lagi. Walaupun anggota himpunan berbincang dengan pihak polis namun Hassan tidak dibenarkan berarak ke istana.

Tindakan melepaskan gas pemedihan mata lebih 10 das itu bagi menyuraikan para himpunan daripada meneruskan hasrat mereka berhimpun di hadapan istana.

PERARAKAN membawa memorandum untuk mempertahankan Bahasa Melayu ke Istana Negara sudah pun bermula. Kini lebih 5,000 bersiap sedia untuk membuka langkah menuju ke istana. Orang ramai berhimpun di perkarangan masjid negara sejak tengah hari tadi.

Walaupun keadaan di masjid negara dikawal rapi oleh polis, namun ia tidak menakutkan orang ramai untuk menghampiri rumah Allah itu bagi menyatukan diri untuk bergerak ke istana negara.

Buat masa ini polis tidak melakukan apa-apa tindakan ke atas para himpunan selain daripada memantau. Di beberapa tempat yang menjadi destinasi himpunan di Sogo dan Pusat Seni juga kedapatan kenderaan polis.

Perarakan sudah mula bergerak.... [mn.kl 2:00 07/03/09]

Ulasan Isu

Mat Said Kena Letak Jawatan, Tengku Zainol Jangan Main Silap Mata

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hendak kaji semula dasar mengenai pengumuman tentang sesuatu kes yang masih dalam siasatan dan yang belum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ertinya SPRM kurang senang dengan pengumuman atau ulasan mengenai sesuatu kes yang belum diputuskan Peguam Negara samada kes itu akan didakwa atau sebaliknya.

Tindakan itu tentulah dibuat ekoran sikap berat sebelah, “mala fidel” berniat jahat dan tidak profesional ketua suruhanjaya itu, Ahmad Said Hamdan dalam melaksanakan kerjanya apabila telah merngulas mengenai kes melibatkan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim.

Ahmad Said Hamdan dengan jelas dan prejudis mengatakan kes melibatkan Khalid jelas dan pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa Khalid.

Perkara ini ditimbulkan oleh Lembaga Penasihat SPRM di dalam mesyuaratnya yang turut membincangkan beberapa kenyataan media yang dibuat oleh SPRM tentang kes siastan yang masih dalam tindakan susuhanjaya itu.

Teguran lembaga penasihat itu menunjukkan tindakan Ahmad Said sebelum ini tidak profesional ataupun menyalahi prinsip suruhanjaya itu.

Dengan teguran itu sekiranya Ahmad Said ada harga diri dan seorang yang mementingkan integriti beliau kena bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Sebaik-bai tidaklah ialah beliau melepaskan jawatan secara terhormat. Selagi Ahmad Said tercokol di SPRM itu ia menyebabkan keyakinan orang ramai kepada SPRM seluruhnya akan hilang.

Manakala di Kedah pula persatuan apa dinamakan sebagai Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK) akan meminta persidangan Majlis Raja-Raja supaya menuntut semula imuniti raja agar pihak tertentu tidak mempersendakan Raja-Raja Melayu.

Desakan itu dinyatakan oleh Tenguk Zainol Rashid Tengku Yahya selaku ketua persatuan berkenaan.

Dilaporkan beliau juga memberi amaran kepada ahli politik yang membangkitkan isu Raja-raja dalam agenda politik mereka.

Desakan itu perlulah disokong oleh seluruh kerabat di Raja di negara ini demi menjaga kedaulatan raja-raja Melayu. Mungkin kedudukan dan kemuliaan raja-raja Melayu sudah tercemar dan ternoda sehingga persatuan itu membuat desakan itu.

Apabila mengenangkan perkara ini, hendaknya Tengku Zainol tidak lupa kepada Melayu dan parti politik yang bertanggungjawab mengurangkan kuasa dan kekebalan raja-raja Melayu sebelum ini. Jangan pula kesalahan itu hendak dihumbankan ke atas Melayu dan parti Melayu lain.

Tengku Zainol perlu kena ingat peristiwa pindaan perlembagaan tahun 1993 dulu. Ingat baik-baik siapa yang bertanggungjawab dan siapa yang bertanggungjawab ke atasnya. Jadi kini sesiapa pun tidak payah cuba menunding jari kepada mana-mana pihak dalam isu derhaka kepada raja ataupun cuba menghakis kuasa raja kerana ia sudah jelas terpacak dalam sejarah.

Hendaknya Tengku Zainol juga tidak bermain sembunyi tangan dan silap mata dalam membuat desakan itu sebaliknya teruslah menujukan kepada sasarannya yang sebenar.

Dan cadangan persatuan itu juga baik. Raja-raja Melayu boleh meminta semula kuasa dan imuniti mereka yang terhakis itu. Kalau Raja-raja Melayu berbuat itu pada masa ini tidak ada siapa yang sanggup menghalangnya.

Maknanya perlembagaan akan dipinda untuk memulihkan kuasa dan imuniti itu. Umno sebagai tulang belakang kerajaan BN hendaklah membawa perkara itu dalam Parlimen. Apakah Umno bersedia untuk membawanya? Kalau Umno tidak berani maka jelas parti yang sukar imuniti raja dikikis dan dihakiskan ialah Umno.

Kesimpulannya, Tengku Zainol tidak payah desak Raja-Raja Melayu tetapi silalah desak parti Melayu bernama Umno itu. Cubalah apa ditunggu lagi... [wm.kl. 1: 30 pm 07/03/09]

Friday, March 6, 2009

Berita Lewat

Setiausaha Politik Azalina Yang Kena Siasat SPRM

PEGAWAI Kanan seorang menteri yang dilaporkan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Azalina Othman Said.

Setiausaha Politik itu ditahan sejak Rabu lalu dan dibebaskan hari ini ditahan kerana dikatakan terbabit dengan rasuah wang sebanyak RM70,000.

SPRM seperti mana dilaporkan oleh media maya enggan mengulas berhubung penahanan Seitausaha Menteri berkenaan. Ada unsur-unsur untuk melindungi identiti setiausaha politik berkenaan dan majikannya, kementerian tempat beliau bertugas.

Setiausaha menteri berkenaan berasal dari Kelantan dan pernah menjadi wakil rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila menang dalam pilihan raya umum 2004. Ideniti setiasuaha politik ini disahkan oleh salah seorang pegawai pejabat Perdana Menteri didihubungi sekejap tadi.

Apakah penahanan itu ada kena mengena dengan rasuah politik menjelang pemilihan agung Umno pada hujung bulan ini tidak dapat disahkan. "Saya tidak berani kata kenapa SP itu disiasat SPRM, tetapi dia adalah setiausaha politik Azlina," ujarnya.

Azalina Othman Said adalah salah seorang calon yang akan bertanding sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno (MT). [kl. 4:30 pm 06/03/09]

Tazkirah Jumaat

Rezki Tambahan Penulis Politik Di Perhimpunan Agung Umno

BIASA menjelang perhimpunan agung Umno apa lagi kalau perhimpunan itu melibatkan pemilihan pemimpin banyaklah buku-buku politik akan muncul. Penulis akan mengambil kesempatan dari pesta perhimpunan itu untuk mencari rezeki lebih. Begitulah selalunya berlaku, sambil menyelam minum air! Di samping dapat juga menitikkan idea dan kritikan kepada Umno khasnya dan politik negara dapat juga duit lebih untuk menukar handset baru.

Menjual buku pada perhimpunan agung Umno menghasilkan pendapatan lumayan. Lebih lumayan lagi kalau penulis pandai mengambil kesempatan mengangkat mana-mana calon yang bertanding dalam apa juga jawatan. Untung-untung buku itu dijadikan bahan kempen dan ada yang membeli secara pukal, maka raya Hindulah mereka.

Sebenarnya begitulah yang diharapkan oleh penulis politik terutamanya yang muncul secara bermusim itu – menulis ketika pemilihan agung Umno saja lepas itu lenyap kembali ke profesyen asal yang berbagai-bagai latar belakang itu.

Kerana kelaziman itu semalam wartawan kanan The New Stratis Time, Zubaidah Abu Bakar menghubungi saya bertanyakan apakah buku yang saya tulis sempena perhimpunan agung Umno kali ini. Katanya esok (keluaran hari ini) dia akan mengupas mengenai penulisan buku politik di kolomnya.

Saya memberi tahunya saya tidak menghasilkan buku tahun ini kerana tidak ada masa dan tidak ada selera yang baik. Lagipun saya bukan penulis yang digemari Umno! Benar, masa begitu terhad apabila terlibat dengan surat khabar dan mengendalikan blog ini.

Blog ini pun satu kewajiban utama pula apabila kena buka dan diisinya setiap hari kalau tidak akan dimarah penjenguk yang tidak memahami kebajikan kita adakan secara volunteer.

Selain itu kerana selera. Selera saya untuk menulis buku jadi tumpul disebabkan saya merasakan sia-sia saja mengkritik orang politik yang sifatnya macam tiang besi. Mengkritik orang politik tak ubah memukul besi yang keras dan tupat saja. Ia tidak bergerak kerana tidak ada perasaan, hati dan jiwa. Jadi perbuatan kita adalah sia-sia saja. Hipokrit adalah makanan lazat orang politik.

Pada saya orang politik kita degil! Mereka bukan saja nakal tetapi degil untuk mendengar nasihat. Katalah...tulislah apa saja baik nasihat, pandangan, kritikan dan sebagainya mereka tidak mudah untuk menerimanya. Bertolak dari rasa kecewa itulah menjadi selera saya tumpul. Lainlah kalau menulis benar-benar kerana ingin mencari gas untuk di dapur rumah walaupun selera tumpul kena paksa juga.

Bagaimana pun saya memberi sedikit komen kepada Zubaidah berhubung penulisan dan penerbitan buku menjelang perhimpunan agung Umno. Saya berharap kalau ada buku-buku yang diterbitkan biarlah berkualiti dan dapat dimanfatkan untuk memperbaiki politik Umno yang semakin parah kini. Jadilah buku umpama kitab-kitab agama.

Tidak ada guna tulis buku puji pemimpin tetapi tidak menegur dan memberi nasihat bagaimana untuk memperbaiki politik negara. Apa lagi kalau jelas pemimpin itu korup, cemar, tidak berprinsip tetapi diangkat dan dijulang atas tandu keramat penulis (pen dan kertas), adalah tidak wajar sekali. Itu juga dinamakan kita bersubahat menyuburkan kemungkaran.

Berhubung mengenai menulis buku ini saya bukan menulis ketika ada perisitwa besar politik saja. Saya menerbitkan buku sepanjang tahun tanpa mengira musim. Cuma penulisan menjadi lebih rancak bila ada berlaku tragedi politik. Sekarang ini saya sedang cuba menyusun buku berhubung pergolakan politik di Perak sebagai dokumen dan rakaman peristiwa berkenaan. Mungkin tajuknya Politik Tempoyak di Perak.

Berbalik kepada penulisan buku menjelang perhimpunan agung Umno saya yakin nama-nama besar dalam dunia penulis tidak akan ketinggalan akan muncul dengan buku masing-masing. Pak Habib (Syed Hussein Alattas), Pak Ya (Yahaya Ismail), Norza Kepol – satu-satu penulis buku politik wanita yang konsisten negara ini pasti akan muncul dengan buku masing-masing. Dan tentunya juga penulis-penulis bermusim lain akan tampil dengan buku tersendiri dengan gaya dan lengguk tersendiri pula.

Walaupun calon-calon yang bertanding Majlis Tertinggi Umno, Timbalan Presiden dan Naib Presiden memperolehi saluran kempen baru iaitu menerusi SMS dan internet, blog, namun buku tetap juga akan menjadi pilihan. Bagi mereka yang mementingkan kepada kepuasan tidak sah kalau tidak memegang buku daripada membaca komen di blog atau internet yang pendek dan ringkas.

Kelebihan buku juga ialah pada gambar-gambar dan ilustrasi yang dimasukkan, lebih-lebih lagi buku Pak Habib yang bijak mengeksplotasikan foto dengan caption sinikal dan kreatif.

Semalam juga saya menerima sebuah buku berjudul “Konspirasi Politik Melayu” yang ditulis oleh sdr Musli Oli kawan saya dari Sabah. Mendengar tajuknya saja sudah dapat membayangkan buku ini penuh kritikan yang membawa satu pandangan yang agak kritikal terhadap 'ragbi' politik orang Melayu.

Memang benar sekali setelah membelek-beleknya semalam ada beberapa petikan dan kritikan langsung yang dilakukan Musli Oli sungguh menggerunkan. Kritikan kepada Umno dan sikap orang Melayu berpolitik sesuatu yang dinyatakan dengan jujur dan jarang mahu didengari oleh orang Melayu. Sebenarnya apa yang dibilang Musli itu sudah kerap didendangkan sebelum ini namun orang politik (Melayu) tetap menari mengikut rentaknya juga.

Pada saya Musli Oli ikhlas dalam membuat kritikan ini. Buku beliau kali ini pada saya yang terbaik kerana memberi pandangan yang adil, telus dan berani tanpa mengira kedudukannya sebagai salah seorang ahli Umno dan perwakilan dari bahagian Kota Belud. Tatahias (layout) buku ini juga menarik yang diselang dengan gambar berwarna dan petikan-petikan semasa yang merangsangkan akal.

Buku ini juga dimulai dengan sebuah sajak berjudul Sida-Sida Perkasa tulisan yassinsalleh, yang lebih memaknakan lagi kelahiran buku ini dalam situasi kini.

Beberapa tajuk atau peristiwa politik yang dirakamkan merujakan pemikiran ialah seperti; hal-hal berhubung di sekitar Anwar Ibrahim dan tindak tanduk politiknya. Walaupun sudah ada cerita mengenai ini tetapi tidak ada yang seberani dan berterusan seperti Musli menggarapkannya.

Lain-lain topik yang dikupas secara ikhlas ialah mengenai Najib Razak sebagai bakal Perdana Menteri. Musli mempersoalkan apakah Najib mampu menyamai rekod kepimpinan ayahnya, Razak Hussein. Musli juga cuba memberi bayangan apakah era pemerintah Najib nanti akan turut dibayangi dengan perisitwa-perisitwa yang kurang menyenangkan. Dan scara tersirap Musli tidak percaya kepada Najib sebagai seorang pemimpin!

Semestinya buku ke – 8 Musli ini juga turut mengangkat beberapa calon MT yang disukainya.

Apakah beliau benar-bear percaya kepada kredibiliti dan kehebatan calon yang diangkat ini ataupun ia adalah satu strateginya memilih mereka kerana mereka bakal membeli buku Musli? Musli yang tahu. [wm.kl. 11:30 am 06/03/09]

Menebak Minda

Kenapa Nik Aziz Tiba-Tiba Terilham Mengenai Syura

SEKONYONG-KONYONG Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat melemparkan pandangan supaya pemilihan pucuk pimpinan Pas dibuat secara syura. Syura bermakna pemimpin bukan dipilih secara demokrasi oleh ahli tetapi diputuskan secara majmuk (kolektif) oleh satu majlis berdasarkan rukun-rukun tertentu. Ringkasnya pemilihan secara musyawarah bukan undi dari akar umbi.

Walaupun syura bukan perkara baru tetapi pandangan secara tiba-tiba oleh Nik Aziz itu mengeletek minda juga. Pada masa Pas kini sedang digerakkan ke arah liberal dan menerima pendekatan pragmatif (demokrasi sepenuhnya) tiba-tiba beliau mahu Pas praktikan syura.

Memang kaedah memilih pemimpin secara syura adalah pendekatan yang disarankan dan diambil oleh pemerintahan Islam silam dan gerakan-gerakan Islam popular dunia masa kini. Di zaman khalifah as-rasyidin pemimpin dipilih secara syura. Syura juga boleh menghindarkan berlaku perebutan jawatan dalam parti. Bagi Pas ianya amat sesuai sekali.

Walaupun sistem demorkasi dianggap adil namun prosesnya ia sering menerbitkan perkara-perkara tidak sihat. Akan berlakunya lobi melobi perwakilan agar memilih pemimpin tertentu. Kerana itu menyebabkan ada pemimpin yang tidak sempurna untuk menjadi pemimpin terpilih hanya kerana dia aktif menjalankan lobi ataupun galak membelanja para perwakilan dan rajin mengirimkan SMS baik sendiri atau menerusi agennya.

Manakala menerusi syura lobi melobi tidak diterima. Apa yang diutamakan ialah keimanan dan keilmuan seseorang itu. Sejauh mana ia beriman menjaga syariat Allah dan juga terhindarnya dari dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar. Mereka yang berperangai seperti lempar batu sembunyi tangan, berpolitik seperti kucing timbus tahi, berfikir secara sendirian, tidak tahu menghormati ketua dan menunjuk pandai sendiri tidak layak diangkat menjadi pemimpin, malahan awal-awal lagi orang seperti ini harus dibuang.

Menerusi sistem demokrasi perkara-perkara demikian tidak dapat ditapis dan dinilai kerana ia selalu mengutamakan kepada retorik para pemimpin yang ditonjolkan dalam pidato dan juga pemikirannya. Pemimpin sebegini juga kuat berteori (berangan) daripada berpijak di bumi nyata.

Dalam Islam pemikiran saja hebat tidak cukup kalau watak dan perwatakannya seseorang itu culas, liar dan bersifat mementingkan diri. Keperibadian atau syaksiah sangat diutamakan dalam Islam.

Pas sebagai sebuah parti yang berlandaskan Islam sangat sesuai kalau pemilihan pemimpin dilakukan secara syura sebab ia akan menggunapakai kriteria-kriteria tadi yang jelas dan nyata mengenai kemampuan dan kesesuaian seseorang itu menjadi pemimpin kepada harakah Islam.

Bagaimana pun apabila keafdalan syura itu tiba-tiba dilontarkan oleh Nik Aziz, ia menimbulkan sedikit persoalan. Kenapa baru sekarang beliau menunjukkan jalan itu? Ini di tambah dengan perkembangan sebelum ini menyebabkan timbul tanya soal kecil. Dengan martabat dan mulut masinnya kalau Nik Aziz mencanangkan dari dulu pasti ia sudah diamalkan.

Pada tahun 2005 kaedah syura pernah dicadangkan untuk dilaksanakan semasa pemilihan pemimpin waktu itu. Seorang tokoh ulama progresif Pas, Dr Haron Din yang ditunjuki supaya menjadi timbalan presiden Pas menyatakan kesediaanya memikul tanggungjawab sekiranya kaedah syurga diterima pakai.
Namun ketika itu sepakat menolak kaedah itu dan mahu pertandingan berjalan seperti biasa, secara demokrasi. Kerana itu Haron Din terlepas untuk memegang jawatan itu. Beliau sudah menegaskan kalau ada pertandingan beliau tidak akan menyertainya walaupun beliau diingini menjadi timbalan presiden Pas.

Kurang diingiti apakah Nik Aziz ada menyuarakan pandangannya mengenai syura ketika itu? Jika tidak, apakah motifnya beliau menyuarakan agar syura dilaksanakan kali ini.

Beliau telah memberi alasan syura perlu bagi mengelakkan berlakunya perselisihan dalam Pas. Apakah Tok Guru itu dapat menghidu apa yang berlaku dalam Pas ketika ini? Bahawa ada satu golongan yang ingin "kudeta" dan menguasai Pas sepenuhnya mengikut citarasa mereka bagi memudahkan mereka membawa Pas menjurus kepada keyakinan politik mereka? Begitukah?

Ataupun cadangan itu dibuat kerana ada lidah yang menjeler kepadanya demi mengekalkan status quo hirerki kepimpinan Pas yang ada hari ini. Bahawa ada orang yang mula tidak yakin dia akan dapat mengekalkan kedudukannya hari ini di mana "eksperimennya" sudah memakan diri maka ia harus berselindung disebalik syura?

Bagaimana pun pada prinsip cadangan dan pandangan Nik Aziz itu wajar diberi perhatian oleh ahli Pas seluruhnya. Walaupun Pas kini sedang bergerak ke arus perubahan pendekatan dan strategi matlamat menghalalkan cara, namun soal-soal pemilihan pemimpin perlu dikawal. Yang jelasnya sistem demokrasi di luar akan menyerap masuk ke dalam Pas yang lama kelamaan ia mereputkan keunggulan Pas sebagai parti Islam. [wm.kl. 8:00 am 06/03/09]

Thursday, March 5, 2009

Penemuan Baru

Laporan Liberation Tentu Meresahkan Najib

PENDEDAHAN terbaru mengenai kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang dilakukan oleh sebuah akhbar Perancis, Liberation sungguh menggemparkan. Lapor akhbar berkenaan, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Mohd Najib Razak pernah bertemu dengan Altantuya di sebuah kelab di Paris tahun 2005.

Akhbar berkenaan juga mendakwa Najib pernah bergambar bersama Altantuya yang didakwa sebagai sepasang kekasih.

Malahan wartawan Perancis di Bangkok yang membuat laporan itu, Arnaud Dubus turut mecatatkan saat-saat bagaiman Altantuya ditembak. Beliau mendakwa mendapat maklumat berkenaan daripada pihak polis Malaysia?

Seandai perkara ini benar bermakna telah berlaku kebocoran maklumat berhubung di Jabatan Polis di Raja Malaysia.

Pendedahan terbaru ini benar-benar mengejutkan rakyat Malaysia dan menyebabkan penafian Najib yang bersumpah dengan melafazkan Wallahi, Wathallahhi dan Wabillahi yang tidak pernah kenal apatah lagi berjumpa dengan Altantuya tidak lama dulu meragukan.

Timbul persoalan ini apakah akhbar berkenaan berbohong mahu memfitnahkan Najib atau Najib yang tidak bercakap benar dalam soal ini?

Laporan akhbar berkenaan kini sudah tersebar di dalam website dan juga blog lewat petang tadi. Sehubungan itu ia juga turut tersebar satu salinan laporan polis (rakaman percakapan antara Sirul Azar Omar dengan polis) juga tersebar meluas dalam internet.

Sebahagian maklumat di dalam salinan yang dikatakan laporan polis itu sama dengan apa yang disebut oleh Liberation itu terutamanya saat-saat bagaimana Altantuya ditembak.

Dalam laporan dikatakan 'rakaman percakapan' itu Sirul menceritakan dari mula hinngga akhir bagaimana drama pembunuhan Altantuya dilakukan.

Bagaimana pun laporan berkenaan tidak dapat disahkan apakah ia benar atau palsu.

Yang nyatakan dengan maklumat terbaru ini khasnya berhubung laporan akhbar Liberation itu ia bakal menambahkan keserabutan dalam dunia politik negara bernama Malaysia ini.

Mohd Najib Razak yang dijangka akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri Mac ini juga mungkin tidak lena tidur dengan apa yang diletupkan hari ini. [wm.kl. 11:30 pm 05/03/09]

Celoteh Murai 33

Murai Sejuk Terkena Hujan!

UNTUK beberapa hari Murai tidak bersuara, menyepi...bukan kerana kehilangan suara tetapi kerana kesejukan, maklumlah Kuala Lumpur sehari dua ini hujan. Sekarang pun masih hujan. Isnin lalu sebahagian besar di kawasan berhampiran pejabat Umno di PWTC air naik sampai ke paras pinggang. Banyak kereta yang tenggelam dan rosak.

Nasib baik pejabat Umno tinggi kalau tidak banyaklah orang Umno akan lemas.

Ada ada peminat Murai tidak percaya kalau Murai diam kerana Murai kesejukan. Kan Murai selalu bercakap benda-benda yang panas dan boleh membingkitkan telinga orang. Bukankah cara itu boleh memanaskan badan, lagi tak bercakap lagi sejuk. Betul juga...

Tapi kan semua tahu Murai tidak nak bercakap lagi fasal si dia tu. Bukan Murai takut atau kena tutup mulut seperti dua tiga orang tuduh, tetapi demi menghormati keadaan. Murai sesekali tidak akan tunduk kepada kemungkaran dan akan bangkit bila-bila masa saja. Murai tidak pernah mengaku kalah kepada kebatilan dan kepalsuan. Murai hanya takut dan hormati kepada kebenaran dan ketulusan.

"Katakanlah kebenaran itu walau pun pahit."

Tetapi untuk tidak dikatakan keras kepala, degil maka Murai ambil jalan itu, mendiamkan diri sekejap daripada bercakap fasal si dia bila ada orang menengurnya. Terima kasih Murai ucapkan kepada rakan-rakan yang memberi kata semangat dan sokongan dan agar terus bersuara menentang kemungkaran dan mengecerkan bau busuk tahi si dia tu.

“Murai jangan berhenti, kalau berhenti lebih baik Murai tutup blog ini,” begitulah kata seorang peminat Murai.

Kata yang lain pula, “Murai sudah lemah, sudah takut dan mungkin sudah disumbat duit dalam mulut oleh si... itu,” dan macam-macam lagi. Lebih 300 komen yang masuk ke dalam peti komen Murai yang tidak larat untuk Murai membacanya. Komen itu ada yang molek dan ada yang tidak tergamak nak membacanya.

Murai berstuju dengan semua pandangan dan nasihat-nasihat yang diberikan kepada Murai. Semua itu Murai anggap dan menerimanya sebagai ilmu yang baik.

Kita ni berada dalam negara membenarkan kebebasan bersuara dan menulis, maka bersuara dan tulislah apa-apa yang kita rasakan senang dan memberi semangat kepada jiwa kita. Cuma kalau boleh Murai nak sebut kalau nak menulis biarlah secara bertanggungjawab dan jangan berselindung di sebalik topeng-topeng hantu.

Nasihat dan kata-kata semagnat itu menguatkan lagi keazaman Murai untuk menjadi penegur dan pengkritik yang baik. Kepada mereka yang merajuk kononnya tidak mahu lagi membaca tulisan Murai, tak mengapalah. Murai tidak kisah. Sebagai makluk yang ingin kebenaran dan sesuai dengan tagline blog tempat Murai menumpang ini, "hanya kita memahami diri kita” Murai akan tetap dengan pendirian dan sikap itu tanpa mempedulikan apa yang orang nak katakan.

Di sini Murai nak sentuh (secara sopan) berhubung cadangan seseorang yang mahu supaya diisytharkan darurat di Perak. Murai pun nampak jalan itulah yang akan diambil untuk menyelamatkan kuasa yang bertukar tangan kepada Umno – BN kini. Lama sebelum ini Murai sudah pum membaca kemungkinan itu di dalam blog ini.

Apa yang berlaku di Kelantan tahun 1978 akan berulang di Perak, tunggulah.

Adapun cadangan si dia itu nampak sangat dia juga mahu selamatkan kuasa yang ada kepada Umno kini. Nampak sangat yang dia teliur untuk ikut sama bergomol dalam Umno. Mungkin telah mengidam setelah lama ditendang oleh Umno. Dan jalan sebegitu juga digemari oleh si dia itu. Malahan si dialah juga yang pernah terlibat (malahan mengaku kepada Murai) dalam huruhara di Kelantan tahun 1978 dulu yang akhirnya menyebabkan Kelantan diistyharkan darurat.

Si dia yakin kalau Kelantan tidak didaruratkan Kelantan terus akan dikuasai oleh Pas dan Umno tidak akan merasai untuk mentadbir Kelantan. Mungkin atas kepercayaan itulah maka si dia khabarnya telah melemparkan cadangan itu, supaya Perak di daruratkan. Mungkin itulah cara terbaik dalam politik secular, tetapi Murai ia tetap menganggapnya sebagai cara terbusuk dalam demokrasi kita.

Murai: Sedang makan ubi rebus!

Terkini Kes Anwar

Kes Anwar Ke Mahkamah Tinggi

PERBICARAAN kes liwat membabitkan Anwar Ibrahim dipidah ke Mahkamah Tinggi dan ia akan disebut semula pada 10 Mac depan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan perkara itu sekejap tadi selepas menerima permohonan semakan kehakiman oleh pendakwa untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak kesahihan sijil yang ditandatangai Peguam Negara, Abdul Gani Petail untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Ternyata pmindahaan itu mengecewakan Anwar. Peguam Anwar, Sankara Nair mengatakan kekecewaan itu tetapi tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa akur.

Anwar menerusi peguamnya memfailkan rayuan untuk semakan semula keputusan pemindahaan kesnya itu di Mahkamah Tinggi. [kl 11:00 am 05/03/09]

Ulasan Isu

Apakah Umno akan diharamkan sekali lagi?

TERSIMPUL persoalan besar dalam kepada apakah Umno akan diharamkan untuk kali kedua? 21 tahun lalu Umno telah diistyharkan sebagai pertubuhan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Keputusan dibuat oleh Hakim Datuk Harun Hashim. Gara-gara keputusan mahkamah itu menyebabkan Umno yang ditubuhkan di Istana di Johor Baharu pada 11 Mei 1946 hakikatnya telah berkubur.

Ramai yang tidak tahu Umno yang ada hari ini adalah Umno Baru ciptaan Dr Mahathir Mohamad. Proses pengharaman Umno begitu tektikal sekali. Ia bermula dengan kumpulan 11 membawa masalah Umno ke mahkamah. Sekumpulan 11 ahli Umno meminta mahkamah supaya membatalkan pemilihan Umno pada tahun itu dan diadakan semula kerana ianya tidah sah apabila cawangan haram ikut sama mengambil bahagian.

Disebabkan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan hal dalaman sesebuah pertubuhan, mahkamah tidak ada pilihan lain melainkan mengistyharkan Umno sebagai pertubuhan tidak sah. Pengharaman Umno itu menimbulkan tanda tanya kerana ada yang berpendapat ianya disengajakan kerana ingin menjaga kedudukan dan kuasa seseorang.

Yang jelasnya pengharaman itu sungguh menyayatkan hati orang Melayu.

Apakah perisitwa itu akan berulang kembali? Umno baru dikatakan dicipta Mahathir untuk menghalang Tengku Razaleigh Hamzah berkecimpung dalam Umno itu akan menerima gilirannya dan akan menemui maut di mahkamah juga.

Ilusi ini timbul ekoran tindakan dua anak tokoh Umno, Harun Idris dan Sulaiman Ninamshah, iaitu Mazlan dan Kadar bercadang untuk mendapat injuksi mahkamah bagi menghalang perhimpunan agung Umno pada 24 hingga 28 Mac ini. Mazlan adalah ahli Umno bahagian Subang manakala Kadar adalah ahli Umno bahagian Muar.

Mereka menjelaskan hasrat itu dalam satu sidang akhbar khas yang mendapat perhatian banyak media. Tindakan itu akan diambil sekiranya Umno gagal menyelesaikan beberapa kes salah laku dan dakwaan rasuah wang yang berlaku semasa pemilihan di peringkat bahagian tahun lepas.

Cadangan Mazlan dan Kadar itu membimbangkan. Walaupun media massa Umno cuba menyembunyikan kenyatan akhbar itu namun ia sudah mula diperkatakan umum hari ini.

Suara-suara cemas dan bimbang sudah pun kendengaran. Seorang demi seorang pemimpin Umno bingkas mengulas dan mengutuk hasrat Kadar dan Mazlan itu. Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan bakal diambil itu sebagai mencemarkan nama baik parti.

Mereka yang ada kepentingan dan bakal mendapat keuntungan besar dengan perhimpunan agung Umno pada 24 hingga 28 Mac depan tidak begitu senang dengan hasrat Mazlan dan Kadar itu. Ini kerana penangguhan itu akan menjejaskan impian mereka untuk menguasai Umno.

Tindakan diambil Mazlan dan Kadar itu wajar untuk membersihkan Umno daripada segala dosa dan noda. Antara salah laku yang mereka dakwa ianya dilakukan sendiri oleh Presiden Umno Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Mohd Najib Razak. Salah laku terhadap kedua mereka ini sudah pun dilaporkan kepaa SPRM dan Jawatankuasa Disiplin Umno sendiri September tahun lepas.

Bagaimana pun laporan itu tidak mendapat tindakan positif dan ia mengecewakan kedua anak tokoh Umno itu yang mana disebabkan itu juga mereka berfikir untuk mengambil tindakan mahkamah mendapatkna injuksi menghalang perhimpunan parti itu. SPRM sehingga kini tidak memberi apa-apa maklumat berhubung laporan mereka itu. Sikap double standard SPRM sangat jelas dalam hal ini.

Sudah tentu kalau injuksi diperolehi perhimpunan terpaksa ditangguhkan. Penangguhan itu memberi kesan besar di mana pelan peralihan kuasa tidak dapat dilaksanakan seperti mana dirancangkan. Implikasi daripada injuksi itu juga nanti ia menyebabkan Umno akan ke mahkamah sekali lagi.

Sudah pasti jika Mazlan dan Kadar mendapat injuksi menyebabkan pihak Umno, (Presiden) terpaksa meminta mahkamah membatalkan injuksi berkenaan untuk membolehkan perhimpunan diadakan. Apakata kalau mahkamah megekalkan injuksi berkenaan, ianya tentu akan menimbulkan kesulitan dan menyebabkan Umno akan nahas? Satu tragedi besar dan hitam mungkin akan berlaku.

Memandangkan kepada senrio hari ini tidak mustahil perisitwa tahun 1988 itu akan berulang sekali lagi. Juteru bagi mengelakkan ini adalah elok kalau Umno mendengar dan memenuhi tuntutan yang dikehendaki oleh kedua ahli berkenaan. Mereka perlu menyelesaikan salah laku dan dakwaan politik wang yang mencecah lebih 100 kes itu.

Masa masih ada untuk menyelesaikan problem itu. Tidak baik Umno cuba menyapu segala permasalahannya ke bawah karpet kerana lama kelamaan ia akan berkulat menyebabkan karpet yang mahal itu akan rosak. Natijah dari kedegilan itu menyebabkan orang ramai juga semakin hilang kepercayaan kepada Umno. Umno memerlukan ketelusan dan ketulusan pemimpinnya. [wm.kl. 9:00 am 05/03/09]