Showing posts with label Ulasan. Show all posts
Showing posts with label Ulasan. Show all posts

Sunday, August 23, 2009

Ulasan Adun PKR Keluar Parti

Apa Sebab Adun Lunas Keluar Parti?

MASALAH yang dihadapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak habis-habis, parti itu menghadapi masalah bertimpa-timpa. Lepas satu, satu timbul kejadian mengilankan. Apakah PKR diwujudkan untuk menghadapi masalah dan ikut sama menyusahkan orang lain? Barang kali tidak begitu. Tetapi itulah hakikatnya.

Ataupun masalah yang menerpa PKR kerana hebatnya serangan UBN ke atas parti berkenaan. UBN beriya mahu mengocakkan PKR kerana parti itu adalah parti bekas TPM, Anwar Ibrahim. Disebabkan kehebatan Anwar maka PKR yang menjadi sarangnya kini perlu dirobohkan sebelum ianya membiak dan berkuasa.

Jika dilihat kepada kronologi perisitwa politik negara ini selepas pilihan raya umum ke-12 lalu, masalah dalam Pakatan Rakyat berpunca dari masalah dalam PKR. Masalah wakil rakyat atau pemimpin mereka yang tidak mempunyai intergriti dan dijadikan umpan ugutan oleh UBN?

Runtuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak awal tahun lalu misalnya disebabkan ulah dan perangai dua Adun dari PKR, Othman Jailu dan Jamaluddin Md Radzi. Mulanya mereka diserkup oleh SPRM. Lepas itu bertindak mengumumkan keluar dari PKR. Bertolak dari bahana kedua-dua wakil rakyat itulah akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat.

Kini terbaru ialah Adun Lunas, Kedah, Mohd Radzhi Salleh (foto) pula buat hal dengan mengumumkan keluar dari PKR semalam. Radzhi juga seorang Exco kerajaan Kedah. Apakah peristiwa yang berlaku ke atas dua Adun Perak itu menimpa Adun Lunas ini, diugut dan akan diserkup oleh SPRM?

Jika melihat kepada kedudukan Adun itu tidak ada sebab untuk beliau meninggalkan parti. Tiada tekanan dari dalaman parti terhadapnya. Dan kedudukan sebagai Exco Pelancongan Pembangunan dan Sumber Tenaga Manusia itu juga sudah lumayan buatnya. Kedudukan itu sudah cukup untuk menyara dia dan anak bini setahun dua ini. Apa lagi yang kejar dalam politik kalau bukan kedudukan? Kononnya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara dalam politik hanya gula-gula saja.

Alasan kenapa beliau keluar parti kerana hilang kepercayaan kepada perjuangan PKR nampaknya sebagai alasan saja. Radzhi mencari-cari alasan menghalalkan tindakannya. Katanya dia juga keluar parti setelah pemangku ketua bahagian PKR Padang Serai keluar parti maka beliau kena keluar parti. Sebabnya pemangku ketua bahagian itu berjasa kepadanya.

Ternyata alasan itu dangkal dan naif sekali. Kenapa sekarang perlu menilai perjuangan PKR samada betul atau tidak, kenapa tidak dari mula. Jelas alasan itu sengaja diada-adakan bagi menyembunyikan masalah sebenarnya.

Justeru dalam hal ini apa yang mungkin berlaku ialah Radzhi diugut. Mungkin SPRM sudah pun melingkungi rumahnya. Sekiranya beliau tidak melepaskan diri dari PKR dan menyatakan sokongan kepada 1 Malaysia maka beliau mungkin akan dicekup dan diheret ke mahkamah. Sebab itulah kalau dilihat kepada kenyataan keluar partinya itu Radzi menyatakan sokongan kepada PM? Mengapa sekonyong-konyong menyokong Najib Razak?

Sebelum ini sudah tersebar Adun ini ada masalah dalam kes membuat tuntutan melampau. Mungkin kes tuntutan melampau inilah yang mencengkik lehernya dan terpaksa mencari tali hayat untuk menyelamatkan keadaan dirinya. Bila diri sudah lemas untuk apa dipedulikan kepada nasib orang lain.

Katanya Anwar Ibrahim telah tahu masalah Radzhi ini dan menyerahkan kedudukan Radhzi ini kepada MB, Azizan Abdul Razak? Cuma Azizan masih bersikap tunggu dan lihat dan tidak mengambil tindakan malahan terus merekmen Radzhi menyambungkan kedududunya sebagai Exco. Ertinya masalah Radzhi sudah lama memburuk dalam kerajaan Kedah.

Saya cukup yakin kalau tidak ditekan dan dibelit masalah rumit Radzhi tidak akan meninggalkan PKR. Apa lagi jawatan Exco yang disandang itu tidak mudah untuk diperolehi. Belum tentu kalau dia bersama Umno akan dilantik menjadi Exco. Tetapi mungkin kerana ditekan menyebabkan dia bertindak demikian. Itulah politik dan jahat serta licitnya politik UBN.

Pengumuman yang dibuat Radzhi menjelang hari mengundi pilihan raya kecil Permatang Pasir ini bagaimana dipercayai tidak memberi apa-apa kesan kepada pilihan raya berkenaan. Pengundi Permatang Pasir tidak akan tergugah dengan langkah beliau itu. Malahan pengumuman yang diatur itu dikira memberi kesan baik kepada calon Pas, Mohd Salleh Man. Pengundi yang sudah arif dengan taktik UBN akan jadi lebih berkobar lagi untuk memenangkan Pas sebagai melepaskan perasaan terkilan atas tindakan Radzhi itu.

Dan kalau tindakan Radzhi itu untuk menyelamatkan nyawa politiknya ia juga tidak selamat. Apa kata kalau selepas ini pihak kerajaan Kedah pula akan membuat laporan ke atasnya berhubung apa-apa penyelewengan yang mungkin dilakukannya? Bukankah kes ini boleh disifatkan takutkan ular di depan diterkam harimau di belakang?

Ahli PKR juga tidak perlu walang dan berdukacita atas keputusan Radhzi itu. Sebaliknya ahli PKR perlu rasa gembria kerana orang-orang yang lemah semangat, bermasalah, tidak mempunyai waja dalam perjuangan tidak lagi berada dalam parti mereka.

Anggaplah penghijrahan keluar oleh mana-mana ahli itu sebagai proses untuk menyucikan PKR daripada terbelenggu dengan mereka yang berstatus habuk dan sampah dalam perjuangan. Tidak ada makna dan gunanya kalau kebenaran itu berbelit dengan kebatilan! [wm.kl.6:30 pm 23/08/09]

Thursday, August 20, 2009

Permatang Pasir 3

UBN Berhingus Hidung di Permatang Pasir

UBN nampaknya makin terdesak dan makin berhingus hidung dengan isu peribadi calonnya Rohaizat Othman kononnya menyalahgunakan wang pelanggan guamannya seperti mana dibangkitkan oleh Pas. Keadaan lebih rumit lagi apabila rakan kongsi Rohaizat, bernama Yusri Ishak tampil menjelaskan perkara sebenarnya di sebalik penyelewengan yang membawa kepada pembatalan lesen guaman Rohaizat itu. Yusri menjelaskan dia cuba diperkambinghitamkan berhubung isu berkenan.

Penampilan Yusri ini memberi bukti baru kepada Pas dan pengundi Permatang Pasir yang dikejutkan dengan berita berhubung salah lakukan calon UBN pilihan Zahid Hamidi itu.

Penjelasan Yusri hari ini menambahburukan keadaan dan menyebabkan virus semakin banyak menyerang Rohaizat. Yusri adalah saksi paling kredibel dan boleh dipercayai kerana beliau mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Menurutnya penggelapan wang koperasi pekebun kecil getah itu dilakukan oleh Rohaizat sendiri dan beliau hanya diberi tanggungjawab menyelesaikannya.

Hakikat ini berbeza dengan apa yang dijelaskan Rohaizat dan pemimpin UBN yang kononnya beliau (Rohaizat) terpalit dengan masalah ditinggalkan Yusri. Sebelum Yusri menjelma mungkin ada pengundi percaya dengan penjelasan pihak UBN itu, yang mana jahatnya bukan Rohaizat tetapi Yusri.

Tetapi bila Yusri muncul menjelaskan tembelang sebenarnya, maka segala kebusukan semakin berbau dan tahu puncaanya. Inilah menyebabkan calon UBN itu jadi semakin berhingus hidung!

Kerana keadaan makin parah, maka UBN terpaksa mencipta isu dan mencari peluru palsu untuk menembak Pas. Macam-macam yang diungkitkan oleh pihak UBN yang ditabur menerusi blog-blog liar yang tidak ada kuasa penangungjawab. Kononnya calon Pas, Ustaz Mohd Salleh Man telah mengelapkan wang pilihan raya Pulau Pinang sebanyak RM600,000. Tidak cukup itu beliau juga dikatakan menggelapkan wang pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lalu sebanyak RM60,000.

Selain itu Salleh juga dituduh mengambil wang dan dimasukkan ke dalam akuan peribadinya. Jumlahnya tidak dinyatakan mungkin bermula dengan angka enam juga, boleh jadi RM60.00 ataupun RM6.00 sahaja atau pun hanya 60 sen? Nasib baik juga tidak ada tuduhan yang calon Pas itu pernah membelasah sesiapa hingga penyek hidung dan dahi!

Untuk menampak tuduhan ini real dibabitkan nama timbalan pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mujahid Yusuf Rawa. Kononnya Mujahid mengetahui semua itu. Tidak tentu fasal berpeluh juga ketiak Mujahid mendengar segala cerita rekaan itu sampai beliau meminta orang yang menuduh itu tampil ke dunia nyata mengemukakan bukti.

Sebenarnya Pas tidak perlu cemas dan ralat dengan tuduhan itu. Rakyat yang waras dan kenal Pas mengerti apakah tuduhan itu logik ataupun palsu. Menggelapkan wang RM600,000 oleh seorang ustaz bukan berita tidak logik? Logik, banyak ulama yang jadi hantu dan perogol. Tetapi perkara pokok yang perlu dikaji sebelum mereka-reka cerita itu apakah Pas Pulau Pinang mempunyai wang sebanyak itu. RM600,000 bermakna lebih setengah juta? Banyak weii... tidak masuk akal kalau Pas Pulau Pinang mempunyai sebanyak itu.

Tidak munasabah! Pas tidak ada kerajaan di Pulau Pinang. Jadi dari mana wang itu nak digali bagi menghadpai pilihan raya? Lainlah kalau di Kelantan. Pas memerintah Kelantan selama 18 tahun. Banyak kawasan balak yang diberikan kepada taukeh Cina dengan harapan imbalan diberikan kepada parti untuk menghadapi pilihan raya. Memang wang di Kelantan melimpah ruah. Tetapi tidak di Pulau Pinang, jadi di mana Salleh nak gagar wang sebanyak itu?

Rakyat yang otaknya sihat dan mengenali Pas serta pemimpin mereka tidak mudah menelan berita itu. Mereka hanya akan ketawa saja mendengarnya kerana ketidakmunasabahannya. Betapa fitnah kering itu menunjukkan kelemahan strategi dan akal politik UBN untuk mempengaruhi rakyat. Begitulah selalunya lagak orang dalam keadaan terdesak. Kesian kepada UBN...

Apabila isu atau fitanh yang dicipta tidak masuk akal menyebabkan ia akan memakan diri UBN sendiri. Pembohongan ke atas Pas itu menyebabkan pengundi akan lebih yakin lagi penjelasan mengenai calon UBN tidak terbabit dengan penyelewengan wang pekebun kecil itu getah, adalah bohong kurba. Dan bohong kurba itu terjawab kini apabila rakan kongsi Rohaizat sudah tampil memberi tahu cerita sebenarnya bagaimana proses penggelapan itu berlaku.

Kesimpulannya mengenai tuduhan ini, Pas tidak perlu gelabah dan menari ikut rentak UBN. Baik Salleh maupun Mujahid tidak payah memikirkannya. Pengundi Permatang Pasir sudah arif dan dapat mengagak sendiri mengenai kebenarannya. Adalah baik kalau Pas mendiamkan diri dan jangan layan adu domba itu. Kalau dilayan ia akan jadi semakin membekah dan silap-silap perhitungan Pas boleh terperangkap dalam jerat yang dibukakan itu! [d'kota kl 10:40 pm 20/08/09]

Wednesday, August 19, 2009

Permatang Pasir 2

Calon UBN Dihinggapi 'Influenza H1N1?'

SEANDAINYA soal intergriti, keperibadian dan kredibiliti batang tubuh calon diambil kira dan menjadi perioriti kepada kira-kira lebih 23,000 pengundi Permatang Pasir, ternyata Pas sudah pun memenangi pilihan raya kecil itu yang sedang berjalan kini. Ini kerana calon Pas, Ustaz Mohd Salleh Man, 52 tidak mempunyai kecacatan jelas yang dilaporkan seperti mana berlaku ke atas calon UBN, Rohaizat Othman, 38 (foto).

UBN sudah boleh angkat bendera putih sebelum terpaksa membazirkan wang dengan lebih banyak lagi.

Belum sampai tiga hari berkempen sudah bermacam-macam penemuan 'virus' ke atas calon UBN itu. Mungkin untuk sampai ke hari mengundi kelak, berbagai virus lagi akan ditemui termasuk virus babi, influenza H1N1. Sudah pasti buat masa ini para ‘doktor’ pilihan raya di Permatang Pasir sedang membuat kajian dan penelitian biologi ke atas jasad politik Rohaizat.

Berberza dengan calon Pas, Salleh Man masih belum ada apa-apa penemuan jangkitan apa-apa virus. Salleh Man bersih dan suci dan tidak dihinggapi apa-apa virus yang boleh menyebabkan kedudukannya sebagai calon boleh dipertikaikan.

Hari ini kecacatan awal ditemui ke atas batang tubuh calon UBN itu ialah mengenai tindakan Majlis Peguam yang membatalkan statusnya sebagai peguam. Firman guamannya diambil tindakan dan dibatalkan pendaftaran setelah didapati menyalahgunakan wang pelanggan sebuah koperasi pekebun kecil getah. (Apa wang pekebun kecil getah pun disebak ke?).

Walaupun Rohaizat dan Umno menjelaskan kedudukan sebenar (menafikan tuduhan bersabit hal itu) namun ia tidak membawa apa-apa erti lagi. Umum sudah melihat dan menerima yang calon UBN itu tidak bersih. Saringan awal ke atas calon itu tidak dilakukan seperti selalunya.
Rohaizat katanya mengakui apa yang berlaku dan menjelaskan perkara sebenar.

Ia juga disusuli dengan berbagai surat berkajang-kajang oleh pihak terbabit termasuk dari si pengadu kononnya kes itu sudah selesai. Dalam kata lain pengadu sudah menarik balik aduan ke atas Rohaizat terhadap majlis peguam. Tidak cukup dengan itu peguam handalan Umno juga tampil mejelaskan dari segi teknikal dan kronologi hal itu berlaku.

Surat-surat sumpah bersabit juga dipamerkan. Apakah surat sumpah boleh diterima pakai dan ia bukan satu taktik untuk mengabui mata umum? Kalau orang boleh pertikai surat sumpah dibuat oleh Raja Petra berhubung maklumat yang diterimanya mengenai pembunuhan Altantuya apakah surat sumpah berhubung kes Rohaizat ini tidak boleh dipertikaikan? Tentu tidak ada sikap double standard dalam hal ini.

Boleh jadi benar Rohaizat tidak terlibat dalam menelan dan menggelapkan wang koperasi pekebun kecil getah itu. Tetapi apabila ia dilakukan rakan kongsinya secara automatik dia terlibat.

Dari segi moralnya penyelewengan itu juga membabitkan dirinya. Seumpama kalau rakan kongsinya itu dihinggapi virus babi sudah tentu Rohaizat juga kena dijauhi dan dikurantin. Makannya sebelum beliau disahkan bersih dan tidak ada virus beliau kena berkurung sendirian dan tidak boleh keluar ke khlayak.

Segala penjelasan, pengakuan dan barang bukti tidak diperlukan lagi. Ia tidak berguna. Dalam kepala orang ramai kini sudah beranggapan bahawa Rohaizat adalah seorang yang 'korup' dan pernah melakukan pecah amanah. Apa lagi perkataan korup itu begitu intim dan senonim dengan paertinya, Umno. Sebagai ahli Umno sejati tentulah tidak dapat memisahkan dirinya dengan budaya jelek itu.

Nampaknya dalam pilihan raya kecil ini Umno menghadpai kemalangan lebih awal. Orang yang berkuasa menentu dan memilih Rohaizat menjadi calon perlulah bertanggungjawab. Dalam hal ini Ahmad Zahid Hamidilah penanggungjawabnya kerana beliaulah ketua Umno Pulau Pinang.

Tampaknya impian Zahid untuk menguji wibawanya sebagai pemimpin menggantikan Abdullah Badawi di Penang bercelabak di awal bicara lagi. Kekalahan Rohaizat apa lagi dengan majoriti besar menjelaskan sejauh mana kemampuan Zahid Hamidi sebagai ketua Umno Pulau Pinang.

Beginilah kalau penyakit terlalu banyak dalam Umno busuknya tidak dapat dilindungi lagi walaupun dicurahkan sekapal attar bergread A. [d’kota kl 5:50 pm 19/08/09]

Friday, July 24, 2009

Adun Terengganu Nak Kosong Kerusi?

Gelora Politik Terengganu & Ugutan Sekawan Samseng

POLITIK Terengganu atau tepatnya kerajaan pimpinan Ahmad Said (Mat Said) terus beralun dan berombak seakan menuruti tari dan rentak dan naluri laut Cina Selatan. Adakalanya lautan itu tenang setenang Subuh hari dan adakalanya mengganas macam harimau lapar. Apakah politik Terengganu menuruti hawa dan gelora lautan itu?

Sewaktu-waktu ia tenang dan sewaktu-waktu ia bergelombang! Selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu ia bergelombang apabila kerja melantikkan MB menjadi masalah. MB yang paling gah dan berkuasa, Idris Ibni Jusoh tiba-tiba tidak diberi perkenan oleh Sultan untuk angkat sumpah jadi MB. Tempat Idris diganti oleh Ahmad Said (foto).

Kenapa Idris tidak marah, dia sudah datang ke istana siap bersamping, bertanjak dan berkeris tiba-tiba pangkat dan kedudukan tidak diserahkan kepadanya. Marah...lah..

Ekoran kemalangan itulah politik Terengganu bergolak dan berkubang. Terengganu menjadi negeri terakhir membentuk kerajaan selepas pilihan raya itu. Walaupun ditentang sampai ada yang memperolok-olokankan Sultan tetapi kerana kehendak istana, Mat Said yang sebelum ini hanya dianggap ahli nujum dan tok pawang di hujung kampung diberi perkenan menjadi MB. Gahlah Mat Said se Malaya.

Perlantikan Mat Said ini tidak disenangi oleh kumpulan bekas MB, Idris Jusoh bersama beberapa orang Exco yang tidak disambung perkhimatan mereka. Di sinilah timbul dua puak politik UBN di Terengganu kemudian meletuskan peperangan sesama sendiri.

Rasanya latar belakang politik Terengganu itu sudah diketahui umum.

Atas tanggungjawab yang harus dipikul Mat Said berusaha menenangkan lautan politik Terengganu itu. Beliau tidak menghiraukan kritikan dan kerja-kerja sebotaj seperti terdapat sekumpulan Adun UBN tidak hadir sidang Dewan atas sebab dan ancaman yang mereka buat sendiri.

Sebotaj itu tidak memberi bekas pun. Mat Said dengan selamba terus kukuh dan kekal sebagai MB. Berurutan dari kerja sebotaj itu menyebabkan ada orang tertentu terpaksa dicekup polis dan dihadap ke muka pengadilan atas dakwaan ugutan mengikut kanun jenayah.

Usaha pihak membenci Mat Said tidak berhenti di situ sahaja. Ia berterusan. Ini menunjukkan kesamsengan pihak yang berseteru dengan Ahmad Said. Satu masa dihebohkan kononnya Ahmad Said akan digugurkan sebagai MB dan diganti dengan muka baru. Kononnya masa dan hari detik perubahan itu sudah pun ditetapkan hanya menunggu masa pengumuman saja.

Gementar juga Mat Said mendengar desas desus itu. Tetapi yang benar tetap benar. Keriuhan itu reda apabila pihak Istana memberi jaminan bahawa Ahamd Said kekal sebagai MB. Kata-kata tegas itu menghentikan seketika spekulasi mengenai kedudukan Mat Said dan politik Terengganu.

Pun begitu usaha untuk menghenjuk Amad Said tidak berhenti. Kalaupun kerja-kerja nak menjatuhkan Mat Said rihat sekejap apabila berlakunya tragedi bumbung stadium tertutup Sultan Mizan roboh. Ada hikmatnya bumbung stadium itu roboh menyebabkan mereka yang ingin melihat Ahmad Said roboh tersintak sekejap.

Peristiwa itu berlaku dilihat sebagai wujudnya penyelewengan ataupun rasuah besar dalam pembinaan projek berkenaan. Tragedi itu menyebabkan ada kalangan dipihak lawan Mat Said yang dulunya berkuasa ke atas negeri Terengganu membuka semula diari lama mereka untuk melihat sesuatu catatan yang berkemungkinan ada mengenai pembinaan stadium berkenaan.

Semua orang mengira, kejadian-kejadian aneh itu memberi keinsafan dan kesedaran kepada semua pihak di Terengganu terutamanya puak yang ingin menganggu kerajaan Terengganu. Namun tidak begitu rupanya.

Terbaru ada satu lagi pelan untuk terus menggugat Ahmad Said. Persiapan sudah diatur menjelang sidang Dewan Undangan Negeri pada Ogos depan untuk memalukan Ahmad Said dengan harapan Mat Said akan berundur.

Katanya, sekawan Adun UBN yang tidak senang akan membuat keputusan drastik untuk menukar lebel di meja mereka dalam dewan dari Adun UBN, kepada Adun bebas. Katanya mereka bersedia menjadi Adun bebas yang tidak memihak kepada UBN atau Pas.

Katanya syarat dan maklumat telah diberikan kepada pihak atasan UBN. Sekiranya tuntutan ala peras ugut mereka supaya Mat Said tidak digugurkan, mereka akan membuat tindakan drastik itu.

Bagaimana bagi firasat saya, saya tidak percaya kalau kesemua kumpulan yang tidak suka Mat Said dan frustasi itu bertindak demikian. Rasanya itu hanya ugutan sahaja. Kalau dengan ancaman yang dibuat sendiri yakni enggan menghadiri sidang dewan kerana ada ancaman bunuh, apalah dengan pelan sedemikian ianya lagi rapuh dan rangup.

Saya ingin katanya kalau mereka benar-benar mengubah haluan dan pendirian mereka di DUN Terengganu, (menjadi bebas) itu menandakan dunia politik di Teregganu akan mengalami khiamat sebelum berakhirnya tahun ini.

Dalam pada itu, di samping pelan tindakan untuk bertukar menjadi Adun bebas itu, katanya ada seorang Adun sudah tekad dan bulat. Sekiranya Najib Razak tidak menyelesai dan memenuhi ugutan ala peras ugut mereka, Adun itu akan kosongkan kerusi berkenaan.

Siapakah Adun berkenaan? Apakah dia benar-benar berani? Sekali lagi saya merasakan ianya ugutan murahan saja. Saya tidak fikir Adun berkenaan berani berbuat demikian. Lagipun tidak ada rekod sebelum ini yang Adun ini telah mencipta sejarah ganjil baik di Terengganu maupun di kampungnya sendiri.

Kesimpulannya apa yang digambarkan ini bahawa Mat Said tidak perlu gerun dan gusar. MB itu terus boleh bersila atas kerusi kekuasaannya untuk berkhidmat kepada rakyat. Iya, seelokknya Mat Said tidak perlu kesal dan menangis mengenai telatah kawan-kawannya itu, sebaliknya teruslah berkhidmat dan menabur budi mengikut kadar yang Allah berikan kepada diri kita.

Tangisan kesedihan dan kedukaan biarkan saja kepada penyu bukannya perlu dikongsi oleh seorang Menteri Besar seperti Mat Said. Kambing yang dibeli dari Harun Taib tempoh hari bila agaknya akan bunting dan melahikran anak? [wm.kl. 7:10 am 24/07/09]

Perhatian: Ada sesetengah penjenguk tidak berpuas hati kerana komen mereka tidak disiarkan. Dimaklumkan di sini saya tidak bersedia menyiarkan komen yang bersifat peribadi atau jumud atau menggunakan bahasa yang tidak mencerminkan budaya ketimuran. Tidak semestinya komen yang memihak atau sealiran saya saja diutamakan. Ada pertimbangan lain kenapa sesetengah komen terpaksa didelete begitu saja. Misalnya pengomen liar yang tidak dapat ditrace identitinya saya tidak menyiarkannya. Bahkan begitu melihat namnya saja tanpa membuka bodytex saya terus mengnyahkannya. Tindakan ini adalah hak asasi saya. Untuk berhubung secara peribadi elok menerusi email yang tertera! Harap maklum.

Wednesday, June 10, 2009

Susupan Pagi

Siapa Setiausaha Agung, Bendahari dan
Ketua Penerangan Baru Pas?

SELEPAS muktamar selesai membuat pilihan barisan kepimpinan baru PAS pada Sabtu lalu, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang kini 'pening-pening' kepala untuk melantik beberapa orang pegawai yang akan membantunya dan barisan kepimpinan baru itu.

Pegawai-pegawai yang dimaksudkan ialah Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan.

Ketiga-tiga jawatan ini adalah tanggungjawab jawatankuasa kerja pusat dan presiden dilihat sebagai berkuasa melantiknya. Selain itu beberapa jawatankuasa tambahan juga akan dilantik bagi memperkuatkan lagi jawatankuasa atau barisan kempinan Pas.

Khabarnya malam ini Dewan Harian akan bersidang buat pertama kali. Presiden akan membentang nama-nama pegawai yang akan dilantik untuk penilaian bersama. Biasanya tiga pegawai penting yang menjadi nadi kepada jemaah ini dipilih dari kalangan ahli jawatankuasa agung.

Mana-mana ahli yang tidak termasuk dalam ahli jawatankuasa agung akan dilantik terlebih dahulu sebelum ianya diendorsekan perlantikannya oleh jawatankuasa kerja Pas pusat.

Sekarang ini sudah berlaku lobi melobi untuk diisikan ke jawatan berkenaan. Lobi ini perkara biasa tetapi kurang manis bagi jemaah seperti Pas. Pelobian ini seolah-olah mereka meminta jawatan untuk orang tertentu. Sedang dalam Islam jawatan diberikan kepada mereka yang layak baik dari segi tubuh badan ataupun fikh syariah.

Lebih malangnya lagi pelobi untuk jawatan ini dilakukan sendiri oleh dua naib presiden.

Mahfuz Omar telah mencadangkan supaya Mohamad Sabu dan Husam Musa diberi tempat dalam Dewan Harian. Ianya disokong penuh penuh oleh Sallahudin Ayub. Tindakan kedua-dua naib presiden ini menampakkan sangat mereka adalah dari kumpulan yang menyokong calon presiden yang tewas itu.

Sebenarnya adalah elok kalau Pas memberi perhatian dan tidak mencicirkan peranan kedua-dua calon presiden yang kalah itu dan juga calon-calon lain. Tetapi apabila ianya dilobi sendiri oleh naib presiden ianya kurang elok dan menampakkan kedua naib presiden itu tidak profesional dan masih kelihatan sebagai budak suruhan!

Biarlah kerja-kerja melobi ini dilakukan agen atau broker bertaraf kaki lima yang berbuat demikian. Baik Mahfuz atau Sallahudin tidak payah melobi di media massa. Mereka adalah anggota Dewan Harian yang boleh bercakap dengan presiden. Apakah mereka terlupa dan belum sedar bahawa mereka bukan lagi belaci kepada mana-mana tokoh tetapi mereka adalah naib presiden yang dipiliholeh para muktamar?

Jika dipadankan dalam Umno mereka setaraf dengan Ahmad Zaid Hamidi dan Shafei Afdal. Tidak terdengar pun semasa presiden Umno nak lantik pegawai parti dua naib presiden Umno itu bercakap melobi mana-mana calon. Walaupun Umno banyak buruk tetapi perangai yang baik harus ditiru oleh naib-naib presiden Pas.

Inilah bahananya kalau kita begitu mesra media pantang lihat wartawan atau surat khabar terus untuk bercakap tanpa menyedari kapasiti diri dan menjaga martabat diri. Misalnya dalam mesyuarat Dewan Harian malam ini, Mahfuz dan Sallahudin boleh mengemukakan kedua nama calon yang kalah itu untuk dipertimbangkan apa-apa jawatan sesuai.

Mereka sudah ada saluran langsung dengan presiden dan anggota Dewan Harian lain kenapa tidak dinantikan kesempatan itu untuk mengemukakan nama kedua mereka itu? Selepas itu terserah untuk presiden membuat pemilihan. Kerana sebagai presiden Abdul Hadi tetap mempunyai kuasa prerogatif mengenai perlantikan itu.

Harus juga diingat bukan sahaja dua calon naib presiden yang kalah mempunyai pengaruh dan merupakan permata yang berkilau, tetapi calon-calon lain juga. Mujahid Yusuf Rawa, Mohd Amar Nik Abdullah yang tewas di kerusi naib presiden juga adalah permata yang akan berkilau kalau dikilat dan dikiwi. Malahan mereka ini mungkin akan lebih cerah dan suci dari batu yang ada sekarang ini.

Begitu juga dengan calon-calon ahli jawatankuasa kerja, seperti Khalid Samad, Abdul Halim Abdul Rahman, Annuar Tan Abdullah dan lain-lain mereka juga ada kualiti dan kelebihan tersendiri. Jangan hanya nampak mereka yang senantiasa 'berbagar' di hadapan muka saja.

Dalam perkembangan lain beberapa nama sudah disebut untuk diisikan menjadi Setiausaha Agung, Bendahari dan juga Ketua Penerangan. Kamaruddin Jaaffar dikatakan tidak lagi bersedia untuk dilantik menjadi setiausaha agung kerana isterinya sakit. Kesihatan isterinya harus diberikan keutamaan daripada jemaah. Selama ini pun beliau banyak mengorbankan masa untuk Pas sehingga terabai rumah tangganya.

Sebagai mengganti Kamaruddin, ada dua nama disebut; Mustafa Ali dan Takiyuddin Hassan, yang juga Setiasuaha Badan Perhubungan Pas Kelantan. Mustafa adalah tokoh veteran yang masih aktif dan banyak memberi sumbangan kepada parti. Takiyuddin yang juga Exco kerajaan Kelantan khabarnya bersedia untuk meninggalkan kerusi Exco sekiranya dilantik menjadi Setiausaha Agung bagi menumpukan perhatian kepada jawatan itu.

Satu nama lagi ialah Idris Ahmad. Bagaimana pun nama Idris mungkin tidak sesuai untuk jawatan Setiausaha Agung, sebaliknya lebih wajar kalau dilantik menjadi Ketua Penerangan. Ada juga yang mengira Ketua Penerangan diberikan kepada Mohammad Sabu memandangkan beliau rajin turun ke bawah dan sesuai dengan karektornya sebagai penceramah popular.

Jawatan Bendahari yang kini disandang oleh Dr Hatta Ramli juga akan ditukar ke penjawat baru. Nama yang disebut-sebut untuk memegang jawatan Bendahari ialah Hassan Ali. Bagaimana pun adalah wajar juga kalau Bendahari diserahkan kepada calon timbalan presiden yang kalah, Husam Musa memandangkan beliau ligat dan arif dalam mencari wang untuk tabung parti.

Selain nama-nama itu, nama Mohamad Nizar Jamaluddin, bekas MB Perak juga boleh dipertimbangkan untuk dilantik memenuhi mana-mana jawatan utama memandangkan karismatik dan populariti beliau dari kalangan pengundi di muktamar.

Kedudukan siapa bakal mengisi jawatan-jawatan itu serta perlantikan beberapa ahli jawatankuasa kerja tambahan akan diumumkan esok selepas jawatankuasa kerja mengadakan mesyuaratnya yang pertama. [wm.kl. 10:55 am 10/06/09]

Sunday, May 31, 2009

Ulasan Penanti

Dr Mansor Dijangka Menang Besar

SATU lagi sejarah dicatat dalam pilihan raya kecil DUN Penanti yang berlangsung hari ini. Sejarah pertama bila UBN 'mengaku kalah' awal-awal lagi tidak menyertai pilihan raya berkenaan. Sejarah kedua ialah apabila peratus jumlah keluar mengundi hari ini terendah dalam sejarah pilihan raya di Semenanjung iaitu kira-kira 46%.

Ternyata peratus ini sangat rendah berbanding dengan peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu untuk kawasan berkenaan sebanyak 82%.

Keadaan ini menyebabkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa. Bagaimana pun peratus mengundi rendah ini sudah pun diramalkan sejak awal-awal lagi apabila UBN tidak menyertainya, tetapi peratusnya tidaklah sampai ke tahap di bawah 50%.

Dengan jumlah hanya 46% itu ini bermakna kira-kira sekitar 7,000 pengundi saja yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka. Apakah julah keluar mengundi ini menunjukkan pengundi UBN tidak keluar mengundi kerana calon mereka tidak bertanding?

Pada pilihan raya lalu 12,667 daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar seramai 15,421 pengundi yang keluar mengundi. Dari jumlah itu PKR menerusi calonnya, Mohamad Fairus Khairudin mengutip sebanyak 7,345 undi manakala calon UBN sebanyak 5,127 undi.

Melihat angka keluar mengundi hari ini hampir sama ramai dengan undi diraihkan Fairus pada Mac 2008 apakah ini menunjukkan yang keluar mengundi hari ini semuanya pengundi yang mengundi PKR pada pilihan raya umum lalu?

Kalau andaian ini tepat, ini bermakna tidak semua pengundi yang mengundi Fairus itu keluar mengundi hari ini kerana ia masih lagi kekurangan sebanyak kira-kira 350 undi.

Meskipun dalam pilihan raya hari ini PKR dijangka akan dapat menambahkan majoriti lebih besar daripada yang diperolehi Fairus dulu sebanyak 2,219 namun yang jelasnya tidak dapat elak dari berlaku perpindahan pengundi PKR kepada dua calon bebas lain.

Adalah dijangka paling busuk pun calon PKR, Dr Mansor Othman akan meraih majoiriti lebih 5,000 undi. Sebaliknya sekiranya Dr Mansor mendapat sekitar 3,000 undi ini bermakna pilihan raya itu tidak dapat diterima sebagai satu peningkatan semangat dan kesedaran pengundi kawasan itu kepada Pakatan.

Kesimpulan daripada apa yang bakal berlaku itu menunujukkan sokongan rakyat di Penanti kepada PKR untuk memperkuatkan kerajaan Pakatan Pulau Pinang seperti mana dikehendaki gagal. Ertinya pilihan raya di Penanti hari ini tidak memberi isyarat atau sikap baru pengundi di kawasan itu keapda PKR khasnya dan Pakatan amnya. [wm.kl. 6:20 pm 31/05/09]

Monday, May 18, 2009

Uluasan Isu

Penanti: UBN Jangan Taja Calon Bebas!

APAKAH ianya politik profesional Umno atau satu keputusan menggambarkan UBN sudah pengecut untuk berhadapan dengan rakyat? Tentunya keputusan UBN untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Penanti, 31 Mei depan menimbulkan pro dan kontra.

Mereka yang suka kepada pilihan raya, gila berpilihan raya kerana dapat rezeki tersepak serta yang gembira melihat UBN dan Pakatan Rakyat bertempur tanpa melihat kepentingan-kepentingan lain akan beranggapan keputusan itu sebagai UBN sudah takut.

Sebaliknya mereka yang merasa letih dan tidak guna melakukan sesuatu yang sia-sia akan (kerana UBN tetap akan kalah) beranggapan keputusan UBN itu sebagai langkah bijak kerana ia tidak menyusahkan banyak orang. Keputuan sebegitu juga sedikit sebanyak dapat mengubah mind set umum sebelum ini di mana setiap pilihan raya wajib berlaku perlawanan.

Saya tidak menyokong ataupun menentang pandangan demikian. Tetapi apa yang diputuskan Mohd Najib Razak itu adalah satu keputusan yang menunjukkan beliau konsisten dengan kenyataan awalnya sebelum ini yang mengatakan kemungkinan UBN tidak akan meletakkan calonnya dalam pilihan raya kecil Penanti.

Keputusan yang dibuat Najib hari ini juga menggambarkan beliau tidak mudah dipengaruhi atau terikat dengan pandangan pihak lain.

Sebelum ini padangan Najib itu ditolak oleh Umno Pulau Pinang yang beriya untuk meletakan calon. Ia juga ditolak oleh Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan kalau UBN tidak letak calon ia menggambarkan Umno sebagai sebuah parti penakut dan menjatuhkan maruah Umno.

Apabila Najib menolak pandangan itu dan UBN mendapat pandangan kolektif (tentunya kerana setuju dengan Najib) jelas Najib dapat berdiri atas kakinya sendiri. Najib sudah dapat momentumnya tersendiri dalam membawa hala tujuan politik UBN dan politik baru negara tanpa dipandu oleh mana-mana kompas buruk politik.

Alasan yang diberikan Najib kenapa tidak mahu meletakkan calon ialah kerana tidak mahu terperangkap dengan perminan politik Pakatan Rakyat. Najib beranggapan kerusi berkenaan sengaja dikosongkan kerana PKR hendak menyelesaikan masalah dalaman. Adalah sesuai kalau UBN tidak terikut bersusah payah dan berpeluh pelai untuk turut menyelesaikan masalah dalam PKR.

Memang kerusi Penanti adalah kerusi milik PKR. Umno tidak akan merasai apa-apa kehilangan kalau kerusi itu dilepaskan begitu saja kepada PKR. Lagipun hari ini Pulau Pinang dikuasai oleh PKR.

Saya rasa tidak berdosa bagi Najib mengambil sikap demikian. Bahkan sikap gentlemen seperti itulah yang sepatutnya diambil oleh parti-parti politik. Jangan mengheretkan rakyat terlalu jauh dalam politiking untuk mendapatkan kuasa. Kita sudah berpolitik lebih setengah abad, adalah baik kalau politik kita matang dan sihat.

Bagaimana pun keputusan UBN itu tidak juga membawa erti dan boleh menyelamatkan rakyat sekiranya pada hari penamaan calon pada 23 Mei nanti ada calon lain yang turut mengemukakan kertas penamaan calon bersama calon PKR. Kehadiran calon bebas itu tidak akan membawa apa-apa erti kepada tindakan Najib itu. Kerana sesiapa pun yang akan bertanding atas bebas, orang akan beranggapan ianya adalah proksi UBN juga.

Justeru UBN kena pastikan bahawa pada hari penamaan calon itu tidak ada calon bebas yang menyerahkan kertas penamaan calon. UBN kena pastikan biarlah calon PKR, Dr Mansor Othman seorang sahaja yang menyerahkan kertas pencalonan. Jika ada perlawanan ini bermakna rakyat tidak boleh tidak akan turut terheret dalam pilihan raya itu dan amalan-amalan biasa yang berlaku dalam pilihan raya tetap juga akan berlaku.

Kalau ini berlaku (ada calon bebas) maka tohmohan mengatakan UBN penakut untuk menyertai pilihan raya itu akan disenandungkan selamanya oleh Pakatan Rakyat. Tindakan Najib itu juga bukan lagi akan dianggap sebagai bijak tetapi menjelaskan ketakutan UBN yang tidak dapat diselindungkan lagi. [wm.kl. 10:30 pm 18/05/09]

Saturday, April 25, 2009

Rasar Dasar

Awas Najib Akan Lancar Perang

SEMALAM Presiden Umno, Najib Razak telah menyusun semula Umno di seluruh negera. Penyusunan ini sudah pasti sesuai dengan pertukaran nokhoda baru dan juga bagi memperkuatkan Umno. Target Najib ialah pilihan raya umum ke 13.

Penyusunan itu menyerlahkan keazaman tinggi Najib untuk merampas balik empat lagi negeri yang ditakluki rakyat pada pilihan raya umum lalu selepas berjaya mengambil Perak secara sihir awal tahun ini. Najib sendiri mengepalai Umno Selangor dengan tidak meneruskan khidmat Muhammad Mohd Taib atau mengembalikan semula kepada Khir Toyo yang terjeler-jeler mahukan jawatan itu.

Muhyiddin Yassin pula mengepalai Umno Wilayah Persekutuan, yang sebelum dikepalai oleh Zulhasnan Rafique. Ahmad Zahid Hamidi pula mengepalai Umno Pulau Pinang. Najib nampaknya melupai Abdullah Badawi dalam proses pengukuhan Umno Pulau Pinang dan lebih percaya kepada orang harapannya Zahid.

Shafei Afdal pula ditugaskan mengemudi Umno Kedah. Mahadzir Khalid tidak diberi peranan lagi. Manakala Terengganu pula diserahkan kepada Hishamuddin Hussein. Semua orang besar dalam Umno kini memiliki negeri masing-masing dan diberikan tanggungjawab besar.

Beluam pernah berlaku sebelum ini kesemua orang besar diberikan tugas dan tanggungjawab. Paling-paling presiden atau setiausaha agung parti saja diberikan tugas mengemudikan sesuatu negeri yang mana Umno bermasalah.

Cara Najib menyusun pengurusan Umno itu memperlihatkan perubahan dalam pengurusan dan pentadbiran parti berkenaan. Ia kini menggambarkan seolah-olah Umno diuruskan secara bersepadu dan central dari Kuala Lumpur. Arahan-arahan akan dibuat dari ibu pejabat Umno dan bukan lagi pejabat perhubungan negeri seperti sebelum ini. Umno negeri hanya melaksanakan apa yang diarah saja.

Dalam pada itu apabila lima negeri mendapat ketua yang bukan dari tokoh bahagian menunjukkan Umno bermasalah besar. Ketidakpercayaan kepada tokoh dalam negeri itu juga menunjukkan Umno bankrup pemimpin yang boleh dipercayai rakyat. Langkah Najib itu menunjukkan keberanian beliau dan satu kelainan yang diharap memberi kesan kepada Umno.

Kelantan juga negeri yang sudah lama ditakluki Pas, tetapi Najib tidak mengirim orang Kuala Lumpur menguruskannya. Najib memberi kepercayaan kepada Mustapa Mohamed untuk mengemudikan Umno Kelantan semula. Seperti mana dijangkakan Annuar Musa kini sudah menjadi botol air mineral kosong.

Apakah dengan mengekalkan pengerusi Umno Kelantan kepada anak Kelantan itu petanda Umno tidak yakin bahawa Kelantan mampu dirampasnya? Mungkin begitulah sifir politik Najib.

Dengan kesimpulan tadi, impian Najib untuk menawan semula negeri-megeri yang ditakluki rakyat itu bukan perkara mudah. Pengubahsuaian itu sebaliknya menambahkan lagi ketidak yakinan rakyat kepada Umno di bawah pengurusan baru. Rakyat dibawah yang terbiasa dengan pemimpin setempat akan merasakan kehadiran pengerusi baru itu sebagai jeneral askar yang cuba menguruskan kawasan mereka.

Bagaimana pun dalam pada itu, apabila Najib memberi tugas dan tanggungjawab kepada para jeneralnya tidak mustahil ada perkara besar yang akan berlaku. Apakah penempatan para jeneral di negeri-negeri strategik itu sebagai persiapan Najib akan melancarkan perang? Dalam seronok mengelakkan Umno Pakatan Rakyat harus berwaspada dan senantiasa menguatkan para soldadunya. Segala-gala boleh berlaku. [wm.kl. 11:30 ama 25/04/09]

Tuesday, April 21, 2009

Susupan Malam

Mahathir Berhentilah Jadi Jahat!

MENURUT Dr Mahathir Mohamad media asing sudah pun mula memburukkan Najib Razak. Katanya dari Perancis sampai ke Britain dan Australia rencana yang disiarkan media negara itu membawa mesej yang sama (memburuk Najib) dan dipercayai sumber maklumat itu dari rakyat tempatan (Malaysia).

Siapakah rakyat tempat yang Mahathir maksudkan itu? Ada dua rakyat tempatan yang mungkin bermukim dalam dalam kepala Mahathir yang menjadi alat kepada media luar untuk memberi maklumat bagi memburukkan Najib. Kedua nama ini bagaimana semut yang sudah lama mengigit kepala Mahathir sepanjang masa. Pertama Anwar Ibrahim dan kedua Khairy Jamaluddin. Mustahil Abdullah badawi kerana hubungan Abdullah dengan media luar tidak sehabat Mahathir!

Mahathir tidak sebut secara nyata dua nama itu. Tetapi bila beliau menyebut sumbernya orang tempatan orang ramai yang kenal kebelutan Mahathir dalam politik dapat mengagaknya. Mustahil ia datang dari Abdul Hadi Awang atau Lim Kit Siang. Atau jauh sekali dari Samy Vellu ataupun Ong Tee Kiat? Mesti orang itu adalah Anwar dan Khairy.

Itu nama yang berladum dalam kepala Mahathir. Orang lain tidak ada kebijaksanaan untuk mempengaruhi media asing kecuali mereka berdua ini saja. Kebetulan pula kedua nama ini sudah lama berada dalam buku nota wartawan dunia kerana kehebatan dan juga ketrampilan mereka.

Bijak Mahathir. Beliau cepat-cepat cover dirinya atas apa yang berlaku ke atas Najib itu. Beliau cepat-cepat melemparkan pandangan untuk mengelakkan peranan media asing memburuk Najib itu disebabkan beliau. Mahathir sesekali tidak nampak pencemaran menimpa Najib kini disebabkan dirinya sendiri.

Media asing dengan mudah menyuluh apa yang Mahathir akan lakukan ke atas Najib.
Mahathirisme memang hidup semula dan menyemangatkan kabinet Najib.

Mahathir sepatutnya sedar dan insaf natijah buruk yang terkena ke ata batang hidung Najib kini disebabkan campur tangannya dalam kerajaan Najib. Mungkin Mahathir tidak terlibat memohon dan merayu kepada Najib supaya anaknya Mukrhriz dilantik menjadi timbalan menteri?

Tetapi dengan kehadiran Mukhriz menjadi timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mengejutkan banyak orang itu menyebabkan dunia melihat ianya ada campur tangan Dr Mahathir. Apa lagi Khairy yang jelas menang tidak dimasukakn ke dalam kabinet? Semua itu adalah kongkalikong Mahathir yang memaksa Najib.

Mudah saja kalau Mahathir benar-benar sayangkan Najib. Kalau beliau mahu Najib kelihatan bersih beliau kena tarik anaknya dari kabinet Najib. Jangan ada benih Mahathirsme di dalam kabient Najib. Selagi ada setitik darah Mahathir dalam babinet Najib maka media asing tetap akan suluh kabinet Najib dipengaruhi Mahathir.

Apakah Mahathir sanggup berkorban? Dalam hal ini Najib tidak berani untuk membuka mulut mencegah apa juga kehendak dan kata-kata Mahathir. Salah Najib ialah kerana termakan banyak budi Mahathir, maka kini menyebabkan bodi akan tergadai. Kerajaan Najib akan tergadai ditangan Mahathir. Keadaan ini agak sukar juga untuk melihat Najib merdeka dalam kerajaanya sendiri. [wm.kl. 11:20 pm 21/04/09]

Tuesday, April 14, 2009

Politik Penyu

Politik Terengganu Pula Bergolak

KEDUDUKAN Ahmad Said sebagai MB Terengganu kini tidak selamat lagi. Tindakan 10 Adun BN yang bertindak memulaukan sidang Dewan hari ini menjelaskan mereka sudah hilang kepercayaan kepada Mat Said. Mat Said harus faham dengan tindakan mereka itu dan tidak payah mencari pentafsir politik untuk membela diri sendiri.

Sepuluh Adun BN yang tidak menghadiri sidang Dewan hari kedua hari ini ialah; Adun Paka, (Zakaria Abdullah), Adun Permaisuri, (Abdul Halim Jusoh), Adun Tepoh, (Muhammad Ramli Noh), Adun Kuala Berang, (Mohd Zawawi Ismail), Adun Bukit Besi, (Din Adam), Adun Alor Limbat, (Alias Abdullah), Adun Jabi, (Ramlan Ali), Adun Kota Putera, (Pemehi Yusuf), Adun Jertih, (Idris Jusoh) dan Adun Ajil (Rosol Wahid).

Apabila mereka keluar atau tidak menghadiri Dewan bermakna mereka tidak yakin kepada menteri besar. Mereka tidak menghormati Mat Said lagi. Kalau mereka yakin mereka tidak akan berbuat begitu.

Kata ketua pasukan pemulau itu, Rosol Wahid mereka pulau dewan kerana bimbang dengan keselamatan nyawa mereka. Sebelum itu beberapa orang dari mereka ada menerima satu SMS yang mengancam nyawa mereka, yang berbunyi; baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?

Masalannya kalau hanya tiga Adun saja yang hendak dibunuh, tetapi kenapa yang tujuh lagi tidak pergi sama - hadir Dewan? Apa yang berlaku ini tidak payah berselindung dan susuk sembunyi lagi. Jelas mereka yang tidak hadir dewan itu kerana tidak suka kepada Menteri Besar, bukan sangat kerana bimbangkan keselamatan nyawa mereka.

Kalau mereka suka, senang dengan Mat Said, usahkan diugut kalau dihunus keris sekali pun mereka akan langgar. Bukankah orang-orang Umno ini semuanya berani dan gagah perkasa belaka. Masakan dengan sepotong ayat sebegitu saja yang entah datang dari mana semuanya sudah menggeletar.

Mana perginya keberanian wakil rakyat BN itu? Kenapa kalau dengan Pas ada yang berani bergadai nyawa dan melakukan apa saja, tetapi kalau dengan sepotong SMS yang entah betul dan entah tidak mereka sudah kecut perut. Sudah hilang telor?

Kumpulan 10 tidak payah berdolak dalih, cakap saja mereka sudah tidak sebulu dengan Mat Said, habis cerita. Senang orang tidak jadi kalut memikir mencari helah dan sebab musababnya. Jangan mencari alasan dangkal dan melucukan. Kisah pertelagahan dalam BN Terengganu ini bukan baru, ia berlaku sejak setahun lalu lagi. Jadi apalah nak diselindungkan tempayan ikan pekasam busuk lagi.

Kepada kumpulan 10 pula kalau benar-benar berani dan tak nak sokong Mat Said apa fikir panjang lagi usah berpura-pura. Kemukakan saja usul undi tidak percaya ke atas Mat Said, habis cerita. Rasanya lapan orang Adun Pas juga akan ikut sama menyokongnya. Kalau Adun Pas sokong jatuh bercelabahlah Mat Said dalam sekelip mata.

Bukan payah sangat kalau nak jatuhkan Mat Said! Lepas itu sapa nak jadi MB bolehlah 10 Adun itu berbincang dengan Adun Pas sebanyak lapan orang itu. Disebabkan Adun BN 10 dan Pas lapan, maka eloklah kalau MBnya diberikan kepada BN yang 10 tu. Seeloknya Rosol Wahid jadi MB.

Walaupun Idris Jusoh bersama kumpulan 10 itu beliau tidak boleh jadi MB kerana pemangku raja Terengganu tidak sedia untuk memberi perkenan kepada Idris Jusoh. Kalau Idris dicalonkan lagi nanti upacara angkat sumpah tidak akan dijalankan.

Lagi pun sejarah menjatuhkan menteri besar Terengganu pernah berlaku di negeri berkenaan. Apakah semangat sejarah itu tidak boleh diterima pakai. Bukan saja MB jatuh kerajaan negeri juga bertukar tangan pada tahun 1961. Apakah kata kalau 10 Adun BN itu bergabung dengan lapan Adun Pas membentuk kerajaan baru. Kerajaan unity government?

Mungkin pelan itu tidak akan berlaku. Tidak mungkin kumpulan 10 itu bersedia bersekongkol dengan Pas. Jadi satu pelan lain boleh dilaksanakan iaitu minta Mat Said bubarkan saja DUN Terengganu untuk membolehkan pilihan raya diadkan semula.

Dalam pilihan raya nanti pastikan Mat Said tidak dicalonkan. Rasanya Pas juga suka kalau diadakan pilihan raya semula. Mustafa Ali boleh bertanding sekali lagi dan boleh berangan-angan untuk jadi Menteri Besar Terengganu.

Bukannya payah sangat cuma memerlukan sedikit saja keberanian! [wm.kl. 2:00 pm 14/04/09]

Thursday, March 26, 2009

Dari PWTC

Lagi Ulasan Kemenangan Khairy

RUMAH siap pahat masih berbunyi. Itulah sering berlaku dalam budaya dan tradisi kita. Kata orang adat pertandingan ada kalah dan ada menang. Yang menang tentu gembira manakala yang kalah berduka nestapa dan menyesal tidak sudah.

Mengenai pertandingan ketua pemuda semalam, calon yang kalah kena menerima kekalahan mereka. Mukhriz Mahathir menyifatkan ia sebagai adat dan kekalahan itu bukan bermakna perjuangannya sudah selesai.

Suara dari halkum kekecewaan itu sama dengan tagline perjuangan ayahnya, perjuangan belum selesai. Perjuangan tidak akan selesai selagi hayat dikandung badan. Bila sudah meninggal dunia baru perjuangan berakhir. Perjuangan baru akan bermula, menjawab sebagai persoalan di atas dunia termasuk soal rasuah, fitnah, adu dombak dan sebagainya.

Memerhati keadaan semalam Mukriz lebih berani dan 'bertelor' berbanding dengan Khir Toyo. Kelibat Khir tidak nampak pada saat pengumuman hendak dibuat. Khairy saja ke sana ke mari tidak dapat menahan gelodak kegembiraanya. Keberanian Khir melawan Karpal Singh rupa-rupanya satu sandiwara sahaja.

Kenapa Khir tidak muncul? Bukankah Khir seorang pemberani dan seorang beriman, kata Yahaya Ismail. Seorang beriman perlu bersifat tawadauk dan sabar dengan apa saja yang berlaku. Juga hendaklah redha atas qadar dan qada Allah s.w.t.

Kemenangan Kahiry tidak dapat diterima oleh para penyokong Mukhriz. Mereka mempertikaikan tentang Khairy yang dikenakan amaran setelah bersalah terlibat dengan politik wang. Penyokong Mukhriz mencerca dan melaung Khairy rasuah, Khairay rasuah.

Bantahan itu sudah terlewat dan tidak ada gunanya. Kenapa tidak dibuat awal-awal lagi.

Sepatutnya penyokong Mukhriz bergabung dengan Kadar Shah Sulaiman Shah dan Mazlan Harun yang pertikaikan keputusan Lembaga Disiplin dan pengurusan Umno. Tetapi setelah rumah siap baru pahat nak berkokok tidak kenalah.

Kalah terima sajalah kekalahan itu. Kahiry pun tidak mengaku dengan menang. Lebih separuh perwakilan tidak menyokongnya. Dia hanya mendapat 304 undi ini bermakna 486 tidak menyokong beliau. Kedudukan Khairy tidak selesa dan perlu bijaksana dalam mengendalikan Pemuda. Khairy memerlukan ilmu pengasih bagaimana hendak menjinak semua pemuda di bawah kepimpinannya.

Ada sedikit analisa mengenai pertandingan pemuda semalam. Mulanya Khir Toyo berada dalam keadaan selesa. Khir telah meraih sokongan lebih 350 undi. Mukhriz hanya kira-kira 135 perwakilan sahaja, manakala Khairy sekitar 300 undi. Undi Khairy ini adalah undi semula jadi. Sejak awal itulah jumlah undi Khairy... ia tidak bertambah dan tidak berkurang.

Bagaimana pun nasib Khir malang bila berlaku swing disaat-saat akhir. Pengundi Khir telah berpindah kepada Mukhriz inilah yang menjahamkan Khir. Perpindahan itu juga tidak cukup memenangkan Mukhriz dan situasi inilah menyelamatkan Khairy yang sudah pun bernyawa ikan itu.

Perpindahan undi (undi pecah) yang disifat Khairy sebagai pemuda berani itu berlaku setelah pemuda arif menghayati ucapan dan mesej yang disampaikan oleh Najib Razak dan juga Hishamuddin Hussein. Faktor lain juga mungkin disebabkan Pemuda terikut dengan rentak cakap-cakap mengatakan regim Mahathir akan kembali menguasai Umno.

Mungkin mereka percaya kepada dendangan itu menyebabkan pemuda yang cerdik dan membawa semangat kepemudaan terpaksa mengorbankan Mukhriz kerana kalau Mukhirz menang benih Mahathir akan menyubur dalam Umno semula.

Di sinilah silapnya Mukhriz bila nak berlawan membenarkan bapaknya masuk campur. [pwtc kl 9:15 pm 26/03/09]

Saturday, March 14, 2009

Analisa Sabtu

Mahathir Terus Ragui Abdullah

DR MAHATHIR Mohamad nampaknya istiqamah terhadap kepercayaanya (perasaan politik) yang Abdullah Ahmad Badawi tidak akan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Mohd Najib Razak meskipun Abdullah memberi laluan untuk nAJIB menang tidak bertanding sebagai Presiden Umno. Menurut Mahathir kemungkinan Najib akan jadi Presiden Umno tanpa memegang jawatan perdana menteri.

Keraguan dan perasaan politik Mahathir itu dikemaskan lagi dengan apa yang berlaku sebelum ini. Katanya di zaman beliau dulu, Hussein Onn masih jadi PM walaupun dia menjadi Presiden Umno, walaupun untuk beberapa minggu. Maknanya sudah ada precedent mengenai hal itu.

Tegasnya perlembagaan tidak mengatakan Presiden Umno itu mesti menjadi PM dan apa yang diamalkan sebelum ini hanya konvensyen di dalam Umno saja.

Pandangan Mahathir itu walaupun berbau cemburu dan provokasi kepada Abullah namun ia ada logik dan 'sanadnya'. Mungkin Mahathir sudah mendapat menghidu rahsia dan tanda-tndanya yang Abdullah tidak akan mudah melepaskan jawatan PM kepada Najib.

Perkembangan yang begitu drastik sekarang ini di sekitar diri Abdullah memungkinkan Mahathir terus istiqamah dengan teori itu dan sekaligus membimbangkannya takut idman hatinya Najib tidak dapat menjadi PM.

Ada tanda-tanda menunjukkan teori Mahathir itu akan berlaku. Sekiranya teori itu tidak benar masakan Mahathir terus membuat provokasi demikian, yang mana dengan harapan supaya Abdullah mengotakan janjinya. Sepatutnya Mahathir tidak terus menyerang psikologis Abdullah apabila Yang di-Pertuan Agong sendiri sudah pun merakamkan penghargaan kepada Abdullah pada pembukaan sidang parlimen lalu. Apakah rakaman itu juga sandiwara?

Pertemuan Abdullah dengan Anwar di Hulu Langat masih menjadi satu yang misteri. Mungkin insiden ini menjadi bahan kajian mendalam dalam makmal politik Mahathir di Yayasan Perdana. Pertemuan itu turut sama merujakan veteran politik itu.

Walaupun keduanya kata tidak ada perundingan, tetapi bagi mereka yang percaya politik itu serba mungkin mengangap perjumpaan itu bukan sekadar makan tengah hari saja, tetapi tentu lebih jauh dari itu. Lagi pun sifir politik kalau tidak itu bermakna ya, dan kalau ya itu bermakna tidak. Jawaban yang tegas dalam politik ialah 'mungkin'.

Samada dalam pertemuan makan tengah itu disertai perundingan atau tidak tergantung dan terserah kepada Anwar dan Abdullah yang berada di dalam rumah berkenaan selama satu jam. Dalam tempoh satu jam macam-macam yang boleh dibincangkan.

Selain itu teori Mahathir itu juga tentu berpandukan kepada perkembangan terkini mengenai desakan agar Abdullah supaya tidak melepaskan jawatan kepada Najib juga semakin banyak yang datang dari berbagai pihak. Cuma kenapa desakan itu tidak nampak kerana ia tidak dibuat secara zahir seperti desakan rakyat Perak agar DUN Perak dibubarkan. Tetapi pergerakan bawahan sedang berlaku ke saat ini.

Gerakan untuk mempertahankan Abdullah tetap diadakan. Munasabahnya mereka yang sayangkan kepada Abdullah, yang bimbang negara ini dlilepaksan kepada Najib atau mereka yang mahu menumpang tuah Abdullah mereka tentu tidak mendiamkan diri tanpa berbuat sesuatu.

Sanusi Junid pernah bermadah mengenai Abdullah Badawi ini di mana saya pernah rakamkan dalam sebuah buku. Kata Sanusi, "Abdullah macam kura-kura di depan orang dia melindungi kepalanya dan bila orang tidak ada dia akan mengeluarkan kepalanya." Apakah sifat kura-kura yang dikatakan Sanusi itu masih ada kepada Abdullah?

Kemungkinan ilusi politik Mahathir itu menjadi kenyataan juga apabila Tengku Razaleigh Hamzah begitu yakin bahawa Yang di-Pertuan Agong dikatakan tidak akan memberi perkenan kepada Najib.

Tengku Razaleigh seorang tokoh yang bercita-cita untuk menjadi PM. Namun dakwaan dan cakap-cakapnya itu tidak boleh di kesampingkan begitu saja. Pastinya Razaleigh mempunyai asas dan maklumat mengenai hal itu. Pengalaman dan kontek dalaman Razaleigh lebih kurang hebat dengan apa yang ada kepada Mahathir.

Apakah Razaleigh percaya yang beliau akan dipilih Yang di-Pertuan Agong untuk jadi Perdana Menteri? Dalam wawancara dengan Siasah, Razaleigh menjanjikan dia akan membentuk kerajaan perpaduan kalau beliau jadi PM. Jaminan Razaleigh itu menunjukkan beliau yakin dia akan dipilih menggantikan Abdullah. Jika beliau tidak ada keyakinan adalah aib baginya untuk membuat janji demikian.

Kesimpulan dan kesudahan yang menarik untuk diramalkan apakah akan berlaku sekiranya teori dan ilusi politik Mahathir itu menjadi kenyataan – Abdullah tidak akan melepaskan jawatan PM kepada Najib.

Apakah Najib akan diam? Tidak... tindakan dan desakan terus akan dilakukan oleh orang-orangnya. Tindakan pertama akan berlaku dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno. MT akan mendesak supaya Perdana Menteri diganti segera. Saat ini nanti akan berlaku kekecohan dalam Umno di mana orang Najib akan berperang dengan orang Abdullah.

Takdirnya Abdullah tetap berkeras ia menyebabkan isu ini akan terheret ke Dewan Rakyat. Pihak Umno yang tidak suka kepada Abdullah akan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Abdullah sebagai Perdana Menteri.

Pulak...! Situasi inilah yang ditunggu-tunggu oleh Abdullah. Sekiranya ini berlaku dan Abdullah sedia menghadapi undi tidak percaya beliau akan berada dalam keadaan selesa. Kalau undi tidak percaya dilakukan Abdullah pasti akan menang kerana ahli parlimen Pakatan Rakyat akan bersama Abdullah. Lama sebelum ini Ketua Pembangkang, Anwar sudah memberi jaminan yang Pakatan Rakyat sedia menyokong Abdullah di parlimen, mungkin termasuk mengekalkan Abdullah sebagai PM. [d'kota kl 11:00 am 14/03/09]

Tuesday, March 10, 2009

Analisa Isu

Ekoran Pertemuan Abdullah – Anwar
Selesema Najib sudah Membawa kepada Demam

POSTING saya sekejap tadi mengenai pertemuan yang memungkin terselit mini perundingan antara Anwar Ibrahim dengan Abdullah Ahmad Badawi dinafikan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akim dalam blognya. Anwar sendiri juga membuat penjelasan segera berhubung berita bersifat spekulatif tetapi berfakta itu juga menerusi blognya.

Kata Iskandar, Anwar dan Abdullah hanya bertemu dan makan tengah yang dinamakan makan untuk keamaan dunia? Tidak ada perundingan selepas itu.

Manakala menurut Anwar pula pertemuan itu biasa yang menyempatkan dia ngobrol perkara-perkara biasa sahaja dengan Abdullah. Apakah perkara biasa itu?

Shamsul menampilkan gambar menunjukkan Anwar sedang santap bersama Abdullah dengan Sheikh Mahmud Majzub sedang makan ditengah. Jelas lauk pauk yang dihidang untuk dua negawaran itu makan berbeza dengan apa yang dihidang di luar untuk para tetamu lain.

Sepanjang peristiwa itu Sheikh Mahmud senantiasa berada di tengah manakala Anwar dan Abdullah di sisi.

Dalam konteks dan suasana hari ini tidak salah kalaupun Anwar mengadakan rundingan dengan Abdullah. Dan jika berlaku mini rundingan itu mestilah berhubung dengan pelan peralihan kuasa yang bakal berlaku dalam Umno selepas Mac nanti.

Anwar berhak menyatakan apa-apa pandangannya kepada Abdullah sebagai sahabat dan atas kapasitinya sebagai ketua pembangkang pada pertemuan seperti itu.

Sebagai ketua pembangkang Anwar tentu mempunyai maklumat-maklumat yang bermanfaat untuk diketahui dan dikongsi oleh Abdullah sebagai perdana menteri untuk kebaikan bangsa dan negara.

Setidak-tidaknya Anwar menasihati Abdullah agar jangan begitu mudah menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Mohd Najib Razak. Sekiranya Anwar meluahkan itu atau membuat rayuan begitu ia juga bukan perkara baru, kerana dalam parlimen Anwar pernah menyatakan kesediaan untuk menyokong Abdullah terhadap apa-apa tindakan dan keputusannya yang memerlukan suara ahli parlimen.

Bahkan Anwar sempat bangun dan meminta rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat ikut bangun menunjukkan menyatakan sokongan kepada Abdullah. Mesej yang ditunjukkan oleh ketua pembangkang itu jelas bagi Abdullah.

Kalaupun Anwar membuat rayuan itu dalam mini prundingan ia berpandukan kepada perkembangan terkini di sekitar Najib. Dan adalah wajar kalau Abdullah mendengar apa yang mungkin disuarakan oleh Anwar pada pertemuan tadi, baik ketika di meja makan ataupun di dalam bilik.

Shamsul Iskandar mendedahkan bahawa pertemuan Anwar dengan Abdullah itu sekadar di mejakan makan sahaja. Itulah yang hendak ditegaskan oleh Shamsul.
Apakah selepas makan itu sementara menunggu solat Zohor mereka tidak berganjak ke dalam bilik berdekatan meja makan itu? Dan apakah Iskandar juga turut sama menyelit ke dalam bilik berkenaan dan mendengar kesemua butir bicara mereka? Dan apakah keperluannya dari segi politik untuk Shamsul menafikannya?

Saya difahamkan sendiri oleh seorang ahli MPT PKR yang turut hadir, (berkedudukan seperti Shamsul di dalam rumah itu) menurutnya ada berlaku pertemuan enam biji mata antara mereka bertiga; Anwar, Abdullah dan Sheikh Mahmud. Pastilah Shekh Mahmud berada ditengah.
Menurut ahli MPT itu Sheikh Mahmud ada mengatakan sesutau yang penting untuk kedua pemimpin itu. Tidak terniat untuk saya mencatatkan antara dialog Sheikh Mahmud dalam bilik itu seperti mana dituturkan oleh ahli MPT berkenaan, tetapi cukuplah kalau dikatakan ia sangat menarik. Iya sangat menarik.

Pasti esok wartawan akan memburu Abdullah untuk mendapat ulasan daripadanya. Sama-samalah pula kita dengar apa yang dikatakan Abdullah dan sama-sama kita padan dengan apa yang diucapkan oleh Anwar dan Shamsul itu.
Takdirnya sama, maka terimalah persamaan itu.

Mengenai Shamsul Iskandar, sekiranya kedatangan Abdullah itu tidak ada mengada mengapa beliau bersusah berlari anak untuk menyambut Abdullah sebaik mengetahui ketibaan Abdullah. Apakah sambutan itu sebagai mnghormati pemimpin nombor satu negara? Ataupun sambutan itu kerana menghormati kedatangan delagasi pertama untuk bertemu dan berunding secara tidak langsung?

Ketika ditanya apakah yang dibicarakan (ngobrol) oleh Anwar dan Abdullah semasa mereka makan, Shamsul hanya berkata no comment? Apakah no comment itu beliau mendengar sesuatu atau tidak mendengar apa-apa? Atau tidak mahu menjelaskan apa yang diketahui kerana sebab-sebab tertentu?

Logiknya untuk apa Abdullah beriya hadir pada waktu itu sedangkan majlis untuknya diaturkan besok. Hari ini yang menjadi tetamu utama ialah Anwar Ibrahim. Kehadiran Anwar itu dicatatkan dalam kad jemputan kehormatan yang saya terima. Selain nama Anwar, kad jemputan itu mencatat nama Drs H Muhammad Yusuf Kala, Naib Presiden Indonesia.

Nama lain dalam kad jemputan itu ialah, Dr Bohkin Bhalakula, timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Thailand.

Ingatlah kepada bidalan lama yang masih relevan sekiranya tidak ada mengada tempua tidak akan bersarang rendah. Pastinya kehadiran Abdullah dan Anwar ke madrasah Nurul Iman itu ada rahmat dan yang pastinya mereka dihantar oleh Allah untuk bertemu, bertentangan mata dan berjabat salam.

Apa yang dapat disaksikan dan dirasakan ia sungguh memberi erti besar. Tidak mustahil dalam menghuraikan erti dan hikmah pertemuan Abdullah – Anwar tengah hari tadi ia menyebabkan selesama Najib semasa membentang minit bajet di parlimen tadi semakin melarat dan mungkin akan membawa kepada demam dan panas kepada pula. [wm.kl 9:30 pm 10/03/09]

Saturday, March 7, 2009

Ulasan Isu

Mat Said Kena Letak Jawatan, Tengku Zainol Jangan Main Silap Mata

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hendak kaji semula dasar mengenai pengumuman tentang sesuatu kes yang masih dalam siasatan dan yang belum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ertinya SPRM kurang senang dengan pengumuman atau ulasan mengenai sesuatu kes yang belum diputuskan Peguam Negara samada kes itu akan didakwa atau sebaliknya.

Tindakan itu tentulah dibuat ekoran sikap berat sebelah, “mala fidel” berniat jahat dan tidak profesional ketua suruhanjaya itu, Ahmad Said Hamdan dalam melaksanakan kerjanya apabila telah merngulas mengenai kes melibatkan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim.

Ahmad Said Hamdan dengan jelas dan prejudis mengatakan kes melibatkan Khalid jelas dan pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa Khalid.

Perkara ini ditimbulkan oleh Lembaga Penasihat SPRM di dalam mesyuaratnya yang turut membincangkan beberapa kenyataan media yang dibuat oleh SPRM tentang kes siastan yang masih dalam tindakan susuhanjaya itu.

Teguran lembaga penasihat itu menunjukkan tindakan Ahmad Said sebelum ini tidak profesional ataupun menyalahi prinsip suruhanjaya itu.

Dengan teguran itu sekiranya Ahmad Said ada harga diri dan seorang yang mementingkan integriti beliau kena bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Sebaik-bai tidaklah ialah beliau melepaskan jawatan secara terhormat. Selagi Ahmad Said tercokol di SPRM itu ia menyebabkan keyakinan orang ramai kepada SPRM seluruhnya akan hilang.

Manakala di Kedah pula persatuan apa dinamakan sebagai Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK) akan meminta persidangan Majlis Raja-Raja supaya menuntut semula imuniti raja agar pihak tertentu tidak mempersendakan Raja-Raja Melayu.

Desakan itu dinyatakan oleh Tenguk Zainol Rashid Tengku Yahya selaku ketua persatuan berkenaan.

Dilaporkan beliau juga memberi amaran kepada ahli politik yang membangkitkan isu Raja-raja dalam agenda politik mereka.

Desakan itu perlulah disokong oleh seluruh kerabat di Raja di negara ini demi menjaga kedaulatan raja-raja Melayu. Mungkin kedudukan dan kemuliaan raja-raja Melayu sudah tercemar dan ternoda sehingga persatuan itu membuat desakan itu.

Apabila mengenangkan perkara ini, hendaknya Tengku Zainol tidak lupa kepada Melayu dan parti politik yang bertanggungjawab mengurangkan kuasa dan kekebalan raja-raja Melayu sebelum ini. Jangan pula kesalahan itu hendak dihumbankan ke atas Melayu dan parti Melayu lain.

Tengku Zainol perlu kena ingat peristiwa pindaan perlembagaan tahun 1993 dulu. Ingat baik-baik siapa yang bertanggungjawab dan siapa yang bertanggungjawab ke atasnya. Jadi kini sesiapa pun tidak payah cuba menunding jari kepada mana-mana pihak dalam isu derhaka kepada raja ataupun cuba menghakis kuasa raja kerana ia sudah jelas terpacak dalam sejarah.

Hendaknya Tengku Zainol juga tidak bermain sembunyi tangan dan silap mata dalam membuat desakan itu sebaliknya teruslah menujukan kepada sasarannya yang sebenar.

Dan cadangan persatuan itu juga baik. Raja-raja Melayu boleh meminta semula kuasa dan imuniti mereka yang terhakis itu. Kalau Raja-raja Melayu berbuat itu pada masa ini tidak ada siapa yang sanggup menghalangnya.

Maknanya perlembagaan akan dipinda untuk memulihkan kuasa dan imuniti itu. Umno sebagai tulang belakang kerajaan BN hendaklah membawa perkara itu dalam Parlimen. Apakah Umno bersedia untuk membawanya? Kalau Umno tidak berani maka jelas parti yang sukar imuniti raja dikikis dan dihakiskan ialah Umno.

Kesimpulannya, Tengku Zainol tidak payah desak Raja-Raja Melayu tetapi silalah desak parti Melayu bernama Umno itu. Cubalah apa ditunggu lagi... [wm.kl. 1: 30 pm 07/03/09]

Friday, March 6, 2009

Tazkirah Jumaat

Rezki Tambahan Penulis Politik Di Perhimpunan Agung Umno

BIASA menjelang perhimpunan agung Umno apa lagi kalau perhimpunan itu melibatkan pemilihan pemimpin banyaklah buku-buku politik akan muncul. Penulis akan mengambil kesempatan dari pesta perhimpunan itu untuk mencari rezeki lebih. Begitulah selalunya berlaku, sambil menyelam minum air! Di samping dapat juga menitikkan idea dan kritikan kepada Umno khasnya dan politik negara dapat juga duit lebih untuk menukar handset baru.

Menjual buku pada perhimpunan agung Umno menghasilkan pendapatan lumayan. Lebih lumayan lagi kalau penulis pandai mengambil kesempatan mengangkat mana-mana calon yang bertanding dalam apa juga jawatan. Untung-untung buku itu dijadikan bahan kempen dan ada yang membeli secara pukal, maka raya Hindulah mereka.

Sebenarnya begitulah yang diharapkan oleh penulis politik terutamanya yang muncul secara bermusim itu – menulis ketika pemilihan agung Umno saja lepas itu lenyap kembali ke profesyen asal yang berbagai-bagai latar belakang itu.

Kerana kelaziman itu semalam wartawan kanan The New Stratis Time, Zubaidah Abu Bakar menghubungi saya bertanyakan apakah buku yang saya tulis sempena perhimpunan agung Umno kali ini. Katanya esok (keluaran hari ini) dia akan mengupas mengenai penulisan buku politik di kolomnya.

Saya memberi tahunya saya tidak menghasilkan buku tahun ini kerana tidak ada masa dan tidak ada selera yang baik. Lagipun saya bukan penulis yang digemari Umno! Benar, masa begitu terhad apabila terlibat dengan surat khabar dan mengendalikan blog ini.

Blog ini pun satu kewajiban utama pula apabila kena buka dan diisinya setiap hari kalau tidak akan dimarah penjenguk yang tidak memahami kebajikan kita adakan secara volunteer.

Selain itu kerana selera. Selera saya untuk menulis buku jadi tumpul disebabkan saya merasakan sia-sia saja mengkritik orang politik yang sifatnya macam tiang besi. Mengkritik orang politik tak ubah memukul besi yang keras dan tupat saja. Ia tidak bergerak kerana tidak ada perasaan, hati dan jiwa. Jadi perbuatan kita adalah sia-sia saja. Hipokrit adalah makanan lazat orang politik.

Pada saya orang politik kita degil! Mereka bukan saja nakal tetapi degil untuk mendengar nasihat. Katalah...tulislah apa saja baik nasihat, pandangan, kritikan dan sebagainya mereka tidak mudah untuk menerimanya. Bertolak dari rasa kecewa itulah menjadi selera saya tumpul. Lainlah kalau menulis benar-benar kerana ingin mencari gas untuk di dapur rumah walaupun selera tumpul kena paksa juga.

Bagaimana pun saya memberi sedikit komen kepada Zubaidah berhubung penulisan dan penerbitan buku menjelang perhimpunan agung Umno. Saya berharap kalau ada buku-buku yang diterbitkan biarlah berkualiti dan dapat dimanfatkan untuk memperbaiki politik Umno yang semakin parah kini. Jadilah buku umpama kitab-kitab agama.

Tidak ada guna tulis buku puji pemimpin tetapi tidak menegur dan memberi nasihat bagaimana untuk memperbaiki politik negara. Apa lagi kalau jelas pemimpin itu korup, cemar, tidak berprinsip tetapi diangkat dan dijulang atas tandu keramat penulis (pen dan kertas), adalah tidak wajar sekali. Itu juga dinamakan kita bersubahat menyuburkan kemungkaran.

Berhubung mengenai menulis buku ini saya bukan menulis ketika ada perisitwa besar politik saja. Saya menerbitkan buku sepanjang tahun tanpa mengira musim. Cuma penulisan menjadi lebih rancak bila ada berlaku tragedi politik. Sekarang ini saya sedang cuba menyusun buku berhubung pergolakan politik di Perak sebagai dokumen dan rakaman peristiwa berkenaan. Mungkin tajuknya Politik Tempoyak di Perak.

Berbalik kepada penulisan buku menjelang perhimpunan agung Umno saya yakin nama-nama besar dalam dunia penulis tidak akan ketinggalan akan muncul dengan buku masing-masing. Pak Habib (Syed Hussein Alattas), Pak Ya (Yahaya Ismail), Norza Kepol – satu-satu penulis buku politik wanita yang konsisten negara ini pasti akan muncul dengan buku masing-masing. Dan tentunya juga penulis-penulis bermusim lain akan tampil dengan buku tersendiri dengan gaya dan lengguk tersendiri pula.

Walaupun calon-calon yang bertanding Majlis Tertinggi Umno, Timbalan Presiden dan Naib Presiden memperolehi saluran kempen baru iaitu menerusi SMS dan internet, blog, namun buku tetap juga akan menjadi pilihan. Bagi mereka yang mementingkan kepada kepuasan tidak sah kalau tidak memegang buku daripada membaca komen di blog atau internet yang pendek dan ringkas.

Kelebihan buku juga ialah pada gambar-gambar dan ilustrasi yang dimasukkan, lebih-lebih lagi buku Pak Habib yang bijak mengeksplotasikan foto dengan caption sinikal dan kreatif.

Semalam juga saya menerima sebuah buku berjudul “Konspirasi Politik Melayu” yang ditulis oleh sdr Musli Oli kawan saya dari Sabah. Mendengar tajuknya saja sudah dapat membayangkan buku ini penuh kritikan yang membawa satu pandangan yang agak kritikal terhadap 'ragbi' politik orang Melayu.

Memang benar sekali setelah membelek-beleknya semalam ada beberapa petikan dan kritikan langsung yang dilakukan Musli Oli sungguh menggerunkan. Kritikan kepada Umno dan sikap orang Melayu berpolitik sesuatu yang dinyatakan dengan jujur dan jarang mahu didengari oleh orang Melayu. Sebenarnya apa yang dibilang Musli itu sudah kerap didendangkan sebelum ini namun orang politik (Melayu) tetap menari mengikut rentaknya juga.

Pada saya Musli Oli ikhlas dalam membuat kritikan ini. Buku beliau kali ini pada saya yang terbaik kerana memberi pandangan yang adil, telus dan berani tanpa mengira kedudukannya sebagai salah seorang ahli Umno dan perwakilan dari bahagian Kota Belud. Tatahias (layout) buku ini juga menarik yang diselang dengan gambar berwarna dan petikan-petikan semasa yang merangsangkan akal.

Buku ini juga dimulai dengan sebuah sajak berjudul Sida-Sida Perkasa tulisan yassinsalleh, yang lebih memaknakan lagi kelahiran buku ini dalam situasi kini.

Beberapa tajuk atau peristiwa politik yang dirakamkan merujakan pemikiran ialah seperti; hal-hal berhubung di sekitar Anwar Ibrahim dan tindak tanduk politiknya. Walaupun sudah ada cerita mengenai ini tetapi tidak ada yang seberani dan berterusan seperti Musli menggarapkannya.

Lain-lain topik yang dikupas secara ikhlas ialah mengenai Najib Razak sebagai bakal Perdana Menteri. Musli mempersoalkan apakah Najib mampu menyamai rekod kepimpinan ayahnya, Razak Hussein. Musli juga cuba memberi bayangan apakah era pemerintah Najib nanti akan turut dibayangi dengan perisitwa-perisitwa yang kurang menyenangkan. Dan scara tersirap Musli tidak percaya kepada Najib sebagai seorang pemimpin!

Semestinya buku ke – 8 Musli ini juga turut mengangkat beberapa calon MT yang disukainya.

Apakah beliau benar-bear percaya kepada kredibiliti dan kehebatan calon yang diangkat ini ataupun ia adalah satu strateginya memilih mereka kerana mereka bakal membeli buku Musli? Musli yang tahu. [wm.kl. 11:30 am 06/03/09]

Wednesday, March 4, 2009

Politik Malam

Jelas Kuasa Mutlak Yang di-Pertuan Agong
Apakah Motif Rais Sebenarnya?

SEMASA menyampaikan penerangan berhubung isu-isu semasa di Angkasapuri hari ini Menteri Luar, Dr Rais Yatim menonjol dan menghuraikan Raja-Raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong ada tiga kuasa unit yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa dan kuasa itu adalah hak mutlak Duli-Duli Raja dan Yang Di-Pertuan Agong.

Tiga kuasa itu katanya, i) berhubung perlantikan Menteri Besar bagi Sultan dan perlantikan Perdana Menteri bagi Yang di-Pertuan Agong, ii) soal membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi Raja-Raja manakala pembubaran Dewan Rakyat bagi Yang di-Pertuan Agong dan iii) berhubung mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu dan juga bersangkutan soal-soal adat istiadat dan agama Islam.

Menurutnya mana-mana pihak tidak boleh mempersoal ke atas ketiga aspek itu kerana ianya adalah hak mutlak Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong.

Secara umum Rais menimbulkan perkara itu bagi memberi kefahaman kepada orang ramai berhubung isu dan juga persoalan mengenai status dan kuasa Sultan dengan apa yang berlaku di negeri Perak dewasa ini.

Apa yang ingin dijelaskan Rais, Sultan mempunyai kuasa yang tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak dan tindakan Sultan Azlan melucut jawatan Nizar Jamaluddin dan melantik Zambry Abdul Kadir itu adalah benar.

Bagaimana pun jika dipadankan kepada senario yang berlaku dalam Umno dewasa ini, penjelasan dan penegasan Rais itu seolah-olah bersifat serampang dua mata. Rais bukan saja ingin menjelaskan kepada rakyat yang tidak faham dan buta mengenai kuasa sultan di Perak dalam soal melantik Menteri Besar dan kuasa memecatnya dan sebagainya, tetapi beliau juga persis ingin menyampaikan mesej kepada Umno sendiri.

Apakah penjelasan itu ada kena mengena dengan desas desus atau teori yang disebarkan secara senyap kini kepada orang ramai kini berhubung perlantikan Perdana Menteri apabila Abdullah Ahmad Badawi berhenti nanti!

Ada teori dan hipotesis mengatakan tidak semestinya kalau Abdullah mengosongkan kerusi PM beliau akan diisi oleh Mohd Najib Razak secara automatik. Peralihan kuasa dan jawatan itu terletak di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan bukan Umno seperti mana jawatan presiden Umno.

Mengikut teori itu saat inilah nanti Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk menamakan sesiapa saja uantuk menjadi Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan Parlimen. Dalam hubungan ini disebabkan Umno - BN memperolehi majoriti sesiapa yang mendapat kepercayaan parti itu dan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dialah berhak menjadi Perdana Menteri.

Dalam erti kata sebenarnya tokoh itu tidak semestinya Mohd Najib Razak walaupun timbalan perdana menteri itu disebut dan ditunjuk oleh Abdullah. Abdullah tidak ada kuasa mutlak bagi menentukan sesiapa sebagai perdana menteri. Kedudukan ini jelas dalam perlembagaan persekutuan.

Dalam hal ini ada mengatakan seorang tokoh lain akan dipilih untuk menenuhi jawatan berkenaan. Yang di-Pertuan Agong berhak membuat pilihan itu dan memberi perkenan kepada sesiapa saja. Adapun sebab-sebab kenapa Najib dikatakan tidak akan dipilih sebab-sebabnya seperti kebanyakan disebut orang.

Apakah sekiranya takdir ini berlaku kelak orang-orang Umno khasnya yang mendokong Najib sedia untuk menerima dengan seadanya. Tidak akan ada protes dan kritikan atas pilihan Yang di-Pertuan Agong kelak seperti mana segelintir rakyat Perak tidak mahu mengikhtiraf perlantikan Zambry Abdul Kadir?

Dalam hal ini apa yang dijelas dan ditegaskan Rais berhubung kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja itu semacam ada undang di sebalik batu. Ianya bukan sengaja suka-suka melontarkannya melainkan untuk dihayati dan sedia berhadapan sekiranya sesuatu yang di luar dugaan berlaku.

Sekiranya diingatkan kepada sejarah masa lampau, Rais adalah orang yang sepasukan dengan Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Chik iaitiu menteri tempat Rais menyampaikan syarahan menjelaskan kuasaa-kuasa berkenaan. Mereka juga adalah bekas pemimpin tertinggi Parti Semangat 46, Rais ialah timbalan presiden manakala Shabery adalah Ketua Penerangan.

Apakah penjelasan mengenai kuasa Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong itu satu agenda ataupun berlaku secara tidak sengaja yang semuanya dilakukan penuh ikhlas untuk memperkukuhkan Umno?

Kerana politik itu perlu ditafsirkan dengan menggunakan banyak kitab dan ditilik dengan berbagai cermin sakti maka persoalan ini terpeta di minda kita. Mungkin tujuan Rais menjelaskan mengenai kedudukan kuasa Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong yang unit itu ada motif tersirat. Apa? [wm.kl. 8:20 pm 04/03/09]

Selepas Subuh

Zahid, Mohd Isa Gagal Berhujah

WALAUPUN rancangan Hujah yang disiarkan secara langsung dari Balai Budaya Syed Nasir Ismail, DBP oleh TV9 malam tadi lewat ke udara namun saya tetap juga menunggunya. Saya ingin melihat sejauh manakah pemikiran dan hujah yang dikemukakan dua ahli panel yang juga calon Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Mohd Isa Samad.

Saya mengharap mereka akan menuangkan sesuatu yang bernilai kepada penonton dan hadirin di DBP yang sekaligus mencerminkan kewibawaan dan kemampuan mereka sebagai pemimpin tertinggi Umno. Kalau pun mereka tidak sempat membentangkan agenda mereka tetapi dapat menjawab dengan baik segala persoalan yang dilontarkan oleh pengatarcara, Mohamad Agus Yusuf.

Rancangan Hujah walaupun ringkas tetapi ia menguji kecekapan pemikiran ahli-ahli politik dalam kontesk ini calon pemimpin tertinggi Umno. Agus sengaja melantunkan soal-soal yang kurang disenangi untuk melihat sejauh mana kepantasan ahli panel yang bakal menjadi pemimpin tertinggi Umno itu.

Semalam sebagai penonton yang terpaksa menanti kira-kira 20 minit sebelum siaran bermula, saya sangat kecewa dan merasakan saya membazir masa dengan siaran itu. Kualiti yang diharapkan dari hujah kedua mereka, sungguh mengecewakan. Kalaulah itu standard yang ditunjukki mereka untuk dipilih sebagai Naib Presiden Umno dan kalau mereka terpilih betapa Umno menjadi semakin parah.

Kedua ahli panel itu masih bersikap perasaan dengan apa yang berlaku dalam parti berkenaan dan enggan menerima kenyataan. Keduanya rela menyembunyikan penyakit dalam Umno dan tidak bersedia dan telus dalam memperkatakannya. Pada saya kedua ahli panel berkenaan tidak berjiwa besar dan suka melihat pelangi daripada sanggup ditimpa hujan.

Misalnya Mohd Isa berhujah dan menjawab persoalan secara selamba dan tidak serius memberi petunjuk bahawa begitulah keadaannya Umno sekiranya beliau menjadi salah seorang pemimpinnya. Sikap jenaka Mohd Isa itu menjelaskan begitulah juga suasana yang berlaku dalam Umno kini penuh dengan jenaka-jenaka dan sandiwara.

Mohd Isa sengaja membutakan matanya dalam melihat realiti Umno hari ini. Ada ketakutan dan sikap tidak jujur kepada Mohd Isa dalam melihat masalah Umno. Baginya, masalah rasuah dalam Umno tidak begitu serius dengan memberi andaian secara sinikal kalau ia berlaku tentu ramai orang yang digantung jawatan sepertinya.

Mohd Isa tidak serius dan cuba memberi solusi berhubung politik wang. Sikap 'tak apa' dan redha atas apa yang berlaku itulah menyebabkan masalah itu akan berterusan. Dalam pada itu jawaban Mohd Isa menjelaskan bahawa beliau benar-benar terlibat dalam politik wang dan soalan rela dengan apa yang berlaku.

Begitu juga ketika Agus menimbulkan soal Umno kini makin tidak diminati oleh golongan muda dan meminta beliau memberi penjelasan, Mohd Isa tidak serius dengan persoalan itu dan cuba menafikan realiti itu dengan mengilas persoalan itu dengan menjawab bahawa ramai anak-anak muda dalam Umno. Sikap menolak realiti ini bukan satu sikap membangun dan berjiwa besar Mohd Isa sebagai seorang pemimpin.

Semua persoalan yang dilemparkan 'dikadas' dan dibalas dengan persoalan melucukan menunjukkan Mohd Isa bukan seorang pemimpin yang serius.

Saya tidak terkejut dengan sikap dan sifat Mohd Isa kerana sudah mengenali sejauh mana daya kepimpinannya dan fikrah perjuangannya selama beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dulu. Tetapi apa yang berlaku ke atas Zahid Hamidi sungguh merujakan saya.

Apa yang ditampilkan Zahid malam tadi jauh berbeza dengan sifat dan perwatakannya di publik. Di luar gelanggang ternyata Zahid mampu mempesonakan orang dengan wajah dan PRnya yang cemerlang. Tetapi malam tadi beliau gagal memberi kepuasan dan keyakinan kepada umum dengan cara beliau berhujah dan mengeluarkan idea. Seorang ahli politik yang seharusnya cekap dan pintar menghuraikan isu tidak ada kepada Zahid dalam rancangan itu.

Ternyata malam tadi Zahid banyak diselubungi emosi ketika menjawab persoalan dilemparkan oleh Agus. Perbahasan Zahid juga melencung dan beliau cuba mengelak persoalan yang dilempar ke atas batang hidungnya dengan menyalahkan pembangkang. Jawaban-jawaban yang diberikan tidak relevan dan seolah Zahid sungguh takut untuk mengkritik Umno walaupun dengan niat baik.

Seolah-olah apa yang berlaku Zahid tidak faham apakah hujah yang diingini oleh pengerusi. Dalam rancangan yang boleh dikira menguji kepintaran dan akal begitu Zahid ternyata gagal menunjukkan kemampuannya berfikir dan berhujah secara terbuka, sihat dan bersikap profesional.

Untuk apa beliau melanyak pembangkan penuh emosi dan kebencian! Meluahkan harapan dan kata-kata akan mengajar pembangkang di Perak dalam pilihan raya akan datang. Beliau juga gagal mengawal mulutnya daripada melempar atau menggunakan kata-kata kesat yang tidak sesuai dilihat keluar dari mulut seorang menteri agama.

Apa yang perlu beliau kemukakan malam tadi ialah hujah-hujah yang rasional berlandaskan kepada fakta bukannya emosional. Atau memberi pandangan dari sudut Islam sebagai landasan dan bukannya dari rasa sentimen dan keakuan yang tebal.

Tepukan gemuruh yang diterima oleh kedua ahli panel berkenaan malam tadi hanya tepukan budak-budak Tadika yang bukan lahir atas kehebatan dan kuliti hujah yang dikeluarkan kedua ahli panel itu, tetapi tepukan untuk menyindir pihak lain termasuk sesekali menyindir Agus sebagai pengerusi yang berjaya memerangkap kedua ahli panel itu dalam wacana intelektual begitu.

Adalah diharap ahli panel untuk rancangan akan datang lebih bijak dan mengeluarkan hujah-hujah konkrit bagi menunjukkan anda layak untuk dipilih sebagai pemimpin tertinggi Umno. [wm.kl. 6:30 am 04/03/09]

Thursday, February 26, 2009

Susupan Tengahari

Kuasa Wang Mengatasi Personaliti dan Kecerdikan Calon

SEMALAM ketika makan tengah hari bersama seorang kawan di sebuah restoran di ibu kota, terjumpa dengan seorang ahli akademik yang dikira ada kelas juga. Ada semangat Islam dan pernah mendapat atau berpengalaman menggerakan perjuangan di seberang laut ketika beliau meneruskan pengajian untuk memperoelhi Phd di sana.

Dia mengaku orang-orang seperti Fuad Zarkasai, Saifuddin Nasution Ismail, Rahim Ghaus dan Dr Wan Hasni adalah antara bekas-bekas anak murid atau pun rakan seusrahnya. Banyak tunjuk ajar dan ilmu kehidupan dan politik yang didedahkan kepada orang-orang muda itu yang kini sudah sedia menjadi pemimpin pelapis negara.

Mulanya ahli akademik ada kelas ini bergerak aktif dalam politik Umno. Pernah dicadang dan diangan-angankan untuk menjadi seorang pembesar negeri di bahagian tengah pantai barat. Hari ini ahli akdemik ini sudah tidak aktif lagi, ada sesuatu peristiwa menyebabkan dia jadi trauma lalu menikuskan diri daripada bergelombang dalam politik yang mencabar itu.

Dalam penilaian saya ahli akademik ini seorang yang tidak gagah semangat walaupun dia sarat dengan ilmu dan memiliki berbagai teori dan juga merupakan seorang yang idealis dan sangat berdisiplin. Keadaan ini sungguh mengejutkan, di mana keberanian dan ketajaman akal fikirnya tidak setara dengan kekuatan fizikalnya.

Dia masuk ke restoran itu kerana menanami anak dan menantunya untuk makan. Dia sudah terlebih dahulu makan di rumah, katanya. Semalam ahli akademik ini hanya memesan air barli panas tanpa gula. Sah dia kini sedang menghidap kencing manis, penyakit yang popular di kalangan rakyat negara ini.

Dia masih seperti dulu, bercakap penuh dengan teori, idea dan gagasan untuk membangunkan ummah. Sistem-sistem yang diterapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. menjadi idolanya. Sebelum ahli akademik ini memanjangkan khutbahnya saya menghalangnya dengan satu pertanyaan cepu emas untuknya berhubung pemilihan dalam pemuda Umno. Kawan saya di sebelahnya tersenyum kerana memahami tektik saya itu.

"Boleh cikgu ulas sikit mengenai watak-watak yang hendak bertanding ketua pemuda Umno, sekurang-kurang untuk dijadikan panduan kepada saya dalam membuat analisa atau untuk melagakan pandangan saya mengenai mereka dengan pandangan cikgu, atau pandangan ramai," minta saya. Saya lebih senang meanggilnya cikgu sebab dia membahasakan dirinya begitu.

Tanpa banyak bicara dan bagaikan ahli politik yang disorongkan mikrofon dia terus bertutur dan mengulas satu persatuan. Dia bertindak menjadi penganlisa politik dengan mengemukakan pandangan dan pendapatan yang sesetengahnya telah lama terecer sebelum ini.

"Pada saya Khairy Jamaluddin seorang yang cerdik dan licit. Lincah dalam politiknya. Dia juga terbuka dan dapat menghayati kehendaki citarasa politik orang muda, dia sesuai untuk memimpin orang muda."

"Manakala Khir Toyo ada pengetahuan Islam. Tetapi kerana dia berada di negeri Selangor, sebuah negeri yang kaya beliau tidak dapat mengelakkan diri daripada terkena ancaman rasuah."

"Mukhriz seorang yang nasionalis. Dia banyak berpegang kepada flasafah bapanya, Dr Mahathir,"

Ahli akademik itu tidak berani memberi petunjuk konkris dan jelas siapa yang lebih bagus. Maknanya beliau tidak ada pilihan sendiri. Mungkin padanya ketiga tidak bagus. Bagaimana pun beliau berpendapat kemenangan sesiapa antara mereka bertiga itu bergantung kepada siapa yang banyak memberi duit. Cikgu ini percaya bahawa kuasa duit masih menjadi puasakan dalam Umno.

Pandangan itu benar dan selari dengan apa yang saya rasakan. Keterampilan dan personaliti tidak banyak membantu dalam meriah kemenangan, tetapi wang menjadi kuasa penentu.

Ahli akdemik itu juga percaya dan yakin dalam soal ini, Mukhriz boleh menang berdasarkan wang yang bakal ditabur nanti. Dia percaya Mahathir tidak akan duduk diam dan mencari eang untuk Mukhriz.

"Mahthir akan tabur wang Shekih untuk memastikan anaknya menang. Walaupun dia tidak suka kepada politik wang tetapi kali ini jawatan itu dia kena beli untuk anaknya, demi survival!" kata ahli akademik itu.

Benar.... saya melihat ini dari dulu lagi. Mahathir akan melakukan apa saja untuk memastikan kemenangan Mukhriz. Bagi mahathir setiap apa yang diingini pasti akan dicapainya waima dengan apa cara sekalipun. Jadi kalau duit kena digunakan, maka beliau akan gunakan. Tetapi Mahathir pandai menyembunyikan permainan wang bagi pihak anaknya dengan menunding dan mengasak ke arah orang lain. Itu adalah perangai dan kebolehan Mahathir yang tidak mudah untuk dilawan.

Bagi Mahriz duit tidak menjadi masalah. Sebut saja berapa banyak? Mahathir akan mendapatkannya. Lantaran itu bagi Khairy dan Khir Toyo untuk menghadapi Mukhriz kena sediakan wang sebanyak mungkin.

Walaupun hari ini rata-rata penganalisa melihat Mukhriz sudah terkebelakangan dan bukan menjadi pesaing nanti, jangan pandang enteng rumusan itu. Kuasa wang boleh melonjakkan Mukhriz ke atas setanding dengan jumlah pencalonan yang diperolehi dan juga sesuai dengan nombor pemilihannya iaitu nombor satu.

Dalam mind set perwakilan pemuda kini mereka ingin mendapatkan rezeki dari pemilihan kali ini maka juadah bernama wang tidak boleh di ketepikan. Lakukan, ia tidak menjadi masalah kepada Umno kerana wang sudah menjadi satu keperluan dan dihalalkan dalam Umno walaupun ianya haram di sisi pandangan orang luar. Sebagai ahli Umno sesiapa pun yang ingin menawan hati ahli parti itu kena mengikut kaedah dan rukun-rukun yang diingini oleh ahli Umno. [wm.kl. 11:00 am 26/02/09]

Wednesday, February 11, 2009

Susupan Pagi

Apabila Mahadzir Khalid Cuba Lindungi Kebusukan

SEMALAM Pengerusi Umno Kedah, Mahadzir Khalid menafikan yang Umno menawarkan RM5 juta kepada bekas Adun Bukit Selambau, V Arumugam. Katanya bijaklah dan terrorlah Umno kalau mereka boleh berbuat begitu.

Dalam penjelasan itu Mahadzir cuba memberi gambaran bahawa apa yang berlaku kepada Arumugam itu ianya berpunca dari masalah dalaman. Katanya Arumugam ditekan oleh partinya sendiri dan tidak ada kena mengena dengan Umno.

Untuk menjelaskan yang Umno tidak terlibat menganggu dan memujuk bekas Adun itu Mahadzir memberi penjelasan perlantikan Arumugam sebagai Exco ialah dalam bidang kuasa Menteri Besar, Azizan Razak. Apa yang hendak disampaikan, Azizan Razaklah yang menekan Arumugam supaya melepaksan jawatan.

Mungkin ahli Umno mempercayai kata-kata Mahadzir Khalid itu. Tetapi bagi mereka yang panjang akal dan menggunakan akal rasional tidak mudah untuk menelan bulat-bulat penjelasan dan provokasi Khalid itu macam ikan baung telan buah lakong.

Orang akan menggunakan akal logik sebelum menerimanya. Apakah dalam situasi kerajaan Kedah dalam nyawa-nyawa ikan itu bijak bagi Azizan berbuat demikian? Tentu sekali tidak! Usahkan nak memecat nak tegur mana-mana Exco atau wakil rakyat yang buat salah pun MB itu tidak berani.

Bagi Azizan baik, Khalid Ibrahim di Selangor baik, mereka kini umpama menarik tepong dalam rambut bila berhadapan dengan masalah di negeri masing-masing. Semuanya beringat apa lagi teladan sudah ada di Perak.

Jadi apa yang dikatakan Mahadzir semalam hanya temberang murahannya saja. Kenyataan itu hanya adalah sandiwara untuk melindungi apa yang berlaku ke atas V Arumugam itu.

Samada Mahadzir jelas atau tidak orang ramai sudah mengagak apa sebenarnya yang berlaku. Peristiwa-peristiwa yang terjadi sebelum ini menjelaskan siapa yang bertanggungjawab dalam menganggu dan menawarkan wang ringgit kepada wakil rakyat agar mengubah haluan dan meninggalkan parti asal mereka.

Kerja-kerja munafik dan tidak bermoral ini bukan hari ini berlaku tetapi sejak tahun 1959 lagi.
Bagi generasi lama mereka masih ingat bagaimana wakil rakyat Pas Kelantan diculik dan dikurung kemudian ditoucher pemikirannya agar menyokong Umno. Berhari-hari mereka dikurung di Kuala Lumpur kemudian dipaksa membuat pengakuan menerusi televisyen agar sokong Perikatan (Umno MCA dan MIC).

Dalam menlaksanakan kerja jahat ini jelas sekali Umno menggunakan khidmat anggota polis. Mungkin dari peristiwa dan kejadian inilah menyebabkan polis sering dikatakan sebagai alat Umno.

Saya percaya kerja-kerja jelek dan busuk itu masih dilakukan sampai kini. Jadi apa yang Arumugam dakwa yang dilakukan ke atasnya itu tidak mustahil ianya datang dari tangan-tangan cucu cicit orang yang pernah mengurung beberapa wakil rakyat Pas tahun 1959 dulu. Begitu juga apa yang berlaku ke atas Jamaluddin Radzi dan Osman Jailu mungkin sedikit sebanyak melalui modus oprandi yang sama.

Kejahatan orang seperti ini tidak mudah hilang seperti mana kejahatan Israel yang diwarisi anak cucunya dari datuk nenek moyang mereka dan akan berterusan selagi bumi dan langit tidak bertangkup. Pehatian: Kisah wakil rakyat Pas dikurung dan ditoture ini akan diceritakan dalam posting akan datang. [wm.kl 7:00 am 11/02/09]

Thursday, January 15, 2009

Dari Kuala Ke Kuala 6

BN Dibayangi Dosanya Kepada Razali Ismail

BN seperti dibayangi fobia yang amat sangat kepada dosanya terhadap bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu, Razali Ismail bila mana BN seperti sudah kehabisan bahasa memuji dan memuja Razali. Tiak habis-habis BN terus memuji Razali di sepanjang kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Umno selama ini terlupa untuk memberi pujian dan sanjungan kepada Razali dan ia barus sedar setelah Razali kembali ke alam baqa.

Semalam kata Timbalan Presiden Umno, Mohd Najib Razak, Razali mungkin akan dilantik sebagai Pengarah Pelajaran Malaysia kalau beliau tidak menceburi diri dalam politik.

Perkara itu menurut Najib pernah dinyatakan oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Sukar untuk dipercayai kerana percakapan itu berlaku dalam otak Najib dan Abdullah saja. Najib boleh mengatakan lebih dari itu termasuk nak melantik Razali sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana tidak ada sesiapa menjadi saksi dan orang mendengar perbicaraan otaknya.

Cerita Najib itu adalah serangkain cerita Umno memuji Razali selepas bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu meninggal dunia. Pengikhtirafan atau pujian itu sebelum ini tidak pernah diberikan kepada Razali semasa hayatnya.

Malahan Umno Kuala Terengganu dikatakan telah mengenepikannya dari hirerki kepimpinannya Umno bahagian itu sehingga Razali bertanding Naib Ketua pun kalah. Kalau Umno mengenang kehebatannya dan tahu berterima kasih dan tahu memilih pemimpin berkualiti Razali akan menang. Tetapi kenapa beliau kalah, kerana Razali tidak tahu menggunakan wang untuk membeli jawatan dalam Umno.

Sekiranya Najib atau Abdulah jujur melihat ketokohan dan kebaikan Razali mereka tidak menyatakan kehebatan Razali sesudah ketiadaanya sebaliknya ketika Allahyaraham masih hidup. Sudah pasti kalau Najib memuji Razali seperti hari ini, beliau tidak akan mudah disishihkan oleh Umno Kuala Terengganu.

Apakah pujian itu sebagai qadha atas keterlupaan dan ketidakpedulian Umno terhadap Razali selama ini? Atau niat pujian dan sanjungan itu untuk mengambil hati warga guru dan kaum keluarga Razali disaat-saat pilihan raya kecil Kuala Terengganu berlangsung?

Jika itulah niatnya ini sudah terlewat seperti mana pemberian basikal dan beg sekolah kepada penduduk Kampung Anak Ikan malam tadi. Setelah sekolah dibuka, beg sekolah dibeli Najib baru hendak menghulurkan 'derma ikhlas', beg sekolah dan basikal kepada penduduk kampung itu.

Katanya derma beg dan basikal itu ditolak mentah-mentah oleh penduduk kampung itu yang menganggap ianya 'derma ikhlas' yang sudah basi dan tersalah musim.

Sekiranya Najib dan Umno ikhlas hendak membantu rakyat dan memertabatkan nama Razali sebagai tokoh pendidik lakukan selepas selesai pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu. Jangan dilakukan pada masa ini kerana ia akan disalah tafsirkan sebagai rasuah politik!

Dan apakah tindakan Umno memuji Razali itu kerana mereka tidak dapat untuk berbuat demikian kepada calon BN Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang dikata eltis dan keturunan bangsawan laksana Najib itu? [wm.kl 11:00 am 15/01/09]