Friday, March 13, 2009

Selingan Rasa

Senang Hati Tengok Azmil Pakai Jubah

KERANA ghairah mengintip gerak geri Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim selama berada di Madrasah Zuwiyah Nurul Iman, Selasa lalu menyebabkan saya terlupa untuk mencatat sesuatu mengenai seorang insan artis bernama Azmil Mustafa. Sebenarnya perkembangan pada diri Azmil lebih istimewa dan lebih berharga daripada pertemuan antara kedua negarawan itu.

Azmil pelakon popular tahun-tahun 80-an pernah menjadi pasangan ideal bersama Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dalam filem Ali Setan, 1, juga hadir sama ke majlis berkenaan. Azmil yang diberitakan sudah meninggalkan seni lakonan dan mengubah corak kehidupan dan gaya pakaian (berjubah dan berserban) dengan mendekati diri kepada Allah dan menerjunkan diri ke alam dakwah.

Saya bernasib baik pada hari itu ditempatkan sebaris dengannya di ruang tetamu khas kemudian bertemu pula di meja makan yang sama. Kesempatan yang ringkas itu sempatlah saya bertanya serba sedikit mengenai perkembangan dirinya kini. Penilaian spontan saya mengenai Azmil dia seorang yang ramah dan mudah diajak berbual. Dia juga berterus terang mengenai dirinya.

Azmil kini tinggal di Damaskus, Syaria. Menurutnya beliau ke sana dalam rangka mendalami ilmu agama serta belajar bahasa Arab. Menurutnya tidak ada sesiapa yang membiayai beliau di sana dan semuanya, makan minum dan perbelanjaan lain ditanggung oleh Allah taala.

"Tidak ada sapa-sapa sponsor, semuanya saya serahkan kepada Allah. InsyaAllah kalau kita yakin semuanya selesai. Serah diri kepada Allah," ujarnya.

Saya kagum dengan pendirian dan keyakinan Azmil kepada Rahman dan Rahim Tuhan. Beliau di Syaria bukan bersendiri sebaliknya anak dan isteri turut dibawa sana. Calang-calang orang dapat melakukan seperti apa yang dibuat Azmil itu. Dia bukan saja menjaga nyawanya seorang tetapi nyawa anak-anak dan isteri juga.

Untuk beberapa hari ini beliau berada di Malaysia, pulang semata-mata untuk menyertai himpunan para wali di Zuwiyah Nurul Iman di Hulu Langat itu.

Ditanya apakah beliau akan terus meninggalkan dunia lakonan yang memperkenalkan dirinya itu, Azmi menjelaskan: "kalau ada tawaran untuk filem yang sesuai dengan cara hidup saya kini, insyaAllah saya akan menerimanya."

Mudah-mudahan Azmil akan istiqamah dengan ciri kehidupannya hari ini. Dan didoakan juga selepas kembali ke tanah air apabila menamatkan pengajian beliau akan mendapat tawaran berlakon dalam filem yang secocok dengannya itu. Orang berbakat macam Azmil rugi kalau meninggalkan senbi lakon kerana seni lakon juga merupakan medium untuk berdakwah. [wm.kl 3:45 pm 13/03/09]

Mengilau Mengarat

Khir Toyo: Marhaen Yang Mewah!

PEREBUTAN ketua pemuda Umno semakin menarik. Tiga calon sedang berusaha keras untuk menawan hati kira-kira 600 perwakilan. Macam-macam bentuk dan pendekatan diambil ketiga-tiga calon. Selain daripada sentuhan dan intraksi langsung dengan perwakilan, mereka juga muncul di khalayak ramai menunjukkan kebolehan, kewibawaan dan kewiraan mereka.

Masa meletusnya pergolakan politik tempoyak di Perak baru-baru ini ada calon yang turun ke Ipoh mengepalai demonstrasi anti Pakatan ataupun ke Penang membuat laporan polis terhadap Karpal Singh yang dianggap menghina raja bagi menunjukkan belang keberanian. Jika hendak dikira apa kena mengena aksi dan tindakan itu dengan pertandingan ketua pemuda. Tapi kerana nak tunjuk hebat terpaksa dibuat kalau tidak nanti perwakilan tidak merasakan ketua mereka hebat pula.

Selain itu mereka juga membuat kenyataan akhbar dan membentangkan agenda dan misi masing-masing. Perdebatan dalam racangan hujah di TV9 adalah satu kesempatan yang cukup baik bagi mereka menunjukkan kebolehan dan kecekapan berfikir. Dalam racangan itu, Mohamad Khir Toyo dilihat hebat dan menguasai majlis berkenaan dengan idea Islamnya. Sekurang-kurangnya Khir nampak warak berbanding dengan dua lagi calon.

Ketiga-tiga calon itu juga kini selesa dan masing-masing ada keyakinan tersendiri. Berpandukan kepada laporan rawak masing-masing menguasai antara satu sama lain. Dari kajian dilakukan kakitangan akademik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan teamnya, Khairy Jamaluddin mendahului Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir. Manakala kajian rawak media massa pula meletakkan Khir sebagai calon popular.

Mukhriz dipilih oleh kajian bersistemetik Merdeka Centre (MC). MC meletakkan Muhkriz ditempat pertama dengan mendapat lebih 50 peratus berbanding dengan Khiry dan Khir yang mendapat peratus sama di bawah 20 peratus. Kelebihan kepada Mukhriz itu mungkin disebabkan koresponden yang ditemui MC adalah kalangan muda dan rakyat biasa yang lebih terikut dengan sentimen yang dimainkan Mahathir Mohamad!

Berasaskan kepada indikator itu ketiga-tiga mereka saling bersaingan antara satu sama lain dan masaing-masing mempunyai modal atau asas bagi menyakinkan diri sendiri dan juga perwakilan lain. Mereka juga saya percaya akan memerah darah di badan masing-masing sehingga kering demi menggapai kemenangan.

Bagaimana pun keselesaan Khir yang diperolehi Khir menerusi ramalan rawak media merudum secara mendadak sehari dua ini apabila berbagai skandal, penyelewengan, penyalah gunaan kuasa yang didakwa dilakukan olehnya didedah di sidang DUN Selangor. Pendedahan isu-isu yang masam dan busuk mengenai Khir itu menyebabkan prestasi dan kewarakannya disemak semula. Tentunya perwakilan membuat renungan mendalam mengenai kredibiliti Khir sebagai seorang pemimpin selepas timbulnya pendedahan demi pendedahan itu.

Sebenarnya apa yang menimpa Khir kini disebabkan salah beliau juga. Khir becrcakap sedap mulut dan tidak berhati-hati. Khir membelakang bidalan Melayu, bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar. Semua pendedahan mengenai Khir itu disebabkan keghairahannya mendedahkan kebusukan dan keburukan orang lain tanpa mengingati penyakiti diri sendiri. Sepatutnya kalau Khir menyedari dirinya juga ada kudis jangan cuba hendak menunjuk panau di belakang orang.

Khir sudah melakukan kesilapan besar bila beliau menyerang Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim. Serangan terhadap Khalid berhubung isu-isu pemberian lembu korban, penggunakan kereta sendiri untuk menjalankan urusan kerajaan tidak relevan dan bukan isu sebenarnya kalaupun Khir berniat hendak merampas balik kerusi Selangor.

Isu-isu itu adalah isu bersifat peribadi lagi pun ia bukan isu yang memudaratkan kedudukan negeri Selangor. Apa dilakukan Khalid seperti memberi lembu korban, menggunakan kereta Lexus bukan mejejaskan kewangan negeri dan menyusahkan rakyat. Ia bukan satu penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa dalam erti kata sebenarnya.

Khir tidak tidak waspada dalam soal memilih isu untuk dimainkan bagi memperlihatkan dirinya hebat. Lagipun isu-isu berhubung sekitar MB itu adalah isu local untuk rakyat Selangor saja. Sepatutnya Khir kena tinggalkan isu itu dan menumpukan kepada isu-isu nasional dan global, kerana jawatan yang beliau ingin rebutkan itu bukan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, tetapi Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Dalam hal ini Khir mungkin boleh meniru ataupun cuba menimbulkan idea kontemporari yang menjadi desakan dan kerinduan ahli-ahli Umno seperti mana yang cuba ditumbulkan oleh Khairy Jamaluddin yang membentangkan ideanya bagaimana untuk melakukan perubahan positif demi memulihkan prestasi Umno yang makin buruk di mata rakyat.
Macam mana Khir nak memperbetulkan keadaan dirinya hari ini. Sidang DUN Selangor semalam telah menambah dan mendedahkan lagi beberapa masalah atau penyakit kepada Khir. Adun Hulu Kelang, Shaari Sungip mempersoalkan bagaimana isteri Khir, Zaharah Kecil boleh menggunapakai kereta Renge Rover bernilai RM500,000.

Kereta itu katanya milik Kumpulan Darul Ehsan Sdn. Bhd. Apakah keistimewaan dan kelayakan Zaharah untuk mendapat kemudahan itu. Pastinya perbelanjaan minyak dan nilai kereta itu sendiri lebih mahal daripada harga lembu korban yang dihantar Khalid ke Bandar Tun Razak?
Sudang DUN juga turut menyebut soal pembelian jam mahal bernilai RM150,000.
Mengenai jam ini saya teringat kepada cerita bagaimana Abdullah Ahmad Badawi pernah menegur jam Khir yang mahal. Kata Abdullah, cantik jam Khir, tentu mahal. Mengenai jam mahal ini Abdullah sudah pun menyebut lama sebelum ini. Mungkin juga antara sebab kenapa Abdullah tidak menyenangi Khir kerana lagak dan gaya hidupnya.

Penyakit dan juga isu yang didedahkan oleh sidang SUN Selangor ialah mengenai kos perjalanan udara Khir Toyo dari September 2001 hingga Januari 2008 yang berjumlah RM 349,134. Jumlah itu ternyata lebih daripada harga lembu-lembu yang dihantar Khalid ke Bandar Tun Razak.

Perjalanan udara yang dilakukan Khir dalam tempoh itu ialah ke London, Bangkok, Tokyo, Los Angeles, Dubai, Taipe, Seoul, Paris, Perth, Millan, Venice, Amsterdam. Nasib baik kerajaan Pakatan tidak menyiasat apakah tujuan dan maksud Khir mendatangi negara-negara berkenaan. Mungkin Khalid tidak mengetahui apakah tujuan Khir ke Perth Australia. Pemergian Khir ke Perth bukan sekali boleh dikatakan setiap tahu. Itu secara rasmi tidak rasmi, lebih kerap.

Tentu ada sesuatu yang dilakukan Khir di Perth yang pastikanya bukan untuk melihat Kangaroo saja!

Lebih mengejutkan lagi pembelian tikit penerangan itu dilakukan oleh syarikat Green Advanture Holiday Sdn. Bhd di mana syarikat ini didakwa ada hubung kait dengan kekeluargaan Khir Toyo. Semua perjalanan Exco dan kakitangan kerajaan Selangor katanya menerusi syarikat ini.

Semua pendedahan balas dendam oleh Khalid itu menyakitkan Khir untuk berhadapan dengan perwakilan Pemuda dan perhimpunan agung Umno. Khir kena jawab dan menjelaskan kalaupun bukan kepada rakyat tetapi kepada perwakilan. Perwakilan pasti akan bertanya samada pendedahan itu benar atau tidak.

Pendeknya semuanya menyerabutkan Khir. Yang tentunya pendedahan bukan berhenti setakat itu sahaja. Agen-agen kempen Mukhriz dan Khairy pasti akan menokok tambahnya selain daripada terus mencari maklumat terbaru mengenai Khir Toyo. Dan apakah apabila Khir mendakwa ada usaha mensebotajnya untuk menangi jawatan ketua pemuda itu ia adalah satu helah awal Khir bahawa peluangnya kini sudah nipis? [wm.kl. 10:30 am 13/03/09]

Thursday, March 12, 2009

Langsung Parlimen

Kerana Bangkit Isu Pembunuhan Altantuya
Govind Deo Diperintah Keluar Sidang

PARLIMEN Malaysia begitu alergik untuk mendengar nama wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu yang dibunuh kemudian mayatnya diletup di hutan simpan Puncak Alam dua tahun lepas.

Gara-gara membangkitkan soal pembunuhan Altantuya dan mengaitkan dengan nama ahli Parlimen Pekan,Mohd Najib Razak, ahli Parlimen Puchong, Govind Deo diperintah keluar sidang oleh Timbalan Speaker, Ronald Kiandess.

Govind ketika membahas peruntukan tambahan untuk Jabatan Perdana Menteri telah memperli kerajaan tidak guna mempunyai bangunan mahkamah yang baik tetapi perlaksanaan keadilan meragukan,

Beliau lantas menyebut isu kes pembunuhan Altanyuta yang cuba dikaitkan dengan Mohd Najib.
Tindakan Govind itu terkeluar daripada butiran perbahasan menyebabkan Ronald Kiandee memberi amaran supaya tidak cuba membangkitkan persoalan yang terkeluar dari butiran perbahasan.

Govind tidak berganjak dan terus cuba meniumbulkan kes pembunuhan itu dengan mengaitkan nama Mohd Najib dan meminta Najib menjelaskannya. Laporan dari akhbar Leberation, Perancis ada menyebut Najib terlibat dengan pembunuhan itu.

Menyedari sikap kerenah Gobind Deo yang enggan berhenti daripada cuba meniumbulkan kes pembunuhan itu menyebabkan Ronald Kiandee tidak ada pilihan lain memerintah Govind keluar dari sidang sehingga tamat sessi petang.

Govind seperti bapanya berkeras untuk tiak mahu keluar dan terus duduk di kerusinya. Laungan ahli Parlimen pembangkang agar Govind keluar terus memecah dewan.

Kerana asakan bertubi-tubi Govind akhirnya keluar.

Semasa Govind keluar giliran ahli Parlimen pembangkang pula melaung mempersoalkan tindakan ke atas Govind sebagai tidak adil dan tidak patut.

Terdengar laungan ahli parlimen dari pembangkang melaung kenapa halau ahli Parlimen Puchong itu keluar. Apa salahkah bangkitkan soal pembunuhan itu kerana ia sekadar mahu penjelasan sahaja, laung seorang ahli Parlimen pembangkang. [parlimen 4:30 pm 12/03/09]

Foto Istimewa

Majlis Makan Tengah Hari Yang Kontroversi

KATA orang sekeping gambar menyimpan seribu makna. Gambar adalah aksi yang menterjemahkan hakiki objek yang dipaparkan. Gambar tidak boleh berkata-kata namun sebenarnya dialog dalam gambar itu tetap ada. Terserah untuk membina dialog sendiri atau sekadar merenung dengan akal yang bijak.

Di bawah ini dipostkan enam keping gambar yang terpilih daripada puluhan keping gambar yang sempat dirakamkan semasa kehadiran Abdullah dan Anwar di madrasah Nurul Iman kelmarin kelmarin. [wm.kl 9:15 am 12/03/09]


Selepas Pak Lah meninggalkan madrasah Nurul Iman
giliran Anwar untuk berlalu kira-kira dua minit kemudian.
Maka selesailah acara makan tengah hari.

Anwar menjenguk dimuka pintu rumah Syeikh Mahmud
sebaik saja Pak Lah turun untuk pulang.

Pak Lah memberi post istimewa, kelihatan ceria dan
seronok dengan keadaan sekeliling sebaik turun dari rumah
Syeikh Mahmud. Mungkin Pak Lah benar-benar kenyang!

Pak Lah dihantar Syeikh Mahmud turun untuk pulang
selepas berada dalam rumah selama lebih satu jam
untuk makan tengah hari yang kontroversi!


Disebalah kanan (cerah) kasut Anwar manakala
disebelah kiri pula kasut Pak Lah. Kasut-kasut lain
adalah pendengar dan mata yang sahih mengenai apa
yang berlaku. Carilah tuan-tuan kasut berkenaan
untuk mengetahuin apa cerita sebenarnya.

Pintu rumah Syeikh Mahmud ditutup rapat, tetapi tidak berkunci.
Di dalamnya ada Pak Lah dan Anwar sedang makan tengah hari.

Dr Wan Azizah, isteri Anwar turut sama naik ke rumah Syeikh
Mahmud. Sayang sedikit Jeanne isteri Pak Lah tidak
hadir kalau tidak suasana lagi meriah.

Selepas Subuh

Ada Tokoh Politik Temui Syeikh Mahmud
Dua Hari Sebelum Abdullah - Anwar Berjumpa!

ADA tanda-tanda menunjukkan pertemuan tidak disengajakan antara Abdullah Ahmad Badawi dengan Anwar Ibrahim di madrasah Nurul Iman tengah hari kelmarin diaturkan oleh orang tertentu.

Walaupun kedua pihak Abdullah dan Anwar menafikan bahawa pertemuan itu tidak ada apa-apa agenda, yang jelasnya insiden dianggap manis itu diatur terlebih dahulu.

Dipercayai seorang ahli politik menjadi orang tengah atau pun mencetuskan idea supaya mereka bertemu di situ dengan Syeikh Mahmud yang dianggap dan diterima sebagai tok guru oleh kedua pemimpin itu. Mungkin apa yang dihajati keduanya bukan berbincang tetapi sekadar mendengar apa yang diperkatakan Syeikh Mahmud.

Dua hari sebelum Abdullah dan Anwar berjabat salam selepas solat Zohor semalam ahli politik berkenaan dikatakan ada mengunjungi Syeikh Mahmud. Tokoh itu menemui Syeikh Mahmud dalam keadaan berpakian ala-ala sufi iaini dengan memakai kupiah, bukan songkok seperti lazimnya.

Gambar tokoh berkenaan dengan Syeikh Mahmud juga ada dan turut dimuatkan dalam blog atau internet. (Saya tidak akan menyiarkan dulu sebelum disahkan).

Selalunya tokoh ini mengenakan songkok dan jarang sekali mengenakan kupiah kecuali semasa beliau mengerjakan umrah kira-kira 10 tahun lalu.

Walaupun kehadiran tokoh berkenaan yang dikenali sebagai peminat kepada kedua negarawan itu mungkin sebagai kunjungan murid terhadap guru adalah dipercayai tokoh berkenaan memberi ilham agar kedua negarawan itu berjumpa dengan dengan Syeikh Mahmud secara serentak agar boleh mendengar nasihat daripada tuan guru berkenaan.

Tanda-tanda terbaru ini menolak sama sekali pertemuan mahabbah Abdullah - Anwar itu berlaku secara semulajadi melainkan ada motif politik di sebaliknya.

Abdullah semasa berada di Kota Kinabalu semalam menafikan sambil menjelaskan pertemuan itu tidak disengajakan bagaimana pun mengakui beliau dan Anwar hanya mendengar saja apa yang dittuturkan oleh Syeikh Mahmud.

"Dia (Syeikh Mahmud) yang cakap dan sebagai tok guru kita denganrlah," jelas Abdullah.

Apabila diasak apakah ada apa-apa perundingan dan perbincangan politik pada pertemuan itu, dengan wajah berseri dan tersenyum beliau menjelaskan tidak ada apa-apa dan meminta agar jangan membuat apa-apa spekulasi.

"Tak ada apa-apa dan janganlah buat spekulasi," begitulah kata Abdullah sambil ketawa.

Sementara itu di luar orang ramai yang teruja dengan pertemuan itu mengharapkan ianya menghasilkan sesutau yang baik demi masa depan negara. Seorang penjenguk blog ini melahirkan rasa gembira atas apa yang berlaku dan dia mendoakan semoga pertemuan itu akan membawa kepada kedua pemimpin berasa dari Pulau Pinang menjalini semula persahabatan mereka. [wm.kl 6:30 am 12/03/09]

Tuesday, March 10, 2009

Analisa Isu

Ekoran Pertemuan Abdullah – Anwar
Selesema Najib sudah Membawa kepada Demam

POSTING saya sekejap tadi mengenai pertemuan yang memungkin terselit mini perundingan antara Anwar Ibrahim dengan Abdullah Ahmad Badawi dinafikan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akim dalam blognya. Anwar sendiri juga membuat penjelasan segera berhubung berita bersifat spekulatif tetapi berfakta itu juga menerusi blognya.

Kata Iskandar, Anwar dan Abdullah hanya bertemu dan makan tengah yang dinamakan makan untuk keamaan dunia? Tidak ada perundingan selepas itu.

Manakala menurut Anwar pula pertemuan itu biasa yang menyempatkan dia ngobrol perkara-perkara biasa sahaja dengan Abdullah. Apakah perkara biasa itu?

Shamsul menampilkan gambar menunjukkan Anwar sedang santap bersama Abdullah dengan Sheikh Mahmud Majzub sedang makan ditengah. Jelas lauk pauk yang dihidang untuk dua negawaran itu makan berbeza dengan apa yang dihidang di luar untuk para tetamu lain.

Sepanjang peristiwa itu Sheikh Mahmud senantiasa berada di tengah manakala Anwar dan Abdullah di sisi.

Dalam konteks dan suasana hari ini tidak salah kalaupun Anwar mengadakan rundingan dengan Abdullah. Dan jika berlaku mini rundingan itu mestilah berhubung dengan pelan peralihan kuasa yang bakal berlaku dalam Umno selepas Mac nanti.

Anwar berhak menyatakan apa-apa pandangannya kepada Abdullah sebagai sahabat dan atas kapasitinya sebagai ketua pembangkang pada pertemuan seperti itu.

Sebagai ketua pembangkang Anwar tentu mempunyai maklumat-maklumat yang bermanfaat untuk diketahui dan dikongsi oleh Abdullah sebagai perdana menteri untuk kebaikan bangsa dan negara.

Setidak-tidaknya Anwar menasihati Abdullah agar jangan begitu mudah menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Mohd Najib Razak. Sekiranya Anwar meluahkan itu atau membuat rayuan begitu ia juga bukan perkara baru, kerana dalam parlimen Anwar pernah menyatakan kesediaan untuk menyokong Abdullah terhadap apa-apa tindakan dan keputusannya yang memerlukan suara ahli parlimen.

Bahkan Anwar sempat bangun dan meminta rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat ikut bangun menunjukkan menyatakan sokongan kepada Abdullah. Mesej yang ditunjukkan oleh ketua pembangkang itu jelas bagi Abdullah.

Kalaupun Anwar membuat rayuan itu dalam mini prundingan ia berpandukan kepada perkembangan terkini di sekitar Najib. Dan adalah wajar kalau Abdullah mendengar apa yang mungkin disuarakan oleh Anwar pada pertemuan tadi, baik ketika di meja makan ataupun di dalam bilik.

Shamsul Iskandar mendedahkan bahawa pertemuan Anwar dengan Abdullah itu sekadar di mejakan makan sahaja. Itulah yang hendak ditegaskan oleh Shamsul.
Apakah selepas makan itu sementara menunggu solat Zohor mereka tidak berganjak ke dalam bilik berdekatan meja makan itu? Dan apakah Iskandar juga turut sama menyelit ke dalam bilik berkenaan dan mendengar kesemua butir bicara mereka? Dan apakah keperluannya dari segi politik untuk Shamsul menafikannya?

Saya difahamkan sendiri oleh seorang ahli MPT PKR yang turut hadir, (berkedudukan seperti Shamsul di dalam rumah itu) menurutnya ada berlaku pertemuan enam biji mata antara mereka bertiga; Anwar, Abdullah dan Sheikh Mahmud. Pastilah Shekh Mahmud berada ditengah.
Menurut ahli MPT itu Sheikh Mahmud ada mengatakan sesutau yang penting untuk kedua pemimpin itu. Tidak terniat untuk saya mencatatkan antara dialog Sheikh Mahmud dalam bilik itu seperti mana dituturkan oleh ahli MPT berkenaan, tetapi cukuplah kalau dikatakan ia sangat menarik. Iya sangat menarik.

Pasti esok wartawan akan memburu Abdullah untuk mendapat ulasan daripadanya. Sama-samalah pula kita dengar apa yang dikatakan Abdullah dan sama-sama kita padan dengan apa yang diucapkan oleh Anwar dan Shamsul itu.
Takdirnya sama, maka terimalah persamaan itu.

Mengenai Shamsul Iskandar, sekiranya kedatangan Abdullah itu tidak ada mengada mengapa beliau bersusah berlari anak untuk menyambut Abdullah sebaik mengetahui ketibaan Abdullah. Apakah sambutan itu sebagai mnghormati pemimpin nombor satu negara? Ataupun sambutan itu kerana menghormati kedatangan delagasi pertama untuk bertemu dan berunding secara tidak langsung?

Ketika ditanya apakah yang dibicarakan (ngobrol) oleh Anwar dan Abdullah semasa mereka makan, Shamsul hanya berkata no comment? Apakah no comment itu beliau mendengar sesuatu atau tidak mendengar apa-apa? Atau tidak mahu menjelaskan apa yang diketahui kerana sebab-sebab tertentu?

Logiknya untuk apa Abdullah beriya hadir pada waktu itu sedangkan majlis untuknya diaturkan besok. Hari ini yang menjadi tetamu utama ialah Anwar Ibrahim. Kehadiran Anwar itu dicatatkan dalam kad jemputan kehormatan yang saya terima. Selain nama Anwar, kad jemputan itu mencatat nama Drs H Muhammad Yusuf Kala, Naib Presiden Indonesia.

Nama lain dalam kad jemputan itu ialah, Dr Bohkin Bhalakula, timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Thailand.

Ingatlah kepada bidalan lama yang masih relevan sekiranya tidak ada mengada tempua tidak akan bersarang rendah. Pastinya kehadiran Abdullah dan Anwar ke madrasah Nurul Iman itu ada rahmat dan yang pastinya mereka dihantar oleh Allah untuk bertemu, bertentangan mata dan berjabat salam.

Apa yang dapat disaksikan dan dirasakan ia sungguh memberi erti besar. Tidak mustahil dalam menghuraikan erti dan hikmah pertemuan Abdullah – Anwar tengah hari tadi ia menyebabkan selesama Najib semasa membentang minit bajet di parlimen tadi semakin melarat dan mungkin akan membawa kepada demam dan panas kepada pula. [wm.kl 9:30 pm 10/03/09]

Eksklusif Selasa

Abdullah dan Anwar Berunding di Hulu Langat?

TIGA jam sebelum Menteri Kewangan, Mohd Najib Razak membentangkan bajet mininya di Parlimen jam 4:00 petang ini, berlangsung satu peristiwa diluar jangka yang penuh tandatanya, iaini Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi duduk serumah dan makan tengah hari bersama Anwar Ibrahim.

Peristiwa bersejarah ini berlaku di Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat, Selangor. Abdullah dan Anwar sama-sama hadir pada majlis sambutan Maulid Rasul dan Sambutan Tamat Latihan Kerohanian 40 tahun Syeikh Mahmud Al-Majzub, dan menjadi tetamu kehormat mundir madrasah berkenaan.

Kehadiran Anwar hari ini memang dinanti-nantikan oleh kira-kira 1,000 hadirin dan para jemputan termasuk para ulama dari Asia Tenggara, sebaliknya kedatangan Abdullah secara tiba-tiba itu benar-benar mengejutkan dan di luar jangka.

Abdullah dijangka hadir ke madrasah berkenaan esok untuk merasmi persidangan dan pertemuan para ulama. Kehadiran Abdullah lewat tengah hari ini menjadi tanda tanya sebab pada waktu sama jemputan khasnya ialah Anwar Ibrahim.

Abdullah tiba lebih awal dari Anwar, iaitu jam 12:18 tengah hari manakala Anwar bersama isterinya, Wan Azizah Ismail tiba kira-kira 20 minit kemudian.

Kedua mereka dibawa naik ke rumah Syeikh Mahmud untuk makan tengah hari sama-sama.
Abdullah dan Anwar berada di dalam rumah berkenaan lebih 1 jam setengah. Mereka keluar dari rumah berkenaan untuk mendirikan solat Zohor bersama jam 1:40 petang.

Difahamkan semasa di dalam rumah Syeikh Mahmud, pertemuan enam biji mata berlangsung antara Abdullah, Anwar dan Syeikh Mahmud. Satu perundingan juga dikatakan berlaku dengan Syeikh Mahmud menjadi perantaranya!

Semasa mendirikan solat Zohor kedua mereka duduk di saf pertama di mana Abdullah berada di sebelah kanan, Syeikh Mahmud manakala Anwar berada di sebelah kiri Syeikh Mahmud.

Selepas solat Zohor, Abdullah diminta memberi ucapan ringkas begitu juga Anwar bagaimana pun Anwar tidak berucap. Dalam ucapannya Abdullah menjelaskan sesuatu yang baik itu kalau didoakan ia akan menjadi kenyataan. Selepas selesai solat Zohor dan ucapan ringkas kelihatan Abdullah dan Anwar bersalaman dan masing-masing melemparkan senyum.

Pertemuan dan gelagat kedua pemimpin itu benar-benar mengejutkan para hadirin dan jemaah. Masing-masing tertanya-tanya dengan peristiwa berkenaan kerana ianya dikatakan bukan dirancang oleh sesiapa tetapi mempamerkan keadaan yang sungguh menyenangkan orang ramai.
Orang ramai begitu bangga dan puas dengan pertemuan kedua mereka yang dlihat sebagai bermusuhan selama ini dan diharap dapat berdamai untuk kebaikan negara, bangsa dan agama.

“Apa yang berlaku hari ini adalah sejarah, dan kita harap ianya jadi!” begitulah komen salah seorang ahli jawatankuasa madrasah berkenaan enggan menjawab apakah kedatangan kedua mereka sudah dirancang dan apakah yang dimaksudkan 'jadi' itu?

Abdullah meninggalkan madrasah berkenaan kira-kira jam 2:15 minit petang manakala Anwar jam 2:50 petang kedua-duanya dijangka menuju ke Parlimen untuk mendengar pembentangan bajet mini oleh Najib.

Ulasan dan analisa lanjut mengenai peristiwa ini akan menyusul selepas ini. [h langkat 3:45 pm 10/03/09]

Monday, March 9, 2009

Susupan Tengahari

Hishamuddin Menghukum Dengan Sebelah Mata

KATA Hishamuddin bin Hussein bin Onn bin Jaaffar, himpunan membantah PPSMI Sabtu lalu didalangi oleh pembangkang. Alasannya mudah sahaja sebab beliau ada nampak pemimpin pembangkang menyertai himpunan berkenaan.

Hukuman Hishamuddin itu terlalu mudah dan seolah-olah dibuat oleh mereka yang berfikir secara kebudak-budakan atau hukum sebelah mata. Tuduhan Hishamuddin itu bersifat politik untuk menuduh Pas supata rakyat bencikan Pas.

Dengan tuduhan itu juga beliau membayangkan kebijaksanaan dan pandangan jauh beliau selama ini di mana apa yang disangkakan itu benar. Bahawa dalang di sebalik anti PPSMI itu ialah pembangkang, khususnya Pas.

Mungkin Hishamuddin tidak membaca pun memorandum yang serahkan oleh Dr Hassan Ahmad dan rombongan GMP kepada beliau dan beberapa menteri dan ahli Parlimen lain di parlimen tidak lama dulu. Kalau ketua Pemuda itu membaca dan memahami intipati memorandum itu beliau tidak akan membuat tuduhan murah begitu.

Beliau akan menjaga lidahnya dan tidak berselindung di sebalik ting kecil untuk menyelamatkan diri dan menjaga maruah politiknya. Tetapi kerana beliau bercakap tanpa berfikir menyebabkan Hishamuddin telah mendedahkan kedangakalan akal fikir siasahnya.

Sebagai Menteri Pelajaran sepatutnya Hishamuddin seorang yang banyak membaca dan berfikir dengan menggunakan otak dan bukan dengan kulit kepala. Perjuangan memansuhakn PPSMI bukan baru. Ia bermula sejak mula-mula ia hendak dilaksanakan lagi.

Sudah berpuluh seminar, konvensyen, forum, ucapan, pandangan, tulisan dan sebagainya diadakan sebagai membantah perlaksanaan dasar berkenaan.

Yang membantah dan menyuarakan kebimbangan mereka bukan saja pemimpin pembangkang tetapi pemimpin Umno sendiri dan juga para cerdikpandai lain yang tidak ada apa-apa kepntingan politik. Tengku Razaleigh Hamzah adalah antara tokoh yang menentang dasar pendidikkan PPSMI ini.

Ada juga kalangan pemimpin Umno yang boleh dikira ada nama turut sama menentangnya. Tetapi kerana mereka Umno yang kena menjaga kedudukan dan kepentingan penentangan itu dilakukan secara sorong tarik, macam kura-kura menyembunyikan kepalanya.

Saya percaya orang Umno bawahan juga tidak setuju dan keliru dengan polisi berkenaan berkenaan. Tetapi disebabkan dasar itu diperkenalkan oleh parti mereka, mereka terpaksa menyokongnya walaupun dalam hati mempertikaikannya. Sebabnya mudah kerana orang-orang Umno diluar bandar juga (yang cerdik dan tidak taksub dengan parti) menyedari akan masalah yang dihadapi murid berhubung PPSMI ini.

Walaupun penentangannya kini secara meluas dan memorandum mengenainya sudah memasuki Istana Negara, namun masih juga ada yang belum faham mengapa PSPMI dibenci. Hishamuddin dan mereka yang sebebal dengannya hendaklah sedar isu PPSMI bukan merupakan ideologi mana-mana parti politik.

Gerakan menentangnya kerana hendak mendaulatkan kedudukan bahasa Melayu dan menyelesaikan masalah yang dihadapi murid-murid luar bandar berhubung isu berkenaan tanpa mengira warna kulit dan keturunan.

Kerana sikap berkata sebelum berfikir menyebabkan ramai yang tidak tahu hujung pangkal mengenai PPSMI tetapi malangnya mereka ingin juga mengambil bahagian maka timbullah kekeliruan. Bila sudah jadi begini maka jadilah mereka mengkritik terhadap apa yang mereka tidak faham dan tidak tahu.

Bagi pengetahuan yang masih keliru, apabila GMP menentang PPSMI bukan bermakan GMP dan sekelian orang menyokongya menolak pembelajaran bahasa Inggeris. Mereka bukan berfikiran sempit dan membenci kepada bahasa penjajah itu tana tentu fasal. Apa yang diperjuang dan dipersoalkan mengenai pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang menjejaskan pendididan dan peratus kelulusan anak-anak sekolah di kampung. Itu saja.

Bacalah kajian dan analisa mengenai keputusan USPR tatkala PPSMI dikuatkuasakan. Tengok secara jujur dan ikhlas kesan dan implikasi ke atas dasar berkenaan dan jangan cuba menegak benang basah atau rela menerimanya sebagai bagus kerana ia dibuat oleh Umno.

Kenapa orang-orang Umno seperti ini sudah membuang mata zahir dan mata hatri mereka untuk menilai mana yang buruk dan mana yang baik.

Kepada Hishamuddin dan orang sebebal dengannya pula jangan mudah menundign jari kepada pembangkang. Yang jelas isu PPSMI bukan isu parti politik. Masa perarakan tempoh hari tidak ada pun pemimpin tertinggi PKR dan DAP? Apakah ianya isu pembangkang? Kata Hishamuddin beliau tidak nampak pun muka-muka Umno di dalam himpunan berkenaan? Apakah wajah orang Umno ada tanda khusus?

Nampaknya semakin hari Hishamuddin semakin besar kepala dan keras kepala. Sikap Hishamuddin yang tidak langsung memberi reaksi kepada ‘sunggutan’ Abdulah Ahmad Badawi mengatakan isu PPSMI sudah menjadi isu besar dan perlu diatasi segera menunjukkan Ketua Pemuda itu sudah tidak ada hormat langsung kepada bakal bekas Perdana Menteri itu.

Sikap dan cara Hishmauddin berdolak dalih dalam isu PPSMI ini ia menyedihkan orang Melayu. Sudah pasti rasa sedih dan terkilan itu juga akan terbawa ke dalam perhimpunan agung Umno kelak. Sekiranya Hishamuddin terus bebal dan berdegil dengan sikapnya kini tidak mustahil beliau akan diajar oleh perwakilan kelak.

Kedudukan beliau yang kini dikataskan calon favourite untuk Naib Presiden mungkin boleh jatuh mendadak kalaupun tidak tergolek terus. Sekiranya Hishamuddin tergolek ini bermakna perwakilan Umno pada 24 – 28 Mac ini masih ada hati dan kecintaan kepada bahasa ibunda mereka.

Sebaliknya kalau Hishamuddin masih menang jelas bahasa Melayu sudah hilang dari hati Umno. [wm.kl 2:00 pm 09/03/09]

Sunday, March 8, 2009

Album PPSMI

Gambar Sekitar Himpunan Perarakan PPSMI

SAYA baru menerima kiriman foto dari di sekitar himpunan perarakan menyerah memorandum membantah PPSMI kepada Yang di-Pertuan Agong oleh lebih 10,000 rakyat yang prihatin yang terhadap Bahasa Melayu semalam. Perarakan itu digerakan oleh GMP yang diketuai oleh Dr Hassan Ahmad.

Gambar-gambar yang dirakamkan oleh jurufoto Siasah Zamzarina ini sewaktu himpunan bermula dan perarakan bergerak. Gambar-gambar yang brutal, di mana rakyat disembur dan ditembak dengan gas pemedih mata tidak terakam oleh jurugambar wanita ini. Beliau sendiri tidak dapat menahan semburan gas pemedih mata dan menyebabkan terpaksa melarikan diri dari terus terperangkap dalam perang asap petang semalam. Terima kasih kepada Zam.


Presiden Pas, Abdul Hadi, timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, A Samad Said dan
lain-lain mengepalai perarakan menuju ke Istana Negara.

Dr Hassan Ahmad bersama AJK GMP memberi penerangan
sebelum perarakan bermula.
Perakan bermula gerembolan rakyat bersemangat menuju ke
Istana Negara sebelum dihalang dengan gas pemedih mata.

Memperjuangkan martabat bahasa Melayu hak semua rakyat

tanpa mengira kedudukan dan gender.

Hidup Bahasa Melayu... Hidup Bahasa Melayu!

Kaum wanita dan kanak-kanak turut sama
hadir untuk untuk mempertahankan kedaulatan
bahasa ibunda mereka.

Suasana tenang dihadapan masjid negara sebelum perarakan bermula kemudian menjadi kelam kabut selepas polis bertindak menghalang perarakan.

[wm.kl. 12:00 t/hari 08/03/09]

Leraian Ahad

Menanti suara Mahathir tentang PPSMI

RASANYA tidak adil dan kurang tepat kalau dihemburkan kemarahan seluruhnya kepada Hishamuddin Hussein berhubung pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matemetik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Beliau bukannya orang yang mengagas ataupun menetaskan idea drastik itu yang perlu menerima risiko atas kepincangan sistem pendidikan negara kini.

Semua orang kenal dan tahu sejauh mana kepala Hishamuddin dan juga kehebatannya sebagai seorang jemaah menteri. Dia tidak mewarisi keberanian datuknya, Onn Jaaffar melainkan berkebetulan lahir dengan meminjam sedikit genetik Onn Jaaffar saja.

Kalau Hishamuddin seorang jantan tulen dia tidak akan memohon maaf kepada masyarakat Cina, MCA dan Gerakan gara-gara dia dimarahi kerana menghunus dan mencium keris. Tetapi kerana tidak tahan dibelasah dan dipersalahan atas perbuatan itu akhirnya Hishamuddin memohon maaf kepada orang-orang Cina. Hanya lelaki yang dayus saja sedia memohon maaf atas yang dilakukan itu diterima benar dan betul oleh umum.

Perbuatan itu menjelaskan sejauh manakah kekuatan jiwanya. Sejauh manakah sifat-sifatnya sebagai seorang pemimpin yang ada bertenggek di dalam dirinya. Justeru telatah itu menjelaskan kepada umum sejauh manakah pula peranan dan kebertanggungjawaban beliau berhubung PPSMI yang sedang dikecam dan diserang kini.

Sebagai seorang pemimpin dan bergelar menteri Hishamudin tidak ada apa-apa perasaan pun terhadap apa yang dikehendak orang Melayu kini. Nafsunya terhadap bahasa Melayu sudah impotent. Sebab itu beliau tidak peduli kepada tuntutan dan bantahan rakyat kepada PPSMI. Di sinilah lemah dan rendahnya mutu dan kualiti Hishamuddin selaku seorang pemimpin.

Ini menyebabkan beliau tidak layak pun menjadi pemimpin, apa lagi hendak mewakili generasi Melayu sebagai Ketua Pemuda Umno. Beliau tidak mampu bercakap menggunakan lidah Melayu. Saya yakin Hishamuddin juga tidak tahu langsung apa itu akal budi Melayu, apa itu tradisi Melayu, apa itu adat istiadat Melayu dan apa itu maruah Melayu. Jiwanya juga kosong dan tidak ada setitik pun rasa bangga dengan Melayu.

Kalau benih-benih itu ada tersemai pasti dia akan terasa bersalah dengan apa yang berlaku kini. Pasti dia akan memberi respon baik terhadap bantahan ke atas PPSMI. Namun disebabkan beliau tidak memiliki jiwa Melayu, maka terjadilah apa yang sedang bergelora dan menimbulkan masalah kini.

Mengenangkan Hishamudin, saya teringat kepada luahan Ainon Mohd, salah seorang ahlijawatankuasa GMP, katanya anak-anak bangsawan tidak layak menjadi Menteri Pelajaran sebab mereka tidak tahu apa-apa mengenai bahsa Melayu. Mereka juga tidak pernah belajar di tanah air tetapi membesar dan belajar di barat. "Jadi bagaimana mereka boleh jadi menteri Pelajaran,?" soal Ainon ketika GMP ke Parlimen untuk menyerahakan bantahan kepada menteri, ahli Parlimen. Katanya, MSO boleh quote kata-kata saya ini.

Lama sebelum ini pun saya sudah menyebut dan menulis, anak-anak bangsawan tidak layak dan sesuai untuk diangkat menjadi pemimpin. Alasan saya ringkas saja bagaimana mereka hendak memperjuangkan keperihan dan penderitaan rakyat sedangkan mereka sendiri tidak tahu apa itu keperihan, kepedihan dan kemiskinan.

Macam mana mereka hendak memperjuangkan nasib rakyat marhaen sedangkan mereka tidak pernah merasai dan mengecapi penderitaan dan kemiskinan itu. Anak-anak bangasawan seperti Hishamuddin, Najib Razak dan lain-lain membesar dalam istana yang kaki mereka tidak pernah tersepak tahi lembu, tubuh mereka tidak pernah dihinggap lalat dan digigit nyamuk. Mereka tidak pernah berkubang dalam selut. Bahkan tapak kasut merekas juga tidak aus kerena ke mana mereka pergi mereka akan dibawa dengan tandu oleh rakyat.

Jadi macam mana mereka akan arif erti kemiskinan, kesusahan rakyat. Kalau setakat membaca dan mendengar cerita-cerita mengenai penderitaan rakyat, membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan dan lain-lain pengetahuan mereka mengenai kesusahan dan kemiskinan rakyat belum cukup. Seseorang yang tidak merasai sesuatu itu bagaimana mereka hendak bercakap mengenainya?

Benarlah, misalnya isu PPSMI, murid yang menghadapi masalah dengan polisi ini ialah rakyat di luar bandar. Yang tercecer keputusan pelajaran ialah murid miskin. Yang rendah peratus kelulusannya dalam dua mata pelajaran ini rakyat di pedalaman. Ia tidak menjadi masalah kepada murid di bandar, atau golongan bagsawan seperti Hishamuddin Hussein atau anak-anak yang tinggal dibanglow atau istana.

PPSMI bukan saja memberi masalah dalam aspek itu tetapi aspek-aspek lain. Pendeknya ia banyak merugikan daripada menguntungkan.

Justeru para perwakilan Umno hendaklah ingat dan mengerti soal ini. Pilihlah pemimpin yang boleh dipercayai dan tahu akan denyut nadi rakyat. Jangan dipilih berladaskan siapa pandai bercakap, siapa dapat memberi projek tetapi pilihlah yang ada kualiti sebagai pemimpin dan juga beriman. Waktu dan masa anak-anak bangsawan untuk terus mengutip hasil bakul sudah cukup. Mereka sudah kaya raya dan boleh hidup untuk 100 keturunan.

Dan jangan lupa kalangan pemuda kalau nak pilih pemimpin pilihlah anak muda yang berani, berfikiran terbuka dan yang sedia menghadapi apa saja cabaran. Yang tidak takut untuk berhadapan dengan sesiapa saja atas prinsip kebenaran. Mereka yang cuba mencari jalan selamat dengan menutup mulut untuk tidak dilihat buat kesilapan baik dilupakan saja. Pemuda seperti itu pastikan akan mempusakai kelesuan Hishamuddin.

Berbalik kepada persoaalan asal, Hishamuddin tidak perlu dimarahi dalam soal ini. Dia hanya mengikut saja apa yang disuruh olehnya. Dengan kapastiti dirinya sebegitu kita tahu dia hanyalah boy kepada Perdana Menteri sahaja. Apa yang PM suruh dia akan buat tanpa bantahan apa-apa. Di sinilah bahaya kalau orang tidak berapa cerdik, lemah pemikiran, gelap dalam segala-galanya diambil menjadi menteri atas alasan dia adalah anak kepada bekas PM cucu kepada bekas pengasas Umno.

Bagi saya, yang salah di sinilah ialah PM ketika itu yang membuat dasar ini. Mahathir, Mahathirlah yang bersalah dan perlu kena bertanggungjawab. Walaupun beliau telah melepaskan jawatan PM lebih lima tahun beliau kena bertanggungjawab. Kalau Mahathir seorang insan dia harus merasa bersalah atas apa yang berlaku.

Perarakan semalam yang membawa sekeping kertas berupa memorandum untuk diserahkan kepada Yang di-Pertua Agong seharusnya dilihat dengan rasa pilu dan sedih oleh Mahathir. Kalau beliau seorang negarawan beliau perlu merasa bersalah dan harus melakukan sesuatu. Mahathir tidak boleh melepas tangannya begitu saja selepas menembak mati Bahasa Melayu.

Orang yang memunggut jenazah Bahasa Melayu, iaitu Hishamuddin tidak boleh dipersalahnkan. Dia hanya budak suruhan yang martabatnya atas sikit daripada sang 'behuud'!

Apa yang kita nanti kini suara dan komen Mahathir mengenai PPSMI dalam blognya. [wm.kl. 10:30 am 08/03/09]