Thursday, September 10, 2009

Celoteh Murai 51

Munafik Seorang Ahli Politik

SEMALAM Murai menerima SMS dari seorang kawan Murai. SMS itu dikirim oleh seorang ahli politik paling munafik di negara Malaysia ini kepadanya. Dia menguar-uarkan akan tujuannya menerusi SMS itu untuk membantu 12 hero kepala lembu yang semalam didakwa di bawah akta hasutan dan juga kerana mengadakan perhimpunan tidak ada permit.

Bunyi SMS itu ialah; "boleh tak bantu. Peguam2 Melayu Islam secara sukarela menjadi peguam kepada 12 orang yang didakwa berhimpun bantah bina kuil di Shah Alam. ....... (nama persatuannya) sedia jadi penyelaras. Kalau ada yang prihatin (nama pengirimnya)."

Murai tidak tahu kenapa kawan Murai itu menghantar SMS itu kepada Murai. Walhal Murai bukan peguam ataupun lawyer. Murai percaya SMS itu dihantar kepada ratusan peguam Melayu Islam.

Untuk mendapat penjelasan lanjut Murai menghubungi kawan berkenaan tanya pendapatnya mengenai ajakan iu. Katanya, dia tidak sedia untuk jadi barua membela hero kepala lembu itu. Bukan dia tidak prihatin dan bersetuju kepada perjuangan tolol hero kepala lembu itu, tetapi dia benci kepada pengirim SMS berkenaan.

"Kau bayangkan macam mana aku nak bantu. Dia ni pernah pelekehkan peguam Melayu. Pernah dia ucap depan aku dia tidak percaya kepada peguam Melayu sebab kalau bicara kalah, sebab itu dia ambil peguam India," kata kawan Murai itu kesal.

Dapat Murai fikirkan di sini bila sudah terdesak si politik munafik ini sanggup menjual air mukanya dan melupai apa yang diucapkan. Dia fikir kawan Murai yang pernah mendengar kritikan dia itu macam dirinya juga, tidak bermaruah dan berintergriti? Sedia memakan tahi sendiri bila sudah kelaparan.

"Jadi kau tidak akan sedia membantu?" tanya Murai. "Iya aku tidak akan membantu sebab dia yang mempelawanya.." balas kawan Murai.

Moral of the story di sebalik SMS ini ialah, janganlah kita perlekehkan orang sebab satu masa mungkin kita memerlukan bantuan dan khidmatnya. Dan jangan cakap lepas mulut sebab satu hari dia akan memakan diri. Sebelum cakap fikirlah sedalam-dalam sebab bila sudah cakap susah. Kata orang tua cakap siang pandang-pandang cakap malam dengar-dengar. Nak duduk kena berlunjur dulu.

SMS itu juga menjelaskan peranan yang dimainkan oleh persatuan yang diketuai oleh politician munafik berkenaan. Kalau sebelum ini orang hanya mengagak akan penglibatannya tetapi dengan SMS itu yang menjadi barua di sebalik tunjuk perasaan kepala lembu adalah si poliician munafik itu.

Tujuan dia mengambil bahagaian dan beriya membela 12 hero kepala lembu itu bukan apa kerana nak menjual dirinya kononya masih berguna untuk mendapat perhatian orang atasan dalam Umno walhal ianya sudah lama busuk dan sudah tidak berharga lagi. Usahkan orang kalau dilemparkan kepada ayam, ayam sudah tidak patut itik sudah tidak mahu menyudunya lagi.

Murai: Mintalah peguam India yang dikatakan bijak pandai untuk membela si hero kepala lembu itu.

Wednesday, September 9, 2009

Menjelang Fajar Menyinsing

Rakyat Aceh Lebih Toleran

MEMBACA laporan Bernama dari Jakarta beberapa hari lalu timbul sedikit rasa cemas. Menurut laporan itu rakyat Indonesia sedang menyiapkan bambu runcing untuk mengganyang rakyat Malaysia. Kenapa begitu sekali? Dan sejauh manakah kebenaran mengenai hal ini, laporan itu masih bersifat subjektif?

Agensi berita itu memetik atau bersumberkan kepada tiga situasi untuk melaporkan mengenai sikap ekstrem rakyat Indonesia itu.

Pertama, SMS yang dihantar kepada para penuntut Malaysia di Jakarta mengenai ancaman itu, kedua, wujudnya kumpulan menggelarkan diri mereka sebagai Benteng Demorkasi (Bendera), dan ketiga kejadian membaling telor busuk ke rumah pelajar Malaysia di Yogyakarta oleh penunjuk perasaan.

Tindakan ekstrem rakyat Indoensia itu berpunca daripada salah satunya kerana Malaysia dikatakan mencuri satu tarian milik negara itu untuk dijadikan iklan promosi pelancongan di peringkat dunia!

Wah.. hebat rakyat Indonesia. Hanya kerana mencuri sebuah lagu sehingga sanggup membambu runcingkan rakyat sejiran mereka! Kalaulah atas dasar itu betapa rendahnya nilai pemikiran dan semangat setiakwan Indonesia dan Malaysia yang terjalin sejak lama dulu. Masakan dengan hanya mencuri sebuah tarian sampai hilang pedoman mahu membambu runcingkan rakyat Malaysia.

Apakah perangai pemimpin negara itu terdahulu hendak dituruti oleh generasi muda negara berkenaan? Tahun 50-an dulu Indonesia pernah mengganyang Malaysia. Kandatipun saya secara peribadi tidak berfikir seringkas itu sebab musababnya maka rakyat negara ini perlu diganyangkan. Kalaupun ada mana-mana pihak Malaysia mencuri apakah sudah tidak ada penyelesaian ke atasnya, misalnya menuntut ganti rugi dan sebagainya. Kenapa harus bersikap semacam dunia belum tamadun?

Kalau berlaku itu - mahu menggayangkan Malaysia ia adalah kes terpencil di Jakarta saja. Mungkin warga Jakarta saja bersikap ego dan ekstrem begitu tetapi tidak ditempat lain. Justeru adalah tepat kalau Malaysia tidak melayani pandangan dan aksi segelintir manusia yang hilang upaya untuk mempertahankan negaranya dengan cara profesionalisme dan masih berpegang cara kuno itu.

Kenapa saya berpandangan begitu, misalnya di Aceh tidak ada mana-mana rakyatnya menunjuukkan sikap anti Malaysia atas apa yang berlaku itu. Tidak ada tunjuk perasaan ataupun coretan di koran di Aceh yang mempertikikan kesalahan (mencuri) dilakukan warga Malaysia itu. Dan rakyatnya juga yang ditemui tidak pun menyedari akan apa yang rakan mereka di Jakarta itu lakukan.

Apakah kerana Aceh miskin, atau menerima bantuan Malaysia semasa tsunami lima tahun lalu maka mereka tidak ambil kisah dengan kejadian itu? Ataupun kerana Aceh begitu tebal dengan semangat Islam yang memahami mana yang batil dan mana yang hak, maka mereka tidak mudah menjadi iseng seperti golongan yang menggelarkan diri sebagai Bendera itu?

Sepanjang saya berada di Aceh lebih 73 jam dari Jumaat hingga Ahad lalu tidak terdengar cerita kebencian rakyat negara itu kepada rakyat Malaysia. Ternyata persepsi rakyat Aceh kepada Malaysia berbeza dengan rakyat Indonesia di propinsi Jakarta maupun di Medan. Tidak ada sesiapa yang bertanya perihal pergeseran itu atau memperli rakyat Malaysia di bendara (airport) dan di loby hotel.

Sebulan lala saya ke Medan. Rakyat di sana heboh menceritakan dan bertanya perihahal Monahara Odelia Pinot si ratu mereka yang diculik pengeran Kelantan. Di sebatang jalan besar di tengah kota metropolitan Medan disiapkan di pasang dengan satu reklemir siaran tv yang menyiarkan kisah penderitaan Monahara. Isu Monahara juga terbawa sampai ke dalam rumah penduduk di sana.

Alhamduliha bicara dan pemandangan demikian tidak kedapatan di bumi Aceh. Bahkan rakyat Aceh tidak tersedar pun apa yang terjadi itu.

Bolehkah di sini saya menyifatkan rakyat Aceh lebih toleran dalam menerima isu-isu sekecil tarian atau kasus Monahara itu. Dan bolehkah disimpulkan di sini rakyat Aceh yang diasimilasi dan diskriminasi oleh Jakarta itu sebenarnya mempunyai daya tamadun yang tinggi dan nilai pengertian berbeza dengan sekumpulan orang menggelarkan diri mereka sebagai Bendera di pulau Jawa itu?

Sebagai negara berjiran rakyat Indonesia seharusnya toleran terhadap rakyat Malaysia. Ejekan dan persendaan melampau terhadap bentuk kemerdekaan ini dicapai janganlah dilakukan. Saya percaya walaupun dalam kondisi apa kemerdekaan negara ini dicapai, rakyat Malaysia juga ada maruahnya sendiri. Jangan persendakan rakyat negara ini berlebih-lebihan sangat.

Mungkin tidak semua rakyat Malaysia tidak mempunyai jiwa seberani Sukarno. Tetapi kalau Indonesia kerap menjual kata-kata nesta dan mempamirkan perbuatan jahil mungkin ada yang memberanikan diri untuk menyahutnya. Kalau pun mereka tidak beruang (berwang) untuk membelinya mungkin ada yang sedia untuk melihatnya dan menawar dengan harga murah bagi membelinya. [wm.kl 6:25 am 09/09/09]

Tuesday, September 8, 2009

Susupan Malam

Pas Perlu Sahut Kesediaan Najib Untuk Berunding

SEMALAM semasa berbuka puasa dengan penduduk Manik Urai di Kuala Krai, Najib Razak telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.6 juta untuk membina jambatan menghubungkan Manik Urai Baru dengan Manik Urai lama. Sebanyak RM600,000 diperuntukan untuk membesarkan masjid Temalir.

Najib cuba menunjukkan UBN prihatin, mendahului rakyat dengan peruntukan itu. Walaupun kalah dalam pilihan raya kecil Manik Urai katanya, kerana UBN sudah berjanji maka peruntukan diberikan juga. Bersyukurlah rakyat Manik Urai menerima projek berkenaan. Jarang penduduk yang bernasib baik seperti Manik Urai. Alangkah bertuahnya rakyat negara ini kalau pemimpin bersikap seperti mana Najib amalkan itu.

Rupanya ada rahmat dan hikmatnya bila seseorang wakil rakyat di sesuatu kawasan itu meninggal. Projek akan datang bersepah-sepah. Saya yakin kalau bukan kerana kematian dan diadakan pilihan raya kecil, penduduk Manik Urai Baru dan Manik Urai lama masih menggunakan jambatan kecil bagi kemudahan kedua buah kampung itu. Apa yang diumumkan Najib itu itulah nikmat politik demokrasi ala negara ini.

Di samping menemui penduduk dan mengumumkan projek itu Najib juga tiba-tiba mengulangi kesediaannya untuk berunding dengan Pas demi Melayu. Sekali dia menunjukkan keprihatinan untuk bangsa Melayu. Najib tiba-tiba menjadi makin sedar dan insaf kepada nasib bangsa Melayu yang terabai oleh UBN selama ini. Orang ramai juga tahu kenapa Najib tiba-tiba mengambil pendekatan baik kerana Umno tertekan dan semakin hilang keyakinan rakyat.

Tak mengapalah. Itu kebetulan saja. Tetapi apa yang penting kemurahan dan kesedaran Najib itu sepatutnya disambut baik oleh pihak Pas. Apa yang Najib nak bawakan itu adalah untuk kebaikan Melayu juga. Pas khasnya sepatutnya tidak begitu prejudis dengan kenyataan dan nawaitu Najib itu. Sepatutnya Pas juga menguji sejauh mana keikhlasan Najib itu.

Misalnya dalam hal ini Pas jangan lagi mencaci dan mencerca Umno seperti mana yang dikesali oleh Najib itu. Pas boleh uji sejauh mana keikhlasan Najib. Pas hendaknya berhenti attack Umno dan cuba mengambil sikap baru yang kondusif untuk orang Melayu, iaitu sedia beruding dengan Umno demi kepentingan Melayu.

Bukankah pada saat ini Pas sedang berusaha untuk mendapat haknya ke atas royalti minyak apakah tidak boleh bagi Pas mengendurkan sedikit serangan ke atas Umno bagi melihat sejauh mana pengakuan Najib itu. Pas Kelantan harus berfikir kebaikan untuk rakyat negeri itu daripada memikirkan kepentingan ataupun cita-cita politik individu tertentu.

Seharusnya Pas Kelantan mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan-kepentingan lain. Pembangunan yang menjadi satu realiti yang dibuntuhkan oleh rakyat tidak boleh ditolak oleh Pas. Walaupun royalti itu sahih sebagai hak Kelantan tetapi pemimpin politik Kelantan perlu bijak bagaimana untuk mendapatnya. Dan kesempatan yang terbuka kini ialah dengan menerima pelanwaan Najib itu untuk berunding kemudian bagi memperolehi royalti berkenaan.

Dan sekiranya selepas Pas memenuhi permintaan Najib itu, tidak mencerca Umno dan sedia berunding dan hak Kelantan itu tidak juga dipenuhi barulah Pas boleh mengistyharkan perang ke atas Umno. Rasanya tidak salah kalau Pas bersikap tawaduk dalam hal ini. Apa pula sikap demikian tidak sampai merosakkan akiqah. Sikap ego yang melampau dan merasai diri kita yang betul rasanya tidak sesuai diamalkan.

Pas boleh mencubanya dan tidak perlu hanya menanti atau mengharapkan akan terbentuk kerajaan Persekutuan yang baru, barulah Pas Kelantan boleh merasai royalti berkenaan. Dalam konteks ini Pas harus berbagai usahanya untuk kepentingan rakyat.

Apa kata kalau tiba-tiba kerajaan Persekutuan yang diharapkan itu tidak tercapai bermakna Pas akan terlepas peluang yang terbuka. Ingatlah kepada pepatah pendeta Islam kalau tidak dapat semua jangan buangkan semua sekali. Makanya elok kalau pemimpin Kelantan menyahut kenyataan Najib di Manik Urai semalam demi kepentingan rakyat Kelantan dan juga sebagai ujian terakhir buat Najib! [wm.kl. 11:00 pm 08/09/09]

Belesungkawa

Bekas MB Kelantan Kembali Ke Rahmatullah

[ralat] Isteri Mohamed Yaacob namanya Nik Azizah bukan Nik Aziz, maaf. BEKAS Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Mohamed Yaacob (foto) telah kembali ke Rahmatullah hari ini di Pusat Perubatan Pentai (PMC) di Kuala Lumpur. Isterinya Nik Aziz berada di sisinya semasa Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

Beliau dimasukan ke pusat rawatan berkenaan sejak Jumaat lepas.

Allahyarham menjadi MB Kelantan dari tahun 1978 - 1990 apabila UBN berjaya merampas Kelantan pada tahun 1978. Sebelum itu beliau juga pernah menjadi menteri kabinet menjabati Kementerian Pelajaran.

Beliau juga merupakan bekas Yang Dipertuan Dewan Negara. Sepanjang kerjayanya dalam politik Allahyarham dikenali sebagai seorang tokoh politik yang tidak suka kontroversi dan tidak kepada politiking.

Beliau dilahirkan di Plekbang, Tumpat, Kelantan dan menyertai politik dan bertanding buat pertama kali dalam pilihan raya umum 1969 bagi kerusi Parlimen Tanah Merah. Sebelum itu beliau merupakan pegawai kerajaan negeri dan pernah berkhidmat di Johor. [wm.kl. 5:55 pm 08/09/09]

Monday, September 7, 2009

Mencermin Bagan Pinang

Bagan Pinang Penting Buat Pakatan

SUDAH takdir Allah s.w.t. Malaysia terpaksa menghadapi pilihan raya kecil sekali lagi. Barang kali Allah sengaja mahu mentakdirkan demikian kerana ingin memenuhi kamahun manusia politik juga. Semua kena menerima penuh redha takdir Allah ini.

Pembangkang di Kedah begitu mengharapkan diadakan piliahan raya kerusi DUN Kota Siputeh, namun atas kuasa Allah juga SPR mengumumkan tidak ada pilihan raya. Kerusi itu tidak kosong. Maka kecewalah PR Kedah untuk menyaksikan piliahn raya berkenaan yang diharap akan berpihak kepada mereka untuk menambahkan satu lagi kerusi di DUN di negeri jelapang padi itu bagi memperkukuhkan kerajaan mereka.

Namun Allah maha adil, diganti-Nya dengan sebuah kerusi di Negeri Sembilan. Penggantian ini seolah-olah mahu mencabar SPR yang dilihat berusaha untuk mempertahan dan menyelamatkan UBN dengan pelbagai teknik dan tindakan menyolok mata? Ia juga sebagai disengaja mahu menguji sejauh mana kekuatan UBN di zon selatan pula selepas tiga zon lain kekuasan UBN sudah merudum satu demi satu.

Kali ini Allah menjemput Adun Bagan Pinang, Azman Mohd Nor untuk berpulang ke sisi-Nya.
Saya menerima kematian Adun ini semasa di Aceh, ketika sedang meraikan anak-anak yatim piatu dan ibu tunggal mangsa tsunami berbuka puasa. Pengirim budiman maklumat itu ialah sdr Kamal Amir Kamal Hijaz dan isteri juga turut mengirimkan SMS memaklumkan kematian Adun berkenaan.

Pada hemat saya pilihan raya kecil ke sembilan ini sangat penting bagi Pakatan Rakyat terutamanya Pas. Pilihan raya pertama di zon selatan ini memberi peluang kepada Pas menunjukkan belang dan taring mereka sebenarnya. Masa inilah Pas boleh membuktikan sejauh mana slogan Pas for all diterima umum seperti mana dibanggakan itu.

Mungkin juga Allah memilih ini khas untuk menguji Pas. Pada pilihan raya umum lalu Pas kalah dengan 2,333 undi. Calon Pas, Ramli Ismail mendapat 4,097 undi manakala calon UBN, Azman Mohd Nor mendapat 6,430. Kemenangan dengan majoriti yang tinggi itu boleh disifatkan DUN ini adalah kubu UBN.

Komposisi pengundi di DUN ini dikira menarik. Daru jumlah 14,192 pengundi (2008) Melayu menguasai 66%, Cina 10.5%, India 19.9% dan lain-lain 3.5%. Kedudukan ini bakal memberi peluang baik kepada Pas. Sekiranya bukan Melayu terus menolak UBN, sudah pasti Pas akan memberi tentangan sengit kepada UBN kali ini.

Pilihan raya kecil ini adalah perlawanan sebenar antara PR dengan UBN. Pas khususnya tidak boleh merasakan selesa kali ini. Kemenangan Pas dalam tiga pilihan raya lalu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan sangat kerana ketiga kawasan itu bolehlah dianggap sebagai kawasan semulajadi Pas. Manik Urai, Bukit Gantang dan Kuala Terengganu adalah kerusi milik atau pernah menjadi Pas sebelum ini. Jadi perlawanan semasa pilihan raya itu berat sebelah.

Berlainan dengan Bagan Pinang ini. Kawasan ini kawasan UBN. Pilihan raya ini seperti Pas mencari lawan bukan menunggu lawan. Sekiranya Pas dapat mengugatkan kedudukan UBN ia memberi petanda kehebatan Pas sebenarnya. Sama ada Pas dapat mengurangkan majoriti atau menang, ia dikira kemenangan bergaya bagi Pas. Kemenangan Pas nanti memberi isyarat jelas bahawa kedudukan UBN di Negeri Sembilan sudah tidak teguh lagi. Kemenangan itu juga akan menjadi perintis kepada kejatuhan kerajan UBN pada pilihan raya ke-13 kelak.

Pas atau Pakatan memang mempunyai peluang untuk berbuat demikian. Hari ini pun kerajaan UBN di Negeri Sembilan sudah lemah bila mana gagal mendapat dua pertiga di DUN. UBN 21 kerusi manakala Pakatan Rakyat 15. Sekiranya aliran pengundi dalam pilihan raya lalu terus berkembang Bagan Pinang bakal menyaksikan bagaiman UBN akan tertumus.

Makanya Pas perlu menghadapi pilihan raya ini dengan perancangan yang paling smart dan strategis. Seluruh tenaga Pas perlu berpadu. Pedoman dan gerak kerja seasama di Permatang Pasir perlu diamalkan di sini. Perangai buruk di Manik Urai hendak dibuang jauh. Jangan ada mana-mana individu atau puak yang ingin mencari political mileage di sini tetapi carilah kemenangan bersama demi PR.

Ingat kejayaan dalam pilihan raya ini sangat bererti bagi Pas. Ia akan membuktikan benih Pas yang kini sudah ada satu kerusi di DUN itu mula bercambah dan bakal subur di DUN Negeri Sembilan.

Bagaimana pun untuk mencapai itu bukan mudah. Sudah pasti UBN akan berkerja habis-habisan mempertahankan kerusi berkenaan. Bagan Pinang adalah bukan saja perlu dipertahankan UBN kerana kerusi itu hak mereka, tetapi ia juga merupakan maruah kepada parti itu. Demi maruah UBN akan melakukan apa saja. Mungkin sesuatu yang tidak dibuat di lain-lain pilihan raya kecil akan dipraktikkan di sini. Kalah menunjukkan UBN boleh bersiap sedia menggali kubur di negeri berkenaan.

Lantaran itu desas desus UBN akan menurunkan semula tokoh veteran mereka bekas MB, Mohd Isa Samad tidak mustahil. Hanya Mohd Isa sahaja yang dikira dapat menyelamatkan kerusi berkenaan. Sekiranya UBN menyerahkan kepada MB, Mohamad Hassan yang seganding dengan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, ia samalah seperti sengaja mahu menyerahkan kerusi berkenaan kepada Pas.

Dalam hal ini saya merasakan Mohd Isa akan dipertaruhkan untuk membela maruah UBN di kerusi berkenaan. Sekiranya Mohd Isa diturun ia menyukarkan sedikit Pas dan Pakatan Rakyat. Walaupun Mohd Isa sudah terasing dari arus perdana Umno Negeri Sembilan ketika ini tetapi pengaruhnya di Bagan Pinang masih ada. Untuk memastikan kemenangan, UBN tidak akan melihat kepada kesilapan dan dosa-dosa Mohd Isa, tetapi akan mengutamakan kemenangan terlebih dahulu.

Seandainya UBN membelakgn Mohd Isa, awal-awal lagi saya merasakan kerusi itu bakal menjadi milik Pas. Bagan Pinang juga memberi peluang kepada Mohd Isa untuk bangkit kembali dalam jelumun politik Melayu itu.

Selain dari itu keputusan pilihan raya Bagan Pinang ini juga akan memberi jawaban kepada sikap pengundi Melayu di Negeri Sembilan. Apakah mereka yang mengamalkan adat perpatih itu masih kekal dan setia dengan Umno ataupun mereka juga sudah terbuka seperti mana Melayu, Jawa dan Banjar di Perak di Selangor yang sudah menghunuskan pedang dan keris kepada Umno? [wm.kl. 11:20 pm 07/09/09]

Sunday, September 6, 2009

Selepas Tarawih

Aceh: Anak Yatim & Ibu Tunggal

DUA hari saya tidak up date blog ini kerana ke Aceh, petang Jumaat kelmarin. Maaflah kepada penjenguk kerana tidak dibekalkan dengan apa-apa maklumat dan ulasan. Saya percaya ramai yang menanti ulasan ataupun pandangan saya mengenai pilihan kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan yang bakal diadakan ekoran kematian Adunnya, Azman Mohd Noor.

Insya-Allah esok saya akan membuat ulasan mengikut perspektif saya mengenai pilihan raya berkenaan. Bukan soal siapa calon yang akan diturunkan oleh parti-parti bakal bertanding tetapi mengenai signifiken pilihan raya itu nanti. Bagi saya pilihan raya kecil itu adalah paling menarik dan penting berbanding dengan beberapa siri pilihan raya kecil yang lalu.

Tidak elok sebenarnya untuk kita memperkatakan mengenai pilihan raya itu dalam keadaan keluarga atau balu Adun itu masih berdukacita. Tahziah saya ucapkan dan sama-samalah kita sedekahkan al-Fatihah.

Saya ke Aceh saja untuk menikmati suasana Ramadhan di sana. Suasana puasa di Aceh bagi saya sesuatu yang menarik, unik dan istimewa. Ia satu bulan yang istimewa sekali kerana pada bulan inilah terserlahnya Aceh sebagai negeri yang kuat Islam. Walaupun di sana tidak ada majlis sembahyang tarawih di lapangan seperti di Qaryah Ramdhan di Kota Bharu, namun ia tetap menarik dan dan ceria. Julukan Aceh sebagai Serambi Makkah masih terserlah dan keasilainnya jelas kelihatan. Mereka menghayati Ramdhan dengan penuh ukhwah dan kesedarhanaan!

Semua masjid dipenuhi dengan jemaah. Yang hadir pula bukan warga emas yang sudah luruh separuh giginya seperti di kampung-kampung di negara kita, tetapi juga warga muda. Kaum remaja malahan mendominasi sesetengah tempat di Aceh.

Keadan ini bukan saja selepas berlakunya tsunami, 26 Disember 2004, tetapi sejak berkurun dulu. Ada beberapa faktor yang saya nampak kenapa ini berlaku kerana Aceh masih murni dengan nilai-nilai sosialnya. Kekurangan atau ketiadaan tempat-tempat hiburan dan berpeleseran seperti kompleks membeli belah dan sebagainya menyebabkan remaja menjadikan masjid sebagai tempat tumpuan dan bersantai.

Dalam erti kata lain kekurangan itu memberi kebaikan kepada remaja Aceh untuk tidak liar dan mereka begitu hampir dengan surau dan masjid. Kebetulan semalam malam 16 Ramadhan. Di kebanyakan masjid di Aceh mempergiatkan aktivti ibadat bulan Ramdhan dengan menganjurkan tadarus dan juga qiamulail.

Dalam kesempatan kunjungan ke Aceh kelmarin saya sempat meninjau ke sebuah perkampungan yang dilanda tsunami agak dahsyat iaitu di kampung Kahju kira-kira 40 km dari Bandar Aceh dan berbuka puasa dengan anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Sedikit sumbangan wang raya dan juga makanan kueh mueh disediakan oleh Badan Peduli Rakyat (BPR) Kelantan dibawah pimpinan Rushdan Mustapa dari Rantau Panjang dan sebuah syarikat multi lebel disampaikan kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Kampung ini merupakan salah satu kampung yang hampir lumat dilanda tsanumi. Tiga perempat daripada penduduknya seramai 18,000 maut dilanda tsunami. Mereka kini sedang membangunkan semula kampung mereka atas bantuan beberap NGO dari luar negara. Pun begitu rata-rata kehidupan mereka masih lagi jauh dari selesa.

Sementara anak-anak yatim piatu dan ibu tunggal yang datang menerima sumbangan itu ada yang masih belum mempunyai tempat berlindung dan menumpang di rumah-rumah jiran atau sanak saudara lain. Keperihatinan dari semua sangat diperlukan untuk membantu kehidupan mereka. Paling mendesak ialah kepada ibu tunggal yang antaranya mempunyai anak antara tiga hingga tujuh orang. Mereka ini sangat memerlukan pembelaan! [wk.kl 10:30 pm 06/09/09]

Thursday, September 3, 2009

Tapak Sejarah Patani

Betulkah Masjid Krisek Tidak Siap?

BILA sebut Patani teringatlah kepada masjid Krisek. Bagi pelancong yang menjenguk bumi bekas empayar Islam Patani Daerusalam itu tidak akan sah kalau tidak menziarahi masjid Krisek yang terletak di kampung Tanjung, mukim Laloh. Masjid berusia lebih 450 tahun ini adalah antara masjid tertua di Patani. Selepas masjid Teluk Manok, masjid Dato’ masjid Kriseklah yang menjadi sebutan dan tumpuan para pelancong.
Kelebihan ataupun keterkenalan masjid ini ialah kerana seni binanya yang unit. Bangunannya seperti bangunan lama dan klasik. Batu bata diikat tanpa disimenkan. Ini menyebabkan ia kelihatan seperti seni bina Yunani kuno yang belum siap sempurna. Lantaran keadaan itu maka timbul berbagai misteri dan tahyul di sebalik keadaannya yang ‘tidak siap’ itu.

Paling disebut ialah kononya ianya disumpah oleh Lim Tau Kian iaini adik kepada Lim Toh Kian, iaitu pedagang Cina yang membina masjid berkenaan. Kononnya Tau Kian menyumpah masjid yang dibina oleh abangnya itu tidak akan siap selamanya.

Ketika saya mengunjungi Patani baru-baru dan singgah di masjid itu, seorang bekas guru Che Husin Che Mat, 81 sedang menceritakan kisah itu kepada rombongan pelawat dari Satun, Thailand.

Apa yang sempat didengari, katanya, Tau Kian bertindak menyumpah begitu kerana kecewa dengan sikap abangnya yang enggan pulang semula ke Cina. Adiknya itu datang untuk membawa abangnya pulang kerana emak mereka sedang sakit tenat. Tetapi Lim Toh Kian tidak mahu pulang dan terus mahu tinggal di Krisek itu bersama isterinya yang dikatakan seorang anak raja – Raja Biru.

Gara-gara kecewa dengan sikap abangnya itu, tutur Che Husin, Tau Kian bertindak menggantungkan diri di sebatang pokok ketereh berdekatan dengan masjid berkenaan. Tempat Tau Kian menggantungkan diri itu dibina kuil Buddha dikenali dengan nama kuil Tok Pekong Mek. Kuil ini juga menjadi kunjungan penganut agama Buddha.

Sejauh manakah kebenaran cerita berkenaan? Bagi Che Husin sendiri dia hanya menceritakan apa yang didengarinya namun tidak sama sekali mempercayai akan hakikatnya. “Kenapa hendak percaya, takkanlah begitu. Tau Kian bukan malaikat atau nabi. Dia seorang manusia biasa saja. Kalau dia sumpah pun tidak akan menjadi,” jelas Che Husin menolak tahyul dan kepercayaan cerita yang ditutur sejak berzaman itu.

Dalam hal ini saya mempunyai andaian sendiri kenapa masjid itu dibiarkan dalam keadaan yang ‘belum siap’ itu. Sebenarnya ianya sudah pun siap, cuma bentuk senibina itu menggambarkan demikian. Atau pun ianya disengajakan bagi mengekalkan keaslian masjid berkenaan untuk menarik perhatian pelancong.

Selain dari cerita tahyul itu kenapa masjid Krisek yang juga dikenali dengan masjid Pintu Gerbang, kerana bahagian depannya persis pintu gerbang, ialah kerana tragedi berdarah yang pernah berlaku di dalam masjid berkenaan. Pada 28 April 2004 satu tragedi berdarah terjadi di mana sekumpulan jemaah yang sedang mendirikan solat dan berzikir di dalam masjid itu di tembak hidup-hidup oleh tentera Thai.

Akibat itu menyebabkan 32 orang terbunuh dan syahid dalam masjid itu manakala puluhan yang lain cedera. Ada juga yang ditangkap dan dikurung hingga ke hari ini.

Peristiwa itu sungguh menyayatkan hati umat Islam. Peristiwa itu juga mengejutkan umat Islam bukan saja di Thailand tetapi di seluruh dunia. Ia dianggap sebagai satu ikon kezaliman tentera Thai terhadap orang Islam! Lantaran tragedi yang dianggap sadis dan kejam itu juga dalam sekelip mata saja masjid itu dikenali di seluruh dunia.

Menurut kata Che Husin yang sentiasa berada di masjid berkenaan setiap hari hari masjid itu dikunjungi oleh penziarah. Katanya ada-ada saja pengunjung yang masuk bersembahyang atau melihat-lihatnya. Beliau yang juga merupakan ahli jawatankuasa masjid berkenaan bertanggungjawab menjaga kelestariannya bersedia bila-bila masa untuk mengisahkan masjid berkenaan kepada setiap pengunjung yang mampir di masjid penuh bersejarah dan menjadi ikon kehebatan Islam di Patani itu.

Selain daripada misteri dan keunitkan itu menurut Che Husin masjid itu pernah disinggahi oleh Hang Tuah iaini pahlawan terbilang Melaka. [wm.kl 4:45 pm 03/09/09]

Menanti Kapal Selam

Harga Kapal Selam RM3.4 Billion, Berapa Pula Komisyennya?

SELEPAS 52 tahun merdeka hari ini negara Malaysia akan mempunyai kapal selam pertama. Kapal selam yang dinamaka KD Tunku Abdul Rahman itu akan tiba di Pelabuhan Kelang pagi ini. Kerajaan berbangga atas pembelian itu. Maka diwar-warkan kepada seluruh rakyat mengenai pencapaian negara itu. Rakyat dikerah melihat kapal selam berkenaan beramai-ramai.

Memang selaku rakyat kita berbangga kerana negara mempunyai kelengkapan perang. Alat pertahanan penting bagi sesebuah negara berdaulat seperti Malaysia. Nasib baik kita tidak diserang dalam tempoh 52 tahun lalu. Kalau negara diserang sudah tentu kita kalah kerana kelengkapan seperti kapal selam itu belum ada.

Ketibaan kapal selam jenis Scorpene itu akan dibuat liputan secara langsung menerusi rancangan Hello Malaysia di RTM mulai jam 7:50 pagi. Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Ketua AKM akan menyambut ketibaan kapal selam berkenaan. Mereka akan mencucur air mawar dan menepung tawarkan kapal berkenaan.

Harganya ialah RM3.4 billion. Kapal ini dibeli atau mula dibina pada tahun 2000. Ia buat bersama oleh syarikat DCNS Peranchis dengan Navatia Sepanyol yang memang pakar dalam pembuatan kapal selam. Kapal ini dibanggai kerana berkeupayaan dapat mengawal perairan, dapat menyelam sejauh 100 hingga 200 meter.

Ia juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan modern dan kelengkapan perang enam tiup peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak. Peluru berpandu ini anti kapal permukaan dan terpedo antikapal selam.

Ianya berkuasa diesel dan elektrik dengan kelajuan 20 knot nautika itu berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 periuk api, manakala pengisian peluru berpandu menggunakan sistem automatik sepenuhnya. Wou...!!!

Mungkin bagi sesetengah orang segala penghuraian itu tidak penting. Apa yang rakyat ingin ketahui ialah siapakah atau syarikat manakah yang bernasib baik menjadi konsultan pembelian kapal berkenaan. Berapakah pula komisyen dibayar kepada konsultan berkenaan. Dan berapa banyak pula yang saguhati diberikan kepada orang politik? Ini rasanya lebih penting dan ditunggu-tunggu oleh rakyat jelata daripada mendedahkan segala keupayaan itu.

Hendakanya bermurah hatilah Menteri Pertahanan atau Perdana Menteri mendedahkan butiran pembelian ini secara terperinci dan nilai komisyen kepada konsultannya. Kita bimbang manalah taku nasib kapal selem ini menjadi seperti peralatan-peralatan lain yang dibeli dari luar negera, belum apa-apa tidak sampai setahun pakai sudah rosak.

Bukan apa ianya diimbangi takut jadi seperti pembinaan stadium Sultan Mizan di Terengganu itu belum sampai setahun sudah runtuh menyembah bumi. Ataupun juga bimbang akan berlaku seperti MMR2 yang di mana tiangnya sering retak dan memerlukan pembaikian. Jangan pula kapal selam ini bocor bahaya, nanti karam mati tentera kita!

Jelaslah juga siapakah yang mengawal pembinaan kapal selam berkenaan. Rasanya maklumat ini lebih penting dan ditunggu oleh rakyat. Sebagai perdana menteri yang menguar-uarkan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, elok kalau butiran ini disebut sama semasa siaran langsung mengenai ketibaannya kelak. Apakah jumlah komisyen pembelian kapal selam ini mencecah RM500 juta seperti mana disebut-sebut pembangkang sebelum ini? Dan apakah ianya ada kena mengena dengan orang bernama Abdul Razak Baginda? Mohon mencadang! [wm.kl 6:25 am 03/09/09]

Wednesday, September 2, 2009

Analisa Peristiwa

Beranikah Pakatan Rakyat Bakar Mahkamah?

HARI ini negeri Perak kecoh lagi. Wakil rakyat Pakatan Rakyat yang kehilangan negeri kerana dirampas oleh UBN telah cuba memasuki Dewan Undangan Negeri untuk mengadakan persidangan. Bagaimana pun mereka dihalang oleh polis dan FRU yang sudah bersiap sedia sejak dari pagi. Ada beberapa orang wakil rakyat Pakatan sudah ditahan polis.

Rupa-rupanya bukan mudah untuk menenangkan politik di Perak yang sudah berlarutan lapan bulan. Pihak yang tidak berpuas hati terus melakukan aksi asakan dengan berbagai cara. Kuat sungguh Pakatan Rakyat! Mereka juga tidak kering idea bagaimana hendak mengasak kerajaan yang ada kini yang disifatkan sebagai haram.

Kenapa mereka menjadi kuat, kerana mendapat sokongan rakyat! Kalau rakyat tidak bersama mereka, tidak mungkin wakil rakyat dapat melakukan asakan dan protes berpanjangan. Hanya dengan mempunyai ahli seramai 21 orang tidak mungkin mereka dapat mengugat kerajaan Perak dan menimbulkan ketegangan demi ketegangan. Begitukah? Benarkah rakyat mendokong mereka?

Niat mereka hendak bersidang bagaimana pun tidak pernah terhalang. Speaker S Sivakumar telah mengadakan persidangan di sebuah hotel. Kali ini mereka tidak bersidang di bawah pokok lagi (mungkin kerana panas dan bimbang hujan) maka dibuat di hotel. Bagaimanapun persidangan itu sekejap saja kemudian ditangguhkan atas permintaan bekas MB Perak, Mohamad Nizar Jamaluudin.

Bila mengenangkan politik Perak timbul pertanyaan bilakah ianya akan berakhir. Ataupun ia tidak akan berakhir dan menjadi pesta politik sepanjang tahun selagi Dewan Undangan Negeri tidak dibubarkan. Kita percaya selepas ini akan ada aksi potes lain pula. Molek juga kalau kementerian pelancongan memasukkan politik Perak sebagai pesta untuk tarik pelancong.

Polis juga tidak larat untuk menangkap dan menahan mereka lagi. Kalau semua mereka ditahan dan dikurung mungkin wakil rakyat itu akan bersidang dalam tahanan polis. Bagi mereka yang tetap meyakini masih memimpin kerajaan boleh bersidang di mana-mana saja tempat yang mereka suka. Kalau bersidang dalam penjara mereka lagi hebat.

Tindakan wakil rakyat itu tidak boleh dikatakan tidak siuman, sebab mereka ramai. Kalau setakat Sivakumar atau Nizar Jamaluddin saja mungkin boleh dikatakan gila. Tetapi kalau 21 tidak mungkin mereka gila. Yang pentingnya tindakan mereka itu ada yang sokong. Anwar Ibrahim dalam kenyataan akhbarnya hari ini mengatakan tindakan Sivakumar memanggil sidang dewan itu sah! Alasannya kerana Sivakumar dilantik oleh Dewan dan bukan dari lantai Dewan seperti Ganesan, speaker DUN sekarang.

Saya tidak mahu persoal apa-apa di sini. Cuma nak tanya dan nak soal wakil rakyat Pakatan Rakyat berkenaan. Kalau tindakan mereka sah, buatlah apa yang mereka suka. Kalau panggil sidang pun sah, mesyuarat bawah pokok, dalam hotel atau dalam jamban pun sah, apa susah-susah nak cari Dewan lagi. Bersidang sahaja. Tak payah rempuh nak masuk ke DUN.

Buatlah keputusan dalam persidangan itu. Tetapi apakah ada makna segala keputusan itu kalau ianya tidak dapat dilaksanakan? Tidak ada guna juga. Jadi persidangan itu tidak membawa apa-apa pengertian selain daripada kerja orang yang tidak ada kerja saja.

Dan sekiranya sidang DUN yang ada sekarang ini tidak sah dan tidak diikhtiraf kenapa mereka hadir? Saya harap selepas ini kesemua wakil rakyat tidak hadir bila sidang DUN diadakan. Kita mahu tengok apakah selepas mereka tidak hadir dua kali berturut-turut kedudukan mereka sebagai Adun terlucut ataupun tidak.

Di sini pada saya jalan sebaiknya ialah tunggulah dewan dibubarkan dan bertandinglah dalam pilihan raya nanti. Tidak payahlah membuat berbagai asakan yang semuanya itu menyusah dan menyerabutkan rakyat saja. Jadilah wakil rakyat yang gentlemen.

Bukankah kerajaan yang ada kini adalah sah mengikut keputusan mahkamah? Zambry Kadir duduk disitu atas kehendak mahkamah dan perkenan sultan. Sekiranya Pakatan merasakan mahkamah tidak adil dan sudah mengkhianti mereka, bakar sahajalah mahkamah, apa tunggu lagi.

Beranikah Pakatan Rakyat hendak bakar mahkamah?

Dalam memerhati telatah tindak tanduk Pakatan di Perak ini saya bimbang takut rakyat jadi muak. Bila rakyat sudah muak menyebabkan rakyat akan hilang sokongan. Makanya kalau nak buat tindakan politik, gimik politik pun berpadan patutlah. Tegasnya kalau rakyat benar-benar menyokong kita sudah tentu rakyat ikut sama menumbangkan kerajaan Zambry kini? Soalnya kenapa rakyat Perak diam dan hanya sebahagian saja yang menyokong! [wm. kl 3:20 pm 02/09/09]

Tuesday, September 1, 2009

Berita Senja

Tiada Pilihan Raya Kecil Di DUN Kota Seputih

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat keputusan kerusi DUN Kota Seputih, Kedah tidak kosong dan Adunya Abu Hassan Sarif masih kekal menduduki kerusi berkenaan. Keputusan SPR ini sudah dijangkan.

Keputusan itu mencabar undang-undang negeri Kedah yang memperuntukkan mana-mana Adun yang tidak hadir sidang Dewan akan gugur sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Kedah.

Keputusan SPR ini sama dengan apa yang berlaku di Perak tidak lama dulu bila mana surat Speaker DUN Perak memaklumkan dua kerusi kosong tidak dilayan oleh SPR.

Keputusan SPR itu sudah tentu akan mengudang polemik perundangan. Apakah speaker akan membawa kes itu ke mahkamah atau menerimanya keputusan SPR itu masih menjadi tanda tanya.

Yang pastinya keputusan SPR itu menyebabkan tanggapan SPR berpihak kepada UBN selama ini akan menjadi lebih sahih lagi. Kerusi DUN berkenaan adalah dari UBN. [wm.kl. 5:40 pm 01/09/09]