Saturday, October 8, 2011

Susupan Pagi

Mengapa DO Tidak Tinggal Di Kuarters?

MALAM tadi seorang kawan telah menelefon saya dan menyatakan sedikit perasaa kesalnya terhadap seorang Pegawai Jajahan (DO) di Kelantan yang dikatakan tidak mendiami rumah (kauters) yang disediakan oleh kerajaan. Menurutnya Pegawai Jajahan (DO) itu berulang alik dari tempat kerjanya ke Kota Bharu, setiap hari.

Pegawai Jajahan itu langsung tidak tinggal kediaman rasmi yang disediakan untuknya itu. Kata kawan itu lagi hal ini sudah berlaku selama dua tahun. Rumah kediaman itu terletak dekat dengan Pejabat Jajahan, di mana pejabat pegawai itu.

Persoalan yang ditimbulkan kawan itu, kenapa pegawai itu tidak tinggal di rumah kediaman rasmi itu. Kenapa harus berulang alik dari rumahnya di Kota Bharu dengan tempat kerjanya yang jaraknya sekitar 30km. Bukankan itu satu pembaziran! Kata kawan itu kenderaan yang digunakan itu adalah kenderaan rasmi kerajaan. Tentu minyak dan segala macam perbelanjaan ke atas kenderaan itu dibayar oleh kerajaan.

Iya juga. Kalau dia guna kenderaan sendiri dan minyak sendiri mungkin tidak berbangkit walauipun cara itu tidak kondusif sebagai seorang pegawai kerajaan yang juga selaku pemimpin setempat yang dituntut untuk bersama rakyat sepanjang masa.

Cara itu tidak berhemah dan merugikan wang rakyat. Betul juga. Kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk menyiapkan kediaman rasmi, alih-alih tidak diduduki. Sikap sebegini harus diubah dan pegawai berkenaan dan pegawai lain yang berkelakuan begitu kena perbetulkan kesilapan ini.

Saya bertanya kepada kawan itu apakah tidak ada yang menegur perbuatan DO itu? Katanya tidak ada siapa yang berani. Alasan diberikan mudah saja kerana pegawai itu baik dengan Sultan Muhammad Ke V. Oh..jadi orang takut hendak tegur. Terkejut saya bila dengan alsan itu. Apakah bila seseorang itu baik dengan Sultan kalau dia buat sesuatu yang tidak betul dan salah adat maka ia tidak boleh ditegur? Sultan tidak pernah melindungi orang salah.

Itu bukan pendirian dan sikap sebenar. Baik dengan Sultan atau PM atau MB bukan alasan untuk kita membiarkan sesuatu perkara yang tidak betul dan merugikan wang rakyat. Sikap takut atau hormat tidak bertempat tidak benar dalam sisi Islam. Pegawai berkenaan juga tidak boleh menjadikan Sultan sebagai tiang untuk melindungi perbuatan yang tidak baik.

Tegurlah. Saya rasa Sultan Mohammad Ke V yang sangat prihatin kepada rakyat tidak akan marah dan kecil hati. Malahan saya rasa Sultan tidak pun tahu bahawa ada orang yang baik dengan baginda melakukan kerja pembaziran, tidak menggunakan kemudahan disediakan.

Mula-mula maklumkan hal itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri. Kalau SUK membisu tulis surat kepada pihak istana. Kalau istana tidak layan, biasanya pejabat Sultan tidak semua memberi surat dihantar ke pengetahuan Sultan, maka dedah dalam media. Bagi tahu kepada orang surat khabar biar mereka tulis lepas itu kita tenguk bagaimana tindakan Setiausaha Kerajaan Kelantan dan juga pihak Sultan sendiri.

Mudah-mudahan dengan tersiarnya catatan kecil ini DO berkenaan tidak akan berulang alik lagi dan tingal di kediaman disediakan. Atau kalau kediaman itu berhantu suruh roboh bina semula. Tetapi cara itu bukan praktikal, cara terbaik tukar DO berkenaan berkerja di pejabat berhampiran dengan rumah barunya itu di Kota Bharu. Dan kalau DO itu sudah tidak betah lagi bekerja berhenti saja sebab masih ada kira-kira 30,000 penganggur di Kelantan yang layak mengisi jawatan itu. [wm.kl.10:59 am 08/10/11]

Bersama Mentari Pagi

Keganasan Di Tempat Ceramah
Polis Kena Bertindak Tegas

SEBAIK menjenguk wall Facebook pagi ini perasaan saya berberai apabila melihat sekeping gambar seorang lelaki yang pipi kirinya berlumuran darah. Gambar itu ditagkan di wall Fb saya. Perasaan berbaur di antara geram, sedih dan kesal dengan apa yang berlaku. Seperti mana dicatatkan pada foto itu lelaki malang itu adalah anggota Unit Amal (UA) yang menjadi mangsa keganasan di tempat ceramah di Labis Johor.

Cerita lanjut tidak diseratkan. Siapa nama anggota UA tersebut juga tidak disebutkan. Ia dapat disahkan sebagai anggota UA kerana melihat kepada uniformnya. Apakah kejadian itu sudah ke pengetahuan polis juga tidak dinyatakan.

Tetapi cukup melihat kepada darah yang bersebal di pipinya, apa yang berlaku itu sesuatu yang serius dan perlu ditangkiskan dengan segera. Ia bukan persendaan politik. Kalau dibiarkan tidak mustahil kejadian itu akan melarat dan memberi kesan buruk kepada politik negara sehingga membawa kepada perang sabil.

Sekeping gambar lain pula menunjukkan lokasi tempat kejadian itu. Ia disebuah ceramah parti politik. Biasanya kalau melibatkan kehadiran UA ia tentulah ceramah Pas atau Pakatan Rakyat. Selalunya UA dikerah untuk memberi kebajikan menjaga lalu lintas di tempat ceramah supaya tidak menganggu hak orang lain.

Tindakan UA sebelum ini di mana-mana saja mendapat pujian. Kecekapan dan keberkesanannya mengawal lalu lintas dan menguruskan sesuatu lokasi ceramah lebih berkesan daripada polis. Kesanggupan anggotanya berhujan dan berpanas juga dikagumi. Satu segi UA ialah unit kebajikan bagi meringankan tugas anggota polis dan keselamatan lain.

Justeru bila berlaku kejadian seperti itu terhadap anggota UA ia sesuatu yang sangat dikesali. Tidak sepatutnya anggota kepada sebuah badan kebajikan diberi hadiah seburuk itu. Kalau perkara itu berlaku kepada polis sudah pasti seluruh negara heboh. Si pelaku yang laknat itu akan dikutuk sekeras-kerasnya. Tidak mustahil juga ia akan dibincang dalam sidang perlimen yang bersidang ketika ini.

Di samping merasakan sedih dan kesal serta simpati kepada anggota UA, di sini saya ingin mengatakan sudah sampai masanya pihak polis memperketatkan kawalan di lokasi ceramah terutamanya di kawasan atau negeri yang panas. Dalam keadaan UBN kini terdesak atau sering terimbas dengan liang lahad kematian apa saja akan berlaku. Mereka akan melakukan apa saja untuk mempertahkan maruah dan kekuasan. Makanya kawalan ketat bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berborak dan meluas sangat diperlukan.

Polis kena pastikan kejadian itu jangan berulang lagi. Sebelum ini keajdian sama berlaku di Negeri Seremban apabila sekumpulan lelaki liar yang entah keluar dari hutan mana cuba menganggu ceramah Mohamad Sabu. Kalau diperhatikan kejadian itu di dua buah negeri yang mana UBN dalam keadaan terdesak. Dari sini polis sepatutnya sudah dapat membuat plan pintas bagi mengelak lebih banyak kejadian buruk.

Kewujudan kumpulan liar akhir-akhir ini semakin menjadi. Politik liar, rakus dan ala semaseng yang wujud di tahun 60-an dulu kini muncul kembali. Seolah-olah baka-baka kejahatan yang ditinggalkan nampaknya terus hidup dan belum mati semuanya. Peralihan dan anjakan paradigma dan transformasi politik yang dilaungkan perdana menteri tidak mudah untuk mematikan baka jahat ini.

Apakah baka atau gerne yang ada dalam tubuh penjahat, pelontar telor busuk, pembakar jambatan di hari mengundi, pembunuh, pemfitnah, pengacau ceramah pembangkang pada tahun 60-an itu sama keras dan kuat dengan gerne atau baka kuman yang ada dalam tubuh babi yang walaupun direbus dengan kepanasan 100o celcius tidak mampus? Apakah mereka yang rakus dan liar itu bersanadkan kepada keturunan itu?

Saya sendiri menyaksikan akan gelagat politik hutan rimba dilakukan manusia yang liar ini. Semasa Pas mengadakan ceramah di Felda Tenang, Johor sewaktu pilihan raya kecil sekumpulan anak mudah menunjukkan dari arah pos UBN belangnya melaung dan mengejek penceramah Pas tanpa segan silu. Perangai mereka lebih teruk dari beruk putus tali dan kelaparan telor.

Sepatah penceramah Pas kata dua patah dibalasnya dengan kata-kata kesat dan kotor sekaligus menggambarkan sejauh mana IQ mereka. Malu saya sebagai orang Melayu mendengar cacian dan pekikan pemuda yang sah Melayu itu. Lebih malu apabila ia berlaku di Johor negeri yang dibanggakan sebagai negeri yang terkenal dengan jiwa Melayu yang kental dan hebat.

Politik rakus dan liar sebegitu pernah berlaku di Kelantan, Kedah dan Terengganu pada tahun-tahun 60-an dulu. Bukan saja kejadian melontar telor dan kata-kata busuk tetapi pukul memukul sampai patah kaki dan lebam muka biasa saja. Ia berlaku hampir setiap malam. Bahkan pembunuhan kerana dendam politik pun berlaku di Kelantan. Seorang sepupu saya (kini arwah) pernah dibaham dengan cak --- cangkul sampai pecah dahi.

Alhamdulilah hari ini keadaan itu sudah tidak wujud atau jarang berlaku lagi di negeri-negeri berkenaan khasnya di Kelantan. Tidak kedengaran lagi penceramah Pas dilontar telor tembelar atau dipukul. Kalau pun ada hanyalah setakat maki hamun oleh seorang manusia saja yang berasal dari species terbiar dan terpinggir.

Kejernihan politik ini ketara sejak Tok Guruku Nik Aziz memerintah Kelantan sejak 20 tahun lalu. Kejadian buruk, politik samseng sudah tidak ada lagi. Salah satu kecemerlangan Nik Aziz ialah mendidik jiwa orang politik Kelantan menjadi gentlemen dan tidak rakus dan liar. Syakisiah dan pembawaan dirinya telah menzahirkan suasana demikian. Dalam kata mudah Nik Aziz berjaya dalam menterbiah orang Kelantan supaya berpolitik secara berakhlak, kecuali ke atas seorang manusia nyang sudah tidak boleh diperlakukan apa saja lagi kerana semua skrunya sudah lus.

Berbalik kepada peristiwa berdarah di Labis tadi, sekali lagi saya ingin sarankan terutamanya kepada pihak polis. Apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan itu jangan dipandang remeh dan sebagai yang terpencil. Polis kena memantau hal ini bagi memastikan ia tidak akan berulang. Khabar mengatakan sudah ada plan untuk menjadikan pilihan raya umum ke 13 ini sebagai terburuk perlu disiasat segera dan polis perlu mengesaninya. Adalah malang sekali kalau polis turut bersubahat dengan kejadian seumpama itu dengan cara mendiamkan saja apa yang dilihat dan dilaporkan.

Polis mesti berpandangan jauh dan sedia dengan plan mengatasinya. Saya yakin dan percaya kalau polis tegas dan kompeten di dalam hal keselamatan kejadian-kejadian liar dan rakus sampai ada yang cedera itu tidak akan berlaku. Walau siapa pun yang melakukannya tanggungjawab dan bebeban atas apa yang berlaku itu akhirnya akan terpikul oleh polis juga.

Kepada pemain politik dan orang suruhan (samseng) juga cukuplah. Janganlah cuba memberi gambaran buruk kepada dunia luar tentang apa yang berlaku di negara ini. Keburukan itu mungkin boleh mencapai nawaitu jahat, tetapi perlu ingat keburukan itu akan menyebabkan semua rakyat negara ini akan dicapkan sebagai huduh dan kehuduhan itu memberi kesan kepada negara ini. [wm.kl.9:11 am 08/10/11]

Friday, October 7, 2011

Ulasan Dan Analisa Bajet 2012

Bajet 2012 Realistik Dari Najib

KIRA-KIRA jam 4:14 minit petang tadi Najib Razak muncul di parlimen dengan mengenakan baju merah hati untuk membentangkan bajet 2012. Kemunculan beliau yang berbaju sedondong dengan timbalannya Udin anak Yassin mungkin tidak begitu menjadi tumpuan dan renungan. Apa yang yang ditunggu-tunggukan orang ramai apakah bonos ataupun insentif-insentif baru yang bakal diumumkan Najib.

Pada saya kemunculan Najib yang berbaju sedondong merah hati dengan Udin anak Yassin itu membawa mesej tersendiri. Ia ada makna tersirat yang hendak disampaikan kepada umum. Ia mungkin untuk menunjukkan mereka serasi dan sejiwa. Mempunyai naluri dan keinginan yang sama. Lebih jauh untuk menunjukkan mereka adalah pasangan yang ideal.

Secara tidak langsung kalau mesej itu difahami ia akan menolak persepsi buruk terhadap mereka; kononnya mereka bermasalah. Udin anak Yassin mula berjalan kengkang dan tidak sehaluan dengan Najib akhir-akhir ini. Dia ke hilir Najib ke hulu. Ada beberapa polisi yang diumumkan atau pendekatan drastik Najib dalam politik kurang disenangi oleh Udin anak Yassin.

Pengenalan slogan 1 Malaysia oleh Najib adalah cerita awal menunjukkan Udin anak Yassin tidak berapa suka. Udin tidak setuju pendekatan liberlisme Najib yang dianggap mrenjejaskan kedudukan orang Melayu. Udin pula lebih obes kepada keMelayuan. Lama juga Udin anak Yassin belajar untuk menyematkan lencana 1 Malaysia di bajunya bagi menyesuaikan konsep, prinsip dan pendekatan dengan kehendak Najib.

Begitu juga pemansuhan akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), khabarnya Udin anak Yassin tidak begitu gembira. Pemansuhan itu bukan saja tidak dirunding dengannya tetapi dimaklumkan pun tidak. Najib telah membuat 'becara' sepenuhnya dengan sepupunya Hishamuddin Hussein.

Bak kata orang kalau hati sudah tidak sehaluan, destinasi berbeza, betapa diusahakan untuk menampakkan mereka secocok, secara halusnya ia akan tersilau juga dek mata musuh. Dengan pengenaan baju sedondong yang katanya sudah dirancang awal-awal itu menjelaskan bahawa Najib dan Udin ada problem. Ada kudis yang sudah tumbuh di salah sudut hati di antara mereka yang bakal menjadi barah.

Saya percaya bila saya membuka rahsia ini dan mendedahkan mereka ada masalah, Najib dan Udin tidak akan lagi mengenakan pakaian sedondong selepas ini. Atau mereka tidak lagi akan mengambil apa-apa eksesori sama bagi mengelakkan mereka disuluh sebagai mempunyai masalah. Kebiasaanya dalam kehidupan manusia kalau mereka ada masalah mereka akan cuba bersandiwara agar ia tidak terkesan oleh umum.

Maka Najib dengan pakaian merah hati itu membentangkan bajet tahun depan selama hampir dua jam. Peruntukan sebanyak RM232.8 billion diecer dan diperincikan satu persatu. Dari jumlah itu sebanyak RM181.6 untuk perbelanjaan mengurus, dan sebanyak RM51.2 untuk perbelanjaan pembangunan.

Daripada RM181.6 billion pula diperuntukan untuk emolumen, sebanyak RM52 billion, dan RM30.5 untuk perkhidmatan dan pembekalan. Manakala RM9.5 diuntukan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap.

Manakala RM1.1 billion untuk pembelian aset dan baki sebanyak RM1.5 untuk pembelanjaan lain.
Untuk pembangunan pula sebanyak RM29 billion untuk sektor ekonomi bagi menampung infrastruktur pertanian luar bandar.

Berbagai insentif dan kemudahan untuk rakyat yang mencakupi semua golongan diumumkan. Berbagai-bagai pemberian bantuan secara one-off. Jumlahnya berpuluh-puluh juta. Meleleh air liur rakyat mendengarnya. Rakyat yang mendengar pengumuman itu ada yang gembira dan seronok. Ulasan di tv pula penuh retorik, tidak ada cerita lain melainkan cerita kerajaan prihatin dan mendahului keinginan rakyat. Ini menyebabkan rakyat terlupa bahawa bukan semua angka-angka yang disebut itu sampai keribaan mereka dengan sejahtra.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada Najib dalam pembentangan bajet kali ini. Pertama kerana beliau tidak banyak mengkritik dan menyindir pembangkang. Najib berjaya menjadi seorang perdana menteri untuk semua rakyat. Beliau tidak begitu sentimen dan emosional dengan pembangkang. Sepanjang ucapannya mesra dan ceria.

Apa ditunjukkan Najib adalah satu sifat ahli politik yang profesional. Najib tidak mengambil peluang dalam tempoh itu untuk merendah-rendah keupayaan Pakatan Rakyat dan mengkritik bajet angan-angan Anwar Ibrahim. Tidak seperti mana Dr Mahathir yang mengatakan bajet Pakatan, bajet poket kosong. Nampaknya Najib kali ini jauh lebih cerdik dan kurang 'bengong' campur nyanyuk berbanding dengan Mahathir Mohamad.

Kalau Mahathir tidak bengong dia tidak akan kata bajet Pakatan bajet poket kosong. Sebagai pembangkang bukan parti memerintah, tentulah Anwar Ibrahim hanya boleh berangan-angan tidak seperti Najib. Tetapi angan-angan itu adalah satu keazaman dan akan menjadi realiti kalau Pakatan sudah menjadi kerajaan.

Kedua saya ingin memuji Najib kerana dalam bajet kali ini tiada peruntukan khas untuk isterinya. Maksudnya untuk program Permata Negara. Najib sedar bahawa tindakannya memberi peruntukan khas kepada Rosmah sebelum ini mendapat kritikan ramai. Apakah beliau telah memberi cara lain kepada Rosmah, walahu'alam?

Ternyata banyak juga perkara dan sudut yang memberi kegembiraan kepada rakyat yang Najib sifatkan bajet yang bersejarah kerana pertama kali beberapa pendekatan dan peruntukan diberikan kepada rakyat. Antaranya penghapuskan yuran sekolah, penghapuskan cukai jalan untuk teksi, dan lain-lain. Selain itu semua golongan termasuk penjawat awam menerima habuan masing-masing mengikut kemampuan negara waktu ini.

Kepedulian Najib menyeluruh, hatta ahli parlimen juga bakal mendapat habuan bila mana kemudahan untuk mereka akan dikaji semula. Bersorak macam beruk para ahli Parlimen termasuk Khairy Jamaluddin bila mana Najib mengatakan mereka juga akan mendapat habuan sama. Ini memalukan dan bagi saya sikap ahli parlimen yang bersorak itu tak ubah macam budak Tadika Kemas yang melaung kegirangan bila mana cikgunya menyebut akan memberi gula-gula.

Jumlah yang diperuntukan untuk membantu rakyat luar bandar juga membanggakan. Ini menunjukkan keprihatinan pentadbiran Najib. Beberapa insentif itu saya lihat sedarhana dan berpatutan dengan kemampuan dan unjuran pendapatan negara di tahun depan yang dijangka di sekitar 5 hingga 6 peratus. Sekiranya pembangkang menganggap ia adalah bajet pilihan raya, saya kurang setuju.

Saya boleh simpulkan bajet Najib itu bajet realistik dan berpijak di bumi nyata atau bajet menyeluk poket sebelum mengambil barang dirak kemudian diletakkan di konter kaser. Tetapi apa yang saya bimbangkan sejauh manakah peruntukan untuk membangun rakyat luar bandar dan rakyat yang memerlukan itu akan sampai ke sasarannya. Jumlah yang disebutkan itu sudah mencukupi sebenarnya kalau ia diatur dan diurus dengan baik dan jujur. Tetapi apakah sasarannya sampai?

Makanya ada baik kalau dalam perbahasan bajet itu nanti wakil rakyat cuba memberi pandangan dan idea mereka bagaimana untuk memastikan peruntukan rakyat itu sampai ke sasaran dan tidak akan tiris di tengah jalan. Pengalaman lalu sudah kita ketahui banyak peruntukan untuk rakyat dirompak dan disamun tengah jalan oleh kalangan kronis. Misalnya kalau RM100 diperuntukan kepada rakyat yang sampai hanya RM10 sahaja manakala RM90 lagi hangus dan lesap ditengah jalan.

Justeru, satu mekanisme perlu digarapkan untuk memastikan ketirisan ini tidak akan berlaku. Apa yang ditekankan oleh Anwar untuk mewujudkan 'tata kelolaan' yang telus dan baik pentadbiran penting diusahakan. Selagi tidak ada tatakelola yang bersih, bertanggungjawab dan orang politik tidak takut kepada dosa, maka bagilah peruntukan seberapa banyak pun ianya tidak dapat mencapai niat baik perdana menteri itu.

Dalam ucapan bajet tadi Najib tidak menekankan soal tetakolela yang baik, atau good governance. Sepatutnya Najib tegas dan memberi amaran keras kepada agensi pelaksana baik kerajaan, NGO, individu politik khasnya dari Umno bertanggungjawab mengagihkan wang untuk rakyat ini menjalankan tugas dengan jujur dan amanah. Sepatutnya satu pasukan khas dibentuk bagai menjamin segala peruntukkan itu disempurnakan dengan baik di samping agensi lain seperti SPRM dan sebagainya.

Para ahli parlimen boleh mengambil peluang semasa dalam perbahasan bajet itu nanti mengemukakan mekanisme bagaimana untuk memastikan dan menjamin setiap sen wang yang diperuntukan kepada yang berhak itu sampai ke tangan mereka tanpa pengurangan yang ketara.

Pandangan atau formula itu nanti pula Najib perlu menerima dengan baik walaupun ianya dicadangkan oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat. Apa yang penting perbelanjaan bernilai ratusan billion itu sampai kepada semua golongan dan bukan saja segelintir mereka yang rapat dan dengan pihak kerajaan, para menteri, ketua bahagian dan lain-lain saja.

Peruntukan yang akan diagihkan kepada wakil rakyat - mengikut kawasan Dun dan Parlimen juga pastikan wakil rakyat pembangkang - Pakatan Rakyat juga berhak untuk menjadi agen pengagihnya dan bukan saja diserahkan kepada wakil rakyat BN sahaja. Selagi Najib masih membezakan dalam melaksanakan ini maka transformasi politik yang baru yang beliau sebutkan itu tidak akan menjadi kenyataan. Mat (Mat Maslan) kenapa butang baju Melayu dipakai tadi tidak cukup korum? [wm.kl.9:59 pm 07/10/11]

Ulasan Peristiwa

Hudud Dan Komitmen Pas Kelantan

SEBELUM bertolak balik Kelantan jam 3:30 petang kelmarin saya menghubungi seorang rakan di Kelantan bertanyakan keadaan cuaca di sana kerana dari maklumat boleh dikatakan setiap hari bumi Kelantan disirami hujan. Hujan walaupun nikmat dan rezeki tetapi bagi saya ia melecehkan. Hujan juga boleh meragut keinginan orang dari melakukan sesuatu.

Rakan itu mengesahkan akan apa yang saya ketahui. Kelantan hujan, kadang kala katanya dari pagi sampai petang, tak celik mata. Waktu petang pula ia disulami dengan angin ribut. Berita itu menyebabkan saya agak berat untuk pulang. Tetapi mengenangkan majlis itu - Himpunan Kesyukuran Hudud penting, lagi pun sudah lama saya tidak menyaksikan puluhan ribu khayalak di stadium Sultan Muhammad Ke IV menyebabkan saya melupai akan kelecehan hujan itu. Keinsafan saya seorang muslim kerdil yang dituntut memberi sokongan maka saya melupai halangan dan masalah peribadi lain.

Sewaktu berlangsung ceramah tuntutan rolyati minyak yang dihadiri sama Tengku Razaligh Hamzah saya tak pulang kerana kebetulan masa dan hari sama saya ke Jakarta.

Di tengah perjalanan, sebelum masuk terowong di Genting, hujan sudah mulai turun rintik-rintik. Bukit bukau di sekelilingnya diselimuti kabus tebal tipis. Petanda itu telah memberi petunjuk bahawa Kota Bharu tidak ceria dan bakal ditimpa hujan. Kebimbangan sudah mulai tumbuh dalam hati saya, majlis kesyukuran itu mungkin tidak semeriah diharapkan.

Selain dari suasana alam itu, notis atau pemberitahuan upacara itu diadakan juga pendek. Ia diuruskan dalam masa tidak sampai seminggu. Katanya, upacara itu tercetus selepas isu hudud di antara sesama komponen Pakatan Rakyat yang dicetusi dan diputar belit UBN dapat disepakati dengan baik. Tok Guru sangat bersyukur atas ketentuan itu.

Tok Guru Nik Azizlah khabarnya sangat gembira atas perkembangan itu sehinggakan beliau meminta diadakan majlis himpunan untuk menyatakan kesyukuran atas apa yang berlaku. Mulanya majlis itu hendak diadakan di Pondok Pasir Tumbuh, secara kecil-kecilan tetapi dipindah ke stadium memandang majlis itu mungkin grand kerana ia turut sama mengundang Anwar Ibrahim bersama Abdul Hadi Awang dan pensyrah kuliah undang-undang UIA, Abdul Aziz Bari.

Dua hari sebelum majlis kemuncak malam tadi, sudah diadakan majlis penerangan mengenai hudud di seluruh 14 kawasan pilihan raya di seluruh Kelantan. Sebanyak tujuh kawasan diadakan pada malam 4 Oktober dan tujuh lagi lagi pada 5 Oktober.

Rata-rata majlis di peringkat kawasan sambutannya sedarhana saja. Faktornya kerana keadaan cuaca yang tidak menentu dan juga notis atau pemakluman program itu pendek dan tidak meluas. Bagaimana kehadiran dalam walaupun keadaan sebegitu sudah boleh dibanggakan.

Saya sempat hadir majlis dan melihat sendiri majlis diadakan di kawasan Pasir Mas yang diadakan di To Uban. Kehadiran malam itu sekitar 250 orang saja. Jumlah itu sudah dapat dibayangkan akan sambutan di tempat lain dan juga yang akan diadakan di stadium kelak.

Upacara itu meskipun untuk menyatakan kesyukuran atas 'selesainya' pertikaian hudud, tetapi ia tidak dapat lari daripada dilihat sebagai agenda politik. Sambutan itu akan dieksplotasikan sebagai himpunan politik, sebagai test merket pengaruh terkini Pas. Makanya jumlah kehadiran dan senario sambutan sangat penting.

Kerana ada unsur-usnur berkenaan, kalau majlis di stadium tidak hangat dan jumlah yang hadirnya tidak sampai 50,000 bagi saya ianya tidak mencapai sasaran diharapkan. Dalam kata lain sambutan kesyukuran itu bukan boleh diambil sebagai petanda keadaan Pas Kelantan dalam suasana selesa masa ini untuk berhadapan dengan UBN dalam pilihan raya umum kelak.

Ternyata seperti mana menjadi kebimbangan saya, sambutan majlis kesyukuran itu kurang bersemangat. Jumlah yang hadir tidak mencapai angka yang disasarkan, 50 ribu. Masih ada sesuku ruang pandang stadium yang kosong manakala di bangku pula banyak kosong kecuali di bawah tempat duduk berbumbung yang padat dengan orang ramai. Secara jujur angka kehadiran malam tadi sekitar 20,000 saja dan ia tidak membimbangkan Umno.

Bagaimana pun jumlah itu sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada hati Tok Guru Nik Aziz secara peribadi. Dalam notis yang singkat himpunan itu sudah berjaya mengumpulkan jumlah itu, satu kehebatan. Mungkin kalau ia diuruskan dengan baik dan diperluaskan hebahan target untuk mengumpul 50,000 berjaya malahan angkanya lebih dari itu.

Dari sudut lain majlis di stadium itu memberi pengertian dan signifiken lain yang cukup membanggakan. Apa yang jelasnya para pemimpin Pas sudah mula mengubah sikap dan sudah mula mengukuhkan barisan pertahan parti untuk berhadapan dengan pilihan raya. Sikap nafsu nafsi dan saling memulau majlis di antara satu sama lain sudah tidak berlaku lagi.

Malam semalam boleh dikatakan semua pemimpin tertinggi Pas hadir. Saya dapat melihat semua barisan Exco Kerajaan Kelantan berada di pentas atau pun berada di dalam stadium. Sikap sesetengah pemimpin Pas yang memandang dingin di antara satu sama lain sebelum ini sudah berubah. Mereka bersalaman dan berpelukan penuh mesra dan kerinduan. Inilah keistimewa yang ada kepada Pas, mereka akan berubah sikap apabila saat mereka diserang dan dipalu oleh musuh. Sebenarnya rahsia ini jugalah yang menjadi benteng ketahanan Pas sebagai sebuah jemaah Islamiyah.

Sebelum majlis bermula saya sempat menenumui Tok Guru dan mengucapkan tahniah ke atas pendirian tegasnya mengenai hudud. Apa dapat saya simpulkan atas kebangkitan baru beliau untuk sedia melaksanakan hudud dan bertegas tidak akan tunduk kepada tekanan politik, adalah satu pendirian yang sudah lama hendak dilakukan. Malam tadi menerusi himpunan itu Tok Guru dapat tidur nyenyak kerana beliau berjaya meletakkan kembali hudud menjadi agenda utama perjuangan dan kerajaanya.

Kali ini Menteri Besar Kelantan itu tidak menoleh ke belakangkan lagi mengenai hudud dan kritikan-kritikan pihak lain yang jahil atau lebih bersifat untuk menjaga kepentingan politik, ia tidak perlu dihiraukan lagi. Yang penting hudud perlu diperjuangkan hingga berjaya.

"Tahniah Tok Guru atas pendirian mengenai hudud. Majlis malam ini menandakan bahawa pendirian Tok Guru disokong oleh rakyat Kelantan, tahniah!," kata saya kepadanya yang baru selesai makan sambil mengucup salamnya sedalam mungkin. Turut sama berada dalam bilik itu ialah Husam Musa berbaju Melayu hijau pucuk pisang dan beberapa pemimpin lain termasuk anak dan isterinya, Tuan Sabariah.

"Letih la.... ana dah tak leh bergerak macam orang muda lagi...," itulah rungutnya kepada saya seakan sedikit terkilan. Hati saya terus menyebak. Sekuntum senyuman yang dikembang di bibirnya menggambarkan Tok Guru berpuas hati dengan apa yang berlaku. Beliau puas dengan sokongan rakyat dari segenap lapisan.

"Enta sebagai penulis, tulislah dengan baik biar orang faham akan tuntutan Tuhan ini. Itu tugas enta," ujarnya seperti selalu dan saya menerima amanah itu dengan penuh tanggungjawab.

Malam tadi saya nampak sekali Tok Guru gembira dan bahagia dengan apa yang berlaku. Pertama kerana isu hudud tidak lagi menjadi masalah kepada Pakatan Rakyat, kedua rakyat memberi sokongan padu untuk melaksanakan hukum Tuhan itu atas dasar ianya adalah satu tuntutan. Dan tentulah juga beliau gembira kerana usaha Umno untuk menjadikan hudud sebagai isu untuk meleraikan perjuangan Pas tidak berjaya apabila semua komponen Pakatan Rakyat faham dan akur dengan kehendak beliau serta kerajaan Pas Kelantan itu.

Iya walaupun sambutan malam itu tidak hangat dan kurang bersemangat, tetapi apa yang lebih berertinya masalah hudud dapat dibingkaskan kembali oleh Tok Guru. Besar harapan semoga selepas ini hudud tidak akan menjadi isu bermusim seperti mana kata Ketua Hakim Syariah Kelantan, Mohammad Daud. Biarlah hudud tetap menjadi satu kewajiban dan cita-cita kerajaan Pas Kelantan yang tidak boleh ditukar ganti dengan apa-apapun keadaan dan tuntutan sekalipun.

Selamanya kalau Pas diberikan masa oleh Allah untuk memerintah Kelantan maka soal hudud tidak boleh diketepikan dalam apa jua keadaan. Hudud perlu diperjuangkan menjadi legasi terhebat Nik Aziz untuk Kelantan yang menjadi kepala kepada beberapa legasi dan perubahan lain yang dilakukan sejak 20 tahun lampau.

Sepanjang perjalanan pulang sejauh lebih 600 km dari Kota Bharu menerusi lebuh raya baru Terengganu Jabur - Kuantan dan Kuala Lumpur malam tadi saya merungut sendiri, apalah Tok Guruku ini ada maunah dan keramat tersendiri atau dia seorang sangat didengari Tuhannya akan bisikan dan rayuannya, kerana sepanjang hari majlis kesyukuran hudud itu cuaca menjadi cerah cemerlang, langit menjadi putih bersih sedangkan beberpa hari sebelumnya hujan menyiram bumi Kelantan hampir setiap hari. Ah mursyiduku rindu ini tertancak di kalbu. [wm.kl. 8:01 pm 07/10/11]

Catatan: Saya tidak aktif mengambil gambar malam tadi, kalau ada mana-mana kawan ikhlas nak bagi gambar untuk dimuat dalam catatan ini sila kirimkan ke email saya. Atas kesudian diucapakan berbanyak terima kasih. MSO.

Wednesday, October 5, 2011

Susupan Tengah Hari

Ayuh Gedebe Merah Kita Ke Stadium

SETIAP kali pasukan Red Worriors (Gedebe Merah) turun ke stadium Sultan Mohamad Ke IV untuk menentang lawan dalam rangka mempertahankan kejuaraan, maka puluhan ribu para penyokongnya akan membanjir stadium klasik itu.

Wajah stadium juga akan bertukar menjadi merah menyala bagaikan ladang bunga raya sedang mengembang tulip. Kehadiran puluhan ribuan penyokong pasukan Kelantan itu menggambarkan komitmen mereka dalam sukan bola sepak dan kesetiaan menyokong pasukan kesayangan mereka.

Setiap hati orang Kelantan akan merasa gembira dan bahagia dengan perkembangan itu. Rakyat Kelantan boleh menyatu dan duduk bersebelahan di atas bangku di stadium tanpa mengambil kira ideologi dan sokongan politik. Mereka juga boleh meminjam mancis untuk memasang rokok. Bila pasukan Kelantan, menjaringkan gol, penyokong gedebe merah serentak akan menjerik golllllll.... penuh kegembiraan.

Saya merindui akan suasana sebegitu wujud dalam setiap aspek kehidupan rakyat Kelantan. Paling penting ialah dalam aspek politik untuk membangun Kelantan dan merealisasikan syariat agama yang menjadi pegangan rakyat Cik Siti Wan Kembang. Hampir 100% rakyat Kelantan beragama Islam. Agama tauhid mereka ialah Islam.

Apakah kalau suasana yang wujud di stadium itu untuk meyokong pasukan gedebe merah diterjemhkan juga dalam aspek keagamaan untuk menegakkan Hukum Hudud di Kelantan. Saya yakin dan percaya baik orang Pas dan Umno Kelantan berpegang kepada Quran yang satu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada pengubahan tafsiran dan terjemahan yang khilaf baik secara langsung atau tidak, kerana perbuatan itu berdosa.

Nah atas hakikat itu maka hukum hudud juga diterima seadanya seperti mana termaktub di dalam Quran. Ia satu ketetapan dan tuntutan kepada umat Islam - rakyat Kelantan untuk menegakkannya. Maka menjadi kewajiban semua umat Islam berusaha untuk melaksanakan hukum Allah berkenaan.

Cita-cita dan tekad murni ini akan terbangun berdiri kalau kita semua insaf dan sedar. Tidak ada sebab dalam keadaan umat Islam hampir 100% ianya tidak boleh dilaksanakan. Di mana ada jalan di situ ada kemahuan. Alasan ianya tidak sesuai dengan keadaan kini, atau ada pertentangan dengan Perlembagaan Negara boleh diatasi kalau kita mahu. Pandangan dan pendapat itu lahir dari mereka bukan rakyat Kelantan. Mungkin rakyat Kelantan yang gila dan selalu mabuk saja mempersoalkannya.

Rasanya perjuangan melawan penjajah untuk melepaskan negara ini dari 'dilindungi' lebih hebat dan mencabar daripada usaha untuk menegakkan hudud.

Kenapa kita berjaya menghalau penjajah dan akhirnya bebas dari 'lindung' kolonial itu. Jawabanya kerana kita bersatu, menghala satu pandangan, mengejapkan barisan dan membulatkan tekad untuk bebas dan merdeka. Dalam memperjuangkan itu kita melupai soal-soal remeh temeh warna hijau, biru atau kelabu tahi anjing. Kenjayaan kita membebaskan diri dari 'lindungi' itu membuktikan apa yang kita mahu boleh dicapai.

Bahkan Hudud lebih ringan daripada itu. Secara fizikalnya mudah. Tetapi apa yang menghalang ialah jiwa dan hati kita sendiri. Halangan secara ghaib ini, menyebabkan kita confisu, tiak yakin kepada keadilan Allah inilah yang menyusahkan. Pemikiran atau persoalan kononnya hudud tidak adil dengan tanggapan bodoh-dungu hanya orang Islam dikerat tangan bukan Islam tidak, adalah persoalan dangkal dan terbit dari orang yang tertutup rapat pintu hati dan jiwanya telah terhijap rapat.

Bukankah dalam penggubalan (implimentasi) hudud itu, ia akan dikenakan kepada orang Islam saja manakala bukan Islam tidak perlu dan diberi pilihan. Kenapa harus mengungkitkan soal kononnya hudud tidak adil dan kejcam. Siapalah kita hendak mempersoalkan apa yang telah Tuhan janjikan. Kekeliruan inilah yang disebutkan oleh para hukama bahawa musuh besar bagi manusia ialah kebodohan dan kejahilannya.

Berbalik kepada penyokong gedebe merah tadi, malam esok bertempat di Stadium Sultan Mohamad Ke IV akan diadakan himpunan kesyukuran hudud. Tujuannya menyatakan kesyukuran dan terima kasih kepada Allah kerana kerajaan Kelantan dan rakyat Kelantan tidak berselisih mengenai hudud dan terus nekad walaupun apa menghalang. Himpunan itu bagi menyatakan terima kasih atas komitmen itu dan terima kasih kerana Tuhan memberi kekuatan untuk menegakkkanya.

Jadi eloklah kalau malam esok, para penyokong gedebe merah ikut sama berhimpun. Kita mahu dengar mereka melaungkan gollllllll.... persis setiap setiap kali wira pasukan gedebe merah laung dan jerit kegembiraan bila wira mereka berjaya sumbat gol. Kita mahu malam besok 6 Oktober, puluhan ribuan yang hadir akan melaungkan Allahuakbar bila hudud dibut. Kita mahu suara gedebe merah yang penuh bersemangat bergumpal dan bergema melangkan kalimah suci itu sampai ke langit bagi menandakan ketawadukkan kita, dan kehambaan kita kepada Allah.

Tidak salah (lagi berkenaan), kalau Pengerusi pasukan gedebe merah Annuar Musa sendiri turun ke stadium menyertai himpunan itu. Tidak salah kalau Ketua Penerangan BN, Alwi Che Amat yang pusatnya luruh di Makkah turut sama hadir. Tidak salah kalau Mustapa Mohamed, Awang Adek Hussein juga hadir sama-sama menadah tangan mengaminkan doa dibaca Nik Aziz. Tidak salah. Tuhan tidak akan marah kerana mereka turun dan berhimpun untuk membesarkan perintah Allah.

Kalau segala macam kalo-kalo Umno turun bersama kalo-kalo Pas dan rakyat sekalian menyambut hudud maka hudud secara automatik tidak boleh dijadikan isu politik. Pas tidak boleh tuntutan dan dakwa yang mereka perjuangkan hudud dan hudud hak mereka. Bila kalo Umno juga hadir, Umno juga boleh memberi tahu rakyat mereka juga menyokong hudud.

Orang Kelantan sewajarnya bersatu dan berusaha untuk mendaulatkan syariah Islam seperti hudud itu demi menjaga maruah Kelantan yang dianggap sebagai negeri serambi Makkah. [wm.kl.11:36 am 05/10/11]

Tuesday, October 4, 2011

Ulasan Isu

Himpunan Sejuta Umat Patut Sama Jelaskan Hudud

SEBELAH pagi tadi saya hadir pada sidang media Himpunan Sejuta Umat yang berlangsung di sebuah kamar kecil persidangan di hotel terletak di Jalan Pahang. Sidang media itu bertujuan memberi penjelasan perjalanan dan pengisian berhubung himpunan yang bakal diadakan pada 22 Oktober bertempat di stadium Shah Alam, Selangor.

Seperti mana dijelaskan oleh ketua bersama sekretariat Yusri Mohamad dan Mohd Azmi Abdul Hamid tujuan himpunan itu ialah untuk menzahirkan kekuatan umat Islam dalam di negara ini dalam mempertahankan akidahnya. Akidah umat Islam negara ini akhir-akhir ini dalam keadaan terancam dengan tercetusnya beberapa peristiwa yang agak menyayat hati dan apa yang berlaku dikesalkan kerana semacam ada usaha ke atas memurtadkan umat Islam.

Himpunan itu yang diharap akan disertai oleh setiap umat Islam, badan-badan Islam dikira penting bagi menyatakan kesatuan ummah dalam melihat kesucian agama Islam tetap utuh.

Himpunan itu terilham atas beberapa isu atau pun peristiwa pemurtadan beberapa individu Islam di negara ini yang menjadi kontroversi dan kenangan pahit. Peristiwa langgar masuk tanpa ketuk ke gereja di Damansara Utama oleh Jais kononnya berlaku proses permurtadan di situ dilihat sebagai titik tolak kepada terilhamnya himpunan sejuta umat. Sekretariat itu melihat kejadian itu sesuatu yang serius dan perlu ditangani sesegera mungkin dan sesungguh mungkin.

Himpunan itu digesa dan diusahakan oleh beberapa badan Ngo dan individu yang perihatin terhadap agama dan mendapat sokongan padu dari Mufti-Mufti. Antara Ngo yang bergabung dalam sekretariat itu ialah, Gabungan Ngo Pembela Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Barisan bertindak Anti Murtad, Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) dan Gabungan Intelek Melayu.

Seperti mana dijelaskan oleh sekretariat himpunan, program itu tidak ada agenda politik mana-mana parti tetapi ia dibuat atas semangat dan kesedaran bersama untuk membela akidah umat Islam. Justeru pihak sekretariat merayu agar semua orang yang cintakan Islam hadir memberi sokongan dan menunjukkan iltizam dan komitmen dalam gerak membela agama Islam.

Tanpa prejudis bagi saya dengan pengakuan sekretariat itu wajar semua umat Islam menghadirkan diri pada 22 Oktober. Sekarang ini dengan pelbagai ancaman terhadap akidah dan juga kesatuan bangsa, bukan waktu lagi untuk umat Islam saling tunding menunding di antara satu sama lain dan bergerak secara nasfu nafsi. Perlu diingatkan perjuangan secara terpisah dan bermahazab tidak akan mencapai kemenangan, sebaliknya ia akan menambahkan kecelaruan apa lagi kalau perjuangan itu mengikut rentak dan irama ideologi politik.

Kesendirian atau degil dengan kepercayaan akal sendiri dalam memperjuangkan agama dan bangsa tidak akan menjamin kemenangan dan kejayaan.

Dalam pada itu bagi saya kalau himpunan itu ikhlas dan benar-benar ingin menjaga akidah umat Islam dan juga menegakkan syariah Islam, apa salah kalau pengisian dalam himpunan berkenaan dimasukan slot penerangan mengenai isu-isu agama lain seperti hukum hudud yang hebat diperkatakan kini. Rasanya menjadi peranan himpunan itu juga untuk membicarakan soal hudud, memberi penjelasan kepada semua pihak akan kepentingan hudud serta tuntutan Allah ke atasnya.

Pengejian kepada hudud oleh sesetengah pihak baik oleh umat Islam sendiri dan juga orang kafir boleh dianggap sebagai satu usaha untuk menggugat kesucian agama Islam dan dari konteks akidah pula bagi umat Islam yang berbuat demikian boleh menyebabkan akidahnya terluka.

Dengan memasukkan sama hudud di dalam program itu bagi saya lebih kemas, jelas dan nyata lagi akan kesungguhan dan kejituan umat Islam (sekretariat) untuk membela akidah umat Islam di negara ini. Menolak hudud atau sangsi ke atas perintah Allah dalam melaksanakannya juga boleh menyebabkan akidah seseorang yang berada dalam keadaan itu menjadi sayung.

Sekretariat rasanya boleh memikirkan cadangan ini sebagai salah satu pengisian himpunan yang bakal mencatat sejarah itu. InsyaAllah kalau sekretariat sedia melakukan ini dan himpunan itu bersih dan suci dari agenda politik tidak ada syak dan ragu kepada umat Islam untuk hadir beramai-ramai ke himpunan berkenaan.

Kejayaan himpunan berkenaan adalah kejayaan umat Islam negara ini. Adalah diharap juga himpunan yang memperakui bebas dari agenda politik akan terus kekal sebagai sebuah sekretariat untuk menyelaraskan apa-apa perbalahan dan selisih faham umat Islam dinegara ini yang disebabkan oleh politik.

Sekretariat itu hendakah menjadi segolongan orang yang dinyatakan dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud; Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar. Mereka itulah orang-orang beruntung."

Dalam hubungan ayat ini Hasbi Ash Siddieqy menafsirkan ayat ini: "Hendaklah ada di antara kamu suatu golongan yang menyelesaikan urusan dakwah, menyuruh maa'ruf (segala yang dipandang baik oleh syara` dan akal) dan mencegah yang munkar (segala yang dipandang tidak baik oleh syara` dan akal) mereka itulah orang yang beruntung."

Tidak syak lagi kalau nawaitu sekretariat itu suci dan ikhlas golongan yang dimaksudkan oleh ayat berkenaan ialah sekretariat atau Ngo-Ngo yang bergabung dalam Himpunan itu. [wm.kl.8:40 am 05/10/11]

Monday, October 3, 2011

Luahan Malam

Kenapa Mat Sabu Lupa Asri?

PETANG tadi saya berkesempatan meneliti buku cenderamata Kongres Sambutan 60 Tahun Pas yang berlangsung di Dewan Milenium Kepala Batas pada Ahad lepas. Ada sedikit yang saya rasakan buku berkenaan tidak lengkap dan tidak sepatutnya berlaku. Walaupun buku itu hanya beberapa helai saja dan ia mencatat program atau susun atur mengenai kongres berkenaan tetapi ia merupakan satu dokumen penting di masa depan.

Buku itu akan menjadi dokumen sejarah penting untuk seratus tahun akan datang. Buku itu akan dipamerkan kepada umum di masa depan bila ada majlis yang akan mengisahkan kronologi perjuangan dan juga catatan-catatan mengenai apa yang pernah dilakukan pemimpin Pas di sepanjang usia parti itu.

Betapa pun ianya kecil buku itu tetap akan menjadi bahan rujukan kepada pengkaji dan penganalisa perjuangan Pas di masa depan. Mereka yang menjadikan dokumen sebagai sumber dalam hidup ia penting.

Kerana kepentingan itu maka saya merasakan tidak wajar kalau kesalahan yang saya rasakan itu berlaku. Ada dua perkara itu yang saya terkesan. Pertama tentangan ketinggalan nama jawatan Mursyidul Am Pas dan juga kelupaan Pengerusi Kongres Mohamad Sabu menyebut nama Mohd Asri dalam kata pengantar di ruangan Sekapur Sireh.

Buku itu turut menyenaraikan Ahli jawatankuasa kerja Pas Pusat sesi 2011 - 2013, bersama Pesuruhjaya Negeri-Negeri dan juga Wilayah Persekutuan. Tetapi malangnya buku itu tidak sama menyenaraikan kepimpinan tiga Dewan; Ulamak, Pemuda dan Muslimat. Paling dikesalkan ialah buku itu tidak mencatat penjawat Mursyidul Am Pas yang pada masa kini dipegang oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya Dr Haron Din.

Jawatan atau tokoh sepenting Nik Aziz dan Dr Haron tidak sepatutnya dipinggirkan dari buku itu. Nama dan wajah mereka perlu diabadikan untuk melengkapkan hierarki kepimpinan Pas sesi 2011 - 2013.

Begitu juga Mat Sabu dalam kata pengantar tidak menyebut atau sengaja meninggalkan nama Mohd Asri Muda dari disenaraikan bersama nama-nama bekas Presiden Pas yang lain. Mat Sabu hanya menyebut nama Burhanuddin, Zulkifli, Yusuf Rawa dan Fadzil Nor tetapi lupa nama Asri yang menjadi presiden Pas ke empat. Kenapa?

"Dikesempatan ini kita memperingati dan belajar dari Burhanuddin Helmi, Zulkifli Mohamad, Abbas Alias, Mohd Yusuf Rawa, Fadzil Noor dan sejumlah mujahid yang telah pergi." Begitulah kata Mat Sabu.

Mungkin nama Asri alergik kepada Mat Sabu di atas apa yang berlaku maka Mat Sabu merasakan tidak wajar nama Asri keluar dari mulutnya. Tetapi Mat Sabu dan Pas serta sekalian orang dalam Pas yang benci Asri perlu ingat dan sedar bahawa ada juga mereka yang terkenang kepada Asri.

Mungkin pengikut Asri sudah tidak ramai dalam Pas. Apa lagi generasi muda yang lahir pada tahun 80-an sudah tidak tahu dan jauh dengan Asri. Mereka yang menjadikan Mat Sabu sebagai idola tidak kenal siapa Asri.

Tetapi mereka yang kini berusia 80 atau 90 tahun yang pernah bersama Asri naik bukit turun bukit, seberang sungai termasuk dikejar gajah semasa berceramah masih mengingati nama itu. Mereka ini kalau disebut Asri dan diungkit kehebatan bekas Presiden Pas ke empat itu akan meriding bulu roma.

Saya faham didalam Pas ada yang benci nama Asri. Ada orang yang takut untuk menyebut nama Asri kerana nama itu tidak disenangi oleh pemimpin tertinggi Pas. Tetapi itu bukan alasan untuk melupai jasa dan budi Asri didalam Pas. Mereka (setengah pemimpin) tidak suka kepada Asri ialah kerana peribadi. Isu peribadi di antara mereka berdua tidak wajar diheret dan diturut sama oleh orang lain.

Inilah sikap yang tidak baik yang ada kepada orang Pas. Kalau pemimpin mereka tidak senang kepada sesuatu keadaan atau perkara - bukan pun mutlak di tolak perlembagaan, mereka juga akan ikut sama membencinya. Senario pak turut ini dapat dilihat kepada corak pemakaian dan pemilihan jenis kopiah. Perhatikanlah... mana-mana jenis kopiah dipakai pemimpin Pas itulah yang menjadi idaman mereka. Inilah unsur taksub dalam Pas.

Berbalik kepada Asri tadi, Pas tidak sepatutnya melupai akan jasa dan pengorbanannya. Sejarah tidak boleh disapu begitu saja. Setiap sejarah ada catatan ada ingatan. Kalau kita tidak menyebut dan cuba menafinya tetapi masih ada catatan dan orang lain mengingatinya.

Kalau Mat Sabu benar sengaja melupai Asri berdasarkan catatan di ruangan Sekapur Sireh itu ini satu kesengajaan yang yang tidak perlu diteruskan. Ia perlu diperbetulkan di lain kali. Orang juga akan bertanya dan mempersoalkan akan moral dan kredibiliti Mat Sabu. Kalau beliau boleh ingat dan kenang Mat Indera, tetapi kenapa boleh terlupa untuk menyebut nama Asri?

Kita semua akan marah kalau kerajaan UBN cuba menggelapkan sejarah orang yang berjuang kemerdekaan negara ini. Tetapi anihnya dalam masa sama kita melupai nama-nama orang yang membesar dan berkorban untuk parti sendiri, Pas.

Saya dapat tahu tidak ada pengkisahan agak mendalam tentang perjuangan bekas-bekas pemimpin Pas itu termasuk Asri pada kongres berkenaan. Cuma Salahuddin Ayub semasa majlis forum perdana khabarnya ada menyebut dan menyanjungi akan jasa dan bakti Asri kepada Pas. Syabas kepada Sallahuddin atas ingatan itu setidak beliau mewakili pemimpin lain yang mudah memandang rendah kepada pemimpin yang mereka tidak suka walaupun ia adalah realiti.

Mulai hari ini jangan dipertikaikan mengenai takdir yang menimpa Asri itu. Apa lagi menjadikan takdir menimpa dirinya mati dalam Umno untuk marahkannya. Sesiapa pun di antara kita (kalangan pemimpin Pas hari ini) tidak dapat memastikan akan mati berlapikkan bendera warna apa?

Jadi soal mati di mana, atas bendera warna apa bukan alasan untuk kita mengambus sejarah seseorang yang selama hayatnya bersama kita. Belajarlah jujur kepada diri sendiri dan orang lain juga. [wm.kl.8:46 pm 03/10/11]

Ulasan Peristiwa

Zaid Terus Hanyut Dalam Keegoaannya

SEMENTARA menunggu keputusan mahkamah jam 2:30 petang nanti apakah permohonan Najib Razak dan Rosmah Mansor untuk mengenepikan sepina oleh Anwar Ibrahim ditolak atau diterima, saya ingin bercakap sedikit perihal orang bernama Zaid Ibrahim. Zaid Ibrahim ini semacam ada persamaan dengan Inchek Ibrahim Ali. Apakah mereka ini kembar tidak seiras atau kembar siam yang berkongsi perangai politik?

Kedua mereka asal dari negeri saya, Kelantan. Keduanya kebetulan pernah saya kenal dan pernah mendampingi mereka. Kecuali Zaid, Inchek Ibrahim pernah masuk ke dalam rumah saya dan duduk bersela dan sempat merasi tea "O" kurang manis di rumah saya. Zaid hanya sampai diluar saja, ketika dia menjemput dan menghantar saya selepas pergi.. nun jauh berceramah di utara dan juga selatan sewaktu proses beliau hendak menyertai PKR.

Begitu juga dengan Inchek Ibrahim, selalu mengambil dan menghantar saya untuk pergi berceramah di serata tempat di negara ini sebelum beliau menjadi ahli Parlimen Pasir Mas menerusi tikit Pas. Dari Perlis sampai ke Sabah dan Sarawak. Jadi kedua mereka saya cukup kenal dan arif. Cukup tahu makanan dan minuman apa yang menjadi kesukaan mereka!

Kebetulan juga saya ikut sama membantu atau lebih tepat memantau pilihan raya yang mereka sertai. Inchek Ibrahim semasa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, Pasir Mas dan juga pilihan raya umum ke-12 lalu. Zaid pula semasa pilihan raya kecil di Hulu Selangor. Saya memantau atau memberi semangat kepada mereka berdua kerana saya lihat mereka ada minat untuk berubah, membaiki moral politik mereka dan juga belajar menjadi politician yang mampan, bersih dan dihormati orang.

Kedua mereka dalam kaca mata saya ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Zaid seorang yang tegas dan berani. Demikian juga Inchek Ibrahim berani tetapi kurang tegas. Dari segi hati Inchek Ibrahim lembut dan keras, Zaid lebih keras dari Inchek Ibrahim Ali yang sangat lembut hatinya. Ibrahim hanya keras di mulut saja, tetapi hati baik. Dia pernah menangis di depan saya. Zaid keras dimulut dan egonya terlalu tinggi seorang yang tidak mudah untuk mendengar kata.

Dua tiga hari lepas saya berjumpa dengan tiga orang kanan Zaid Ibrahim yang memanggil saya khusus untuk bercerita tentang apa yang berlaku dalam parti Kesejahteraan Insan Malaysia (Kita) yang kini semuanya menjadi parti dia. Kalau salah sebut parti Kita harap maaflah sebab saya kurang hafal kerana kurang mencatat mengenai aktiviti parti berkenaan.

Sudah lama saya tidak ketemu mereka ini, khasnya salah seorang dari mereka menjadi yang pegawal peribadi kepada Zaid semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor. Dalam pertemuan itu mereka menceritakan perihal Zaid dan situasi parti Kita muasir ini yang sudah bercelaru celara. Mereka bertiga telah keluar atau dipecat dari parti Kita.

Banyaklah cerita dan ceriti pada pertemuan itu. Daripada kisah bagaimana ego dan sombongnya seorang Zaid kepada perihal pengubahsuaian minit mesyuarat. Cerita Zaid seorang yang sombong dan bongkak. Katanya Zaid suka memperkuda dan melembukan orang lain untuk kepentingannya.

"Saya tidak sangka dengan Zaid, dia bilang mahu mewujudkan demokrasi tulen dalam negara ini tetapi cara dia uruskan parti lebih kurang diktator saja," begitu tutur salah seorang dari mereka.

"You tahu semua keputusan parti dia yang buat. Apa yang kita bincangkan tidak dipakai, dia buat ikut sedap dia sahaja, ini minit mesyuarat pun dipinda dan buat sendiri," tambah yang lain.

"Dia fikir bila dia kaya raya dia boleh perintah semua orang, semua orang hendak dijadikan hamba abadinya... mana boleh...," sambung yang lain. Ketiga-tiga mereka tidak puas hati dengan Zaid dan sedang memikirkan untuk mengambil tindakan ke atas Kita menerusi Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana tindakan memecat mereka dibuat tanpa mengikut undang-undang.

Saya hanya mendengar dan menahan telinga saja. Sebenarnya apa yang dituturkan mereka mengenai Zaid itu saya sudah sedia maklum. Saya sudah melihat dan mengalami sendiri bagaimana cara Zaid berpolitik. Sikap diktator atau ego Zaid itu bukan hari ini sebenarnya tetapi sejak dia dalam Umno lagi. Punca kenapa beliau digantung atau dipecat dari Umno ialah kerana keegoannya, merasakan dirinya saja yang betul orang lain salah. Zaid beranggapan kekayaan dan profesionalisme dia sebagai lawyer boleh menudukkan semua orang.

Ternyata andaian itu meleset. Bukan semua orang akan 'bersujud sawi' kepada kuasa wang, dan bukan semua orang miskin menghormati orang kaya! Kekayaan seseorang itu tidak semestinya menjadi faktor orang hormat. Orang hormat kepada seseorang kerana ketinggian budi pekerti, tutur bicara dan juga tinggi diplomasinya.

Keegoan terbaru Zaid boleh dilihat kepada bagaimana dia melayan bekas pemimpin Kita yang juga merupakan pelupor dan rakannya sendiri. Misalnya bila dia tidak suka kepada Muhammad Firdaus Chirsthoper digantungnya Firdaus sebagai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JEP).

Lebi teruk lagi apa yang berlaku ke atas Latif A Tambil yang memegang jawatan setaiusaha dipecat hanya menerusi SMS saja. Alasannya mudah kerana Latif tidak memberi passwork blog Kita.

Tidak cukup itu dia merendah-rendahkan Firdaus dalam sidang akhbar dengan mengatakan Firdaus adalah perkerjanya.

Ternyata Zaid yang profesional sebenarnya tidak bertindak secara profesional. Memang satu segi Firdaus adalah pekerjanya tetapi dari sisi lain - berorganisasi Firdaus adalah ahli jawatan kuasa eksekutif yang dilantik. Mungkin Zaid tidak perlu menghormati Firdaus sebagai pekerja, tetapi dia kena menghormati Firdaus ahli eksekutif parti. Pekerja dan penjawat jawatan berbeza statusnya. Cara Zaid merendahkan Firdaus di sidang akhbar menggembarkan sejauh mana tinggi atau rendahnya diplomasi Zaid sebagai seorang ketua parti.

Meneliti dan mengambil kira apa yang berlaku ke atas bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini, ternyata Zaid sangat naif dalam politik. Beliau harus banyak belajar mengenal politik secara realistik bukan teori kerana politik melibatkan orang ramai dan sangat membutuhkan kefahaman dalam melayan hati budi manusia. Cara Zaid yang menggunakan kuasa wang untuk menawan orang atau kawan tidak akan berhasil dan ia bersifat sementara.

Satu masa manusia memerlukan wang untuk hidup atau sebagai bayaran atas khidmat yang diberikan. Tetapi kalau wang itu dijadikan kuasa dan senjata untuk menindas akhirnya manusia itu akan bangkit dan melawan juga. Manusia rela miskin daripada diperhambakan dengan kuasa wang. Dan ada kalanya orang mengikut kita itu kerana prinsip kita yang kita pegang. Selagi prinsip kita berada atas garis benar orang akan hormati dan sanjung kita.

Namun kalau prinsip itu sudah dilanggar mereka tidak akan bercakap banyak akan meninggalkan kita. Dalam hal ini saya melihat dua faktor kenapa parti Kita atau kepimpinan Zaid menjadi 'kucar bara' ialah kerana Zaid tidak menghormati orang lain dan dia beranggapan wang boleh membeli segala-galanya. Zaid juga tidak mengotakan apa yang dikatakan terutamanya untuk mempraktikan demokrasi tulen.

Dari sehari ke sehari prinsip dan maruah Zaid sudah melebur dan cair seperti ais di tengah sahara. Apa yang dipertahankan dulu diroboh sendiri. Sikap atau pun keadaan ini menunjukkan rupa diri atau dalaman Zaid yang sebenarnya. Tindakan Zaid tidak ubah budak kecil yang berak kemudian meramas tahinya sendiri. Semasa dia keluar dari PKR dulu alasan kerana parti itu ditadbir secara diktator oleh Anwar Ibrahim. Tetapi anihnya hal yang sama berlaku dalam Kita, malahan ia lebih dahsyat dari Anwar.

Hari ini siapa yang lebih diktator, Zaid atau Anwar? Pendirian Zaid juga tidak konsisten macam orang yang mabuk tidak dapat berjalan dengan tegak dan terhuyung hayang. Sekali dia mengkritik Najib Razak, tetapi hari ini dia bersetuju dengan Najib. Sekali dia menyatakan sokongan kepada Nik Aziz, hari ini dia menempelak Mursyidul Am itu yang mahukan hudud dilaksanakan. Tidak salah menyokong yang baik dan menentang yang jahat tetapi ia perlu dilakukan dengan penuh tektikal bukan tergesa-gesa sehingga orang nampak apa yang ada di sebalik batu.

Hanya orang yang mabuk saja bercakap merapu atau pun tidak ketahuan puncanya. Sebaik Najib umumkan pemansuhan akta ISA, belum habis Najib cakap Zaid sudah sahut menyokongnya. Malahan beliau opolegetik kepada Najib. Tindakan ini menampakkan siapa dia Zaid sebanrnya, dia seorang yang sangat naif.

Keadaan Zaid hari ini saya lihat macam kera sumbang saja. Dia jadi macam orang yang hidung tidak mancung tetapi pipi tersorong-sorong. Nasib Zaid juga akan jadi macam Lebai Malang, ke hulu terlepas ke hilir terbabas. Saya meramalkan keadaan parti Kita akan mati sebelum turun bertarung di gelanggang gara-gara sikap dan ulah Zaid yang kejatuhan kompas di hutan rimba.

Demikianlah adanya kalau hidup kita tidak ada pancang yang kukuh dan kemas. Kita akan jadi sehelai daun di tengah sungai akan hanyut mengikut arus air yang akan membawa kita entah ke mana. Tuhan tidak akan memberi tiga buah pengkalan untuk seorang manusia. Biasa manusia diberikan satu saja kemujuran dalam hidup. Tetapi Zaid sudah dianugerahkan dua pengkalan, bernama BN dan PKR.... selepas ini tidak ada pengkalan lagi untuk Zaid dalam politik.

Harapan dan impian dia untuk menceduk teori politik Inceh Ibrahim Ali untuk mendapat laluan dari Pas (Nik Aziz) juga tidak akan kesampaian lagi. Penjualan bangunan Umno Kota Bharu kepada Pas yang masih dipertikaikan itu bukan barang gadaian lagi untuk Zaid mendapat kerjasama Pas.

Saya hanya menunggu masa saja untuk melihat parti Kita yang diklonkan dari parti Keadilan Insan Malaysia (Akim) itu menjadi gemulah. [wm.kl.9:00 am 03/10/11]

Sunday, October 2, 2011

Berita Malam

Najib, Rosmah Masih Berdoa
Untuk Tidak Hadir Ke Mahkamah Esok

BESOK Mahkamah akan menentukan sama ada Najib dan isterinya, Rosmah Mansor kena hadir atau tidak ke mahkamah bagi menjadi saksi kepada kes liat yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim. Dalam tempoh yang tinggal kira-kira 17 jam lagi Najib dan Rosmah dikhabarkan masih berdoa bagi memastikan dia tidak perlu hadir ke mahkamah.

Doa mereka laki bini tentulah meminta agar mahkamah berpihak kepadanya, menerima permohonan agar menolak permohonan Anwar. Najib dan Rosmah terpaksa memohon kepada mahkamah untuk mengenapikan sepina yang dibuat oleh Anwar.

Najib yang mulanya mengatakan dia tidak gentar untuk berhadapan dengan Anwar tiba-tiba merubah "keberanian" apabila enggan hadir ke mahkamah dengan memohon mengenepikan sepina daripada menjawab persoalan bakal ditimbul oleh para peguam Anwar. Apa yang peguam Anwar ingin penjelasan bagaimana Najib boleh berjumpa dengan pembacuh kopi sebelum kes liwat ke atas pembacuh kopi di buat.

Saya difahamkan waktu ini ada majlis solat hajat dan tahlil di kediaman rasmi Najib Razak di Putrajaya atau di Jalan Duta, Kuala Lumpur?

Dalam pada itu saya sudah dapat mengagak apa yang bakal diputuskan oleh mahkamah jam 2:30 petang esok. Sesuatu yang bakal mengejutkan orang ramai dijangka berlaku esok. Mungkin satu lagi sejarah perundangan akan tercatat di negara ini. Mungkin...?

Apa yang bakal berlaku esok semua pihak hendaklah menerimanya. Janganlah ada tunding menudnign jari kerana hendak menegakkan benang basah. Baik Anwar maupun Najib tenanglah menerima keputusan mahkamah.

Apapun kita tunggu esok saya tidak terniat untuk berkongsi tentang apa yang serba sedikit saya tahu kerana bimbang ianya akan dianggap contemp of the court, tak fasal-fasal pula saya yang masuk penjara. [wm.kl.8:16 pm 02/10/11]

Kritikan Ke Dalam

Kongres Sambutan Ulang Tahun
Ke 60 Pas Tidak Menempati Masa?


BEGITU 'terkelih' banting yang menguar-uarkan Kongres Sambutan 60 Tahun Pas yang dipasang di dinding sebuah (rumah) stor di Taman Melawar, Gombak pada hari rumah terbuka Pas 17 September lalu ia sudah merangsang saya untuk menghadirinya.

Sekeping gambar bekas Yang Dipertua/Presiden Pas cukup menggamit hati saya untuk mengikut kongres berkenaan, atau setidak-tidak akan terlepas dari mengetahui apakah isi perbicaraan dan perbincangan di kongres itu. Kongres itu dibayangkan akan menghasilkan satu dapatan atau kesimpulan cukup bermutu untuk kesemarakan perjuangan Pas di ketika Pas meletakkan tag line impiannya; Pas ganti Umno.

Wajah yang saya maksudkan itu ialah wajah Mohd Asri Muda bekas Presiden Pas (1969 - 1982).

Saya nampak wajah Asri tertera di banting itu bersama enam wajah bekas Yang DiPertua atau Presiden Pas lain; Haji Ahmad Fuad Hasan (1951-1953), Dr Abbas Ilias (1953-1956), Dr Burhanuddin Muhammad Nur al-Helmi (1956-1969), Yusuf Rawa (1982-1989), Fadzil Mohd Nor (1989 - 2002) dan presiden terkini Abdul Hadi Awang.

Mungkin kalau tidak ada wajah Asri di banting itu ia menyebabkan naluri saya tidak begitu berdenyut untuk ke Kepala Batas, tempat berlangsungnya kongres itu.

Saya sudah merasakan kemujuran dan merasakan Pas tidak mengabaikan sejarah apabila wajah Asri ada sama di banting berkenaan bersama wajah-wajah pemimpin nombor satu Pas yang lain termasuk Abdul Hadi. Kenapa saya berkata begitu kerana sesetengah ahli Pas sebelum ini yang kecewa dengan tindakan politiknya (tinggal Pas, tubuh Hamim dan menyertai Umno) marahkan kepada Asri. Tindakan Asri itu dilihat sebagai satu perbuatan paling hodoh di sepanjang penglibatan dalam politik di sepanjang hidupnya tanpa mendinginkan kepala dengan mencari justifikasi mengenai tindakan itu. Sesiapa pun kita arus menerima takdir!

Generasi muda termasuknya juga yang kini memegang jawatan besar dalam Pas tidak banyak tahu sejarah apa lagi menghayati sendiri suka duka dan liku-liku perjuangan Asri dan juga bagaimana kelicitan politiknya tentu akan merasa 'murih' dan sedih. Mereka tidak didedah mengenai sejarah perjuangannya, malang lagi mereka banyak mendengar cerita-cerita buruk tentangnya yang dikisahkan dengan perasaan prejudis dan kebencian lantaran kekecewaan yang berat.

Namun sebenarnya kemarahan itu tidak wajar dikembangkan dalam dada mereka yang tidak tahu mengenai perjalanan hidup politik Asri, yang penuh dengan onak dan duri itu. Tentang Asri ada dua aspek yang perlu ditonjolkan untuk dijadikan contoh dan ini adalah kehebatan yang tidak ada tolak banding. Pertama, mengenai pidatonya yang mampu merangsang khalayak dan kedua kehalusan licitan politiknya meletakkan Pas setanding dengan Umno. Asri adalah kapten bahtera Pas yang bijak meniti ombak.

Saya selalu mengatakan Pas kena iktiraf kewujudan Asri dan perjuangannya tidak boleh dilenyapkan. Kalau tidak semua tetapi kenanglah Asri dari hari pertama dia menyertai Pas hingga ke hari akhir dia melangkah keluar meninggalkan jemaah. Hari-hari selepas beliau meninggalkan jemaah itu adalah hari-hari milik dia secara peribadi yang teramat rahsia dan sukar untuk difahami.

Dalam membahaskan sesuatu sejarah perjuangan unsur peribadi hendaklah di ketepikan. Dalam membicarakan perjuangan seseorang juga, elemen-elemen peribadi seseorang itu hendaklah di ketepikan dan apa yang perlu diambil ialah perjuangannya, nilai sejauh mana perjuangan yang didokongnya bermakna atau tidak kepada agama, bangsa dan negara.

Tentang Asri jasa dan baktinya kepada Pas bukan sedikit. Hari ini jangan ada orang sangat berbangga dengan kedudukan Pas hari ini yang sudah memperolehi kerusi banyak di Parlimen dan state. Apa yang penting ialah ukur dari segi kepentingan politik Pas yang digunakan Asri untuk bangsa Melayu dan agama Islam. Tidak ada guna Pas memperolehi kerusi banyak dan menguasai banyak negeri kalau kepentingan-kepentingan pokok itu yang menjadi intipati dan aspirasi perjuangan di kesampingkan atau tergadai.

Selama lebih satu dekad sebagai Presiden Pas Asri berjaya memastikan Pas berkembang maju seiring dengan parti pesaing dan musuhnya, Umno. Asri menjadikan Pas sebagai pesaing Umno dalam hubungan persahabatan. Kejayaan Pas bertapak ke seluruh negara menerusi beberapa strategi halus dirancang Asri termasuk menyuburkan Pas di tanah-tanah rancangan seperti Felda. Ini berlaku semasa Pas berada dalam BN. Jasa dan kejayaan besar ertinya buat Pas.

Kejayaan Asri meletakkan bibit Pas di Felda ini samalah taraf dan nilainya dengan kejayaan Pas meraih sokongan bukan Islam. Kerana kedua taktik dan kejayaan itu boleh menyemarak dan memperkuatkan perjuangan Pas yang menerima demokrasi sebagai alternatif untuk membentuk kerajaan.

Asri adalah sebahagian daripada orang yang berbuat demikian. Pun begitu juga dengan kejayaan Pas memerintah Kelantan dari tahun 1959 membawa kepada tahun 1978 adalah juga jasa Asri walaupun ironisnya pada tahun 1978 kerajaan Pas Kelantan jatuh ditangan Asri.

Namun kejatuhan itu bukan kesalahan yang perlu dilemparkan ke pundaknya secara peribadi sehingga sejarah dan hidupnya selama lebih 30 tahun beliau bersama Pas digelapkan begitu saja? Kalau itulah cara dan corak Pas, Pas lebih kurang sama dengan Umno yang cuba mengelapkan sejarah-sejarah bangsa dan negara seperti mana diungkitkan Mohamad Sabu tentang Mat Indera itu.

Makanya sejarah pejuang Pas terdahulu kandati mereka pada satu takah mengecewakan parti dan harapan penyokong jangan digelapkan. Masa putih mereka perlu ditabirkan kepada generasi terkemudian agar genarasi mengetahui jasa mereka dan lebih penting tahu menilai dan memahami makna sejarah.

Kongres di Kepala Batas

Kembali kepada kongres ulang tahun 60 Pas di Kepala Batas itu saya kira akan membicarakan soal perca-percra sejarah para pejuang Pas dan mengangkat kembali usahajaya mereka. Kongres itu akan menghimpun segala kejayaan dan kegagalan, dibahas dan disimpukan mencari kesimpulan tuntas untuk kejayaan Pas dimasa depan.

Penggalian sejarah perjuangan Pas tentang jaya dan gagal dalam tempoh lebih satu abad itu juga penting untuk dijadikan iktibar dan perbandingan. Dalam Pas mempersiapkan diri bagaikan burung cantik mandi pagi mengelisik bulu dan ekor - untuk mengganti Umno, Pas memerlukan kepada panduan dan cermin klasik sejarah itu. Paling penting juga Pas perlu bermahasabah sepanjang masa mencari mana silap dan mana salah yang pernah dialaminya.

Pas perlu membangun masa depannya dalam minda, bukan hanya asyik dan ralik mengindahkan minda dengan khayalan dan impian. Hakikat ini semua akan tercapai dengan kembali mengenang dan mengambil sejarah sebagai guru. Yang penting dari pada bukan mengajar ahli berkhayal tetapi mengajar ahli bagaimana mekanisme untuk mencapai kemenangan.

Sejujurnya, sungguh besar harapan dan menungan saya kepada kongres itu. Bagaimana pun malang hakikat yang berlaku tidak sehebat apa yang saya bayangkan. Kongres itu tidak memberi makna ke arah yang saya bayangkan bersesuaian dengan iltizam Pas itu sendiri. Kongres itu tidak lebih dari sebuah karnival keluarga yang sudah kerap berulang dan sudah menjadi tradisi dalam banyak himpunan Pas.

Pengalian ilmu mencungkil sejarah dan menelaaah perjuangan masa depan tidak begitu mendalam dan ditekuni. Kedai yang menjual pelbagai barang keperluan harian, minuman dan nasi Arab lebih banyak dari sejarah Pas dan harapan yang digarapkan seperti mana diharapkan saya di kongres berkenaan. Kalau ada beberapa dua dapatan baru lebih bersifat retorik yang kemudian hilangan dari minda apabila terkena nasi Arab atau nasi Kandar.

Saya tidak tahu apakah kongres itu seperti mana kata Pengarahnya, Annuar Tahir yang agak berlainan sedikit dari kongres-kongres yang lain dari segi susun aturnya? Annuar Tahir semasa mengendalikan kongres memberi tahu kongres terpaksa diubah sedikit di mana ucapan penutup didahulukan sebelum dua orang ahli panel membentangkan idea dan pandangannya. Tok Guru Nik Aziz yang ditetapkan menyampaikan ucapan penutup memohon untuk bercakap awal kerana keletihan sebelum Mahfuz Omar dan Husam Musa membentangkan pandangan dan ideanya.

Jadi apakah dalam kongres itu ada kepelikan maka pengisian dan perjalanan keseluruhannya juga longgar dan tidak mampan? Atau Pas sengaja mengubahkannya? Bagi saya kongres itu harus berjalan bersendirian tanpa celupan lain-lain program dengan penuh berwibawa sebab ianya upacara penting bagi parti sebesar Pas. Tidak perlu diselang seli dengan acara-acara atau karnival lain yang boleh menganggui fokus kepada kongres berkenaan. Sejauh mana kejayaan dan keteraturan (profesionalisme) kongres itu juga akan diperhati oleh cendekiawan untuk menilai Pas?

Ada dua buah kertas kerja dibentang pada kongres itu. Pertama oleh Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar bertajuk "Pemikiran Dr Burhanuddin & Zulkefli Muahmmad Dalam Pembentukan Gagasan Perjuangan Pas". kedua oleh Subky Latif, "Peranan & Sumbangan Pas Dalam Peta Politik Negara Sesudah 1969 Hingga Masa Kini".

Kedua kertas kerjanya banyak mengulangi apa yang diwacanakan sebelum ini tanpa ada banyak input dan maklumat baru. Kamaruddin masih berterusan mendedahkan kehebatan pemikiran siasah Burhanuddin dan Dr Zulkefli Mohamad yang dilihat terbuka, progresif dan dinamik. Kamaruddin nampaknya lebih intim dengan pemikiran siasah mereka yang terbuka dari pemikiran ekstrem seperti mana diamalkan oleh pendokong ulama tradisional khususnya dalam meliberlisasikan siasah Pas.

Sementara Subky pula banyak mencatat lintasan-lintasan politik Pas di sepanjang tempoh itu. Lintas itu lebih terarah kepada pencapaian dan kemajuan Pas dan tidak cuba mendedahkan secara jujur tentang kelemahan dan juga kekurangan yang ada kepada Pas. Kertas Subky itu lebih kepada mengenang daripada memikirkan pencapaian masa depan Pas, atau lebih tepat kepada usaha untuk merealisasikan Pas mengganti Umno.

Sementara pengisian lain ialah dua ucapan (ceramah politik) bebas oleh Naib Presiden, Mahfuz Omar dan Husam Musa. Saya tidak menghayati ucapan Mahfuz kerana berada di luar. Tetapi Husam pandai membangkit emosi para muslimat Pas dengan cuba memahkotakan perjuangan muslimat Pas berdasarkan komitmen kaum itu bermula sejak di zaman isteri Burnanuddin Helmi lagi.

Ternyata usikan dan pujian Husam menyebabkan muslimat merasa bangga dan akan melipat gandakan lagi tenaga juang. Sebenarnya usikan begitulah lebih diperlukan dalam usaha membingkaskan naluri perjuangan. Muslimat saya rasa menghargai pujian Husam itu. Dalam hal ini saya ingin memesankan dalam respons kepada pandangan Husam itu jangan pula sampai ada muslimat tidak pulang rumah kerana asyik menampal poster Pas.

Sekali lagi secara jujur bagi saya tidak mencukupi dengan dua buah kertas kerja itu. Selama 60 tahun Pas banyak sejarah, kenangan dan perubahan yang perlu dilakukan. Justeru perlu banyak perbincangan (wacana) akademik mengenai Pas. Misalnya menerusi kongres seumpama itu boleh memperkatakan secara mendalam mengenai gaya, pendekatan dan komitmen para pemimpin Pas terdahulu itu sebagai perbandingan. Perlu juga dicatatan bahawa antara mereka juga ada kehebatan masing-masing yang mungkin tidak diwarisi generasi pemimpin masa kini.

Agak dukacita sedikit pengkisahan mengenai mereka mengikut tempoh masing-masing tidak dibahas dan dibincangkan dalam kongres itu. Ruang ini sepatutnya diambil ketika forum perdana yang menampilkan Sallahuddin Ayub, Tuan Ibrahim Tuan Man, Dr Asri Zainal Abidin dan Idris Ahmad itu. Tetapi sayang tidak berlaku mungkin terlupa.

Perkara yang perlu diberi perhatian juga ialah perjalanan kongres itu tidak begitu profesional. Kehadiran atau perserta juga tidak ditapis sedemikian rupa di mana setengah tidak layak untuk berada dalam dewan yang sedang berkongres. Kehadiran mereka yang setengahnya boleh dikatan tidak berada dalam kesiapan untuk berkongres mencatatkan majlis itu. Paling menunjuk ialah dari segi pakaian.

Tetapi mungkin kerana kongres itu seperti mana kata Pengarahnya, Annuar Tahir ia berubah sedikit, maka kecacatan itu boleh dimaafi tetapi dengan syarat ia tidak akan berulang dimasa akan datang. Kalau saya hendak puji mengenai kongres itu ialah dari segi sambutan hangat yang mana ia menyerlahkan kesungguhan Pas untuk membuat lonjakan dalam pilihan raya akan datang khususnya di Pulau Pinang, sebelah tanah besar.

Kesimpulannya dengan apa yang berlaku itu adalah lebih baik kalau kongres itu ditukar kepada Karnival Ulang Tahun 60 Pas bukannya sebuah berforum bernama kongres.

Dalam sudut lain juga kongres itu, baik serius atau tidak, tidak kena pada masanya. Kalau hendak diadakan juga sepatutnya Pas perlu menundanya pada tarikh lain. Dalam saat pilihan raya sudah berada di ambang mata, bukan masa untuk berkongres lagi. Apa yang baik Pas menggunakan himpunan seperti itu untuk menggerakkan semangat ahli, penyokong dan orang ramai untuk berpilihan raya.

Masa lebih banyak dan pantas perlu diambil Pas dan gabungan Pakatan Rakyat untuk menggerak ahli, penyokong dan rakyat semua agar berada di garisan permulaan untuk berlari ke hadapan dengan keazaman tinggi untuk merampas Putrajaya. Masa untuk beretorik dengan program-program yang tidak kena pada masanya sudah tidak wajar lagi. Ingatlah kertas kerja dan fail serta brief case tidak akan memenangkan perjuangan yang memaksakan kita turun ke lapangan seperti perjuangan Pas yang mengambil jalan pilihan raya. [wm.kl.11:00 am 02/10/11]