Sunday, September 18, 2011

Susupan Malam

Rumah Terbuka Dan Cerita-Cerita Politik
Topik Paling Popular, Hasan Ali dan ISA

HARI ini ada beberapa jemputan rumah terbuka hari raya. Saya hanya memilih untuk hadir di tiga rumah terbuka saja. Pertama rumah bekas pegawai tinggi kerajaan yang kini berjinak dengan politik dan kerap menghadiri majlis politik bersama saya. Lokasinya di Lembah Keramat, Hulu Klang, jaraknya tidak sampai 2 km dari rumah saya.

Kedua ialah di Putrajaya di rumah baru bekas timbalan menteri Sumber Manusia, Rahman Bakar. Khabarnya selain dari rumah itu Rahman ada beberapa buah rumah lagi. Beliau juga dikatakan masih berminat untuk berhadapan dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sekali lagi Parlimen Marang.

Dan ketiga ialah di rumah Pegawai Khas Tengku Razaleigh Hamzah di Bukit Jalil. Ada beberapa lagi jemputan tetapi tidak sempat memenuhinya, masa terhad, maaflah dan terima kasih atas jemputan baik langsung atau tidak.

Ceritanya bukan soal juadah yang dihidang oleh rumah-rumah terbuka berkenaan, tetapi cerita politik. Cerita politik nampaknya lebih sedap dan meralikan dari kuzi kambing dan roti jala di rumah kawan di Lembah Keramat itu.

Di rumah terbuka pertama saya jumpa dengan Zunar kartunis reformasi negara yang mana akan ke Sepanyol selama tiga bulan kerana menghadiri satu program di sana. Setiap kali saya hadir ke majlis kenduri kawan ini akan bersua dengan Zunar. Baru saya tahu bahawa isteri Zunar ada hubungan kekeluargaan dengan isteri kawan saya yang bekas pegawai tinggi kerajaan itu yang kini sudah berani mengkritik kerajaan selepas pencen.

Cerita yang mula tersembur dari mulut Zunar ialah soal Dr Hasan Ali. "Kau baik dengan Hasan Ali, macam mana dengan Hasan Ali ini betulkah dia nak masuk Umno?" begitulah Zunar memulakan cerita dan bersangka saya baik dengan Hasan Ali. Saya sedikit terperagah dengan pertanyaan itu. Dari sudut mana pula saya akrab dengan Hasan Ali?

"Dari mana kau dapat cerita ini?" tanya saya kepada Zunar. Sememang saya tidak tahu terhadap apa yang tersebar di sekitar diri Exco Selangor beberapa hari ini.

"Hishamuddin ada tulis dalam blognya, Tukar Tiub... betulkah Hasan Ali jumpa dengan Hishamuddin Hussein?" tanya dan soal dia lagi serius siap dengan mimik mukanya sekali menunjukkan penuh minat. Saya sedikit terkeliru Hishamuddin mana dimaksudkan Zunar, apakah Hishmuddin Tukar Tiub atau Hismauddin mana.

"Bila dia jumpa Hishamuddin?" tanya saya bersangka Hishmuddin Tukar Tiub yang jumpa Hasan Ali. Tetapi bila saya fikir tidak mungkin, saya ulangi lagi, di mana dia jumpa dan bila? Tanya saya.

"Hishmauddin (Rais) tulis dia dapat maklumat dari seseorang. Yang jumpa Hishamuddin hanya Hasan Ali seorang, seorang lagi Nasharudin Mat Isa tak jumpa.." jelasnya. Saya mulai faham apa yang dimaksudkan Zunar itu Hishamuddin yang dijumpai Hasan Ali ialah Hishamuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri.

"Aku tidak tahu dan belum siasat lagi," balas saya.

"Kau tolong siasat.." katanya sambil menyambung, Hasan dah nafikan yang dia tidak masuk Umno dan akan kekal dalam Pas. Beritanya ada dalam Malaysiakini.

"Kalau Hasan sudah nafi terima sajalah penafiannya itu," kata saya tidak mahu perpanjangkan soal Hasan Ali. Dalam keadaan begini rasanya tidak elok kalau menyimpan prejudis kepada Hasan Ali. Masa akan berjalan hari akan berganti kalau desas desus itu betul ia akan diketahui juga.

Penafian yang dibuat Hasan Ali tidak boleh ditelan begitu saja. Sudah sifat orang politik dia tidak mudah mengaku apa lagi sesuatu yang menjadi negatif kepadanya. Tetapi orang politik tidak menyembunyikan body language, kerana dari gerak geri body language orang akan dapat menebak apa yang akan berlaku.

Jadi saya tidak akan menyiasat mengenai kedudukan dan pendirian Hasan Ali. Kita serahkan saja kepada keadaan. Tetapi bagi Pas kena hormat penafian yang dikeluarkan oleh Hasan Ali.

Di rumah Rahman Bakar lain pula ceritanya. Sewaktu saya sampai bekas timbalan Menteri Penerangan, Khalid Yunus yang dimesrai dengan Abang Aji sedang berkaraoke menyampaikan lagi A Ramlee kalau tidak salah Kenangan Mengusik Jiwa. Dalam majlis itu sempat dia menyanyikan empat buah lagu.

Ketika hendak berlalu pulang saya menemui dan bersalam dengannya. Dia agak terkejut dengan kehadiran saya. "Aik... lama mana mu hilang?" itulah pertanyaannya. Abang Aji ini memang becok dan kasar orangnya, tetapi hati baik.

"Kau tidak dengan Ibrahim lagi ke?" Tanyanya, maksdunya Inchek Ibrahim Ali.

"Malas Datuk, jenis manusia macam itu susah kita nak ikut...?" balas saya.

"Kenapa pulak..?" soalnya dengan wajah hampa.

"Ibrahim ni lebih pentingkan peribadi dia dari perjuangan, Perkasa dia jadikan alat untuk politiknya..." kata saya.

"Kepentingan macam mana pula..." Khalid semacam tidak senang dengan jawaban itu tetapi dia juga tidak mahu panjang bila terkesan telinga saya sudah menyirat dengan darah, marahkan Ibrahim.

Sebelum kami menaiki ke kereta masing-masing Khalid berharap akan dapat berjumpa dengannya dan meminta agar datanglah untuk minum kopi petang di rumahnya di Taman Tun Razak, Ampang.

Dari Putrajaya saya bergerak ke rumah Lokman di Bukit Jalil. Semasa saya sampai Tengku Razaleigh Hamzah sudah sedia ada di meja khas. Kelihatan sama Aspan Alias yang juga sudah lama dan kemudian meminta mohon diri untuk balik dan meninggalkan Tengku Razaleigh kepada saya, Dr Wan Suhaimi dan adiknya. Kami bertiga menemani Tengku Razaleigh. Inilah kelebihan Tengku Razaleigh walaupun dia sudah hendak bingkas pulang beliau tetap memberi ruang dan menghormati kami menemani kami minum sambil berbual.

Dalam kesempatan yang sedikit itu saya bertanya beliau mengenai pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Najib. Tengku Razaleigh memberi pendapatnya tindakan itu tidak ikhlas dan buat kerana politik. "Pada ambo Najib bukan ikhlas sangat, pemansuhan itu lebih kepada politik.." ujarnya.

Pada Tengku Razaleigh akta itu bukan hari ini dimansuhkan tetapi sepatutnya sejak lama dulu. Akta itu sudah tidak relevan lagi begitu dengan akta darurat, buang daerah, akta mesin cetak yang dibuat pada zaman Mahathir. Semuanya patut dihapuskan.." katanya.

Sebaik Tengku Razaleigh melangkah keluar masuk pula bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Kamaruddin Ali bersama isterinya. Kamaruddin mengambil tempat di kerusi sebelah saya. Dalam kesempatan itu saya melontarkan beberapa persoalan dan ingin mengetahui pandangannya mengenai akta ISA yang dimansuhkan itu.

Bila saya mengatakan pemansuhan itu tidak berapa elok untuk keselamatan negara Kamaruddin seakan menyokong pendapat saya dengan mengatakan, "kita kena ingat bila ISA dihapuskan dua akta baru akan digubal. Silap-silap hari bulan akta yang akan digubalkan itu lebih kejam dari akta yang sedia ada."

Beliau berpandangan mungkin akta yang akan digubal untuk menggantikan akta ISA itu akan diambil atau berpandukan kepada akta anti keganasan yang dibubar oleh Amerika Syarikat selepas berlakunya peristiwa 11 September.

Kalaulah pandangan Kamaruddin itu benar maka betullah analogi yang dibuat oleh Lim Guan Eng, pemansuhan ISA itu yang akan diganti dengan dua akta baru tidak ubah seperti menuang arak ke dalam botol baru saja. Malahan apa yang lebih mengejutkan nanti mungkin arak di dalam botol baru itu lebih core lagi.

Perjalanan berakhir di kedai mamak di Taman Permata. Seorang kawan bersama anaknya sudah menunggu saya. Semasa minum di kedai berkenaan tiba-tiba masuk seorang lelaki bersongkok dan berjanggut. "Sheikh apa khabar, selamat hari raya.." dia bersalaman dengan saya dan menyambung... "semalam ana ke rumah Hasan Ali, dia buat rumah terbuka, enta tak pergi?"

"Tak... " jawab saya ringkas.

"Malam tadi saya tenguk Zulkefli Nordin dan Roslan Kasim juga ada. Dia masuk ikut tepi ana tenguk dia dia tak perasaan ana... duduk sekejap ana keluar meluat tenguk muka Zulkefli Nordin.." katanya. Saya hanya dengar dan diam, diam dan dengar.

"Nasib baik ana tak pergi rumah Hasan Ali, kalau terserempak dengan ana, ana akan lempang..." balas saya. Kawan yang sedang makan biji labu di sebelah terkejut ... dan memaling muka ke muka saya.

"Iya, kalau jumpa ana akan lempang, wakil rakyat pembohong itu..."

Kawan itu tergesa-gesa meninggal saya dan rakan dalam kedai. Sebelum melangkah keluar dia meninggalkan wang RM5 untuk bayaran kopi radik yang diminumnya. Kawan saya itu menolak kerana dia akan membayarnya, tetapi dia cepat-cepat keluar bimbang wang itu dimasukkan semula ke dalam poketnya.

"Tengok orang Pas, bukan macam orang Umno. Orang Umno kalau nampak kita dalam kedai mereka akan berderu masuk, jangankan hendak bayar, lepas kita bayar duit kita disenjah lagi.." keluh kawan saya itu yang dulu pemimpin nombor dua dalam Umno bahagian dan hari ini sudah berjihad dengan Pas. [wm.kl.8:56 pm 18/09/11]

Syarahan Ahad

Pakatan Berhak Mendapat Kredit Atas Pemansuhan ISA

LAKI Rosmah kata pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih valid bukan perjuangan Pakatan Rakyat jadi Pakatan Rakyat jangan cuba hendak ambil kredit atasnya. Kita hendak tanya yang melaung dan mendesak supaya ISa dihapuskan selama ini siapa, Umno ke Pakatan Rakyat?

Menurutnya pemansuhan itu adalah keinsafan dan keperihatinan kerajaan. Saya rasa Pakatan Rakyat tidak begitu perlahap untuk mengambil kredit atas pemansuhan itu pun. Tetapi yang pastinya rakyat suka kalau ia benar-benar dihapuskan dan pemansuhan itu bukan bersifat menuang arak ke dalam botal baru.

Saya hendak tanya Najib pemansuhan yang dilihat sebagai transformasi politiknya yang berani. Soal ini mudah sahaja dan boleh dijawab oleh sesiapa saja dalama kepada masing-masing.

Akta ISA wujud sejak tahun 60 lagi. Ia bukan wujud setahun dua ini. Sudah lima orang PM yang melalui akta berkenaan termasuk bapa Najib sendiri, Razak bin Hussein. Dalam tempoh itu sudah ribuan orang yang berdosa dan tidak berdosa ditahan menerusi akta berkenaan.

Selama itu juga pembangkang dan mereka yang ditahan di bawah akta itu merasakan ianya dizalimi. Malahan ada yang trauma sampai ke hari ini. Contohnya seorang ahli akademik yang sebelum ini berperanan untuk menjadi ketua menteri di sebuah negeri, terus lari lintang pukang meninggalkan jelumu politik bila mana beliau ditahan di bawah akta berkenaan.

Bukan itu saja dia menyalahkan sahabatnya yang membawanya ke dalam parti. Bukan saja menyesali sebaliknya menuduh sahabatnya itu sebagai jahat, pengkhinat kepada bangsa dan negara padahal sebelum ini semasa sahabatnya berkuasa dialah orang yang memuja dengan nasib dan nazam setiap hari.

Tidakan polis menelanjangkannya kemudian suruh merangkak dan telornya yang dua biji dijentik menyebabkan dia jadi phobia dengan akta berkenaan. Jangankan melihat gari melihat jerjak besi jendela saja dia sudah menggeletar ketakutan. Itu contoh betapa takutnya manusia kepada ISA.

Akta itu sudah begitu lama dan ia ditentang oleh rakyat. Kalau benarlah UBN prihatin dan insaf kenapa baru sekarang ianya dihapuskan. Najib pula kalau benar prihatin dan tidak terdesak dan bising dengan desakan beliau akan mengumumkan pemansuhan itu sebagai saja beliau angkat sumpah menjadi PM, dan bukan tunggu 16 September 2011. Kenapa Najib menunggu begitu lama, apakah beliau tidak mendapat kelulusan dari isterinya Rosmah?

Bukankah dalam tempoh Najib jadi PM desakan bertakut-talu supaya akta itu dihapuskan? Makanya pemansuhan akta berkenaan adalah disebabkan desakan rakyat. Najib bertindak akur kepada kehendak rakyat maka wajar kalau disifatkan penghapusan akta itu kerana rakyat. Rakyat berhak merayakan atas apa yang berlaku.

Saya yakin kalau Pakatan Rakyat menang dan memerintah Malaysia 2008 lalu antara perkara utama dilakukan menghapuskan akta berkenaan, kerana itulah manifestonya. Jadi bila Najib memansuhkan ia adalah perlaksanaan manfesto Pakatan Rakyat di mana kebaikannya diperolehi rakyat.

Baguslah Najib sudah sedar kepada kuasa rakyat yang tidak boleh dihalang dengan sejuta retorik dan slogan. Najib merasai bahawa akta itu sudah tidak dapat membatas kuasa politiknya. Jadi apabila akta ISA sudah tidak digeruni lagi maka tidak ada guna bagi Najib mempertahankannya.

Dalam konteks hari ini ISA samalah seperti senjata keris yang pernah digunakan untuk mempertahankan diri. Apabila sudah ada senjata moden, pistol, bom dan sebagainya maka senjata kalsik itu tidak diperlukan lagi. Orang sudah tidak gerun dan sedia mematahkan senjata berkenaan.

Justeru bagi Najib tidak ada gunanya memakai senjata berkenaan, setidak-tidaknya ia perlu ditukar dengan hulu dan sarung baru agar menggerunkan. Dua akta baru yang akan digubal bagi menggantikan ISA untuk membenteras keganasan dan jenayah terancam dan subversif mungkin lebih kurang sama dari segi kekejaman dan kezaliman dengan ISA.

Saya yakin dan percaya kalau Najib merasakan ISA dapat membendung penagaruh pembangkang dan menyelamatkan beliau beliau akan menggunakannya. Tetapi kerana sudah insaf ISA bukan lagi senjata, rakyat hari ini sedia berhadapan dengan apa saja, maka Najib sedia mengumumkan pemansuhan akta hutan rimba itu.

Keismpulannya pemansuhan ISA yang dibuat Najib adalah kejayaan rakyat dan Pakatan. Kalau rakyat dan Pakatan tidak memperjuangkannya Najib dan UBN tetap akan menggunakan akta usang dan lapok itu.

Pemansuhan itu tetap membawa keuntungan kepadanya. Di luar UBN mahu melihat kerajaan bersikap adil dan prihatin dari segi lain mereka dapat menggubal undang-undang baru. Kita sedang menunggu apakah rupa dan bentuk undang-undang baru yang bakal digubal nanti, ataupun ia tidak sempat tergubal kerana selepas ini Pakatan Rakyat mengambil alih negara? [wm.kl.11:19 am 19/09/11]

Saturday, September 17, 2011

Simpang Malam

Anwar Kena Sahut Cabaran Najib Untuk Berdebat

SELEPAS mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan dan beberapa akta dan undang-undang lain akan dikaji yang boleh disifatkan satu langkah berani Najib Razak, hari ini dia menunjukkan satu lagi keberanian apabila mengatakan tidak gentar dengan Anwar Ibrahim.

Katanya dia sedia berhadapan untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim ala-ala pemilihan presiden. Perdebatan itu berasaskan dan ruang demokrasi yang sedia ada.

Saya rasa bukan saja saya gembira dengan perkembangan ini tetapi orang lain juga. Saya tidak mahu soal siapa akan menang dalam perdebatan ini tetapi kalau peristiwa itu berlaku ia merupakan satu lagi perubahan politik di negara ini. Ia juga satu sejarah yang dicatat di era Najib selaku Perdana Menteri.

Sepatutnya semua pemimpin parti berdebat di antara satu sama lain mempertahankan hujah masing-masing dan dalam masa sama cuba menyakinkan rakyat dengan apa yang mereka hendak lakukan. Dalam perdebatan itu mereka boleh membantah agenda parti yang menjadi lawan mereka.

Sudah sampai masanya pendekatan politik dengan menyerang atau memiankan isu peribadi yang meloyakan dihentikan. Pendekatan dan stail politik demikian tidak membangunkan mida rakyat.

Selama ini ahli politik kita banyak menyerang seseorang dengan isu-isu peribadi yang meloyakkan tetapi bukan idea dan wawasan di antara satu lain. Negara sudah merdeka selama 54 tahun, elok kalau pendekatan secara profesional seperti debat itu dilaksanakan. Apa yang menjadi amalan Amerika Syarikat sewaktu hendak memilih presiden mereka diambil sebagai contoh.

Untuk tujuan itu biarlah rakyat mendengar dan membuat kajian. Selepas masing-masing membentang ageda untuk membangun negara serahkan kepada rakyat membuat pilihan. Berikan kebebasan akal dan fikiran kepada rakyat dan jangan tekan dan paksa rakyat dengan berbagai tektik yang busuk.

Kalau pun dalam perdebatan itu Najib ditakdir kalah, ia tetap akan dianggap satu keberanian dan seorang politik yang profesional. Najib tidak perlu merasa gerun dan menghadapi kekalahan kerana Anwar seorang yang cekap dan pintar memutar hujah. Rakyat selaku pengadil akan dapat membuat penialaian yang rasional.

Sebaliknya kalau dalam perdebatan itu kalau Najib dapat mengemukakan wawasan dan ideanya untuk membangun negara yang lebih baik, praktikal dan dapat diterima rakyat maka Najib akan disanjung oleh rakyat negara ini. Jangan takut kepada kekalahan kalau kalah dijalan yang benar atau landasan yang benar. Tidak guna menang tetapi kalau kemenangan itu di atas jalan yang palsu dan salah ia tidak memberi apa-apa makna.

Rakyat Malaysia marilahkan kita berdoa semoga jadi perdebatan di antara Najib dengan Anwar. Najib pula kalau selepas ini Anwar menyahut terimalah jangan berdolah dalih, terima saja. Apapun kenyatan dan cabaran Najib itu sedang dinilai oleh umum. Najib tidak akan dapat berdolak dalih selepas ini kecualilah sebelum tiba hari perdebatan itu Anwar dikirimkan ke penjara. Mungkin itu dijadikan alasan.

Mungkin juga Najib sudah tahu 'usia kebebasan' Anwar tidak berapa panjang kerana minggu depan perbicaraan Anwar dalam kes liwat sudah ke penghujungnya. Kalau begitu, ah Mat Maslan tahulah apakah natijah dan tektik Najib itu. Selamat. [wm.kl.9:00 pm 17/09/11]

Susupan Malam

Bila Ketua Pemuda Umno Tidak Cukup Makan?

PAGI tadi saya ke Hulu Langat kerana menemani seorang kawan untuk beli dua ekor kambing untuk aqiqah cucunya esok. Sementara menunggu taukeh kambing tiba untuk ke ladangnya, saya dan teman itu masuk ke sebuah restoran mamak bagi membasah tekak.

Dalam kedai itu adalah dua tiga orang berusia antara 50 hingga 60 tahun. Turut sama berada di kedai itu sekumpulan tiga orang anak muda berumur sekitar 30-an.

Saya dan kawan tidak pedulikan kepada tetamu dalam kedai itu. Hinggalah terdengar dialog berbunyi; "Macam mana kelmarin, kenapa sampai tumbuk menumbuk. Katanya sampai bengkak bengkil...?" pertanyaan itu terlantur dari salah seorangnya dalam sling Minang.

Mendengar dialog itu saya berhenti menghirup air, mula memasang telinga untuk mengetahui apa sebenar kisahnya.

"Tak ada pun, cuma soal hutang saja, ketua pemuda minta hutangnya dibayar. Dia upah samseng kampung ini untuk minta hutang. Tak banyak cuma RM600 sahaja," jelas seorang anak muda panjang lebar.

"Habis?" Soal yang seorang lagi penuh minat.

"Orang itu dah bayar sebanyak yang diminta, tetapi samseng itu minta tambah sampai RM1,500 mana dia ada duit, jadi dilempang, ditumbuklah..." jelasnya anak muda itu lagi.

Si bertanya terdiam dan faham cerita berkenaan. Saya yang memasang telinga masih kabur, siapa yang tumbuk siapa dan siapa yang menyuruh samseng tumbuk.

Selepas tiga anak muda itu beredar saya menghampiri ke meja tetamu yang berusia 50 - 60an itu. Dari situ baru saya faham cerita sebenarnya. Menurutnya ketua pemuda salah sebuah cawangan di bahagian berhutang dengan ketua pemuda Umno bahagian sebanyak RM600.

Ketua pemuda minta beberapa kali tetapi si ketua pemuda cawanagn itu liat untuk membayarnya. Ketua pemuda berkenaan lalu mengupah samseng untuk punggut wang berkenaan.

"RM600 sahaja sampai bertumbuk?" Aceh saya.

"Iya RM600 sahaja. Tetapi Encik zaman ni RM600 pun dikira besar. Zaman ekonomi merudum katakan. Zaman Umno sudah tidak ada projek ini sejak Selangor kalah, orang Umno payah cari makanan selama ini mereka cari makan menerusi kroni saja. Kontrek kecil-kecilan semua diberikan kepada kroni parti yang memerintah.," katanya lagi seakan berkhutbah.

"Iya macam dulu juga masa Umno memerintah semua projek diberi kepada kroni Umno, dari baiki longkang sampai kepada kerja buang sampah, semuanya dikaut oleh Umno..kali ini giliran Pakatan Rakyat," balas kawannya seperti menyinis.

saya tidak bersambung mulut lama dengan tetamu restoran itu dan berlalu ke ladang kambing sebaik taukehnya tiba.

Dalam perjalanan ke ladang kambing saya tersenyum sendiri bila mengenang peristiwa itu. Lucu gara-gara RM600 orang boleh upah orang tumbuk kawan dan penyokong sendiri sampai bengkak bengkik. Bayangkan macam mana kalau melibatkan wang sampai RM500 juta. Tentu boleh membunuh?

Mengingati kejadian itu tersendak juga di sudut hati saya apakah sampai ke tahap itu sekali Pemuda Umno Malaysia sekarang ini? Kalau berjumpa dengan Khairy Jamaluddin ketua Umno Malaysia yang tidak ada kuasa ingin saya tanya apakah dia sudah tidak peduli nasib anak buahnya sampai bertumbuk kerana hutang hanya RM600? [wm.kl.7:54 pm 18/09/11]

Bidasan Petang

Tirulah Nik Aziz
Ketetepannya Dalam Perjuangan Tidak Berubah


BANYAK perkara yang boleh ditiru atau dalam istilah dunia media massa kini copy page daripada Tok Guruku Nik Abdul Aziz Nik Mat. Allah s.w.t. menurunkan beliau dan kesediaan memasuki buana politik sebagai model untuk diteladani dan dihayati bukan saja untuk dipuja dan puji.

Untuk mencari contoh terbaik Nik Aziz ini memerlukan mata yang cerah dan jilah. Kalau mata kabur, terutamanya mata batin buta maka tidak akan ditemuilah rahsia dan hikmah kenapa Allah turunkan dan restui Nik Aziz jadi pemimpin gerakan Islam selama lebih 20 tahun.

Mata batin yang kehilangan manik akan melihat kemunculan Nik Aziz sama dengan penurunan orang lain ke kancah politik yang kebanyakannya untuk mendapat kuasa dan kedudukan atau berglamour.

Sejak dari dulu hingga kini Nik Aziz istiqamah dalam bercerita sebab dan mula beliau menerjunkan diri dalam politik. Sejak saya mendampingi dan membicarakan isu-isu politik nasional termasuk sejarah bagaimana beliau menginjak kaki ke buana politik (Pas) Nik Aziz tidak pernah 'mereng' dalam ceritanya, menjelaskan bahawa beliau menyertai politik kerana merasa hina diri.

"Ana rasa hina diri sendiri apabila melihat ustaz dan ulama lain ditangkap dan dipenjara kerana demi memperjuangkan agama Allah. Di sinilah timbul dalam kepala ana, apa aku harus buat. Masakan aku hendak melihat begitu saja mereka itu ditangkap dan dikurung sedangkan mereka berjuang untuk Allah," demikian cerita Nik Aziz 20 tahun lalu.

Jelas beliau, beliau tidak senang duduk apabila beberapa orang tok guru dan ustaz dari Pas ditangkap dan disumbat dalam penjara menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penangkap itulah menyebabkan beliau bermahasabah dan bertanya dirinya kenapa beliau tidak ditangkap sedang beliau juga memperjuangkan agama. Waktu itu pada fikirannya tangkapan merupakan satu pengikhtirafan bahawa dia adalah pejungan Islam tulen.

"Jadi bila ana berada diluar mereka di dalam (penjara) ana merasakan seperti tidak berjuang dan bersalah. Walhal ana perlu menyambung tugas mereka," tegasnya. Selepas berfikir begitulah beliau telah menyertai gerakan politik dan menjadi calon Pas pada pilihan raya kecil Parlimen Pengkalan Chepa tahun 1967.

Dalam kata mudah Nik Aziz menyertai politik kerana merasa tercabar dengan tindakan kerajaan UBN yang ketika itu Perikatan dibawah pimpinan Tun Razak Hussein dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang melakukan penzaliman terhadap para pemimpin Pas terdiri dari ustaz dan tok guru pondok.

Beberapa orang ustaz dan tok guru pondok yang menyokong Pas yang ditangkap termasuklah Tuan Guru Haji Mohamad Abdullah (Pasir Mas), Tok Guru Haji Omar Daud Pohon Buluh, (Pasir Mas) Tok Guru Haji Yaakob Ishak (Tumpat), Tok Guru Haji Daud Kubang Pak Amin (Pasir Mas).

Tok Guru Haji Sulaiman Omar (Tumpat) dan beberapa orang wakil rakyat termasuk Nik Abdullah Arsahd, Pengkalan Chepa, Haji Hassan Haji Ismail, Saufi Idris, Ahmad Tabrani Harun, Haji Mohd Noor Haji Abdullah dan Ahmad bin Yatim Rantau Panjang.

Mereka ini ditangkap dibrainwash supaya meninggalkan Pas dan menyertai Perikatan. Mereka semua dikurung dan tidak dibawa ke mahakamh untuk orang ramai mengetahui apakah kesalahan yang mereka lakukan sehingga ditahan.

Kesan kepada kejadian itulah menyebabkan Nik Aziz merasa bersalah dan memutuskan untuk terjun ke arena politik secara aktif menyertai pilihan raya.

Hari ini ketika membuat ulasan berhubung pemansuhan ISA oleh Najib Razak, Nik Aziz masih menyebut akan kisah sebermula beliau menerjun diri ke dalam politik seperti mana beliau ceritakan kepada saya itu. Katanya kerana kekejaman ISA yang menahan tok guru Paslah menyebabkan dia aktif dalam politik.

Apa yang hendak ditekankan disini, pendirian dan sikap berani Nik Aziz itu patut dicontohi oleh semua orang Pas terutamanya yang bercita-cita hendak jadi pemimpin. Mereka yang kini berangan-angan untuk menjadi calon dalam pilihan raya perlu ada satu pendirian tegas kenapa mereka ingin bertanding. Mereka harus menetapkan matlamat mereka sebelum menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya.

Sekiranya ada yang ditawarkan oleh mana-mana pihak juga perlu menilik ke dalam diri sebaik mungkin apakah mereka wajar, bersedia dan mampu untuk menjadi pemimpin. Janganlah kesanggupan atau keinginan untuk jadi calon itu kerana semata-mata untuk memegang jawatan itu sebagai punca rezeki atau punca pencarian untuk memelihara anak-anak dan isteri. Dan jangan juga kerana kita didesak oleh orang lain.

Setiap dari mereka kena tanya, kenapa aku perlu bertanding dan jadi wakil rakyat. Apakah sebab musabab maka aku perlu bertanding. Kalau Nik Aziz takala awal menjadi wakil rakyat kerana merasa tercabar atas perbuatan kejam dan zalim kerajaan ke atas pemimpin Pas, nah kita (kamu) apakah yang mencabar sehingga kamu tergila-gila untuk bertanding?

Begitu juga kepada mereka yang sudah menjadi wakil rakyat khususnya yang lebih dari dua penggal harus bermuhasabah diri sendiri. Apakah selama lebih kurang 15 tahun berkhidmat itu diri masing-masing sudah dapat membantu perjuangan. Perlu dianalis sebaik mungkin apakah jasa-jasa dan bakti kepada agama, masyarakat dan parti?

Ikhlaslah dalam perjuangan. Kalau kita dapat merasakan jasa dan bakti kita tidak sejauh mana, undurlah secara terhormat. Berilah laluan kepada orang lain yang dirasakan lebih mampu daripada kita. Jangan ingat kerana kita Yang Dipertua kawasan maka kita wajib bertanding. YDP hanya jawatan yang dipilih oleh instrument yang memihak kepada kita. YDP tidak semestinya automatik perlu bertanding.

Sekali lagi dikatakan prinsip yang dipancang oleh Nik Aziz itu perlu diambil iktibar. Jadikan ianya sebagai contoh dan teladan. Kalau benar kita semua (kamu) sayangkan kepada Nik Aziz perbuatlah apa yang beliau telah laksanakan selama ini. Dalam pilihan raya ini sama-sama kita tengok berapa orang yang sedia untuk berundur diri dengan cara terhormat dan mengakui kelemahan dan ketidakmampuan diri sendiri.

Kalau tetap masih ada yang merasakan dia masih larat, atau dia masih patut jadi pemimpin dan wakil rakyat kerana kedudukan dan memegang jawatan dalam parti, ternyata orang-orang itu adalah munafik. Dalam bahasa modennya mereka adalah sang hipokrasi. Sekiranya para munafik ini dibiarkan sudah pasti natijah dan bahanannya akan menimpa parti. [wm.kl.2:10 pm 18/09/11]

Friday, September 16, 2011

Ulasan Isu

Pemansuhan ISA Umpan Pilihan Raya

SATU persatu tampaknya Najib Razak telah cuba memenuhi tuntutan dan desakan rakyat. Apa yang disuarakan oleh rakyat dan digemakan oleh Pakatan Rakyat cuba ditunai dengan harapan rakyat tidak akan marah dan meradang kepadanya. Dari satu sisi ia memperlihatkan Najib seorang pemimpin yang sedia mematuhi kehendak rakyat atau pun memahami apa yang bergelora dalam rongga jiwa rakyat.

Malam tadi, satu lagi desakan rakyat telah dilunasi oleh Najib apabila beliau mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang berusia lebih 50 tahun yang zalim dan menyeksakan itu akan dimansuhkan. Pastinya pengumuman itu melegakan hati setiap rakyat negara ini dan mengejutkan kalangan mereka yang mempertahankan akta itu selama ini.

Tidak syak sesetengah merasa terkaget dengan tindakan Najib itu. Mereka seolah tidak percaya kalau Najib sedia membuat pengumuman itu. Apakah Najib sudah membuang tabiat? Yang pastinya Najib sudah membuat perhitungan mengenai untung dan rugi, luar dan dalam kalau akta itu dikekalkan atau dimansuhkan.

Dalam neraca atau mirzan ini Najib mengira pemansuhan itu akan menguntungkan politiknya. Dalam kata lain pemansuhan itu bukan sangat atas kepentingannya atau munasabah kenapa akta itu perlu dimansuhkan tetapi kerana mengharap benefit politik?

Sudah lama para aktivis yang terdedah dengan tindakan menerusi akta berkenaan membantah. Mereka yang ingin bergerak secara agresif dan niat serong ke atas negara akan merasa gerun dengan adanya ISA. Golongan hak asasi negara ini juga mendesak agar ia dimansuhkan. Akta berkenaan yang boleh menahan seseorang dalam tempoh 60 hari tanpa bicara satu kezaliman, demikian tafsiran mereka. Oposisi pula yang memperjuangkan agar akta itu tidak membayangi mereka menganggap ISA sebagai undang-undang kuno.

Akta itu ditubuhkan di zaman darurat. Ia mempunyai signifiken tersendiri. Tujuannya untuk menghalang kegiatan subversif serta mereka yang ada niat menganggu gugat ketenteraman negara. Bagi saya kewujudan ISA ini subjektif, ada baik dan ada buruknya. Tidak baiknya apabila akta itu dieksploitasi untuk kepentingan politik dan beberapa peraturan melaksanakannya dilihat sebagai sadis dan bertentangan dengan prinsip agama.

Akta berkenaan dari satu sisi sangat penting buat negara yang kondisi warganya yang rencam untuk menjamin keselamatan. Pada saya ISA masih relevan tetapi beberapa perkara mengenai yang tidak relevan dan perlu diperbaiki. Sebelum ini pihak yang mahu akta berkenaan dikekalkan meminta ianya diperkemaskan dan membuang mana-mana ciri-ciri yang kejam dan zalim, bukan mansuhkan terus. Akta itu tetap baik tetapi perlaksanaanya yang perlu dipertikaikan. Seperti mana kewujudan Inchek Ibrahim Ali sebagai manusia tetap baik tetapi moral politiknya buruk dan busuk.

Sebenarnya dalam melihat kewujudan akta tersebut tidak boleh diukur dengan perkembangan dunia. Negara ini tidak boleh dipadan dengan negara-negara luar. Bukan bermakna bila negara lain tidak ada ISA, maka kita juga perlu mansuhkan ISA. Kalau ukuran itu dibuat ia satu kesilapan. Najib atau sesiapa juga memerintah tidak seharusnya mengikut rentak dan gendang dunia seluruhnya sebab rupa negara kita berbeza.

Seperti mana hukum hudud, qias dan sebagainya, hukuman itu baik dan membawa keberkatan tetapi yang dipersoalkan perlaksanaan. Apa-apa pun undang-undang dan peraturan asasnya ia digubal dengan niat yang baik. Demikian dengan matlamat penggubalan ISA itu sendiri ia bermaksud untuk kebaikan negara.

Hari ini, atau malam tadi Najib mengumumkan ISA dan beberapa akta lain dimansuhkan atau akan dikaji. Antaranya akta Buang Negeri 1959. Turut sama mengalami perubahan ialah Akta Mesen Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kediaman Tetap 1933 juga akan disemak semula begitu juga dengan Seksyen 27 Akta Polis 1967 akan dikaji semula dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Secara umumnya pemansuhan itu dialu-alukan dalam konteks naluri rakyat tetapi belum dapat disahkan apakah ia berkesan atau benar-benar mencapai kehendak rakyat sebelum ini. Misalnya Akta Mesen Cetak dan Penerbitan 1984 permansuhan pembaharuan permit pada setiap tahun adalah langkah yang tepat kerana proses pembaharuan yang diamalkan selama ini sudah kuno dan menyusahkan. Dengan peraturan dan prosuder yang ada menyebabkan pegawai yang menguruskannya boleh buat ikut suka mereka saja.

Menilai tindakan dan hadiah Najib kepada rakyat yang diumumkan sempena Hari Malaysia itu sesuatu yang perlu diterima dengan baik tetapi tetap ada kecacatan dan kepincangannya. Apa dilakukan Najib pada saya satu keberanian seorang perdana menteri. Ia mengatasi apa dilakukan oleh bekas dua PM sebelum ini, Abdullah Badawi dan juga Mahathir Mohamad. Untuk itu tahniahlah Najib.

Kalau Abdullah membuka ruang kebebasan kepada akhbar, tetapi Najib nampak membuka pintu penjara ISA di mana ia akan disambut rasa lega. Manakala kalau Mahathir suka menyumbat orang ke dalam ISA, tetapi Najib nampaknya menutup pintu penjara ISA. Menyimpul segala perubahan dan perubahan Najib itu adalah perubahan yang dituntut oleh rakyat. Ianya sudah lama ditagihi oleh rakyat sehinggakan ia telah menjadi 'lagu kebangsaan' buat mereka. Terbentuknya GMI - Gerakan Mansuhkan Isa, menandakan betapa klasiknya kebencian kepada akta berkenaan.

Sekiranya Najib atau UBN mengharap rakyat berterima kasih dan merasai senang dengan kerajaan UBN atas pemansuhan itu ia mungkin satu kesilapan. Jikalau pemansuhan beberapa akta dan undang-undang diharap rakyat akan memberi sokongan, ia tidak begitu berkesan, kerana pada rakyat yang terlibat dalam menuntut itu merasakan pemansuhan itu kemenangan mereka bukan kerana jasa kerajaan khasnya Najib.

Kesimpulannya natijah politik yang diharapkan Najib tidak banyak memberi untung. Apa lagi pemansuhan itu dibuat saat menjelang pilihan raya ia tidak dapat tidak akan ditafsirkan sebagai umpan pilihan raya. Apa saja yang disifatkan sebagai umpan ia adalah satu penipuan atau tektik, seperti mana umpan disangkut dimata kail untuk menangkap ikan.

Walhasilnya tindakan Najib itu samalah dengan mencurah garam ke laut atau memberi dedak kepada lembu yang selamanya memakan rumput! He he.... teringat Mat Maslan ketawa. [wm.kl.11:02 am 16/09/11]

Wednesday, September 14, 2011

Terlupa Pos

Pilihan Raya: PR Elok Bersiap Sedia Jangan Mendesak

PAKATAN Rakyat khasnya Pas seakan tidak mahu pilihan raya dilewatkan. Mereka mahu pilihan raya diadakan pada tahun ini juga. Bila Mahathir mahu Najib lewatkan pilihan raya Pas menyinis Mahathir dengan pelbagai krtikan. Semuanya menunjukkan mereka tidak setuju kalau pilihan raya dilewatkan.

Naib Presiden Pas Sallahuddin Ayub berpendapat tindakan Mahathir itu menekan Najib. Apa yang cuba hendak disampaikan Sallahuddin, Najib di bawah kekuasaan bekas PM itu. Manakala seorang lagi Naib Presiden Mahfuz Omar pula berpendapat Mahathir cuba mahu mengederai Najib?

Apakah Pas sendiri sudah siap sedia untuk menghadapi pilihan raya kalau ianya diadakan pada tahun ini. Apakah muslihat Pas? Apakah Pakatan Rakyat sendiri sudah sedia dalam masalah pembahagi-bahagikan calon-calonnya? Bagaimana dengan pembahagian kerusi sesama mereka? Apakah semuanya sudah beres dan tidak akan berlaku ungkit mengungkit di saat-saat akhir?

Apabila Pakatan Rakyat mahu pilihan raya dipercepatkan ia menunjukkan mereka sudah bersedia. Di sisi lain pula mungkin mereka berpendapat bahawa UBN kini dalam keadaan tertekan. Kita tahu kenapa kalau Pas mahukan pilihan raya disegerakan. Dalam perhitungan mereka kalau dilambatkan ia memberi ruang dan keadaan lebih baik kepada UBN. Dengan melambatkan pilhan raya menyebabkan UBN akan dapat bernafas dengan lega.

UBN akan menggunakan peluang itu untuk memperbetulkan beberapa kecatatan atau menyelesaikan beberapa kepincangan. Misalnya isu Bersih UBN masih dalam usaha untuk memberi keyakinan kepada rakyat. Bersih sudah memberi satu tekanan kepada UBN. Maruah dan imej Najib gara-gara Bersih itu sedikit merudum.

Dalam kes dan isu Berih ini menyerlahkan kepimpinan Najib sebenarnya. Bagaimana Najib menjadi sangat naif dalam menguruskan Bersih yang tidak sepatutnya berlaku kepada seorang perdana menteri. Najib mulanya kelihatan begitu terbuka tetapi akhirnya jadi hilangan kawalan diri dan jadi dolak dalih.

Begitu juga dengan masalah ekonomi hari ini tidak memihak kepada UBN. Beberapa tindakan dilakukan Najib tidak memberi kesan. Pelabur luar yang sudah dipanggil tetapi juga tidak minat untuk melabor ke negara ini. Ini semua menjadi masalah kepada UBN dan khasnya Najib.

Mungkin situasi itu dapat dilihat dengan jelas oleh Mahathir di mana kalau pilihan raya diadakan ketika ini menyebabkan UBN akan kalah. Berbeza pula dengan Pakatan Rakyat suka kalau pilihan raya diadakan sekarang, terutamanya semasa Anwar Ibrahim masih berada di luar.

Apapun untuk Pakatan Rakyat jangan sangat mendesak agar pilihan raya diadakan. Apa yang sebaiknya UBN perlu bersiap sedia menghadapi pada bila-bila masa saja. Najib akan mengumumkan pembubaran Parlimen apabila dia sudah merasakan kedudukan UBN di semua peringkat sudah selesa dan peluang untuk menang melebihi 70%.

Mengenai Mahathir pula dalam hal ini beliau ada serampang dua mata. Baginya elok kalau pilhan raya diadakan selepas pemilihan Umno kerana beliau ada agenda tertentu dalam pemilihan kali ini. Bagi Mahathir antara pilhan raya dengan perhimpunan agung Umno ia lebih penting perhimpunan agung Umno sebab itulah beliau mencadangkan supaya pilihan raya dilewatkan. [ttdi.10:27 am 15/08/11]

Berita Pagi

Himpunan Sejuta Ummah Selamatkan Aqidah

BEBERAPA Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam bermaufat dan tekad akan menganjurkan Himpunan Sejuta Ummah - Menyalamtkan Aqidah pada 22 Oktober depan tempat yang dicadangkan ialah di stadium Shah Alam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang semalam, himpunan itu akan mengundang seluruh NGO Islam untuk menzahirkan kesatuan ummah Islam dalam menjaga amanah terhadap agama Islam di negara ini seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan tanpa menafikan hak agama lain.

Kenyataan ringkas itu menjelaskan latar belakang majlis berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abd Hamid (foto) yang turut dihadiri sama oleh beberapa pemimpin NGO Islam.

Menurut Azmin antara lain tujuan himpunan itu bagi menzahirkan kekuatan umat Islam di negara ini tanpa menafikan hak dan kebebasan agama lain yang dibenarkan.

"Kita masih tegaskan dalam himpunan ini jangan sesekali mencabar qidah umat Islam," tegasnya.

Selain itu tujuan himpunan itu juga bagi mengingatkan kepada rakyat negara ini, bahawa Islam ada penaungnya iaitu Raja-Raja Melayu dan semua diharap menghormati kedudukan dan institusi berkenaan.

Mengenai pengisian majlis itu jelas Azmi antaranya ia akan dipenuhi dengan pidato oleh wakil-wakil NGO. Dalam pada itu pihaknya masih mencari beberapa tokoh-tokoh Islam lain untuk ditampilkan sama pada majlis itu. "Kita mencari seberapa banyak tokoh-tokoh yang komited dengan Islam untuk hadir sama," jelasnya.

Menurutnya, satu deklarasi juga akan dikeluarkan yang akan dibaca oleh pemimpin NGO di akhir himpunan.

Dalam pada itu sebuah sekretariat telah diwujudkan bagi menggerakkan himpunan berkenaan yang boleh disifatkan yang pertama kali diadakan selepas kedudukan agama Islam dicabar akhir-akhir ini.

Beliau berharap himpunan itu akan dihadiri oleh setiap umat Islam yang sayangkan agama dan mahu mempertahankan agama Islam di negara ini tidakcuba diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Jelas beliau lagi himpunan itu juga dihadiri atas semangat Islam dan perpaduan kerana itu ia tidak kira ideologi dan fahaman politik. Ulasan selanjut selepas ini. [wm.kl.8:27 14/08/11]

Tuesday, September 13, 2011

Pendedahan Malam

Penjualan Tanah Untuk Universiti Perdana Perlu Telus
Tanah Dijual RM7 Sekaki Persegi?

HASIL daripada pindaan Akta Pendidikan 1996 yang dilakukan menteri pendidikan ketika itu Najib Razak kita menyaksikan perkembangan pendidikan di negara ini sungguh memberangsangkan. Sejajar itu pelabagai kolej dan universiti swasta yang berkembar dengan universiti luar tumbuh bagaikan cendewan lepas hujan. Berbagai kurus profesional dapat diambil dari sini dan tidak perlu terbang ke luar lagi.

Ironisnya industri pendidikan kebanyakan dimonopoli oleh bukan Melayu ini menyebabkan pindaan yang mendapat tentangan itu seolah-olah memenuhi keinginan dan tuntutan bukan Melayu. Dalam erti kata lain industri itu menempang kemajuan Melayu yang diperjuangkan oleh Umno.

Manakala kolej atau sekolah swasta milik Melayu dan separuh kerajaan mati atau lumpuh satu demi satu apabila tidak mampu bersaing dengan IPTA Swasta.

Sewaktu akta itu dipindaan dulu berlaku perbincangan hangat di Parlimen. Seperti biasa pembangkang terutamanya Pas, bimbang dengan pindaan itu menyebabkan dunia pendidikan akan mengalami perubahan yang negatif dan mengurangkan semangat patriotik disebabkan penularan unsur-unsur luar menerusi pendidikan yang bebas dan terbuka yang tidak lagi menekan soal syaksiyah dan akal budi.

Beberapa pindaan khasnya membabitkan penubuhan sekolah asas (pra sekolah) yang dikenakan permit atau kawalan ketat oleh kerajaan menimbulkan kegusaran dan kemarahan pihak pembangkang yang mahu dunia pendidikan Islam diberi perhatian sama adil dan tidak ada usaha menindasnya. Menerusi pindaan itu menyebabkan sekolah berorentasikan Islam disukarkan dan sekolah pendidikan sekular diberikan kebebasan sepenuhnya di samping bantuan kewangan dan kemudahan infrastruktur.

Hari ini kebimbang yang disuarakan ke atas pindaan akta itu sudah menunjukkan kesan yang tidak baik. Lambakan universiti swasta menyebabkan pendidikan awam dan swasta yang dikenalikan anak-anak tempatan tidak mendapat sambutan, malah sudah banyak yang gulung tikar. Akibat itu juga berlalu lambakan penganggur dari universiti IPTA kerana syarikat lebih memberi keutamaan kepada lepasan kolej dan universiti swasta kononya mereka lebih berkualiti.

Mengenai universiti baru itu yang dinamakan Universiti Perdana bersempena dengan nama syarikat kontraktor yang mengendalikannya, ia dibangunkan menerusi projek kerajasama awam swasta yang diusahakan oleh Unit Kerjsama Awam Swasta (Ukas) dan Acedemic Medical Centre Sdn Bhd (AMC). Syarikat ini dipengerusikkan oleh seorang kontraktur.

Menurut perancangan awal institiusi itu akan merintis untuk menjadi hub pendidikan, penyelidikan dan perkhdimatan kesihatan di negara demi melihat negara ini bakal mempunyai universiti kesihatan dan perubatan bertaraf kelas dunia.

Sebenarnya kita tumpang gembira atas kewujudan universiti tersebut kerana ia memberi ruang pendidikan (dalam bidang perubatan dan kajian) untuk anak-anak bangsa kita. Sekaligus kita juga memiliki institusi pendidikan perubatan yang setanding dengan negara luar. Tetapi mungkin ramai di kalangan kita tidak tahu kisah di sebalik penubuhan universiti berkenaan yang telah mengorbankan beberapa hak awam dan juga kerajaan lainnya.

Universiti itu akan dibangunkan atas tanah milik Mardi. Pejabat Mardi di Serdang dikatakan dijadikan kampus utamanya manakala hospital awam Serdang akan dijadikan makmal kajian pelajarnya.

Apa yang tidak berapa sedap didengar, katanya untuk tujuan pembinaan universiti itu sekeping tanah seluas 100 hektar telah dijual dengan harga yang jauh lebih murah kepada syarikat berasaskan kontrektor itu. Tanah dikatakan milik UPN itu ijual dengan harga RM7 sekaki berbanding dengan harga tanah di Seri Kembangan yang terletak di sebelah yang kini dinilai sebanyak RM200 sekaki persegi. Kenapa begitu murah dan apa istimewanya universiti itu?

Universiti itu juga semacam eksaklusif untuk anak-anak bangsawan saja. Seramai 150 orang pelajar yang akan diambil setiap tahun sebagai permulaan akan diberi biasiswa sebanyak RM750,000 seorang sehingga tamat pengajian ke peringkat digree. Kali dan kiralah sendiri berapa banyak peruntukkan untuk 150 orang penuntut?

Dengan kapasiti sebanyak itu sudah tentu anak-anak orang kampung tidak akan mendapat banyak manfaatnya dari penubuhan universiti itu. Yang akan ditampung nanti ialah anak-anak orang kaya, bangsawan dan kenalan para pengarah syarikat atau senat universiti itu saja. Persoalanya apalah perlu universiti berkenaan kalau ianya untuk menampung anak anak orang yang sudah berada dan kenapa kerajaan perlu lagi mengeluarkan biasiswa?

Najib Razak yang melancar universiti tersebut dan telah menyerahkan watikah perlantikan Mahathir sebagai censelor pertama perlu memantau perkara ini agar ianya bermanfat kepada orang kampung dan universiti bukan dijadikan ruang untuk menampung anak-anak orang yang sudah berwang. Kalau boleh tanpa ada laporan juga SPRM perlu memantau betulkan tanah milik Mardi itu dijual dengan harga RM7 sekaki?

Mengenai pengambilan tanah Mardi dan UPN untuk tujuan pembinaan kampus itu juga perlu dibentangkan kepada umum untuk diketahui apakah munasabahnya tanah diberikan harga semurah itu. Jangan disebabkan syarikat yang mendapat projek berkenaan orang kita, kenalan kita maka ia diberikan pengecualian sehingga membebankan negara. Satu masalah dan menjadfi prosuder di negara ini sesebuah projek melibatkan hak awam baru akan diberi tahu kepada parlimen selepas ianya diungkit. Apa sepatut berlaku parlimen perlu dimaklumat mengenai sesuatu projek seperti universiti yang membabitkan pembelian tanah awam dan bukannya diberi selepas ia ditimbulkan.

Kalau dalam kes PKFZ ia menjadi isu hangat dan menyebabkan menteri terbabit dihadap ke mahkamah atas dakwaan cuba menipu kabinet, maka apakah dalam kes pengambilan tanah milik Mardi itu tidak wujud penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa? Kalau betul ia dijual dengan harga semurah RM7 sekaki saya jamin ada sesuatu yang sangat tidak kena. Tanah Felda berapa sekaki Mat? (Mat Maslan). [wm.kl.10:51 pm 13/08/11]

Pemakluman

Haron Din Ke AS Untuk Rawat Jantung

TIMBALAN Mursyidul Am Pas, Dr Haron Din telah terbang ke Amerika Syarikat dua hari lepas untuk menjalani pembedahan jantung. Beliau menghadapi masalah jantung awal Ramadhan baru-baru ini Haron telah masukkan ke Institiut Jantung Negara (IJN).

Pemergian beliau ke Amerika adalah untuk menjalani rawatan susulan rawatan yang dilakukan sebelum ini.

Orang ramai dan penjenguk blog Merah Tinta diminta berdoa agar rawatan yang bakal diterima berjalan lancar dan selamat. Dalam pada itu menurut satu sumber kemungkinan pembedahan bakal dilakukan melibatkan pembedahaan yang serius.

Keberangkatan beliau ke Amerika khabarnya tidak ramai diketahui oleh pemimpin tertinggi Pas. [wm.kl.8:12 pm 13/08/11]