Sempena kemerdekaan negara ke-50 Pemuda Umno telah mencuri peluang untuk menjual keprihanan mereka dengan mengingati perjuangan bekas Perdana Menteri ke-2 Tun Abdul Razak Hussein melalui satu seminar – Legasi Tun Abdul Razak.
Elok dan sesuai benarlah seminar tersebut dibuat untuk membangkitkan dan mengenang perjuangan Tun Razak dalam membawa keluar bangsanya dari kawat duri kemiskinan, penindasan dan sekaligus melakarkan peta negara di mata dunia.
Seminar itu kena pada masanya kerana orang Melayu kini seperti dalam keadaan kerosakan kompas!
Apa yang diharapkan dari seminar berkenaan ialah agar generasi muda tidak lupa kepada sejarah dan perjuangan orang-orang terdahulu. Tahniah dan terima kasih kepada pencetus idea terutamanya nadi seminar berkenaan, Akademi Pemuda Umno yang dipengerusikan oleh Khairy Jamaluddin.
Nampaknya Pemuda Umno di dalam brutalnya masih ada rasa hormat kepada orang tua!
Rapatkan diri
Sedikit sebanyak dengan adanya seminar berkenaan, generasi muda yang terpisah jauh baik dari segi geografi, masa dan keadaan dengan generasi terdahulu dapat merapatkan diri dan mengenali suka duka serta menghidupkan perjuangan ‘bapa-bapa’ mereka terdahulu.
Seminar berkenaan berlangsung selama dua hari bermula pada 15 dan berakhir pada 16 Jun lalu. Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib, anak sulung kepada Tun Razak telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama seminar berkenaan kemudian merasmikannya.
Sebagai anak sulung, apa lagi satu-satunya anak Tun Razak yang menurut jejak bapanya, (berpolitik) Najib sangat tahu mengenai perjuangan ayahnya. Beliaulah mungkin orang paling hampir dan sesuai untuk memperkatakan mengenai diri, sifat dan perangai ayahnya selaku perjuangan bukan di medan tetapi di halaman rumah!
Pun begitu khbarnya Najib sebak ketika mengisahkan perjalanan dan membayangi liku-liku perjuangan ayahnya. Kesebakan itu menunjukkan Timbalan Perana Menteri itu insaf betapa suci dan perihnya perjuangan bapaknya serta para pemuka rakyat terdahulu.
Mungkin ada sesuatu yang berdelima didalam jiwanya ketika beliau memberi ucaptama itu sehingga beliau menjadi sebak dan hiba!
Seperti mana difahami maksud seminar itu ialah untuk membangkitkan nostalgia mengenai Tun Razak di kalangan generasi muda khasnya Pergerakan Pemuda Umno yang menjadi generasi pelapis. Atas motif dan tujuan itulah maka Khairy beriya mengadakan seminar berkenaan.
Sebenarnya banyak maduk ataupun kisah perjuangan Tun Razak yang boleh dibangkitkan. Beliau meninggalkan berbagai legasi kepada anak bangsanya. Kisah itu tidak akan terungkap dalam satu malam atau menerusi satu seminar saja.
Bagaimana pun antara jasa-jasa besar yang ditinggalkan Tun Razak yang disifatkan sebagai jurutera dan arkitek bangsa, ialah berhuhubng dengan pembangunan negara dan pembentukan masyarakat menerusi tiga aspek utama; politik, ekonomi dan pendidikan.
Tun Razak begitu obes kepada tiga bidang ini yang dijadikan asas dan teras kepada pembinaan plan pembangunan nasional negara iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas meletusnya tragedi berdarah 13 Mei.
Sejarah semua kaum negara ini tidak dapat menafikan akan kesuksesan DEB yang diilhamkan Tun Razak bersama teman-teman lain. Walaupun DEB bukan diteteskan oleh Tun Razak bersendirian namun ia ilihat begitu lebih mesra dan intim dengannya.
Legasi terbesar Tun Razak kepada bangsa dan negaranya ialah bagaimana beliau telah meletakkan perpaduan, politik dan pendidikan bangsa dalam satu acuan yang ampuh dan syumul (sempurna).
DEB telah menjadi wahana dalam perpaduan kaum negara. Sekarang ini kita bergerak atas acuan yang telah dibingkaikan oleh beliau itu. Sesiapa pun tidak dapat dinafikan hatta negara-negara luar termasuk negara kolonial sendiripun mengakui akan hakikat kebijaksanaan Tun Razak dalam hal ini.
Agen pengisi kemedekaan
Semua pihak khasnya orang Melayu di dalam Umno sepakat menerima Tun Razak sebagai pencetus kepada kedaulatan bangsa dalam erti kata sebenarnya. Tun Razak menjadi agen pengisi kepada kemerdekaan selepas beliau berusaha membentuknya.
Orang Umno tidak boleh menolak semuanya itu. Justeru menjadi kewajiban mereka juga kini untuk meneruskan dan mengimplimentasikan apa-apa juga legasi atau wasiat yang ditinggalkan oleh Tun Razak.
Jika sungguh orang Umno dan Pemuda Umno sangat sayang kepada Tun Razak mereka tidak hanya perlu setakat mengadakan seminar, membincang sambil mengenangkan kewiraan Tun Razak sebaliknya bersedia untuk menghayati dan bertindak melaksanakan legasi Tun Razak dalam kehidupan dan politik hari ini.
Begitu juga Najib bukan saja sekadar menjadi sebak tetapi bersedia mempetulkan semula landasan dan kiblat perjuangan dan nawaitunya sejajar dengan apa yang bapa beliau pacakkan itu.
Dalam hubungan ada satu perkara yang mungkin terlupa oleh Pergerakan Pemuda Umno dan juga kebanyakan ahli Umno seluruhnya mengenai pesanan atau warisan yang ditinggalkan oleh Tun Razak. Apa yang dimaksudkan ialah mengenai pemimpin yang ditinggalkan Tun Razak untuk menyambung perjuangannya dalam usaha membina dan membela bangsa.
Sebanrnya Tun Razak bukan saja meninggalkan legasi dari segi strategi ataupun formula untuk membela negara seperti mana dizahirkan DEB. Tetapi ia lebih penting daripada itu Tun Razak juga meninggalkan beberapa orang kawannya selaku pemimpin yang diharap meneruskan dasar dan polisinya.
Antara teman dan pemimpin yang ditinggalkan Tun Razak yang diharapkan untuk meneruskan perjuanganya ialah dua orang tokoh yang dipanggil untuk memberi ucapan pada seminar berkenaan iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam. Kedua tokoh ini boleh dikatakan membesar di bawah ketiak Tun Razak.
Kedua mereka didik dan bekerja dengan Tun Razak. Baik Tengku Razaleigh atau Musa mereka sangat setia dan menjadi penyokong dan pelaksana apa juga gagasan dan idea Tun Razak. Kalau hendak bercakap mengenai suka duka Tun Razak dalam membina dan membangun negara, kedua mereka ini lebih layak daripada anak-anak Tun Razak sendiri.
Mengenai DEB mungkin melampau kalau hendak dikatakan TengkuRazaleigh atau Musa turut sama duduk semeja dengan Tun Razak merancang dan berfikir bagaimana hendak melahirkan plan berkenaan. Tetapi suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan, apa-apa cabang atau hasrat menerusi DEB itu seperti Petronas, Pernas, Bank Bumuputera, UDA dan sebagainya jelas ianya dirancang dan dilaksanakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah.
Palaksana afdal
Berdasarkan kepada realiti dan sejarah itu sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa bekas Menteri Kewangan itu adalah legasi Tun Razak dan antara tokoh pelaksana afdal kepada cita-cita dan aspirasi politik Tun Razak.
Justeru itu sekiranya Pemuda Umno dan orang-orang Umno benar-benar sayangkan kepada Tun Razak, menerima wahana Tun Razak yang terbaik, menerima dan mengakui Tun Razak sebagai jurutera dan jurubina negara berdaulat, maka mereka hendaklah bersedia memberi peluang kepada ‘sub-kon’ nya iaini Tengku Razaleigh untuk meneruskan projek pembinaan negara.
Sesungguhnya dalam keadaan negara hari ini yang sudah rosak ianya bukan saja perlu diperbaiki segera, sebaliknya ianya perlu diserahkan kepada mereka yang pakar ataupun terlibat dalam merekacipta plan asalnya dan bukan dibiarkan kepada mereka yang tidak tahu ataupun tidak berwibawa menyebabkan pembinaan negara akan terus tersasau daripada aspirasi luhur Tun Razak.
No comments:
Post a Comment