MSO
MENTERI Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan sebagai telah membaikot akhbar Sinar Harian dengan melarang para pegawainya membawa masuk akhbar berkenaan ke dalam bilik pejabatnya.
Tindakan Nik Aziz itu ekoran sikap akhbar berkenaan dikatakan telah memberi laporan sensasi yang tidak menguntungkan Pas semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan minggu lalu.
Berita yang dikatakan tidak disenang MB itu ialah bertajuk “Sidang DUN Kelantan Tegang”.
Akhbar Sinar Harian satu-satunya akhbar harian diterbitkan di Pengkalan Chepa Kelantan.
Akhbar ini diterbitkan dan dicetak oleh Syarikat Akhbar Cabaran Sdn. Bhd., di mana permitnya kepunyaan bekas wartawan Utusan Malaysia di Kelantan, Wan Ahmad Wan Hassan. Wan Ahmad juga merupakan bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian Machang sekitar tahun 1980-an.
Tuan punya penerbitan akhbar dan majalah Karangkraf Sdn. Bhd., Hishamuddin Yaacob menjadi rakan kongsi yang menanggung percetakan dan penerbitan akhbar berkenaan.
Luaskan edaran
Akhbar ini mulai diterbitkan di Kelantan kira-kira sejak setahun lalu. Pada mulanya ia beredar di Kelantan dan Terengganu saja. Dua tiga hari lalu akhbar ini mula dikembangkan ke Pahang. Jumlah edarannya sekitar 60,000 naskah sehari.
Peringkat awal akhbar bersaiz tabloid ini bersikap bebas dengan menyiarkan berita kegiatan parti-parti politik tanpa mengira faham idealogi baik Pas maupun Umno.
Para pemimpin Pas sangat berbangga dengan kelahiran akhbar ini di mana ia dieksploitasikan sebagai satu lagi kemajuan dan pembangunan di Kelantan. Akhbar ini menjadi pujian pemimpin Pas Kelantan dengan menyifatkannya sebagai sebuah media yang bebas.
Wartawan akhbar ini bukan main lagi dilayan dan sering diundang ke majlis makan malam oleh pemimpin-pemimpin Pas Kelantan. Keghairahan itu menyebabkan ada yang melupai atau pun tidak terperasaan peranan akhbar nyamuk lain yang lebih jelas dan konsisten mempertahankan Kerajaan pimpinan Nik Aziz itu selama ini.
Kalangan pemimpin Pas tidak tahu dan kurang bijak dalam membaca politik akhbar berkenaan yang sengaja bebuat begitu dengan motif untuk menjinakkan Kerajaan Kelantan dan para penyokongnya (ahli Pas) agar terbiasa dengan akhabr berkenaan.
Untuk tujuan itu mereka sanggup menghidangkan apa saja berita yang disukai Pas dengan harapan selepas pembaca sudah serasi mereka perlahan-lahan akan menyuntik racun propaganda parti pemerintah dan dengan itu terlaksanlah agenda utamanya.
Apakah pemimpin Pas, khususnya mereka yang dikatakan pintar dan mesra IT serta ghairah mewujudkan media Pas mengetahui perkembangan dan juga politik akhbar tabloid berkenaan?
Umno beli empat muka surat
Bahawa hari ini pihak Umno Kelantan sudah membeli empat muka surat akhbar berkenaan pada setiap hari untuk diisi dan dimuatkan dengan berita-berita ataupun menyiarkan laporan berbentuk propaganda Umno.
Penulis difahamkan mulai Jun lalu Umno Kelantan membayar RM1,000 untuk satu muka ini bermakna Umno membayar RM4,000 sehari atau RM120,000 sebulan sehingga menjelang pilihan raya umum akan datang.
Untuk tujuan itu Umno telah melantik salah seorang bekas wartawan Berita Harian yang pernah menerima Hadiah Kajai untuk menjadi pengarang khas untuk empat muka surat berkenaan.
Umno memang tidak loket untuk kepentingan partinya. Tindakan itu menggambarkan kesungguhan Umno untuk menawan Kelantan. Sepatutnya orang Pas yang bijak dan pintar IT juga berbuat demikian dan tidak memandang enteng kepada akhbar nyamuk yang memberi ruang kepada mereka selama ini.
Keghairahan mewujudan pelbagai media (baik cetak, internet dan sebagainya) untuk membantu Pas tetapi tidak dimonitor dengan baik dilihat tidak banyak menguntungkan Pas sebaliknya membazirkan kewangan parti berkenaan.
Pemimpin Pas juga seharusnya tidak terus beranggapan apa yang dilakukan oleh akhbar nyamuk dan penulis bebas yang mendokong mereka selama ini dilakukan secara ikhlas sepanjang masa.
Mereka boleh terus berdiri atas prinsip itu, tetapi kalau ada pemimpin yang tidak ikhlas dan tidak sedikit pun cuba memahami pengorbanan mereka, apalah gunanya mereka bersekang mata dan menitiskan peluh berkorban kepada orang yang tidak pernah mengenangnya!
Mudah-mudahan maklumat kecil ini akan memberi kesedaran dan dijadikan iktibar oleh para pemimpin Pas Kelantan dalam menjalinkan hubungan dengan mana-mana pihak khasnya yang berkecimpung dalam lapangan penerbitan dan persuratkhbaran.
No comments:
Post a Comment