Sunday, November 11, 2007

Analisa Himpunan 100 Ribu

Dua Pilihan Abdullah: Bubar Parlimen atau Letak Jawatan!

MSO

SUDAH pasti seminggu dua ini bahkan sehingga menjelang pilihan raya umum nanti orang tidak akan habis-habis bercakap dan memperkatakan apa yang berlaku petang semalam; Himpunan 100,000 rakyat untuk menuntut agar pilihan raya negara ini diadakan secara bersih dan telus.

Setiap mereka yang hadir atau ikut sama dalam himpunan itu akan kembali ke rumah masing-masing dengan sebuah keyakinan, bahawa apa yang mereka tuntut menerusi Bersih, itu berjaya. Manakala bagi mereka yang menyaksi dari jauh atau mendapat maklumat daripada kawan atau menerusi internet turut sama merasai semangat himpunan itu. Masing-masing menerima dan mengakui penuh kebangaan bahawa Bersih berjaya membawa mesej jelas kepada pemerintah, bahawa apa yang mereka tuntut (organize) itu ada kebenarannya.

Bukti rakyat berani dan sanggup datang ke ibu negara untuk berhimpun. Jangan soal apakah jumlahnya mencukupi korom yang dikehendaki, iaitu 100,000 tapi apa yang penting perhimpunan itu berjaya diadakan. Rakyat tetap juga datang berduyung-duyung walaupun halangan dan sekatan jalan raya diadakan oleh pihak polis.

Rakyat tidak peduli kepada provokasi dan juga tidak termakan dengan rancangan pihak-pihak tertentu yang cuba mensebotajkan perhimpunan berkenaan. Kedegilan itu menunjukkan rakyat sudah sedia untuk tidak peduli lagi kepada keburukan yang berselindung di sebalik kebaikan!

Perhimpunan berjaya

Apabila perhimpunan berkenaan berlangsung dengan jayanya dan memorandum kepada Yang di Pertuan Agong berjaya diserahkan kepada wakil baginda, membuktikan perhimpunan itu berjaya. Kejayaan itu seharusnya diterima dengan penuh malu dan rasa rendah diri oleh pihak Kerajaan, khasnya pihak Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) dan juga Perdana Menteri.

Kerajaan dan SPR kena sedar sesungguhnya yang perbuatan mereka dibenci dan dimarahi oleh rakyat. Apalah gunanya mereka wujud atas nama keadilan dan tanggungjawab kononnya menjaga dan memelihara demokrasi kalau mereka sudah tidak dipercayai lagi. Keadaan demikian sebenarnya tidak ada nilai setengah sen pun.

Seperti dijelaskan sebelum ini, SPR kena akui akan kelemahan mereka. SPR kena mengubah segala kecomotan mereka. SPR kena akur bahawa penipuan mereka selama ini untuk kepentingan satu pihak sudah pun pecah dan bau busuknya merata negara dan malahan di seantero dunia. Keburukan SPR bukan saja dituturkan oleh anak-anak Tadika dan Pasti tetapi turut juga terhimbau ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan dan NGO dunia lain.

Jalan terbaik Kerajaan harus memberi laluan dan kebenaran untuk SPR membersih dan menyamakkan dirinya sebersih-bersihnya. Sebelum ini Pengerusi SPR, Abdul Rashid Ahmad secara peribadi melapazkan kepada orang tertentu pihaknya tidak ada masalah tetapi kerana bidang kuasa untuk membersihkan itu di bawah Kerajaan, apa yang boleh beliau buat hanya tengok saja. Katanya semua kuasa untuk membersih dan meneluskan pilihan raya tergenggam ditangan Kerajaan dan jabatan-jabatan tertentu termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Hakikat itu diakui, apalah yang Rashid dapat lakukan selain daripada makan gaji buta. Jaga perut sendiri. Beliau tidak berbuat apa-apa. Tarafnya sama atau lebih kurang saja dengan si penjaga rumah kecil di belakang rumah. Malahan maruahnya lebih teruk daripada si penjaga rumah kecil dibelakang rumah itu. Kalau beliau bermaruah apabila beliau gagal atau cadangannya untuk membersih dan menyemakkan SPR demi rakyat tidak diikuti atau dipersetujui beliau seharusnya memohon untuk berhenti. Lainlah kalau Rashid berkhidmat untuk parti politik memerintah dan bukannya untuk rakyat.

Tetapi apa boleh buat kerana beliau juga ingin glamour dan memiliki saham dalam menganiyaan dan menzalimi rakyat menerusi pilihan raya, dan berbuat budi kepada Kerajaan BN maka diteruskan kerja yang tidak bermaruah dan terkutuk itu.

Itu bab Rashid dan Kerajaan. Tegasnya kejayaan himpunan semalam memberi rembatan maut secara langsung kepada Abdullah Ahmad Badawi. Sehari sebelum himpunan itu diadakan beliau telah melemparkan cabaran kepada rakyat agar jangan berhimpun. Beliau memberi amaran keras sampai mengangkat tangan dan seolah tidak sedikitpun gentar dengan himpunan itu.

Jangan cabar

Dengan menggunakan polis tidak memberi permit dan rakyat negara ini mahukan kedamaian sebagai alasan, beliau melantunkan kata-kata kesat yang mengugut rakyat agar jangan cabar beliau. Abdullah yakin bahawa dengan segala kuasa yang ada kepadanya, (polis dan ikrar Najib Razak tidak akan mencabarnya) perhimpunan itu tidak akan berjaya dan rakyat akan membatalkan niat masing-masing.

Tetapi ternyata, semalam lebih 70,000 rakyat berarak di segenap jalan-jalan raya utama menuju ke Dataran Merdeka dan ke Istana Negara. Tidak ada mata sesiapa yang tidak nampak dengan kehadiran rakyat begitu ramai. Mata mereka yan cerah dan celik akan nampak, jalan di Kuala Lumpur telah menjadi arus sungai manusia yang berdarahkan warna kuning keemasan.

Sesiapa pun tidak dapat menutup mata daripada melihat perarakan rakyat itu. Sesiapapun juga tidak dapat menolak hakikat bahaya perhimpunan itu berjaya. Sesiapa pun juga yang waras dapat membaca kebangkitan dan kemaraan rakyat itu adalah untuk menuntut haknya. Hanya kecuali syaitan yang sengaja menutupkan matanya dan hatinya sudah sedia tertutup rapat daripada melihatan kebenaran hakiki tidak dapat merasa wap panas yang bergelombang itu.

Justeru kalau Abdullah Ahmad Badawi seorang presiden Umno yang waras dan seorang Perdana Menteri yang masih mampu membilang dari 1 sampai 9, membaca Alif Ba Tha sampai Ya, atau membaca A B C sampai ke Z, beliau harus tahu apa yang perlu beliau buatkan hari ini. Perhimpunan semalam memberi impak dan implikasi besar kepada kredibiliti dan pentadbirannya dan statusnya selaku PM selama hampir empat tahun.

Maka itu beliau harus melakukan beberapa perkara wajib bagai meletakkan dirinya ke atas cagak kesempurnaan seperti mana yang diterima sebelum ini. Abdullah harus segera memulihkan persepsi rakyat kepadanya.

Pertama beliau kena memohon maaf kepada seluruh rakyat yang berhimpun semalam dan juga seluruh rakyat yang mendengar cabarannya semasa menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno 9 November lalu. Kerana dipercayai kemarahan dan kemaraan rakyat menyertai perhimpunan itu didorong dan dirangsang oleh cabarannya itu.

Kedua beliau kena meletak jawatannya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri kerana cabaran beliau disahut oleh puluh ribuan rakyat. Atau sekiranya beliau enggan meletakkan kedua jawatan itu (pilihannya) Abdullah harus membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum dalam kadar segera. Beliau perlu kepada mandat baru rakyat.

Itulah pilihan dan perkara yang kena dilakukan oleh Abdullah. Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, ini bermakna Abdullah seorang yang pengecut, seorang yang sangat lemah dan seorang yang tidak ada maruah politik dan ia akan dianggap oleh rakyat negara ini selamanya Abdullah juga dua kali lima sahaja dengan Dr Mahathir Mohamad dalam melayani tuntutan rakyat!

Maruah tinggi

Soalnya apakah beliau seorang bermaruah? Saya tidak mahu menjawab kerana beberapa kejadian dan juga insiden sebelum ini baik dalam kerajaan atau dipersekitaran hidupnya (keluarga) sudah tidak menunjukan beliau memiliki kemuliaan yang tinggi seperti dianggapkan dan tidak memiliki maruah yang tinggi setanding dengan martabat keturunannya lagi.

Hari ini beliau kena sedar, rakyat sedang menunggu apakah tindak balas beliau apabila rakyat telah menyahut cabarannya itu. Kalau rakyat sanggup dibelasah, dikejar, diberkas, ditembak dengan gas pemedih mata dan disembur dengan air kimia, sanggup berarak puluhan kilometer apa lagi Abdullah tunggu untuk membayar tunai segala pengorbanan dan keberanian rakyat itu.

Sekiranya Abdullah sekali lagi mengambil sikap membisu seperti tenggiling mampus persis ke atas beberapa isu rakyat yang dibangkitkan sebelum ini, maka sah beliau telah tewas dan gagal menjadi seorang bapa yang prihatin dan sempurna kepada rakyat negara ini.

Bagi rakyat mereka tidak mengalami apa-apa kerugian kalau Abdullah tidak menyahut balik cabaran yang dilakukan rakyat semalam. Yang rugi dan malu ialah Abdullah. Tidak mengapa rakyat tidak kisah! Masa tetap menanti untuk mereka terus mengerodok Abdullah. Rakyat hari ini seolah sang Algojo yang siap dengan tali gantung ditangan untuk menjerut leher Abdullah dan partinya dalam pilihan raya akan datang.

Saya percaya dan yakin melihat kepada suasana, semangat, komitmen tinggi dan kesungguhan rakyat yang keluar semalam, ia akan merubah dan merombak hegemoni kekuasaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang. Melihat kepada yang menyertai perarakan itu 60% terdiri daripada anak-anak muda, mahasiswa dari berbagai profesional dan juga penganggur sudah pasti senario politik negara akan berubah dan satu suasana dan keazaman baru akan meletus.

Mereka yang berarak sudah tentu akan pulang dengan hati yang membara seperti mana mereka datang ke Ibu Kota dengan perasaan yang marah dan semangat yang tinggi. Marak api di dalam dada kerana kecewa dengan tindak tanduk kerajaan Abdullah dan juga sikap celupar mulutnya (Abdullah) di Perhimpunan Agung Umno, akan terus membakar sukma dan minda mereka. Ianya akan terus memanaskan dendam mereka kepada kezaliman dan ketidakadilan Kerajaan Abdullah.

Merasai kesejukan

Panas itu tidak akan sejuk, meskipun pilihan raya dilewatkan hatta ke pertengahan atau penghujung tahun hadapan. Kemarahan mereka tidak akan terhapus seperti mana mereka sedikit pun tidak merasai kesejukan dibaham hujan lebat atau gatal dan pedih mata semasa berhimpun. Kemarahan mereka tidak akan sirna seperti mana mereka tidak lari meskipun disembur dengan water cannon, ditembak dengan gas pemedih mata dan dikejar dengan cotal bagaikan anjing liar mengejar seekor kelinci jinak berwarna putih.

Mereka yang hadir semalam sudah nekad untuk melakukan sesuatu kepada Abdullah dan kerajaannya. Mereka hadir memberi isyarat kubra bahawa mereka bersedia melakukan apa saja demi masa depan mereka, anak-anak mereka, agama mereka, bangsa mereka dan tanahair mereka.

Bagaimana pun jalan selamat masih ada. Tuhan tidak pernah menutup pintu perundingan. "Aku sentiasa memberi kelapangan kepadamu". Rakyat akan pulih dari kemarahan semalam kalau Abdullah gentlemen akur kepada kehendak mereka. Mengarah pilihan raya memenuhi kesemua tuntutan mereka, menyediakan padang yang sama rata dan memberi senjata yang sama tajam dan sama panjang untuk bergomol di dalam perang plihan raya akan datang.

Saya masih ada sisa-sisa keyakinan kalau Abdullah dan SPR sanggup memenuhi tuntutan itu rakyat masih boleh meredakan kemarahannya kalaupun mereka tidak rela memaafkannya. Rakyat sudah lama di penjara dalam dunia bernama sebuah negara yang penuh dengan kepura-puraan! Dan Abdullah perlu sedari penjara itu telah memberi mereka keulitan ketahanan dan ilmu untuk menjadi pandai, berani dan mungkin liar dan akhirnya membebaskan diri mereka.

Bukan itu sahaja seperkara yang Abdullah kena faham dan mengerti ialah, mengapa perhimpunan itu berjaya? Mengapa rakyat boleh menembusi kubu dan ribuan benteng daripada polis. Kenapa rakyat boleh berarak ke Istana Negara dan berhimpun di hadapan pagar istana? Kalau benar kata seorang pegawai tinggi polis tepat jam 3:30 petang ada arahan daripada Istana Negara agar melepaskan kepungan dan sekatan jalan untuk para himpunan selamat tiba di Istana Negara, ia memberi gambaran bahawa Perdana Menteri kini berada dalam edah untuk bertelingkah dengan Istana.

Beliau harus tahu dan sedari hakikat ini. Kalau Abdullah tidak mahu memahami rahsia ini dan cuba terus berkeras dengan rakyat, beliau berada dalam persimpangan yang amat-amat merbahaya. Beliau akan merana dalam keadaan yang cukup aib. Tidakkah perarakan itu mendapat resut daripada pihak Istana? Kalau tidak ada restu daripada pihak Istana tidak mungkin rakyat bisa berkhemah di hadapan istana dan wakil Yang di Pertuan Agong bersetuju menerima memorandum yang dihantar oleh wakil-wakil Bersih.

Kalaupun Yang di Pertuan Agong tidak mahu menyentuhnya semalam, namun peristiwa telah merakamkan bahawa memorandum itu sudah sampai ke Istana. Rakyat akan menanti dan menunggu seribu tahun lagi, untuk mendengar apakah berbunyi sampul surat dibuka dan Yang di Pertuan Agong ada membacanya. Rakyat menunggu dan sanggup menunggu cuma kali ini mungkin tidak sesetia seorang gembala yang sanggup menunggu cinta anak raja hingga sampai 1,000 tahun!

Sebagai payung pelindung rakyat, dan institusi laksana bahtera terakhir penyelamat rakyat, rakyat percaya memorandum itu akan dibaca oleh Yang di Pertuan Agong. Rakyat percaya selaku institusi yang menjaga kepentingan rakyat jelata dan menjadi tempat rakyat menghamparkan harapan, Majlis Raja-Raja tentu turut sama menyilaunya kalau pun tidak mahu membacanya.

Dikala ini nanti Abdullah tidak boleh duduk diam lagi. Beliau kena berbuat sesuatu. Seandaianya beliau masih berdegil, keras dan tetap meluruskan diri menjadikan bendul untuk tidak respons kepada suara dan kemahuan rakyat, maka tunggulah hari pembalasan daripada rakyat kelak.

Percaya dan yakinlah sekali rakyat bangkit ia akan terus bangkit, laksana sekali petani turun ke bendang ia tidak akan pulang selagi padi tidak berbuah dan masak. Laksana nelayan turun ke laut selagi tidak dapat menawan paus ia tidak akan naik ke darat. Itulah sifat dan sikap rakyat! [wm.kl. 10:30 am 11/11/07]

No comments: