SAYU dan sedih membaca laporan bagaimana sekumpulan 15 wartawan telah diherdikkan sebagai anjing oleh seorang pegawai polis semasa mereka sedang menjalankan tugas masing-masing. Kejadian itu berlaku ketika kumpulan wartawan itu mengerumuni tempat penemuan dua mayat lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Hijau, Kedah.
Kumpulan wartawan yang merasakan terhina dengan kejadian itu telah membuat laporan polis.
Memang tidak dinafikan ada kalanya gelagat dan keghairahan wartawan dalam menjalankan tugas boleh menganggu tugas-tugas pihak lain termasuk polis. Ada setengah mereka kurang peka dan mempunyai perasaan sensitiviti kerana terlalu menekankan kepada profesionalisme mereka. Seharusnya semua pihak faham dan mengerti tugas seorang wartawan. Pantas, cergas, kurang beradab dan suka mendesak adalah wartawan!
Kalau mereka tidak berbuat begitu mungkin mereka tidak akan mendapat maklumat atau merakam gambar dengan tepat. Jadi untuk memastikan mereka mendapat sesuatu yang terbaik, lengkap dan cantik (berkualiti) menyebabkan mereka kadang kala bersikap agresif dan melewati sempadan sepatutnya.
Serigala atau sekawan babi
Pun begitu apabila polis mengeluarkan kata-kata itu, (anjing) (yang ianya lebih teruk dari hadiah penyapu seperti mana digunakan Khir Toyo), apa lagi dilepaskan anjing untuk menghalau wartawan, jadilah kumpulan wartawan itu seolah-olah seperti serigala atau sekawan babi. Betapa hina dan rendahnya martabat kumpulan wartawan itu.
Lebih malang lagi tidak cukup diherdik dan dianjingkan, maka anjing yang hidup yang selalu digunakan untuk mengesan pengganas dan penjenayah pula digunakan. Tindakan itu samalah lagaknya wartawan itu seperti serigala yang kena dihalau pakai anjing.
Kita faham apa yang berlaku itu bukan menggambarkan sikap polis keseluruhannya. Tidak dinafikan ada polis yang baik dan saling memahami tugas masing-masing. Namun kes berkenaan ia tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil. Pihak atasan polis perlu menyiasat dan mengambil tindakan jika dakwaan itu berlaku. Tidak sewajarnya seorang pegawai polis bersikap biadap begitu.
Apa lagi kejadian itu berlaku dengan wartawan di mana entiti yang sangat-sangat diperlukan oleh pihak polis dalam membantunya menjaga keselamatan negara. Seharusnya kejadian yang keji dan buruk itu tidak patut berlaku. Mereka sepatutnya bekerjasama.
Polis yang menggunakan slogan, tepat dan betul dan senantiasa berkhidmat itu seharusnya menunjukkan suri tauladan yang baik. Akhlak dan diplomasi polis seharusnya melebihi daripada akhlak dan diplomasi orang lain.
Sedikit sebanyak sikap pegawai polis menggunakan anjing itu memberi implikasi buruk kepada pasukan polis. Kerana tindakan pegawai polis itu menyebabkan orang yang sudah terkilan dengan sesetengah tindakan polis sebelum ini menjadi lebih marah lagi kepada polis. Dengan kelakuan biadap polis itu orang boleh menerima atau menganggap kejadian itu sebagai itulah sikap dan budaya sebenar polis.
Kalau di tempat terbuka di hadapan khayalak polis tergamak menyumpah dan mencaci orang begitu rupa, bagaimana kalau di dalam bilik siasatan atau tahanan? Tentu bahasanya lebih kesat dan kasar lagi. Jadi tidak hairanlah kalau ada cerita atau pengalaman orang ditahan polis menceritakan mereka kena tumbuk, kena pukul, dilondehkan seluar dan sebagainya.
Kata Malek Hussein, yang ditahan di bawah akta Keselamatana Dalam Negeri (ISA) air kencing pun disuruh minum oleh polis. Berdebah, kata Malek!
Adalah elok kalau Polis di-Raja Malaysia (PDRM) menghantar mana-mana anggota atau pegawainya yang kurang memiliki sifat perikemanusiaan dan berlebihan pula sifat kebinatangan untuk mengikuti kurus sivik di Biro Tata Negara (BTN), ataupun kurus keperibadian sebagai seorang insan kamil di Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.
Tidak terlupa juga Jawatankuasa Pembakaian Perkhdimatan Polis yang ditubuhkan tidak lama dulu seharusnya meneliti sama kes-kes dan kejadian pegawai polis yang ‘gila’ seperti itu. Dan mungkin juga perlu bagi pasukan polis terus menghantar anggota-anggota yang sudah jelas mereng dibuat uji kaji mental di mana-mana hospital bahagia! [wm.kl. 10:00 22/11/07]
No comments:
Post a Comment