Thursday, November 15, 2007

Intraksi Dengan Pemimpin Pas (1)

Saya Ditanya Soal Kelantan dan Saya Jawab Ikhlas

SUSPEN juga saya apabila seorang pemimpin tertinggi Pas tiba-tiba terbuka hati menghubungi saya. Katanya hendak jumpa sikit tanpa menyebut maksudnya. Dalam kepala tertanya-tanya apakah tujuannya. Disebabkan kedudukannya sebagai orang bertanggungjawab dalam memilih dan memeriksa calon-calon Pas dalam pilihan raya akan datang saya menyangka mengenai itulah agak hajatnya.

Tetapi kenapa harus saya perlu ditemui dan ditanyai?

Tidak semena-mena walaupun sudah lebih seminggu dia menyatakan hajat, tetapi baru semalam (14 November) kami bertemu. Itupun kebetulan terserempak dan kami terus duduk. Lama boleh tahan juga, sekitar satu jam setengah. Hampir keseluruhan yang beliau ingini dari saya diperolehi.

Benar seperti yang disangkakan, pemimpin ini mahu mengetahui senario di Kelantan. Mahu tahu kedudukan (prestasi) Pas dan secara tidak langsung kedudukan Umno. Tentulah dalam hubungan ini apa yang sangat diingini mengenai kedudukan Pas.

Sesuatu yang beliau cuba cungkilkan ialah mengenai ‘hubung kurang enak’ saya dengan salah seorang Exco Kelantan. Tetapi topik itu tidak diutamakan, ia menyelit di tengah-tengah topik lain. Hilang sekejap kemudian timbul balik. Nampaknya pemimpin itu ingin menyelidiki hubungan itu.

Hairan

Macam mana anta dengan ..... (Exco itu)? Tanya pemimpin ini penuh berwaspada. Beliau bimbang takut saya sensitif dengan persoalan itu. Sebab dia tahu perangai saya. Saya juga hairan kenapa orang menjadi 'takut' dengan saya. Menganggap saya keras kepala dan degil. Betulkah? Mungkin betul!

‘Tak ada apa-apa masalah. Ana orang yang ada (ikut) signal dan ada pelunggul (paksi). Apa yang ana kata ana akan kotakan,” jelas saya. “Jangan risau,” tekan saya lagi memberi jaminan.

“Jadi dah selesailah,” tanya beliau sambil ketawa tujuannya agar saya tidak tegang dengan permasalahan itu.

“Selesai...” jawab saya ringkas.

“Ana panggil ni nak tahu soal Kelantan sikit. Anta acap ke balik Kelantan?’ tanyanya memulakan topik yang serius selepas dia mendapat penjelasan yang saya sudah ‘selesai’ dengan ..... (biarlah saya tidak sebut acap kali nama .... takut nanti dia batuk dan terbahak pula. Biar dia tenang dan selesa untuk menghadapi pilihan raya.

“Acap juga. Sekali sebulan tentu, sebab emak masih ada di kampung, kena jenguk silau juga,” balas saya.

“Anta berjalan rata, tentu anta tahu perkembangan di Kelantan, macam mana agaknya? Soalnya jujur dan ikhlas. Saya suka kerana dia mempercayai akan diri saya dan menjadikan saya sebagai sumber maklumatnya, mungkin untuk dijadikan guide olehnya dalam membuat pemilihan calon di Kelantan kelak.

“Jika hendak dikira prestasi, Pas Terengganu lebih baik dari Kelantan. Tetapi ana rasa Pas Kelantan masih boleh menang, cuma dengan sedikit adjustment,” balas saya jujur dan lurus menurut pandangan saya. Pandangan sebegini tidak diminati oleh kebanyakan orang Pas Kelantan. Mereka yang berfikiran sempit dan fanatik kepada parti tidak mengemarinya dan kalau boleh tidak mahu mendengar langsung.

Menghadapi masalah

Kalau boleh mereka mahukan saya memberi cerita indah dengan mengatakan ‘gerenti’ Pas akan menang. Kalau kita mengatakan Pas lemah, Pas menghadapi masalah, walaupun munasabah, mereka enggan menerimanya. Paling malang dituduh orang berkata demikian sebagai musuh Pas.

Sebenarnya sikap suka mendengar perkara indah tetapi tidak minat perkara tidak indah, inilah memberikan bala dan penyakit kepada Pas. Bukan sekarang malahan sejak lama dulu. Dalam pilihan raya 2004 misalnya saya sudah membuat prediction Pas Kelantan akan kalah lapan hingga 12 kerusi namun ramai yang tidak percaya. Ada yang mengatakan ramalan saya tidak masuk akal.

Tetapi selepas selesai pilihan raya, belum pun tamat pengiraan undi sudah ada calon yang menemui saja dengan air mata meleleh kerana dia sudah kalah.

Tokoh veteran itu terdiam saja. Mungkin merasai benar dan bersetuju dengan pandangan saya. Namun dari mimik mukanya dia kurang percaya kalau Pas Terengganu lebih bertenaga dan bersemangat dari Pas Kelantan. Dia nampaknya tidak suka bersikap over confident.

"Tetapi perkembangan akhir ini keadaan Kelantan sungguh baik," tiba-tiba beliau berkata demikian seakan mahu menafikan pandangan saya. Hujahnya ialah memandangkan himpunan 100,000 rakyat mendapat sambutan dan berjaya.

“Dengan apa yang berlaku di Terengganu, semangat rakyat Terengganu, kedudukan Pas melebihi tangga yang dipegang Kelantan kini,” kata saya lagi tanpa mempedulikan hujahnya. Tokoh itu buat endah tidak endah saja.

“Kenapa anta kata begitu. Teruk sangatkah masalah di Kelantan?” tanya beliau sikit teruja dengan kenyatan itu dan seolah tidak percaya dengan pandangan awal beliau tadi yang Kelantan dalam suasana baik. Saya sedar dia juga mahu merisik apa yang ana tahu mengenai Kelantan. [jln pahang. 10:15 pm 15/11/07]

Bersambung...

No comments: