Program Ihya Ramadhan Satu Lagi Keunikan Kelantan
NEGERI Kelantan Darul Naim penuh dengan berbagai keunikan. Keunikan itulah menyebabkan Kelantan berbeza dan dilihat istimewa berbanding dengan negeri-negeri lain. Adakalanya keunikan itu cuba ditiru atau dikorbankopi oleh negeri-negeri lain tetapi tidak menjadi.
Keunikan itu bukan saja peninggalan generasi yang terdahulu, namun keunikan itu juga adalah hasil kreatif, atau pun dihasilkan oleh pemimpin dan masyarakat terkemudian. Ini menggambarkan rakyat Kelantan kreatif dan inovatif dalam mencipta keunikan yang menempati pula dengan budaya dan pegangan hidupnya (agama).
Ia bukan saja unik kerana memiliki kekayaan dari segi kesenian dan kebudayaan, tetapi dari segi pratikal Islamnya. Kerana keunikan itulah juga maka Kelantan dikenali dengan nama Serambi Makkah. Nama jolokan yang diberikan sejak hampir 100 tahun itu kekal sehingga ke hari ini.
Menarik dan mengkagumkan jolokan itu kekal pada Kelantan seperti mana utuhnya mutu logam emas yang tidak pernah terhakis dan mengalami penurunan nilai harganya. Dalam keadaan apa pun emas itu tetap mahal, maka seperti itulah juga “keistimewaan’ yang menjadi milik Kelantan itu.
Misalnya, kemunculan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memimpin Kelantan bermula tahun 1990 memberi satu lagi keunikan tersendiri kepada Kelantan. Kelantan muncul sebagai negeri pertama berMenteri Besarkan seorang tok guru bertitlekan ulamak. Kebanyakan menteri-menteri besar di negeri lain berkelulusan akademik atau sekular.
Kehadirannya (Nik Aziz) memberi sumbangan dan kesenimbungan kepada kerja-kerja mengagungkan Islam dan sekaligus mencatatkkan satu lagi keunikan di Kelantan.
Salah satu antara beberapa keunikan idea dan pendekatan pentadbiran Tok Guru Nik Aziz yang sangat terasa ialah mengenai kewujudan program Ihya Ramdhan yang kini sudah menjadi sebutan dan kebanggaan rakyat Kelantan sendiri kerana ianya wujud di Kelantan saja.
Ihya Ramdhan yang menganjurkan program solat Terawih di bawah khemah ala-ala di Arafah di musim haji diadakan di tengah-tengah bandar Kota Baru. Ianya dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang dibawah tanggungjawab Exco Takiyuddin Hassan.
Program ini mula diwujudkan pada Ramadhan 1415 (1994) dan kini sudah berusia 14 tahun. Ia adalah idea Nik Aziz. Dari program ini menunjukkan betapa bersungguh dan seriusnya Nik Aziz dalam mengembangkan syiar Islam di Kelantan dan mengekalkan Kelantan sebagai negeri Serambi Makkah.
Tujuan program ini diwujudkan ialah untuk menyemarakan suasana Ramadhan yang mahu jadikan bulan Ramadhan sebagai bulan penuh dengan kebajikan dan amal ibdat. Sejarah awalnya atau tapak program ini ialah berhampiran setsen bas di tengah bandar Kota Bharu. Sebuah khemah khas seluas 12’ x 18’ didirikan di situ.
Mulanya ia lebih untuk memberi kemudahan dan menyediakan tempat berbuka (juadah dan morel) dan solat Terawih kepada para peniaga, pemandu teksi, pengayuh beca yang tidak sempat pulang ke rumah dan juga kepada para musafir yang tidak sempat ke masjid.
Peringat awal program ini diperkenalkan ia diketawakan oleh pihak tertentu dan menuduh ia adalah projek politik Pas. Pas dikatakan hendak menunjuk-nunjuk dengan program Islamnya.
Namun cemuhan itu tidak dipedulikan. Program itu terus dijalankan. Dari setahun ke setahun ia mendapat sambutan. Dari sebuah khemah kecil kini terpaksa dibangunkan khemah yang berkali ganda besarnya dan tapaknya kini sudah berubah ke pekarangan stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Prasarananya kini juga lebih selesa, menarik dan meriah apabila ia dijadikan Qaryah Ramadhan atau perkampungan Ramadhan.
Di perkampungan berkenaan programnya bukan saja lagi setakat mengerjakan solat sunat Terawih tetapi di situlah juga menjadi medium perhubungan ukhwah dan persaudaraan baik sesama muslim atau pun dengan bukan muslim apapbila majlis melibatkan bukan Muslim juga turut sama diadakan.
Sesungguhnya program Ihya Ramdhan yang dipenuhi dengan segala macam menu itu sesuatu yang unik dan menarik. Progam itu kini telah dimasukkan ke dalam kelendar Tahun Melawat Kelantan 2008, ini menyebabkan pelancung yang datang ke Kelantan bukan saja untuk membeli belah, melihat alam dan sosialnya yang berbeza namun turut sama beribadat.
Jelas sekali pihak Umno tidak dapat menyelami maksud serapang dua mata Nik Aziz dalam mengadakan program berkenaan. Di samping untuk mengimarakkan Ramdhan program itu juga menjadi medium untuk berdakwah, menyelesaikan tanggungjawab sebagai khalifah yang cukup efektik.
Kini terbukti program itu berjaya dan mendapat sambutan. Setiap malam lebih 1,500 orang datang berjemaah di khemah Terawih itu. Adakalanya khemah yang mampu memuatkan 1,200 jemah sekaligus itu melimpah keluar dan terpakasa didirikan khemah tambahan.
Mereka yang datang pula bukan saja dari segenap daerah di Kelantan tetapi ada yang datang dari luar termasuk Kuala Lumpur dan Singapura, mereka datang khas untuk sama-sama merasai kenikmatan mendirikan solat sunat Terwaih di situ dengan membawa keluarga masing-masing.
Disebabkan keunikan program itu begitu ketara sekali dan ia dapat menjadi medium membentuk ukhwah sesama manusia termasuk dengan bukan Islam adalah elok kalau negeri-negeri lain juga turut sama mengadakan program berkenaan. Atau kalau perlu program Ihya Ramdhan yang diilhamkan oleh Kelantan itu dijadikan prgoram diperingkat nasional.
Daripada menganjurkan tilwalah membaca al-Quran yang menelan belanja berjuta ringgit pada setiap tahun tapi kesannya tidak seberapa, rasanya elok kalau dibelanjakan wang itu untuk mengadakan program Ihya Ramdhan itu.
Adalah elok kalau pegawai Jabatan Islam Malaysia (Jakim) dan juga Pegawai-Pegawai Jabatan Agam Islam Negeri-Negeri atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sendiri datang melihat bagaimana program itu berjalan kemudian mengkajinya untuk diangkat menjadi progam peringkat kebanggaan dengan beberapa pindaan dan ubahsuai mana-mana yang patut. [g nibong 9:30 am 07/09/08]
No comments:
Post a Comment