Mustafa Ali: Kerajaan BN Tidak Akan Tumbang
16 September Ini?
LAPAN hari lagi akan tibalah fajar yang ditunggu-tunggu oleh banyak orang iaitu fajar 16 September. Hari yang dikira penting dan bakal meruba landskap politik negara ini. Hari yang menamatkan riwayat kerajaan BN.
Pada hari itu adalah hari yang disasarkan oleh Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim kerajaan BN pimpinan Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak akan tumbang dan hancur.
Serentak itu juga jawatan Perdana Menteri akan berubah tangan kepada Anwar. Anwar akan membentuk kerajaan baru - kerajaan Pakatan Rakyat dan sekaligus akan menobatkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-6. Sudah pasti mereka yang bertungkus lumus bersama Anwar termasuk yang berkempen di pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu akan dilantik menjadi anggota Kabinet atau sekurang-kurangnya turut merasai tempias nikmat 16 September!
Di mana-mana saja orang ramai bercakap mengenai perubahan itu. Seolah penantian ketibaan 16 September membawa perubahan yang pasti. Penantiannya seperti penantian 1 Syawal yang akan dirayakan dengan penuh hikmah dan makna sebagai menandakan kemenangan manusia Muslim dalam perang melawan nafsu.
Apakah 16 September menjadi hari kemenangan rakyat kerana menentang kezaliman dan ketidakadilan Barisan Nasional? Atau ianya tidak lebih daripada sebuah nyanyian sunyi dunia orang politik semata-mata yang diiringi dengan gesekan rebab Tok Selampit?
Ada pendapat yang pro kontra mengenai 16 September. Ada yang menpercayai melampau terhadapnya menyebabkan mereka kini hanya duduk membilang saat, minit dan hari saja sampai mengabaikan kerja rutin lain. Keyakinan mereka kepada teori yang dipersembahkan bagaimana perubahan dan kejatuhan itu berlaku cukup tinggi dan sukar untuk dirasionalkan lagi. Ada setengah menanti dengan pelbagai azam, termasuk memegang pisau cukur untuk membotakkan kepala sebaik saja fajar 16 September muncul.
Bagaimana pun kepada ahli politik yang matang dan tidak mudah 'disimsilabimkan' dengan sihir politik cukup waspada dalam menerima dakwaan dan dendangan lagi 16 September itu. Mereka hanya memerhatinya dengan senyuman-senyum kambing (bukan kambing Jamnapari) dari birai jendela saja.
Salah seorang daripada mereka ialah Pengarah Pilihan Raya Pas, Mustafa Ali (foto). Bagi beliau 16 September hanya sebuah gimik semata dan beliau yakin tidak akan berlaku pertukaran kerajaan pada tarikh tersebut seperti mana yang digembar gemburkan. Dalam erti kata lain BN tidak akan tumbang pada tarikh tersebut dan Anwar tidak akan angkat sumpah menjadi Perdana Menteri ke-6.
"Saya tidak yakin 16 September kerajaan BN dan Pak Lah akan jatuh," begitulah tegasnya berkali-kali dalam forum khas "16 September" anjuran sebuah tv internet di ibu Kota Kuala Lumpur hari ini. Saya adalah salah seorang ahli panelnya.
Beliau yang bercakap berdasarkan pengalaman dan atas kapisiti peribadinya memberi dua sebab untuk menolak 16 September tidak berlaku apa-apa perubahan.
Pertama katanya dari segi teknikal. Ini jelas kerana katanya pada tarikh berkenaan Parlimen tidak bersidang jadi bagaimana perubahan (menjatuhkan) kerajaan berlaku kerana tidak ada persidangan pada hari itu.
"Sesuatu undi tidak percaya ataupun 'peralihan kerajaan' akan dilakukan menerusi Parlimen saja. Jadi kalau Parlimen tidak bersidang bagaimana akan berlaku undi tidak percaya?" soal beliau. Tambahnya, hanya Parlimen saja boleh melakukan apa-apa perubahan termasuk untuk mengadakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Beliau memberi hujah itu kerana mengulas ada teori mengatakan kerajaan hari ini akan jatuh dengan mudah apabila sudah ada 122 orang ahli Parlimen yang menandatangani menyatakan tidak percaya kepada Abdullah sebaliknya menyokong bekas TPM (Anwar), ketika itu juga Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Anwar menjadi PM tanpa perlu mandat Parlimen.
Menurutnya pandangan dan teori berkenaan tidak betul kerana apa-apa tindakan termasuk undi tidak percaya akan dilakukan di Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong akan menerima keputusan Parlimen dulu sebelum memberi perkenaan melantik sesiapa untuk menjadi PM setelah ianya dipersetujui oleh ahli Parlimen.
Kedua dari segi politik. Menurutnya dari segi politik juga tidak logik kalau ada ahli Parlimen BN berhijrah kepada Pakatan semata-mata kerana hendak menyokong Anwar. "Adalah ganjil dan sukar untuk dipercayai ahli Parlimen akan bersedia untuk berhijrah dari tempat (komponen) yang sudah ada kuasa kepada Pakatan yang belum ada kuasa," katanya.
Misalnya begitu juga adalah mustahil ahli Parlimen MCA untuk meninggalkan BN kerana merekalah yang asaskan komponen itu bersama Umno, apa lagi Pakatan Rakyat itu sendiri satu Pakatan yang longgar.
Justeru katanya beliau menyifatkan apa yang berlaku kini tidak lebih daripada gimik politik saja yang sengaja dikejutkan dengan tujuan tertentu oleh orang-orang tertentu termasuk mereka yang bersekongkol dengan Anwar.
Dari segi moral dan intergriti juga, penghijrahan itu seperti mana yang disebut itu tidak akan berlaku kerana ia melibatkan soal moral dan intergriti. Kerajaan yang ditubuhkan atas penghijrahan dan tawaran kebendaan akan dilihat sebagai tidak bermoral dan ini sesuatu yang tentunya akan dititik beratkan.
Dalam konteks ini katanya bagi Pas ia sangat bertentangan parti itu yang menekankan soal moral dan akhlak. Bagi Pas katanya, tindakan politik demikian sesuatu yang bertentangan dengan nilai perjuangan Pas dan ia tidak akan dilakukan oleh mereka yang sudah lama dan menghayati perjuangan Pas. "Tidak tahulah kalau mereka yang baru dalam Pas bersedia untuk sama-sama berbuat demikian!"
Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu bagaimana mengakui masa kini adalah waktu terbaik untuk pembangkang menguatkan usaha untuk menjatuhkan BN kerana berbagai kelemahan dan kepincangan BN serta penolakan rakyat kepada mereka seperti mana pilihan raya lalu sangat jelas.
Pun begitu bagi Mustafa beliau merasakan sesuai dan lebih gentleman kalau penggulingan BN itu dilakukan menerusi saluran demokratik seperti pilihan raya akan datang. "Bermula dari sekarang sepatutnya pembangkang membuat persiapan unutk menumbangkan BN menerusi pilihan raya dan bukannnya dengan mengharapkan berlaku lompat parti dan cara-cara yang tidak demokratik dan tidak bermoral untuk mengambil alih kerajaan", ujarnya.
Dalam pada itu Mustafa juga menegaskan hubungan Pas dengan Pakatan Rakyat masih seperti dulu dan tidak timbul soal Pas ingin meninggalkan Pakatan apa lagi untuk bergabung dengan Umno. [wm.kl. 4:15 pm 09/08/08]
No comments:
Post a Comment