Monday, August 8, 2016

Catatan sempena ulang tahun ke-69 Anwar Ibrahim

PERUTUSAN

Anwar: Biarpun di penjara tapi masih
mampu melambai tangan. 
Setiap kali bersua atau berhadapan dengan anak-anak muda yang minat politik, pertanyaan yang sering diajukan kepada saya ialah macam mengenai potensi Parti Amanah Negara (Amanah). Mereka menyinggung apakah parti itu senasib dengan parti-parti serpihan atau compingan dari parti-parti induk lain sebelum ini.

Parti yang selalu menjadi rujukan ialah parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang ditubuh oleh Tengku Razaleigh Hamzah tahun 1987 melibatkan penyertaan beberapa orang menteri kabinet.

Parti lain dalam konteks species parti agama (Pas) pula yang akan dibandingkan ialah Berjasa, Hamim atau kumpulan Islah. Apakah Amanah senasib dengan parti Hamim dan Berjasa? (Apabila mereka mengambil peduli kepada Amanah bermakna mereka minat dengan Amanah. Ini satu sikap yang baik ditunjukkan generasi Y dan menjadi nilai tambah kepada parti berkenaan).



Mereka sangsi dengan kewujudan parti baharu itu berdasarkan kepada sejarah dan jangka hayat parti-parti berkenaan yang tidak tahan lama walaupun ianya dipimpin oleh tokoh ternama. Hamim sendiri dipimpin oleh bekas Presiden Pas, Mohd Asri Muda hilang begitu sahaja selepas hanya beberapa tahun. Demikian juga dengan PSM46 tidak dapat bertahan selepas hanya sekali menghadapi Piaum sahaja kemudian hilang ghaib dalam gong gendang.

Sejajar itu bagaimana pun nasib dan keadaan PKR tidak kerap disebut. Ini tentulah memandangkan PKR kini wujud menyeluruh dan berkembang di seluruh negara, bahkan walaupun parti itu jauh lebih muda berbanding parti agama, (Pas) tetapi ia sudah ada kerusi di Sabah dan Sarawak, menjadi tulang belakang Kerajaan Selangor. Sesungguhnya pencapaian PKR sangat memberangsangkan jika dibanding dengan parti-parti terkemudian selepas pasca Merdeka.

Mereka mahu tahu juga apakah Amanah akan mengikut jejak Hamim, Berjasa dan S46 atau akan dapat survive seperti PKR?

Menjawab pertanyaan anak-anak muda ini saya suka mengangkat atau mengambil balada mengenai kekuatan sesebuah parti itu. Bagi saya kekuatan dan jaminan sesebuah parti baharu itu bagi menentukan jangka hayatnya terletak kepada dua keadaan atau dua faktor. Pertama, ialah mengenai idealisme atau dasar perjuangan yang dibawanya, dan kedua, siapa orang memimpin dan apakah cetusan menyebabkan parti itu ditubuhkan.

Jika diperhatikan kewujudan parti PMS46 itu ia diwujudkan untuk menjadi pengganti kepada Umno yang diharamkan. Idealisme atau dasar perjuangannya ialah kebangsaan, sama dengan Umno. Begitu juga dengan kewujudan Hamim (1982/83) sama dengan dasar parti induknya, Pas. Ia diwujudkan untuk menjadi parti berprinsipkan Islam yang progresif dan profesional, sebagai pengganti kepada kedua-dua buah parti berkenaan.

Manakala kewujudan Berjasa lebih hina daripada itu kerana ia menjadi perkakas kepada Umno bila mana seorang pemimpin Pas dijadikan alat atau modal untuk Umno mencapai maksud yang kesekian lama dipendamnya. Umno telah menggunakan tokoh berkenaan laksanakan menjadikan dahan kayu sebagai ulu kapak untuk menebang pokok dahan itu sendiri.

Adapun kewujudan PKR yang berlandaskan semangat Reformasi untuk menghapuskan nepotisme dan kronisme berbeza daripada kewujudan Hamim, Berjasa dan PMS46 tadi. Kalau kebetulan pun ialah dari segi cetusan yakni ia bersumberkan faktor sama apabila Anwar Ibrahim dipecat daripada Umno. Yang jelasnya PKR digagaskan menjadi parti tersendiri bervariasi moden. Ia berbeza dengan kemunculan PSM46 dan Hami itu yang masih beraura 60-an. PKR juga wujud bukan atas kehendak Anwar seratus peratus tetapi desakan dan asakan rakyat Marhein. Dunia yang melahirkan PKR.

PKR adalah parti untuk semua kaum. Perjuangannya sejagat untuk kaum dan negara. Ia tidak menumpukan kepada sesuatu bangsa sahaja seperti Umno yang vokal memperjuangkan Melayu. Begitu juga PKR bukan sebuah parti dogmatik. PKR lebih dinamik, apabila ia membawa semangat keadilan dan kesaksamaan untuk semua tanpa berkosmetikkan dogma agama. Berbeza dengan Umno yang menggunakan nasionalisme sebagai dogma, manakala Hamim pula mengambil pendekatan dogma agama seperti Pas.

Perbezaan dari segi pendekatan, pengisian dan konsep inilah yang menjadikan PKR sebuah parti untuk semua kaum yang senang difahami. Ia juga sebuah parti yang serasi dengan bangsa Malaysia. Landasan atau prinsip yang diguna pakai adalah bertepatan kerana menjadi fitrah manusia tidak mengira kaum dan bangsa mengharapkan kepada keadilan dan kesaksamaan demi kesejahtraan hidup.

Perbezaan itu bagaimana pun bukan perkara utama menentukan kejayaan dan kemajuan parti-parti berkenaan. Sebaliknya faktor yang menentukan jangka hayat atau sambutan kepada sesebuah parti itu ialah sejauh mana wibawa dan populariti pemimpinnya. Karismatik penerajunya penting. Tengku Razaleigh bukan tidak hebat untuk jadi pemimpin parti. Beliau ada track record tersendiri khususnya dalam bidang kewangan dan ekonomi.

Tetapi kenapa partinya gagal? Sebabnya ialah kerana, tidak cukup bagi Tengku Razaleigh dengan mempunyai track record dalam soal kewangan, tetapi jaringan sosialnya (politik) terhad. Tahap kesetiaan pengikut dan rakannya juga tidak utuh dan mereka tidak sedia berkorban baik masa, tenaga dan wang ringgit. Para pengikut Tengku Razaleigh juga adalah orang-orang yang mudah patah semangat.

Ia berbeza dengan apa dimiliki oleh Anwar yang mempunyai jaringan dan daerah pergaulan yang luas dan tersusun, bukan sahaja dalam negeri tetapi di luar negara. Bukan sahaja dengan golongan politik, teknorat, birokrat, pejuang sosial, budaya, sebaliknya mencakupi ekonomis, agamawan dan sebagainya.

Demikian juga latar hidup Anwar, beliau lahir ke dalam kancah politik bukan secara kebetulan. Jauh sekali ia didorong oleh sesiapa. Tidak ada istilah pembentangan karpet merah untuk Anwar sebenarnya. Jika diselidiki sejarah hidupnya, beliau menyusun jalur jihadnya sejak awal-awal lagi. Anwar terun ke landasan perjuangan dengan kelengkapan yang cukup serta persiapan mental dan fizikal yang padu.

Dalam kata lain beliau mahu menjadi pemimpin bukan sekadar mewarisi pusaka daripada orang tua tetapi atas kehendak dan kemahuannya sendiri. Beliau mempersiapakan diri ke arah itu.

Beliau mempunyai platform yang kemas dan teratur. Beliau membentuk jaringan di kalangan generasi yang akan mencetak masa depan negara. Mengawani anak-anak muda. Landasan atau platform Anwar, misalnya semada di kampus beliau sudah bergerak dalam bidang bahasa dan persuaratan. Beliau sudah menandakan dirinya dengan sesuatu titik juang.

Beliau sudah menunjukkan bakat dan kepedulinnhya kepada rakyat dengan menggerakkan mahasiwa menentang establishment. Konsap hidup sedarhana dan sedia menjadi khadam rakyat sudah ditunjuki dan dipraktis sejak remaja lagi.

Bergerak dari landas permulaan itu beliau melangkah lebih mampan lagi dengan menyertai Angkatan Belia Islam (Abim) pula. Menerusi Abim beliau menyerlahkan pemikiran, agenda dan juga wawasannya yang lebih nyata dan jelas. Pendekatan berkonsepkan Islam mengarcakan segala gerak gerinya bersama Abim. Di sinilah juga beliau mula "menghujurkan" kakinya jauh ke luar negara apabila membentuk rangkaian dan persahabatan dengan gerakan-gerakan rakyat sejiwa dengan nalurinya disamping untuk mendalami ilmu.

Dari landasan itu juga beliau melebar dan memperbesarkan lagi medan dan jalur pejuangannya dengan menyertai Umno. Umno adalah medan tempat beliau mula menyalurkan firkah perjuangannya dan merealisasikan apa yang berada dalam dhamirnya. Dengan memegang jawatan Ketua Pemuda Umno, beliau membina saf juang yang bakal memberi nafas baharu kepada Umno. Membebaskan Umno daripada lingkungan "rigid" daripada hanya memperjuangan soal bangsa yang terperosok, kepada perjuangan manusiawi seluruhnya.

Dalam masa sama, landasan dan jaringan Anwar bukan sahaja dengan sesama Umno, tetapi dengan pimimpin dan gerakan Islam, sosial lain juga berterusan. Sebab itu misalnya walaupun kedudukan beliau dengan kawan baiknya Fadzil Mohd Noor (Allahyarham) terpisah disebabkan berada dalam sempadan idealogi siasah berlainan, tetapi hati mereka senantiasa bertakup rapat. Inilah kesetiakawan dan sifat yang ada kepada Anwar. Kerana sifat dan pembawaan itulah sesiapa yang mula mengenainya akan mempunyai sentimental value yang sukar untuk dilupakan.

Beliau juga benasib baik, kerana dianugerakan Allah kawan-kawan, pengikut dan pembantu yang setia dan rela mati bersamanya. Kalau boleh disebut beberapa nama, orang seperti Mohamed Azmin Ali, Kamaruddin Jaaffar, Muhammad Nur Manute, Mustafa Kamil Ayub, Anwar Salleh, Annuar Tahir dan beberapa lain termasuk juga mereka yang bukan berbangsa Melayu, dan paling bertuah ialah memilih seorang zaujah seperti Wan Azizah Wan Ismail.

Kesetiaan dan kerelaan para sahabatnya ini juga untuk sama-sama menirap makan embun dan melentang makan pasir dengan beliau menjadi sumber dan aset penting dalam sesebuah perjuangan dan ia menjadi pendolor obor perjuangannya.

Dengan adanya persiapan dan landasan yang konkrit itulah mengapa parti pimpinannya berkembang maju. Hari ini tidak siapa dapat menafikan bahawa PKR adalah parti kedua terbesar di negara ini selepas Umno dan menjadi parti saingan Umno nombor wahid selepas parti agama (Pas) sudah retak dan terbelah dua.

Penghuraian ringkas mengenai latar diri dan iltizam seorang Anwar dalam perjuangan itu akan menjawab kepada persoalan anak-anak muda tadi terhadap apa yang menggaru-garu minda mereka; apakah Amanah akan surive seperti PKR, atau akan hilang dan lenyap seperti PMS46, Berjasa, Hamim dan lain-lain akan terjawab sendiri.

Hanya parti yang mempunyai orang bersemangat, istiqamah dengan prinsip serta rasional dengan tindak tanduknya sesuai dengan masyarakat negara ini sahaja, yang tidak mengerti erti berputus asa akan dapat untuk bernafas lebih lama di atas dunia ini dan diharap akan menggulingkan BN. Selamat hari ulang tahun ke-69 kepada Anwar dengan ucapan ketegasan daripada saya, bahawa Penjara Bukan Pusara. [wm.kl.12:56 t/hari 08/08/16]

No comments: