Friday, August 26, 2016

Dr Mahathir, Husam gempur Kelantan?

KOMENTAR

Malam ini Dr Mahathir Mohamad bersama Muhyiddin Mohd Yassin dan Mukhirz Mahathir akan turun ke Kelantan menghadiri satu majlis dinamakan Bicara Rakyat yang akan berlangsung di Ketereh satu-satunya kawasan berhimpun pemimpin besar Umno.

Husam Musa
Dr Mahathir Mohamad
Ketua bahagian itu ialah Annuar Musa yang juga merangkap sebagai ketua penerangan Umno Malaysia dan antara pendolor Najib Razak nombor wahid. Manakala timbalannya pula Md Alwi Che Ahmad yang juga ketua penerangan Umno Kelantan.

Ketua Wanita dan Pemuda negeri juga datang dari kawasan ini. Mungkin kapasiti itulah maka majlis Bicara Rakyat dibuat di Ketereh.

Betapa malam ini kalau dalam bicaranya Dr Mahathir turut flashback kisah lampau mengenai penahanan Annuar Musa oleh SPRM dan penyiataan Mercedez-bandnya tentu generasi muda yang tidak arif mengenainya akan terkejut. Mereka akan tertanya-tanya kenapa bekas Pengerusi Umno Kelantan dan pernah berada dibawah Dr Mahathir itu ditahan SPRM? Annuar sendiri mungkin kurang senang kalau kisah itu diungkitkan kerana ia sudah menjadi phobia dan kenangan hitam dalam kanvas politiknya.

Menurut maklumat Dr Mahathir akan tiba di Kota Bharu jam 6:00 petang ini dengan pesawat khas. Kehadiran Dr Mahathir dalam majlis ini adalah pertama selepas beliau dimasukkan ke IJN apabila dijangkitan virus. Mungkin malam ini juga Dr Mahathir turut mengulas mengenai kritikan pedas seorang sultan terhadapnya yang memberi komen berkaitan langkah sebuah kerajaan negeri menggunakan perkataan bangsa, untuk rakyat negerinya.

Komen Dr Mahathir itu tidak disenangi oleh sultan berkenaan dan meminta bekas PM itu menutup mulut. Kepada saya komen Dr Mahathir itu relevan kerana menggunakan perkataan "bangsa" untuk sesuatu negeri ia menjejaskan usaha untuk memupuk perpaduan nasional di mana semua rakyat tanpa mengira kaum di negara ini perlu mengenalkan diri mereka sebagai "bangsa Malaysia." Memanggil bangsa untuk rakyat negeri itu juga menunjukkan betapa tebalnya sifat kenegerian rakyat negeri itu.

Kedatangan Dr Mahathir ke Kelantan malam nanti mungkin dianggap biasa oleh kalangan Umno yang selamanya bersetia dan percaya dengan temberang pemimpin Umno. Ada yang menganggap remeh. Kalau pun melihat ia suatu ancaman ialah bagi Mustapa Mohamed. Tetapi tidak kepada ahli dan penyokong yang insaf dan sedar kemungkaran pemimpin parti itu terutamanya apa yang berlaku di sekitar Najib. Dr Mahathir dan Muhyiddin orang yang pernah berada dalam hegomeni Umno paling layak menceritakan kebusukan dan keburukan Umno. Apa-apa yang dibongkar oleh mereka berdua tidak boleh ditepis dengan mudah.

Justeru bagi mereka kehadiran Dr Mahathir dan Muhyiddin itu memberi makna dan signifikan tersendiri. Ia sudah tentu akan membawa momentum dan membentuk gelombang baharu politik di Kelantan khasnya dalam Umno. Arus bakal beralun itu nanti pasti akan mencacatkan tebing harapan Umno Kelantan untuk merampas negeri itu daripada tangan parti agama selepas ketiadaan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Memang benar Dr Mahathir tidak ada pengaruh besar di bumi Cik Siti Wang Kembang itu, begitu juga dengan Muhyiddin, namun tidak boleh dinafikan perubahan kiblat politik mereka akan memberi kesan dan tamparan kepada Umno. Kalau tanpa pergolakan dalam Umno, (tertakdir) tertubuhnya Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Umno boleh dilihat berada dalam kaedaan kondusif dan ada harapan untuk tawan Kelantan amat lah cerah, namun kini ia tidak sebegitu lagi. Awan mula berkumpul dan menutup puncak harapan itu.

Ironisnya pula perpecahan dalam Umno, tidak memberi laba banyak kepada parti agama di Kelantan, apabila parti itu sendiri juga berpecah dua. Bahkan kalau hendak diikuti nisbah perpecahan dalam parti itu lebih parah daripada Umno. Kalau Umno setakat cacat tetapi parti agama itu sudah cedera parah. Perkembangan ini sangat menarik dan mendebarkan.

Husam tidak sehebat Dr Mahathir yang pernah menjadi PM selama 22 tahun dan diikhtiraf seorang politician ulung, tetapi bagi rakyat Kelantan khasnya generasi muda, Husam mengatasi pengaruh dan populariti Dr Mahathir. Pemecatan Husam bukan lagi parti berdogma agama itu tetapi telah mencedera-tempangkan parti agama itu. Jika parti itu disifatkan ada sayap, sebelah sayapnya sudah rebeh.

Sehingga hari ini Husam belum rasmi mengumumkan untuk menyertai mana-mana parti. Namun beberapa program yang dihadirinya di Kelantan mendapat sambutan hebat. Majlis-majlis bersantai dengan rakyat; minum pagi dan petang mendapat sambutan. Ke mana Husam pergi ia dikelilingi oleh rakyat yang ingin mendapat idea dan mengadu sesuatu kepadanya, mengenai kepincangan kerajaan dan sebagainya. Rakyat Kelantan rata-rata melihat Husam seorang pemimpin masa depan yang kreatif dan kaya dengan idea sewajarnya dia menyalini tempat ditinggalkan Nik Abdul Aziz.

Beliau dijangka mengistyharkan menyertai AMANAH pada satu majlis yang akan berlangsung di Cyberjaya hujung bulan ini.

Kesimpulannya kedatangan Dr Mahathir (Bersatu) ke Kelantan dan penyertaan Husam ke dalam Amanah, memberi impak tersendiri kepada Umno dan parti agama. Apakah Husam (Amanah) dan Berstau akan menjadi satu pakatan baharu di Kelantan untuk berhadapan dengan "ta'awum" Umno - Pas yang belum dimateraikan?  Kita tunggu. Yang jelasnya kehadiran mereka berdua menyebabkan suhu politik Kelantan makin panas dan tambah mendebarkan. [wm.kl.12:35 t/hari 26/08/16]

Post a Comment