Thursday, January 12, 2017

Pelaburan boleh selamatkan Harakah

SUARA MALAM

Maaflah kerana sentuh mengenai perihal parti agama (Pas). Ada maklumat mengatakan Jabatan Penerangan Pas yang bertanggungjawab menerbitkan akhbar parti itu Harakah telah mengambil keputusan drastik untuk mengosongkan bangunan yang menjadi ibu pejabat akhbar itu sekarang ini.

Semua unit penerbitan akhbar itu, editorial, iklan dan pemasaran dipindah ke bangunan lain yang juga milik Pas berhampiran restoran Yusuf Haslan. Kalau tidak silap ruang pejabat ini pernah menjadi pejabat akhbar gemulah Siasah.

Tindakan itu dibuat adalah kerana kengkangan kewangan. Edaran Harakah kini jatuh merudum sama teruk dengan akhbar rakannya Utusan Malaysia. Jadi untuk mengatasi kengkangan itu maka pejabat terpaksa dipinda. Manakala pejabat Harakah empat tingkat itu akan disewakan untuk mendapat sumber kewangan.

Tidak dinafikan kemelesetan ekonomi negara kini turut sama mencengkam Harakah. Ia bukan salah Harakah tetapi salah kepada suasana kemuraman ekonomi hari ini. Yang berhadapan dengan masalah kewangan bukan sahaja akhbar itu tetapi akhbar lain juga.

Mungkin langkah memimdahkan operasi akhbar itu ke ruang pejabat yang lain satu langkah bijak. Begitulah strategi dalam perniagaan. Ia bukan sesuatu yang mengaibkan. Demi survive akhbar berkenaan dan untuk menjamin penerusan penerbitan Harakah demi maruah parti maka ia patut dilakukan apa sahaja.

Harakah satu masa dulu organ parti yang memberi sumbangan kewangan kepada parti. Malahan kehebatan Pas dari segi memiliki aset ialah menerus Harakah. Sesetengah perbelanjaan pilihan raya juga disumbang oleh Harakah. Zaman kegemilangannya sehinggakan dapat membeli dua bangunan, termasuk yang menjadi pejabatnya yang kini hendak disewakan itu.

Kalau kewangan Harakah diurus dengan baik dan telus mungkin ia tidak berhadapan dengan keruncingan yang dahsyat seperti hari ini. Begitu juga dengan nasib dan kedudukan kakitangannya pasti terbela. Tetapi kerana pengurusan kewangannya tidak diodit, menyebabkan ia bertaburan, dan kemewahan yang pernah dirasai dahulu hilang begitu sahaja. Seorang demi seorang kakitangannya berkualiti telah meninggalkan akhbar berkenaan.

Saya membuat catatan ini adalah dengan niat hendak membantu Harakah dengan apa yang diketahui. Mudah-mudahan dengan apa yang dinyatakan ini ia dapat digunakan untuk selamatkan Harakah. Harakah sebenarnya tidak berkedudukan sepapa hari ini kerana ia ada pelaburan. Banyak wang Harakah digunakan oleh pihak tertentu dalam Pas untuk melabur. Perlaburan itu ada yang boleh mendatangkan keutungan dan ada yang hilang begitu sahaja, macam bueh-bueh di lautan.

Salah satu ialah, wang Harakah pernah digunakan untuk membeli hartanah di Kelantan. Mungkin perkara ini ramai yang tidak mengetahuinya. Nilainya kini cecah jutaan ringgit. Ahli-ahli Pas tidak mengetahui perkara ini. Mungkin juga bekas-bekas ahli lembaga pengarah Harakah sendiri ada yang tidak mengetahui akan perkara ini. Mungkin ia tidak dibentang walaupun secara tertutup.

Itu saya katakan kedudukan kewangan (pendapatan) Harakah tidak dioudit dan dibentangkan kepada ahli parti. Mungkin ia mempunyai kedudukan tersendiri di mana ahli tidak perlu mengetahuinya. Apa yang ahli tahu ialah diminta supaya membeli Harakah sebagai membantu parti. Pendapatan Harakah terperincian dan ke mana ia disalurkan jangan ditanya. Kalau tanya itu bermakna anda tidak wala.

Berkenaan dengan pembelian hartanah di Kelantan tadi, aset atau keuntungan pembelian hartanah itu boleh mengatasi masalah kewangan dihadapi Harakah kini. Nilainya kini melebih RM5 juta. Mungkin kalau wang itu dapat digunakan dengan baik, operasi Harakah tidak sampai perlu dipindah ke unit pejabat yang kecil.

Apakah ahli-ahli Pas atau pun sesetengah ahli lembaga pengarah Harakah sendiri tahu perkara ini? Saya menimbulkan ini bukan kerana apa, tetapi kerana saya ada pengalaman bagaimana wang Siasah pernah digunakan untuk membantu parti itu  bagi melengkapkan peralatan di sebuah pejabat Pas. Saya bimbang hal sama berlaku dalam pengurusan kewangan Harakah.

Cukup di sini dulu kalau perlu saya akan dedahkan perkara ini demi masa depan Harakah dan juga sebagai maklumat kepada ahli parti itu agar tidak patuh dan taat secara membuta tuli. Masalah kewangan adalah masa membabitkan integriti. [wm.kl.8:33 pm 12/01/16]
Post a Comment