Saturday, January 28, 2017

Melihat dan jamah "bbidas" gergasi Namrud untuk bakar Ibrahim a.s.

MUSAFIR KEMANUSIAAN (4)

Inilah dua tiang gergasi digunakan Namrud untuk
melontar Nabi Ibrahim ke dalam api
.
HIDUP ini tidak pernah terduga menjadikan kita sebenarnya terus-terusan berlalu dilorong takdir. Selepas sesuatu itu berlaku dan terjadi baharu kita memahami sesuatu maksud dan rahmat takdir itu. Dapat merasakan kehebatan, keberuntungan atas setiap apa yang berlaku.

Ada kalanya sesuatu yang kita lalui itu tidak pernah terfikir pun, jauh sekali berniat atau mengimpikannya. Kerana itu hidup ini bagaikan kuntum-kuntum yang indah, harum dan adakalanya mentragiskan. Ia bagaikan sebuah mimpi yang kadang kala diselangi igauan mencemaskan.



Hal ini saya alami sendiri. Ada hal-hal atau kejadian tertentu dalam hidup ini seakan sebuah lukisan indah yang melakar panorama luas, dan saya (dan kita) berada dalam keindahan lukisan itu. Sesuatu yang dulu hanya didengari, tempatnya entah di mana, tetapi akhirnya berjumpa atau sampai ke tempat itu.

Berselfie di antara dua tiang gergasi Namrud. 
Semasa kecil dulu saya sering mendengar "bari" atau cerita daripada arwah datuk, (Othman Yaakob r.h. Al Fatihah ); baik di atas balai sah (surau) sewaktu dia mengajar, membaca kitab-kitab sirah sempena ulang tahun dengan sesuatu kejadian yang dimuliakan mengikut kelendar Hijri, seperti peristiwa Israj Mikraj, Maulid Rasul, bulan Asyura dan sebagainya.

Masjid Ibrahim dibawah kota,
di bawahnya kolam tempat bakaran Ibrahim
Atau pun "bari" dan cerita itu didengari sewaktu mengikutinya pergi menjala ikan, atau ke kenduri maulid atau tahlil kesyukuran atau kematian. Sambil berjalan sementara sampai ke destinasi Cik (panggilan kami kepada Datuk) akan bercerita tentang segala itu.

Tasik yang terbentuk bekasan bakaran Ibrahim.
Berbeza dengan gemulah ayah. Kisah-kisah atau cerita yang Cik selalu ceritakan mengenai kisah para Nabi, para anbia dan juga kehebatan para sahabat Nabi, khalifah ar Rasyhidin; Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Manakala ayah pula selalu bercerita mengenai humour Abu Nawas, cerita-cerita klasik Melayu Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin, Sang Kancil atau sebagainya.


Suatu hari, Cik bercerita perihal Nabi Adam a.s. Katanya Adam merupakan bapa kepada semua orang. Asal manusia di atas bumi ini semuanya bermula daripada Adam dan Hawa. Semua kita adalah cucu cicit mereka berdua. Kata Cik kita semua adalah satu keturunan.

Adam seorang bertubuh besar dan gagah perkasa. Cik mengisahkan juga bagaimana Adam dicipta Allah. Allah menempa "gerangang" (lembaga) Adam mengambil masa beratus tahun lamanya. Sebelum memulakan untuk mencipta Adam, Allah telah memberi tahu malaikat dan juga Iblis dan memerintahnya sujud kepada Adam. Malaikat bersetuju dan patuh dengan projek mega itu tetapi Iblis enggan menerimanya atas alasan dia lebih mulia daripada Adam, hujahnya sebab dia dicipta dari api manakala Adam dari tanah.

Cerita Cik, Adam bertubuh besar, gagah perkasa. Dadanya sahaja selebar 40 hasta. Manakala tingginya juga bermeter-meter. Cerita dan sifat-sifat biologi Adam itu dikutip dalam kitab-kitab tafsir yang ditelaahinya.

Sebahagian kota Urfa dari atas bukit Kota
Namrud.
Sebagai kanak-kanak saya tidak dapat membayangkan akan ketinggian dan kesasaan (besar) badan Adam itu. Apa yang menjadi ukuran saya 50 tahun lalu itu (1960an) kepada pokok kelapa atau pokok samak (serai kayu) yang ada di tengah-tengah kampung kami yang menjadi mercu tanda kampung. Kini pokok itu sudah tidak wujud lagi apabila ia menjadi korban pembinan jalan utama di kampung kami, Gual Nibong, Rantau Panjang.

"Sama tinggi dengan apa, Cik, Tok Adam itu?" Tanya saya "keduguan" setelah gagal membayangkan ketinggian yang diceritakan itu. Cik hanya mendiamkan diri. Ketika itu kami berdua dalam perjalanan ke sebatang anak sungai (parit air binaan) tidak jauh dari rumah untuk mengail ikan.

"Ada setinggi pohon samak?" Tanya saya lagi. Saya memang cucu yang banyak cakap dan suka menyiasat? Bagi saya tahap ketinggian pada masa itu hanya pohon samak nan sebatang di kampung kami itu. Pohon itu memang tinggi,  disebabkan ketinggiannya melampau tidak ada sesiapa yang sanggup naik untuk "menutuh" dahan-dahan atau ranting untuk diambil buah. Kami hanya menanti ia gugur sendirian setiap pagi dan petang. Buah-buah itu pula akan gugur apabila diusik atau disentuh pelbagai jenis burung yang datang mencari rezeki ke situ.

Cik tetap juga diam tidak melayani pertanyaan saya. Kami meneruskan perjalanan. Saya mengikutinya dengan taat di belakang. Bagaikan anak lembu mengikut induknya. Lagak perjalanan kami persis Pak Dogol dengan Wak Yah, huyung hayang yang sedang menaiki ke bukit untuk menghadap Seri Rama.

Santai di puncak bukit Kota Namrud.
"Senanglah Tok Adam nak makan buah samak, Cik...", getus saya selamba. Cik tetap juga diam.  Mulutnya saya nampak dia seperti memamah sesuatu, kumat kumit kumat kumit. Dia berzikir dan berselawat?

"Ba kali tiap-tiap hari Tok Adam makan buah nyiur muda, sebab dia mudah mengambilnya, tak payah pakai galah...tangannya panjang." Kata saya lagi. Cik tetap tidak melayani persoalan isengan saya. Kami terus berjalan, parit yang dituju sudah hampir.

Satu post belatar belakangkan kota Urfa
di atas puncak bukit Namrud
.
"Tok Adam juga tidak payah ceduk air telaga dengan timba, dia boleh ambil dengan tanganya sahaja," kata saya sambil terus membayngkan kehebatan dan kesasaan tubuh Adam. Cik masih tidak melayan, seolah membiarkan saya terus berimiginasi dan penasaran mengenai Nabi Adam yang diceritakan itu. Kami sudah sampai dan Cik sudah menjatuhkan batang kain sambil mencari ruang untuk duduk.

"Agak-agak besar mana pula **** *****, Tok Adam, Chek?"..(Astrgharfirullah.....)

"Ishih... budak ni!" Jerkah Cik. Tiba-tiba Cik jadi melenting dengan persoalan itu. Dia terbangun semula dari duduknya. Lagaknya macam hendak melibas kepala saya. Matanya mencerlun tajam. Saya terperagah, memahami dengan sikapnya itu. Cik tidak senang dengan persoalan itu. Selepas itu saya mendiamkan diri, tidak berani bersoal soal lagi kerana silap-silap kena ranting keduduk. Kami mula menghulur batang kail ke parit.

Cerita Nabi Irabhim.

Selain daripada cerita-cerita mengenai Nabi Adam, kisah bagaimana dia dilontar dari Syurga ke bumi, banyak kisah-kisah Nabi lain lagi. Salah satu yang popular ialah mengenai Nabi Ibrahim a.s yang dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud. Kisah ini saya dengar daripada Cik berkali-kali, sewaktu dia mengajar, dan tidak pernah berasa jemuh. Teruja dengan kehebatan Nabi Ibrahim dan ilmu yang ada kepadanya. Sesekali terfikir juga untuk menjadi hebat dan kebal seperti Nabi Ibrahim bila besar nanti. Bolehkah?

Bukan sahaja Cik, tetapi orang lain, tok-tok guru dan ustaz lain juga sering mengisahkan kehebatan Ibrahim tidak hangus dek api ini.  Di atas pentas ceramah, penceramah parti agama (Pas) sejak tahun 60-an lagi sering menceritakan kisah ketabahaan Ibrahim menerima seksaan dan ujian Allah. "Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup oleh Namrud, tetapi dia tetap senyum sahaja, sedikit pun tidak terjejas tubuhnya. Api tak makan tubuhnya. Dan dia tetap dengan perjuangannya, mengeEsakan Allah" begitu kata seorang penceramah.

"Tidak macam kita baru pemuda tahan lasak Umno ugut sikit dah terkencing takut nak datang dengar ceramah," sambungnya lagi. Kisah Nabi Namrud itu diangkat untuk dijadikan iktibar dan pengajaran bagaimana teguh dan beraninya Ibrahim a.s. dalam menghadapi Raja Namrud yang zalim dan angkuh namun utuh beriman kepada Allah. Begitulah apabila kita sudah merasai nikmat keimanan dan jiwa sudah sampai kepada hakikat iman, datanglah apa sahaja, tawarlah apa sahaja ia tidak akan mengecutkan perut dan menggamit rasa.

Adapun kisah yang diceritakan oleh Cik mengenai bagaimana kezaliman Raja Namrud itu membakar Ibrahim a.s. hidup-hidup yang hendak disinggungkan di sini ialah mengenai peralatan yang digunakan untuk melontarkan Ibrahim ke dalam api.

Alat dimaksudkan itu ialah "bbidas" atau pun lastik gergasi. Namrud mencipata satu alat khas untuk melontarkan Ismail ke dalam api kerana ia tidak boleh dilakukan seperti membakar ikan dan ubi kayu disebabkan api terlalu besar dan panas. Namrud memang terkenal sebagai seorang arkitek yang boleh merekacipta peralatan yang canggih. Bbidas atau lastik yang ada hari ini mungkin ianya berasal, terilham dari ciptaan Namrud.

"Namrud buat satu "bbidas" besar (lastik) kemudian dijadikan Ibrahim sebagai peluru (batu), diletakkan Nabi Ibrahim dipelapik bbidas itu kemudian ditarik, Ibrahim yunnnggg... melayang bokkk, jatuh ke dalam lautan api...," begitulah kira-kira gemula Cik membari bagaimana Ibrahim dilontar ke dalam api yang sedang marak menyala. Fikiran pendengar dan saya juga terbuai dengan cara Cik bercerita lengkap dengan mimik muka dan penuh perasaan.

Apa lagi sambungya; "Namrud melihat Nabi Ibrahim dah masuk dalam api, mereka bersorak-sorak dan meloncat-loncat kegembiran dan mengira Nabi Ibrahim hangus rentung dibakar api yang marak menyalak itu." Setiap yang mendengar cerita Chek terdiam dan terbungkam sambil menggambar kejadian itu.

Menggambarkan akan api yang marak menyala, menjulang tinggi. Asap berkepul-kepul naik ke udara. Sambil itu tentu sekali Nabi Ibrahim menjerit-jerit meminta tolong. Ibu tua yang mendengarnya ada yang mengalirkan air mata kerana sedih mengenangkan azab diterima Ibrahim.

"Tetapi Allah swt Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui dan Maha segala-gala. Dalam suasana Namrud dan pengikutnya bersorak sorai itu tiba-tiba Ibrahim nyah..nyah berjalan keluar dari lautan api yang ganas menggila itu sambil mengosk-gosok dan mengelus-ngelus tubuhnya, bagaikan menyapu air embun. Usahkan kulit Nabi Ibrahim mengelupas atau terbakar, sekerat bulu romanya pun tidak hangus," sambung Cik lagi sekaligus merubah perasaan pendengar dari sedih jadi gembira dan bangga dengan mukjizat Ibrahim itu.

Aku juga yang duduk terpojok terikut sama berasa kagum dan tompokan kehairanan memenuhi ruang kepala kepala kecilku.

Belum sempat membuka mulut mahu bertanya apakah rahsia kehebatan Nabi Ibrahim itu, Cik membaca dua tiga potong ayat-ayat Quran, antaranya ayat 69 Surah al Anbiya bermaksud; api dinginlah jadikan pelindungan keselamatan buat Ibrahim. Ayat ini merupakan doa-doa dibaca oleh Ibrahim sesama dia berada dalam api dan juga sewaktu dia sudah mengetahui rancangan Namrud hendak membakarnya itu.

Semasa mendengar "bari" Cik dan mengingatinya, yang terlekat dalam kepala saya ialah mengenai lastik atau bbidas gergasi Namrud itu. Saya mengira berapa kali ganda besarnya dengan lastik yang saya ada ketika itu, yang dibuat oleh ayah untuk saya. Saya bayangkan macam manakah lastik berkenaan. Tentu yang menarik pelapiknya beratus orang kerana ia besar dan kuat pasti memerlukan tenaga ramai. Kalau tidak Nabi Ibrahim tidak akan melayang jauh.

Apa yang boleh digambarkan setelah pelapik itu dilepaskan betapa Nabi Ibrahim melayang layang seperti ketulan batu yang dijadikan peluru lastik saya. Ada pun tempat atau negeri berlakunya kejadian itu tidak pernah disebut oleh Cik. Saya yakin dia sendiri tidak pernah mengetahuinya.

Seperti mana yang saya katakan diawal tadi hidup ini kadang kala bagaikan dalam mimpi sahaja. Saya sama sekali tidak pernah terfikir bahawa apa yang diceritakan oleh datuk saya itu akan dapat saya saksikan dengan mata sendiri. Tidak pernah terfikir bahkan bagi saya kesan; baik tempat kejadian itu dan sebagai sudah musnah dan ghaib.

Justeru apabila Husam Musa memberi tahu, kemungkinan semasa kami di kota Urfa nanti kami akan ke kota Namrud untuk menyaksikan kesan-kesan sejarah lampau, termasuk melihat tempat Nabi Ibrahim dibakar yang kini menjadi sebuah kolam yang berair jernih dan tiang (cagak bbidas) yang digunakan untuk melontar Ibrahin ke dalam api ia benar-benat merujakan saya.

Sebaik mendengar kata-kata Husam itu sepanjang detik selepas itu saya ternanti-nanti untuk melihatnya. Rasa teruja seakan kalau tidak menjejak ke tempat itu persis permusafiran tersebut tidak sempurna.

Tentang kewujudan apa disebut Husam itu mulanya saya kurang yakin dan mempersoalkan keabsahannya. Tetapi selepas ia dapat disaksikan sendiri, menyelidiknya menyebabkan saya berasakan satu anugerah termahal beri diberikan Allah kepada saya (kami) dan misi kemanusiaan itu adalah sesuatu yang sangat bermakna.

Betapa saya mendengar segala cerita-cerita mengenai Namrud dengan Nabi Ibrahim yang tidak diketahui dimana tempat dan macam mana rupa alatnya, tetapi hari ini saya dapat saksi sendiri dan berada di tempat dimana pembakaran ke atas Ibrahim dilakukan. Satu rahmat besar buat saya yang pastinya menambahkan lipasan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Peluang yang terhidang di hadapan mata inilah yang saya sebutkan, bahawa permusafiran Misi Kemanusiaan Syria ini membuka rahsia buat saya. Bersambung.  Dalam siri seterusnya Keterujaan menawan puncak Kota Purba Namrud dan beberapa dialog indah bersama Husam. [wm.kl.4:11 pm 28/01/17]

No comments: