Wednesday, March 29, 2017

Peraduan mengarang anjuran Annuar memakan diri sendiri

RENCANA KHAS

Annuar Musa mahu populis.
Selepas atau setelah berasakan dirinya tidak ada peluang untuk menjadi presiden FAM Annuar Musa (menarik diri dari bertanding), sekonyong-konyong beliau membuat kejutan melancarkan peraduan mengarang untuk membelasah Lim Kit Siang dan DAP.

Pengumuman itu dilihat untuk menghilangkan rasa aib dan membuang perhatian orang ramai daripada mengulas tindakan penakut alis licitnya itu.

Sebelum ini Annuar bukan main lagi bercakap dan menunjukkan sikap berani untuk ikut sama merebut jawatan berprestij dalam bola sepak negara itu bersama Tengku Mahkota Johor.  Beliau merasakan dia juga seakan putra raja yang layak. Toh..alih-alih dia angkat kaki cabut lari lintang pukang pada saat-saat akhir.

Peraduan karang "mengarang politik" yang dianjurkan itu mengambil tema  Kit Siang sebagai seorang yang rasis, anti Islam, anti Melayu dan diktator. Tema itu nampaknya lengkap dan menyeluruh untuk menmburukan seorang bernama Lim Kit Siang. Semua konotasi buruk dihumbankan ke atas Kit Siang.


Walaupun ia sebuah tema, tetapi secara langsung ia telah menjadi satu tuduhan (defamation)  kejam terhadap Kit Siang. Sama ada ianya dimulakan oleh siapa, tetapi apabila Annuar sebagai Ketua Penerangan Umno Malaysia mengambil atau menggunakan tema itu secara rasmi, bermakna ia telah membuat tuduhan langsung kepada ahli Parliman Gelang Patah itu yang terkait sama dengan partinya, DAP.

Dari sudut undang-undang Kit Siang dan DAP boleh mengambil tindakan kepada Annuar Musa kerana jelas tema itu memburuk prejudis (menuduh) Kit Siang. Mereka boleh membuat report polis meminta polis menyiasat kerana cara atau peraduan itu membawa niat dan suatu provokatif yang boleh menimbulkan suasana tidak baik dalam hubungan kaum.

Sudah pasti orang-orang Cina yang menjadi penyokong dan ahli DAP marah dengan tema dipilih Annuar Musa itu. Kaum Cina lain juga, (kecuali kapitalisme Cina dan MCA) akan turut sama merasa tersinggung dengan pemilihan tema itu kerana ia langsung menghala meriam politik kepada Kit Siang. Berdasarkan keadaan itu Kit Siang dan DAP boleh membuat report polis.

Tindakan melampau atau perbuatan sebegitulah yang menghalal dan memunasabahkan untuk DAP atau Kit Siang membuat report polis, di mana kesan daripada peraduan atau kata-kata Annuar itu memberi implikasi yang tidak baik untuk masyarakat majmuk negara ini. Itulah rasis sebenarnya.

Saya tidak pasti apakah mereka akan membuat laporan polis, atau bersedia mengheret ahli Parlimen Ketereh itu ke mahkamah? Kalau tidak silap Annuar mencabar Kit Siang berkali-kali agar menyamannya kerana mengeluarkan tuduhan itu. Cabaran itu juga merupakan publisiti murah dan ingin menjadi populis dengan mengharap ia digelar wira.

Jika DAP atau Kit Siang tidak membuat laporan polis, ertinya mereka lebih terbuka dan bersedia menyerahkan apa yang dilakukan Annuar Musa itu sebagai bahan propaganda murahan itu kepada umum menilainya. Ia juga mempamerkan sikap pro Kit Siang dan DAP. Seharusnya sebuah keluarga kecil di Pulau Melaka mengambil sikap seperti Kit Siang yang terbuka dan membiarkan tuduhan ke atasnya dibahas, bukannya buat laporan polis bila ada orang ingin mengkaji pemikiran warisnya.

Peraduan yang dianjurkan secara rasmi oleh Jabatan Penerangan Umno Malaysia itu telah menawarkan hadiah berupa wang RM50,000. Jumlah itu dipecahkan kepada beberapa kategori penulisan artikel, blog, video dan infografik.

Menarik juga hadiahnya dimusim barang keperluan hidup melambung tinggi kini, mereka yang menang di tempat pertama boleh menggunakan wang berkenaan untuk membeli alatan dapur untuk sebulan.  Manakala yang mendapat hadiah saguhati boleh guna untuk beli sabun mandi, bawang, gula atau pun tuala mandi.

Manakala penganggur atau mahasiswa yang terjempit dengan masalah hutang PTPTN boleh mencuba peraduan itu mana tahu kalau bernasib baik menang dapatlah melunasi hutang untuk sekadar sebulan dua.

Tujuan peraduan

Kita memahami tujuan dan matlamat peraduan itu dianjurkan. Annuar Musa atau Jabatan Penerangan Umno mahu berkongsi "tuduhan" itu dengan orang ramai. Beliau mahu menerima apa yang digemparkan oleh Umno, mengaitkan Kit Siang rasis, anti Melayu, anti Islam itu ke dalam masyarakat umum. Hasil peraduan itu nanti akan digunakan sebagai modal, dan akan dieksploitasikan kononnya orang ramai menerima tuduhan terhadap Kit Siang dan DAP itu. Peraduan itu juga menunjukkan Annuar masih terkial-kial untuk membuktikan kerasisan Lim Kit Siang. Pasti selepas ini Annuar akan mengumumkan penyertaanya ratusan ribu untuk menunjukkan saking bencinya kepada DAP dan Kit Siang.

Apakah cara dan usaha Annuar itu bukan melacur dan menyalah gunakan wang parti secara tidak bermoral? Ia tidak pelik bila dilihat beberapa salah laku Annuar baik semasa menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan terbaharu sebagai Pengerusi Mara yang kini digantung.

Sudah tentu mereka berminat untuk menyertai peraduan itu akan memberi definasi terhadap tajuk atau tema yang dikemukakan. Perkataan yang perlu diberikan definasi ialah "Rasis". Pengertian tajuk perlu dijelas dengan sejelas-jelas baharulah ia diberikan fakta dan hujah sokongan. Itu adalah standard dalam penulisan dalam apa-apa bidang pun. Huraian tajuk adalah pemberian markah awal kepada sesebuah karangan.

Untuk mengenali definasi tajuk ini mari kita rujuk kepada Kamus Dewan yang menjadi rujukan ramai. Kamus Dewan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi keempat terbitan 2005,  tidak menghurai apakah maksud "rasis". Sebaliknya apa yang dijelaskan ialah, "rasialis" yang dihuraikan, 1. sebagai bersifat atau bersikap perkauman. 2. orang yang menganut dan mengamalkan fahaman rasialisme.

Rasialisme pula; 1. Layanan berat sebelah atau sikap bermusuhan terhadap seseorang berasaskan keturunan bangsanya. 2. Fahaman yang menekankan bahawa suku kaum sendiri sahaja yang paling unggul.

Memahami penghuraian erti rasialisme dalam Kamus Dewan itu ia sangat jelas kepada kita siapakah atau pihak manakah yang rasis? Rasialisme tidak dirujuk kepada mana-mana kaum atau bangsa secara spesifik. Ia bersifat umum. Ertinya mana-mana kaum atau puak mendokong dan menganuti fahaman itu mereka adalah rasis.

Dalam kes penganjuran peraduan mengarang ini Annuar Musa langsung menuduhkan yang bersifat rasis itu ialah Kit Siang -- berbangsa Cina dan DAP. Mudah sekali perkataan itu dipaling dan "dipolokkan" kepada Kit Siang dan DAP. Dari pengertian kamus manakah Annuar rujuk yang menggambarkan yang rasis itu adalah Kit Siang atau DAP?

Kita tahu beliau menggunakan tema itu dengan mengeskploitasikan propaganda politik yang dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad terhadap Kit Siang? Rasis dijadikan dogma politik Umno sejak lama dulu.

Baik, apakah tindakan atau kelakuan, aksi yang dilakukan Kit Siang atau partinya yang menyerlahkan ada hubung kait dengan sifat rasis, anti Islam, anti Melayu dan diktator itu. Dari pengertian pertama itu, apakah bukti menunjukkan beliau atau DAP memberi layanan berat sebelah kepada rakyat. Atau apakah mereka memberi keistimewaan kepada kaum Cina berbanding kaum-kaum lain dalam konteks Malaysia, Melayu, Cina dan lain-lain ethnik.

Mungkin untuk melihat dalam skop lebih besar dalam sebuah negara, tidak adil kerana DAP belum menguasai Malaysia dan para pemimpin DAP bukan pemegang jawatan berkuasa seperti PM atau menteri. Dia hanya sebagai wakil rakyat biasa sahaja. Ia boleh diperhatikan dalam skop "minor" (kecil) sahaja, yaitu dalam kloni DAP sendiri.

Persoalannya dalam DAP, kalau pun ada sikap rasialisme itu ia tidak berhak untuk dipersoalkan kerana itu urusan peribadi DAP dan Kit Siang tidak ada kena mengena dengan dunia luar -- masyarakat luar. Hal sedemikian juga berlaku dalam kelompok partisan lain termasuk Umno sendiri yang tegar dengan nasionalis atau parti agama yang hijau dengan agamis.

Pun begitu hakikatnya tidak boleh diterima semudah itu. Ia perlu juga diteliti dan dipantau. Apa yang berlaku dalam DAP ini boleh dilihat sendiri, bagaimana parti itu membuka partinya secara liberal.  Hari ini bahkan sejak dulu lagi sudah ada profesional Melayu, golongan yang dianggap jauh lebih cerdik dari segelintir dari keluarga di Pulau Melaka. Bahkan ada seorang kerabat di raja pernah menyertai parti itu.

Nama-nama Melayu sudah lama berada dalam DAP malahan menjadi wakil rakyat DAP. Hari ini serangkaian nama-nama Melayu berada dalam parti berkenaan yang mencerminkan parti itu bukan parti chauvenis Cina.

Nama-nama besar Melayu seperti Zairil Khir, Ariff Sabri, (kedua-duanya ahli parlimen), A Samad Said, Sasterawan Negara, Abdul Aziz Bari bekas pensyaraah Undang-undang, Diana Sofya Daud, generasi muda, Zaid Ibrahim bekas menteri dan seorang Melayu tulen, sudah berada dalam DAP. Mereka ini adalah golongan "albab", cerdik pandai yang tahu menilai apakah DAP dan Kit Siang seorang rasis atau pun tidak.

Jika kita membuka mata selebar-lebarnya, menanggalkan sunglass... kita akan tahu menilai dengan baik apa yang berlaku dalam DAP, dan ia dengan mudah tertolak apa yang hendak digambar dan diheret Annuar melalui penganjuran peraduan itu.

JIka kita jujur dan ikhlas, (tidak rasis) bercakap mengenai rasialisme, sebenarnya parti Umno dan pemimpinya lebih rasis dalam tindak tanduknya. Cuma ia tidak terlihat disebabkan istilah atau pengertian rasialisme itu sudah diselewengkan. Rasilisme hanya ditunding kepada orang bukan Melayu sahaja, menyebabkan rasislism yang berladum dalam Melayu tidak nampak. Umno berjaya mengsinonimkan rasislisme dengan orang Cina.

Tindakan Umno sebagai kerajaan, bukan sahaja mereka mendiskriminasi atau bersikap cenderong kepada bangsa Melayu, tetapi berlaku juga sikap memilih bulu dalam sesama kelompok mereka. Apakah ini tidak boleh dikriteriakan sebagai rasislisme?

Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang merupakan dasar kebanggaan orang Melayu seluruhnya, tidak dapat dinafikan dalam pelaksanaanya penuh dengan rasialisme. Realisme ini bukan sahaja dihidu oleh orang Cina dan bangsa lain, tetapi pemimpin Melayu yang rasional dan jujur juga mengakuinya. Sebab itu dasar ini dituntut agar ia dirombak dan diperkemaskan semula kerana matlamat untuk membangun ekonomi dan Teras Nasional gagal kerana ia dilakukan dengan penuh rasislisme. Kegagalan mencapai matlamat 30 peratus dalam DEB sedikit sebanyak faktornya kerana rasislime.
Siapa yang menguasai dasar ini, jawabnya Umno.

Bukan itu sahaja contohnya, banyak kalau hendak disebut, bagaimana Umno menganjurkan perbuatan berasaskan rasilisme.  Boleh dikatakan dalam semua apsek kehidupan; pendidikan, pembangunan, kebajikan dan sebagainya. Kita  tidak perlu pergi jauh, macam mana Umno melakukan tindakan rasialisme, -- berasaskan kelompoknya, Umno dalam melaksanakan pembangunan di Kelantan yang dikuasai oleh parti yang juga berteraskan bangsa Melayu.

Bukankah tindakan Umno mendiskriminasikan pembangunan kepada Kelantan itu bukan dibuat atas dasar rasialisme? Ia diasingkan kerana yang menjadi pemerintah itu bukan Melayu Umno, tetapi Melayu Pas. Dan siapakah bapak rasislisme di Kelantan kalau bukan Annuar bin Musa.

Umno dabik dada

Mari pula kita melihat huraian ke 2 seperti apa disebut Kamus Dewan. "Fahaman yang menekankan bahawa suku kaum sendiri sahaja yang paling unggul."

Fahaman dan pengamalannya cukup egoistik dan angkuh kerana merasakan hanya kaum sendiri sahaja lebih unggul. Fahaman ini seiras dengan fahaman dan keyakinan orang-orang Yahudi yang menganggap hanya kaum mereka sahaja mulia manakala kaum lain hina dina.

Hari ini siapakah yang mendabik dada kononya kaum atau kumpulannya sahaja yang berhak untuk memerintah negara ini. Hanya Umno sahaja yang boleh diberi kepercayaan untuk menjadi kerajaan. Didoktrinasikan kepada rakyat Umno (Melayu) terbaik. Kononnya kalau tidak kerana Umno negara dan bangsa ini akan menjadi hina. Siapakah yang melaungkan piagam berkenaan? Umno bukan?

Ini bererti yang galak membuat pengakuan memuji diri dan memandang rendah kepada orang lain atau kelompok lain ialah Umno. Jadi siapa sebenarnya pemain sebenarnya dalam isu rasislisme ini?

Kesimpulannya disebabkan terlalu galak melempar batu sembunyi tangan, akhirnya batu terkena ke atas kepala sendiri. Tindakan Umno menuduh kumpulan atau parti lain rasialis tidak ubah seperti orang meludah ke langit yang mana air liur terkena ke atas batang hidung sendiri. Maka selamanya membawa busuk kohong air ludah itu ke serata tempat tanpa sedar.

Begitu juga dengan tuduhan mengatakan Kit Siang anti Islam dan anti Melayu. Ia tidak lebih daripada satu tuduhan berniat jahat untuk mempengaruhi orang Melayu agar menolak DAP. Tuduhan ini semua menggambarkan Umno terdesak dengan situasi hari ini. Perasaan dan kebimbangan akan kalah dalam Piraum akan datang menghantui kepala.

Mengenai Kit Siang atau DAP anti Islam ia boleh diukur dengan apa yang kerajaan DAP Pulau Pinang lakukan kepada kepentingan Islam di negeri tersebut. Satu perkara yang jelas, keprihatinan kerajaan DAP Pulau Pinang kepada pembangunan Islam jauh lebih baik pada zaman negeri itu dikuasai oleh BN yang mana Umno menjadi tulang belakangnya.

Sebagai contoh lihat peruntukan yang disalurkan kepada hal ehwal pembangunan Islam di Pulau Pinang sejak tahun 2008, mula memerintah, peruntukan disalurkan dengan berlaku peningkatan.  Tahun 2008 sebanyak RM25.49 juta diperuntukan untuk pembangunan Islam. Tahun 2009/10 sebanyak RM37.85 juta. Tahun 2011 sebanyak RM63.21 juta.

Peruntukan terus disalurkan untuk tahun-tahun berikutnya. Tahun 2012 sebanyak RM64.03 juta, tahun 2013 sebanyak RM54.55 juta dan tahun 2014 sebanyak RM51.17 juta.

Selain itu kerajaan Pulau Pinang juga tidak mengalpa untuk menyalurkan peruntukan ke sektor lain yang ada kaitan dengan pembangunan dan kepentingan ummah Islam.Sebanyak RM1.5 juta disalurkan setiap tahun untuk sekolah-sekolah agama dimana peruntukan ini tidak wujud dizaman BN mmerintah. Para penghafal -- Hafiz hafizah Quran dan juga guru Kafa diberi peruntukan pada setiap tahun dengan jumlah tertentu.

Rumah-rumah ala dhufah untuk orang miskin dan kurang mampu juga dibina dan dibangunkan. Atas keprihatinan inilah menyebabkan ada orang Melayu menyifatkan kepimpinan Lim Guan Eng persis Umur Ibnu Aziz.

Mengutip kata Dr Mahathir

Dr Mahathir dan Kit Siang dimajlis Zaid Ibrahim.
Annuar Musa hanya mengutip tuduhan ke atas Kit Siang sebagai rasis dan anti Islam dan Melayu itu daripada dialog propaganda politik Dr Mahathir Mohamad. Beliau tidak mengemukakan dalil-dalil dan bukti baharu yang akurat. Sebenarnya apa yang dibangkitkan Annuar itu suatu hal yang anti klimeks. Apakah dia tidak sedar bahawa hari ini Dr Mahathir sudah bersama Kit Siang memasang mimpi bersama?

Dr Mahathir mengecam Kit Siang semasa beliau berada dalam Umno, menjadi presiden Umno. Kenyataan dan tuduhan Dr Mahathir itu bersifat politik semata-mata yang tidak boleh dibuktikan. Pengungkitan dialog Dr Mahathir itu tidak lebih untuk menempelak bekas PM itu sahaja. Saya yakin kalau tuduhan itu benar-benar kenyataan, Kit Siang dan DAP rasialsis, anti Melayu dan anti Islam, Dr Maathir tidak akan tergamak untuk bersekongkol dengan Kit Siang dan DAP. Rasanya setua-tua Dr Mahathir beliau masih ada integriti sebagai seorang bekas PM selama 22 tahun.

Dr Mahathir akan menjauhinya. Tetapi boleh jadi juga kerana Dr Mahathir sudah menyedari bahawa yang rasis sebenarnya ialah Umno. Kerana rasialisme melampau Umno dibawah Najib itulah menyebabkan beliau bersedia untuk apologis kepada Kit Siang dan DAP, kerana bagi orang yang mempunyai tanggungjawab kepada bangsa dan negara seperti Dr Mahathir beliau rela berkawan dengan musuh untuk menumbangkan musuh negara dan bangsanya yang lebih besar.

Hari ini apabila Dr Mahathir bermati-matian untuk menumbangkan Najib ini bermakna Najib menerusi Umno kini bersikap lebih rasis daripada Kit Siang dan DAP seperti mana dituduh Annuar Musa itu.

Manakala tentang tuduhan Kit Siang sebagai diktator ia juga merupakan tuduhan melulu yang diluahkan sesedap rasa sahaja. Annuar tidak mempunyai bukti jelas akan kediktatoran Kit Siang. Apakah apabila Annuar membangkitkan soal diktator ini dalam masa sama beliau mahu memberi mesej kepada Najib. Dalam kata lain beliau sengaja membuka landasan untuk orang mengkritik Najib membahas kediktatorannya?

Apakah sikap Najib yang menutup rapat pintu untuk membincang soal skandal 1MDB, menggunakan pelbaga aparat dan instutusi kerajaan melindungnya dari skandal berkenaan dan mengambil tindakan ke atas pegawai penguasa kerajaan yang bangun membela kebenaran mereka akan dibuang, itu bukan diktator. Peluang untuk berlaku diktator antara Najib dengan Kit Siang jauh lebih terbuka buat Najib.

Pengajuran peraduan itu jelas menunjukkan Umno kini terdesak. Annuar pula terkial-kial dalam menaci mekanisme untuk membela parti dan bosnya Najib. Selebihnya peraduan itu untuk mengambus malunya kerana membatalkan niat untuk bertanding presiden FAM tetapi tidak menjadi. Itu sahaja ia bukan satu pelan penyelamat Umno yang mampan. [wm.kl.10:55 am 29/03/17]

4 comments:

Wan Ali said...

manusia terdesak

mahligai seni said...

Salam.
Insya-Allah rakyat negara ini membuat pilihan yang tepat pada PRU 14 nanti.
Yakinlah kepada kekuasaan-Nya namun gerak kerja ke arah itu perlu ditingkatkan.
Wassalam.

midzilob said...

Pemakan dedak yg sedia ada dah tak mampu berhujah. Maka RM50k disediakan utk mencari bakat baru.

Brother Ray said...

Perihal rasis ini hanyalah retorik politik untuk menutup kelemahan masing-masing, ambil kesempatan daripada keharmonian masyarakat majmuk Malaysia. Cina atau Melayu lumrah lebih cenderung memilih kaum masing-masing, itu rasis. Tetapi, rasis politik lebih dangkal dan jengkel. Ketika di sana, yang sana kata yang sini rasis. Ketika di sini, yang sana dan yang sini bertepuk tampar bermodalkan air liur ingin membina negara bangsa yang sama. Ke mana hilangnya rasis tadi? Hanya yang tetap setia di pihak sama memerah keringat demi bangsa patut ditimbal.

Walau tiada peraduan menulis esei ini, apakah akan hilang rasis itu?