Monday, November 6, 2017

PPWS maufakat demi keselamatan & kesejahtraan bersama

CATATAN SEKITAR

"United Siagans" bergambar sebelum mesyuarat.
Kesejahteraan hidup dalam sebuah taman perumahan di tengah-tengah ibukota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur ini bergantung erat kepada kerjasama di kalangan penduduknya. Walaupun kerajaan atau pihak berkuasa (PBT) seperti DBKL, pasukan keselamatan (Polis)  bertanggungjawab dalam mengadakan prasarana dan mengawal keselamatan, namun nadi utama menjamin tercapainya matlamat bersama itu adalah para penduduknya.

Dalam sesebuah kampung atau dalam apa juga entiti, semua pihak perlu insaf peri pentingnya berkerjasama dan maufakat. Hanya dengan maufakat sahaja semua kerja menjadi mudah dan berjaya. Bak kata pepatah bulat air kerana pembentung, bulat kata dek maufakat, yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing, kuat rumah kerana tiang, kuatnya lidi kerana bersatu.

Atas semangat dan kesedaran itulah komuniti Wangsa Siaga, Wangsa Melawati bermaufakat untuk mencapai apa yang didambakan itu. Perlu disedari kesejahteraan dan keselamatan menjadi lambang kemurnian dan kesejahteraan di sesebuah taman perumahan. 

Kol Mohamad Fauzi mengangkat replika chek RM10,000.
Bagi kominiti di Wangsa Siaga ia menjadi lebih bererti dan serius lagi apabila selama ini komuniti Wangsa Siaga menerusi persatuan bergerak secara ad hoc, tetapi kini ini telah mendapat kebenaran secara sah apabila Persatuan Penduduk Wangsa Siaga telah didaftarkan menjadi sebuah pertubuhan sah berdaftar dengan pejabat Pendaftaran Pertubuhan. 

Persatuan Penduduk Wangsa Siaga atau nama ringkasnya PPWS, didaftar dengan Akta Pertubuhan 1966 dengan nombor pendaftaran PPM 022-14-26092016. Sijil kelulusan  pendaftaran rasmi ini dikeluarkan tanggal 26 September 2016. 

Dan semalam, telah diadakan mesyuarat rasmi yang pertama PPWS dan sekaligus mengesahkan jawatan kuasa penajanya selama ini yang diketuai Kol Mohamad Fuzi Taib.

Berkat semangat maufakat itu mesyuarat semalam dihadiri lebih 60% penduduk yang bermukim di sini yang kesemuanya mempunyai 245 unit kediaman dengan keahlian setakat ini 151 yang berdaftar dan 94 yang belum mendaftar sebagai ahli. Kehadiran semalam satu rekod membanggakan. Adalah dianggarkan jumlah jiwa yang mendiami di taman ini seramai lebih 1,000 jiwa.

Menjelaskan persepakatan.

Kehadiran yang ramai dan meriah semalam menunjukkan kesepakatan komuniti Wangsa Siaga atau "United Siagans" yang betapa pentingnya maufakat dan bermesyuawarah bagi membincangkan hal-hal kepentingan bersama. Ada dua isu yang dilihat menjadi masalah kepada kawasan-kawasan atau taman-taman perumahan sekarang ini, soal keselamatan dan kelestarian kawasan.

Muasir ini di mana-mana taman atau kawasan perumahan di Lembah Kelang berhadapan dengan gejala yang merosakkan keharmonian hidup berjiran seperti berlakunya pelbagai jenayah, dari vandalisme sampailah kepada jenayah pecah rumah, ragut, mencuri kenderaan dan sebagainya.

Selain masalah itu ada juga berlaku pencerobohan pihak luar ke kawasan kediaman termasuk yang menggunakan prasarana, landasan riadah, alat permainan kanak-kanak atau gelanggang sukan yang dikhaskan untuk penduduk.
Sebahagian yang hadir.

Gejala itu juga berlaku di Wangsa Siaga, dan masalah ini membimbangkan. Kerap juga berlaku kecurian, ragut dan pecah rumah disamping kegiatan-kegiatan sumbang. Bertolak dari situasi inilah mendorong penduduk bersemangat untuk maufakat demi kebaikan bersama dan menjamin matlamat hidup dalam sebuah taman yang ada privacy menjadi realiti.

Sebenarnya sebelum PPWS didaftar secara rasmi pertubuhan ini sudah pun bergerak dengan mengadakan beberapa aktiviti kemasyarakatan setempat seperti kawalan kawasan, gotong royong membersih persekitaran serta mengadakan majlis temu raya Aidifitri dan juga sempena Tahun Baru Cina. Semuanya digerakkan atas inisiatif penduduk tanpa melibatkan mana-mana pihak luar, kecuali DBKL yang sering memberi bantuan dan kerjasama.

Dalam mesyuarat yang diadakan di khemah di padang permainan Wangsa Siaga semalam sempat membincang dan memperincikan beberapa agenda yang telah diangkat oleh pihak pengurusan. Melihat kepada perdebatan dalam mesyuarat semalam, jelas menunjukkan mereka yang hadir komited dan paling menarik menyerlahkan suasana muhabbah. Perlu disebut komuniti Wangsa Siaga bolehlah dianggap komuniti yang mencerminkan suasana Malaysia kerana ia melibatkan ethnik Melayu, Cina dan India.

Antara lain agenda atau isu yang dibincangkan semalam mengenai pengemaskinian kawalan di taman ini dan penceriaan lanskap yang sedia ada. Dicadankan mana-mana jalan haram, atau lorong tikus yang wujud perlu ditutup dan hanya jalan utama sahaja dibuka dan digunakan. Dengan penutupan jalan haram atau lorong-lorong tikus ini ia boleh mengawal kemasukan anasir luar dengan bebas.

Justeru ada yang mencadangkan agar dibina pintu yang lengkap dengan pengawal tetap dan memagar sebahagian tempat yang diperlukan.

Isu lain yang menjadi perhatian ialah mengenai kelestarian kawasan taman berkaitan dengan tempat pembuangan dan kerakusan membuang sampah oleh penduduk sendiri. Masalah parking yang tidak teratur dan pengawalan kepada prasarana yang ada khasnya gelanggang futsal dan bola keranjang.

Mengenai masalah sampah mesyuarat bersetuju agar dibina tempat khas untuk pembuangan sampah sementara ia dipunggut oleh pihak Alam Flora. Begitu juga dengan masalah parking dicadangkan agar diadakan garis khas untuk memastikan kenderaan diletak secara teratur. Dalam masa sama juga penduduk yang berdaftar perlu melekatkan pelekat khas kereta menandakan mereka sebagai penduduk atau ahli PPWS.

Bagi menjamin prasarana yang tersedia digunakan dengan baik, mesyuarat bersetuju untuk mewujudkan satu unit khas bagi menguruskan kemudahan asas berkenaan terutamanya gelanggang futsal dan bola keranjang. Dicadangkan pihak PPWS akan menguruskan kemudahan itu dimana mana-mana pihak yang ingin menggunakan kemudahan itu perlulah mendapat kebenaran bertulis daripada persatuan dan mungkin bayaran akan dikenakan kepada orang luar yang ingin menggunakannya.

Cara ini juga sedikit sebanyak persatuan akan dapat memanfaatkan penggunaan kemudahan itu oleh orang luar itu bagi mengisi tabung persatuan.

Isu lain yang turut sama dibincang dalam mesyuarat semalam dan agak hangat dibahas mengenai kewujudan kira-kira 20 buah gerai jualan di Jalan Wangsa Melawati berhadapan dengan taman ini. Rata-rata penduduk yang hadir melahirkan rasa kurang senang hati dengan kewujudan gerai-gerai berkenaan yang menyebabkan berlaku kesesakan khasnya apabila pelanggan gerai berkenaan meletakkan kereta mereka sesuka hati.

Kesan dari kewujudan gerai berkenaan itu menyumbang kepada keadaan tidak kondusif bagi penduduk di taman ini bila mana wujud masalah-masalah lain bau busuk, menjadi pembiakan tikus dan tempat "membuang" kucing. Suasana ini wujud disebabkan gerai berkenaan tidak diurus mengikut peraturan sewajarnya.

Kesesakan yang kerap berlaku di situ juga turut sama dirasai oleh penduduk taman AU yang berjiran dengan Wangsa Siaga.

Justeru ahli persatuan mahu penjelasan daripada pihak berkuasa (DBKL) bagai mana kesudahan dengan kewujudan gerai-gerai tersebut yang masih belum ada solusi walaupun ia sudah bertahun dibangkitkan?

Semalam tidak ada cadangan penyelesaian berkaitan gerai-gerai dikemukakan oleh mesyuarat. Mereka menyerah kepada kebijaksanaan pihak Persatuan untuk menguruskan dengan DBKL.

Pindah gerai.

Mungkin di sini agak terlewat kalau dicadangkan agar gerai-gerai berkenaan dipindah ke tempat lain yang lebih kondusif. Dalam hal ini perpindahan gerai-gerai itu mungkin boleh dilakukan sekiranya DBKL menjadikan sebahagian daripada kawasan longkang atau parit besar yang terletak bersebelahan Jalan Wangsa Melawati yang membelahkan Wangsa Budi dan Wangsa Ceria sebagai kawasan jualan baru. Mungkin mini food court boleh dibina di situ.

Sekiranya DBKL ada mekanisme atau kaedah menjadikan ruang itu sebagai penempatan gerai-gerai tersebut (food court) masalah "keserabutan" yang kesesakan dan ketidakselesaan penduduk taman ini disebabkan gerai-gerai itu mungkin dapat diatasi. Lagi pun kawasan yang dimaksud itu lebih sesuai dan ia tidak menganggu lalu lintas di persimpangan Jalan AU ke Jalan Wangsa Melawati. Ia juga agak terpisah dengan kediaman.

Cadangan lain yang menarik dikemukakan semalam tanpa dibahas ialah untuk mengadakan majlis berupa makan malam untuk mengeratkan silaturahim di kalangan penduduk di taman ini.

Demikian juga permintaan daripada Pengerusi surau (Al Kauthar) meminta penduduk muslim mengimarakkan surau. Untuk itu cadangan agar diadakan aktiviti berkala di surau berkenaan seperti bacaan yassin dan majlis kenduri sempena sesuatu peristiwa boleh difikirkan. Dengan cara itu mungkin nawaitu untuk mengimarakkan surau itu menjadi kenyataan.

Sebelum mesyuarat semalam berakhir, Pengerusi PPWS Kol Mohamad Fuzi meminta kepada mana-mana penghuni Wangsa Siaga yang masih belum mendaftar sebagai ahli hendaknya sama-sama bergabung dalam PPWS. Beliau meminta mana-mana ahli yang mengenal pasti jiran sebelah menyebelah belum menjadi ahli agar dimaklum agar menyertai PPWS. [wm.kl. 7:45 am 06/11/17]

No comments: