Thursday, November 23, 2017

Ulasan ringkas sidang Dun Kelantan

ULASAN

Bermula awal tengah hari tadi hingga ke petang Dewan Undangan Negeri Kelantan mendengar penggulungan perbahasan ucapan Bajet 2018. Saya berkesempatan mengikutinya dari jauh penggulungan oleh beberapa Exco, TMB dan juga MB sendiri itu dari dalam kenderaan.

Tampaknya persidangan kali ini berjalan lancar dan tidak riuh randah seperti sebelum ini. Perbahasan dan penggulungan juga aman dan sedikit berisi. Apakah kerana disepanjang penggulungan itu, disebabkan kesemua 12 orang wakil BN dan wakil tunggal Amanah tidak ada dalam dewan? Jadi pencelahan dan gangguan-gangguan bertubi-tubi tidak berlaku maka keadaan ini memberikan peluang baik kepada wakil kerajaan menjawab dengan lenang?
Penggulungan daripada Exco agama, Nasaruddin Daud juga kali ini boleh dipuji. Saya berinya tiga bintang. Beliau membuat ucapan penggulungan lebih profesional, tidak "memangkah" dan memerli tanpa tentu fasal. Mungkin beliau belajar dari penampilannya sebelum ini yang boleh dianggap keras dan ego kemudian merendahkan martabatnya sebagai seorang Exco.

Ayat-ayat Quran yang dipetik menyokong hujahnya juga kemas. Konotasi digunakan juga baik. Kita berharap semoga persembahan seperti hari ini dikekalkan untuk masa akan datang oleh YB tersebut.

Penggulungan yang dinanti-nantikan ialah daripada Annuar Tan Abdullah kerana ada beberapa persoalan dibangkitkan oleh Adun Salor terutamnya berhubung dengan projek korban kredit yang jadi kontroversi itu. Husam dalam membahas ucapan bajet mempersoalkan mengenai unjuran perolehan daripada projek itu dari RM50 juta setahun seperti dirakam dalam buku bajet 2017, turun mendadak kepada RM5 juta setahun untuk tahun 2018.

Annuar menjawab perkara ini secara berfakta, tertib dan munasabah tetapi penuh tektikal. Menurutnya, mengenai unjuran itu mungkin Husam "pekak" atau pun buat-buat pekak. Sebenarnya unjuran RM50 juta setahun dibuat sebelum ia diperbaiki. Kerajaan telah memperbaiki unjuran itu apabila projek itu masih belum bermula, yang dijangka ia akan bermula tahun 2019.

Dalam kenyataan terbaru kerajaan memberi tahu, syarikat Climate Protectors yang diberi tempoh dua tahun untuk membuat kajian dan memasuki ke hutan berkenaan. Dalam tempoh kajian itu syarikat itu perlu membayar kepada kerajaan sebanyak RM5 juta setahun. Ertinya projek Korban Kredit masih belum bermula.

Penjelasan Annuar Tan itu seakan memuaskan tetapi masih ada celah yang boleh disinggungkan misalnya, berkaitan dengan kebimbangan Husam projek itu sebagai ada agenda untuk menipu kerajaan Kelantan bila mana ia dikaitkan dengan saham BitCoint dan sebagainya. Hal ini dijawab oleh Annuar Tan secara bermetafora sahaja dan memberi tahu salah seorang lembaga pengarah syarikat CP itu sudah dibuang.

TMB Mohd Amar Nik Abdullah juga bangun menggulung dan menjawab persoalan dibangkitkan Adun Salor (Husam Musa) berkaitan dengan projek ladang kayu putih (eculyptus) dan berkaitan kunjungan ke Naning China. Mohd Amar menjelaskan, projek itu di peringkat percubaan apabila ia mendapat maklumat positif daripada rombongan peninjau mengenai projek itu ke China yang diketuai sendiri olehnya.

Beliau juga menjelaskan panjang lebar berkaitan dengan dakwaan pemberian tanah seluas 20,000 oleh KPK kepada seseorang kononnya untuk melaksanakan projek itu. Sambil menafikan tuduhan itu tidak benar, Mohd Amar menjelaskan apa yang berlaku, tanah seluas 9,000 ekar diluluskan untuk tujuan projek percubaan bagi penanaman kayu putih itu.

Nama Rozaimi disebut oleh Husam yang ikut sama dalam rombongan ke China langsung tidak disentuh langsung oleh Mohd Amar.

Mengenai kelulusan tanah hutan seluas 5,500 kepada tiga buah syarikat dimiliki orang sama di Pahi Kuala Krai seperti mana dibangkit oleh Husam, Mohd Amar menjelaskan, tanah itu belum dilulus tetapi masih diperingkat permohonan. Permohonan itu berhak untuk ditolak oleh Kerajaan sekiranya syarikat itu tidak berkemampuan untuk melaksanakannya. Manakala kenapa ia diluluskan kepada orang sama dengan menggunakan tiga syarikat itu adalah strategi perniagaan, katanya.

Menjawab kenapa pemberian tanah itu tidak ditander, katanya tidak berbangkit untuk ditander kerana tanah itu dikenali pasti oleh syarikat berkenaan.

Nik Amar menyatakan kekesalan di atas beberapa fakta yang dibawa oleh Husam tersasar dan tidak tepat serta tidak "pok". Pun begitu beliau bersikap terbuka untuk menjawab apa yang dibangkitkan. Dalam masa lain katanya dia suka Husam membawa isu-isu yang separuh matang itu ke dalam Dewan kerana kerajaan boleh menjawab.

Beliau tidak bersetuju dengan pandangan Annuar Tan yang mengatakan isu-isu atau perkara dibangkitkan Husam sebagai sampah. "Tak apa segala isu dibawah ke sini, kerajaan boleh menjawabnya. Ia lebih baik dibawa di dewan daripada dijajah di luar menerusi Facebook," kata Mohd Amar.

Akhirnya Datuk Bentara Kanan ikut sama membuat penggulungan. Beliau juga respon kepada cadangan Husam agar kerajaan membatalkan projek korban kredit. Tanpa menjawab langsung kepada cadangan Husam itu, Ahmad Yakob berkata, projek itu sesuatu yang baik untuk selamatkan Kelantan dan mengurangkan aktiviti penebangan balak di masa akan datang.

Rumusan persidangan Dewan kali ini, boleh disifatkan baik dan menyenangkan hati orang-orang seperti saya yang mahu melihat wakil rakyat berbahas secara profesional membawa isu-isu rakyat. Apakah Dewan hari ini boleh dipuji apabila wakil Pulai Chondong seakan tidak berminat untuk mengambil bahagian kali ini tidak seperti biasa, atau pun beliau tahu punca kenapa Dewan Kelantan selalu riuh randah selama ini ialah kerana karenah provokatifnya?

Kalau beliaulah yang mendatangkan masalah dan kacau bilau dalam Dewan elok di masa akan datang wakil ini tidak dibawa masuk lagi ke DUN Kelantan.

Begitu juga kepada Tuan Speaker, Abdullah Yaakob, kali ini saya nak angkat tangan kepadanya kerana menjalankan tugas dengan profersional dan tegas serta berbudi bahasa baik. Beliau garang pada tempatnya. Kalau beliau tidak singkir ketua pembangkang Nozula Mat Diah (Paloh) mungkin saya boleh angkat dua belah tangan untuk memberi tabik hormat kepadanya. Trims. [wm.kl. 2:30 pm 23/11/17] * Perkongsian dari Fb MSO II.
Post a Comment