Monday, June 25, 2018

Siapa yang bakal jadi presiden Umno?

PENDAPAT 

Calon presiden Umno dari tiga jenegari,
Tengku Razaleigh, Zahid dan Khairy.
PARTI  Umno kini sedang sibuk melangsungkan mesyuarat diperingkat kawasan dalam persiapan untuk mengadakan perhimpunan agung dan membuat pilihan kepimpinannya.

Suasana pemilihan kali ini berbeza dengan perhimpunan sebelum ini kerana Umno kini terpaksa menghadapi pelbagai kesukaran ekoran hilang kerajaan. Kehilangan kerajaan memberi kesan jiwa yang besar kepada parti nasionalis itu.

Pemilihan sayap-sayap parti itu, Wanita, Pemuda dan Puteri sudah pun selesai diadakan semalam. Keputusan tetah pun diketahui. Calon BN yang kalah di kerusi parlimen Pasir Puteh, Asyraf Wajdi Dusuki dipilih sebagai Ketua Pemuda, manakala ahli Parlimen Parit Sulung Noraini Ahmad dipilih sebagai Ketua Wanita yang baharu. Ketua Puteri pula disandang oleh Shahidah Zarik Khan.

Pertadingan kini tertumpu kepada jawatan presiden, timbalan presiden serta ahli MT Umno yang akan diadakan 30 Julai ini menerusi mesyuarat peringkat bahagian. Terdapat lima nama mendaftar diri untuk merebut jawatan Presiden. Tetapi tiga nama yang popular menjadi tumpuan kini, ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan ahli Parlimen Bangan Datuh, Ahmad Zahidi Hamidi.

Kecuali Tengku Razaleigh, Zahid dan Khairy merupakan penyandang jawatan tertinggi dalam Umno di era Najib, Zahid sebagai Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden dan kini memangku jawatan Presiden apabila Najib Razak berundur. Sementara Khairy pula adalah ketua Pemuda Umno. Razaleigh hanya sebagai ketua Umno bahagian Gua Musang.

Lazimnya pertandingan jawatan dalam Umno menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan pemerhati politik dalam negara, tetapi pemerhati luar negara juga. Perhimpunan agung Umno (PAU) akan menjadi tumpuan dunia. Para wartawan asing juga datang untuk membuat liputan, al maklumlah Umno pernah diistyharkan sebagai parti Islam terbesar di dunia?

Namun kali ini berbeza, perebutan jawatan juga nampak dingin dan kurang diberi tumpuan. Pemerhati lebih berminat dan sedang fokus kepada kerajaan baharu, kerajaan Harapan yang sedang memenuhi janji 100 harinya.

Bagaimana pun dalam kalangan Umno ia tetap panas dan meriah. Walaupun Umno kehilangan kerajaan, tetapi kalangan ahlinya masih ada yang setia dengan parti memberi tumpuan kepada perebutan jawaan presiden. Kempen untuk memenangi calon tertentu masih berjalan, walaupun tidak serancak dahulu. Hakikatnya Umno masih merupakan sebuah parti yang kuat. Dalam pilihan raya lalu parti itu berjaya mengekalkan 54 kerusi parlimen serta mempertahankan dua kerajaan negeri Pahang dan Perlis. Secara solo Umno merupakan parti terkuat di negara ini, selepas Keadilan dan DAP.

Atas realiti itu siapa yang akan menerajui Umno selepas ini penting untuk meletakkan parti itu ke martabat yang pernah dipanggungnya selama ini. Ia juga akan menentukan nasib dan masa depan Umno, apakah ia masih boleh bangkit atau pun akan terus jadi "impoten".

Dengan kedudukan sebagai pembangkang parti itu berharap kepada presiden selepas ini untuk menggerakkannya. Presiden selepas ini cukup berat tugasnya untuk memikul tanggungjawab. Ibarat sebuah rumah, Umno telah terbakar hangus dalam pilihan raya lalu gara-gara kecuaian dan kedegilan penjaganya, Najib Razak. Saya ibaratkan tangungjawab untuk menjaga dan membangunkan Umno sebagai memikul bangkai yang penuh kebusukan ditinggalkan oleh Najib.

Sebagai pemikul bangkai tentulah si pemikulnya (presiden) memerlukan daya tahan dan deria bau yang cukup tepu untuk menahan segala kebusukannya. Bukan itu sahaja, segala beban dan libilaiti Umno ditinggalkan Najib harus dipikul dengan serius dan penuh kepakaran baru.

Sipakah di antara tiga calon itu akan diberi mandat untuk memimpin Umno? Dan apakah mereka mampu? Inilah yang sedang diperhatikan oleh setiap ahli Umno yang mempunyai hak untuk membuat pemilihan.

Daripada perspektif umum, ketiga-tiga calon itu berada dalam takah usia yang berbeza. Mereka boleh dianggap sebagai mewakili tiga generasi. Tengku Razaleigh berusia 81, adalah generasi pertama dalam Umno. Beliau sudah berada dalam Umno lebih 50 tahun. Manakala Zahid pula berusia 65, adalah generasi kedua berada dalam Umno lebih 30 tahun. Dan Khairy berusia 40 generasi ketiga, yang bersama Umno belum sampai 20 tahun. Ketiga-tiga mereka dipisahkan hampir dua dan tiga dekad.

Tidak dinafikan baik Razaleigh dan Zahid mempunyai sejarah yang menarik dalam Umno. Keduanya mempunyai pengalaman yang mencukupkan untuk mereka menerajui Umno. Hampir semua jawatan dalam parti dan kerajaan dipegang oleh mereka berdua kecuali jawatan presiden dan perdana menteri. Zahid selain memegang jawatan naik presiden beliau juga pernah memimpin Pemuda Umno.

Razaleigh walaupun tidak sampai ke takah Zahid menjadi timbalan presiden tetapi merupakan bekas naib presiden Umno yang cemerlang.

Manakala Khiary hanya memegang jawatan Ketua Pemuda.

Dari segi usia Zahid mudah 16 tahun daripada Tengku Razaleigh manakala Khairy pula muda 25 tahun daripada Zahid. Bolehlah dinggap perebutan jawatan, perebutan tiga tokoh dari tiga generasi. Situasi ini suatu yang menarik dan memberi peluang terbaik untuk diperkirakan sebaik mungkin oleh para ahli Umno.

Sekiranya perwakilan mahu mencari jalan tengah melihat Umno dalam keadaan tengah (sedarhana), yang ada kini maka Zahidlah orang yang perlu dipilih. Zahid mewakili suasana dan senario politik masa kini.

Sebaliknya kalau ahli Umno mahukan generasi lama, yang mahu Umno dalam keadaan lama, kembali kepada tradisi dan berpegang kepada amalan sebelum ini, mengambil pendekatan primatif tentulah Razaleigh orangnya. Sebaliknya kalau ahli Umno mahukan perubahan total dalam Umno mengikut trend masa depan senario politik, tentulah Khairy orangnya.

Awal-awal lagi Khairy sudah menggambarkan politik masakini apabila beliau bercadang untuk membukakan pintu Umno kepada bukan Melayu sekiranya beliau dipilih menjadi presiden. Perubahan yang hendak dilakukan itu ajakan yang berani dan mengubah Umno selama ini. Sebab itu cadangan Khairy itu tidak disetujui oleh Razaleigh dan juga Zahid yang mahu Umno utuh sebagai parti Melayu.

Sesuai dengan politik itu mempunyai berbagai pendekatan dan menganut berbagai teori ketiga-tiga calon itu ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Cuma sekiranya ahli Umno membuat penilaian dari sudut lain ia menunjukkan Razaleigh mempunyai sedikit kelebihan berbading dengan Zahid dan Khairy. Seandaianya para ahli Umno meletak dan menerima kekalahan Umno sehingga hilang kerajaan disebabkan Najib, ia meletakkan Razaleigh terselamat daripada "terleset" (terbabit) dengan bahanan Najib itu. Ini kerana Razaleigh tidak berada dalam kabinet yang boleh dikaitkan bersubahat dengan Najib.

Ini berbeza dengan kedudukan Zahid dan Khairy yang pada masa itu berada dalam kabinet, mereka berdua boleh dianggap bersubahat dengan Najib. Khairy mengakui nasib diterima Umno sedikit sebanyak beliau bertangungjawab apabila tidak menegur kesalahan Najib. Walaupun pengakuan Khairy itu satu tindakan baik tetapi ia satu sikap yang negatif bagi Umno.

Keadaan inilah meletakkan Razaleigh terselamat dan tidak tercemar dengan apa dihadapi Umno gara-gara kedegilan Najib itu. Apakah soal tanggungjawab dan akautibiliti itu akan menjadi perhitungan pewakilan 30 Jun ini? Atau para ahli Umno boleh memaafkan dan meletakkan tanggungjawab kekalahan itu di atas bahu mereka juga?

Apapun siapa yang menang dan diberikan mandat untuk memimpin Umno selepas ini, dia perlu disokong sepenuhnya. Jangan ada perpecahan dan pemencilan dalam Umno atas sentimen puak dan kumpulan kerana ia menjadi masalah kepada Umno.

Perkara paling disedari oleh 3 juta ahli parti yang sudah musnah keramatnya itu parti itu harus hidup seiringan dengan hayat kerajaan PH kerana Umno boleh menjadi pembangkang untuk membela kepentingan Melayu sejajar dengan matlamat penubuhannya. [wm.kl. 5:02 pm 25/06/18]

No comments: