PENDAPAT
HENDAKLAH saya memberi sedikit komen dan ulasan berkaitan jawatan presiden Umno. Jawatan itu kini kosong selepas ia ditinggal paksa oleh Najib Razak sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan “kubra” BN dalam Piraum 14 lalu.
Ekoran peninggalan Najib itu maka Zahid Hamidi yang sebelum ini, menjalankan tugas-tugas timbalan presiden mengambil alih tanggung jawab ke atas Umno. Beliau sekali lagi mengambil alih untuk menjalankan tugas-tugas sebagai presiden Umno. Tanggungjawabnya sebagai timbalan presiden bersifat sementara kerana ia tidak pernah diendorse dalam perhimpunan agung Umno.
Tampaknya Zahid terus naik pangkat secara mudah dalam Umno. Ini mungkin berkat Ramadhan tahun ini.
Kerana kebetulan tahun ini Umno akan mengadakan perhimpunan agung PAU) serentak itu memilih barisan kepimpinannya. Secara tradisinya, (mungkin sudah tidak boleh dipakai lagi), maka Zahidlah yang akan menduduki jawatan presiden. Bagai mana pun kekosongan itu munasabah juga untuk dipertandingkan bagi menggambarkan Umno terbuka.
Zahid tidak ada masalah dan mesti beliau akur kepada peraturan itu. Bagi saya Zahid sendiri cemas dan ralat untuk memimpin Umno dalam keadaan seperti sekarang ini. Tetapi kerana ada sesuatu yang beliau harapkan daripada itu, -- jawatan presiden, maka beliau berasakan perlu memimpin parti itu.
Hishamuddin Hussein yang juga merupakan Naib Presiden bersama Zahid, dilihat orang yang sepatutnya berlawan merebut jawatan itu dengan Zahid. Apa lagi sebelum ini, semasa BN berkuasa Hishamuddin dilihat orang akan akan diangkat Najib untuk menjadi timbalannya. Tetapi anak perdana menteri ke tiga itu awal-awal lagi sudah mengangkat bendera putih, tidak akan bertanding merebut apa-apa jawatan.
Sikap dan pendirian Hishamuddin itu sudah dijangkakan. Demikian watak dan laku anak si bangsawan yang hidupnya penuh kemanjaan, semuanya mahu senang tidak suka bersusah payah. Mahu makan dihidangkan di hadapan selaaanya. Apa lagi dalam keadaan Umno hari ini kehilangan kuasa, hilang gah, untuk apa lagi dia bersusah payah dengan Umno.
Lagi pun penyertaannya ke dalam Umno selama ini dilihat bukan bertolak dari nawaitu perjuangan melainkan kerana cuba mewarisi legasi ayahnya sahaja. Cis.
Justeru, jawatan presiden Umno terbuka untuk dilawan oleh sesiapa. Di celah-celah inilah ada terdengar cadangan dibuat ke atas Tengku Razaleigh Hamzah agar mengambil alih jawatan presiden Umno. Ada beberapa orang termasuk di peringkat bahagiannya sendiri di Gua Musang mencadangkan nama Tengku Razaleigh. Cadangan itu kemudian dieksplotasikan sebagai cadangan dari akar umbi Umno?
Cadangan itu sedikit sebanyak membuka pintu amarah Tengku Razaleigh, menjadikan beliau terfikir juga untuk merebut jawatan itu. Apabila hasutan makin kuat dibuat ke atasnya, berlakulah beberapa pertemuan diadakan di rumahnya sebagai pencungkil semangat. Digambarkan beberapa pemimpin Umno peringkat bahagian keluar masuk ke rumahnya. Tengku Razaleigh seperti termakan dengan jolokan itu dan memberi kata dua, akan menimbangkan cadangan itu.
Satu majlis forum anjuran anak-anak muda Umno juga diadakan untuk membicarakan akan keperluan Tengku Razaleigh memimpin Umno. Majlis itu diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru. Kehadirannya sekitar 300 orang sahaja. Tidak begitu meluas liputan majlis berkenaan ini menunjukkan penyertaan Tengku Razaleigh bagi merebut jawatan itu kurang mendapat sambutan. Mungkin juga kerana orang-orang Umno dan juga media massa PB Umno kini dalam mood berkabung.
Forum itu sebagai tajaan untuk menyokong Tengku Razaleigh. Tetapi nampaknya ia kurang mendapat perhatian. Sepatutnya masih ada beberapa forum atau pertemuan lebih besar bagi menyatakan sokongan Tengku Razaleigh bertanding merebut jawatan presiden.
Terdapat juga cadangan dari Johor negeri kuat Umno yang kini sudah roboh, menolak Zahid daripada memimpin Umno. Dalam pada itu ada juga yang mendesak agar Zahid terus memberi laluan kepada Tengku Razaleigh. Suara itu vokal mahukan kepada Tengku Razaleigh.
Cadangan-cadangan itu dilihat melampau dan ia dibuat atas perasaan menyayangi Tengku Razaleigh dan membenci Zahid Hamidi. Mungkin ia boleh dilakukan tetapi pihak mencadang perlu membuat penilaian sejauh mana kemampuan Tengku Razaleigh Hamzah untuk memimpin Umno. Apakah ahli parlimen Gua Musang itu berkemampuan dan ada "pamor" tersendiri untuk membangkitkan Umno. Sekiranya orang mencadangkan Tengku Razaleigh mengira anak raja itu boleh bangkit seperti Dr Mahathir ia adalah silap.
Tengku Razaleigh mungkin sama hebat dari usia penyertaan dalam Umno dengan Dr Mahathir Mohamad, tetapi bukan dalam standard sama dalam politik. Tidak perlu diulas lanjut mengenai hal ini kerana semua orang faham.
Apa yang perlu dititik beratkan era sudah berubah. Umno sudah meninggalkan zaman gimilangnya dan menang dengan majoriti besar sehingga menang tanpa bertanding. Tengku Razaleigh sendiri sudah lama terkeluar dari orbit itu. Hampir atau lebih separuh generasi yang ada dalam Umno kini bukan generasinya lagi. Keadaan ini sukar untuk beliau membina semula Umno. Jika diibaratkan kepada tentera teknik perang yang diguna pakai oleh Tengku Razaleigh sudah tidak relevan lagi di zaman kini.
Generasi yang ada dalam Umno kini ada generasi sebaya dengan Zahid Hamidi. Manakala selebihnya generasi baharu, yang mana stail dan gaya politiknya juga sudah berbeza dengan generasi lama dan generasi pertengahan. Sebagai contoh atau untuk melihat rupa politik generasi muda dalam Umno kini lihatlah kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Penampilan, gaya, hujah atau pun pandangannya jauh ke depan membawa rentak dan irama politik baru. Politik di zamannya.
Politik anak mudah melepasi sempadan bangsawan dan tidak mudah teruja dengan feudalisma. Dalam kata lain politik yang tidak mudah untuk menghormati feudalisma. Pembawaan politik Tengku Razaleigh orde lama penuh feudalisma itu nanti akan memberi masalah kepada anak-anak muda. Dan untuk Tengku Razaleigh sendiri cuba menserasikan dirinya dengan anak muda juga kekok kerana ia disenggangi oleh zaman yang agak jauh.
Makanya, bagi saya elok Tengku Razaleigh tidak mudah mengikut rentak dan ajakan orang-orang yang bernafsu dalam parti itu untuk bertempur dengan Zahid. Khabarnya Tengku Razaleigh ada mengatakan dia bimbang kalau berlaku perlawanan menyebabkan Umno akan berpecah. Saya tidak nampak perpecahan teruk akan berlaku kalau beliau bertanding, tetapi kerja itu membuang masa. Sebaiknya Tengku Razaleigh terus kekal abadi dengan sikapnya kini.
Saya sebenarnya bimbang akan nasib Tengku Razaleigh kalau beliau terus dengan rancangan untuk merebut jawatan presiden Umno itu akan menjadikan beliau melengkapkan sejarah sedihnya dalam politik sebagai seorang yang kalah awal, kalah dipertengahan dan kalah di akhirnya. [manjung. pk.3:22 pm 14/06/18]
No comments:
Post a Comment