Saturday, June 2, 2018

Kerajaan Kelantan, Terengganu perlu lega dengan cadangan Husam


ULASAN

PEMIMPIN kerajaan Kelantan dan Terengganu serta rakyat yang menyokong parti yang membawa kemenangan membentuk kerajaan di kedua negeri itu dalam pilihan raya lalu perlu berasa lega dengan pernyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Husam Musa (foto) malam tadi mengenai pemberian wang royalti petroleum 5% untuk kedua-dua buah negeri itu.

Malam tadi Husam memberi pandangan agar wang royalti 5% yang menjadi hak kedua-dua negeri itu disalurkan terus ke dalam perbendaharaan kedua-dua negeri itu tanpa melalui saluran lain bagi membolehkan wang itu dibelanja sendiri oleh kedua-dua kerajaan itu demi kepentingan rakyat.

Husam menyatakan demikian ketika muncul dalam satu slog di Astro Awani malam tadi. Pandangan beliau itu diterima baik oleh penonton serta menganggap tindakan Husam itu sebagai bijak dan berpegang kepada prinsip demokrasi yang sebenarnya.

Ia juga menyerlahkan keikhlasan Husam dalam berpolitik. Beliau boleh sahaja untuk tidak berkata dan memberi pandangan demikian kerana beliau ada "merit" untuk mendesak kerajaan PH agar tidak berbuat demikian atau mengamalkan apa dilakukan oleh kerajaan UBN sebelum ini.

Tetapi itu bukan jenis Husam yang dikenal sebagai seorang politis yang bercakap berdasarkan fakta dan hujah yang logik.

Sebelum ini ada cakap-cakap dan rasa bimbang di kalangan penguasa kerajaan di kedua-dua negeri itu itu yang royalti minyak tidak dibayar seperti mana tertera dalam Perjanjian Petroleum 1974. Kerisauan mengenai wang royalti itu tergambar apabila kedua Menteri Besar negeri itu sendiri awal-awal lagi bercakap dan menuntut pemberian royalti itu daripada kerajaan Pakatan Harapan.

Mereka mendesak sambil berharap kerajaan baharu PH, bersikap adil ke atas hak rakyat dan dalam masa sama memberi ingatan untuk kepentingan mereka. Desakan awal-awal itu seolah-olah kedua-dua MB itu lupa yang Kuala Lumpur sudah bertukar tangan.

Bagaimana pun peringatan itu perlu, terutamanya di Kelantan, pemberian royalti itu tidak pernah berlaku selama ini sehinggalah Husam bersama Ngo "R" membangkit dan menuntut hak itu. Husam adalah pemimpin Kelantan ketika itu yang menyedari akan hak Kelantan berkaitan royalti berkenaan.

Hasil daripada tuntutan itu hingga membawa ke mahkamah baharulah pemberian royalti kepada Kelantan ditunaikan itu pun bukan menerusi perbendaharaan Kelantan tetapi disalur menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

Jumlah yang diberikan tidak memadai atau menepati jumlah 5% hasil pendapatan minyak di perairan Kelantan yang dipercayai melebihi daripada jumlah diberikan hanya RM50 juta. Beberapa tahun lepas Petronas mulai menyalurkan wang royalti itu kepada saluran berkenaan sejumlah RM50 juta. Walaupun Kelantan telah mendapat haknya namun kerajaan negeri tidak pernah merasai sendiri wang berkenaan.

Inysa-Allah selepas ini kerajaan negeri Kelantan akan dapat merasai sendiri lembut atau kerasnya wang royalti petroleum.

Walaupun Husam tidak mempunyai autoriti untuk membuat cadangan itu namun cadangannya seharusnya disokong oleh kedua-dua kerajaan berkenaan. Secara tidak langsung Husam telah berusaha untuk kedua negeri berkenaan mendapat nikmat royalti berkenaan.

Besar kemungkin hasrat dan cadangan Husam itu akan menjadi kenyataan sekiranya beliau diberi hak atau ada autoriti untuk bercakap mengenai royalti petroleum di Kelantan dan Terengganu.

Justeru pihak kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu mengalu-alukan pernyataan Husam itu sebagai satu rahmat untuk kebaikan negeri berkenaan.

Sementara itu dari sudut lain kesedaran Husam untuk mengemukakan cadangan berkenaan menjelaskan beliau cuba menerokai suasana politik baharu di kalangan rakyat terutamanya di Kelantan dan Teregganui. Politik yang hendak diterapkan politik  harmoni dan tidak lagi mengamalkan politik lampau dimana penuh dengan maki hamun dan saling curiga mencurigai di antara satu sama lain.

Sesuai dengan kehendak Husam itu juga perlu kerajaan Kelantan khasnya parti Pas yang menguasai negeri itu dan juga Terengganu mengubah "fesyen" politik daripada politik mencerca, memperli, mengata huduh, kepada politik yang harmoni.

Apa diucapkan Husam malam tadi dalam menyatakan pendirian politiknya sangat menarik; janganlah kita memberi cuka kepada orang yang memberikan kita racun, bahkan kita perlu memberikan mereka madu.

Pernyataan itu patut dijadikan slogan dan tagline baharu politik di Kelantan dan juga Terengganu. Iya waktu ini bukan lagi ketika untuk menunjukkan kegahan kerana menang tetapi ketika dan waktunya untuk sama-sama berebut melakukan kebaikan (fastabiqul alkhair) bersama yang menang dengan yang kalah. [wm.kl.12:15 t/hari 02/06/18]

No comments: