Thursday, June 7, 2018

Anwar dan A Kadir boleh selaraskan pandangan

REAKSI

TERPANGGIL saya untuk menyentuh sedikit perihal antara A Kadir Jasin dengan Anwar Ibrahim yang mana ada sedikit rasa tidak selesa apabila mereka bertingkahan. Semuanya bertolak daripada catatan peribadi A Kadir dalam blognya mengenai Yang diPertuan Agong (Raja-Raja). Kadir menulis mempersoalkan mengenai sekian peruntukan dibelanjakan untuk keperluan Yang Di-Pertuan Agong, pada hisabnya ia banyak.

Jumlahnya dihitung rata sebanyak RM16 juta setahun. Hisab keseluruhannya berpandukan kepada senarai keperluan diperolehinya berjumlah RM257 juta dalam tempoh 16 bulan setelah dilantik menjadi Yang Dipertuan Agong. Mungkin A Kadir peduli itu apabila beliau membandingkan nisbah peruntukan atau perbelanjaan digunakan oleh bekas-bekas Agong sebelum ini tidak sebanyak itu.



Bagi Anwar sentuhan A Kadir mengenai isu itu dianggap sebagai tidak wajar dan disifatkan menyerang Raja-Raja. Dan apa yang tidak disenangi oleh Kadir pula, apabila memahami yang Anwar mengatakan dia menggunakan kedudukan yang dekat dengan kerajaan untuk menyerang Raja-Raja Melayu.

Tuduhan itu tentulah pedis bagai A Kadir menerimanya sedang beliau sudah awal-awal menyatakan teguran itu dari peribadinya sendiri sebagai rakyat yang tahu dan wartawan yang bertanggungjawab.

Yang saya hendak ulas atau sentuh sedikit di sini ialah "perselehangan" mereka itu. (Harap tepat saya istilahkan perselehangan); Anwar kata A Kadir menyerang Raja-Raja, tetapi dinafikan oleh Kadir. Apakah maksud Anwar apabila A Kadir menulis mengenai perbelanjaan Agong itu sebagai serangan?

Perkataan serangan membawa konotasi huduh sebagai jahat. Dalam konteks ini apakah yang hendak dimaksudkan Yang DiPertuan Agong boros? Begitukah?

Dalam hal ini bagi saya tidak nampak ada pun bentuk serangan kepada Raja-Raja. Ia tidak pun melibat lapan Raja atau Sultan lain. Anwar mungkin sengaja bungkus kesemua raja dan sultan untuk dilihat apa diperkatakan A Kadir itu sebagai besar.

Saya sebagai rakyat wajar untuk mendapat penjelasan angka yang tidak dipertikaikan oleh Anwar itu. Tidak timbul Agong tidak boleh menjawab dan menjelas angka-angka yang disebut A Kadir itu. Anwar sebagai orang yang sedang menjelajahi istana ke istana, boleh menjadi jurucakap kepada istana untuk menjelaskan butiran itu?

Segala maklumat perbelanjaan dikeluarkan kerajaan Persekutuan, Anwar boleh akses daripada Menteri Kewangan. Rasanya tidak ada kesalahan baginya berbuat demikian. Kalau A Kadir mendapat maklumat itu kenapa tidak dengan Anwar? Rakyat sedang mengetahui kedudukan sebenar angka yang terdedah itu. Jika ia munasabah dan wajar, habis cerita.

Dengan kedudukannya hari ini dihormati dan diyakini rakyat, bahkan bakal menjadi PM Anwar boleh memainkan peranan itu, mencari faktanya kemudian menjelaskan. Angka yang dikira sahih nanti akan dijadikan panduan kepada rakyat untuk menilai apakah ada elemen untuk mengkritik dan memburuk Agong oleh Kadir jasin.

Selepas itu nanti baharulah kita dapat menghukum apakah niat A Kadir menulis dan mendedahkan  segala fakta itu bertujuan jahat atau sebaliknya? Kedua mereka yang berada dalam persada kerajaan PH seharusnya mempunyai pandangan yang selari kerana pertentangan mereka akan memberi kesan tidak baik kepada rakyat.

Saya yakin kedua-duanya sebagai kawan lama, baik Anwar dan A Kadir dapat menjernihkan keadaan dan mereka tidak akan berdiri di antara satu garis yang bertentangan di antara satu sama lain apa lagi menegakkan kepentingan berbeza. [wm.kl.8:13 am 07/06/18]

No comments: