Sunday, July 29, 2018

Menemui Hafizuddin di New Delhi...

CATATAN PERJALANAN

Masjid Burhnia wali diselamatkan dengan
dibangunkan Madrasah Tahfiz dan Akademik.
DI NEGARA kita khususnya dalam kalangan ahli dan pemerhati politik berpolemik mengenai istilah atau perkataan Hafizuddin, apabila perkataan itu disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof dalam ucapan sulungnya kepada kaki tangan kementeriannya di Jabatan Perdana Menteri.

Dr Mujahid membuat huraian erti dan makna perkataan itu, tetapi dikritik oleh setengah pihak, khasnya pembangkang sebagai pengertian dan pemahaman Dr Mujahid itu salah sehingga menjejaskan akidah. Lebih menyedihkan ada yang cuba memberi tafsiran Dr Mujahid sebagai memberi erti perkataan itu kononnya ikut sama memelihara agama lain sama darjat dengan kedudukan agama Islam yang dijamin dalam perlembagaan. Walhal makna dan pengertian sebenarnya bukan persis yang dieksploitasikan itu

Jika semua orang mahir dalam memahami maksud Perlembagaan, apa dimaksudkan Dr Mujahid itu tidak perlu menimbulkan polemik dan salah anggap kerana perlembagaan menjelaskan dengan nyata kedudukan dan fungsi agama lain di negara ini berbeza dengan kedudukan dengan agama Islam. Islam adalah agama rasmi negara ini sementara agama-agama lain dibenarkan untuk diamalkan.

Lawat dua masjid terbiar.

Berintraksi dengan 11 pelajar perintis di Madrasah Abrar.
Ekoran polemik itu maka kita semua lalu mencari dan mengenal siapa Hafizuddin sebenarnya. Siapa dan keadaan macam mana orang atau pihak yang membela agama sesungguhnya. Ada bagusnya juga perkataan atau pengertian Hafizuddin itu menjadi polemik kerana ia mengenalkan kita warak dan peranan Hafizuddin sejati.

Pelajar di Madrasah Talha Quraan
tekun mengahaf.
Semasa saya di New Delhi dua tiga hari lepas bersama Husam Musa, kami menemui Hafizuddin (pemelihara dan penjaga agama) yang saya kira jauh lebih prihatin dan rela berkorban, menjadi pembela dan pemelihara agama berbanding dengan sesetengah orang kita yang kebanyakan membela agama di pentas-pentas politik atau pun di mihrab-mihrab masjid, atau di kaca-kaca televisyen  dengan mendapat upah setiap kali menyampaikan kuliyyah dan sebagainya.

"Hafizuddin" yang kami temui itu merupakan dua orang sahabat yang sedang giat menjalankan usaha pemeliharaan dan penjagaan agama dengan mengambil inisiatif menyelamatkan masjid-masjid terbiar dan uzur di sekitar Delhi khasnya, dengan membangunkan madrasah sebagai menyediakan peluang pendidikan (ilmu) kepada masyarat dhaif serta sebagai aktiviti mengimarakkanya.

Mereka dimaksudkan ialah, Dr Abdul Khalique dan Tayyab Ahsan. Dr Abdul Khalique merupakan seorang doktor pakar bedah dalam bidang Uro Surgeon berkhidmat di sebuah hospital pakar swasta di Delhi, manakala Tayyb Ahsan pegawai perbankan Islam di Delhi. Kedua-dua mereka merupakan hafiz.

Dari kanan: Dr Abdul Khalique, dan kiri Tayyab Ahsan.
Mereka berpakat menubuhkan sebuah badan bernama; Samra Education Acedemy yang juga bertindak sebagai badan perubatan dan badan penyelidikan. Ia berdaftar dengan kerajaan India bagi mengurus atau mengorganisasikan kerja-kerja mereka. Badan ini ditubuhkan 1990.

Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab mereka berat dan mulia. Calang-calang orang sedia mengambil peranan itu jika jiwa mereka tidak mempunyai nilai Hafizuddin yang teguh

Seperti dinyatakan tadi yang menjadi tumpuan mereka ialah menyelamatkan mana-mana masjid lama yang uzur dan terbiar, dibangunkan madrasah atau sekolah Tahfiz campur akademik. Semua kerja itu dilakukan dengan sukarela dan mengorbankan sebahagian pendapatan dan masa mereka.

Ada kalanya mereka terpaksa berdepan dengan kerenah birokrasi dan tentangan daripada pihak-pihak tertentu khasnya yang cemburu dan tidak senang dengan Islam. Namun berkat sabar, keikhlasan dan takwa kepada Allah serta sokongan simpatis Islam lain ia berjalan lancar.

Ruang berwujuduk ini masih utuh.
Menurut mereka buat masa ini terdapat beberapa masjid bersejarah di Delhi yang terbiar dan berhadapan dengan dimusnahkan dalam perhatian mereka. Sebanyak 12 masjid dalam rangka pemeliharaan oleh badan dikendalikan mereka itu pada masa ini. Setakat ini dua buah masjid telah diselamatkan dengan penubuhan madrasah Tahfiz Akademik sebagai perintis.

Inilah tempat tidur 11 pelajar di Madarsah Abrar.
Dua masjid itu ialah Burhia al Wali dibangunkan Madrasah Abrar dibawah jagaan Dr Abdul Khalique dan masjid Sherjang dibangunkan Madrasah Talha Mul Quraan dibawah jagaan Tayyab Ahsan, kedua-dua mereka bertindak sebagai pengetua.

Saat mengunjungi masjid Burhnia al Wali ia sungguh menyedihkan dan  saya tidak dapat menyekang air mata saat melihat keadaannya yang sangat dhaif. Masjid itu banyak merakam sejarah kegemilangan Islam di Delhi, bukan sahaja usang tetapi tidak ada rupa sebagai sebuah masjid lagi. Ia tidak layak dinamakan Rumah Allah, kerana yang ada hanya rangkanya sahaja. Sebahagian besar strukturnya sudah rosak dan roboh, suasananya penuh berhabuk. Hanya mihrab dan tempat berwuduk sahaja masih terpelihara dengan baik.

Masjid ini berdepan dengan matapetaka akan dirobohkan kerana arus pembangunan berlaku di sekitarnya.  Beberapa buah jentolak kelihatan sedang menjalankan kerja-kerjanya saat saya mengunjungi masjid itu. Namun Alhamdulilah atas usaha Dr Abdul Khalique bersama umat Islam di situ, yang minoriti, ia berjaya mendapat pengecualian (sementara) daripada dirobohkan oleh pihak berkuasa. Justeru untuk mempertahankan masjid itu dan mengimrakkanya maka ia dibangunkan Madrasah Abrar itu dimana saya lihat ia sebagai penahannya.

Kesedihan keadaan masjid usang itu ditambah lagi dengan ketabahan 11 pelajar perintis yang menginap di situ demi untuk menambah ilmu. Di tingkat atas dijadikan sebagai tempat tidur dan juga membasuh kain baju serta memasak. Mereka hanya tidur di atas lantai beralaskan tikar robek tanpa bantal apa lagi tilam.

11 pelajar itu berumur sekitar 12 hingga 17 tahun, dibawa dari beberapa daerah di luar Delhi yang kebanyakan sudah pun menjadi Hafiz. Madrasah itu menyediakan ilmu akademik kepada mereka. Walaupun hafiz tetapi mereka tidak mengenali abjab dan angka lantin, A, B, C, 1, 2, 3. Buat masa ini mereka sedang mempelajari abjad A. B. C dan angka, kemudian akan dilengkapi dengan ilmu akademik lain sesudah menguasainya. Seorang guru yang berkhidmat secara sukarela akan mengajar mereka asas-asas matemetik, sains, geografi  dan sebagainya.

Sebuah lagi masjid lama terbiar yang dibangunkan yang sempat dilawati, ialah masjid Sherjang yang dibangunkan Madrah Mul Tahla Quraan yang terletak kira-kira beberapa kilometer daripada masjid Burhia Wali. Berbeza dengan keadaan masjid Burhnia, masjid Sherjang ini  agak terjaga dan mempunyai halaman yang agak luas dan lapang. Pelajarnya juga terdiri daripada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

Bukan hanya saya, Husam juga terkedu melihat keadaan masjid berkenaan kontras dengan apa yang dilihat. Saya nampak beberapa jurus beliau terdiam dan terpaku tatkala melihat kemerduan anak-anak Madrasah itu membaca dan hafal Quran. Kemerduan dan kefasihannya mencabar iman saya. Mereka ralik menghafal tanpa melihat dan merasa jengkil dengan keadaan sekitar yang serba dhaif.

Apa yang lebih dirasai ialah mengenai kesungguhan dan keikhlasan dua sahabat itu membangun madrasah dan dalam masa sama menjaga dan memelihara masjid terbiar demi mempertahankan martabat Islam. Dalam tilikan saya peruwujudan madrasah di masjid itu kepada menjadi benteng agar masjid itu tidak dirobohkan.

Memandangkan usaha keduanya sangat murni elok kalau umat Islam semua turut membantunya. Mungkin untuk kita bergerak seperti mereka tidak mampu atau terhalang atas sebab-sebab kelemahan dan ketidakmampuan kita, tetapi partisipasi masih boleh dilakukan dengan membantu yayasan atau badan dibangunkan oleh kedua sahabat Hafizuddin itu.

Terfikir oleh saya, elok kalau Yayasan Darul Hijrah (YDH) yang dinaungi Husam Musa, yang sebelum ini terbukti dapat memainkan peranan dan tanggungjawab insannya menerusi NGOnya dalam membantu menyediakan kebajikan kepada rakyat seperti membantu mangsa banjir di Kelantan, membantu pelarian Syria dan lain-lain, turut sama memainkan peranan untuk membantu usaha pemeliharaan masjid dan pembangunan sekolah tahfiz di Delhi itu.

Dalam kata lain DH dapat menjadi mediator untuk membantu usaha Dr Abdul Khalique dan Tayyab Ahsan itu dengan bekerjasama dengan Samra Education Academy itu. Dan sesiapa yang berminat untuk mengetahui kerja amal Hafizuddin itu boleh hubungi DH atau emailkan saya. [wm.kl.9:00 am 29/07/18]

No comments: