Sunday, July 22, 2018

PKR - jangan perebutan jawatan timbul keretakan

PANDANGAN

Dr Wan Azizah bukan sahaja harus bijak, tetapi
perlu tegas demi partinya.
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan pemilihan pemimpin pada pertengahan Ogos ini dengan sistem e-voting yang pertama kali. Pemilihan melalui talian ini adalah pertama kali dilakukan, dan PKR mendahului parti-parti lain yang masih membuat pilihan secara manual.

Menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail 900,000 ahli PKR dari seluruh bahagian di seluruh negara akan terlibat dengan proses pengundian e-voting itu. Tampaknya PKR melangkah ke depan sebagai parti yang maju. Tetapi ada juga pihak yang meragui akan kesuksesan pemilihan itu. Apakah proses pemilihan melalui internet itu lancar, dan paling penting telus tanpa menimbulkan sebarang masalah?

Mungkin pihak pengurusan parti khasnya jabatan pilihan raya PKR sudah membuat dan mengatur persiapan rapi. Jangan pula gara-gara proses yang canggih itu akhirnya memberi natijah yang sebaliknya, proses pemilihan itu kucar kasir.

Seorang pimpinan PKR negeri menyatakan keraguan kepada sistem berkenaan. Katanya, kalau pemilihan secara manual ada ahli yang bakar peti undi, apakah jaminan, pemilihan melalui talian itu tidak akan berlaku kejadian yang tidak diingini. Apakah tidak mustahil pemilihan menerusi sistem itu disabotaj?

Keputusan pemilihan menerusi e-voting ini mutktamad, tidak boleh diubah dan tidak ada perkiraan semula. Sekiranya berlaku pengkhianatan, sabotaj dan sebagainya, maka keputusannya kekal. Inilah yang dirisaukan.

Bagaimana pun di sini saya tidak mahu mengulas panjang dan membaca kemungkinan yang tidak baik dengan pemilihan itu. Kita berharap pemilihan itu nanti baik dan menjamin kebabasan ahli. Sebaliknya apa yang hendak cuba dihurai mengenai perebutan jawatan dalam parti itu yang dirasakan kali ini hangat, panas dan mencabar.

Senario kali ini menyerlah akan keadaan itu apabila PKR bersama tiga parti lain, DAP, Amanah dan Bersatu kini bukan sahaja menguasai Selangor tetapi menguasi Puterjaya. Kemenangan besar itu menjadikan ahli bersemangat untuk memegang jawatan. Keinginan yang luar biasa didorong kemenangan itu.

Perkembangan ini dilihat, apabila setiap hari ada-ada sahaja orang mendaftar diri untuk menjadi ahli PKR dan juga parti-parti lain dalam PH. Bukan itu sahaja mereka menyertai bukan sekadar menjadi penyokong tetapi berkhayal untuk jadi pemimpin menguasai parti di peringkat tertentu. Ada yang menyertai PKR sebulan dua sudah menyingsing tangan untuk merebut jawatan penting, dakwa dia lebih layak dan sebagainya.

Berbondong bodong memasuki PKR selepas kerajaan UBN kalah tempoh hari. Yang masuk bukan sahaja orang peringkat bawahan di kampung-kampung tetapi termasuk juga pemimpin parti peringkat bahagian Umno dan juga bekas wakil-wakil rakyat. Fenomena ini suatu yang menggembirakan PKR khasnya dan Pakatan Harapan amnya.

Presiden parti Dr Wan Azizah Ismail juga yang sibuk dengan jawatan dan tugas baharu sebagai TPM menjadi semakin sibuk bila mana ada-ada sahaja ahli datang mengadu dan membawa surat kepadanya. Bermacam-macam surat cadangan dan desakan khabar diterimanya. Ada juga surat memohon dilakukan perlepasan kepada individu tertentu untuk membolehkan mereka bertanding dalam perebutan September ini.

Perkembangan ini perlu diingat dan berhati-hati khasnya kepada Presiden parti dan pengurusan. Bukan tidak baik menerima seberapa banyak yang mahu menyertai PKR, tetapi mereka perlu disemak sehalus-halusinya. Mana-mana yang diragui akan keikhlasan mereka dan merupakan "nomad politik", mungkin boleh dikurantinkan dahulu. Keahlian mereka dipertimbangkang sebaik mungkin.

Apa lagi mereka yang tergesa-gesa mahu bertanding merebut apa-apa jawatan disemua peringkat tidak mudah diberi lalauan dan perlepasan. Dalam hal ini PKR hendaklah patuh kepada kehendak perlembagaan partinya. Kalau perlembagaan parti menetapkan seseorang harus matang menjadi ahli dalam tempoh sekian-sekian baharu boleh bertanding, perlu dipatuti. Jangan pula kerana ghairah menerima kemasukan ahli ia menjuahamkan parti. Kuasa prerogetif yang ada kepada presiden perlu digunakan sebaik mungkin.

Sekatan atau semakan itu jangan terkecuali. Jangan kerana mereka yang menyertai dan berhajat untuk memegang jawatan itu merupakan orang ternama, mengakui mempunyai wang dan dapat membantu parti atau dia kenalan pemimpin tertentu,  dia terus diterima. Disebalik kesudian mereka itu perlu disemak apakah motif sebenarnya. Jangan-jangan mereka diterima kerana ada niat lain.

Dalam hal ini Dr Wan Azizah sebagai presiden mempunyai kuasa tertinggi dan mutlak boleh memainkan peranan penting untuk menyelamatkan parti dan menghindar sebarang unsur yang wujud dari hal ini. Azizah kena tegas dan jangan sesekali bersikap berat sebelah atau mudah cair kerana sesuatu bisikan.

PKR sebagai parti tunggak dalam Pakatan Harapan harus menjaga kredibilitinya, termasuk ketenangan dalam proses pemilihan. Saya bimbang juka berlaku sesuatu yang tidak elok ia boleh mejejaskan keselesaan dan kekompakkan dalam PKR kini. Apa perlu diingatkan sebarang perpecahan dan keretakan berlaku dalam PKR ia boleh memberi kesan buruk kepada kerajaan Pakatan itu sendiri. Jika ini berlaku ia sangat dikesali.

Justeru semua pihak dalam PKR harus meletakkan perkara ini sebagai perkara penting dan agenda menyelamat dan mengekalkan keharmonian dalam parti lebih penting daripada agenda peribadi untuk diri sendiri. Lambatkanlah pencapaian peribadi anda dan tumpukan dahulu kepada kekuatan dan keharmonian parti. [wm. kl 9:06 am 22/07/18]

No comments: