Showing posts with label PKR. Show all posts
Showing posts with label PKR. Show all posts

Friday, August 1, 2025

Ulasan pelantikan pengerusi PKR negeri

SESUDAH SUBUH

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) telah mengumumkan pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi negeri-negeri semalam yang akan membentuk barisan kepimpinan parti peringkat negeri selepas ini. Meneliti kepada nama nama yang diberikan tanggungjawab memancu parti mengikut negeri, menyerlahkan PKR sedang berusaha untuk memperkuat dan memantapkan parti selepas pemilihan lalu. 

Pengerusi akan memikul tugas besar untuk mempersatukan semula semua ahli yang bercakaran kerana pemilihan sebelum ini dan merapatkan saf. Kebijaksanaan pengerusi menyusun barisan kepimpinan dengan mengambil kira semua team adalah perlu. 

Selain itu tentulah untuk meningkatkan upaya parti bagi mencapai kejayaan lebih besar buat parti dalam pilihan raya ke 16 kelak demi memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus jadi PM untuk penggal kedua. Maksud dan agenda ini lebih mustahak daripada kepentingan peribadi atau team.

Pun begitu dari sisi lain, pelantikan itu terkesan yang PKR seperti kekurangan tokoh dan tidak menaruh harapan besar bagi mencapai kejayaan di negeri-negeri tertentu, apabila melantik pengerusi lama memegang jawatan itu, sedang mereka sudah diketahui gagal untuk memancu parti. Mungkin ini merupakan sedikit kelemahan disebalik pelantikan baru itu. 

Sekurang-kurangnya ada tiga negeri menjadi tumpuan menerusi pelantikan itu. Negeri-negeri itu ialah Kedah, Melaka dan Pahang. Nampak PKR meletakkan harapan besar kepada pengerusi baru di negeri-negeri ini untuk masa depan PKR. Seperti PKR ada agenda besar untuk negeri negeri ini?

Di Kedah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilantik menjadi pengerusi yang dikembarkan bersama Mohamed Taufiq Johari seorang pemimpin muda sedang meningkat. Kombinasi Saifuddin dengan ahli Parlimen Sungai Petani ini tepat dan padu bakal menyemarakkan PKR di Kedah. 

Saifuddin seorang pemimpin cukup berpengalaman menggerakkan parti, mananakala Taufiq anak muda yang sedang dipanggungkan untuk menjadi pemimpin masa depan. Kombinasi ini juga, dan pengembalian semula Saifuddin ke negeri Jelapang Padi itu menggambarkan PKR serius untuk menawan Kedah. 

Ini tidak mustahil apabila Saifuddin dikenali mempunyai hubungan rapat dan mesra dengan pimpinan Umno Kedah, dimana sekiranya PKR dan Umno-BN mengejapkan diri ia boleh menggugatkan Pas.

Perasaan demikian juga terasa di Melaka, apabila Shamsul Iskandar Md Akin dilantik memegang jawatan pengerusi Melaka, dimana jawatan itu pernah diserahkan kepadanya sebelum ini yang mampu memberi impak dan gelombang kepada PKR. 

Melaka pernah menyumbangkan banyak kerusi untuk PKR dan PH semasa Shamsul Iskandar menerajui PKR negeri bersejarah itu. Shamsul Iskandar yang merupakan ketua Setiusaha Politik Perdana Menteri diregukan dengan bekas ketua AMK Adam Adli Abdul Halim sebagai timbalan pengerusi, dilihat mampu untuk menyuntikkan semangat Jebat dan Tuah di Melaka untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Kedudukannya sebagai orang kuat PM selaku Ketua Setiausaha Politik akan dipergunakan sebaik mungkin.

Amiruddin dan Farhan.

Sebuah lagi negeri menjadi fokus kepada PKR ialah Pahang, apabila Setiausaha Politik Perdana Menteri Fahan Fauzi yang merupakan ketua cabang Indra Mahkota dilantik sebagai Pengerusi baru. Beliau dikembarkan dengan Sim Chon Siang.  

Walaupun Farhan muka baru kurang berpengalaman, tetapi keupayaan dan caranya mendekati rakyat atas kedudukannya sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri cukup menarik. 

Farhan mempunyai gaya bekerja dan berkhidmat tersendiri. Beliau seorang yang sedikit pendiam tidak banyak cakap, tetapi concern dalam bekerja dan mendalami sesuatu tanggungjawab diserahkan dengan baik. Misalnya walaupun beliau bukan wakil rakyat tetapi gerak kerja dan sentuhannya kepada pelbagai masyarakat persis wakil rakyat. 

Selama menjadi Setpol Perdana Menteri, tugas-tugas kebajikan, menyatuni pelbagai masyarakat dilakukan olehnya dan ia telah meringankan tugas dan bebanan Anwar selaku PM. Atas realiti itulah menyebabkan beliau diberi kepercayaan untuk mempengerusikan PKR Pahang, satu tugas mencabar yang haru dipikulnya. Farhan tidak akan menghadapi masalah sekiranya veteran PKR Pahang dan Umno seperti Suhaimi Ibrahim yang telah menyertai PKR dipelawa untuk berganding bahu, Suhaimi seorang pemimpin berpengalaman dan berpengaruh di Pahang. 

Di negeri-negeri lain pengerusi lama masih dikekalkan, ataupun kalau ada perubahan ia tidak membawa kepada perhatian khusus. Di Kelantan Supardi Mohd Noor dilantik semula sebagai pengerusi, manakala timbalannya Asharun Uji. 

Pelantikan Supardi ini menjelaskan bahawa PKR Kelantan tidak mempunyai tokoh atau calon lain yang boleh diganti dengan Supardi walaupun Supardi sudah realtif gagal atau tidak mampu memancukan PKR di Kelantan termasuk mengaturkan kerjasama dan kepaduan bersama BN dan Amanah. Asharun yang dilantik sebagai timbalan pengerusi itu tidak dikenali. 

Begitu juga di Terengganu, walaupun muka baru dilantik namun ketokohan pengerusi dilantik itu tidak menyerlahkan, bahkan dikenali. Keadaan ini boleh dikatakan mungkin juga PKR sudah memperhitungkan sukar untuk mereka mencabar Pas di Kelantan dan Terengganu, justeru ia tidak begitu dititik beratkan. Atau ada tersimpan maksud dibenak presiden biarlah Terngganu dan Kelantan kekal kepada Pas, mewujudkan autonomi politik dua buah negeri itu. 

Johor juga menerima pengerusi baru apabila Dr Zaliha Mustafa dilantik sebagai pengerusi, manakala timbalannya ialah Yushrudin Kusni. Perubahan ini mungkin ada kena mengena dengan masalah pemilihan lalu. Zaliha mempunyai tugas besar di Johor untuk mempersatu dan memperkuatkan semula PKR di Johor yang sebelum ini merupakan negeri yang menjadi harapan PKR. Dicadangkan dalam penyusunan kepimpinan PKR Johor nanti jangan mengkesampingkan Akmal Nasir. 

Situasi sama juga berlaku di Perak, Pulau Pinang, dan Perlis. Tiada perubahan signifikan di tiga buah negeri itu. Begitu juga dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak juga tidak mengalami banyak perubahan.

Berbeza halnya dengan di Negeri Sembilan dan Selangor. Aminuddin Harun kekal sebagai pengerusi di Negeri Sembilan manakala Amiruddin Shari kekal sebagai pengerusi Selangor, sementara timbalan pengerusi Borhan Aman Shah. Di kedua buah negeri ini tidak pun perlu perubahan apa-apa memadang pencapaian kepimpinan kedua Menteri Besar itu ditahap membanggakan yang telah meletakkan PKR sebagai parti "berkerajaan" terbaik terutamanya di Selangor. [wm. kl.9:55 am 01/08/2025].

Monday, March 3, 2025

Jawatan naib presiden jadi perebutan (Bhg II).

Shamsul Iskandar
Md. Akin
PANDANGAN


BAYANGAN yang diberikan Ketua Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin ada usaha dalaman agar tiada pertandingan jawatan timbalan presiden Keadilan jadi kenyataan apabila ia diendorce sendiri oleh Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika merasmi mesyuarat agung cabang di Selangor, Anwar memberi signal agar Rafizi Ramli diberi laluan untuk mengekalkan jwatan timbalan presiden. Kenyatan bernada gurauan itu dilihat perestuan Anwar buat Rafizi.

Ramai juga yang kurang senang dengan pandangan Shamsul sebelum ini, kerana ia seolah mahu menyelamatkan Rafizi kekal dengan jawatannya, dan sebagai imbuhannya Rafizi akan membalas besan untuk menyokongnya bertanding apa apa jawatan penting. Begitu bacaan politik. 

Tetapi apabila persiden sudah menyatakan rasa senangnya jawatan itu tidak dipertandingkan, maka selamat dan horaslah Rafizi. Bahawa apa yang dinyatakan Shamsul itu datangnya dari ibu pejabat parti.

Di sebalik itu, dalam masa sama juga orang yang dirasakan berpotensi untuk mencabar Rafizi, Amiruddin Shari mengumumkan untuk mengekalkan jawatan disandangnya sebagai naib presiden. Selepas Saifuddin Nasution Ismail gagal menewaskan Rafizi dalam kongres sebelum ini, MB Selangor itu dilihat berpotensi untuk berhadapan dengan Rafizi.

Pengumuman Amiruddin yang akan pertahankan jawatannya itu, memberi akuan hakikatnya Amiruddin tidak punya kekuatan dan kelebihan untuk tentang Rafizi melainkan kalau beliau diarah. Jika diarah Amiruddin tidak ada alasan untuk menolaknya. Nampaknya tidak berlaku arahan terhadap MB Selangor itu untuk mencabar kedudukan Rafizi.

Dengan dua situasi itu menjelaskan bahawa tidak berlaku pertembungan untuk jawatan nombor dua dalam parti. Anwar sendiri seperti senang dengan keberadaan Rafizi dikerusi berkenaan. Mungkin sepanjang masa memegang jawatan itu Rafizi banyak membantunya dan merengan tugas dan tanggungjawab sebagai presiden. 
Rafizi dan Anwar Ibrahim

Apa lagi Rafizi juga setelah memegang jawatan itu dan setelah diberi kepercayaan memegang jawatan menteri kanan, Menteri Ekonomi, beliau mampu memikulnya. Beliau juga kini seperti sudah mula memahami Anwar dan tahu menghormati sebagai presiden.

Manakala Saifuddin Nasution Ismail yang direstui Anwar diharap berhadapan dengan Rafizi sebelum ini tidak berkeupayaan untuk melawan Rafizi.

Baguslah kalau semua pihak mengambil sikap damai begitu kerana ia memberi suntikan energi kepada parti dan dapat mengelakkan berlaku pertandingan diperingkat timbalan yang silap-silap boleh meretakkan parti. Sebaik baik fokus kini ialah membina dan menguatkan kerajaan Madani yang relatifnya masih belum seutuh parti. 

Nawaitu untuk mengukuhkan kedudukan parti sesuatu yang baik, walaupun helah sebenar keranan tiada tokoh yang layak dan mampu untuk melawan Rafizi. Alasan kenapa Rafizi tidak atau kurang disenangi kerana beliau dikatakan tidak memiliki fikrah politik sejalur dengan boss. Namun suka atau tidak, Rafizi memilik wajah dan imej tersendiri sebagai timbalan presiden atau orang nombor dua dalam parti. Rafizi memiliki kekuatan dan karismatik tersendiri disamping terus mempelajari mengenali fikrah politik boss. 

Beliau dikenal seorang yang tegas, berprinsip dan cuba membawa cara berpolitik berbeza dengan tradisi politik yang diamalkan dalam kebanyakan parti utama (seperti Umno) sebelum ini.

Wajah politik yang dibawanya suatu pembaharuan yang serasi dengan kehendak generasi muda yang sedikit sukar untuk difahami generasi lama. Cara bekerja dan menggerakkan parti dilakukan Rafizi juga disenangnya, misalnya bagaimana dia membangunkan Invoke sebuah syarikat atau badan untuk membuat kajian, penyelidikan dan pengumpulan dana. Kejayaan Invoke menaikkan nama Rafizi sebagai politician yang memiliki political will tesendiri. Invoke yang digerakkan Rafizi dengan 30,000 sukarelawan banyak membantu Keadilan.

Apabila jawatan nombor dua tidak ditandingi, tumpuan kini terarah kepada empat jawatan naib presiden dan juga ketua wanita. Sudah pasti jawatan ini akan menjadi rebutan hangat kelak. Untuk ketua Angkatan Muda, seperti sudah sah Kamil Munim akan mengambil alih daripada Adam Adli Abd. Halim apabila Adam tidak lagi mempertahankan jawatan kerana faktor usia.

Jawatan ketua Wanita yang kini dipegang Fadhlina Siddik juga bakal menjadi pertarungan sengit apabila ada ura ura Fadhlina akan dicabar. Kita berharap semoga Fadhila tidak akan dilowongkan untuk terus memegang jawatan itu tanpa dicabar demi untuk melihat demokrasi subur dalam Keadilan. Lagipun ramai wanita berketrampilan dalam Keadilan untuk dicalonkan ke jawatan itu. [wm.kl 12:55 am 03/03/2025]

Friday, February 28, 2025

Pemilihan PKR akan hangat (Bhg I)

ULASAN 

TUMPUAN para pemerhati politik kini kepada kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan membuat pemilihan majlis pimpinan tertingginya (MPT) parti itu. Walaupun ia masih belum bermula secara rasmi, tetapi bunga bunga kehangatan pertarungan sudah jelas berlaku di peringkat cabang. 

Kempen peringkat cabang sudah kalut dan rancak. Pemilihan cabang akan bermula bulan Mac, manakala pemilihan peringkat pusat dijangka bulan Mei. Kempen dan lobi sudah bermula. Majlis majlis anjuran parti parti terarah ke situ.

Pertarungan akan hangat dan panas selepas proses penamaan calon kelak.

Seperti biasa gambaran dan gelora pemilihan peringkat cabang akan memberi indikator pemilihan diperingkat pusat. Air di hulu akan mengeruhkan lopak dan kolam di hilir. 

Di Kelantan dilaporkan hampir semua 14 cabang akan berlaku pertandingan di semua jawatan. Terdapat satu cabang akan membabitkan tujuh penjuru untuk merebut ketua cabang.Gambaran itu menjelaskan betapa pemilihan bakal meriah.

Pemilihan parti tidak ditangguhkan walaupun parti ada peluang berbuat demikian. Ertinya parti itu tidak merasakan proses pemilihan memberi impak negatif kepada parti itu. Mungkin presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya ahli partinya sudah matang untuk berkongres. Membiarkan pertandingan menobatkan demokrasi.

Penerusan ini apabila presiden memberi lampu hijau kongres dijalankan mengikut jadual. Cadangan tidak rasmi agar tidak ada pemilihan timbalan presiden semacam tidak direspon. Bahkan khabarnya cadangan itu tidak disenangi presiden sendiri.

Pemilihan terakhir MPT Keadilan pada tahun 2022. Ada berpendapat pemilihan kali ini akan memberi peluang untuk membolehkan presiden menyusun kabinetnya, menukar mana mana yang tidak performce daripada partinya. Dalam kabinet kerajaan Madani hari ini seramai 13 orang pimpinan Keadilan dilantik memegang jawatan menteri dan timbalan menteri.

Bagaimana pun hakikat pemilihan itu kerana mengikut perlembagaan parti, yang menetapkan pemilihan perlu diadakan dalam tempoh setiap tiga tahun sekali. Yang jelasnya pemilihan dalam PKR punya signifikan penting berbanding dengan pemilihan dalam mutkamar Pas tahun ini.

Daripada PKR ada tujuh orang menteri, Mohd Rafizi Ramli, (Ekonomi), Saifuddin Nasution Ismail (Mendane),Chan Lih Kang (Sains, Teknologi dan Inoversi), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seumber Asli dan Kelesatarian Alam), Fahmi Fadhil, (Komunikasi), Fadhlina Siddik (Pendidikan), Dr Zaliha Mustafa (JPM Wilayah Persekutuan).

Manakala enam orang timbalan Akmal Nasullah Mohd Nasir (Peralihan Tenaga dan Daya Guna Alam), Fuziah Salleh (Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), Sara Waswathty (Perpaduan), Adam Adli Abd Halim (Belian dan Sukan), Mustapa @Yunus Sakmud (Pendidikan Tinggi) dan Ramanan Ramanskisnan (Pembangunan Ushawan dan Koperasi).

Semua yang diberi jawatan terdiri daripada penjawat jawatan tertinggi dalam parti, terdiri  timbalan presiden, naib-naib peresiden, dan juga pegawai eksekutif parti.

Selain menteri dan timbalan menteri dua naib presiden memegang jawatan Menteri Besar, Amiruddin Shaari (Selangor) dan Aminunddi Harun (Negeri Sembilan).

Kerana kedudukan itu menyebabkan ramai yang berminat untuk merebut jawatan penting parti dengan harapan akan dinilai untuk mengisi jawatan bertaraf menteri atau eksekutif parti. Hanya Nurul Izzah Anwar seorang walaupun naib presiden tidak dilantik ke jawatan penting kerajaan sebaliknya diberikan jawatan lumayan di kementerian kewangan.

Yang sudah pasti kini, mereka yang menyandang jawatan tertinggi itu akan memgekalkan jawatan mereka kerana jawatan itu akan mengekalkan kedudukan mereka dalam kerajaan. 

Walaupun itu bukan ketatapan wajib, tetapi itulah amalannya, konvensyen. Rafizi Ramli sudah pasti akan mempertahankan jawatannya kerana jawatan itu memungkinkan dia dilantik Menteri Ekonomi bahkan jawatan dipegang Rafizi itu relevan untuk jadi timbalan perdana menteri. Jika mereka terlepas atau tidak memegang jawatan kini, ia bakal kehilangan jawatan dalam kerajaan.

Walaupun ada pendapat nakal mengatakan Rafizi akan mencuba rebut jawatan presiden, tetapi pendapat itu sudah mansuh kini. Mungkin kalau Keadilan seperti dahulu masih gagal untuk jadi kerajaan, pandangan itu relevan, kerana melawan Anwar bertujuan untuk mengubah PKR daripada berterusan dikaitkan dengan Anwar untuk keluar daripada persepsi itu. Suatu masa Rafizi agak skeptikal dengan Anwar selaku presiden. 

Dengan Keadilan hari ini sudah jadi kerajaan dan Anwar adalah perdana menteri, jika ada niat untuk mencabarnya ia adalah untuk cari fasal. Kita kira ura-ura itu tidak lagi terbetik dalam jiwa Rafizi hari ini untuk mencabar Anwar. Anwar sudah pasti akan tidak diganggu sesiapa. 

Bagaimana pun kedudukan Rafizi walaupun cuba diendorce, tetapi belum selamat kerana ada desas desus kedengaran ada calon akan mencabar kedudukannya sekali. Apakah Saifuddin Nasution akan mencuba nasib sekali lagi atau ada calon lain mengambil giliran. Tunggu dalam ulasan bahagian II nanti.  [wm.kl. 28/02/2025 4:42 pm]

Thursday, August 2, 2018

Pertembungan Rafizi - Azmin sulitkan kedudukan Anwar

ULASAN

Rafizi mengumumkan hasratnya bertanding 
jawatan Timbalan Presiden PKR.
PENGUMUMAN calon-calon yang akan bertanding merebut jawatan tertinggi dalam PKR bulan depan yang diketuai oleh Rafizi Ramli dibuat Sabtu lepas dipandang dengan berbagai rasa dan spekulasi. Terus terang saya nyatakan saya gerum dan bimbang melihat apa yang berlaku hari itu.

Jika pengumuman itu secara solo oleh Rafizi, ia tidak menjadi menakutkan, tetapi apa yang berlaku itu secara berpasukan. Semua jawatan penting kecuali presiden, tidak termasuk dalam pakej yang diumumkan itu.

Sunday, July 22, 2018

PKR - jangan perebutan jawatan timbul keretakan

PANDANGAN

Dr Wan Azizah bukan sahaja harus bijak, tetapi
perlu tegas demi partinya.
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan pemilihan pemimpin pada pertengahan Ogos ini dengan sistem e-voting yang pertama kali. Pemilihan melalui talian ini adalah pertama kali dilakukan, dan PKR mendahului parti-parti lain yang masih membuat pilihan secara manual.

Menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail 900,000 ahli PKR dari seluruh bahagian di seluruh negara akan terlibat dengan proses pengundian e-voting itu. Tampaknya PKR melangkah ke depan sebagai parti yang maju. Tetapi ada juga pihak yang meragui akan kesuksesan pemilihan itu. Apakah proses pemilihan melalui internet itu lancar, dan paling penting telus tanpa menimbulkan sebarang masalah?

Saturday, December 30, 2017

Syarat dikenakan kepada Dr Mahathir perlu dimansuhkan

PANDANGAN MALAM

Jumpa dengan Anwar suatu pengorbanan besar Dr Mahathir.
Langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenakan syarat kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri dilihat sebagai lelucon dan dalam masa sama menggambarkan syarat itu dikemukakan mereka yang tidak begitu mantap dan geliga akal politiknya.

Dari satu segi pula syarat itu semacam mahu sengaja menimbulkan keributan dalam Pakatan Harapan menjelang pilihan raya. Keraguan kepada Dr Mahathir memancarkan busuk hati mereka yang mempunyai idea berkenaan. Jauh dari itu mereka yang tidak bijaksana dalam berpolitik serta mempunyai layer politik selepas.

Monday, August 28, 2017

PKR celaru kerana amal politik munafik

PADANGAN SUBUH

Anwar perlu bendung politik munafik dalam PKR
Rakyat yang benci dan muak dengan kerenah Najib Razak dan kesal dengan kezaliman polisi dan dasar pemerintahannya yang menyeksakan rakyat, lalu nekad mahu melihat kerajaan kleptokrasi ini tumbang tentu kecewa apabila membaca catatan dan ulasan mengenai perkembangan parti PKR nan kini sedang dilanda krisis.

Kenyataan terbaharu Rafizi Ramli yang mendedahkan senario dalam parti cap Mata itu sungguh membimbangkan. Ia bukan sahaja mengelisahkan ahli dan penyokong parti itu sahaja, tetapi terbias kepada parti Pakatan Harapan, kerana PKR masih lagi sebahagian Pakatan Harapan. 

Saturday, March 21, 2015

PKR tidak akan sokong "private bill" Pas di Parlimen

KOMENTER PILIHAN                                                                   

PKR sudah menjelaskan sikap dan pendiriannya tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) persendirian yang akan dikemukakan Pas berhubung Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan ke parlimen seperti mana dibentang dan diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan, tiga hari lepas.

Pernyataan tidak sokong itu berdasarkan kepada dua sebab, pertama, pembentangan enakmen itu tidak diberi tahu oleh pihak Pas akan isi kandungan rang undang-undang itu dan ia dibuat secara "unilateral" tanpa memberi tahu rakan-rakan komponen Pakatan Rakyat.

Sebab kedua ialah, sekiranya rang undang-undang persendirian berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II itu, KEADILAN tetap dengan pendirian asal, iaitu untuk tidak menyokong berdasarkan prinsip-prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasia Syariah.

Thursday, May 15, 2014

PKR perlu tegas dengan pengacau dalam parti

SUSUPAN PETANG                                                                              

Tindakan PKR menggantungkan lapan orang anggotanya termasuk bekas ahli parlimen kerana melakukan berbagai kesalahan semasa pemilihan parti minggu lalu dikira sebagai langkah tepat dan perlu dihormati oleh semua pihak dalam parti berkenaan.

Penggantungan itu tentu untuk kebaikan parti.

Mereka digantungkan melakukan berbagai kesalahan, paling ramai ialah apabila menghebuhkan masalah dalam parti ke media massa dan juga laman sosial.

Penggantungan mereka dibuat apabila jawatankuasa disiplin yang bermesyuarat semalam dipengerusikan Mohamed Azmin Ali. Turut sama hadir dalam mesyuarat itu ialah Anwar Ibrahim dan Abdul Khalid Ibrahim.

Wednesday, April 2, 2014

205 rebut jawatan dalam PKR, tumpuan kepada Azmin dan Khalid?

ULASAN                                                                                               

Bersemangat sungguh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menghadapi kongres melibatkan perebutan jawatan pada Mei nanti. Betapa tidak seramai 205 orang menawarkan diri untuk merebut berbagai-bagai jawatan. Dari jumlah itu dua berebut jawatan presiden, enam jawatan timbalan presiden, 16 naib presiden.

Azmin Ali
Tian Chua
Manakala 78 orang berebut jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Tiga orang berebut jawatan Ketua Angkatan Muda (AM), empat untuk mengisi timbalan AM, manakala sembilan merebut Naib Ketua AM sementara 62 orang untuk mengisi Exco Angakatan Muda.

Untuk jawatan Ketua Wanita Pusat pula melibatkan dua orang, enam merebut naib ketua manakala 14 Ahli jawatankuasa.

Friday, December 30, 2011

Berita Terkini

Konvoi PKR Ditahan Polis

[kemaskini] Satu lagi rombongan konvoi ditahan melibatkan empat orang. Mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Kuala Krai. Kesemua mereka dibawa ke IPD Kuala Krai. Sementara itu antara pemimpin PKR yang bergegas ke IPD Tanah Merah ialah ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani bersama peguam, Zam Shahrany.

Apakah fobia baju kuning (Bersih) kini sudah bertukar kepada fobia risalah haram mengajak orang ramai berhimpun di mahkamah pulak?

Rombongan berkereta (konvoi) Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan dan disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Tanah Merah atas kesalahan mengedar risalah yang tidak dibenarkan. Demikian menurut satu SMS kepada saya kira-kira jam 4:00 petang tadi.

Tidak diberitahu risalah mengenai apa tetapi dipercayai risalah yang meminta orang ramai turut beramai-ramai ke perkarangan mahkamah pada 9 Januari hari dimana Hakim akan memutuskan perbicaraan liwat ke atas Anwar.

Antara yang kena tahan Ketua Penerangan PKR Kelantan Roslan Puteh bersama enam yang lain. Berita dan ulasan lanjut akan mengusul. [wm.kl.4:50 pm 30/12/11]