Saturday, December 30, 2017

Syarat dikenakan kepada Dr Mahathir perlu dimansuhkan

PANDANGAN MALAM

Jumpa dengan Anwar suatu pengorbanan besar Dr Mahathir.
Langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenakan syarat kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri dilihat sebagai lelucon dan dalam masa sama menggambarkan syarat itu dikemukakan mereka yang tidak begitu mantap dan geliga akal politiknya.

Dari satu segi pula syarat itu semacam mahu sengaja menimbulkan keributan dalam Pakatan Harapan menjelang pilihan raya. Keraguan kepada Dr Mahathir memancarkan busuk hati mereka yang mempunyai idea berkenaan. Jauh dari itu mereka yang tidak bijaksana dalam berpolitik serta mempunyai layer politik selepas.


Siapakah empunya idea untuk mengenakan syarat itu kepada Dr Mahathir? Walaupun ia diputuskan dalam biro politik parti itu dan diumumkan sendiri oleh presiden tetapi sudah tentu ada yang sang "genius" mencadangkan agar dikenakan syarat itu. Kononnya baginya cadangan itu sesuatu yang sangat bernilai demi memastikan kemenangan peribadi.

Buat apa lagi syarat itu kalau konsensus bersama (PH) telah diambil sebelum ini. Bukankah dalam retreat PH katanya telah dipersetujui untuk melantik atau menamakan Dr Mahathir sebagai PM dari PH, tunggu lagi hendak dimuktamadkan dengan penandatangani perjanjian.

Tindakan dibuat PKR itu sebagai melanggar konsensus dan tetap berkeras untuk memiliki semua kelabaan yang bakal diperolehi oleh PH kepadanya. Sebelum ini pun sudah timbul bantahan dari kalangan PKR terhadap penyertaan Dr Mahathir ke dalam PH. Ada keraguan yang tidak masuk akal dengan penyertaan Dr Mahathir termasuklah dari kalangan keluarga Anwar sendiri. Namun selepas diberi keyakinan dan kelabaan dengan penyertaan Dr Mahathir itu boleh membantu Anwar, bantahan itu mengendur.

Bagaimana pun masalah (keraguan) itu berulang. Keraguan dan ketidakpercayaan kepada bekas PM itu tidak mudah terpadam. Kenapa itu berlaku adalah kerana mereka meletakkan kepentingan peribadi lebih tinggi dan utama daripada kepentingan rakyat. Kalau mereka mengetahui tindakan Dr Mahathir melawan Najib demi rakyat dan negara mereka akan salute apa yang Dr Mahathir lakukan. Kemunculan Dr Mahathir itu diterima sebagai yang bulat datang menggolek yang pipih datang melayang.

Politik cetak nampaknya diamal dalam PKR seperti mana apa yang berlaku dalam Pas, beberapa idea dan bantahan untuk tidak bersama PH oleh Abdul Hadi Awang menggambarkan politik berjiwa kecil diamalkan yang turut sama wujud dalam PKR. Apakah virus yang menghidap Hadi itu sudah berjangkit kepada orang dalam PKR disebabkan kerana masih percaya parti Hadi dapat membantunya?

Tidakkah PKR sudah mengetahui kenapa Dr Mahathir rela untuk bersama PH, sanggup berjumpa dengan Anwar Ibrahim di penjara serta melupai semua kisah lampau. Perjumpaan dan jabatan salam Dr Mahathir dengan Anwar itu satu pengadaian maruah olehnya. Beliau sanggup melupai segalanya termasuk sanggup melanggar sumpah dan cemuhannya kepada Anwar selama ini.

Sebenarnya kesediaan Dr Mahathir mencemar duli untuk berjumpa Anwar itu suatu kemenangan moral buat Anwar dan pendukungnya. Dan Dr Mahathir tahu langkah itu banyak menguntungkan Anwar daripadanya. Tetapi kenapa beliau lakukan juga, sebab demi negara dan rakyat.

Dan bukankah semua itu dilakukan dengan satu tujuan untuk menjatuhkan Najib Razak. Harus difahami kalau Najib jatuh siapakah yang bakal untungnya? Apa yang Dr Mahathir lakukan walaupun dari moral politiknya kotor tetapi ia menguntungkan Anwar dan rakyat. Pemenjaraan Anwar kali kedua oleh Najib sebagai menyambung sunnahnya itu dikira dibayar mahal oleh Dr Mahathir dengan kesediaannya untuk bersama PH.

Semua pihak khasnya dalam PKR perlu faham, kesan besar daripada kejatuhan kerajaan Najib nanti ialah Anwar akan bebas. Itu yang penting. Bagi mereka yang menjulang Anwar sangat berasakan bertuah kalau itu terjadi. Membebaskan Anwar menjadikannya hampir dengan kerusi PM. Kemenangan PH memberi kemenangan berganda buat Anwar dan juga PKR. Kenapa hakikat dan natijah ini tidak difahami?

Atau mereka faham tetapi sengaja kerana ada motif tertentu?

Tiga syarat katakan dikenakan oleh PKR kepada Dr Mahathir untuk dilantik jadi PM ialah, pertama beliau hendaklah melantik Anwar sebagai PM selepas enam bulan berkuasa. Kedua sedia melaksanakan semua agenda reformasi, dan ketiga memberi kerusi lebih kepada PKR untuk bertanding dalam Piraum. Jelas sekali syarat-syarat itu bersifat peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat dan PH seluruhnya.

Konotasi dengan syarat-syarat itu menggambarkan PKR tidak yakin kepada kejujuran dan pengorbanan Dr Mahathir. Minda mereka yang membuat syarat sangat dangkal dan tidak reti membaca sejarah politik Dr Mahathir. Sekiranya mereka memahami sejarah ini mereka tidak meragui Dr Mahathir sebegitu sekali. Bukankah Dr Mahathir berundur sebagai PM ketika dia masih berkuasa?

Kalau kita tahu maksud dan hasrat Dr Mahathir, syarat sebegitu tidak perlu ada. Bahkan tidak perlu pun berasa ragu dan bimbang kepadanya. Usahkan hendak menzahirkannya menyebut dalam hati pun malu. Bacaan politik juga dapat dibuat tindakan Dr Mahathir melawan Najib itu sebenarnya satu pengorbanan beliau untuk menebus (mungkin) kesalahan dan kekesalan atas apa yang beliau lakukan kepada Anwar sebelum ini. Masakan Dr Mahathir akan membuat kenyataan terbuka memohon kemafaan atas kesalahan itu? Kenapa harus memaksa Dr Mahathir supaya bertaubat nasuha di khayalak begitu sekali.

Dalam hal ini untuk menerima Dr Mahathir orang-orang PKR perlu menjadi jauhari dan juga mempunyai makrifat yang tinggi. Kalau mereka memahami perkara ini sudah tentu tidak tergamak untuk mengenakan syarat kepada Dr Mahathir itu kerana ia sebagai satu sikap merendah dan memperlekehkan pengorbanan besar Dr Mahathir itu. Dr Mahathir berhak untuk berasa hati dengan syarat itu dan dia boleh mengundurkan diri dari terus bersama PH. Tetapi dia tidak akan lakukan kerana ia memiliki sekeping jiwa yang besar. Orang PKR perlu belajar berjiwa besar sepertinya.

Justeru sebaik-baiknya kesemua syarat berkenaan dimansuhkan. Atau Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu membuat kenyataan terbuka menarik balik atau membatalkan pengumuman yang beliau buat itu. Syarat yang dikemukakan itu sedikit pun tidak memberi apa-apa kesan kepada rakyat umum yang kini sudah menerima Dr Mahathir sebagai penggerak baharu kepada Pakatan Harapan. Sebaliknya syarat itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pendukung PH.

Apa yang lebih penting hati sesetengah penyokong Dr Mahathir perlu dipulihkan dengan memansuhkan syarat itu. Mereka yang mengenali kejujuran Dr Mahathir dan menyayaginya seperti mana orang Anwar menyayangi Anwar, pasti terluka dengan syarat itu.

Hendaknya tindakan mengemukakan syarat itu atau keputusan tidak berbobot begitu adalah kerenah terakhir berlaku dalam PH sebelum parlimen dibubarkan. Kita juga berharap biarlah pengumuman syarat itu sebagai kejadian terakhir yang tidak kondusif buat PH yang terakhir. Dan pengumuman memansuhkan pula akan dijadikan peristiwa pertama mengiring kehadiran fajar tahun baharu 2018.

Sesungguhnya rakyat dan pendukung Pakatan Harapan sudah tidak tertanggung lagi untuk memikul segala kerenah remeh temeh yang mencerminkan ketidaksatuan hati dalam PH yang boleh menghilangkan keyakinan mereka kepada kepaduan Pakatan Harapan.[wm.kl.7:30 pm 30/12/17]
Post a Comment