Monday, December 25, 2017

Siapa tokoh pilihan saya untuk jadi perdana menteri?

PANDANGAN 

Siapa yang akan jadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang terus menjadi polemik. Melainkan DAP, ketiga-tiga parti komponen PH telah mengangan-angankan pemimpin mereka sebagai PM. PKR terus mahu Anwar Ibrahim sebagai PM, menakala PBBM pula mahu menobatkan Dr Mahathir Mohamad sebagai PM sekali lagi. Itulah nama tunggal bagi kedua-dua parti itu di samping ada nama penduanya.

PKR diam-diam telah cuba melambungkan Azmin Ali sebagai orang yang sesuai untuk jadi PM. Kuncu-kuncu Azmin giat menjalankan kempen ini sehingga menenggelamkan nama presidennya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, dimana dari segi hierarki dia lebih berkelayakan.

Dalam PPBM pula, pedua kepada jawatan itu ialah presidennya Muhyiddin Yassin. Sesuai kalau Muhyiddin diimpikan untuk jadi PM, kerana statusnya sebelum ini sama seperti Anwar selaku mantan TPM. Bahkan nama Muhyiddin lebih pantas daripada Azmin dilihat dari sudut kolaborasi dan semangat  PH.

Berkaitan dengan Dr Mahathir dan Anwar, asasnya kedua-dua mereka layak dan tepat untuk jadi PM. Keduanya ada kelebihan tersendiri. Cuma yang jadi masalah keduanya ada halangan untuk meluncur ke situ. Dr Mahathir dikejar oleh usianya yang sudah lanjut, 92 tahun, manakala Anwar pula disekat oleh undang-undang. Beliau kini masih dalam penjara, dari batasan undang-undang beliau tidak boleh bertanding selama satu penggal apabila dijatuhi hukum penjara.

Namun itu bukan menjadi masalah besar. Sekiranya PH menang, ada mekanisme untuk melepaskan Anwar menjadikan beliau terlepas dari belenggu itu dan layak. Tetapi setakat hari ini beliau masih terhalang.

Nama Mahathir diratib.

Maka nama Dr Mahathir mulai diratib akan diangkat menjadi PM sementara. Cara kempen atau lobi untuk meletakkan Dr Mahathir itu bersungguh sehinggakan ia menjadi bayangan ketakutan pula kepada Najib Razak sendiri. Kecaman bertalu-talu Najib kepada Dr Mahathir sehingga melampau batas adat secara tidak langsung menjadikan bekas PM 22 tahun itu makin relevan untuk diangkat semula menjadi PM. Dunia politik hari ini melihat ancaman kepada Najib ialah Dr Mahathir.

Dan dalam diam-diam juga rasanya Dr Mahathir berminat dan mula berangan-angan untuk menduduki Seri Perdana buat kali kedua dengan harapan untuk memulihkan Malaysia dan mengembalikan maruah negara yang dianggapnya sudah rosak, yang dirosakkan oleh kleptokrasi, Najib Razak.

Kenapa kita — (baca orang PH) begitu obses dan rigid sekali soal siapa hendak jadi PM ini. Apakah soal pemegang jawatan itu menjadi aset utama kepada rakyat untuk memilih Pakatan Harapan menggantikan UBN. Sebanyak manakah nilai orang hendak dijadikan PM itu dapat mempengaruhi rakyat? Apakah menang dan kalah PH dalam Piraum nanti bergantung kepada individu yang hendak dinobatkan sebagai PM?

Apakah nama-nama selain daripada mereka, Dr Mahathir, Anwar Ibrahim atau Muhyiddin itu tidak berkelayakan dan ada potensi serta nilai tersendiri untuk diangkat menjadi pemimpin nombor satu negara?

Lim Kit Siang
Sebenarnya ada, salah seorang ialah Lim Kit Siang. Walaupun ketua parlimen DAP ini tidak berhajat kerana beliau tahu akan kedudukan dan handicap dihadapinya, tetapi beliau juga sebenarnya berkelayakan. Pengalaman dan kegigihan dalam perjuangan menjadikan beliau jauh layak daripada Zahid Hamidi. Kalau Lim Kit Siang tidak terhalang oleh perlembagaan dan racisme, beliau adalah orang turut sama boleh dibariskan berada di kerusi PM.

Atas kesedaran dan hakikat itu menjadikan Umno riuh randah menjual Kit Siang untuk jadi PM. Dalam masa sama, penjualan nama Kit Siang itu untuk menakut-nakutkan orang Melayu kepada Cina dan berharap dengan phobia dan khurafat itu Melayu bersatu menyokong Umno. Lim Kit Siang sudah dijadikan hantu “gerokong” oleh Umno. Hehe.

Jadi nampaknya semua parti, PKR, PPBM dan DAP ada calon untuk jadi PM masing-masing. Macam mana pula dengan sebuah lagi parti komponen PH, Parti Amanah Negara. Siapakah agaknya pemimpin mereka yang boleh diangan-angankan untuk dijadikan perdana menteri?

Parti ini walaupun baru, belum sampai dua tahun, tetapi pemimpin sudah dewasa. Ia memiliki pemimpin tidak kurang hebat dengan pemimpin dari parti lain yang berpengalaman dan menyerlahkan bakat kepimpinan yang unik. Orang-orang seperti presidennya Mohamad Sabu dan timbalannya Salahuddin Ayub bukan pemimpin yang bukan kecil anak lagi.

Mereka sudah dewasa dan mengikut rapat ketokohan Anwar Ibrahim dan juga Muhyiddin kalaupun Dr Mahathir agak tersenggang jauh bagi mereka. Malahan dalam aspek keyakinan dan kegigihan mereka setanding dengan mereka itu, pernah ditahan dan dipenjarakan. Mereka sudah cukup diuji dan menghadapi berbagai tribulasi politik.

Buku saya ke 50
masih relevan untuk
mengetahui siapa PM?
Namun sedikit masalah mereka tidak ada pengalaman dalam mentadbir dan mengurus sebuah kerajaan. Mereka hanya berpeluang menjadi ahli parlimen, tetapi tidak terlibat dengan menguruskan negara serta "kendur" hubungan diplomatik.

Jadi siapakah tokoh dari Amanah yang ada pengalaman dalam bidang administratif dan strategi?

Biarlah di sini saya mengemukakan angan-angan saya untuk memilih seseorang menjadi perdana menteri. Angan-angan tidak salah dan sesiapa pun berhak untuk menamakan pilihan mereka. Dalam buku ke 50 saya berjudul: “Gelora Piraum 14: Siapa PM selepas Najib?” saya ada melakarkan beberapa nama dalam buku itu yang boleh diharap atau mempunyai potensi berlandaskan beberapa faktor untuk mengambil alih jawatan PM, selepas Najib. Pemilihan mereka berdasarkan potensi-potensi tertentu.

Salah seorang yang saya turut sama menyenaraikan ialah Adun Salor yang juga Naib Presiden Amanah Husam Musa. Jadi dalam catatan angan-angan ini Husam boleh dipilih sebagai salah seorang calon PM daripada Parti Amanah untuk PH.

Husam Musa
Berbicara soal Husam sebagai calon PM, sebenarnya saya mengangan-angankan sosok ini sejak lama dulu. Bukan baru sekarang. Semasa saya memuja dan mengangkatnya di pertengahan tahun 90an, saya telah pun meletakkan dia ke kerusi itu suatu masa nanti. Jawatan MB Kelantan seperti mana banyak orang diharapkan kepadanya, sebenarnya tidak menjadi harapan saya. Saya melihat Husam boleh berada jauh daripada jawatan itu.

Justeru ada perancangan (doa) halus diatur untuk beliau melonjak di kedudukan sejauh itu. Tanpa sesiapa menyedari perancangan ini dijalankan tanpa tuan tubuh sendiri mengetahui atau diberi tahu secara langsung. Saya memendam impian ini dalam diri setelah membuat pengamatan kepada beberapa ciri-ciri dan bakat yang ada kepada Husam ini.

Bahkan saya mengangan-angan beliau begitu sebelum almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat kenyataan, Husam sebagai budak bijak yang dilahirkan bukan sahaja untuk Kelantan tetapi untuk Malaysia lagi.

Ketika itu saya melihat Husam dan meletakkan di situ dari dalam Pas bukan Amanah. Pas waktu itu dalam pengamatan saya bakal menjadi parti Melayu Islam menggantikan Umno. Dalam makrifat saya selepas Abdul Hadi Awang berundur atau tiada dalam Pas, Husamlah bakal penerus perjuangan Pas. Walaupun ketika itu timbalan presiden Pas ialah Nasharuddin Mat Isa, tetapi saya melihat Husam lebih gah untuk jadi pengganti Hadi.

Bagi saya kedudukan Nasharuddin disitu hanya sementara sahaja, sebelum Husam bersedia dan membuat persiapan memantapkan parti dan diri menerusi jawatan sebagai Naib Presiden.  Nashruddin bagi saya bukan material untuk menjadi pemimpin nombor satu Pas kerana beberapa sebab. Selepas empat atau enam tahun menduduki Naib Presiden, Husam boleh melompat ke jawatan timbalan presiden. Saya meramalkan sekiranya segala perancangan berjalan lancar Husam akan mulai memegang jawatan timbalan presiden paling lewat tahun 2004.

Dalam hitungan saya pilihan raya umum 2013 akan dimenangi Pakatan Rakyat, di mana Anwar menjadi perdana menteri. Dan ketika itu Husam pula memimpin Pas sebagai presiden sudah tentu akan dipilih menjadi timbalan perdana menteri. Malangnya, perancangan itu tidak menjadi kerana Husam seorang yang tidak “temooh” ghairah dan menerkam jawatan, dia hanya berpuas hati sebagai naib presiden sahaja bekerja di bawah Hadi dan Nasharuddin. Beliau lewat dan sangat berwaspada untuk menguak.

Sepatutnya yang melanggar Nasharuddin tahun 2011 bukan Mohammad Sabu tetapi Husam. Kedudukan Husam ketika itu sedang meranum kerana penampilan hebatnya di Kelantan mudah bagi untuk menang.

Impian termusnah.

Krisis keyakinan terhadap timbalan presiden Pas dengan tumbangnya Nasharuddin dan naiknya Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden telah mengaburkan segala perancangan untuk Husam. Kemenangan besar golongan profesional pada muktamar 2011, memberi bahana kepada angan-angan ini. Ekoran itu golongan agamis dalam Pas yang berasa terancam lalu menyusun strategi bertindak menyerang dan mereka berjaya menyingirkan kesemua golongan profesional dalam muktamar tiga tahun kemudian (2014), dan gerakan ini ikut sama membabitkan Husam.

Penyingkiran 18 orang pemimpin profesional dalam Pas sekaligus meleraikan angan-angan saya untuk melihat Husam terus “bengah” (bangkit, naik) mengapai jaya dalam parti agama itu. Husam sendiri terikut sama dikecam dan dianggap sebagai pengkhianat, walaupun beliau adalah mangsa dihimpit oleh keadaan.

Beliau bukan pengkhianat tetapi ia dikhianati selepas usahanya untuk menyakinkan kepimpinan Pas yang ada kini gagal. Husam tidak pernah keluar dan derhaka kepada Pas melainkan beliau dibuang. Itu sejarah yang berfakta tidak boleh disanggah kecuali oleh sang taksub dan bermata "bole" (buta).

Dengan terkeluarnya daripada Pas, maka angan-angan untuk melihat Husam menjulang ke tangga itu berkecai. Bukan juga saya, tetapi orang Pas yang dapat membaca mereka memiliki mutiara berharga ini juga kecewa dengan apa yang berlaku. Pas rugi besar dengan ketiadaan Husam tokoh yang ditempal dan digilap begitu lama. Pas memerlukan masa sekurang-kurang dua dekad lagi untuk mendapat seorang Husam baru.

Lantaran kecewa itu ada yang ikut bertindak meninggalkan Pas apabila Husam mengungsi. Sementara yang lain walaupun dapat menghidu bahkan menyanjung kehebatannya suatu masa dulu, tetapi kerana wala’ serta meletak parti melebihi nilai pemimpin mereka akhirnya melupai Husam. Setengahnya mengecam dan mencerca Husam.

Kini Husam membina wadah baru memulakan langkah perjuangan politiknya dalam Amanah dengan kosong. Ibarat hendak berjalan beribu batu beliau baru turun meninggalkan anak tangga pertama rumahnya. Husam akan berjalan lebih lama dan lebih jauh lagi, mungkin rapat ke usianya. Namun begitu beliau masih bernasib baik kerana dirai oleh rakan-rakan yang menyedari keistimewaan yang ada kepadanya, walaupun menyertai Amanah terkemudian beliau diangkat menjadi salah seorang Naib Presiden dan menjadi pengerusi PH Kelantan.

Pengangkatan ini membuktikan beliau mempunyai nilai, aset dan karismatik diri tersendiri.

Kerana menyedari kebolehan dan ketrampilan yang ada kepadanya, maka harapan yang ditaruh kepadanya tidak pernah terhakis. Untuk meletakkan dia di sisi itu bukan kerana taksub atau apa, melainkan kerana melihat kepada apa yang ada kepadanya. Husam mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin keupayaan untuk menjadi perdana menteri. Hal ini dikesan bukan sahaja oleh bekas partinya, tetapi juga mereka di luar sana.

Antara keistimewaan yang ada kepadanya ialah ilmunya yang banyak, beliau seorang penggali ilmu. Pemilikan ilmu dunia; politik, pentadbiran dan strategi sama gagah dengan ilmu agama yang didalaminya. Jarang kesyumulan yang sebegini ada pada pemimpin lain tetapi ia ada kepada Husam. Ada perseirasan dalam pemilikan ilmu ini beliau dengan Anwar Ibrahim.

Kebolehan yang sangat membanggakan, berfikir menetaskan idea untuk pembangunan sosial dan negeri juga menakjubkan. Beliau juga pembaca dan penganalisa sejarah dan mengadaptasikan dalam acuan perjuangannya. Sejarah yang digali banyak dalam al Quran, Hadith serta makalah-makalah tawarikh persejarahan dunia. Perjalanan dan permusafirannya ke luar negara menyinggahi tempat-tempat disebut al Quran menjadikan beliau rapat dengan sejarah kegemilangan Islam dan para ambiak.

Dalam saat orang lain terkutip dan terkial-kial untuk melakukan sesuatu, beliau boleh muncul dengan berbagai idea yang praktikal. Apa yang beliau fikirkan diluar pemikiran orang lain. Dua contoh jelas yang difikirkan olehnya kemudian terlaksanakan kemudian, yakni Lebuh Raya Rakyat dan projek ECRL — keretapi laju. Ketika Husam bermimpi untuk membina keretapi laju di Kelantan semua orang mentertawakannya. Nah hari ini idea Husam itu diceduk oleh Najib Razak.

Barang kali pengagungan ini agak melampau. Tetapi cubalah diambil mana-mana pemimpin Pas yang ada kini kecuali Abdul Hadi Awang, dan adukan dengan Husam. Siapakah yang mempunyai kecemerlangan dalam berfikir setaraf dengan  bekas Exco ini dalam kepimpinan tertinggi Pas kini. Mungkin ada yang mampu hafal Hadith dan Quran tetapi mereka tandus dengan idea pembangunan sosial dan strategi politik.

Sekarang ini di Kelantan setelah dua tahun ketiadaan Tokguru Nik Aziz, dan kerajaan dipimpin oleh Ahmad Yakob dan Nik Amar (Mohd Amar Nik Abdullah) apakah yang boleh dibanggakan oleh rakyat Kelantan. Apakah gagasan pembangunan kerajaan terkini kerajaan Pas Kelantan?  Apakah projek atau idea berdaya maju ditetaskan oleh Ahmad Yakob dan para pembantunya, para Exco? Hampir langsung tidak ada, dan kalau pun ada seperti projek Carbon Credit, bandar baru seperti Bandar Baru Dabong, pengkomersilan KPK, ia menimbulkan persoalan malahan boleh dianggap gagal.

Jika kehebatan Anwar sehingga beliau dikira tokoh paling layak untuk menjadi perdana menteri yang boleh menyatukan semua kaum di negara ini dengan daya dan varisi politiknya, Husam juga memiliki keistimewaan itu, ada aura tersendiri darinya. Dalam sejarah politiknya beliau tidak ada apa-apa masalah, tidak kontroversi dengan bangsa lain. Husam menerima kewujudan bangsa lain, Cina, India dan lain-lain sama taraf dengan Melayu mengikut definasi perlembagaan.

Kandatipun Husam dari satu sisi dilihat seorang agamis tetapi beliau tidak menggunakan agama untuk menghukum orang agama lain sewenang-wenangnya. Tiada kenyataan dogmatik agama digunakan Husam dalam politiknya. Beliau tidak mencari laba dengan agama tetapi menggunakan agama untuk mendamai dan menyatukan massa. Husam mengadukan elemen agama dalam politiknya secara progresif.

Dalam kata lain beliau adalah penaksir firman Allah mengikut kontemporari dan keperluan semasa seperti dianjurkan gurunya, Nik Aziz. Firman Allah bermaksud; manusia dijadikan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa untuk saling kenal mengenali, dan melaksankan penegasan tiada paksaan dalam beragama dipraktikan sebaik sesempurna mungkin.

Selain itu jika meneliti diri dan pemikiran Husam beliau ada beberapa kelebihan lain yang tidak terserlah kepada pemimpin lain. Antaranya sikap dan iltizamnya kepada perjuangan. Beliau seorang yang fokus kepada jawatan yang diamanahkan. Lantaran fokus dan leka dengan tugas menyebabkan beliau terasing dan tidak sempat untuk berkawan ini menampakkan beliau kurang mesra. Beliau tidak bersuka ria dan menggunakan kedudukan untuk kepentingan dirinya dan keluarganya.

Persekitaran dirinya amat sederhana, rumahnya, kenderaannya, pakaiannya atau aksesori diri yang lain tidak mewah. Ini menggambarkan beliau lebih concern kepada perjuangannya. Kerana itu beliau tidak diungkit soal pemilikan harta, penyalahgunaan kuasa, sebaliknya beliau dicemuhi kerana kebencian dan sikap non kompormi dengan kemungkaran yang boleh merugikan negeri.

Husam tiada musuh dengan sesiapa kecuali mereka yang irihati kepada bakat dan kebolehannya serta mereka yang tidak dapat menerima ketegasan dasar dan polisinya dalam menjaga khazanah negeri.

Kelebihan lain ialah daya diplomatik dan kemahiran berunding yang tinggi. Husam memiliki keyakinan diri dengan berunding bukan konfrontasi. Banyak kes-kes yang kritikal melibat kerajaan di zaman Nik Aziz dapat diselesaikan dengan cara berunding dan diplomatik yang tidak dihebuhkan. Kelebihan inilah memungkinkan Nik Aziz menuturkan dia sebagai budak bijak.

Seperkara lagi bila bercakap mengenai Husam ialah dia seorang politician yang kreatif bukan sahaja menimbulkan isu tetapi menjawab dan menyelesaikan isu yang timbul. Daya kreatif inilah menjadikan orang tertunggu-tunggu setiap ulasan atau pun pandangan beliau dalam sesuatu perkara. Dalam kata lain Husam bagaikan sejembak setanggi yang mengeluarkan wagian yang ditunggu oleh orang untuk menghidunya.

Dengan kelebihan itulah, maka bagi saya Pakatan Harapan tidak “kesepian” dan ketandusan pemimpin lain (selain Dr Mahathir atau Anwar Ibrahim) untuk diangkat sebagai perdana menteri. Bahkan jika dihitung dari usia dan proses kematangan, Husam lebih sesuai kerana usianya masih di bawah 60 tahun berbanding dengan Dr Mahathir sudah mahu rapat ke satu abad manakala Anwar pula sudah masuk tiga suku abad. Husam sesuai untuk memimpin Malaysia pada waktu ini.

Atas dalil, hujah dan fakta itu maka bagi saya Husam Musa layak untuk diletakkan sebagai salah seorang calon PM dalam Pakatan Harapan.  [wm.kl.8:10 am 25/12/17]

17 comments:

awang kualaberang said...


Salam Pak Sayuti,

Saya sangat bersetuju dengan penilaian dan pengamatan politik pak sayuti.
Seperti mana yang disebut oleh almarhum TGNA, Husam adalah "budak cerdik" , malangnya parti parti politik orang islam/melayu masih berfikiran seperti zaman Singapura dilanggar Todak, yang mana budak cerdik mesti dibunuh (secara fizikal atau secara politik) demi menjaga kedudukan puak puak/kabilah yang memegang kuasa dalam parti dan masyarakat.

politik wala'un wala'un yang mengampu dan membodek seperti bendahara melaka dizaman silam akan sentiasa menghasut dan mengadu domba pemimpin supaya "budak cerdik" dibunuh/dihapuskan dari sudut politik demi menjaga kepentingan dan cita cita peribadi mereka.

politik wala'un wal'un yang jahat dan hasad dengki ditambah pula dengan pemimpin yang pendek akal dan selalu mengikut emosi permusuhan akan terus menerus merosakkan umat, meruntuhkan segala jambatan rahmat dan kebajikan yang telah dibina oleh pemimpin pemimpin yang terdahulu.

sama samalah kita fikirkan bagaimana untuk membetulkan kompas perjuangan untuk menyelamatkan ummat ini.

sama samalah kita jauhi sikap dan perbuatan yang menjurus kapada
"celaka didunia, neraka diakhirat"....nauzubillah!!!

Unknown said...

Semoga ianya menjadi kenyataan.. rakyat dah lama menanti pemimpin sebegini

Pok Li said...

Teringat kepada cerita Saifuddin Nasution ketika beliau, Anwar dan Husam bertemu diDubai satu ketika dahulu sebelum PRU13. Saifuddin bertanya kepada Anwar.. jika Anwar menjadi Perdana Menteri siapakah pilihan beliau sebagai timbalan? Anwar berkata sekiranya pilihan di tangan beliau, beliau akan pilih Husam.

dNAN SAhARA said...

...sejarah Kedah pasti berulang. Insya Allah.

Helmi said...

Terbaik abe ti
Kawe meme nok husam jadi PM
Mmg layak idaman kawe sejak dulu lagi
Insyaallah!

Zamani Salleh said...

Saya bersetuju dengan pandangan saudara MSO. Saya juga berpandangan begitu sejak PRU12 lagi, dia memang terunggul di kalangan pemimpin-pemimpin tertinggi PAS. Ideologinya lebih progresif dan seorang yang sabar dan matang.

Unknown said...

Ambo pun setuju...

Unknown said...

Sebenarnya Husam adalah mutiara malaysia,cuma penonjolannya kurang bersinar lagi,sebenarnya Husam jauh ke depan berbanding pemimpin2 PAS mahupun UMNO..harap PH dapat memajukan HUSAM..semoga Husam diangkat Allah sebagai pemimpin Malaysia

Annoy said...

terbaik
molek sangat doh

giorgio said...

Well said, I really think that Kelantan Chinese are rational and ready or seen Husam as their future leader. If Kelantan Chinese already accepted Husam, the rest of the Chinese will be rational enough to place Husam as the future Leader of Malaysia, non other than a person who is recommended by a very respected man Nik Aziz... we Chinese have Long wanted n dream to have a leader liked Husam... Insya Allah Husam will be our future Leader of Malaysia ...

Quantum Metal Consultant said...

Dari segi rekod pemimpin berasal dari Kelantan yang paling meraih kedudukan paling tinggi adalah Ku Li, itupun dari umno.

Husam walaupun memiliki beberapa kelebihan yang melayakannya tetapi masih jauh untuk dicalonkan terus sebagai PM dan agak janggal walaupun bukan mustahil untuk dia terus melonjak ke jawatan PM dari kedudukan sekarang.

Pernahkah Husam menjadi seorang wakil ahli parlimen?

Setakat mana Husam dierima di peringkat kebangsaan sedangkan selama ini politiknya di tahap negeri, kelantan.

Dia belum dikenali dan diterima secara menyeluruh di seluruh negara.

Jika Husam memilih umno selepas dipecat PAS,mungkin nasibnya lebih baik.

Unknown said...

Salam hormat & salam perjuangan tuan.
Saya bersetuju dengan penulisan tuan tetapi pada pendapat saya, walaupun nama-nama yang tuan sebutkan dalam penulisan tuan merupakan mereka yang cukup berpengalaman dalam dunia politik tetapi pasa hemat saya mereka ini tidak pernah berada di kerusi nombor satu pentadbiran negara. Malah mereka belum mempunyai pengalaman dalam menerajui negara selaku kerajaan.

Sehubungan itu, selayaknya Tun M diberikan mandat utk mentadbir negara sekali lagi dan Husam mahupun Azmin boleh menjadi pelapes sebagai kesinambungan setelah Tun berjaya memulihkan negara. Seperti kata tuan juga, Tun telahpun berumur 92 tahun. Namun kepakarannya dalam menangani masalaah ekonomi negara tidak ada tolok bandingnya. Kita memerlukan Tun sekali lagi dan mereka yang lain mesti memgambil peluang ini untuk belajar dari Tun. Kerana ini adalah peluang terakhir bagi sesiapa saja untuk menuntut ilmu dari Tun M.

Wallahualam.

Unknown said...

Orang mahu komen hal politik kita mahu komen hal politik untuk tunjuk bertapa dalamnya ilmu politik kita supaya org terpesona dgn hujah kita tp rupa2nya cetek sahaja...husam pernah jadi ahli parlimen kubang kerian bagi penggal 1999-2004...wasalam

Unknown said...

Salam sejahtera semua. Tanpa dipengaruhi rasa taksub melulu atau penilaian akal yang cetek, saya sememangnya bersetuju sangat jika Saudara Husam Musa diangkat sebagai pemimpin tertinggi negara yang seterusnya dengan turut mengambilkira ketokohan yang tiada tolok bandingnya pada Tun Mahathir sebagai guru yang akan membimbing mereka yang akan bergelar sebagai Pemimpin Negara setelah 'proses' menyelamatkan Malaysia berjaya, In sya Allah. Walau apa pun, hanya kepada Allah sahajalah kita semua berdoa dan berserah agar segala impian yang murni ini akan menjadi kenyataan dengan izin serta kehendakNya. Amin.

herman adnan said...

begitu jugok lah di benak ambo!

herman adnan said...

akhi Husam pernah menjadi anggota Parlimen Malaysia bagi mewakili Kubang Kerian.

Syed Alwi Aljufri said...

Adun Salor Beb