Thursday, December 14, 2017

Isu Bugis tidak ubah pendirian rakyat

ULAS ISU

Dr Mahathir dan Siti Hasmah serah darjah kebesaran.
Pertengkisan antara Dr Mahathir Mohamad dengan Sultan Selangor berkaitan isu Bugis bukan isu politik sebenar, bahkan isu itu meluas kerana salah anggap oleh satu pihak kepada satu pihak. Ia pula dilihat panas apabila dihangatkan dengan “heater” politik.

"Pemerangatan" isu itu menunjukkan ada pihak yang sudah kehabisan isu atau pun kebasian isu untuk dicampak kepada rakyat.

Isu itu tidak pun menjadi penentu masa depan negara apa lagi memberi impak sampai boleh mengubah minda rakyat yang sudah disetkan untuk menghadapi Piraum ke 14 nanti. Isu Bugis itu adalah isu tidur yang dipaksa jaga.

Ceritanya bermula apabila Dr MahathirMohamad yang marahkan Najib Razak dengan mengaitkan asal usulnya keturunan Bugis. Dr Mahathir dalam marah dan benci politik, menyuruh Najib pulang ke Sulawesi di mana kampung asal ayahnya Abdul Razak Hussein kerana melihat Najib banyak melakukan kemungkaran pemerintah. Itu sahaja. Yang sedikit menjadi kurang manis apabila Dr Mahathir mengatakan Najib adalah lanun?

Memang dalam kamus orang Melayu lama Bugis dianggap sebagai lanun. Itu juga yang saya faham.

Dr Mahathir tidak pun mengatakan seluruh Bugis yang datang berhijrah ke negara ini sehinggakan ada yang membentuk daulatnya itu sebagai lanun. Masakan Dr Mahathir buta sejarah sampai begitu sekali. Bahkan sultan keturunan Bugis itu jugalah rakan beliau yang disembahkan mengikut kehendak perlembagaan dan adat istiadat Melayu kono selama mentadbir Malaysia 22 tahun.

Tetapi bak kata orang darah daging biar pun busuk tetap akan dijaga, mungkin atas sebab itu Sultan Selangor yang berketurunan Bugis berasa hati dengan kenyataan Dr Mahathir itu. Apa lagi Dr Mahathir berkeras tidak mahu memohon ampun kerana dia yakin dipihak yang benar. Turut sama berasa hati ialah Sultan Johor. Apa dirasai oleh kedua mereka adalah hak mereka, apa lagi mereka diangkat menjadi sultan dan raja berdaulat mengikut perlembagaan.

Di sini saya tidak mahu berpolimek mencari siapa yang benar dan siapa yang kabur mengenai isu berkenaan. Cuma ingin memberi pandangan terhadap pendapat mengatakan isu Bugis itu sedikit sebanyak menjejaskan Dr Mahathir dan membawa kesan kepada Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya kini untuk berhadapan dengan Piraum. Ada satu kajian mengatakan isu Bugis itu memburukkan keadaan PH.

Pandangan luar bersumberkan maklumat kerajaan boleh jadi benar, kerana mereka tidak menyelami apa yang berlaku di Malaysia waktu ini.  Apa lagi kalau mereka membuat kajian itu atas niat untuk membantu kerajaan yang ada kini. Atau pun mereka membuat kesimpulan isu itu besar apabila Dr Mahathir dan isterinya Siti Hasmah Mohd Ali sampai memulangkan pingat dan darjah kebesaran kepada Sultan Selangor. Mungkin mereka terkhilaf tindakan itu dengan menganggap Sultan Selangor menitah agar memulangkan darjah kebesaran itu.

Sebenarnya pemulangan itu satu pihak sahaja. Sultan Selangor walaupun terkedu hati dengan kenyataan Dr Mahathir itu tidak pun sampai menitah agar darjah kebesaran itu diserah balik. Hanya Dr Mahathir bertindak awal mungkin atas maslahat politik menyerahkan semula pingat dan darjah kebesaran itu. Baginya wajar kalau beliau berbuat demikian apabila orang — Sultan Selangor yang mengurniakan darjah dan kebesaran itu sudah tidak berkenaan kepadanya lagi.

Soalnya benarkah pertengkisan antara Dr Mahathir - Sultan Selangor itu menjejaskan wibawa dan pengaruh PH? Apakah rakyat Malaysia khasnya orang Melayu menilai balik sokongan kepada Dr Mahathir dan PH yang dipamerkan akhir-akhir ini serta sedia untuk kekal di bawah pentadbiran Najib yang dibilang menghadapi berbagai masalah? Apakah kenyataan Dr Mahathir itu menyeduhkan hati mereka sama?

Saya tidak fikir begitu. Pertengkisan Dr Mahathir dengan Sultan itu sehingga menghantar balik Darjah Kebesaran Seri Mahkota Selangor (DSMS) dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK), manakala Darjah Kebesaran Paduka Selangor (DPMS) dan (SPMS) oleh Siti Hasmah sebagai merosak memomentum rakyat yang meluat dengan Najib kini, tidak benar.

Sultan Selangor berketurunan Bugis berhak untuk jadi integritinya. Tetapi baginda bukan sesiapa dalam Malaysia dalam politik. Baginda dicegah untuk berpolitik kerana statusnya sebagai payung rakyat jelata. Selagi baginda menjadi sultan dia tidak boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya. Jadi kalau baginda marahkan sesiapa, tidak bermakna rakyat yang berada di bawah naungannya ikut sama marahkan kepada orang yang baginda marah. Itu sifat peribadi beliau dengan orang tertentu.

Justeru pertengkisan itu tidak mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan pimpinan Najib kini. Sebahagian besar rakyat sudah pun membuat keputusan (pengecaman undian awal) untuk dilaksanakan dalam Piraum akan datang. Rakyat waktu ini lebih memikirkan soal nasib hidup mereka daripada melayan perbalahan bersifat peribadi dan isu remeh begitu.

Apa difikirkan rakyat ialah mengenai isu-isu besar yang masih kabur seperti 1MDB, yang walaupun diberi jawaban namun tidak pernah tuntas. Isu-isu kemasukan pelaburan China mencecah kira-kira RM52 billion dikatakan bakal menjejaskan masa depan negara menjadi perkiraan rakyat. Isu-isu kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup menyendak dalam minda ramai.

Demikian juga dengan isu pengangguran, persaingan dengan pendatang asing dan sebagainya. Isu-isu ini semua sudah terbaji dalam kepala rakyat yang mereka akan putuskan dalam pilihan raya akan datang. Isu pertelingkahan Dr Mahathir dengan Sultan Selangor itu tidak pun menjadi kudis gatal. Adalah malang sekiranya Najib mengira isu Bugis itu akan memberi modal besar kepadanya dalam pilihan raya akan datang.

Tidak dinafikan ada pihak tertentu cuba mengambil kesempatan atas pertelingkahan Dr Mahathir dan Sultan Selangor itu. Tetapi percayalah kesempatan itu akan sia-sia sahaja. Rakyat yang sehat fikiran tetap mengetahui mengenai kedudukan Sultan dalam perlembagaan negara. Mereka sudah arif mengenai batas taranya, siapa pun Sultan baginda tetap tertakluk kepada perlembagaan.

Dan isu Bugis ini bukan isu dunia seperti mana isu 1MDB yang disebut seantero dunia. Bahkan isu jauh nilai politiknya berbanding isu cincin milik Rosmah Mansor. Apakah rakyat Malaysia khasnya pengundi masih tidak jauh jangkauan akal fikirnya? [wm.kl.8:47 pm 15/12/17]
Post a Comment