Saturday, December 23, 2017

Himpunan solidariti Palestin: Kenapa Hadi tidak hadir?

MENAKSIR PERISTIWA

Najib dan Zahid kurang bersemangat. 
Himpunan solidariti menyelamatkan Palestin yang diadakan di perkarangan masjid Putrajaya semalam akan jadi selonggok lagi kenangan yang berlalu seperti himpunan-himpunan seumpamanya sebelum ini. Ia akan menjadi kenangan serta lambang kepada dunia yang rakyat negara ini juga peduli dengan permasalahan dan nasib bumi Palestin yang merana sudah setengah abad itu.

Tidak lebih dan tidak kurang, itulah natijahnya. Malaysia sebagai sebuah negara kecil sedang membangun dan pembangunannya ditempangkan oleh kleptokrasi, tidak dapat bertindak lebih daripada itu. Kita sebagai si pipit atau ayam serama yang boleh bersiul riang dan menunjukkan kecantikan bukan jenis turun ke medan laga.

Untuk mengirimkan tentera menjadi pengaman di Gaza atau ikut menentang regim zionis jauh sekali. Apa yang Malaysia mampu lakukan tidak mewujudkan hubungan diplomatik sebagai tanda bantahan, tetapi anihnya rakyat negara ini bebas masuk dan menjalankan perniagaan dengan negara Yahudi Israel itu. Apakah erti semua itu, tutup tetapi boleh masuk?

Abdul Hadi hanya kirim anaknya.
Sebagai suara kecil, apa dibantah Malaysia ke atas Isreal dan god fathernya Amerika Syarikat, samalah dengan tindakan anak-anak Palestin yang melontar batu atau melastik tentera Israel setiap kali rejim itu menceroboh dan menganggu mereka. Bahkan perbuatan atau aksi tindakan si bocah itu lebih berkesan daripada apa yang kita lakukan. Baik Israel dan Amerika tidak akan mendengar apa-apa yang kita suarakan, sebaliknya batu lontaran bocah Israel mungkin lebih bererti apabila kadang kala ia mengena ke tubuh sasa tentera regim berkenaan.

Sumpah Najib.

Pengakuan Najib Razak semasa berucap di himpunan itu semalam, yang rela dan terus memperjuangkan Palestin walaupun anggotanya dicincang dan dikerat seketul-ketul, tidak lebih daripada sebuah lagu retorik untuk menyedapkan hati bangsa Palestin semata-mata. Sumpah dan janji itu tidak akan ke mana pun, kerana komitmen Najib untuk bangsa sendiri boleh dipertikaikan. Janji dan sumpah itu akan hanyut kemudian ghaib begitu sahaja ditelan angin lalu selepas selesai majlis itu.

Sebahagian peserta himpunan.
Nama lagi himpunan itu mempunyai unsur dan bermotif politik, ucapan itu bukan untuk menyegarkan semangat rakyat Palestin tetapi sebenarnya untuk memancing jiwa umat Islam negara ini supaya melihat iltizam tinggi Najib kepada umat Islam kemudian mengundi Umno. Kecualilah ada tindakan susulan daripada kerajaan Malaysia selepas himpunan itu baru kita dapat ikhtiraf apa yang diluahkan perdana menteri itu.

Seperti dikatakan tadi, sebagai sebuah negara pipit seperti Malaysia yang mana pemimpinnya bertindak seperti kancil yang hendak menunjukkan duburnya besar kepada gajah, maka diberak atas busut, itu saja dan ia dianggap sudah cukup dan sesuai. Selamanya Malaysia tidak bisa bertindak sehebat negara-negara yang memiliki kuasa penentu dan veto seperti Amerika, United Kingdom, Perancis, China dan Russia.

Justeru tidak ada apa-apa signifikan atau impak perdana himpunan semalam. Ia sama dan lebih kurang sahaja, aksi pembangkang yang berarak dan mengangkat sepanduk selepas Jumaat yang baru lalu, atau sama nilainya dengan demostrasi di kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak yang diadakan beberapa kali sebelum ini.

Subjek tersendak di kepala

Bercakap mengenai majlis himpunan semalam yang mungkin tersendak di ruang fikiran umum, bukan kesan himpunan itu kepada Israel dan Amerika, tetapi ialah mengenai absent -- ketidakhadiran Presiden Pas, Abdul Hadi Awang di himpunan berkenaan. Ini yang menjadi persoalan dan congakkan oleh para pemerhati politik di Malaysia.

Israel atau Amerika sedikit pun tidak mahu ambil tahu bahkan tidak pun mengenali siapa Hadi Awang itu dalam konteks politik mereka, demikian juga dengan himpunan itu mereka tidak pun berasa apa-apa dengan moment itu. Apabila tiada kelibat Abdul Hadi dimajlis itu, ia menjadi tanda tanya dan sesuatu yang aneh sekaligus meletakkan subjek besar dalam himpunan itu, bukannya Israel dan Amerika lagi tetapi mengenai Hadi.

Ketiadaan Hadi menjadi satu kepelikan dan keganjilan walaupun hal-hal sebegitu lumrah baginya. Mengubah kata, menghenti langkan dan memusing perjalanan biasa baginya. Ini kerana sebelum ini Hadi diumumkan akan bersama Najib di himpunan itu dan mereka menjadi penunggal kepada himpunan berkenaan yang diberikan tugas dan tanggungjawab menyampaikan amanat dan pesan dalam pidato pemecah semangat.

Rasanya lebih 20 kali televisyen (PB) membuat pengumuman dan menyiarkan poster himpunan itu yang menerakan wajah Hadi bersama Najib di kaca-kaca televisyen.

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Ahmad Zahid Hamidi sendiri berkali-kali membuat seruan persis seperti Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja Melayu mengumumkan tarikh mulai puasa dan raya di tv meminta orang ramai hadir. Cara majlis itu dimobiliskan menunjukkan ia agenda besar dan hebat, dan Umno ingin menjadikan ia detik bersejarah. Saya sendiri juga turut terpanggil untuk menghadirinya sehinggakan meringkaskan kepulangan menziarahi ibu ke Kelantan.

Malangnya Hadi tidak hadir tanpa apologitik. Ketiadakhadiran Hadi itu sesuatu yang sangat megecewakan banyak pihak. Ketidakhadirannya sepertilah kegagalan pengantin tiba, setelah majlis kenduri sudah diadakan. Majlis itu menjadi tidak meriah, gagal dan tidak ada makna lagi. Tentunya tindakan Hadi itu paling mengecewakan ialah Umno nan sudah berangan-angan untuk memerangkapkan Hadi dan mengorbankan Pas dengan lensa kamera kemudian dijual dan dijaja.

Paling jelas yang kecewa dengan kejadian itu ialah Zahid selaku pengerusi himpunan. Dalam pemerhatian saya di skrin tv, muka Zahid mengeruh macam air sungai di Kelantan di sepanjang majlis itu. Zahid tidak bersemangat dan gembira langsung. Apa lagi bukan Hadi sahaja "absen" tetapi pemimpin tertinggi Pas lain juga tidak menampakkan bayangnya. Ketiadaan pemimpin tertinggi Pas itu disaat dua pemimpin tertinggi Umno hadir bolehlah dianggap Pas tidak menghormati majlis itu.

Kalau pun Abdul Hadi keuzuran, tetapi timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man perlu mengganti tempatnya, atau sekurang-kurangnya naib-naibnya, Idris Ahmad, Mohd Amar Nik Abdullah atau pun Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung kena hadir. Kenapa semasa himpunan solidariti untuk Rohingya tokoh-tokoh ini dan beberapa lagi wakil rakyat Pas boleh hadir dan duduk "berdempet" dengan pemimpin Umno? Apakah isu Palestin berada di bawah isu Rohingya. Atau apa?

Atau pun mereka itu khasnya Tuan Ibrahim tidak dapat hadir kerana jemputan ke atas Abdul Hadi itu atas kapasiti beliau sebagai Naib Presiden Ulama seDunia, maka beliau tidak pantas hadir? Jadi ertinya kehadiran ketua pemuda Pas yang merupakan putera Abdul Hadi itu mewakili dirinya secara peribadi bukan atas sifat parti? Begitukah?

Sehingga Hadi memberi penjelasan di atas apa yang berlaku, ketidakhadirannya terus dan tetap menjadi persoalan menarik. Jaminan dan penjelasan dibuat oleh anaknya itu tidak menuntaskan persoalan. Nampak semasa menjawab pertanyaan wartawan anaknya tidak memahami maksud yang dikehendaki oleh media massa dan dia teraba-raba mencari kata-kata.

Yang jelasnya Hadi tidak keuzuran syrie' untuk membatalkan niatnya. Pada sebelah pagi beliau dilihat tampil menyampaikan kuliyyah mingguannya di masjid Rusila, Terengganu dengan gagah. Ertinya beliau sehat dan segar bugar.

Hendak tidak hendak Hadi perlu membuat penjelasan di atas apa yang berlaku. Beliau tidak boleh mendiamkan diri, kerana gambarnya telah ditular dan berita mengenai dia akan hadir telah tersebar luas. Mendiamkan diri bermakna tidak menghormati jemputan dan pihak penganjur. Majlis itu sebenarnya penting dan menjadi tumpuan kerana ia bukan sahaja rakyat yang mahu melihat wujud solidariti di kalangan Melayu di Malaysia, tetapi rakyat Palestin juga tentu terkilan dengan apa yang berlaku. Sebagai naib presiden Ulama seDunia tiba-tiba absen majlis untuk Palestin tentu ganjil.

Kita bersangka baik dengan ahli parlimen Marang itu.  Sebelum beliau membuat penjelasan di sini ingin saya mengulas dan menyelami makrifat kenapa beliau membatalkan hasrat untuk hadir. Apa yang terdampar dalam fikiran saya ialah mungkin beliau sudah dapat berasakan kehadirannya akan dieksploitasikan oleh Umno untuk kepentingan politik parti itu menjelang pilihan raya. Makanya untuk tidak memberi laba besar kepada Umno elok beliau tidak hadir. Sudah pasti kalau beliau hadir gambarnya bersalam, dan Najib akan memeluk mesra dengannya akan dijadikan signboard kempen "piraum" nanti.

Keputusan dibuat Hadi itu walaupun mengecewakan setengah pihak, mungkin Hadi dan Pas sudah menyedari keadaan sekarang apa yang berlaku dalam partinya. Hubungan rapat Pas dan kebersamaannya dengan Najib sebelum ini telah memberi kesan tidak baik kepada partinya. Mungkin kerana itu. Tindakan taktik begini bijak.

Sebelum ini Hadi pernah sepentas dan sedondon dengan Najib dalam himpunan solidariti Rohingya di Taman Tasik Tititwangsa. Hubungan itu, dan pengakuan Pas menjalinkan ta’awun dengan Umno mungkin tidak begitu menyenangkan ahli Pas peringkat bawahan sehinggakan berlaku kekeliruan dan perpecahan dalam Pas. Bagi ahli dan penyokong yang tidak boleh menerima Umno, marah dengan apa yang berlaku. Apa lagi dengan kewujudan Amanah menyebabkan ahli dan penyokong Pas yang benci Umno melarikan diri kepada Amanah sebagai alternatif. Kekeliruan itu ditambah lagi oleh dakyah daripada pembangkang, khasnya DAP.

Bahkan di dalam hierarki kepimpinan tertinggi Pas sendiri berbelah bagi dengan usaha kerjasama dan ura-ura tahalul syiasi dengan Umno itu. Ada pemimpin yang bersetuju dan ada yang tidak apabila proses tahalul syiasi itu telah menguntungkan individu tertentu. Polemik hal ini berlaku dalam Pas secara senyap. Paling nyata ialah, kerjasama Pas dengan Umno itu dibantah sendiri oleh Lembaga Penasihat Pas terdiri daripada veteran Pas, antaranya Mustapa Ali, Daeng Sanusi Daeng Meriok, Subky Latif dan Abdul Halim Abdul Rahman.

Badan ini katanya telah mengemukakan kajian dan pandangan mereka akan untung dan rugi kalau Pas meneruskan kerjasama alias ta’awun dengan Umno. Badan ini menyarankan agar Pas membatalkan niat untuk berkerjasama dengan Umno demi survive parti. Katanya nada badan ini sangat tegas dan konsisten.

Kajian tidak menguntungkan Pas

Barang kali tindakan dan pandangan lembaga berkenaan berpandukan kepada beberapa kajian badan bebas mengenai perkembangan terkini dalam Pas. Ada beberapa kajian dibuat setelah Pas mengagaskan kerjasama dengan Umno untuk melihat senarionya. Hasil kajian itu menunjukkan sokongan dari pengundi Melayu kepada Pas merosot, hanya tinggal di antara 14% hingga 17% sahaja berbanding sebelum ini jauh ke depan.

Sementara dalam kajian satu lagi menunjukkan sekiranya berlaku kerjasama Pas dengan Umno di Kelantan, memberi dapatan, 60% ahli Pas peringkat akar umbi akan menolak Pas dan mereka akan mengundi parti selain Pas dan Umno. Dapatan hasil kajian ini membimbangkan kemungkinan Pas Kelantan akan kehilangan kerajaan peninggalan Nik Abdul Aziz. Dapatan dan perkembangan inilah yang memungkinkan Pas membuat penilaian semula atau membatalkan hasrat untuk bekerjasama dengan Umno secara politik menerusi pilihan raya.

Walaupun ada pemimpin Pas mendakwa pertambahan keahlian parti itu memberangsangkan sehingga mencapai 4,000 orang sebulan, ia tidak menyakinkan serta merupakan fakta yang sahih. Kerana kalau ia yakin dan fakta itu benar Pas tidak perlu bimbang dan mengambil "pot' atas cadangan dan larangan lembaga penasihat parti itu.

Apakah disebabkan fakta dan perkembangan ini maka Abdul Hadi membuat muhasabah untuk tidak hadir pada majlis himpunan semalam, mengelakkan agar beliau dan Pas tidak terus dilihat intim dengan Umno? Kalaulah tindakan itu berdasarkan perkembangan dan realiti itu, ini bermakna ada keinsafan dalam minda politik Pas khasnya Abdul Hadi Awang.

Ketidakhadiran itu juga boleh jadi kerana Pas membuat ketetapan melarang Abdul Hadi serta pemimpin kanan lainnya dan cukup mengirimkan ketua pemuda dan budak-budaknya sahaja sebagai menandakan simpati kepada Palestin, bagi mengelakkan dunia tidak melihat Pas terasing dengan solidariti itu seperti mana Parti Amanah Negara mengirimkan Hasanuddin Mohd Yunus dan PKR mengirimkan Saifuddin Nasution Ismail sebagai anggota penal forum.

Sebelum titik, ketidakhadiran Abdul Hadi semalam terus menjadi polemik dan ia sesuatu yang menarik dan boleh dianggap suatu kejutan yang mungkin akan ada perkembangan baru dalam politik parti agama itu. Apakah Pas sudah merombak ikatan ta’awun setelah menyedari ia tidak menguntungkan parti itu?  Atau pun sudah ada formula baharu dikemukakan oleh Pakatan Harapan kepada Pas secara senyap-senyap, bahawa parti itu diajak bersama PH dengan memberi keistimewaan agar Pas mengepalai PH demi menjatuhkan UBN?

Apakah begitu dan peristiwa ketidakhadiran Abdul Hadi itu sebagai pembuka tirai baharu pembangkang untuk menyatu menentang UBN bagi memastikan Najib jatuh?  [wm.kl.10:08 am 23/12/17]

4 comments:

Pok Li said...

Sebelum ini pentaksub2 parti agama menempelak pihak2 yang mengatakan PAS akan menikahi UMNO apabila menghadiri perhimpunan Rohingya sebagai tidak memahami perbezaan antara perpaduan atas dasar ugama dan perpaduan atas dasar politik. Tetapi dimanakan keikhlasan parti agama dalam perpaduan atas dasar ugama apabila pimpinan tertinggi mereka tidak hadir pada perhimpunan mengenai Baitulmuqaddis ini?

Apapun, kini pimpinan parti agama sudah terbangun dari tidur apabila telah menyedari bahawa bahang pernikahan PAS/UMNO tidak dapat di terima majoriti ahli2 parti mereka di peringkat bawahan (dan ahli2 UMNO juga?). Kepada siapa lagi yang mereka akan percaya kalau bukan kajian yang mereka sendiri buat yang mengatakan parti agama akan kalah teruk di seluruh negara dan akan hilang kuasa di Serambi Mekah? Suka atau tidak, rasanya nasi sudah menjadi bubur dan parti agama akan mengambil masa yang lama untuk memulihkan imej mereka yang kini dilihat sebagai parti yang menunggang ugama dibawah pimpinan Haji Hadi sejak ketiadaan TGNA. Tidak mustahil parti agama akan lenyap terus selepas PRU14 (seperti parti Refah di Turki) sekiranya Amanah dapat menunjukkan prestasi baik sebagai alternatif.

Zamani said...

Saya kurang bersetuju jika PAS kembali kepada gabungan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu. Ini adalah kerana mereka akan menjadi punca utama kepada perpecahan parti-parti gabungan tersebut di masa akan datang. Kenapa saya kata begitu? Sebagaimana yang kita ketahui, PAS akan memperjuangkan dasar-dasar dan peraturan-peraturan islam secara sepenuhnya di Malaysia jika ia mempunyai kuasa untuk memerintah di peringkat pusat. Dasar dan peraturan islam ini adalah tidak sesuai dilaksanakan di sebuah negara di mana komposisi penduduknya terdiri dari berbilang adat dan kepercayaan ugama. Penganut-penganut dari lain-lain ugama pasti tidak akan senang dan bersetuju dengan pelaksanaan dasar dan peraturan ini terhadap mereka dan hasilnya kestabilan sosial dan politik negara akan terjejas dan kacau-bilau. (Kestabilan sosial dan politik adalah penting kepada pembangunan dan kemajuan sesebuah negara). Wakil-wakil mereka dari berbagai NGO dan parti-parti politik seperti DAP,MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain parti bukan islam dari Sabah dan Sarawak pasti akan membantah terhadap pelaksanaan dasar dan peraturan islam yang cuba dibawa oleh PAS. Dasar-dasar dan peraturan-peraturan islam adalah baik kepada orang-orang islam tetapi tidak baik kepada lain-lain kepercayaan agama sebab mereka bukan beragama islam. Samada suka atau tidak di kalangan orang islam di Malaysia, kita terpaksa menerimapakai undang-undang universal di Malaysia kerana ia diterima oleh semua lapisan bangsa dan ugama di seluruh dunia.

Lelaki Dicermin said...

walaun2...apa sudah jadi parti pak lebai.. bak kata salah satu komen di atas... nasi sudah jadi bubur.. parti pak lebai.. kekanan tak boleh.. ke ke kiri tak boleh.. depan belakang pun tak boleh.. yang boleh.. terjun lombong je... kalau betul nak kembali ke PH.. tinggalkan tuang presiden tu... baru nampak kesegaran parti pak lebai...silap2.. kalau nak kembali ke PH.. terpangpang.. aliran rm 90 juta tu..tak payah nak tunggu mahkamah di uk bongkarkan...

awang kualaberang said...


Setelah memberikan kontrak jual beli bernilai pulohan billion dollar (USD) kapada syarikat syarikat milik yahudi di Amerika, MO1 cuba main sandiwara berdemonstrasi untuk menyatakan penentangan terhadap regim yahudi (israel dan amerika) bagi meraih sokongan politik umat islam dalam PRU14 nanti.

Sayang sekali side-kick MO1 dari parti lebai tidak berani hadhir menjadikan sandiwara itu terbantut dan tempang sekali.

Sandiwara tersebut tidak menjadi kerana majoriti rakyat yang bermaklumat telah faham benar bahawa perhimpunan tersebut adalah mainan politik untuk persiapan PRU14.
Hanya budak budak yang masih hingusan dalam politik percaya dan terpedaya dengan sandiwara tersebut.

Sebagai ketua kerajaan yang ada kuasa, kalau benar benar ingin membela umat islam palestin, MO1 perlu batalkan segala kontrak jual beli dengan syarikat syarikat yahudi.Bergabung tenaga dengan negara negara yang benar benar serius memperjuangkan hak umat islam palestin seperti Iran, Turki dll adalah lebih efektif...tak payah lah berdemonstrasi dan ber rethorik kosong macam pak kadok menang sorak kampung tergadai.