Tuesday, July 17, 2018

Kabinet Dr Mahathir sudah penuh, tetapi ada cakap-cakap di Kelantan?


ULASAN

DENGAN lima anggota Senator mengangkat sumpah seorang sebagai menteri dan empat sebagai timbalan menteri lengkap sudah, kabinet kerajaan Pakatan Harapan. Lima senator yang dilantik menjadi anggota kabinet itu ialah, Pengerusi Hindraf P Waythamoothy sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Senator Liew Ching Tong sebagai Timbalan Menteri Pertahan, Senator,Marzuky Yahaya Timbalan Menteri Luar, Senator Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad, sebagai Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan senator Dr Razdi Jidin sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Mereka adalah kumpulan ketiga dan terakhir melengkapikan kabinet Dr Mahathir yang mempunyai 26 kementerian.

Tumpuan dan fokus kepada soal pengisian kabinet kini berubah kepada melihat keupayaan setiap menteri serta pencapaiannya. Selepas ini menteri dan timbalan menteri tidak perlu berlengah lagi untuk menunjukkan kemampuan masing-masing. Tugas dan bertanggungjawab yang terletak di pundak masing-masing sangat banyak.

Perlu diingat jawatan itu bukan “ghanimah” atau imbuhan tetapi amanah yang perlu dipikul sebaik mungkin.

Dalam pada itu kedengaran cakap-cakap khasnya di Kelantan apabila nama-nama yang sebelum ini kedepan disebut untuk dilantik menjadi senator seterus mengisi baki kabinet Dr Mahathir tercicir. Apa lagi apabila individu yang bernasib baik Dr Radzi Jidin.

Sebelum ini beberapa nama pemimpin utama PH Kelantan disebut sebut. Mereka ialah Pengerusi PPBM, Kamaruddin Md Noor, Pengerusi PKR Abd Aziz Kadir dan juga Husam Musa. Malahan nama Husam dikira ke hadapan memandangkan beliau adalah pengerusi PH Kelantan.

Ada juga spekulasi kemungkinan Husam sukar untuk dilantik memandangkan beliau dianggap bermasalahan dengan pihak tertentu. Bagaimana pun sekiranya Husam bermasalah atau memilih tidak untuk dilantik untuk tidak menyusahkan Dr Mahathir, dari segi senioriti dan keutamaan ialah kepada Kamaruddin dan Abd Aziz. Atau paling tidak pun kepada timbalan pengerusi PPBM Kelantan, Sazmi bukan Meah.

Apabila Dr Radzi dipilih dan bernasib baik ia menimbulkan sedikit persoalan. Namun jika difahami pemilihan Dr Radzi kerana sebagai jalan tengah bagi menyelesaikan pertikaian berlaku, ia adalah baik. Apapun Dr Mahathir mempunyai pandangan sendiri kepada bakal-bakal anggota kabinetnya.

Dan kita yakin dan percaya Dr Mahathir tidak akan melupai jasa dan peranan pemimpin lain di Kelantan baik Aziz atau Kamaruddin. Apa lagi Husam yang dianggap arkitek politik PH di Kelantan pasti semuanya akan diberi tempat dan ruang yang munasabah. Walaupun PH tidak memenangi sebarang kerusi tetapi mereka sudah berjaya membakar  huma  dan merintiskan tapak semaian PH di bumi Tok Kenali itu.

Apa pun semua pendokong PH Kelantan perlu memberi sokongan penuh kepada Dr Radzi Jidin. Beliau bolehlah dianggap menjadi penghubungi di antara Puterajaya dengan Kota Darulnaim. Bekas pensyarah dari universiti Tasmania itu boleh bertindak menjadi jurubicara rakyat Kelantan.

Cuma apa hendak disebut di sini, Dr Radzi hendaknya tidak memberi fokus pembangunan kepada masyarakat di kawasannya sahaja di Ketereh, sebaliknya beliau perlu menjadikan seluruh kawasan di Kelantan sebagai kawasan tumpuannya. [wm.kl.8:59 pm 17/07/18]

No comments: