Monday, September 24, 2018

Umno dan Pas saling angkat bendera putih kepada Anwar?

ULASAN MALAM

DUA parti pembangkang terbesar negara yang sebelum ini mendendangkan mereka akan menjadi penghalang kepada kerajaan Harapan, nampaknya awal-awal lagi telah mengaku kalah dan menunjukan mereka tidak mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan kerajaan PH.

Dua pembangkang itu yang menggelarkan mereka 1 Pembangkang Malaysia, ialah Umno dan Pas. Kedua parti itu masing-masing menyatakan tidak akan ikut sama bertanding di Pirake P123 Port Dickson yang dijadualkan pada 13 Oktober hadapan.

Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamid, mengumumkan yang BN tidak akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu. Zahid tidak memberi alasan panjang lebar melainkan berkata BN boikot pilihan raya berkenaan. Untuk apa dan kenapa?

Sehubungan itu Pas juga mengambil sikap sama untuk tidak meletakkan calon. Salah seorang Naib Presiden Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, Pas tidak perlu menyertai pilihan raya itu kerana ia diadakan secara sengaja. Kenyataan Mohd Amar itu menggambarkan Pas juga sudah mengibarkan serban putih diangin.

Kerusi Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah bagi membolehkan Anwar Ibrahim bertanding dan memasuki ke parlimen pada 15 Oktober hadapan seterusnya mengangkat sumpah sebagai PM mengganti Dr Mahathir sesegera boleh.

Agak ganjil sedikit tindakan kedua parti pembangkang itu dalam berhadapan dengan pilihan raya kecil itu. Sikap mereka berbeza sebelum ini terutamanya Pas yang pantang melihat ada pilihan raya kecil akan disertainya walaupun harapan untuk menang jauh panggang dari api. Bagi Pas pilihan raya kecil sama seperti itik melihat air. Bagi Pas menyertai pilihan raya adalah fardu kifayah dan adakalanya difatwakan sebagai wajib.

Jika Umno mengambil tindakan boikot tidak pelik kerana awal-awal lagi ia telah dibayangkan oleh Zahid dan umum menduga Umno akan bermain silat mata dalam pilihan raya itu apabila ia disertai oleh Anwar. Tetapi ia pelik dan menghairankan kalau Pas juga berbuat hal yang sama. Pemerhati faham kenapa BN (Umno) tidak mahu meletakkan calonnya, tetapi agak pelik sedikit kalau Pas juga mengambil tindakan sama. Tindakan Pas memberi laluan mudah kepada Anwar itu dilihat sebagai membuang tabiat.

Orang faham hubungan dan sejarah Zahid dengan Anwar. Walaupun mereka berada dalam parti berbeza, tetapi darah dan semangat yang mengalir dalam tubuh mereka sama. Getaran dan denyut nadi juga sama. Jambatan penghubung keduanya utuh dan teguh sepanjang musim. Tetapi tidak dengan Pas.

Berdasarkan chemistry politik, Zahid perlu mendukung Anwar bagi mempercepatkan proses presiden PKR itu menjadi perdana menteri Malaysia ke-8. Zahid kena menunjukkan jasa dan budinya yang akan dituaikan selepas ini. Seperti juga para desperado lain Zahid mengharapkan tali hayat.

Namun pelik dan buang tabiat bagi Pas. Apakah Pas mendapat wahyu baharu apabila berjabat tangan dengan Zahid sampai sedia memberi laluan begitu sahaja kepada Anwar? Agak memelikkan sedikit, apa lagi kalau keputusan itu dibuat demi memberi semangat kepada Anwar menjadi PM. Tidakkah antara sebab Pas (Hadi) memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP sebelum ini kerana mereka (Hadi) tidak dapat menerima Anwar.

Bukankah yang mengherdik Anwar di Rusila dahulu Hadi Awang?

Apakah ada perubahan ijtihad politik kepada Hadi? Ada perkembangan dan perjanjian Hudaibiyah versi terkini? Atau beliau telah terpasung dengan ilmu Jawa yang dihembuskan oleh Zahid semasa muktamar Pas lalu. Jika keadaan terbalik itu berlaku ia menjelaskan bahawa politik Hadi tidak lagi istiqamah dengan apa yang dipegangnya selama ini.

Apapun perkembangan dan perubahan yang berlaku, dari segi moral dan maruah politik Umno dan Pas dilihat rosak apabila mereka tidak menyertai pilihan raya berkenaan. Gunalah alasan apa, termasuk politik Matang dan Sejahtera, pemualauan pilihan raya itu oleh Pas dan Umno akan dihukum oleh umum sebagai ianya menunjukkan pembangkang makin lemah dan tidak berkeupayaan.

Tindakan itu tidak akan memberi laba jangka panjang  sebaliknya boleh mengurangkan keyakinan umum kepada kedua parti itu. Adalah lebih baik keduanya mengaku secara berterus terang tindakan mereka itu demi survival politik dan kepercayaan kepada Anwar untuk jadi PM.

Tidak dapat tidak natijah daripada tindakan itu akan menimbulkan masalah kepada parti masing-masing. Keputusan itu dilihat secara peribadi bukan konsensus. Zahid menggunakan kedudukannya untuk membuat keputusan itu. Jika keadaan ini benar sudah pasti langkah Zahid itu menimbulkan masalah kepada Umno. Tidak mustahil kalau selepas ini ramai ahli yang mengambil tindakan keluar daripada parti beramai-ramai kerana hilang keyakinan kepada wibawa Zahid.

Ahli yang tidak oportunis tidak rela untuk mengikut jejak songsang Zahid.

Hal sama juga akan turut berlaku kepada Pas. Ahli yang diasuh menyertai pilihan raya itu sebagai jihad perang akan mempersoalkan tindakan itu. Kesannya mereka juga akan berhijrah daripada parti yang tidak ada prinsip kepada parti yang lebih jelas tujuan dan matlamatnya.  [wm.kl.8:35 pm 24/09/18]

No comments: