Monday, September 3, 2018

Husam kembali ke Parlimen merindui gemanya 14 tahun lalu

ULASAN

Husam Musa mengangkat sumpah sebagai
Ahli Dewan Negara.
AGAK lama juga Husam Musa melalui perjalanan politiknya dalam keadaan berkelana dan kesunyian. Ada kalanya ia menyedihkan. Ia bermula apabila beliau dipecat daripada parti agama (Pas) secara tidak adil pada 23 April 2016. 

Pemecatan itu memberi pantulan, anggapan buruk terhadap beliau sebagai bersalah oleh parti itu. Orang Pas yang taksub dan bersujud sawi dengan pucuk pimpinan mereka, menerima pemecatan itu dengan meletakkan kesalahan seratus peratus kepadanya.

Husam dilihat sebagai seorang pendosa. Pun begitu beliau sedia menerima apa jua yang dijatuhkan kepadanya tetapi apa yang mengilankan tindakan itu tidak syarie.


Lebih menyedihkan lagi, ekoran pemecatan itu beliau yang tidak lagi bersama Pas dianggap sebagai telah melanggar ikrar (bai'ah bida'ah) politik Pas yang dibuatnya semasa dalam Pas.

Tanpa berada dalam Pas beliau dituduh sebagai melanggarnya dan melakukan pengkhianatan. Natijah buruk beliau dihukum dengan topeng agama. Walaupun sebelum itu beliau diangkat sebagai protagonist dalam Pas, tetapi sesudah tidak bersama Pas beliau dijadikan antagonist. Sifat dan warnanya ditukar sekelip mata.

Kecaman ke atas apa yang berlaku bukan sahaja atas peribadinya seorang politician, tetapi ia turut sama terkait dengan rumah tangganya. Semua orang yang ada kaitan dengan dirinya turut sama dianggap bersalah dan dicalit dosa kering. Elaun yang diterima sebagai wakil rakyat juga dipersoalkan dan dianggap tidak layak untuk diambilnya dan didesak dikembalikan kepada parti. Bahkan kerusinya Adun Salor yang didudukinya juga digesa dikosongkan.

Dan paling menydihkan lagi ialah apabila ada yang cuba untuk menghukum hubungan beliau dengan isterinya sebagai terbatal. Inilah satu fatwa paling karut yang berlaku dalam Pas sesudah Nik Abdul Aziz Nik Mat tiada dan diterima oleh ahli bawahan seperti baung menelan tahi di muka kuala. Ketiadaan Nik Aziz seolah-olah kandil Pas padam menjadikan ahli kesesatan.

Sebahagian rakan terdekat dan penyokong Husam
datang ke Parlimen.
Kemarahan dan kebencian kepada Husam berterusan apabila beliau menyertai parti Amanah 31 Ogos 2016. Ini satu tindakan yang pelik dan tidak siuman. Walhal kalau penunding jari itu siuman dan insaf mereka harus sedar Husam adalah tokoh akhir Pas yang dibuang menyertai Amanah. Kesenggangan beliau bermakna beliau masih menaruh harap kepada Pas.

Sepatutnya sesudah Husam bersama wadah baharu mereka yang kecewa dengannya tidak perlu marah lagi. Ucaplah ucap selamat kepadanya dengan baik dan bebaskan beliau tanpa ungkit apa-apa cerita yang tidak masuk akal. Sebaiknya apabila Pas terus dengan keputusannya untuk membuang Husam, parti itu kena merelakan beliau bersama Amanah. Hormatilah kerjaya politiknya.

Sepanjang menghadapi lekuk-lekuk politik ia sangat menyeksakan Husam.

Kekalahannya di dua kerusi Dun Salor dan Parlimen Kota Bharu dan PH di Kelantan dalam Piraum lalu sekali lagi membuka peluang kepada pihak tertentu untuk menghina dan memperkecilkan bekas Naib Presiden Pas itu. Masa depan Husam dalam politik dan kerajaan dilihat sudah tertutup gelap. Husam diejek secukup-cukupnya. Apa lagi setelah Dr Mahathir menyusun kabinetnya nama Husam tercicir tanpa apa-apa jawatan setanding dengan dirinya, menjadikan dunia Husam dianggap menjadi gelap gulita.

Bagi Husam sendiri beliau tenang menerima apa sahaja yang berlaku. Suka duka dimamahnya bersendirian tanpa memberi tahu sesiapa. Beliau tidak mudah kehilangan Tuhan. Tidak ada sepatah kata yang menunjukkan beliau terkilan dengan apa yang berlaku dan kecewa dengan kekalahan.

Peristiwa pembentukan kerajaan tanpa ada namanya dilihat dari kejauhan yang penuh dengan doa memohon keberkatan dan kejayaan rakan-rakan. Kemenangan PH menjatuhkan BN baginya sudah melebihi segala apa yang bakal diterimanya bahkan mendekatkan lagi beliau dengan Tuhan.

Turut sama memberi sokongan keluarga
terdekat Husam.
Persidangan pertama parlimen ke 14, tidak dapat tidak merindukan beliau kepada parlimen. Beliau rindu kepada talun suaranya sendiri yang bergrema hebat di Dewan Mulia itu selama lima tahun 1999 - 2004. Namun rindu itu terbuang begitu sahaja. Kakinya teramat ingin melihat suasana parlimen baharu, perbahasan baharu, tetapi apakah daya kekalahan yang dihadapinya menghalang keinginan dan hasrat itu.

Mengilankan lagi apabila ruang ditunggukan untuk beliau memasuki parlimen dengan dilantik menjadi Senator juga tertangguh. Sekurang-kurang tiga bulan setengah Husam menahan diri dengan penuh kesabaran menanti hari yang dijanjikan dan takdir yang indah menerpa padanya.

Benarlah kata bidalan, tidak lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia. Hari ini tepat jam 10:05 minit pagi Husam telah mengangkat sumpah sebagai anggota dewan Senat di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara S.A. Vigneswaran. Dengan berlangsungnya majlis itu yang diterima berbagai perasaan, gembira, sedih dan terharu, maka berakhirlah kerinduan Husam kepada parlimen.

Yang gembira, yang bahagia, yang sebak dan yang terharu hari ini bukan Husam seorang tetapi rakan-rakan dan penyokongnya yang tidak pernah habis mendoakan kejayaanya. Mereka sejak pagi-pagi lagi membanjiri bangunan Parlimen untuk menyaksikan detik bersejarah yang mereka anggap sebagai anugerah itu.

Tidak terkecuali juga turut sama hadir meraikan detik bersejarah itu isteri, anak-anak serta keluarganya. Belum pernah saya melihat begitu ramai anggota keluarga datang untuk meraikan majlis angkat sumpah seorang Senator.

Apa yang boleh saya bayangkan situasi itu berlaku kerana keluarga beliau, isteri serta anak-anak dan adiknya seolah-olah datang untuk menyatakan kesyukuran kepada Allah setelah kesekian lama mereka dihina, serta dipersendakan oleh kalangan yang mencemuh Husam merasakan hari ini, dengan pelantikan Husam sebagai Senator itu sebagai satu penawar memulihkan kedukaan ditelannya selama ini. Pelantikan itu memadamkan kedukaan mereka berbulan-bulan bah bertahun.

Setelah lebih 14 tahun Husam meninggalkan parlimen, kali ini dia kembali lagi untuk meneruskan perjuangannya demi bangsa dan negara. Apa yang berbeza kalau dahulu beliau berdiri membawa suara rakyat di Parlimen sebagai pembangkang kini beliau akan berdiri seperti dahulu juga membawa aspirasi rakyat di Dewan Negara tetapi sebagai wakil kerajaan. Apakah akan ada keistimewaan lain, anugerah bertambah buat anak Tuan Guru Haji Musa selepas ini yang lebih bererti buat rakyat khasnya orang Kelantan?

Kita tunggu dan kena yakin Allah akan bersama orang-orang yang sabar, beriman dan taqwa.  Tahniah Husam. Dalam makrifat saya pelantikan itu adalah sebahagian daripada keberkatan anda yang baharu pulang dari mengerjakan Haji dua minggu lepas.

Tentu selama di tanah Haram itu banyak doa yang ditaburkan dan akan tumbuh di bumi bertuah Malaysia ini. Ia mewangikan bukan sahaja anda tetapi sekalian kita. [wm.kl.9:45 pm 03/09/18]










No comments: