Thursday, February 20, 2020

Tiada apa berlaku dalam mesyuarat Majlis Presiden PH esok?

ULASAN TERKINI

Kedua-duanya sudah setuju dengan rangka
peralihan kuasa.
 
BOLEH tutup buku. Begitulah yang boleh dikatakan buat mereka yang ghairah menanti untuk melihat timbul kekecohan dan ketegangan dalam mesyuarat majlis presiden PH esok.

Mereka akan kecewa dan kantoi. Hasrat untuk melihat beraku kegemparan tidak akan terjadi?

Ini semua terlukis dan terjawab apabila Anwar Ibrahim salah seorang watak utama dalam isu peralihan kuasa itu dilaporkan sebagai "menasihat" agar jangan ada tekanan baik kepadanya dan juga kepada Dr Mahathir Mohamad dalam isu peralihan kuasa.

Peralihan kuasa itu katanya akan (biarkan) berlaku dalam keadaan tenang dan tenteram dan usah ditekan mana-mana pihak. Untuk mengurangkan kontroversi mengenai itu, katanya apa perlu dilakukan pada masa kini tumpu kepada masalah ekonomi negara.

Kenyataan Anwar itu adalah terbaik ketika ini dalam gegak dan gelora tuntutan agar berlaku peralihan kuasa kepadanya daripada Dr Mahathir dalam kadar segera. Kalau tuan badan sendiri sudah reda dengan apa yang berlaku, mengapa orang lain perlu sibuk dan memandai-mandai.

Bagi saya sikap dan pendirian Anwar itu tepat. Beliau tidak perlu tergopoh-gapah untuk menjadi perdana menteri yang dijanjikan itu. Beliau harus meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Dr Mahathir. Lagipun tempoh dijanji masih belum lewat. Dan penting pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran.

Meragui.
Ramai orang meragui akan kesediaan Mahathir menunaikan apa yang disebut atau dikonsensuskan kerana berdasarkan kepada sejarah dan warna politiknya. Tetapi hakikat yang kena disedari dalam situasi hari ini Mahathir tidak boleh ditekan dan dicurigai tanpa sedikit memberi ruang kepadanya. Tidak perlu terasa dengan sinikalnya kerana itu caranya.

Untuk mengambil sikap "tasamuh" begitu, mungkin Anwar sudah melihat dan memperhitung dari segenap sudut. Perkara paling penting adalah pergolakan dan keretakan di dalam partinya sendiri. Selain itu, adalah usaha pembangkang yang beriya-iya untuk berkoloborasi dengan Mahathir bagi menghalangnya daripada menjadi perdana menteri. Tindakan pembangkang itu jika mengikut rukun politiknya songsang, tetapi itu yang berlaku.

Serangan dan halangan buat Anwar paling teruk daripada apa yang berlaku diera Umno dahulu (1998) apabila pembangkang sendiri menunjukkan sokongan kepada Mahathir dan memainkan peranan agar Anwar gagal daripada menjadi PM.

Dan dalam hal ini semua pihak perlu memberi kepecayaan akan kesediaan dan keredhaan Anwar itu sendiri.

Anwar memahami desakan dan tuntutan pihak tertentu agar beliau segera diberikan jawatan itu. Beliau juga tentu baca implikasi dan risiko dihadapi kerajaan PH kalau tidak berlaku peralihan kuasa. Yang mendesak mereka ada alasan dan ada sesuatu yang mahu dicuri dari pelantikannya itu.

Tetapi cara itu mungkin beliau lihat tidak kondusif. Sebagai seorang yang telah menempuh beribu ranjau dan terperangkap dalam konspirasi politik yang mengazabkannya, Anwar sudah jadi lebih bijak dan berhati-hati. Apa lagi para konspirator yang memangsanya sebelum ini masih berdempet dengan Mahathir.

Beliau kini umpama seorang pelawan (atlet) di tengah padang yang disorak diharapkan menang oleh para penonton diluar, termasuk oleh penjudi. Dan beliau juga mahu kemenangan itu. Tetapi kalau untuk menjadi juara dalam sorakan dan hiruk pikuk sehingga beliau terlupa kemampuan dan kesempatan sebenar beliau, ia adalah sesuatu yang tidak bijaksana kerana membebankan diri. Anwar tidak perlu membinasakan diri sendiri.

Apa yang menarik dalam kenyataan "damai" Anwar yang dipetik itu, beliau memberi tahu soal peralihan kuasa, beliau sudah berbincang dengan Mahathir di mana perdana menteri katanya, ia akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asean,  November ini, Ertinya pada Disember atau akhir tahun ini Anwar akan mengangkat sumpah menjadi perdana menteri.

Bagi kita biar menunggu lama asalkan jadi. Itu yang mustahak. Bukannya tergesa-gesa tetapi terlepas.

Pun begitu saya nak sebut di sini, atas sifat politik itu berbagai ragam, berviriasi penuh dengan tipu muslihat, Anwar dan sesiapa juga tidak boleh berpegang kepada perjanjian lisan itu secara mutlak. Mungkin juga bagi Dr Mahathir juga. Terbaik baik Anwar ialah sementara menanti peralihan kuasa dan detik keramat itu tiba beliau beliau selesaikan dahulu beberapa perkara penting di sekitar dirinya. Salah satu ialah mendamaikan dahulu keretakan dalam partinya sendiri.

Manggok.
Prasyarat untuk Anwar jadi PM ialah
bawa Azmin balik dalam pasukan.
Sedar atau tidak Mahathir jadi "manggok" dengan kedudukannya kini dan berani cakap bertele-tele untuk melakukan peralihan kuasa memandang keadaan tidak kondusif dalam Keadilan. Sebelum ini pun beliau sudah menyindir mana untuk Anwar jadi PM kalau dalam parti sendiri berkecamukan.

Pertelingkahan dengan Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya perlu didamaikan dahulu. Kemampuan Anwar mendamaikan Azmin, mengajak Azmin bersama semula adalah antara pra syarat untuk meletakkan beliau mampu menjadi PM selepas Dr Mahathir. Keadaan Anwar dan Azmin waktu ini persis suami isteri yang bergaduh sehingga menjatuhkan talak, namun ia masih boleh dirujukkan semula.

Makanya sebelum rujuk mereka harus melupai apa-apa yang berlaku dan fokus kepada pembinaan rumah tangga yang aman dan bahagia. Mereka perlu meletakkan kepentingan anak-anak dan keluarga daripada mengikut nafsu diri masing-masing. Apa lagi kalau terikut dengan hasutan dan halakan orang di luar sana, sesuatu yang merugikan.

Kesimpulannya, mesyuarat majlis presiden PH esok tidak memberi apa-apa signifikan lagi, ini juga termasuk penetapan tarikh peralihan kuasa yang dituntut itu. Dan kalau pun berlaku esok, Pengerusi Majlis Presiden (Dr Mahathir) dalam sidang akhbarnya akan menjelaskan sekali lagi bahawa beliau akan melepaskan jawatan selepas Apec. Selesai dan muktamad.

Terimalah apa diputuskan esok dan jangan peduli kepada persendaan pembangkang. Pembangkang tentu akan mengejek dan "menganjing" biarkan mereka, kerana itu adalah kerja dan tugas tetap mereka selagi menjadi pembangkang yang bahalul.

Dan mungkin dalam sidang akhbar itu ditambah dengan satu tindakan mengejut, Dr Mahathir akan membayangkan rombakan kabinet dalam kadar segera. Dalam rombakan itu nanti beliau akan memaksa Anwar untuk bersama kabinet. Panggilan Mahathir agar Anwar berada dalam kabinet itu juga boleh dijadikan tanda dan bukti keikhlasan dan keyakinan umum yang Dr Mahathir benar-benar akan menyerahkan kuasa kepada Anwar secara teratur, tenang dan membahagia khalayak.

Keberadaan Anwar dalam kabinet nanti dapat menyelesai 70% isu dan pergolakan dalam PH dan paling penting mendamaikan rakyat dibawah yang kesekian lama mendambakan Anwar sebagai perdana menteri. Pemanggilan Anwar ke dalam kabinet itu juga akan menjadi petunjuk bahawa peralihan kuasa boleh berlaku pada bila-bila masa.  [wm.kl.7:58 pm 20/02/2020]

Glossori:
Mangok = agah, sombong, action. 

No comments: