Monday, February 10, 2020

Ezam kembali untuk realisasikan reformasi

SELEPAS SUBUH

Pertemuan dengan Ezam selepas 13 tahun. 
SETELAH 13 tahun beruzlah daripada wadah rasmi perjuangan Reformasi, Mohamad Ezam Mohd Noor kini kembali semula ke gelanggang Reformasi. Pengembalian Ezam itu bagaikan sireh pulang ke gagang, bangau kembali ke belakang kerbau.

Tidak ada sesiapa menjemputnya tetapi pengembalian atas kehendaknya sendiri demi meneruskan perjuangan melakukan islah dan pembaharuan. Ini membuktikan Ezam setia dengan reformasi.

13 tahun adalah tahun-tahun orang merindui dan membenci Ezam sebagai seorang reformis tulen yang berani, "babil" dan tidak pernah tunduk kepada sebarang tekanan. Keberanian Ezam terbukti apabila beliau beberapa kali ditangkap dan disumbat ke dalam penjara.

Tidak salah kalau dikatakan gelombang Reformasi itu antara penggerak utamanya adalah Ezam.


Ezam sedang memperkatakan sesuatu
pada hari pembebasan Anwar 2 September 2004. Foto
dari buku "Anwar Come Back".
 
Namun kerana sebab musabab, ada yang personal, ada soal prinsip dan masalah berkecil hati, beliau berundur dari wadah Reformasi serta meninggalkan parti yang beliau sendiri antara pengasasnya Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang kemudian menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tindakan beliau meninggalkan Keadilan pada tahun 2007, menjadi tanda tanya dan mengelirukan para reformis terutamanya para pengikutnya dari Angkatan Muda Keadilan yang dipimpinnya, sebab tindakan itu bukan sahaja meninggalkan medium siasah, tetapi meninggalkan idola dan bosnya sendiri Anwar Ibrahim. Ezam adalah Setiausaha Politik semasa Anwar menjawat jawatan Menteri Kewangan sebelum dipecat Dr Mahathir.

Selepas beliau berundur dan keluar daripada PKR, kita mungkin tidak terfikir beliau akan kembali semula melaung dan menuntut perubahan secara vokal. Kenapa tidak, dalam tempoh "perenggangan" itu berlaku berbagai peristiwa yang pahit dan manis kepadanya.

Misalnya selepas beliau keluar daripada Keadilan, beliau telah menyertai Umno, 28 Mei 2008, parti yang ditentang oleh para reformis. Kejadian itu manis buatnya, bagaimana pun ia mengilankan dan pahit buat para reformis termasuk juga Anwar Ibrahim.

Bergerak dengan Gerak.
Sebelumnya beliau bergerak secara solo dengan menubuhkan NGO bernama Gerak Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak). Penubuhan Gerak pada tahun 2004 ini sebaik beliau keluar daripada penjara kerana di tahan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana memiliki dokumen rasuah membabitkan Rafidah Aziz.

Keperitan dan ketidakadilan ditahan dibawah akta zalim ini membuka hati dan memancu semangatnya untuk menubuh Gerak. Ezam mempunyai komitmen tinggi untuk menghapuskan OSA bersekaligus dengan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah dalam kerajaan UBN dimana kebejatan itu menjadi intipati perjuangan reformasi. Malangnya pergerakan Gerak ini seperti terpisah dengan Keadilan.

Apabila Ezam aktif dengan Gerak para reformis masih bersamanya.Tetapi dari sudut lain penubuhan Ngo ini sudah menjelaskan ada sesuatu yang tidak kena yang berlaku. Mungkin kerana partinya tidak memberi sokongan dan membela nasibnya sepanjang ditahan menyebabkan beliau membuka langkah itu.

Pembebasan Anwar pada 2 September 2004 itu seakan menyisihkan beliau daripada koridor kuasa penasihat Keadilan itu. Kerana ada individu lain yang lebih menghimpit dan menunjukkan intim dengan Anwar menyebabkan Ezam seakan tersisih dan disisih.

Sebenarnya penyisihan ini dapat disaksikan pada hari Anwar dibebaskan. Ribuan orang menyambut pembebasan Anwar di Istana Keadilan di Putrajaya. Ezam masih bersama di Istana Keadilan. Tetapi sesampai di rumah Anwar, saat ini Ezam seakan sudah terpinggir dan memencil diri. Ezam bukan seorang suka bermuka-muka.

Anwar telah dikuasai oleh mereka yang mahu menunjukkan dialah wira membela Anwar selama Bapak Reformasi itu berada di penjara. Salah seorang adalah rakan baik dan orang harapan Anwar sendiri, Mohamed Azmin Ali.

Saya masih ingat Azminlah yang mengalungkan bunga malai di leher Anwar semasa Anwar hendak mengadakan sidang akhbar pertamanya setiba di rumahnya di Bukit Damansara selepas dibebas.

Penyisihan itu akhirnya memberi kesan mengilankan semua orang. Ia berakhir dengan Ezam minggat daripada Keadilan tahun 2007 selepas tiga tahun Anwar bebas. Ezam telah tidak boleh diselamatkan lagi. Secara peribadi saya terlibat dalam cuba mengubati Ezam agar tidak melakukan tindakan demikian. Saya bersama Abu Bakar Ninggal ke pejabat Gerak di Shah Alam bagi berkonsultasi dengannya setelah beliau kelihatan menjauhi diri dengan Keadilan.

Ramai tertanya-tanya.

Ramai orang tertanya-tanya kenapa dan mengapa berlaku demikian. Kenapa Ezam sanggup dan rela berbuat demikian. Disebalik kesal dengan tindakannya itu ia menimbulkan kemarahan apabila setahun kemudian (25 Ogos 2008) beliau menyerahkan borang keahlian Umno kepada Abdullah Ahmad Badawi. Penyertaan ke dalam parti yang ditentang itu menyebabkan rasa bingung orang ramai atas tindakannya yang sukar dijawab.

Sesungguhnya tindakan Ezam itu dimarahi oleh para reformis apabila beliau mendapat kedudukan di dalam Umno dilantik menjadi Senator kemudian Ketua Pengarah Media Massa di Jabatan Perdana Menteri. Pelantikannya ini menyebabkan marah refomis kian menjadi. Ezam dituduh sudah khianati dan melupai segala sumpah yang dilafazkan dalam Sumpah Pemuda untuk mempertahankan reformasi dan Anwar yang dipeloporinya.

Untuk kesekian waktu tindakan Ezam itu menimbulkan tanggapan buruk kepadanya. Hinggalah hari ini beliau telah pulang ke perjuangan asal, baharu terbongkar apakah rahsia menyebabkan beliau mengambil tindakan keluar daripada Keadilan dan menyertai Umno. Menariknya terjawab juga kenapa beliau turun ke gelanggang semula untuk memperjuangkan reformasi sekaligus membela Anwar dan memastikan bosnya itu jadi perdana menteri.

Apabila Ezam mencerita hakikat dalam dirinya, kita boleh meralat balik kemarahan kepadanya sejak 13 tahun lepas. Seharusnya kita simpati di atas nasib yang diterimanya. Ezam seorang yang dianggap sebagai orang yang tidak bernasib baik dalam politik kerana masih belum mendapat apa-apa imbuhan berupa jawatan menteri ataupun wakil rakyat seperti orang lain.

Saya peribadi saya percaya kepada tuturnya, beliau berjuang bukan jawatan diutamakan atau ingin menjadi wakil rakyat. Dalam empat kali pilihan raya semasa beliau dalam Keadilan, beliau hanya bertanding sekali sahaja. Dan pada pilihan raya 2008, beliau pernah diajak bertanding di Kelantan di kerusi parlimen Kuala Krai, tetapi beliau menolaknya. Allahyarham Tokguru Nik Aziz dan Husam Musa sudah pun menyetujuinya.

Sebab musabab kenapa beliau meninggalkan Keadilan terjawab apabila Ezam mendedahkan kisah sebenarnya dalam beberapa siri ceramah atau forum santai politik yang diadakan di beberapa tempat sejak dua minggu lepas.

Seperti mana jelas Ezam tindakan diambil sebelum ini kerana kecewa dengan penghayatan dan pelaksanaan reformasi ketika itu. Apa yang paling mengecewakannya setelah Keadilan berjaya  menjadi kerajaan. Kegagalan melaksanakan reform seperti dihajati mengecewakannya dan ini menyebabkan beliau memutuskan keluar Keadilan.

Selain itu tindakan itu juga kerana kecewa dan tidak betah dengan sikap mengada-ngada dan nafsu besar dipamerkan Azmin Ali terutamanya selepas ahli Parlimen Gombak itu dilantik menjadi Menteri Besar Selangor dan lebih meluat selepas dilantik jadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Sebagai rakan baik dan pernah berkerja dalam satu bumbung dengan Azmin, Ezam lebih mengenali fiil perangai Azmin berbanding dengan orang di luar. Ezam mengenali Azmin luar dan dalam.

Sikap yang mengecewakan Ezam terhadap Azmin ialah apabila Azmin dilihat mengkhianati Anwar dan sedia bersekongkol dengan golongan elit bangsawan. Pengsekongkolan Azmin dengan Hishammuddin Hussein dan Mokhzani Mahathir sesuatu yang tidak dapat dimaaf Ezam. Ezam mendedahkan Azmin ada pakatan dan agenda bersama kedua anak bangsawan itu.

Ezam mendakwa Azmin sudah baik dan bersekongkol dengan mereka berdua itu sejak lama dahulu, sewaktu Azmin berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Anwar. Dan beliau telah pun menasihat Azmin agar menjauhi kedua bangsawan itu. Mulanya Azmin bersetuju, tetapi hari ini ia mengulangi lagi persengkongkolan itu dengan lebih strategi lagi menyebabkan Ezam tidak boleh memaafkan Azmin.

"Saya tidak boleh melihat Azmin mengkhianati Anwar. Beliau tidak patut berbuat begitu kerana ia melanggar adat perjuangan. Cara saya berbeza dengan Azmin. Saya tidak suka dengan Anwar saya keluar parti dan tidak mengkhianati dari dalam," kata Ezam sambil menganologinya dia sebagai anak manakala Anwar sebagai bapak, bila tidak setuju dengan si bapak dia bertindak meninggalkan rumah.

Sepatut kata Ezam kalau Azmin sudah tidak suka dengan Anwar dia bertindak keluar parti bukan duduk dalam parti dan menyusun rancangan untuk mengkhianati Anwar, halang daripada jadi perdana menteri.

Bagi Ezam, Azmin seorang bernafsu besar dan tidak dapat menyembunyikannya. Sebagai buktinya kata Ezam, Azmin pernah memintanya mengstyharkan yang dia (Azmin) akan jadi perdana menteri. Perkara ini berlaku bila mana suatu hari Azmin mmanggil Ezam datang ke kediaman MB pada tahun baharu 2018 dan Azmin minta Ezam mengistiyharkan dia bakal PM.Dari kejadian ini menyerlahkan siapa Azmin sebenarnya.

Sementara apa yang menjadi penyebab beliau meninggalkan Keadilan ialah kerana tidak bersetuju dengan sikap dan pendirian yang diambil berhubung kongres Keadilan untuk mengesahkan jawatan Timbalan Presiden Keadilan yang sepatutnya diserahkan kepada Syed Husin Ali. Bagaimana pun Azmin berminat untuk merebut jawatan itu.

Ceritanya, masa atau hari beliau mengumumkan keluar daripada Keadilan ialah pada ketika PKR Cabang Permatang Pauh mengadakan mesyuarat. Apa yang ditunggu ketika itu ialah, pendirian diambil oleh Keadilan Cabang Permatang Pauh terhadap pencalonan Syed Husin Ali dan Azmin Ali. Ezam menanti pendirian Keadilan Cabang berkenaan sebelum bertindak. Ertinya ada lampu kuning dan hijau disediakan Ezam sebelum melakukan sesuatu.

Apa yang Ezam tunggu mesyuarat Keadilan Cabang itu, benar-benar mengecewakannya apabila mesyuarat itu mengambil sikap tidak mencadangkan Syed Husin sebagai timbalan semata-mata kerana hendak jaga hati Azmin. Bagi Ezam tindakan itu satu yang menghampakannya kerana sepatutnya Syed Husin disokong untuk mengesahkan kedudukannya sebagai timbalan presiden.

Mungkin ketika itu Ezam beranggapan sikap Keadilan Permatang Pauh itu telah dipengaruhi oleh Anwar Ibrahim. Jadi kerana Anwar bertanggungjawab menyebabkan dia marah, kecewa dan bertindak keluar daripada Keadilan.

Menyertai Umno.

Beliau menyertai Umno 28 Ogos 2006 kerana atas suatu sebab dan maksud ingin melakukan tranformasi dalam parti nasional itu. Kepercayaan diberikan apabila Umno dipimpin oleh Abdullah Badawi. Penyertaannya dengan syarat-syarat seperti mana dituntutnya. Bagaimana pun apabila agenda itu gagal beliau akhirnya keluar Umno, apabila Umno dipimpin oleh Najib dimana usahanya untuk mengislah Umno semakin jauh. Penyelewengan, rasuah penyalahgunaan kuasa terus bermahajaralela.

Kemuncak kemarahannya kepada Umno dan juga Najib Razak ialah apabila meletusnya skandal 1MDB. Menurutnya beliau sudah menasihati Najib berhubung perkara itu tetapi ia tidak diendahkan. Sikap Najib itu kontras dengan jiwa dan naluri perjuangannya. Maka jalan terbaik ialah melawan Najib.

Sebagai bantahan keras dan kebencian kepada Najib beliau menyaman Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan penasihat kepada Syarikat 1MDB.

Kemarahan beliau dan penentangannya kepada Najib bukan setakat itu sahaja, dalam Piraum ke 14 beliau bercadang untuk melawan Najib di Parlimen Pekan. Tetapi atas permintaan Azmin agar membantunya di Selangor, menyebabkan Ezam membatalkan niat itu.

Saya ada mendengar cerita atau pengesahan yang Ezam sudah "bercium mulut" semula dengan Azmin daripada Setiausaha Politik Azmin, Allahyarham Mat Suhaimi Shafiei. Suhaimi memberi tahu saya ketika pertama saya kali saya menjejak kaki ke Pejabat MB suatu hari. Al Fatihah tujuh kali untuk Suhaimi.

Selepas keluar daripada Umno Ezam seperti menganggur dalam politik. Kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) termasuk kejayaan mengekalkan kerajaan Selangor, menjadikan Ezam ternanti-nanti sesuatu khas daripada Azmin untuk melakukan islah. Malangnya sikap Azmin kepadanya, seperti si buta yang melemparkan tongkat selepas selamat menyeberang jambatan. Nasib Ezam tak ubah seperti tongkat yang dibuang.

Ketidakpedulian Azmin kepadanya, tidak menjadi kudis gatal. Ezam sudah memahami akan keadaan orang politik itu sebab beliau juga orang politik. Tetapi apa yang menyebabkan Ezam terkilan sehingga hari ini mengistiyhar perang dengan Azmin apabila Azmin dianggap belut lari dari perjuangan reformasi dan tidak menunjukkan kesetiakawan kepada Anwar. Lebih menyedihkan Azmin kembali menjelma sebagai elit.

Merumuskan kenapa Ezam kembali kepada reformasi dan mendokong Anwar, kerana dua individu yang jadi faktor besar. Pertama kerana Azmin dan kedua kerana sikap Dr Mahathir Mohamad yang bermain dengan kuasa untuk bersikap tidak jujur dengan Anwar bagi menyerahkan kuasa.

Pandangan atau tuduhan Ezam terhadap Azmin dalam hal ini sangat keras apabila beliau menyifatkan Azmin sebagai agen atau perkakas kepada Mahathir yang dianggap bersifat diktator. Bagi orang yang dapat menyelami dasar hati Ezam dapat merasai keikhlasannya kembali semula ke medan perjuangan reformasi hari ini. [wm.kl.12:53 pm 10/02/2020]

No comments: