Sunday, March 21, 2021

Memahami isi surat Umno Ketereh

SUSUPAN PAGI 

UMNO bahagian Ketereh telah menghantar surat bertarikh 19 Mac 2021 kepada presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan empat perkara untuk dilaksanakan segera. 

Ia merupakan tuntutan dan desakan, memorandum. Apa dikemukakan itu sebagai menuntaskan beberapa perkara sebenarnya yang berada dalam jiwa ketua Umno Ketereh Annuar Musa bukannya desakan atau suara umum Umno.

Empat perkara itu, pertama Umno Ketereh menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) gabungan BN dengan Pas, GPS Sabah dan GRS Sarawak.

Kedua mengesorkan supaya BN dan PN segera memulakan rundingan kerusi serta membentuk gabungan terkuat untuk menentang PH dalam Piruam ke-15.

Ketiga memohon Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) segera melantik seorang timbalan perdana menteri dari kalangan pemimpin BN.

Dan keempat, fokus dan memberi keutamaan kepada kestabilan politik, menentang Covid, membela rakyat dan usaha memulihkan ekonomi negara. Perkara terakhir dan ketiga ini hanya formaliti sahaja bukan keutamaan?

Pengiriman atau penulisan surat seperti itu; memberi cadangan dan desakan adalah perkara biasa dalam praktik sistem demokrasi. Begitu juga menyuarakan sesuatu desakan kepada presiden adalah perkara lazim, merupakan satu tanggungjawab secara tidak langsung menandakan wujud kebebasan bersuara dalam parti, dan menunjukkan Umno tidak dikuasai oleh presiden secara veto atau diktator.

Tetapi ada sedikit kejangalan dengan surat Umno Ketereh yang lebih merupakan surat peribadi Annuar Musa itu apabila isi kandungannya didedahkan kepada media. Kemurnian dan kejujurannya serta disiplin beroganisasi tidak ada lagi apabila Annuar berbuat begitu. Tentu maksudnya mahukan mesej dan tuntutan beliau itu dilihat oleh dunia serta mempunyai motif tersendiri. 

Surat itu lebih kepada menyerang Zahid sebagai presiden daripada memberi nasihat. Lagipun pun, setelah orang menyedari akan hubungan atau pun perbezaan nada antara beliau dengan presiden, tidak sulit untuk orang membaca apakah hujung jatuh dan tujuan surat tersebut diperbuatkan. Surat tersebut tidak semurni tujuannya lebih-lebih lagi menjelang seminggu perhimpunan agung Umno (PAU). 

Luka lama berdarah kembali. 

Hubungan Annuar dengan Zahid sudah lama diketahui tidak sejalur, dan ia agak kritikal kebelakangan ini khasnya setelah Umno kehilangan kuasa. Tindakan Zahid memecat Annuar sebagai Setiausaha Agung Umno adalah klimaks rasa tidak puas hati kedua pihak, menjadikan luka lama yang berlaku antara keduanya berdarah kembali.

Tetapi kenapa surat itu dibuat secara umum dan didedahkan kepada media massa? Kebijakan ini dipersoalkan dari sudut politikal. Justeru apa dilihat di sini Annuar mempunyai maksud dan strtegi tertentu dengan surat berkenaan. Ia merupakan satu perang serang (psywar) berterusan dilancarkan oleh Annuar terhadap Zahid Hamidi. Annuar tidak dapat menyembunyikan rasa tidak puas hati kepada Zahid sampai kapan pun disamping mendedahkan cita-citanya. 

Cara Annuar dikira bijak mengikut sistem politik Machavellisme. Annuar menggunakan seoptimunya menyerang Zahid dengan mengambil kesempatan sewaktu Zahid sedang "bertawajuh" ke Sungai Buloh. Tuduhan di mahkamah terhadap Zahid digunakan sebaik mungkin oleh Annuar untuk menekan dan menyingkirkan Zahid sebagai melunasi dendam kesumatnya. 

Umum tahu Umno akan mengadakan persidangan agung (Pau) penghujung bulan ini. Jadi surat Annuar itu ada kena mengena dengan Pau itu. Surat itu adalah sebagai masej yang hendak disampaikan oleh Annuar kepada para perwakilan. Apa diharapnya sudah pasti mahu para perwakilan alert kepada beberapa perkara itu khas berhubung dengan pembahagian kerusi. Tuntutan dan pengsyoran Annuar masih logik, tetapi ada maksud tersiratnya menekan Zahid, sebab tidak mudah untuk Zahid melaksanakannya terutamanya mengeratkan atau bekerjasama dengan PPBM. 

Annuar mungkin sudah dapat menghidu di sebaik apa yang berlaku sekarang ini, yang Umno dikhabarkan sudah memulakan perundingan kerusi dengan PH khususnya Keadilan. Perkembangan terbahru ini sangat mengetik hati dan mencemaskan Annuar Musa. Itulah menyebabkan beliau gelabah dan tidak lena tidur. Annuar seorang politis yang boleh dikatakan mahir membaca arus politik berdasarkan pengalamannya. Sekiranya rundingan itu sukses ia boleh menyebabkan beliau mati beragam.

Sekiranya wujud kerjasama antara Umno dengan PH, ia akan membuka satu dimensi baru politik yang boleh menyebabkan kerajaan PN boleh tumbang dan menyebabkan nasibnya sendiri akan ghuyup entah ke mana. Walaupun dia mungkin ada cita-cita untuk bergantung "ditangkai bunga raya", tetapi dia tahu tangkai bunga itu tidak begitu kukuh. Ini menjadikan dia perlu bersiap sedia untuk pensiun politik. 

Jadi apa yang diingini Annuar dengan surat itu menjadi aspirasi dan api yang akan nyala di PUA kemudian membakar Zahid Hamidi. Dia mahu pengysoran dan tuntutan itu akan dilaungkan oleh para pewakilan khas para pembahas. Sekiranya Zahid berjaya disingkir, maksudnya untuk tercapai bagi memisahkan Umno dengan lain-lain entiti (Keadilan) dan merapatkan hubungan dengan Pas juga berhasil. 

Mungkin orang di luar sana tidak berapa sedar kewujudan gerakan bawah tanah dalam Umno untuk singkir Zahid dan kumpulan yang anti PPBM. Orang yang memain peranan penting atau arkitek untuk menyingkir Zahid dan membersihkan anti Muhyiddin adalah mereka yang itim dengan Muhyiddin. Walaupun ada beberapa kerat pemimpin Umno lain sependapat dengan Annuar tetapi mereka lebih bersikap mendiamkan diri dan menyokong dari belakang. Mereka membiarkan Annua memainkan peranannya.

Surat Annuar Musa keluar menyusuli kenyataan Pengerusi Umno Perlis Shahidan Kassim yang memberi kata (altimatium) dua kepada Umno khasnya Zahid yang enggan bekerjasama dengan PPBM. Kata Shahihdan beliau akan membawa Umno meninggalkan arahan parti dan akan bersama PPBM. Kata-kata Shahidan itu biadab yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang ketua bahagian kepada presiden.

Persoalanya kini apakah rancangan hendak menyingkirkan Zahid atas nama nak perkasakan Umno berjaya? Ia akan terjawab dalam masa terdekat ini. Sekiranya surat Annuar dan kenyataan Shahidan itu mendapat respon bermakna usaha itu aktif. Sebaliknya kalau ia mati dan berlalu begitu sahaja, bermakna PAU ini akan memuktamadkan akan memutuskan kerjasama dengan PBBM dalam kerajaan PN. Apapaun PAU itu nanti dijangka hangat kalau pun tidak berlaku sesuatu di luar dugaan.

Sebaliknya kalau PAU itu sukses dan lancar tanpa apa-apa kejutan, ia memberi natijah potensi untuk Umno akan bekerjasama dengan Keadilan (PH) dalam Piraum nanti sangat besar. [wm.kl.12:01 pm 21/03/2021] 

No comments: