Wednesday, March 3, 2021

Parti Umno, Pas, Keadilan dan DAP tetap parti unggulan

 SUSUPAN PAGI

SAYA mempunyai alasan dan hujah sendiri kenapa dikatakan hanya empat buah parti sahaja yang relevan dan layak untuk dianggotai seterusnya disokong bagi menjadi tonggak kerajaan. Parti-parti itu ialah Umno, Pas, Keadilan dan DAP. Alasan saya hanya parti ini ada asas dan teras yang kukuh penubuhannya. 

Umno ditubuh tahun 1946 untuk memperjuangkan kemerdekaan negara ini sekaligus membela nasib bangsa Melayu. Umno mahu pastikan negara ini dipunyai oleh bangsa Melayu. Pas pula ditubuhkan pada  1951 adalah untuk memperjuangkan agama Islam. Ia diasaskan oleh beberapa ahli jawatankuasa Biro Agama Umno setelah melihat Umno tidak memfokuskan kepada kepentingan Islam dalam perjuangannya. 

Ketika itu ada fahaman memisahkan bangsa (kaumiyah) dengan agama yang melihat keutamaan agama itu lebih penting daripada kepentingan dan kedudukan bangsa. Kononnya perjuangan menegakkan bangsa itu sebagai batil.  

Manakala DAP pula ditubuh untuk memperjuangkan kaum Cina setelah parti PAP pimpinan Lee Kwan  Yew sudah tidak boleh bergerak di Semenanjung ekoran Singapura keluar dari Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1965.

Setahun kemudian, 1966  DAP ditubuhkan sebagai mengganti PAP. Sebab itu DAP didendangkan sebagai anak kepada PAP. DAP yang berjuang berdasarkan kesamarataan rakyat negara ini. Ideologi adalah sosialisme demokratik dan progresif.

Sementara parti Keadilan Rakyat (Keadilan) pula ditubuhkan pada tahun 1999 untuk memenuhi kehendak semangat baru politik Malaysia khasnya selepas 40 dekad pasca kemerdekaan. Tujuannya adalah untuk melakukan reform ke atas sistem pentadbiran negara yang sudah lama dibawah naungan Umno. 

Parti ini ditubuhkan serentak dengan gerak membela Anwar Ibrahim yang dipecat daripada Umno tahun 1998.

Jika diperhatikan keempat-empat parti ini, menarik dan parti yang mempuyai ideologi sendiri yang khusus. Ia bukan ditubuhkan atau lahir dari rumpun buloh bentong. Keempat parti itu bukan anak buloh bentong. 

Keempat parti ini juga mampan kerana mempunyai ideologi. Umno menjadikan nasionalisme (semangat Kemelayuan) sebagai ideologi perjuangannya. Manakala Pas pula menjadikan agama sebagai ideologi atau asas dan prinsip perjuangannya. Perjuangan Pas menentang kebatilan (kjahilan) dan membela (menegak) kebenaran. 

Jika ideologi boleh disifatkan sebagai akidah dan pegangan, Umno berpegang kepada bangsa, Pas berpegang kepada agama. Dua elemen yang cukup sentimental kepada orang Melayu. 

Begitu juga DAP yang memperjuangkan kesamarataan rakyat menerusi sistem demokrasi (sosialis demokrat). Ideologi itu perfect dari segi kemanusiaan. Sebalik itu juga secara tidak langsung DAP menjadi wadah untuk orang-orang Cina dan juga orang India. 

Walaupun kewujudan MCA untuk membela dan menjaga kepentingan masyarakat Cina dan begitu juga dengan MIC untuk menjaga masyarakat India lebih awal, hampir serentak dengan Umno, tetapi parti itu tidak begitu vokal untuk memperjuangkan hak-hak orang Cina dan India ke atas Malaysia ini. Ternyata masyarakat Cina dan India masih ramai yang terbiar dan miskin sama dengan bangsa Melayu di luar bandar. 

Kedua-dua parti itu (MCA dan MIC) dilihat sebagai rakan kelab politik elits bersama Umno menerusi Perikatan. Dari kekosongan itulah DAP memainkan peranan menjadi juara membela kepada orang Cina dan India. Perlahan-lahan juga DAP berjaya mengenepi dan mengikiskan kehebatan MCA dan MIC dari dalam kalangan kedua kaum itu. 

Manakala Keadilan pula parti terbit atas idealisme perjuangan Anwar Ibrahim yang dilihat mewakili semua aspirasi dan kehendak kaum di negara ini. Keadilan menjadi reformasi sebagai ideologinya. Reformasi yang memperjuangkan keadilan dan kebenatan semua kaum. Keadilan adalah parti multiracial yang sangat relevan dengan kemajmukan masyarakat negara ini.

Reformasi yang meletus tahun 1999 itu sendiri digerakkan berpaksi kepada kebobrokan pemerintahan yang dikuasai Umno sebelum ini yang "berjeluah" dan membusuk dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. 

Ternyata keempat-empat parti itu ada asas dan "political will" tersendiri yang berbeza antara satu sama lain dengan parti-parti yang ditubuhkan baik sewaktu dengannya ada yang baru ditubuh. Pengaruh parti itu juga dilihat dari sudut jumlah ahli dan penubuhan cawangan relatif hebat dan besar. Apa lagi Keadilan mempunyai cabang di seluruh negara dari Perlis ke Sabah. Satu-satu parti terbesar dan mempunyai organisasi menyeluruh di negara ini, adalah Keadilan.

Parti-parti lain yang ditubuh kemudian daripada itu tidak mempunyai ideologi sebaliknya lebih kepada kewujudan atas keinginan nafsu seseorang tokoh atau pemimpin. Penubuhan sebagai mengisi kekosongan dan dijadikan wadah perjuangan individu selepas mereka terpelanting dari parti asal. Atau parti-parti itu juga lahir kerana desakan dan luapan kekecewaan dan frustasi. 

Justeru parti begitu sangat rapuh dan tidak berusia panjang. Ia bersifat sementara sahaja, setengahnya lenyap sesudah melalui sekali pilihan raya. Parti yang baru itu lebih bersifat parasit. Berbeza dengan parti yang mempunyai ideologi yang dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai idealisme yang jelas dan berbobot ia menjadi parti unggulan.  

Banyak contoh parti yang ditubuhkan kerana keinginan atau perjuangan individu yang telah berkubur. Antaranya Parti Melayu Semangat 46 yang pimpinan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Rais Yatim dan lain-lain. Parti ini terilham apabila Umno berpecah dua menjadi team A dan team B. Team B yang dikepalai Tengku Razaleigh Hamzah bertindak menubuhkan sebuah parti politik (S46) apabila Umno diisytiharkan sudah haram. 

Tujuan penubuhannya untuk berlawan dengan Dr Mahathir Mohamad yang kemudian menghidupkan Umno menjadi Umno Baru. Parti Melayu ini berkubur 1995 setelah gagal untuk menang dalam pilihan raya. Ia dibubarkan apabila sebilangan besar pemimpin dan ahlinya rujuk semula kepada Umno. 

Sebelum pada itu wujud juga parti Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa) yang berpangkalan di Kelantan. Parti ini dituduh hasil krisis politik di Kelantan tahun 1978 untuk membela Mohamad Nasir. Parti ini juga tidak mempunyai matlamat jelas selain daripada untuk membela Mohamad Nasir dan dijadikan alat oleh Umno. Akhirnya parti itu mati beragam.

Awal tahun 20an wujud beberapa parti lagi yang berlatar belakangkan tujuan penubuhannya sama dengan parti Semangat 46 dan Berjasa itu. Antaranya ialah Parti Amanah Negara (Amanah). Parti ini ditubuhkan apabila 18 pemimpinnya yang professional bukan bergelar ustaz kalah dalam pemilihan di muktamar Pas. Untuk meneruskan perjuangannya mereka tubuh Amanah. Penubuhan parti ini digerakkan oleh bekas ahli dan pemimpin Pas yang kecewa.

Sebuah lagi parti PPBM Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditubuh oleh Dr Mahathir Mohamad bersama Muhyiddin Yassin. Penubuhan parti ini juga sama dengan penubuhan parti MS46 dan Berjasa tadi. Ia membawa maksud dan tujuan untuk menjadikan wadah kepada Dr Mahathir dan Muhyiddin berpolitik selepas mereka sudah dipecat daripada Umno atau tidak bersama Umno lagi. 

Parti ini bernasib baik sedikit kerana ia bergabung dengan PKR dan DAP yang mana membawa tuah memberi kemenangan kepada mereka sehingga dapat menubuh kerajaan selepas Piraum ke-14. Saya tidak perlu huraikan apa yang terjadi kepada kedua-dua parti itu Amanah dan PPBM. Semua orang boleh membuat perkiraan dan hisab mudah kepada kedua parti itu di masa akan datang. Namun berpandukan kepada sejarah lampau kedua-dua parti itu tidak akan bertahan lama. 

Walaupun PPBM yang dipimpin oleh Muhyiddin kini menjadi kepala kerajaan kerajaan PN ini ia tidak menjamin PPBM bertahan lama. Umpama kayu yang tidak ada teras yang akan buruk dan mereput di telan masa. 

Kesimpulannya, parti-parti awal yang mempunyai pegangan dan matlamat jelas dan teguh tetap diyakini. Mempunyai kedudukan yang mantap dan kemas. Walaupun mereka dihentam gelombang tetapi kerana akar tunjang dan akar serabutnya sudah melebar parti itu akan utuh. Parti-parti itu bukan hidup kerana individu tetapi kerana idealisme dan perjuangannya yang menempati kehendak rakyat.

Buat masa ini Umno, Pas, Keadilan dan DAP adalah terbaik.  [wm.kl.10:09 pm 02/03/2021]


No comments: