Saturday, June 5, 2021

Kemana dan bagaimana Azmin selepas Piraum ke-15?

FOKUS

Azmin graf politiknya
menaik?
KEDUDUKAN Mohamed Azmin Ali, 57 untuk terus kekal dan selesa berada dalam koridor kuasa politik selepas Piraum akan datang menjadi tanda tanya. 

Peluangnya untuk mengekalkan pencapaian kini tampaknya tidak mudah dan pasti. Berbalam-balam. Seperti kebijakan politiknya akan tergugat. 

Walaupun graf politiknya meninggi, sehingga beliau berjaya mengangkat dirinya lebih tinggi daripada keadaan sebelum ini, serta dapat mengekalkan prestasinya, tetapi itu bukan satu indikator beliau akan selamat kemudian terus mencapai kemuncaknya. 

Azmin dikira seorang ahli politik yang licik dan serta bijak atau liar mencari ruang untuk political survivalnya. Sarjana dalam bidang Economics and Mathematics dari universiti Minnesto itu, soal moral, prinsip dan persahabatan bukan aspek diutamakan. Perbendaharaan itu seakan tidak ada dalam kamus hidupnya. Beliau lebih mementingkan dirinya hatta sanggup mengamalkan politik Machiavelisme sepenuhnya. 

Bolehlah disimpulkan politik Azmin untuk kepentingan diri, bukan sangat untuk perjuangan. Dalam kata lain Azmin tidak mempunyai idealisme perjuangan. Beliau lebih akrab dengan amalan politik matlamat menghalalkan cara. Ini tidak aneh kerana bila diselak kitab pendidikannya, Azmin yang dilahirkan di Singapura itu tidak terlibat dengan gerakan Islam fundalmental.  

Selain itu, beliau juga dikira berani dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai apa yang dihajatinya secaca konsisten. Pengaruh daripada ayahnya sebagai seorang tentera melekat kepada dirinya. Ayahnya merupakan bekas British Army yang berpengkalan di Singapura.

Azmin sangat percaya kepada teori politiknya dan seorang yang mempunyai tahap confident yang tinggi. Azmin sanggup meninggalkan kedudukannya yang dikira istimewa dalam Keadilan selaku timbalan presiden kerana beliau yakin tindakan itu membawa untung buatnya. Bukan sekejap Azmin memegang jawatan itu, 10 tahun. Ini dikatakan sebagai nekad dan berani. 

Dengan pejam mata, tanpa mempedulikan risiko dan implikasi lain beliau meninggalkan jawatan itu dan partinya untuk bersama Mahaiddin  Md Yassin. Kenekadan inilah membawa kejayaan demi kejayaan kepadanya. Bukan ramai ahli politik sanggup melakukan "harakiri" sepertinya. 

Mungkin kalau boleh disebutkan contoh kenekadannya untuk menjadi MB Selangor. Dengan kedudukannya sebagai orang kanan dan harapan Anwar dan memegang jawatan tertinggi, Azmin merasakan beliau berhak untuk mendapat jawatan itu. Bermula dari disitu Azmin tidak pernah diam daripada berusaha untuk mendapatkan jawatan itu daripada Abdul Khalid Ibrahim. Beliau mengira jawatan itu bukan untuk Khalid tetapi untuk dirinya.

Mendapat untuk dari Langkah Kajang.

Langkah Kajang, (2014) yang dirancangkan sebagai plan politik menukarkan MB Selangor daripada Abdul Khalid Ibrahim memberi ruang baik kepada Azmin. Mulanya Langkah Kajang itu dibuat untuk menukar Khalid dengan menamakan Anwar Ibrahim sebagai pengganti. Malangnya menjelang beberapa jam penamaan calon, mahkamah memutuskan suatu kes berhubung Anwar menjadikan beliau tidak layak menjadi calon. 

Kemalangan itu menyebabkan Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon bidan terjun kemudian diharapkan akan menjadi MB Selangor. Semasa strategi Langkah Kajang dirancang, Azmin hanya berdiam diri dan memerhati dari jauh. Beliau laksana seperti Hyenas yang akan menerkam mangsa (bangkai) setelah ditumbangkan sang predator.  

Azmin bersuafoto
dengan Hadi.
Azmin berjaya merampas impian dan harapan untuk meletakkan Dr Wan Azizah sebagai MB Selangor. Tidak perlu berasa hairan kenapa Azmin berjaya memintas si Serikandi Keadilan itu. Dengan melakukan penyelewengan, dengan bantuan Pas yang ketika itu bersama dalam kerajaan PR di Selangor, Azmin berjaya mendapat restu dan sokongan Abdul Hadi Awang agar nama beliau dibawa ke istana. 

Mungkin semua masih ingat kenyataan Abdul Hadi tentang Dr Wan Azizah, berbunyi; "wanita tidak layak menjadi MB." Mesej yang hendak disampaikan Tuan Guru diwalikan itu bahawa Pas menolak Azizah sebagai MB. Kebetulan juga ketika itu, saya masih berhubung dan baik dengan Azmin. Pada suatu ketika Azmin memaklumkan kepada saya yang beliau dalam perjalanan berjumpa dengan Abdul Hadi. 

Ternyata walaupun Dr Wan Azizah menang dalam pilihan raya kecil Kajang kontroversi itu, beliau tidak dipilih menjadi MB sebagai ganti Khalid Ibrahim. Kononnya atas ulah istana, akhirnya jawatan itu terpangku ke atas Azmin. Azmin seperti Hyenas atau Hering berjaya mencuri bangkai dari sang predator malang yang hanya mampu terjilat-jilat dan terhidu bau bangkai sahaja.

Cita-cita Azmin tidak terhenti disitu sahaja, setakat menjadi MB. Beliau seorang yang optimistik dan ambition. Dengan kedudukan sebagai MB mempunyai segala kesempatan yang ada beliau merancang lebih jauh daripada itu. Kali ini beliau mahu menjadi presiden Keadilan pula. Menerusi jawatan utama parti itu beliau akan melangkah lebih jauh lagi. 

Azmin tahu dengan menjadi presiden, kuasanya lebih besar dan prasarana politiknya lebih luas dan besar lagi. Beliau mula mengepak dengan jawatan MB itu menggaris dan melukiskan masa depannya makin cemerlang lagi. Kempen dan gerakan untuk mendapat jawatan itu diaturkan demikian rupa. Kemudahan sebagai MB Selangor dijadikan alat dan perkakas untuk tawan ahli-ahli Keadilan bagi mendapat sokongan. 

Kemenangan yang menganggu.

Kemenangan PH dalam Piraum ke-14, mengukuhkan kedudukannya di Selangor apabila dilantik menjadi MB, bagaimana pun kemenangan itu tidak memberikan keseronokan total buatnya. Ertinya beliau tidak gembira seratus peratus, walaupun beliau masih dikekalkan sebagai MB Selangor. 

Kenapa, kerana kemenangan itu, membolehkan Anwar Ibrahim mendapat pengampunan dan keluar daripada Sungai Buloh kemudian aktif sepenuhnya dalam parti. 

Perkara ini ketara. Dalam seluruh ahli Keadilan lain bersyukur dengan pengampunan diperolehi Anwar tanpa syarat (sepenuhnya) tetapi tidak bagi Azmin. Beliau sudah membaca yang Anwar akan jadi penghalang cita-cita kubranya.  

Sebab itu sepanjang Anwar meringkuk dalam penjara beliau seperti suka kalau Anwar terus kekal dalam penjara sekurang-kurang sehingga habis penggal parlimen ke-14. Sekiranya Anwar kekal disitu beliau boleh melakukan lebih banyak perkara khasnya mengukuhkan kedudukannya dalam Keadilan. Tanpa pengampunan penuh walaupun Anwar keluar penjara beliau kena tunggu sehingga tahun 2020 untuk bertanding. 

Tidak pelik kalau semasa Anwar dalam penjara, para reformasi mengadakan pelbagai gerakan, solidariti kepada Anwar dengan mengingati hari jadinya bagi mendorong dan memberi kekuatan kepadanya, tetapi  Azmin seperti sengaja meminggirkan diri.

Daku masih ingat pada satu majlis solidariti merainkan hari jadi Anwar di pinggir penjara Sungai Buloh. Hampir semua pemimpin utama Keadilan dan PR lain hadir, tetapi kalibat Azmin langsung tidak nampak. Sebagai timbalan presiden tidak wajar sekali tanpa kehadirannya. 

Kenapa Azmin tidak seronok dengan pembebasan Anwar, kerana pembebasan Anwar menyekat langkahnya untuk terus membina empayar bagi menguasai parti. Apa lagi Anwar bersetuju untuk memimpin parti sebagai presiden, mengambil alih daripada Dr Wan Azizah. Pepindahan itu dilihat sesuatu yang boleh mengerhanakan masa depannya, sebab itu Azmin berura-ura untuk mencabar Dr Wan Azizah tetapi tak sempat. 

Sekiranya agenda itu berlaku tanpa terhalang, besar kemungkinan Dr Wan Azizah akan tewas. Walaupun Dr Wan Azizah ada panglima yang mempertahankannya seperti Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution Ismal dan lain-lain namun ia tidak kecukupan kekuatan untuk berlawan dengan Azmin. Kedudukan Azmin dalam Keadilan dengan jawatan MB juga lebih dihormati ahli berbanding Rafizi yang bijak tetapi tak berkuasa.

Kedua, kenapa kemenangan itu tidak menyeronokkannya kerana Dr Wan Azizah diangkat menjadi TPM. Azmin mengangan-angankan jawatan itu buatnya, kerana kedudukan TPM lebih besar dan gah berbanding jawatan MB. Malahan ada usaha secara senyap dan tersembunyi Azmin berusaha untuk merampas jawatan TPM daripada Dr Wan Azizah. Beliau sudah membisikkan kepada ahli Keadilan  yang pertukaran jawatan TPM daripada Dr Wan Azizah kepadanya akan berlaku dalam rombakan kecil kabinet Dr Mahathir Mohamad. 

Azmin boleh selamatkan diri dan terus menjadi pemimpin penting dalam Keadilan sekiranya beliau sedia untuk berada dibawah Anwar. 

Azmin yang dikenali sudah beberapa kali berjaya menawan hati Anwar Ibrahim sampai rakan-rakan lain terpinggir tepi, seperti Ezam Muhammad Noor dan lain-lain, tetapi kali ini beliau seperti kematian arah mungkin dosanya dengan Anwar dan Keadilan sudah sangat besar. Justeru menyedari itu beliau mulai resah dan perlu mencari jalan baru memastikan dirinya berada di kemuncak. Jalan yang dihadapi itu bertentangan dan menjadi cabaran baru buatnya. 

Setelah usaha mendamaikan keadaan tidak dapat dicari, Azmin mula merasa beliau ditentang dan dimusuhi. Kali ini bukan sahaja melalui proksi Anwar, Rafizi tetapi Anwar sendiri mula bertindak setelah sabarnya menghadapi ulah Azmin habis. Dari situ beliau telah nekad meninggalkan Keadilan. 

Proses peninggalan ini dilakukan dengan penuh taktikal. Azmin memang bijak politik dalam hal ini. Beliau tidak bersikap gentlemen sebaliknya, apa lagi ikhlas untuk meninggalkan Keadilan. Beliau bertindak seperti "lari sambil membaling". Azmin menjadi seperti isteri curang lari meninggalkan rumah dengan membawa segala harta benda. Di sinilah kejahatan dan khianat politik Azmin. 

Berpakat dengan Mahiaddin.

Beliau telah menyusun komplot dan strategi bersama Mahiaddin Md Yassin memusnahkan kerajaan PH. Setelah mengenal pasti seberapa ramai pimpinan Keadilan khasnya yang menjawat jawatan selaku MP, beliau lantas mengumumkan keluar daripada Keadilan. Walaupun pengumuman itu selepas beliau dipecat tetapi itulah yang terjadi. Dengan tindakan membawa keluar 10 ahli parlimen Keadilan itu termasuk Jaafar Kamaruddin (cis) menyebabkan kerajaan PH hilang majoriti.  

10 orang MP besamanya dan juga beberapa Adun merupakan pengikut atau rakan setianya yang telah lama dibina dan dipupuk. Dengan kekuatan dan sokongan yang ada itulah Azmin jadikan modal untuk dia membina empayar baru dalam parti baru kini. BERSAMBUNG Bhg 2. Bagaimana kesudahan Azmin dalam Piraum akan datang. [wm.kl.10:20 am 05/06/2021]

No comments: